Anda di halaman 1dari 12

Pendahuluan

Krisis kewangan global sekurang-kurangnya memberikan pengajaran kepada kita


bahawa amanah adalah punca utama menyebabkan keruntuhan institusi kewangan di
Amerika Syarikat. Berdasarkan laporan dan penilaian yang dibuat, krisis kewangan itu
bermula dengan idea gadai janji yang dijadikan asas memberikan pinjaman. Pinjaman
diberikan berdasarkan spekulasi bahawa harga hartanah akan menjadi lebih mahal, dan
penilaian ke atas pemimjam tidak banyak dipersoalkan dari aspek kelayakan membayar
balik dan prosedur kemampuan pendapatan pemohon. Kemudahan itu akhirnya
menjerat institusi kewangan sehingga meruntuhkan sistemnya walaupun pernah
disifatkan sebagai terbaik dan gagah pada suatu ketika.

Amanah merupakan tiang dan dasar bagi setiap gerak-geri dalam kehidupan manusia
sama ada dengan Allah mahupun sesama manusia. Manusia adalah khalifah Allah di
muka bumi, dan sentiasa mengharapkan sebuah kehidupan yang bahagia. Manusia
diamanahkan untuk beribadat dalam usahanya mengabdikan diri kepada Allah sebagai
pencipta dan bersikap jujur sesama manusia bagi menyempurnakan tanggungjawab
kemasyarakatan. Hanya orang yang jujur imannya kepada Allah yang menjaga
amanahnya. Lemahnya amanah bererti lemahnya iman seseorang. Justeru dalam
menegakkan keadilan, pemimpin perlu bersifat amanah, iaitu jangan sampai
terpengaruh oleh hubungan suka atau tidak suka kepada seseorang. Walaupun kita
sedang diselubungi rasa benci terhadap seseorang atau golongan atau kaum, kita harus
melaksanakan secara bijaksana dan adil. Demikian juga ketika dalam keadaan senang
dan gembira.

Hubungan antara manusia akan terjaga jika amanah terpelihara.Begitu juga dalam suatu
negara,jika pemerintah sebagai pemegang amanah rakyat menjaga dengan baik
amanahnya,maka negara akan damai. Apabila amanah diabaikan, maka rosak pula
hubungan antara sesama manusia. Allah s.w.t menyerahkan amanah kepada manusia.
Tujuannya adalah untuk mengangkat manusia kepada kedudukan yang lebih tinggi
daripada malaikat, selagi manusia mengembangkan amanah itu dengan baik.

Pada hakikatnya, semua aspek kehidupan manusia adalah amanah yang harus dipelihara
dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. Kerjaya, kuasa, pengetahuan,
pangkat, hutang, anak, harta benda dan bumi tempat kita hidup adalah amanah yang
diberikan oleh Allah kepada manusia. Oleh hal yang demikian itu, amanah itu harus kita
laksanakan dengan baik dan adil. Hukum menunaikan amanah adalah wajib, sedangkan
mengkhianatinya adalah haram.
Allah s.w.t berfiirman yang bermaksud: ”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan(menyuruh
kamu)apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan
adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat.” (An-Nisaa: 58)

Dalam mengulas ayat tersebut, Ibnu Taimiyah berseru: ”Wahai para pemimpin Muslim,
Allah memerintahkan kepada kamu supaya melaksanakan amanat dalam kepimpinan
kamu,tempatkanlah sesuatu pada tempat dan tuannya, jangan pernah mengambil
sesuatu kecuali Allah mengizinkannya, jangan berbuat zalim, berlaku adil adalah
keharusan dalam menetapkan keputusan hukum diantara manusia.Semua ini adalah
perintah Allah yang disampaikan dalam al-Quran dan sunnah. Jangan melanggarnya
kerana ia adalah berdosa.”

Banyak sekali amanah yang kita terima dan semua kelebihan yang ada pada kita adalah
amanah. Allah s.w.t hanya menyerahkan amanah kepada manusia kerana langit, bumi
dan gunung menolak memikulnya. Namun, dalam tubuh manusia terdapat syahwat,
maka mereka berbuat zalim dengan mengkhianati amanah itu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ”Sesungguhnya Kami telah mengemukakan


amanah kepada langit, bumi, dan gunung-gunung, maka semua enggan untuk memikul
amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh
manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Al-Ahzab: 72)

Dalam konteks yang lebih luas, perkataan amanah bukan sahaja mempunyai kaitan
rapat dengan hakikat tugas kekhalifahan manusia, iman dan akhlak tetapi juga penuh
dengan nilai-nilai etika kehidupan bermasyarakat dan pentadbiran negara. Allah s.w.t
menetapkan bahawa kepimpinan manusia merupakan satu bentuk amanah. Maka
kepercayaan untuk menguruskan alam ini perlulah difahami dan dilaksanakan
sepenuhnya oleh setiap insan Muslim. Oleh hal yang demikian, dalam usaha kita
membuat pilihan antara seorang pemimpin yang baik dengan pemimpin yang kurang
atau tidak baik, pertimbangan yang waras dan penuh tanggungjawab perlu diutamakan
demi kepentingan bangsa dan agama serta untuk kepentingan kehidupan generasi yang
akan datang.

Definisi Amanah

Secara etimologi, amanah atau amanat bererti ”kejujuran” atau “kepercayaan”.


Berdasarkan terminologinya, amanah adalah sesuatu yang diberikan kepada pihak lain
sehingga menimbulkan rasa aman bagi pemberinya. Sebaliknya, pihak penerima
memelihara amanah dengan baik

Mengikut Imam Ibnu Al Athir dalam kitabnya Al Nihayah fi Gharib al Hadith wa al Athar,
amanah membawa maksud ketaatan, ibadah, kepercayaan dan jaminan keselamatan.
Sedangkan pakar tafsir Ibnu Kathir dalam karya legendanya Tafsir Ibnu Kathir
menafsirkan pengertian amanah sebagai ketaatan, kewajiban-kewajiban, melaksanakan
perintah-perintah agama dan batasan-batasan hukum Islam. Syekh al Mubarakfuri
mendefinisikan amanah sebagai segala sesuatu yang mewajibkan seseorang yang
diberikan amanah untuk menunaikannya.

Manakala Syekh Salim ‘Id al Hilali menghuraikan amanah sebagai satu perintah
menyeluruh dan merangkumi segala hal berkaitan dengan perkara-perkara, yang
dengannya, seseorang bertanggungjawab menunaikannya atau dipercayainya. Amanah
dalam pengertian ini meliputi seluruh hak-hak Allah atas seseorang seperti perintah-
perintahNya yang wajib. Ia juga meliputi hak-hak orang lain, seperti benda-benda
jagaan yang mesti dijaga dan disampaikan kepada pemiliknya termasuklah yang
berkaitan dengan agama dan jiwa manusia. Orang yang diberi amanah wajib menjaga
dan menunaikan dengan sebaik-baiknya. Ia tidak boleh menyembunyikan, mengingkari
atau menggunakannya tanpa landasan hukum syarak.

Syekh Husain bin Abdul Aziz menjelaskan banyak perkara yang berkaitan dengan urusan
sama ada urusan dunia ataupun agama dapat dikategorikan sebagai amanah. Kaedah
dan asas hukumnya adalah segala sesuatu yang seseorang bertanggungjawab
mengenainya, dan hak-hak yang telah diperintahkan Allah agar ia menjaga dan
menunaikan amanah itu baik yang berkenaan dengan agama, jiwa manusia, akal, harta
dan maruah atau kehormatan diri.

Pemimpin yang ideal menurut Islam

Secara jelasnya, hari ini bukan senang untuk mencari pemimpin yang benar-benar
sempurna, yang disayangi, dipercayai, berkeperibadian mulia dan dapat dianggap
‘pemimpin sepanjang zaman’. Oleh yang demikian, dalam usaha kita membuat pilihan
antara seorang pemimpin yang baik dengan pemimpin yang kurang atau tidak baik,
pertimbangan yang waras dan penuh tanggungjawab perlu diutamakan demi
kepentingan bangsa dan agama bagi kehidupan generasi yang akan datang.
 
Al-Quran memberi petunjuk sama ada secara tersurat mahupun tersirat dalam pelbagai
aspek masalah kehidupan umat manusia, termasuk dalam menjawab soalan, ”Siapakah
yang layak kita pilih”. Di dalam al-Quran, ditemui dua sifat utama yang harus dimiliki
oleh seseorang yang memegang suatu jawatan yang berkaitan dengan hak-hak
masyarakat. Kedua perkara ini harus diberi perhatian dalam menentukan pilihan kita.
Hal ini dapat dilihat tentang ciri-ciri seorang pemimpin dalam masyarakat Islam
sebagaimana yang diisyaratkan di dalam a-Quran:
 
“Sesungguhnya orang yang paling baik engkau tugaskan adalah yang kuat lagi
dipercaya.”’ Demikian ucapan puteri Nabi Syuaib yang dirakamkan di dalam al-Quran,
surah Al-Qashash ayat 26.
 
Allah juga telah mengkhabarkan tentang lfrit dari golongan jin, yang menperlihatkan
kesanggupannya kepada Nabi Sulaiman untuk membawa singgahsana Balqis. Firman
Allah s.w.t yang bermaksud:
 
“Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgahsana itu kepadamu
sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu, sesungguhnya aku benar-benar kuat
untuk membawanya lagi dapat dipercayai.” (An-Naml: 39)
 
Demikian juga ketika Allah s.w.t mengisahkan tentang Nabi Yusuf a.s ketika beliau
berkata kepada raja: “….Jadikanlah aku Bendahari Negara (Mesir), sesungguhnya aku
adalah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan.” (Surah Yusuf: 55)
 
Ini kerana dengan kekuatannya, Nabi Yusuf mampu melakukan pekerjaan dan tugas-
tugas pentadbiran negara dengan baik. Dengan sifat amanahnya, beliau akan
meletakkan dirinya pada tempat semua perkara yang berkaitan dengan tugasnya. Malah
dengan kekuatannya pula, beliau sanggup menunaikan kewajipan yang telah
dipertanggungjawab ke atasnya. Pada hakikatnya tidak mudah terhimpun dalam diri
seseorang itu kedua sifat tersebut secara sempurna, tetapi kalau harus memilih, maka
pilihlah yang paling sedikit kekurangannya, dan lakukan pilihan setelah berusaha
bersungguh-sungguh untuk mendapatkan yang terbaik.
 
Al-Quran dan Hadis menetapkan empat sifat yang harus dipenuhi para Nabi bagi
memimpin umatnya. Pertama, Al-Siddiq, bermaksud melaksanakan kebenaran serta
kesungguhan dalam berucap dan berjuang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan
tugas. Sifat yang kedua, Al-Amanah atau kepercayaan, yang menjadikan ia memelihara
sebaik-baiknya apa yang diserahkan kepadanya, sama ada amanah daripada Allah s.w.t
mahupun orang yang dipimpinnya. Ketiga, Al-Fathanah, iaitu kecerdasan yang mampu
menghadapi dan menangani persoalan atau permasalahan semasa. Dan yang keempat,
Al-Tabligh, iaitu penyampaian yang jujur dan bertanggungjawab serta mengamalkan
sikap terbuka.

Kadangkala kelayakan yang menjadi syarat utama dalam pemilihan pemimpin itu
disalahertikan dengan berbagai-bagai cara dan gaya, sampai kekuatan itu ditukar
dengan kekayaan atau asas kekeluargaan dan sebagainya. Sedangkan kekuatan itu
bermaksud kemampuan dan kelayakan sekalipun tidak berharta dan sebagainya.

Banyak sekali pengkhianatan dan penipuan, wang rasuah sudah bermaharajalela di


tengah-tengah masyarakat. Tidak sedikit kesaksian bohong dilakukan oleh sesetengah
pihak, atau hujah palsu yang diutarakan oleh mereka yang mengatasnamakan agama
dan pelaksana undang-undang itu sendiri. Ini semua kerana anggota masyarakat hari ini
sudah hilang panduan agamanya, lebih tegas lagi tidak ada keimanan dan keikhlasannya
dengan Allah s.w.t. dan tidak sedikit pula orang yang selalu menunda-nunda untuk
menyampaikan hak orang lain. Semuanya ini adalah menyeleweng daripada amanah,
bahkan termasuk juga dalam kategori khianat.

Bagi memilih calon wakil rakyat atau pemimpin, agak sukar memilih yang mana satu
yang baik, cemerlang dan terbilang. Rasulullah s.a.w memberi erti amanah dalam
kepimpinan adalah kemampuan atau kepakaran melaksanakan tanggungjawab, bukan
berdasarkan ukuran kekayaan atau kelayakan material.

Contoh terbaik dalam memperihalkan aspek kepimpinan ini ialah menerusi cara yang
telah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Kepimpinan Rasulullah s.a.w berakar umbi dalam
jiwa masyarakat. Baginda s.a.w sayang dan kasih kepada umatnya, bukan hanya di
bibir, tetapi dipamerkan pada perbuatan serta dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari.
 
Kita boleh menetapkan pertimbangan dalam memilih pemimpin tapi ingatlah selalu
sabda Rasulullah yang bermaksud: “Siapa yang mengangkat seseorang untuk satu
jawatan yang berkaitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang
lebih baik, maka sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul, dan kaum Muslimin.”
(Riwayat al-Hakim) Sebab itu ketakwaan sahaja tidak mencukupi tanpa memiliki
kemampuan yang sebenar seperti apa yang berlaku ke atas Abu Zar Al-Ghifari r.a
(sahabat Rasulullah s.a.w yang sangat alim) yang pernah meminta jawatan daripada
Nabi. Abu Zar tidak melengkapi syarat kelayakan untuk menyandang jawatan dalam
pentadbiran walaupun ia seorang yang sangat warak. Dalam hal ini Nabi saw bersabda
yang bermaksud: “Aku lihat kamu adalah seorang yang lemah (tidak berupaya)
melaksanakan tugas dengan baik, aku menyayangimu seperti aku sayangi diriku
sendiri.” (Riwayat Abu Daud)
 
Justeru, Rasulullah s.a.w menolak permintaan Abu Zar kerana Baginda s.a.w mendapati
beliau lemah dan tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab tersebut meskipun
sebahagian ciri-ciri tersebut ada di dalam diri Abu Zar. Nabi s.a.w bersabda yang
bermaksud: ”Ya Abu Zar, aku lihat engkau seorang yang lemah dan aku suka engkau
mendapatkan sesuatu yang aku sendiri menyukainya. Janganlah engkau memimpin dua
orang dan janganlah engkau mengurus harta anak yatim.” (Riwayat Muslim)
 
Hal ini juga selaras dengan sabda Nabi lagi yang bermaksud: “Apabila amanah dipersia-
siakan, maka tunggulah masa kehancuran. Ketika ditanya “bagaimana mensia-
siakannya?” Nabi menjawab: Apabila jawatan pemimpin diserahkan kepada orang yang
tidak layak.”

Syarat utama untuk dilantik sebagai seorang pemimpin adalah kelayakan, iaitu
mempunyai ilmu, kekuatan fizikal, keterampilan bermasyarakat, wibawa, akhlak mulia,
mahir berkomunikasi, bakat dan takwa kepada Allah. Ini memandangkan berat dan
besarnya tangunggjawab yang akan dipikul kelak.
 
Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah telah mengisahkan tentang peristiwa Nabi
Ibrahim a.s diangkat menjadi pemimpin. Allah berfirman yang bermaksud: “Aku (Allah)
akan mengangkat engkau sebagai pemimpin”. Mendengar hal tersebut, Nabi Ibrahim a.s
telah memohon kepada Allah agar penghormatan yang diberikan kepadanya dikurniakan
juga kepada anak cucunya. Bagaimanapun, Allah s.wt telah menggariskan satu syarat
iaitu, “ Perjanjian – Ku ini tidak akan dikurniakan kepada orang-orang yang berbuat
aniaya.” Ini bermakna, walaupun kekuasaan itu dapat diwariskan secara keturunan, ia
hanya dibenarkan berdasarkan sifat-sifat terpuji, iaitu menegakkan keadilan.
 
Terdapat dua perkara asas yang sepatutnya difahami melalui ayat tersebut. Pertama,
kepimpinan menurut pandangan al-Quran bukan sekadar kontrak atau perjanjian sosial
antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara
pemimpin dengan Allah s.w.t. Dalam ertikata yang lain, ia merupakan satu amanah
daripada Allah s.w.t yang perlu ditunaikan sebaik-baik mungkin. Dan perkara kedua
ialah, kepimpinan itu adalah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu
tanggungjawab.
 
Imam Ahmad Ibnu Hanbal ketika ditanya tentang dua orang yang dicalonkan untuk
memimpin satu pasukan di mana yang pertama kuat tetapi bergelumang dengan dosa,
manakala yang kedua, kuat agamanya tetapi lemah perwatakan dirinya dalam
memimpin, maka beliau menjawab: “Orang pertama, dosanya ditanggung sendiri
sedangkan kekuatannya dapat menbina keutuhan negara dan kepentingan umat.
Manakala orang kedua yang kuat memegang teguh ajaran agamanya hanya
memberikan manafaat untuk dirinya sahaja, sedangkankan kelemahannya menjadi
petaka bagi orang yang dipimpinnya.” Ini kerana kepentingan untuk orang ramai lebih
diutamakan daripada kekurangan akhlak dan moralitinya.
 

Kepimpinan adalah amanah


 
Jawatan merupakan sebahagian amanah yang perlu diberi kepada orang yang sesuai
dan berkeupayaan menjalaninya. Pemimpin yang mementingkan diri sendiri tidak ada
dalam kamus kelayakan untuk dipilih sebagai pemimpin. Kepimpinan sebenarnya adalah
amanah, bukan kekuasaan. Kepimpinan adalah tugas dan tanggungjawab, bukan
keistimewaan.
 
Di dalam al-Quran, ada perintah menunaikan amanah kepada pemiliknya dan disusuli
dengan perintah menetapkan keputusan yang adil. Kemudian dilanjutkan dengan
perintah taat kepada Allah, Rasul dan pemerintah (ulil amri), yakni mereka yang
memiliki autoriti mengurus segala hal ehwal rakyat (al-Nisaa’: 48). Urutan huraian ayat
ini menjadi petunjuk bahawa jawatan serta autoriti yang menyertainya merupakan
amanah yang bersumber daripada Allah, menerusi penglibatan orang ramai dan
masyarakat.

Amanah adalah salah satu prinsip kepimpinan. Baginda s.a.w antara lain disebutkan
memiliki empat ciri kepimpinan, iaitu shiddiq - “jujur”, fathanah – “cerdas” dan
berpengetahuan”, amanah -“amat dipercayai”, dan tabligh-“menyampaikan”. Malah,
dalam sebuah hadith Nabi s.a.w, menyebut istilah amanah dan hubungkaitnya dengan
aspek kepimpinan yang bermaksud:
 
“Setiap kamu adalah pemimpin dan mestilah bertanggungjawab di atas kepimpinan
kamu. Seorang pemimpin (ketua) yang memimpin orang ramai adalah
bertanggung jawab di atas kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dan
bertanggungjawab dalam urusan rumah tangga suaminya. Anak bertanggungjawab
ke atas urusan ibu bapanya. Hamba bertanggungjawab atas harta tuannya.
Ketahuilah! Sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab
ke atas kepemimpinan kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Dalam satu peristiwa di Saqifah Bani Saidah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, Saidina
Abu Bakar pada awalnya tidaklah begitu berminat untuk dilantik sebagai khalifah.
Ditinjau dari segi kelayakan, maka Saidina Abu Bakar adalah calon yang paling sesuai
dan rapat pula dengan Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya isyarat sudah diberikan oleh Rasulullah ketika melantik Abu Bakar
menjadi imam sewaktu baginda s.a.w sakit. Betapa tidak minatnya Abu Bakar untuk
dilantik sebagai pemimpin umat Islam dilihat ketika ia menyampaikan pidato
pelantikannya. Abu Bakar menyatakan:
 
“Aku telah kamu angkat sebagai pemimpin kamu padahal sebenarnya aku
membencinya. Demi Allah, sesungguhnya aku berharap agar jawatan ini dipegang oleh
salah seorang di antara kamu. Jika kamu membebani tugas kepadaku sebagaimana
kepada Rasulullah s.a.w, maka aku tidak sanggup memikulnya kerana Rasulullah s.a.w
seorang hamba yang diutamakan oleh Allah dengan wahyu dan dijamin keselamatannya.
Sedangkan aku hanyalah manusia biasa yang tidak lebih baik daripada kamu. Maka
bantulah aku dan taatilah aku jika aku di jalan yang benar. Tetapi jika aku menyimpang,
maka luruskanlah aku.”
 
Jelas bahawa nilai asas kepimpinan itu adalah amanah yang mengandungi prinsip-prinsip
kebertanggungjawaban. Iktibar daripada kisah Nabi Harun ketika diserah sementara
untuk memimpin Bani Israel (ketika Nabi Musa a.s berkhalwat di Bukit Sinai) disebut
oleh al-Quran sebagai seorang khalifah. Sebagai seorang khalifah ia memegang amanah
yang dasar hukumnya adalah penugasan dan pesan-pesan Nabi Musa sendiri. Ketika
Nabi Musa kembali melihat sebahagian umatnya telah menyeleweng dengan
menyembah patung lembu emas, lantas Nabi Musa marah dan meminta Nabi Harun
bertanggungjawab mengenainya.
 
Musa berkata, “Hai Harun, apa yang mencegah kamu ketika kamu melihat
mereka (umat Bani Israel) telah sesat, sehingga kamu telah (sengaja) melanggar
perintahku?” Harun menjawab: “Hai putera ibuku, jangan lah kamu pegang
janggutku dan jangan (pula) kepalaku: sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu
akan berkata (kepadaku: kamu telah memecah Bani Israel dan kamu tidak
memelihara amanatku” (Surah Taha: 92-94).
 

Di dalam kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal jilid 3 halaman 154, ada sebuah hadis
Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tidak ada iman (yang sempurna) bagi orang yang sama
sekali tidak ada kepercayaan (beramanah) baginya. Dan tidak ada agama (yang
sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak menepati janji baginya.” (Riwayat Ahmad
dan Baihaqi)
Namun demikian, hari ini terdapat di kalangan mereka yang memegang tampok
kekuasaan masih diselubungi dengan amalan rasuah dan nepotisme. Walaupun undang-
undang sudah ditegakkan dan ada yang sudah dijatuhkan hukuman namun ia tidak
sekali-kali menakutkan mereka. Mereka tidak mahu mempedulikan amanah itu, dan
menyimpang daripada kebenaran.

Jika keadaan sudah seperti ini, maka di manakah yang namanya `takut’ kepada Allah?
Di manakah letaknya mewaspadai diri terhadap Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan
yang nyata? Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 42 – 43, yang bermaksud:

“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa
yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi
tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka)
terbelalak. Mereka datang bergegas-gegas memenuhi panggilan dengan
mengangkat kepalanya sedang mata tidak berkedip-kedip dan hati mereka
kosong”.

Janganlah kita termasuk golongan orang-orang yang disifatkan oleh Allah dengan
firman-Nya menerusi surah al-Hijr ayat 3 yang bermaksud: “Biarkanlah mereka (di
dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong),
maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka).”

Bagi mereka yang teringin sangat untuk mendapatkan jawatan, mereka perlu diingati
dengan beberapa hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak ada seorang pemimpin
yang menjaga urusan umat Islam sekiranya dia mati sedangkan dia ada mengkhianati
mereka melainkan Allah s.w.t haramkan ke atasnya syurga (Riwayat Syaikhan).
 
Dan lagi sabda baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang ditugaskan dengan sebarang
kerja yang dibayar gajinya tetapi masih mendapatkan punca lain maka itulah gulul
(perbuatan penipuan dan samun atau risywah) namanya.” Dalam sebuah hadis yang
lain, baginda bersabda yang bermaksud “…..kita tidak akan melantik untuk memegang
jawatan itu , mereka yang meminta (ingin) jawatan tersebut (apa lagi berebut-rebut)
untuk mendapatkannya.” (Riwayat Syaikhan)
 
Rasuah dan mengampu
 
Dalam negara kita, untuk menjana keutuhan Islam dan kekuatan umat, adalah menjadi
tanggungjawab orang yang memegang amanah kuasa dan pangkat. Jika kalangan umat
Islam yang diberi kuasa dan pangkat terbukti kotor dengan rasuah, maka umat lain di
negara ini akan melihat dan menilai betapa kepimpinan negara itu tidak memiliki
kredibiliti untuk dipertanggungjawab sebagai pemegang amanah bangsa.
 
Hal demikian, dengan sendirinya mencemar Islam. Mereka bukan sahaja pengkhianat
kepada rakyat secara umumnya, malah dengan kelakuan jahat seperti rasuah, suka
mengampu, mereka telah mengakibatkan agama Islam juga tercela. Umat Islam harus
menyokong pemimpin yang tegas bertekad untuk membasmi pengamal rasuah tanpa
mengira siapa pun mereka itu.
 
Sikap suka mengampu dan melakukan rasuah sering dilihat muncul daripada kalangan
ahli politik dan kehakiman disebabkan keserakahan mereka terhadap kuasa sebagai alat
kepentingan diri. Mereka melihat kerusi jawatan politik atau jawatan yang berkaitan
dengan bidang kehakiman itu sebagai ‘kerusi emas’ yang memberikan keseronokan
kuasa, kekayaan dan memiliki kekebalan untuk ‘berkhianat’.
 
Umat Islam juga harus berani menegur dan membongkar segala penyelewengan yang
berunsur rasuah. Ini adalah jihad sosial yang sangat utama demi keadilan yang dituntut
oleh Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w memberi amaran keras dalam sabda baginda yang
bermaksud:
 
“Pemberi rasuah dan penerima rasuah masuk neraka.”
 
Bagi manusia beriman, hadis di atas cukup menakutkan. Bagaimanapun, bagi mereka
yang imannya sudah diselaputi oleh keserakahan dunia, sabda Rasulullah s.a.w itu tidak
akan menimbulkan sebarang ketakutan dalam hati nurani mereka.
 
Realiti hari ini, ramai di kalangan pelahap kuasa dan pangkat menonjol diri untuk
merebut kuasa dan pangkat. Di dalam masyarakat yang mana amalan rasuah dan
ampu-mengampu tumbuh subur dan membiak, bukan tanggungjawab melalui kuasa dan
pangkat yang diperhitungkan tetapi keuntungan yang diberi oleh kuasa dan pangkat.
 
Hal ini dapat dikaitkan dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa sahaja yang telah kami lantik untuk memegang sesuatu jawatan atau
kerja dan kami telah tetapkan pendapatannya atau gaji maka apabila ia mengambil
lebih dari apa yang ditetapkan itu dikira sebagai satu penipuan dan rasuah.”
 
Dalam satu kisah pernah diceritakan kepada Ibnu Umar bahawa sekumpulan manusia
apabila berdepan dengan pembesar-pembesar mereka melahirkan kata pujian atau
sanjungan dan bila mereka berpaling (keluar) mereka bercakap lain. Kata Ibnu Umar,
“kami kira sikap tersebut adalah bermuka-muka (nifaq).” Dalam satu hadisnya yang lain,
Nabi s.a.w memberi arahan supaya mencurahkan tanah ke atas muka mereka yang suka
mengampu (Maksud Hadis Riwayat Muslim).
 
Amalan rasuah atau ampu-mengampu menandakan seseorang itu kurang iman dan
ketaqwaannya terhadap Allah s.w.t. Walaupun diketahuinya rasuah itu salah atau tabiat
suka mengampu itu menyalahi syariat tetapi ia tetap dilakukan dengan alasan-alasan
tertentu. Selain daripada itu, faktor-faktor seperti suka menjalani hidup melebihi
pendapatan, suka hidup mewah, suka berjudi dan berhutang menyebabkan seseorang
itu terjerumus ke lembah perbuatan yang amat hina dan jijik itu.
 
Jelas bahawa faktor utama berlakunya perlakuan tersebut adalah disebabkan oleh sikap
ego, mementingkan kekayaan, status dan kuasa daripada pertimbangan moral, akhlak
dan keilmuan. Ini menyebabkab timbulnya sifat-sifat mementingkan diri, tamak dan
berlumba-lumba mencari kedudukan, keistimewaan serta kemewahan hidup.
 
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
 
“Sesiapa yang memberi syafaat (menolong) saudaranya dengan sesuatu syafaat
(pertolongan), dan saudaranya itu memberikan kepadanya ganjaran atau hadiah
dan ia menerimanya, maka ia telah membuka satu pintu daripada pintu-pintu
riba.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
 
 
Dalam hadis di atas, Nabi Muhamad s.a.w menumpukan kepada perbuatan memberi
syafaat atau pertolongan, namun ia dibalas dengan pemberian hadiah di atas
pertolongan tersebut. Nabi Muhamad s.a.w membuat perbandingan seolah-olah apa
yang diterimanya itu seperti membuka ruang kepada riba. Riba merupakan perbuatan
keji dan haram di sisi agama. Namun begitu, hakikat dosa dan azab sebenar Allah
sahaja yang lebih mengetahuinya.
 
Dalam konteks yang lebih khusus dapat ditumpukan kepada seseorang yang mempunyi
pengaruh atau jawatan yang tinggi atau yang mempunyai kuasa atau mana-mana
pegawai yang berurusan dengan sesiapa sahaja serta ia didatangi oleh orang lain atau
masyarakat untuk meminta pertolongan daripadanya sedangkan pertolongan tersebut
merupakan tugas atau tanggungjawab yang sememangnya ia mesti ditunaikan.
 
Penutup
 
Amanah mempunyai hubungan yang amat rapat dengan integriti kepimpimpinan. Tanpa
amanah, seseorang pemimpin akan dilihat tidak berintegiri. Pemimpin yang tidak
berintegriti bukan sahaja menghancurkan masyarakat, malah memperok-perandakan
negara. Pengalaman tragis kepimpinan Marcos memberikan kesedaran bahawa tanpa
integiri, jasanya selama lebih 20 tahun memerintah Filipina diselubungi bayangan tragis.
Berkelana dan terusir jauh dari tanah kelahirannya. Begitu juga dengan kehancuran
sistem kewangan Amerika Syarikat, tanpa amanah menyebabkan kegagahan Lehman
Brother selama lebih 150 tahun tersungkur. Sumbangannya dalam membangunkan
ekonomi dan pasaran kewangan Amerika Syarikat dihancurkan oleh sikap rakus
pentadbir dan pengurus yang hanya berspekulasi dengan gadai janji. Hari ini, bukan
sahaja Amerika Syarikat mengalami kemelesetan ekonomi, malah seluruh dunia turut
terjejas. Ramai manusia menjadi semakin miskin dan dianggarkan lebih 36 juta manusia
kehilangan pekerjaan

Anda mungkin juga menyukai