Anda di halaman 1dari 10

ISU BEBAN TUGAS GURU

Sebagai seorang guru, pelbagai perkara yang perlu dititik beratkan walaupun ada
kalanya, kebajikan diri perlu diketepikan. Namun, sebagai seorang guru yang
memegang amanah yang telah diberikan ini, guru ini sanggup berkorban wang, masa,
tenaga dan sebagainya untuk kepentingan sekolah terutamanya untuk murid-murid.
Hari berganti hari, peredaran zaman membuatkan tugas guru semakin bertambah
daripada pelbagai aspek sebagai contoh, mengisi data markah murid.

Selain itu, guru jugalah yang berperanan dan bergerak aktif apabila hari sukan,
sambutan-sambutan hari yang penting, penyampaian hadiah dan lain-lain. Profesion
perguruan bukanlah sesuatu pekerjaan yang mudah dan hanya kemahiran mengajar
sahaja seperti tanggapan sebilangan masyarakat, namun seorang guru itu, perlu
mendalami pelbagai kemahiran dalam bidang pendidikan dan kehidupan.

Pihak guru pula saban hari dibebani dengan pelbagai tugas yang semakin mencabar.
Pembangunan profesionalisme diri guru sentiasa dituntut, komitmen guru sentiasa
dipertikaikan sementara sebaliknya pengorbanan guru kelihatan agak kurang
ditonjolkan oleh masyarakat. Bagi saya, Kementerian Pelajaran Malaysia telah
melakukan pelbagai usaha dengan mengadakan pelbagai inisiatif daripada segi
kenaikan pangkat dan gaji serta elaun.

Isu pendidikan di dalam negara sebenarnya sentiasa panas dan membara. Isu tentang
guru juga sering kali diperkatakan, dibincangkan dari parlimen hinggalah ke kedai buku.
Persepsi serta tanggapan terhadap kerjaya guru pada mata masyarakat amnya telah
berubah. Guru bukan lagi kerja yang dianggap mulia, guru pula sering dipersalahkan
apabila result peperiksaan menjunam jatuh, walau pun bukan semua majoriti akan
menyalahkan guru jika keputusan peperiksaan merosot, guru jugalah yang
dipersalahkan apabila disiplin pelajar sekarang yang sangat membimbangkan, guru
jugalah yang akan dipersalahkan apabila berlakunya kecederaan atau kematian murid ,
sewaktu aktiviti kokurikulum atau sebarang aktiviti luar walaupun semua prosedur
keselamatan telah dipatuhi dan dituruti untuk mengelakkan hal yang tidak diduga.
Di samping itu, ada kalangan masyarakat yang mempersalahkan guru, apabila isu
beban kerja guru ditimbulkan, kata mereka , guru mengada-ngada, banyak kerjaya lain
yang turut terbeban dan sukar seperti bahagian keselamatan dan kesihatan, yakni polis
dan doktor. Mengapa perlu membuat perbandingan sebegini, wajarkah perbandingan
sebegini? Semuanya beranggapan guru hanya bermula bekerja 7.30 pagi hingga 1.30
tengah Hari.

Itulah persepsi kebanyakan masyarakat tanpa melihat kerjaya guru sebagai satu
kerjaya mencabar, sebab itulah cadangan waktu bekerja selama 9 jam perlu diperhalusi,
dan bukannya tangkap muat sahaja. Tugas seorang guru pada saya merupakan
jurutera manusia, bukan senang mengajar dan mendidik pelajar yang datang dari
pelbagai latar belakang, pelbagai kaum, pelbagai tahap IQ danEQ, semuanya perlu
ditangani oleh guru untuk muridnya yang disayangi dan dikasihi.

Apa yang menjadi isu masa kini ialah penghormatan yang ditagih daripada masyarakat
umum. Ibu bapa seharusnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada kerjaya
guru dengan memberikan kerjasama yang tinggi demi memartabatkan profesion ini.
Masyarakat janganlah asyik menyalahkan guru sahaja apabila terdapat isu yang
melibatkan murid atau anak-anak mereka. Kita perlu menangani masalah yang timbul
bersama-sama dengan guru secara permuafakatan dengan menggunakan saluran
yang tertentu dengan bijaksana.

Berbalik kepada isu beban tugas yang semakin bertambah, isu ini sudah pun lama
wujud dan sentiasa menjadi rungutan hampir kesemua guru. Malahan, isu perbualan
sesama guru ketika berbual sama ada di kantin sekolah, bilik guru, ketika berjumpa di
pasar raya, pasar ketika membeli ikan, restoran, tempat joging dan sebagainya tidak
boleh lari daripada memperkatakan hal-hal mengenai beban tugas yang tidak pernah
berkesudahan.

Menurut Lok Yim Pheng, guru banyak membazirkan masa mengajar mereka dengan
membuat kerja-kerja yang diarahkan oleh phak-pihak tertentu. Amat malang perkara ini
berlaku sebab tugas guru adalah mengajar dan mendidik murid dengan penuh
tanggungjawab.

Khabarnya satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menangani masalah ini di
peringkat kementerian yang juga dianggotai oleh NUTP. Semoga perkara ini akan
menjadi kenyataan dan isu yang berlarutan ini dapat ditangani dengan bijaksana dan
berkesan. Justeru, semoga selepas ini para guru akan menjadi lebih selesa dan
mempunyai banyak masa untuk menumpukan perhatian kepada tugas dan
tanggungjawab yang diamanahkan. Ingatlah bahawa tanggungjawab, perlu ditunaikan
dengan penuh ikhlas dan setia. Masa yang ada kelak, jangan dihabiskan dengan
aktiviti yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Pelbagai isu yang dikaitkan dengan profesion perguruan, pentadbir di sekolah, guru-
guru, ibu bapa dan murid. Saya melihat, isu bebanan tugas guru menjadi perbualan
dalam kalangan guru-guru di sekolah apabila mereka dibebankan atau diberikan
pelbagai arahan yang perlu dilaksanakan di sekolah. Walaupun ada segelintir pihak
yang menyatakan bahawa gaji yang diperoleh oleh guru adalah lumayan, kita perlu
melihat dan menilai kerja yang dilaksanakan itu adalah berbaloi atau tidak.
Menurut, Wahid Hashim dalam laman Pendidikan, Utusan Malaysia bertarikh 29 Mac
2010 yang bertajuk 'Mencemburui gaji guru'. Tulisan beliau yang menjurus kepada
reaksi KPPK untuk bersemuka dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin
atas beberapa isu berkaitan bebanan tugas dan kenaikan gaji guru, sedikit sebanyak
mampu membuka minda semua yang terlibat dalam profesion keguruan.

Bebanan tugas guru ibarat isu yang tidak ada kesudahannya, padahal realiti
sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru tetapi oleh sebahagian guru
terutamanya guru mata pelajaran peperiksaan utama, guru yang menjawat jawatan
penting sekolah dan guru yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih
sukan utama sekolah dan sebagainya. Tugas guru tidak terikat dalam waktu
persekolahan sahaja, tetapi di luar waktu persekolahan. Perkara ini, menjadi lumrah
bagi kebanyakan guru di sekolah.

Bagi mereka, sudah menjadi asam garam kehidupan seorang guru yang berkhidmat di
sekolah, terpaksa melaksanakan pelbagai tugasan dalam bidang mereka mahupun di
luar bidang mereka. Inilah realiti yang berlaku pada hari ini. Kebanyakan guru merungut
dengan pelbagai tugasan yang diberikan kerana di luar keupayaan mereka, ada
benarnya kenyataan dan keluhan mereka terhadap bebanan tugas yang telah diberikan
kepada guru di sekolah. Seseorang itu tidak dapat memikul tanggungjawab dan tugas
yang di luar keupayaan mereka kerana boleh menyebabkan tekanan dan sebagainya.
Sebagai contoh, kewujudan KSSR di sekolah ada baik dan buruknya.

Usaha yang baik dilaksanakan agar dapat melahirkan murid yang melengkapi semua
aspek JERIS ( jasmani, emosi, intelek, rohani dan sosial). SAPS adalah sistem
pengisian markah dan data-data markah murid dalam peperiksaan yang perlu diisi oleh
guru mata pelajaran dan guru kelas melalui internet. Saya memetik beberapa keluhan
oleh Siti Roshayu, seorang guru mengenai sistem ini. Beliau mengatakan
bahawa, sistem SAPS yang kononnya diselenggara oleh pakar IT kementerian ini
ibarat meletakkan batu seberat 10 TAN di kepala kami sebagai warga pendidik.

Menurutnya lagi, pada dasarnya sistem ini sememangnya berpotensi dalam
membentuk satu sistem dalam talian yang akan memberi pelbagai impak positif kepada
seluruh masyarakat. Namun akibat kurangnya cakna oleh pihak kerajaan, nampaknya
sistem ini seperti projek tangkap muat dan warga pendidik menjadi kambing hitam atau
tikus makmal.

Mari kita lihat antara masalah yang timbul apabila menggunakan sistem ini,
Kadar masa untuk memasuki sistem ini purata seorang guru terpaksa daftar masuk
sebanyak 3 hingga 10 Kali.
Sistem biasanya akan bermasalah sekiranya ada lebih dari 1000 orang guru cuba
memasuki sistem ini pada masa yang sama.
Data yang telah disimpan kadangkala akan hilang dengan sendirinya malahan hilang
secara keseluruhan. Natijahnya guru akan bersengkang mata dari malam hingga ke
pagi untuk mengisi kembali markah melalui sistem ini.
Bebanan guru akan bertambah sebanyak 50% kerana untuk mengisi markah ke dalam
sistem, masa yang diambil untuk mengisi markah tidak kurang dari 3 jam iaitu di luar
waktu kerja. Malahan ada guru yang mengambil pendekatan mengisi markah pada
waktu awal pagi antara julat 12.30 pagi sehingga 4 pagi kerana beranggapan pada
masa itu tidak ramai guru lain yang memasuki sistem.
Malah ada kes di mana data guru lain termasuk ke dalam sistem dan data guru lain.
Dengan tekanan dari pihak PPD dan JPS yang memberikan tempoh masa tertentu,
maka guru terpaksa mengejar masa sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki.
Setiap profesion tentu ada cabarannya lebih-lebih lagi profesion keguruan. Namun, jika
ia tidak diseimbangkan dengan adil, akan berlakulah bebanan tugas tersebut. Tentu
amat terbeban jika seseorang guru yang mengajar kelas peperiksaan lebih tiga tahun
secara berterusan, guru yang memegang lima jawatan utama sekolah dalam satu masa
dan sebagainya.

Di sekolah rendah, pihak kesihatan akan datang memeriksa murid secara berkala. Guru
juga yang perlu mengisi buku rekod kesihatan murid, timbang dan rekod berat dan
tinggi mereka, kira BMIuntuk setiap murid, memeriksa mata mereka rabun atau tidak,
mengisi maklumat tempat tinggal dalam borang yang disediakan khas oleh pihak
jabatan. Mungkin pada masa yang akan datang guru juga akan diberi kursus macam
mana nak cucuk murid, siapa tahu? Fikirkan juga kesan yang bakal berlaku kepada
generasi yang akan datang.

Ada juga terdapat sekolah, di mana ada guru kelas untuk KSSR yang terpaksa membeli
fail yang banyak dengan menggunakan wang sendiri. Di manakah letaknya sensitiviti
dan keprihatinan pihak yang bertanggungjawab terhadap guru tersebut? Adakah
seorang guru itu, perlu mengikut segala arahan yang diberikan tanpa dibenarkan
sebarang rungutan? Di manakah fungsi NUTP di Malaysia dan sejauh mana suara
guru-guru di Malaysia didengari? Kita perlu renungkan dan fikirkan setiap
permasalahan yang berlaku dalam kehidupan sebagai seorang guru agar setiap refleksi
yang dilakukan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan seseorang dalam bidang yang
diceburi.

Namun, ada yang mempertikaikan, ada segelintir guru yang masih sempat lagi
melakukan pekerjaan lain selain mengajar di sekolah. Dalam riuh rendah isu bebanan
tugas guru ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan
jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan.
Kalau terbeban dengan tugas sekolah, mana mampu guru tersebut menjawat 'dua
profesion' dalam satu masa. Mari kita lihat sejauh mana kebenarannya dan setiap guru
melaksanakan akauntabiliti masing-masing. Amanah yang dipikul oleh mereka adalah
terpulang kepada individu itu sendiri. Kita tidak boleh menilai dan menuduh pihak
tertentu hanya kerana segelintir atau sebahagian guru sahaja yang melakukannya.
Seperti kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) , guru menanggung
beban kerja berganda akibat wujudnya arahan dalam arahan yang mana mereka
terpaksa melakukan tugasan dalam skop sama berulang kali atas arahan pihak atasan
pada peringkat berbeza.Kadangkala, guru itu semakin tertekan dengan arahan yang
dikeluarkan namun, seorang guru haruslah bersikap profesional dan akur dengan
arahan kerana itu merupakan salah satu daripada tugas sebagai seorang guru.

Sebagai contoh, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata senario itu berlaku
apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru
melaksanakan program tertentu, namun pada masa sama mereka dikehendaki
menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat jabatan
pelajaran negeri (JPN) atau pejabat pelajaran daerah (PPD), walaupun semua
mengandungi pengisian hampir sama.

Keadaan ini berlaku di negeri tertentu menyebabkan guru terpaksa akur dengan
arahan dikeluarkan pihak atasan pada peringkat berbeza itu sehingga berlaku
pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab mereka dalam pengajaran dan
pembelajaran. Tanggungjawab hakiki seorang guru adalah mengajar dan mendidik
murid, namun jika terdapat halangan bagi mereka untuk melaksanakan tugas mereka
sebagai seorang guru, di manakah silapnya? Tanggungjawab yang diamanahkan
kepada guru itu, bergantung kepada seorang guru itu sendiri bagaimana untuk
mengendalikan masalah yang dihadapi.

Besar kemungkinan guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka apabila
menjalankan tugas mereka akan mengalami tekanan. Menurut Kyriacou (2000), stress
guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti
tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat tugasnya
sebagai seorang guru. Bagi pendapat saya, stress merupakan tindak balas fizikal yang
biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan
ketidakseimbangan berlaku.

Sedikit sebanyak, apabila seorang guru itu, mengalami tekanan kerja, kualiti
pengajarannya juga turut terjejas dan yang menjadi mangsa adalah murid. Adakah guru
menjadi seperti kerana nyamuk, kelambu dibakar?. Murid-murid berhak mendapat
ilmu yang secukupnya daripada guru mereka, namun andai terdapat tugas-tugas yang
membebankan tugas utama guru, mungkin langkah perlu diambil dan diatasi agar
mendapat kebaikan daripada setiap pihak.

Selain itu, isu beban tugas guru ini memberi impak atau kesan yang pelbagai.
Terpulang kepada guru itu mengadaptasikan tugasan yang diberikan kepadanya dalam
kehidupan sebagai seorang guru. Namun, sampai bilakah guru yang berkaliber sekali
pun, nescaya pasti akan tumpas sekiranya tugas ini menjadi bebanan dan tugas yang
diberikan semakin bertambah. Menurut Dunham dan Varma (1998), antara beberapa
punca-punca tekanan guru ketika bekerja ialah tekanan masa danbeban kerja.

Jika kita lihat, guru pada masa kini diharapkan dapat melaksanakan pelbagai
tanggungjawab selain mengajar. Selain daripada yang telah dibincangkan ialah,
antaranya guru sebagai pengurus bilik darjah, guru disiplin, perancang program, agen
perubahan ,penyelidik, fasilitator, penilai dan lain-lain lagi. Apabila sesi persekolahan
menuju ke penghujungnya pada setiap tahun, guru-guru mendapat semakin banyak
tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Adakah seorang guru itu, tidak perlukan waktu
berehat mahupun untuk dirinya?

Apabila tugas-tugas seperti itu semakin bertambah, guru-guru berhadapan pula dengan
tugas pemeriksaan tugasan, ujian dan peperiksaan selain daripada tugas rutin, iaitu
mengajar. Pada pendapat saya, setiap insan di dunia ini, tidak lari daripada kerja-kerja,
tugas dan masalah kerana semua ini merupakan warna-warni kehidupan. Namun,
dalam menjalankan tugas sebagai seorang guru yang semakin terbeban dengan tugas
dan kerja yang banyak, guru itu haruslah berkebolehan menguruskan tugasnya dengan
sistematik supaya tidak terlalu beban. Sebagai seorang insan biasa, tidak bolehlah
mencapai terlalu banyak tugas dalam sehari kerana situasi tersebut akan menyebabkan
mutu dan kualiti kerja merosot. Guru-guru perlu mengutamakan tugas-tugas yang
penting dan sebaiknya merancang apa yang perlu dilaksanakan dalam tempoh yang
ditetapkan.

Menurut Waxler (2009), guru seharusnya berfikiran positif dan salah satu cara yang
terbaik adalah menyebutkan pemikiran-pemikiran yang positif setiap hari. Setiap hari,
guru perlu berfikiran positif terhadap tugasnya. Jika seorang guru itu, tidak mampu dan
menganggap bahawa tugas yang diterimanya, adalah berat, salurkanlah di tempat yang
betul. Sebagai contoh, lontarkan idea dan aduan ketika mesyuarat sesama guru atau
berjumpa dengan guru besar secara peribadi untuk perbincangan atau luahan rasa.

Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya. Namun, jangan kita
beranggapan dan berpendapat bahawa, setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak
atasan tidak semuanya membebankan tugas guru. Seorang guru yang matang
pemikirannya, akan berpandangan bahawa, setiap perkara yang diusulkan terdapat
baik dan buruknya.

Jika kita lihat dari sudut yang positif, tugas-tugas yang diberikan seperti mengisi data
markah murid dengan menggunakan sistem SAPS, ianya dapat melatih seseorang guru
itu ,celik IT, terdedah kepada teknologi terkini mengikut peredaran zaman. Selain itu,
cara dan corak pendidikan berubah kepada yang lebih sistematik dan teratur. Bagi saya,
mungkin pada permulaan rancangan ini dijalankan, terdapat banyak masalah yang
berlaku kerana kurangnya kemahiran atau sebagainya. Ada baiknya, sekiranya arahan
yang dikeluarkan dan tugas yang diberikan, dibekalkan kemudahan untuk
melaksanakannya. Tidak kiralah, sama ada kemudahan dari segi peralatan dan lain-lain
lagi.

Sebenarnya, tugas dan arahan yang diberikan kepada guru merupakan satu perubahan
dan satu titik permulaan untuk mencapai ke arah kecemerlangan. Menurut Lembaga
Editorial Jurnal Inovasi, ialah perubahan penting yang bermanfaat. Hal ini bermakna,
sebarang perubahan yang dilakukan dapat memberikan manfaat kepada semua tanpa
mengira ideology atau hasilan siapa. Justeru, dalam menangani situasi
sebegini, NUTP berharap guru hanya perlu akur kepada pekeliling dikeluarkan
Kementerian Pelajaran dan tidak perlu ditokok tambah dengan program yang mirip oleh
pihak JPN atau PPD. Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji beban
tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan
perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar untuk menjadi
seorang insan yang berguna.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jawatankuasa yang
dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, dan
dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil NUTP akan mengenal pasti tahap
keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.
Lok berkata, masalah berkenaan ialah antara beban kerja guru yang dibangkitkan
dalam mesyuarat antara NUTP dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bangunan Parlimen.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri
Pelajaran dimaklumkan mengenai masalah kekurangan waktu untuk guru berehat
apabila dipanggil menjalankan pelbagai aktiviti pada setiap Sabtu,
justeru NUTP mencadangkan supaya kementerian menetapkan peraturan bahawa guru
hanya dipanggil bertugas pada Sabtu kedua dan keempat dalam sebulan. Hal ini, bagi
mengurangkan tugas guru dan memberi ruang kepada guru untuk berehat serta
mempunyai waktu peribadi untuk diri dan keluarga serta meningkatkan kualiti kerja. .


Walau bagaimanapun, suara guru didengari dan terdapat langkah yang diambil oleh
kerajaan iaitu dalam akhbar Berita Harian, KUALA KANGSAR 16 Mei - Jawatankuasa
Kerja Pelaksana Menangani Isu beban tugas guru sedang melaksanakan 28 perakuan
bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru termasuk
memperkenalkan sistem tunggal kemasukan data. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassinberkata, jawatankuasa itu antara lain memperkenalkan Sistem
Pengurusan Sekolah bagi menangani keluhan guru yang terbeban dengan penggunaan
pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini. Beliau berkata, ''sistem ini telah
dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah
Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013".


Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga sedang menjalankan kajian
rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak
kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
Selepas kajian itu, beliau berkata satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak
Jabatan Perkhidmatan Awam bagi memperluaskan penempatan kakitangan Pembantu
Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah kementerian. ''Bagi menangani isu beban
tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan
ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik pengendaliannya di peringkat
sekolah.


Oleh itu, pada tahun ini, hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan.
Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan diperkuat kuasa mulai
2013, iaitu semuanya akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran.
Jika kita lihat, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru yang
terbeban dengan pelbagai tugasan dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan
organisasi sekolah. Ini bermakna, kualiti guru perlu dimantapkan, mutu kepimpinan
sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran perlu
diperkemas prasarana sekolah perlu diperbaiki serta sumber dan sistem penyampaian
pendidikan perlu diurus dengan cekap. Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan
kita perlu disemak dan dimantapkan kualitinya secara bersepadu.

Di samping itu, (Berita Harian 2 April 2010) , tokoh-tokoh akademik juga mengesyorkan
supaya jawatan pembantu guru diwujudkan. Kewujudan jawatan ini akan dapat
mengurangkan beban tugas perkeranian yang semakin bertambah dalam kalangan
guru. Kalau di negara maju, ramai sukarelawan yang dibenarkan menjalankan tugas
membantu guru dalam sekolah.

Anggota polis, bomba dan lain-lain jawatan dibenarkan masuk ke sekolah dan
memberikan khidmat mereka mana yang sesuai, dan sekali gus dapat membantu
meringankan beban tugas guru. Ibu bapa juga digalakkan masuk ke sekolah bagi
membantu guru, seperti membantu dalam pusat sumber dan sebagainya. Kementerian
Pelajaran Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan kaedah
ini. Mungkin satu sistem atau mekanisme tertentu dapat diwujudkan oleh KPM selepas
jawatankuasa yang ditubuhkan ini mendapat maklum balas yang terperinci mengenai
masalah yang berlaku. Pihak sekolah juga perlu proaktif dan inovatif bagi mencari jalan
penyelesaian, kemungkinan melalui PIBG, ahli-ahli PIBG yang mempunyai kemahiran
dalam bidang-bidang tertentu dapat menyumbang tenaga bagi membantu guru.

Dalam hal ini, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan bagi mendekatkan sekolah
dengan masyarakat. Kini apa yang berlaku adalah terdapat jurang antara sekolah
dengan masyarakat, pihak sekolah sendiri agak terasing dan terpencil dengan
masyarakat sekelilingnya. Pada pendapat saya, harus sama-sama memikirkan
bagaimana sekolah dan masyarakat dapat digembelingkan dalam usaha membantu
mengurangkan beban tugas guru. Walau apa pun yang diberikan, seorang guru itu
harus kuat dan tidak gentar dengan cabaran yang mendatang.

Anda mungkin juga menyukai