Anda di halaman 1dari 9

ISLAM DAN HUBUNGAN ETNIK:

Asas dan Pelaksanaannya di Malaysia

1. Konsep Islam secara Umum menurut Al Quran dan Pandangan Ulama

a) Surah Al Baqarah ayat 112 maksudnya:


Tidak! Barangsiapa menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah dan dia berbuat baik, dia
mendapat pahala di sisi Tuhannya dan dia tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak
bersedih hati

b) Surah Al Maidah ayat 3 maksudnya:


Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu ( Islam ) untukmu, dan telah Aku sempurnakan
nikmat-Ku bagimu dan telah Aku redhakan Islam sebagai Agamamu

Menurut Tafsir At Tabrani dan Tafsir Al Munir karangan Imam Malik ayat di atas menerangkan
secara umum dan jelas mengenai konsep dan maksud asas Islam itu sendiri. Merujuk ayat di atas,
Allah swt secara jelas menerangkan kepada sekalian ummat manusia bahawa Islam merupakan
agama yang patuh, tunduk, selamat dan sejahtera dari sudut maksud bahasanya. Maksud Islam
dari sudut syarak ialah kepatuhan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi hanya kepada Allah
swt dengan cara menghambakan diri kepadaNya dengan mematuhi segala perintahNya dan
menjauhi laranganNya. Menurut Professor Dr.Syeikh Yusof Al-Qardhawi dan Professor Dr.Syeikh
Mohammad Ali Assobuni, Islam merupakan agama yang bersifat rabbani(ketuhanan),
syumul(sempurna) dari segala aspek kehidupan dunia dan akhirat, waqiiyyah(global)
berlandaskan kepada prinsip-prinsip kehidupan yang bersifat Qurani(sempurna dan lengkap).
Konsep Islam yang dikemukakan ini mencakupi segala aspek kehidupan baik dari sudut
pemerintahan, urus tadbir ekonomi dan hubungan sesama manusia. Islam bukanlah agama yang
memaksa penganutnya untuk melakukan sesuatu perbuatan baik mahupun buruk, namun
demikian Islam secara jelas memberikan garis pandu kepada seluruh manusia agar mereka dapat
hidup dalam keadaan harmoni dan tidak berpecah-belah sesama sendiri.

2. Islam dan Keharmonian Hubungan Etnik

Islam menerima kepelbagaian bangsa dan pluralisme masyarakat berdasarkan firman Allah swt
dalam surah Al Anam ayat 36 maksudnya:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan,
dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu
berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang
lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam
pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Berdasarkan terjemahan ayat di atas, jelaslah bagi kita bahawa Allah swt telah menjadikan umat
manusia ini pelbagai bangsa dan bersuku puak (kabilah). Konsep ini bertepatan dengan konsep
hubungan etnik dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Menurut Professor Syed Naquib
Al-Attas Allah swt menciptakan sesuatu individu itu dalam pelbagai ragam yang tersendiri dan ia
kemudiannya berubah kepada sesuatu kumpulan masyarakat yang pelbagai bangsa dan berbilang
kaum menurut etnik dan minoriti seterusnya membentuk negara bangsa yang hebat. Hubungan
etnik secara khusus menurut Shamsul Amri Baharuddin ialah Sebuah sistem kemasyarakatan
yang tersendiri yang ditandai oleh ciri identiti, budaya dan sistem nilainya yang tersendiri.
Perkaitan rapat antara pemahaman individu dalam kumpulan etniknya sendiri jelaslah
menunjukkan bahawa interaksi yang wujud adalah merupakan fitrah kejadian manusia.
Menurut Nazri Muslim, konsep hubungan etnik menurut Islam ialah Islam mengiktiraf kemuliaan
setiap manusia tanpa mengira etnik. Oleh itu, tidak boleh berlaku perbezaan atau penafian hak
berdasarkan etnik (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2005: 37). Hal ini menjelaskan manusia
secara fitrah dijadikan Allah dalam bentuk, kelompok dan budaya yang berbeza dan semua mesti
menerima dan menghormati kepelbagaian dan perbezaan itu sebagai satu lumrah dan hukum
alam yang akan terus berlaku. Kepelbagaian dan perbezaan itu bukanlah faktor untuk berpecahbelah dan bermusuhan. Seharusnya kita perlu kenal-mengenal dan membantu antara satu sama
lain agar kedamaian dan kemakmuran hidup bersama dapat dicapai. Jelaslah bahawa Islam tidak
menolak kepelbagaian masyarakat pluralisme. Dalam Islam, soal perbezaan bukan menjadi
halangan untuk manusia berbaik- baik, bekerjasama dan saling membantu antara satu dengan
yang lain. Penghormatan kepada penganut agama lain telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad
SAW semasa hayat baginda dan pendekatan tersebut merupakan ajaran penting dalam agama
Islam. Islam melihat kepelbagaian etnik dengan pandangan yang positif untuk berkenal- kenalan
dan bantu-membantu dalam perkara kebaikan. Ini bersandarkan perisitiwa bila Nabi Muhammad
SAW menegur Abu Zarr yang menggelar Bilal anak wanita hitam dengan menjelaskan tiada

keistimewaan seseorang yang berkulit putih dengan seorang yang berkulit hitam kecuali
ketakwaannya.

3. Perlaksanaan Prinsip dan Nilai Islam dalam Hubungan Etnik

Pengaplikasian Konsep Piagam Madinah dalam Hubungan Etnik di Malaysia


Secara asasnya, Rasulullah saw menjadikan Piagam Madinah ini sebagai satu medium baharu
untuk menyatukan masyarakat pelbagai etnik, minoriti dan majoriti masyarakat di Madinah.
Piagam Madinah secara asanya ialah merupakan perlembagaan pertama di dunia yang
mengiktiraf hak-hak pelbagai kaum dan etnik menurut fasalnya. Piagam ini dilihat secara
menyeluruh mengutamakan keadilan kepada semua kaum di Madinah khasnya ketika khalifah
Rasulullah saw. Piagam madinah menurut pandangan ulama ialah perlembagaan yang ditulis dan
dipersetujui bersama semua golongan (orang Islam dan Yahudi) yang menjadi warganegara
Madinah Al-Munawwarah pimpinan Rasulullah SAW. Disebut Sahifah al-Madinah (perlembagaan
bertulis pertama di dunia). Menjadi asas pembentukan sebuah Negara Islam yang mempunyai
rakyat yang berbilang bangsa dan kaum. Rasulullah SAW melaksanakan pelbagai langkah
menerusi Piagam Madinah ini dalam konteks menyatukan etnik dan minoriti di Madinah antaranya:

Pembentukan Ummah
Dalam konteks umat Nabi Muhammad SAW di Madinah, ia tidak sahaja terhad kepada umat Nabi
Muhammad sahaja, tetapi juga umat bukan Islam seperti orang-orang Yahudi yang berada di
Madinah ketika itu. Ummah Nabi Muhammad SAW itu ialah masyarakat yang mematuhi undangundang Islam sama ada mereka itu seagama ataupun tidak. Ini menunjukkan bahawa, secara
khususnya Rasulullah SAW mengiktiraf ummahnya adalah bukan sahaja umat Islam tetapi kaum
dan bangsa lain yang menjadi rakyat di Madinah. Konsep ini bertepatan dengan Perlembagaan
Persekutuan 1945 yang mengiktiraf kedudukan orang bukan Islam untuk mendapatkan hak-hak
mereka yang sepatutnya menurut sistem pemerintahan di Malaysia. Iktibar kejayaan pembentukan
ummah melalui konsep Piagam Madinah 432 Masihi ini memperlihatkan akan keraian dan
keistimewaan hak-hak bangsa lain di Madinah seharusnya diteladani secara teliti oleh pelbagai
negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum khususnya di Malaysia. Masyarakat Islam
Madinah terdiri daripada dua kumpulan utama iaitu Muhajirin dan Ansar. Orang-orang Muhajirin
bukanlah penduduk asal Madinah, mereka berhijrah dari Mekah ke Madinah. Manakala Orangorang Ansar merupakan penduduk asal Madinah. Orang-orang Ansar berasal daripada dua
kumpulan iaitu puak Aus dan Khazraj. Rasulullah SAW telah menyatukan golongan tersebut di
bawah naungan Islam.

Penyatuan Mayarakat Madinah Melalui Pembangunan Masjid


Langkah pertama dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW bagi membentuk Negara Islam Madinah
ialah menyapadukan masyarakat Madinah khususnya masyarakat Islam melalui masjid. Masjid
awal yang dibina dalam sejarah Islam ialah masjid Quba yang dibina semasa hijrah Rasulullah
SAW. Fungsi masjid sangat besar dalam kehidupan umat Islam, iaitu sebagai pusat kebudayaan
Islam, pusat kegiatan kemasyarakatan Islam dan sebagai simbul penyatuan mereka. Rasulullah
Saw juga menggalakkan pembinaan pusat-pusat ibadat bagi agama lain untuk memudahkan
penganutnya melakukan ibadah mereka. Ini jelaslah menunjukkan bahawa Islam menghormati
akan dan bertoleransi tinggi terhadap penganut agama lain sekaligus meraikan perpaduan dalam
kepelbagaian hubungan etnik sesama masyarakat Islam Madinah dan masyarakat bukan Islam
Madinah.

Ringkasan Piagam Madinah dalam Konteks Hubungan Etnik

Terdapat beberapa fasal dalam Piagam Madinah yang berkaitan hak dan tanggungjawab rakyat
terhadap negara, membuktikan bahawa Negara Islam Madinah yang diasaskan Rasulullah SAW
menerima pelbagai etnik
Fasal berkaitan :
1. Tanggungjawab negara terhadap rakyat
2. Tanggungjawab rakyat terhadap negara
3. Hak-hak asasi penduduk beragama Islam dan agama lain

Piagam Madinah 432 M ini memperlihatkan secara jelas bahawa setiap rakyat tidak mengira
penduduk Islam atau agama lain mempunyai tanggungjawabnya terhadap negara. Menurut fasal 1
dalam piagam madinah, negara dan pemerintah wajib melindungi rakyatnya secara menyeluruh
dan memberikan hak-hak tanpa mengira agama ataupun kaum. Dalam beberapa fasal piagam
madinah lagi menyebut bahawa bahawa kaum Yahudi daripada bani Auf adalah satu umat
bersama orang mukmin, mereka bebas dengan agama mereka dan orang-orang Islam dengan
agama mereka, begitu juga dengan orang-orang yang bersekutu dengan mereka, termasuk diri
mereka sendiri. Menurut Pelembagaan Persekutuan 1947 juga setiap kaum perlulah saling tolong
menolong sesama mereka tanpa mengira etnik, kaum dan bangsa dalam usaha membawa negara
ke arah perpaduan dan kedamaian. Ini menunjukkan hak-hak dalam Perlembagaan Persekutuan
1947 jelas sama sekali tidaklah bersifat berat sebelah dan adil dalam menentukan hak asasi
semua kaum dan etnik dalam usaha menjamin kestabilan sosial di Malaysia.

4. Rasional Pengenalan Konsep Islam Hadhari dalam Hubungan Etnik di Malaysia


Malaysia terdiri daripada masyarakat multi-etnik namun negara mampu mengekalkan perpaduan
semenjak mencapai kemerdekaan dengan mengambil pelbagai langkah bagi mengekalkan
hubungan yang harmoni sekalipun pernah menghadapi peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut
kerajaan telah memperkenalkan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan
Nasional, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan pelbagai lagi bagi
mengekalkan perpaduan dan keamanan negara.

Rasional Idea Islam Hadhari yang dikemukan oleh Tun Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi
merangkumi:
a) Islam sebagai agama persekutuan negara
b) Menjadikan Islam sebagai penyelesaian cabaran semasa samada seantero ataupun
global
c) Pendekatan Islam Hadhari sebagai pemacu Wawasan 2020 dan penggerak Dasar
Perpaduan Negara (DPN)
d) Merealisasikan Islam sebagai agama yang dapat memberikan kebaikan dan Rahmat
kepada semua manusia
Sebagai perbincangan asasnya, pendekatan Islam Hadhari ini merupakan:
a. Perletakan Islam sebagai ad-Din iaitu cara hidup yang amat luas, bukan sekadar suatu
kepercayaan tetapi suatu sistem kehidupan yang lengkap, maju dan progresif. Umat Islam
perlu kembali kepada mengamalkan ajaran Islam yang syumul (lengkap dan sempurna)
pada peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara.
b. Penekanan ke atas pembinaan peradaban yang memberi fokus kepada usaha
mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan
insan dan pembangunan fizikal.
c. Islam Hadhari bukanlah suatu mazhab baru, jauh sekali suatu agama baru. Ia adalah
suatu pendekatan dan usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas atau fundamental iaitu al-Quran dan al-Hadis.

d. Agama Islam menjaga serta memelihara kehidupan manusia dan setiap makhluk.
Manusia adalah khalifah Allah s.w.t. justeru dengan melaksanakan syariat Islam dan menegakkan syiar Islam, umat Islam akan membawa rahmat kepada seluruh alam.

Realiti Kehidupan Masyarakat Malaysia Kini dengan Hubungan Etnik


Seluruh umat manusia perlu mempelajari dan memahami mengenai hubungan etnik dan sosiobudaya sesuatu kaum dan bangsa lain secara lebih mendalam. Ia menjadi faktor penting yang
boleh menyatukan Dunia Timur dan Dunia Barat. Bahkan kecemerlangan ilmu di Baghdad dan di
Andalusia pada suatu ketika dahulu, tidak hanya dimonopoli oleh bangsa Arab sahaja tetapi juga
oleh bangsa-bangsa lain. Prinsip Islam Hadhari yang menekankan penguasaan ilmu pengetahuan,
bukan hanya untuk kelompok tertentu sahaja, malah ia juga perlu dikuasai oleh semua bangsa dan
warna kulit tanpa dibatasi oleh sempadan geografi yang menunjukkan toleransi Islam dalam
mendapatkan ilmu. Prinsip ini perlu ditekankan memandangkan sikap tamak dan mementingkan
diri sendiri sesetengah pihak boleh mencetuskan pergeseran, permusuhan dan perpecahan antara
kaum dan etnik khusunya dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selain itu prinsip kerajaan yang adil dan amanah menjadi instrumen penting dan pemangkin dan
pendorong ke arah tercetusnya sistem ekonomi apabila kekayaan negara dapat diagihkan secara
adil dan saksama serta melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu padu. Manakala prinsip
keimanan dan ketakwaan kepada Allah yang ditekankan dalam masyarakat Hadhari itu tidak
menyekat kebebasan beragama kerana manusia yang berilmu tahu membezakan di antara
kebenaran dan kebatilan.Kefahaman terhadap konsep patriotisme perlu dihayati dalam konteks
hubungan etnik agar dapat mengelakkan daripada berlakunya penindasan dan penjajahan
ekonomi dan politik demi mengekalkan kedaulatan negara yang dicintai. Ia selari dengan prinsip
rakyat yang berjiwa merdeka sebagaimana saranan Islam Hadhari. Apabila masyarakat tidak
memiliki jiwa yang merdeka, akan menyebabkan berlakunya penjajahan sama ada secara
langsung atau tidak ke atas sesebuah negara. Ini memudahkan lagi untuk mewujudkan kekacauan
kaum, perang saudara serta kehadiran kerajaan yang merupakan boneka penjajahan dengan
segala kekejaman dan dasar kuku besinya. Tuntasnya, melalui konsep dan penghayatan prinsip
Islam Hadhari oleh masyarakat Malaysia secara menyeluruh akan dapat mewujudkan integrasi
kaum yang harmoni antara satu sama lain.

5. Asas-asas Hubungan Etnik Menurut Islam:


1. Berkenal-kenalan (al-Taaruf)
Prinsip ini merupakan asas perhubungan sosial masyarakat untuk hidup dengan penuh perasaan
kasih sayang dan sikap ambil berat. Berkenalan penting bagi memulakan kerjasama yang
membawa kebaikan kepada manusia. Permusuhan merugikan semua pihak. Berkenalan
merupakan suatu tindakan meliputi usaha untuk mengetahui latar belakang kehidupan individu lain
dan budaya masyarakatnya melalui nama, tempat tinggal, keluarga, pendidikan dan isu-isu sosial
yang lain. Kesedaran mengenai individu lain boleh membina persamaan dan mengenepikan
perbezaan bagi mewujudkan perkenalan yang membina. Berkenal-kenalan antara individu dengan
individu yang lain berdasarkan prinsip ini akan dapat mewujudkan hubungan etnik yang baik
antara semua kaum dan bangsa.

2. Persefahaman (al-Tafahum)
Persefahaman ialah saling sentiasa bersetuju untuk bekerjasama antara satu sama lain. Ini boleh
dilakukan dengan mengadakan berbagai program kemasyarakatan yang boleh mempertemukan
masyarakat pelbagai etnik seperti dalam kegiatan sukan, politik, ekonomi, sosial melalui
mesyuarat dan gotong-royong. Pertemuan sebegini mampu membina interaksi yang positif ke arah
persefahaman. Suara azan waktu subuh umpamanya kadangkala boleh menjejaskan ketenangan
tidur orang lain yang bukan beragama Islam, perayaan Thaipusam dengan perarakan Kavadi
boleh menyebabkan kesesakan jalanraya yang menyusahkan pengguna yang lain, pembakaran
mercun dan bunga api Tahun Baru Cina boleh menyebabkan bunyi bising yang menggangu
ketenangan pihak lain. Semua ini tidak menimbulkan masalah jika semua etnik mengetahui, saling
bersefahaman dan meraikan perayaan agama dan perbezaan budaya antara pelbagai etnik.

3. Bantu membantu (al-Taawun)


Dalam kehidupan bermasyarakat, sifat bantu membantu hendaklah di arah kepada mencari
kebaikan dan bukan untuk tujuan ke arah perkara kejahatan. Sifat bantu membantu dapat
mengelakkan timbul pelbagai masalah dalam masyarakat dan memudahkan segala urusan. Ia
boleh dilakukan melalui bantuan kewangan, tenaga, barangan, peralatan, masa dan khidmat
nasihat kepada ahli masyarakat yang menghadapi kesusahan dan ditimpa malapetaka. Dalam
usaha untuk pembangunan negara, sifat ini berupaya melahirkan masyarakat yang cakna dan

mengambil berat keadaan mereka yang kurang bernasib baik dan menanggung masalah hidup
supaya sama-sama menikmati kemakmuran negara.

4. Persaudaraan (al-Ukhuwah)
Persaudaraan ialah ikatan kerohanian (psikologi) yang mendalam dalam jiwa sehingga
menghasilkan kasih sayang, belas kasihan dan tanggungjawab. Ia merasa diri orang lain seperti
dirinya sendiri. Susah senang gembira dan derita dirasai bersama. Oleh itu ia cuba untuk
menghindari sebarang masalah dari menimpa diri orang lain kerana ia sendiri tidak mahu dirinya
ditimpa masalah sedemikian. Perasaan ikatan yang mendalam ini bukan diasaskan kepada
hubungan darah dan keturunan tetapi lebih tinggi dari itu mereka diikat oleh kebersamaan etnik,
lokaliti, negara, rantau dan sebagai warga dunia yang sama.

5. Kasih Sayang (al-Mahabbah)


Prinsip ini merupakan sifat kemanusiaan supaya mengasihi orang lain selain dari diri sendiri
supaya masyarakat berada dalam ikatan perasaan kasih sayang yang kukuh. Ini sekaligus dapat
menghilangkan sifat-sifat buruk yang melingkar dalam masyarakat seperti kedengkian,
permusuhan, kebencian dan sebagainya agar dapat menjamin kehidupan masyarakat yang lebih
aman damai.

6. Saling menjamin (al-Tadhamun)

Prinsip ini merupakan usaha ke arah melahirkan masyarakat yang saling bertanggungjawab
terutamanya bagi membantu ahli masyarakat lain yang menghadapi masalah hidup. Ia merupakan
suatu jaminan sosial kepada setiap ahli masyarakat tanpa mengira etnik. Dengan lain perkataan ia
merupakan hak asasi manusia yang dianjurkan oleh Islam seperti pemberian nafkah, berzakat,
membayar cukai dan sebagainya.

Kesimpulan

Sebagai asasnya, Islam merupakan cara hidup ( Ad-Din) yang bersifat lengkap dan sempurna.
Islam secara menyeluruh telah mengangkat keadilan kepada semua manusia tanpa mengambil
kira akan bangsa, jantina, warna kulit, pangkat dan rupa. Islam memberikan kebebasan
berdasarkan prinsip ( Al-Adalah) kepada umatnya supaya mentadbir bumi ini dengan penuh
kesaksamaan. Pendekatan Islam Hadhari merupakan satu usaha ke arah pengukuhan dan
pemantapan hubungan etnik dalam kalangan rakyat Malaysia secara menyeluruh. Melalui
pengaplikasian prinsip-prinsip asas dalam Piagam Madinah 432 M terhadap Perlembagaan
Persekutuan 1947 telah berjaya mencerminkan bahawa pentadbiran dan institusi sosial dan
ekonomi negara kita adalah adil, berkesan kepada semua kaum di Malaysia meliputi etnik di
Sabah dan Sarawak. Konsep Wasatiyyah (Kesederhanaan) juga seharusnya dipratikkan oleh
masyarakat Islam Malaysia supaya dapat mewujudkan keamanan dan perpaduan dalam
kepelbagaian (unity in diversity) dalam kalangan rakyat Malaysia. Tuntasnya, jika semua pemimpin
dan rakyat baik di peringkat atasan mahupun di peringkat bawahan mempratikkan Islam sebagai
cara hidup, maka hubungan sosial, ekonomi dan politik yang stabil akan dapat diwujudkan secara
menyeluruh. Penghayatan Islam yang sebenar bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah begitu
penting bagi masyarakat majmuk di Malaysia dan pembangunan negara yang mapan.
Pengalaman sejarah Nabi Muhammad S.A.W. dalam pengurusan pelbagai etnik di Madinah
menjadi contoh sandaran kepada kerajaan Malaysia untuk membentuk negara yang maju, bersatu
padu dan makmur.

Rujukan

Al-Quran Kareem, Tafsir At-Tabrani, Tafsir Munir terbitan Pustaka Ghalwash, Madinah
Ybhg Tan Sri Dr.Abdullah bin Md Zin, Jurnal, Seminar Antarabangsa Penghayatan Wasatiyyah
Dalam Kerangka Maqasid Syariah Institut Wasatiyyah Malaysia, 8-10 April 2014
Shamsul Amri Baharuddin, Modul Kajian Etnik, Institut Kajian Etnik, UKM, 2012
Zuhairi Safuan, Jurnal Islam dan Hubungan Etnik, Institut Sosial Malaysia, 2013
https://maruwiahacis.files.wordpress.com/2013/12/bab-8-islam-dan-hubungan-etnik-b.pdf

Anda mungkin juga menyukai