Anda di halaman 1dari 11

Tingkatkan peranan PIBG

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?
y=2007&dt=0327&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=r
e_01.htm&arc=hive
Oleh: MOHAMAD SOFEE RAZAK

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah organ penting kepada sesebuah institusi
pendidikan rendah dan menengah. Fungsi dan tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar,
ke arah meningkatkan akses, ekuiti, kecekapan, keberkesanan dan kualiti pendidikan negara yang
lebih komprehensif, berwibawa serta bertaraf dunia.

Objektif dan visi PIBG hendaklah selari dengan Misi Nasional; Dasar Pembangunan Negara;
Falsafah Pendidikan Negara (FDN); Dasar Pendidikan Negara (DPN); Pelan Integriti Nasional
(PIN); dan prinsip Islam Hadhari.

Akta Pendidikan 1961 memperuntukkan bahawa PIBG adalah entiti utama dalam sesebuah
sekolah dan asas penubuhannya termaktub dalam akta tersebut. PIBG berperanan sebagai rakan
kongsi sekolah dalam menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul. Badan ini juga
bertindak sebagai wadah, forum dan khidmat bakti untuk kemajuan serta pembangunan pelajar
dan sekolah.

Ini turut meliputi sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah, akademik, disiplin, sistem
pemantauan dan penilaian. Penekanan kepada kurikulum dan pentaksiran amat penting,
termasuklah pemantauan maklumat dan komunikasi, penyelidikan dan pembangunan, kewangan
serta infrastruktur sekolah.

Perlembagaan PIBG menetapkan bahawa keahlian badan ini hendaklah terdiri daripada setiap
guru dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah berkenaan. Institusi ini boleh bertindak
melengkapkan prasarana keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek makmal komputer;
penyediaaan akses jalur lebar SchoolNet ke sekolah; perpustakaan yang lengkap; program TV
Pendidikan; pusat sumber yang mapan; kemudahan sukan dan rekreasi yang mantap dan
berkesan; serta pelbagai inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lain.

Ini termasuklah kemudahan akses internet, paparan kristal cecair (LCD), kafe siber di sekolah
dan lain-lain lagi yang mampu menyokong aspirasi kecemerlangan sekolah.

Inilah agenda dan misi yang sepatutnya menjadi matlamat serta perjuangan barisan kepimpinan
dan pengurusan PIBG. Dan bukannya menjadikan PIBG sebagai platform politik murahan,
gelanggang mengejar nama dan pangkat, medan mesyuarat ala kedai kopi atau perebutan jawatan
demi kepentingan diri sendiri dan mempunyai agenda tersembunyi yang tidak memberi sebarang
manfaat dan kebaikan kepada pembangunan sekolah dan masa hadapan pelajar.
Barisan kepimpinan PIBG juga hendaklah menginsafi dan dengan penuh tanggungjawab
melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul di bahu mereka.

PIBG yang bertindak sebagai entiti utama, membolehkan kelompok ibu bapa dan guru berkongsi
dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai pendidikan semasa dan method meningkatkan
lagi prestasi akademik dan kokurikulum pelajar. Pembangunan modal insan perlu dengan
tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri pelajar.

Ini bermatlamat melahirkan produk generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang.
Hasilnya produk pelajar tersebut kompeten dalam sains dan teknologi, inovatif, mampu bersaing
di pasaran global, berdikari, kreatif serta kebolehpasaran dalam apa jua bidang dan jurusan yang
diceburi mereka pada masa akan datang.

Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM) baru- baru ini sekali lagi menguji tahap prestasi sekolah dan keberkesanan fungsi
kepimpinan dan pengurusan PIBG. Badan ini sedikit sebanyak memberi impak positif melalui
program dan aktiviti yang dianjurkan.

PIBG juga dilihat mampu bertindak sebagai peneraju serta pencetus kejayaan pelajar di dalam
peperiksaan awam yang diduduki, di samping faktor dalaman dan luaran lain yang menjadi asas
kepada kejayaan mereka. Persoalannya ialah sejauhmanakah PIBG telah berjaya menentukan
hala tuju dan misi sekolah agar terus berada pada landasan yang betul.

Adakah matlamat, piawaian dan penanda aras yang ditetapkan, berjaya dicapai oleh PIBG dan
sekolah ke arah melahirkan generasi yang memiliki ciri-ciri pemikiran dan tindakan glokal,
patriotik, berdisiplin, beradab dan beretika, menjunjung tinggi warisan budaya dan kesenian
bangsa.

Bagi sekolah yang peratusan kelulusan masih rendah atau gagal mengekal prestasi
kecemerlangan sekolah, maka PIBG dan pihak sekolah perlu melakukan sesuatu bagi menaikkan
imej, identiti dan menjaga nama baik sekolah agar tidak dipandang rendah.

Mungkin lebih banyak kelas tambahan perlu diadakan dengan memanggil guru pakar memberi
latihan serta memperbanyakkan kursus motivasi kepada pelajar yang lemah dan kurang potensi.
Medium pembelajaran berteraskan akses Internet hendaklah digalakkan kerana pelajar boleh
mengaplikasikannya sebagai sumber rujukan tambahan yang tiada di dalam bilik darjah, buku
teks dan rujukan lain.

Banyak portal dan blog pendidikan yang berfaedah kepada pelajar dan guru untuk diterokai,
sama ada produk tempatan ataupun luar negara. Pelajar juga mudah menyerap serta memahami
apa yang telah mereka pelajari menerusi program multimedia dan internet yang membolehkan
mereka mengulang kaji pada bila-bila masa sahaja. Mereka juga boleh berinteraksi dan
berbincang berkenaan pembelajaran dengan rakan-rakan dari sekolah yang sama atau berlainan
melalui medium Internet. Ini menjadikan suasana dan realiti pembelajaran menjadi lebih
menarik, moden dan mesra IT. Pembelajaran pintar ini dapat diaplikasikan melalui medium e-
mel, chatting, blog dan sebagainya dari bilik masing-masing atau di kafe siber sekolah.
Oleh yang demikian, PIBG perlu memikirkan tentang perlunya penyediaan kemudahan kafe
siber di setiap sekolah bagi membolehkan pelajar dan guru berinteraksi sesama mereka di luar
waktu persekolahan. PIBG juga hendaklah mampu memandu sekolah sebaris dengan kelompok
sekolah bestari dan berpotensi dikategorikan di dalam sekolah kluster atau Kelompok Sekolah
Cemerlang (KSC) seperti yang diumumkan baru-baru ini. Peruntukan sebanyak 300 buah
sekolah kluster seluruh negara perlu diisi dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Manakala Sekolah Bestari pula yang diperkenalkan pada tahun 1999 sebagai menyokong aspirasi
Wawasan 2020 dalam mewujudkan sebuah generasi baru modal insan yang pemikir serta celik
teknologi bagi menghadapi cabaran era maklumat serta ekonomi yang berasaskan pengetahuan
global menerusi aplikasi utama MSC Malaysia.

Ini adalah penanda aras dan objektif kecemerlangan yang perlu diusahakan oleh sesebuah
sekolah yang mahu ke hadapan dan berdaya saing.

Di samping itu juga, PIBG perlu mencari formula mujarab dan berkesan bagi menangani
masalah sosial pelajar sekolah yang semakin parah dan serius. Masalah merokok, penagihan
dadah dan pornografi, seks bebas dan pelbagai bentuk jenayah lain seperti mencuri, mencabul,
membuli dan sebagainya hendaklah dibanteras secara bijak dan berhemah agar perkara ini tidak
terus berlarutan dan menjadi barah dalam dunia pendidikan.

Peningkatan dan pertambahan jenayah dan masalah sosial ini amat membimbangkan, maka
PIBG hendaklah segera bertindak dan mencari jalan penyelesaian yang positif. Satu pelan
bertindak yang holistik dan realistik diperlukan agar perubahan dan pembaharuan dapat
dilakukan melalui kaedah, formula dan method terbaik dan paling berkesan. Untuk itu,
penglibatan dan kerjasama semua pihak perlu bagi mengatasi masalah.

Inisiatif ini perlu digemblengkan sewajarnya dengan bantuan pihak kerajaan, ulama, ahli politik,
tokoh pendidikan, NGO, majlis alumni sekolah, pihak swasta dan masyarakat seluruhnya.

Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, menuntut PIBG turun
padang merencanakan teras strategi PIPP ke arah membina negara bangsa; membangunkan
modal insan; memperkasakan sekolah kebangsaan; merapatkan jurang pendidikan;
memartabatkan profesion keguruan; dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.
Sekiranya semua elemen ini berjaya diterjemahkan sebaiknya, maka dinamika dan keanjalan
sistem pendidikan mapan kita akan dicontohi dan dikagumi dunia.

Pelan ini hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, cekap, berhikmah, telus, amanah
dan bertanggungjawab. Langkah ini sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Misi Nasional
dan penekanan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang menetapkan pembangunan
modal insan yang memiliki minda kelas pertama. Gagasan dan misi besar ini tidak akan berjaya,
sehinggalah subjek sasaran atau pelajar digilap dengan prinsip agama dan kemanusiaan.

Di samping itu, pihak PIBG seharusnya bijak mengadakan jaringan dan kerjasama bijak dengan
institusi pendidikan terbaik dan cemerlang tempatan dan luar negara seperti Singapura, Amerika
Syarikat dan England. Perkongsian pintar maklumat dan teknologi pendidikan terkini perlu
diadakan agar sistem pendidikan tempatan lebih efisien, sofistikated, kompeten dan tidak
ketinggalan zaman.

Melalui perkongsian pintar ini maka medan pendidikan di negara kita menjadi lebih terbuka,
seimbang dan seiring dengan peredaran zaman. Melalui kepimpinan dan pentadbiran PIBG yang
cekap dan profesional, maka tidak mustahil sistem pendidikan di negara kita bakal berada dalam
keadaan yang harmoni, kreatif, inovatif, akomodatif, moden serta ekonomik sepanjang masa.
http://pkukmweb.ukm.my/~istilah/perlembagaan.htm

PERLEMBAGAAN PIBG
PERLEMBAGAAN DAN KAEDAH-KAEDAH PERSATUAN
PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU

KAEDAH A
Nama dan alamat
KAEDAH B
Maksud-maksud dan tujuan. Tujuan Persatuan.
1. Maksud persatuan ialah :
a) untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan
murid-murid di sekolah atau institusi pelajaran itu.
b) Untuk membantu dan menambah usaha sekolah atau institusi pelajaran pada
memenuhi kehendak-kehendak dan keperluan-keperluan kebendaan murid-murid
dalam kegiatan-kegiatan mereka.
c) Untuk membolehkan ibu bapa dan guru-guru di sekolah atau institusi pelajaran itu
bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pelajaran pada amnya, dan
d) Untuk memberi peluang kepada guru-guru dan ibu bapa di sekolah atau institusi
pelajaran itu berunding antara satu dengan lain berkenaan dengan cara memperbaiki
taraf pelajaran anak-anak mereka pada amnya.
2. Tujuan-tujuan persatuan ialah
a) untuk menentukan supaya murid-murid di sekolah atau institusi pelajaran itu
memperolehi faedah maksimum daripada kemudahan-kemudahan pelajaran mereka.
b) Untuk menentukan supaya murid-murid di dalamnya mempunyai sumber-sumber
yang perlu untuk membuat kerja-kerja sekolah mereka baik di rumah atau di sekolah
atau institusi pelajaran itu, dan
c) Untuk mewujudkan alam sekeliling yang sebaik-baiknya bagi sekolah supaya
membolehkan murid-murid mencapai perkembangan kerohanian, keakhlakan, otak
dan jasmani.

KAEDAH C
Tempat diadakan mesyuarat.
KAEDAH D
1. Keanggotaan

Tiap-tiap ibu bapa dan guru guru adalah diiktiraf sebagai ahli persatuan ini.

2. Jawatan Kuasa
i) Satu Jawatan Kuasa mengandungi pegawai berikut hendaklah dilantik di mesyuarat
agung tahunan :
a. Pengerusi
b. Timbalan Pengerusi
c. Setiausaha
d. Bendahari
e. Tujuh orang Ahli Jawatan Kuasa.
ii) Nama-nama untuk jawatan di atas hendaklah dicadangkan dan disokong dan
pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam mesyuarat agung
tahunan. Semua anggota AJK boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.
iii) Nama-nama kekosongan yang berlaku dalam Jawatan Kuasa hendaklah dipenuhi oleh
Jawatan Kuasa dengan melantik seorang ahli biasa yang akan memegang jawatan
hingga Mesyuarat Agung Tahunan yang kan datang.
3. Tugas-tugas Jawatan Kuasa
i) Tugas Jawatan Kuasa ialah mengelolakan dan mengatur kegiatan-kegiatan persatuan
dan membuat keputusan atas perkara-perkara yang menyentuh perjalanan persatuan
dengan tidak terkeluar dari dasar umum yang ditetapkan oleh mesyuarat agung.
ii) Jawatan Kuasa hendaklah mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 3
bulan dan 14 hari pengumuman hendaklah diberikan kepada ahli-ahli.
iii) Pengerusi dengan bersendirian, atau tidak kurang daripada tiga orang ahli Jawatan
Kuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatan Kuasa
pada bila-bila masa.
4. Tugas  Jawatan Kuasa PIBG

i) Pengerusi hendaklah menjadi pengerusi semua mesyuarat agong dan semua


mesyuarat jawatankuasa dan bertanggung jawab atas kesempurnaan perjalanan semua
mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menanda tangani minit-
minit mesyuarat apabila telah diluluskan. Dalam masa ketiadaannya Naib Pengerusi
hendaklah memangku jawatannya.
ii) Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan urusan persatuan menurut
perlembagaannya, dan melaksanakan arahan-arahan mesyuarat agung dan mesyuarat
jawatan kuasa. Ia hendaklah menyimpan minit-minit semua mesyuarat, dan
menguruskan semua hal mesyuarat, dan menyimpan semua buku-buku, surat-surat
dan lain-lain rekod.Ia hendaklah menyediakan laporan unutk dibentangkan, kepada
mesyuarat agung dan minit-minit yang berkenaan dengannya.
iii) Bendahari adalah bertanggung jawab berkenaan hal semua kewangan persatuan. Ia
hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan,
dan bertanggung jawab diatas kebetulannya. Ia hendaklah menyediakan penyata kira-
kira bagi tiap-tiap tahun, kewangan sebelum satu haribulan Febuari dan serahkan
untuk diodit.

KAEDAH E
Pendapatan
i) Persatuan hendaklah menubuhkan satu kumupulan wang ke dalam mana yang hendak
dibayar semua derma atau sumbangan daripada mana-mana ahli terhadap tujuan-
tujuan persatuan, dan kumpulan wang itu hendaklah diuruskan oleh persatuan secara
telus.

KAEDAH F
Kuasa bagi membelanjakan wang persatuan
i) Kuasa untuk membelanjakan wang persatuan ialah Jawatan Kuasa Persatuan dengan
syarat ianya digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah bagi menjalankan
tujuan-tujuan persatuan.
ii) Bendahari dibolehkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada $100.00 (Satu
Ratus Ringgit Sahaja) pada sesuatu masa dan memasukkan semua wang yang lain ke
dalam sebuah bank yang diluluskan oleh Jawatan Kuasa. Akaun bank itu
HENDAKLAH di atas nama persatuan.
iii) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari Akaun Persatuan hendaklah di
tanda tangani bersama oleh Bendahari, Pengerusi  dan Setiausaha
iv) Tahun kewangan persatuan ialah 1hb. Januari hingga 31 hb. Disember.
v) Semua urusan keewangan hendaklah di lakukan secara telus. Urusan pembelian
melebihi RM500.00  hendaklah mendapat kelulusan Majlis Jawatan Kuasa PIBG
terlebih dahulu sebelum pesanan pembelian di keluarkan.
KAEDAH G
Penyimpan akaun-akaun pendapatan dan Perbelanjaan Persatuan.
i) Akaun persatuan hendaklah diaudit pada tiap-tiap tahun oleh dua orang yang tidak
menjadi ahi Jawatan Kuasa dan mereka hendaklah dicalun oleh ahli-ahli persatuan
dalam mesyuarat agung tahunan.
ii) Penyata kira-kira yang telah diaudit berserta salinan penyata akaun bank hendaklah
dikemukakan untuk kelulusan mesyuarat agung tahunan yang berikutan.
iii) Satu salinan penyata kira-kira yang telah di odit dan diluluskan oleh mesyuarat agung
tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar Sekolah, Negeri.
KAEDAH H
Koram
i) Koram bagi mesyuarat agung hendaklah tidak kurang daripada 24 orang ahli
(Bilangannya mestilah tidak kurang daripada 3 kali jumlah bilangan ahli-ahli Jawatan
Kuasa).
ii) Koram bagi mesyuarat Jawatan Kuasa hendaklah sebanyak 2/3 bilangan ahli-ahli
Jawatan Kuasa.

KAEDAH I
Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar
i) Kuasa persatuan hendaklah terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli.
ii) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diadakan pada tiap-tiap tahun sebelum
akhir bulan Mei.
iii) Suatu Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah diadakan :
a. Apabila difikirkan perlu oleh Jawatan Kuasa.
b. Atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya 24 orang ahli persatuan
dan mesyuarat itu hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh
penerimaan permintaan tersebut.
ii) sekurang-kurangnya 14 hari notis hendaklah diberikan secara bertulis untuk
mengadakan mesyuarat agung tahunan dan sekurang-kurangnya tujuh hari notis
bertulis bagi mesyuarat agung tergempar.
iii) Urusan mesyuarat agung tahunan ialah menerima laporan Jawatan Kuasa dan
Penyata kira-kira yang telah diodit bagi tahun yang lalu, memilih pemegang-
pemegang jawatan dan menimbangkan lain-lain perkara yang menyentuh
kemajuan dan kebajikan persatuan.
iv) Urusan mesyuarat agung tergempar hendaklah dihadkan hanya kepada maksud
mesyuarat itu diadakan.

KAEDAH J
Pindaan Perlembagaan Persatuan
i) Perlembagaan Persatuan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan
keputusan mesyuarat agung tahunan. Perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan
kepada perlembagaan hanya berkuatkuasa mulai daripada tarikh perubahan-
perubahan dan pindaan-pindaan itu dibenarkan oleh Pendaftar Sekolah, Negeri.

KAEDAH K
Harta dan Amanah
i) Persatuan adalah mempunyai kuasa untuk mempunyai, mengguna dan
melupuskan apa-apa harta alih atau harta alih yang mana pada pendapatnya dikira
kan memudahkan ia menjalankan kuasa-kuasa dan kewajipan-kewajipannya.
ii) Empat orang pemegang amanah hendaklah dilantik di mesyuarat agung tahunan
dan mereka kan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh persatuan. Kepada
mereka akan diamanahkan semua harta takalih kepunyaan persatuan dan mereka
hendaklah menguruskan harta-harta itu mengikut cara yang diperintahkan oleh
Jawatan Kuasa.
iii) Pemegang amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau meukar harta
kepunyaan persatuan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh
mesyuarat agung ahli-ahli.
iv) Seseorang pemegang amanah boleh dilucutkan dari jawatannya oleh Jawatan
Kuasa oleh sebab uzur kerana penyakit tidak siuman, tidak berada di dalam negeri
atau kerana lain sebab yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugasnya
atau pekerjaannya tidak memuaskan. Jika berlaku kematian, letakkan jawatan atau
pembuangan bagi seseorang pemegang amanah sebelum mesyuarat agung
tahunan maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Jawatan Kuasa sehingga
pemegang amanah yang baharu dilantik di dalam mesyuarat agung.
v) Pemegang amanah yang dilucutkan daripada jawatannya mengikut perlembagaan
ini, berhak merayu kepada mesyuarat agung yang berkuasa memberi keputusan
yang muktamat.

KAEDAH L   
Larangan
i) Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasa kepada perkara-perkara yang
berkaitan dengan pekerjaan dan syarat-syarat perkhidmatan guru-guru dan kakitangan
lain di sekolah
ii) Persatuan tidak boleh menjadi instrumen bagi menyelesaikan pertikaian atau perkara-
perkara lain yang bersangkutan di antara persatuan dan Guru Besar / Pengetua atau
kakitangan sekolah atau Jabatan Pelajaran atau Kementerian Pelajaran atau Kerajaan
Negeri atau Persekutuan.

KAEDAH M
Taksiran
i) Sekiranya timbul sesuatu yang tidak jelas mengenai taksiran dalam perlembagaan ini,
perkara itu hendaklah dirujukkan kepada mesyuarat Jawatan Kuasa. Keputusan
Jawatan Kuasa mengenai perkara tersebut adalah muktamad.

KAEDAH N
Pembubaran
i) Persatuan ini tidak boleh dibubarkan melainkan dengan kelulusan bertulis daripada
Pendaftar Sekolah, Negeri. Segala harta alih atau takalih tidak boleh dilupuskan
melainkan dengan kelulusan Pendaftar Sekolah, Negeri.

Anda mungkin juga menyukai