Anda di halaman 1dari 21

142.

Penolong Pegawai Syariah (LS27):

Bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas berkaitan pentadbiran dan perancangan


program jabatan, penyelidikan, menyelaras pendaftaran dan menguruskan hal-hal berkaitan
kes mal dan jenayah dan faraid, menyelenggara urusan perjalanan Mahkamah Rendah
Syariah dan membuat draf perintah yang telah diputuskan oleh mahkamah.

PENYELESAIAN HARTA WAKAF, WASIAT, HIBAH, HARTA


SEPENCARIAN DAN HARTA PUSAKA
PENYELESAIAN HARTA WAKAF, WASIAT, HIBAH, HARTA SEPENCARIAN DAN
HARTA PUSAKA
By Abu Razeen

i Negeri Selangor amnya

WAKAF
Situasi wakaf 1:
Atas desakan hidup Ahmad amat memerlukan wang untuk menampung perniagaannya yang
hampir mengheretnya ke tahap muflis, setelah berbincang dengan kakak dan abangnya mereka
akhirnya bersetuju untuk menjual tanah Allahyarham bapanya yang telah sekian lama tidak
dikunjungi di Kampung Sungai Udang, Klang, namun Ahmad terkejut apabila mengetahui tanah
tersebut diwakafkan oleh Allahyarham bapanya tanpa pengetahuan diri dan adik beradiknya. Di
tanah tersebut telah dibangunkan kompleks masjid tidak lama selepas bapanya meninggal dunia.
Memikirkan beliau adalah antara waris yang sah dalam hukum syarak, maka satu tuntutan
pengesahan wakaf dikemukakan di Mahkamah Syariah dengan alasan beliau adalah waris yang
berhak mendapat keuntungan dari tanah tersebut dan sekaligus menafikan status wakaf yang
dilakukan oleh bapanya.
Kebanyakan kes yang dilaporkan berkenaan wakaf biasanya timbul selepas dari kematian
pewakaf, Masalah Ahmad adalah isu yang lazim di pertikaikan di Mahkamah berhubung dengan
harta wakaf, sepertimana yang dilaporkan dalam kes Almarhum Dato’ Bentara Luar Johor, Haji
Yahya dan seorang lagi lawan Hasan bin Othman & seorang lagi [Jurnal Hukum Jld III bhgn II
ms 185]. Almarhum telah mewakafkan sekeping tanah untuk dua anaknya dan keturunan mereka
selama-lamanya. Tanah itu didaftarkan atas namanya. Apabila beliau meninggal dunia Hasan bin
Othman juga pentadbir harta pesakanya telah membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil
bahawa wakaf itu tidak sah. Mahkamah memutuskan, wakaf itu sah mengikut seksyen 11
Enakmen Wakaf 1911 dan Seksyen 41 Enakmen Pentadbiran Undang- Undang Islam 1978, juga
berdasarkan kes-kes yang diputuskan oleh Privy Council di India. Tidak berpuashati dengan
keputusan tersebut Hasan bin Othman membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Akhirnya
Hakim Mahkamah Persekutuan Tun Salleh Abbas pada tahun 1982 mengekalkan keputusan
Hakim Mahkamah Tinggi bahawa wakaf tersebut adalah sah dari sudut perundangan.
Antara ulasannya, wakaf adalah urusan yang berkaitan dengan hukum syarak dan tidak terikat
dengan konsep ‘prinsip mencegah kekalan’ yang diamalkan di peringkat sivil, walaupun
Mahkamah tidak terikat dengan keputusan Mufti dalam fatwanya yang mengesahkan status
wakaf tersebut ataupun atas undang-undang negeri tetapi Mahkamah tidak mempunyai alasan
untuk menolak keputusan fatwa tersebut. Sehingga keputusan tersebut dibuat tiada sebarang
rayuan dibuat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan di bawah
enakmen negeri yang berkenaan. Tambahan pula tiada sebarang pendapat yang bertentangan
dengan teks perundangan Syariah ditemui dalam kes tersebut.
Pembangunan tanah wakaf juga antara isu yang biasa dihadapi oleh Majlis Agama Negeri
dengan waris-waris pewakaf. Dalam keadaan persekitaran yang pesat membangun tanah wakaf
yang terletak di tempat strategik makin terhimpit dengan arus pemodenan. Manakala pihak yang
dipertanggungjawabkan untuk membangunkan tanah wakaf adalah Majlis Agama Islam Negeri.
Kadangkala pertikaian antara Majlis Agama Islam Negeri dan waris dilihat seperti wujud konflik
kepentingan namun sebenarnya pihak-pihak yang terlibat adalah berusaha untuk menentukan
bentuk kebajikan yang boleh dinikmati oleh masyarakat Islam sepertimana maksud pewakaf itu
sendiri. Perbezaan ini wujud kerana pemahaman masing-masing tentang manfaat umum bagi
memastikan pahala yang berterusan kepada pewakaf sepertimana sebuah Hadis yang
diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a Rasul SAW bersabda:
“Apabila mati seorang insan maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, ilmu
yang bermunafaat, sedekah jariah dan anak soleh yang mendoakan baginya” [Muslim, Abu Daud
dan Tarmizi].
Sedekah jariah yang dimaksudkan dalam Hadis Sahih ini adalah sedekah yang berpanjangan
selagimana digunakan atau dimanfaatkan oleh orang lain, tidak mengira samada ahli keluarga
sendiri atau orang Islam yang lain. Maka pada hari ini dapat kita lihat kebanyakan tapak masjid
dan tanah perkuburan yang wujud adalah dalam tanah wakaf. Apabila tanah wakaf difahami
hanya sebagai tanah perkuburan dan tapak masjid maka banyak pihak yang berbelah bahagi
apabila terdapat usaha oleh Majlis Agama Islam Negeri untuk membangunkan nilai tanah wakaf
dengan mendirikan pusat perniagaan, tempat tinggal atau hotel yang boleh mendatangkan
keuntungan kepada umat Islam.
Satu contoh konflik kepentingan manfaat antara Majlis Agama Islam dengan ahli waris ialah
dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn Isa bin Abdul Rahman dan yang lain, [Jurnal
Hukum Jld X Bhgn 11 ms 222]. Isa bin Abdul Rahman adalah selaku waris bagi tuan tanah yang
telah mewakafkan tanahnya secara wakaf am untuk sebuah masjid pada tahun 1889 yang
dikenali dengan Masjid Simpang Enam, beliau telah menentang kehendak Majlis Agama Islam
untuk merobohkan masjid tersebut dan menggantikannya dengan satu bangunan lima tingkat
yang mana tingkat pertama hingga ketiga digunakan sebagai pejabat bank manakala tingkat
empat dan lima sebagai masjid. Memikirkan rancangan itu bercanggah dengan tujuan pewakaf
asal Isa bin Abdul Rahman telah membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil Pulau Pinang
supaya diisytiharkan tanah masjid itu sebagai wakaf am dan Majlis tidak berhak merobohkan
Masjid tersebut juga satu perintah tegahan (injunksi) kepada Majlis atau ejen-ejennya dari
merobohkan Masjid. Majlis cuba mengenepikan perintah tegahan tersebut tetapi gagal lalu
merayu ke Mahkamah Agung yang juga akhirnya menolak permohonan tersebut. Ini adalah
kerana terdapat Suratikatan Penyelesaian mengenai amanah wakaf menyatakan: ‘Digunakan
sebagai tempat orang-orang Islam bersembahyang jemaah dan tidak untuk tujuan-tujuan lain’
Antara isu lain yang ditimbulkan oleh Hakim Mahkamah Agung, Eusoff Chin dalam kes ini
adalah bidang kuasa Mahkamah Kadi pada waktu tersebut yang tidak berhak untuk
mengeluarkan perintah injunksi oleh penentang kerana ia termasuk dalam Bahagian iii Akta
Relif Spesifik 1950. Dalam keputusannya beliau berkata:
“Apabila Mahkamah sivil membicarakan tuntutan untuk mendapatkan suatu perintah dan
perintah yang dituntut bukan dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk mengeluarkannya,
maka Mahkamah Sivil hendaklah membicarakan tuntutan itu dan jika soal mengenai Hukum
Syarak timbul semasa perbicaraan pihak-pihak terlibat boleh memanggil pakar-pakar agama
Islam untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu ataupun pihak Mahkamah boleh merujuk
soalan-soalan kepada Majlis Fatwa berkenaan untuk mendapat kepastian.”
Sebelum pindaan artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988, pertindanan
bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil seringkali menimbulkan konflik
dan antara yang menjadi isunya adalah berkaitan dengan status tanah wakaf, sepertimana kes-kes
yang dibawakan terdahulu, kesemuanya melibatkan keputusan Hakim Mahkamah Sivil yang
tidak terikat dengan perundangan Mahkamah Syariah atau Mahkamah Kadi. Walaupun nyata
masalah wakaf adalah berkaitan hukum syarak contoh jelas adalah kes Majlis Agama Islam
Pulau Pinang lwn Isa Abdul Rahman apabila tiga daripada empat perintah yang dipohon nyata
memerlukan keputusan dibuat mengikut hukum syarak termasuk wakaf. Hanya satu perkara
mengenai injunksi yang tidak perlu diputuskan mengikut Hukum Syarak. Menyedari
kepentingan pentadbiran harta wakaf sebagai penjana ekonomi kepada umat Islam Negeri
Selangor, pada 29 Disember 1999 Duli Yang Maha Mulia Sultan telah memperkenankan
Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999 yang mengandungi 50 sekyen keseluruhannya.
Disebut secara umum di bawah bidangkuasa Majlis dan Mahkamah Syariah dalam Enakmen
Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Enakmen Wakaf diperuntukkan secara khusus
menerangkan dari permulaan pewujudan wakaf, perihal mauquf (harta wakaf), wakif ( orang
yang mewujudkan wakaf), mauquf alaih (orang yang berhak menerima apa-apa manfaat atau
faedah dari mawquf), wakaf tidak sah, mengistibdal (ganti) dan membangunkan mawquf,
jawatankuasa pengurusan wakaf dan kuasa-kuasa majlis. Dalam memberikan kuasa kepada
Majlis Agama Islam Selangor sebagai pentadbir harta wakaf, seksyen 32 Enakmen Wakaf
menyatakan;
“Walau apa pun apa-apa jua peruntukan yang terkandung dalam mana-mana suratcara atau
perisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh sesuatu wakaf, Majlis hendaklah
menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf, sama ada am atau khas, yang terletak di
dalam Negeri Selangor”.
Manakala bagi harta tak alih yang berada di dalam Negeri Selangor secara automatik terletak hak
pada Majlis selepas didaftarkan di bawah Kanun Tanah Negara tanpa apa-apa pemindahhakkan,
penyerahakan atau pemindahmilik, disebut dalam seksyen 48 (3).
Walaupun diberi kuasa mentadbir, Majlis masih lagi terikat dengan syarat-syarat wakif
sepertimana dalam seksyen 38 (1) dinyatakan
“Manfaat atau faedah daripada sesuatu wakaf khas, hendaklah digunakan mengikut syarat-syarat
yang ditentukan oleh wakif melainkan syarat –syarat yang bertentangan dengan Hukum Syarak”.
Dengan mengambil kira kemaslahatan umat Islam dan faktor ekonomi serta pengajaran daripada
laporan kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang terdahulu, peruntukan seksyen 38 (3)
dimasukkan;
“Jika, disebabkan berlalu masa atau berlaku perubahan keadaan, syarat-syarat mana-mana wakaf
tidak dapat secara berfaedah dilaksanakan tepat sebagaimana yang dikehendaki waqif, Majlis
hendaklah menyediakan suatu rancangan bagi menggunakan manfaat atau faedah yang terlibat
itu dengan suatu cara yang sehampir mungkin yang seakan-akan sama sebagaimana yang
dikehendaki oleh waqif, dan hendaklah melaksanakan sewajarnya;”
Di dalam seksyen 44 Enakmen yang sama, peranan Mahkamah Syariah adalah memutuskan
keraguan berkenaan status wakaf dengan peruntukan berbunyi;
“Jika pada pendapat Majlis, makna atau kesan mana-mana surat cara atau perisytiharan yang
mewujudkan atau menyentuh mana-mana wakaf adalah samar-samar atau tidak jelas, Majlis
bolehlah merujukkan perkara itu kepada Mahkamah bagi mendapatkan keputusannya mengenai
makna dan kesan tersebut dan hendaklah bertindak menurut apa-apa perintah yang dibuat oleh
Mahkamah”.
Bagi memelihara kepentingan harta wakaf peruntukan denda tidak melebihi lima ribu ringgit
atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas mereka
yang melakukan pencerobohan, pendudukan, pengusahaan di atas tanah wakaf tanpa kebenaran
Majlis. Manakala bangunan yang didirikan seseorang tanpa izin pula boleh diroboh, dimusnah
atau dibersihkan oleh Majlis dengan kos ditanggung oleh orang tersebut.
Wakaf sememangnya satu elemen kekuatan umat Islam sekiranya ditadbir urus dengan baik dan
berkesan, mengambil contoh Universiti Al-Azhar sebagai Institusi pendidikan tertua di dunia
yang tegak berdiri dari zaman Fatimiyah sehingga ke hari ini adalah hasil dari janaan wakaf umat
Islam di Mesir. Manakala Maahad Al-Ehya Asshariff, sebuah sekolah agama rakyat di Gunung
Semanggol, Perak juga dibangunkan melalui wakaf penduduk tempatan melalui kegiatan
perladangan kelapa sawit, sawah padi dan lain-lain, malah tidak keterlaluan jika dikatakan
sebahagian besar institusi pendidikan agama terawal di Malaysia dimajukan dengan dana wakaf

termasuklah di Negeri Selangor.


Sepertimana Mesir yang mempunyai Kementerian Wakaf yang mengendalikan pentadbiran
wakaf seluruh Negara sehingga mampu menjana ekonomi rakyatnya, Malaysia juga telah
menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji bagi membantu Majlis Agama Islam Negeri dalam
hal ehwal pengurusan harta wakaf, memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam
membangunkan potensi tanah wakaf seluruh Malaysia yang berkeluasan hampir 36,000 hektar,
sebanyak RM250 juta telah diperuntukkan dalam RMK 9 bagi tujuan tersebut. Bagi menjayakan
tujuan tersebut sokongan dan pemahaman umat Islam terhadap konsep dan pentadbiran harta
wakaf perlu ditingkatkan bagi mengembalikan kegemilangan dan penguasaan ekonomi umat
Islam
WASIAT

Situasi wasiat 1:
Hasnah seorang anak angkat kepada Haji Zaid tidak berpuashati apabila haknya yang berupa
sebidang tanah dan rumah di lot 150 Jalan Sri Cemerlang, Seksyen 7, Shah Alam telah dinafikan
oleh abang dan kakak angkatnya yang juga merupakan anak kandung Haji Zaid, sedangkan
makluman secara lisan oleh Haji Zaid kepada Hasnah dibuat dihadapan kedua-duanya. Sebelum
bapa angkatnya meninggal dunia, beliau telah mengamanahkan abang sulungnya untuk membina
rumah untuk diduduki oleh Hasnah diatas tanah lot 150 dengan peruntukan tersedia Haji Zaid
sebanyak RM200,000.00. Apabila rumah tersebut siap dibina Hasnah telah tinggal dirumah
tersebut selama lapan tahun dan apabila bercerai dengan suaminya hubungan abang dan kakak
angkatnya menjadi renggang dan tercetus pertikaian, dimana abang angkatnya melalui
Mahkamah Magistret Shah Alam (saman 74-8-65) minta perintah mahkamah supaya Hasnah
keluar dari rumah tersebut dan kes di Mahkamah Magistret tidak selesai kerana berbangkit
perkara wasiat yang kemudiannya dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk
menentukan perkara yang bersabitan dengan wasiat tersebut.

Situasi wasiat 2:
Ali berada di hospital dalam keadaan tenat. Peguam dipanggil untuk sediakan wasiat. Wasiat
dibacakan kepada si mati dan cap jarinya diturunkan. Wasiat melantik Aiman bin Ali (anak
simati) sebagai wasi dan pemegang amanah tunggal dan memberi kesemua harta si mati kepada
Aiman, perkara ini tidak dipersetujui oleh Puan Syamilah Othman dan juga merupakan ibu
kepada Aiman seterusnya Aiman memohon supaya wasiatnya disahkan di Mahkamah Syariah.
Akhirnya mahkamah memutuskan wasiat tersebut tidak sah kerana melanggar dua prinsip
undang-undang Islam, pertamanya ia bertujuan untuk melupuskan lebih dari 1/3 pusaka simati
dan keduanya ia bertujuan memberi faedah kepada waris Pewasiat melebihi yang ditetapkan
untuknya oleh undang-undang pembahagian pusaka Islam.

Dua kes diatas dan beberapa kes lain adalah antara beberapa contoh pertikaian wasiat yang
terpaksa diselesaikan di Mahkamah Syariah, yang kadangkala terpaksa mengambil masa untuk
diputuskan selain ketiakpuasan hati individu walaupun keputusan telahpun dibacakan oleh
Hakim Syarie. Seperkara perlu diingat bahawa semua masalah ini mungkin dapat dielakkan
sekiranya semua orang Islam yang memiliki harta dan waris tahu dan faham tentang hukum dan
perundangan wasiat yang digunapakai.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kamu diwajibkan, apabila seseorang kamu hampir mati jika dia ada meninggalkan harta
hendaklah dia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik menurut
peraturan agama sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.” [Al-Baqarah: 180].
Tuntutan wajib untuk menyediakan wasiat didalam ayat ini walaubagaimanapun telah
dinasakhkan hukumnya mengikut beberapa pendapat ulama dengan turunnya ayat berkaitan
bahagian tertentu kepada ahli waris seperti didalam Surah A-Nisaa’ Ayat 11, 12 dan 176. Wasiat
juga diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dengan sabda Rasulullah “Seseorang Muslim yang
mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-
turut melainkan dia menulis wasiatnya disisinya (dekat kepala) di nukil dalam kitab Nayl Autar,
Kitab Al-Wasaya oleh Al-Shawkaniyy, Bab al-Hath ‘Ala al-Wasiyyah Dar al-Jayl, Lubnan jil.6
hlmn. 142.

Manakala peruntukan undang-undang yang dirujuk kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Selangor) 2003 subseksyen 61 (3) (b) (v) dan (viii) menyatakan bidangkuasa Mahkamah
Tinggi Syariah termasuk wasiat atau alang semasa maradulmaut (sakit yang membawa kepada
maut) juga pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat. Negeri Selangor
adalah merupakan negeri terawal yang mengendors dan mewartakan Enakmen Wasiat Orang
Islam (Negeri Selangor) No.4 Tahun 2009 hasil draf undang-undang oleh Jawatankuasa Teknikal
Undang-Undang Syarak dan Sivil Kebangsaan pada 15 September 1999 dan dikuatkuasakan
mulai Jun 2000.

Enakmen tersebut telah memperuntukkan beberapa perkara berkaitan dengan wasiat orang Islam
antaranya pelaksanaan wasiat, pembatalan wasiat, penarikan balik wasiat, penerimaan dan
penolakan wasiat. Pemakaian undang-undang tersebut digunakan apabila berlaku pertikaian
keatas wasiat oleh simati daripada satu pihak dengan membuat tuntutan di mahkamah syariah.
Tuntutan yang difailkan mengikut takat bidangkuasa Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rendah
mengandungi saman beserta penyata tuntutan yang menuntut pengesahan wasiat diputuskan oleh
Hakim Syarie. Pengesahan wasiat dibuktikan samada melalui keterangan ikrar, saksi, dokumen,
sumpah syarie dan sebagainya yang boleh memuaskan hati Hakim untuk menentukan kesahihan
wasiat tersebut.

Wasiat seperti yang ditafsirkan mengikut Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) ertinya iqrar
seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk
menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut
Hukum Syarak, selepas dia mati.

Wasiat samada dibuat dengan lisan atau tulisan atau isyarat yang difahami hendaklah disaksikan
dua orang saksi yang boleh diterima menurut hukum syarak dan Enakmen yang sama telah
memperuntukkan borang wasiat lengkap bertulis mengikut jadual kedua subseksyen 3(3).

Menurut seksyen 5 sesuatu wasiat yang dikaitkan atau yang disertai dengan syarat adalah sah
apabila syarat itu sahih menepati maslahah pewasiat (pemberi wasiat) atau penerima wasiat atau
benefisiari atau orang lain yang tidak ditegah atau bertentangan dengan syarak. Seorang pewasiat
hendaklah mencapai umur 18 tahun, sempurna akal dan tidak dipaksa serta tidak terhalang dari
menguruskan hartanya, manakala mereka yang tidak sempurna syarat diatas hanya boleh
disahkan wasiatnya dengan izin dan kebenaran mahkamah.

Terdapat juga keadaan dimana wasiat dibuat dalam keadaan pewasiat sedang menderita
maradhulmaut, dalam keadaan tersebut wasiat beliau hanya diterima untuk peruntukan tidak
melebihi satu pertiga daripada hartanya dan jika diwasiatkan melebihi satu pertiga maka
pelaksanaannya hanya sah jika dipersetujui oleh semua ahli waris yang sah mengikut hukum
Islam dan tafsiran subseksyen 6(4), manakala sakit yang tidak membawa kepada kematian
cukuplah sekadar pewasiat waras pemikirannya baik ingatan dan memahami kandungan wasiat
beliau sendiri.

Manakala penerima wasiat mestilah diketahui, berkelayakan untuk memiliki harta tersebut dan
halangan kepada penerima wasiat untuk wujud samada wasiat itu dibuat atau ketika pewasiat
mati bukanlah penghalang kepada pelaksanaan wasiat tersebut. Sesuatu wasiat juga boleh dibuat
kepada tempat-tempat ibadat, yayasan kebajikan, institusi akademik atau kepada mana-mana
pihak yang boleh mendatangkan kebajikan umum atau jika tidak dinyatakan tujuan
penggunaannya cukuplah sekiranya didapati dapat menyebarkan maksud kebajikan umum,
adalah maksud bagi seksyen 8 enakmen ini.

Sepertimana hukum faraid, wasiat juga mensyaratkan penerima wasiat bukanlah penyebab
kepada kematian pewasiat samada secara langsung atau tidak langsung, samada dia bertindak
sebagai prinsipal, rakan jenayah atau pesubahat atau seorang saksi palsu yang keterangannya
mengakibatkan pewasiat menerima hukuman mati.

Pewasiat boleh menarik balik wasiatnya keseluruhan atau separuh daripadanya dengan tindakan
beliau yang pada mana-mana keadaan membuktikan dia menarik balik wasiatnya atau dengan
melupuskan hartanya dengan habis sama sekali, juga boleh dianggap menarik balik wasiat
apabila dibuat satu wasiat baru. Namun perbuatan mengubahsuai bentuk harta yang diwasiatkan,
penambahan yang tidak bermaksud tarik balik wasiat atau pengakuan orang selain pewasiat
menafikan wasiat tersebut adalah tidak mengganggu gugat pelaksanaan sesuatu wasiat.

Beberapa perkara yang wajar diperhatikan sebelum melaksanakan sesuatu wasiat antaranya jika
wasiat dibuat kepada bukan ahli waris atas kadar yang tidak melebihi satu pertiga daripada harta
pusaka pewasiat selepas diselesaikan segala hutangnya dan wasiat tersebut berkuatkuasa tanpa
perlu mendapat persetujuan waris-warisnya. Dalam keadaan lain iika seorang pewasiat
mempunyai hutang yang masih belum dijelaskan maka harta yang diwasiatkan hendaklah diguna
untuk menjelaskan hutang tersebut terlebih dahulu manakala bakinya boleh diserahkan kepada
penerima wasi.

Wasiat kepada ahli waris adalah dilarang berdasarkan hadis riwayat Tarmizi dari Umamah R.A
ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW dalam khutbahnya di dalam tahun haji widak:
“Sesungguhnya Allah telah memberikan tiap-tiap orang empunya hak akan haknya, oleh sebab
itu tidak boleh berwasiat untuk ahli waris”. Pada asasnya wasiat yang melibatkan ahli waris yang
berhak menerima faraid biasanya akan menimbulkan masalah irihati jika sikap pewasiat
mengutamakan sesetengah waris sahaja, corak kes-kes sebegini sering ditemui dalam fakta-fakta
kes pengesahan wasiat di Mahkamah sepertimana kes Siti bt Yatim lwn Mohamed Nor bin Bujal
(1928) 6 FMSLR 135; (1983) 3 JH 217, simati telah mewasiatkan bahawa kesemua hartanya
diberikan kepada anaknya Mohmamed Nor bin Bujal. Tujuan si mati membuat wasiat
sedemikian adalah untuk menyekat isterinya daripada mendapat semua bahagian dalam hartanya
kerana beliau berpendapat isterinya telahpun diberi hak yang mencukupi semasa hidupnya.
Wasiat Bujal yang mengutamakan anaknya dengan mengenepikan hak isterinya diputuskan
adalah tidak sah. Walaubagaimanapun subsyeksen 26(2) memberi pengertian sekiranya
pemberian sesuatu wasiat kepada ahli waris melebihi satu pertiga dengan mendapat persetujuan
serta izin semua ahli waris yang lain maka wasiat tersebut boleh dikuatkuasakan.

Satu kes unik yang dicatatkan berkaitan wasiat dimana pewasiat yang menambah syarat
pelaksanaan dalam tempoh tertentu, dalam kes Saedah bt Abu Bakar dan Malek bin Hj
Mohamed Yusuf lwn Hj Abdul Rahman bin Haji Mohamed Yusuf dan Usman bin Haji
Mohamed Yusuf (1982)3 JH 53. Dalam Kes ini, Haji Mohd Yusuf telah memperuntukkan
pengurusan harta beliau hanya boleh diserahkan kepada pemohon iaitu Saedah bt Abu Bakar dan
Malek bin Hj Mohamed Yusuf yang merupakan isteri dan anaknya selepas 10 tahun dari tarikh
beliau meninggal dunia. Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa arahan dalam wasiat tersebut
adalah tidak sah mengikut undang-undang Islam dan ahli waris berhak menerima pembahagian
harta pesaka secara segera.

Dalam masalah lain terdapat juga orang yang meninggal dunia tanpa sebarang wasiat kepada
cucunya daripada anak lelaki yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak
dengannya. Mengikut hukum faraid cucu tersebut adalah tidak berhak untuk menerima bahagian
faraid. Peruntukan subseksyen 27(1) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) telah memberikan
hak kepada golongan tersebut dengan apa yang dikenali sebagai wasiat wajibah. Maka cucu
tersebut berhak terhadap satu pertiga wasiat dan sekiranya cucu tersebut diberi dengan kadar
yang kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah
tadi, namun kadar sepertiga tersebut tidaklah boleh melebihi kadar dimana ayahnya berhak
didalam harta pusaka datuknya sekiranya ayahnya mati selepas kematian datuknya, turut
mengkanunkan wasiat wajibah adalah Negara Mesir dan Syria sebagai satu jalan untuk
mengelakkan penginayaan dan sesuai dengan semangat syariat Islam dalam keadilan dan
pembelaan sewajarnya kepada cucu yang kehilangan bapa lebih awal dari datuknya.

Walaupun terdapat sedikit percanggahan bidangkuasa apabila pentadbiran wasiat di Malaysia


terbahagi kepada undang-undang sivil dan Islam ini bukanlah alasan untuk orang Islam
meninggalkan amalan menulis wasiat. Pentadbiran wasiat disebelah sivil dilaksanakan melalui
Akta Wasiat 1959, Akta Probet dan Pentadbiran Harta Pesaka 1959 atau dikenali dengan Akta 97
Probate And Administration Act 1959 yang digubal oleh Parlimen, berdasarkan peruntukan
bidangkuasa dan penditilan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Enakmen Wasiat
Orang Islam sewajarnya wasiat orang Islam dilaksanakan mengikut hukum syarak dan
pelaksanaan ini masih tidak berlawanan dengan artikel 121(1)(A) Perlembagaan Persekutuan dan
peruntukan Jadual Kesembilan, Senarai 1-Senarai Persekutuan berkenaan penentuan pemilikan
harta.

Malangnya sebahagian besar masyarakat Islam yang tidak memahami kehendak hukum syarak
dalam penyediaan wasiat sehingga mengakibatkan perpecahan sesama sanak saudara,
pertelingkahan sehingga memungkin pertumpahan darah diatas ketidak puasan hati dalam
pembahagian harta. Perkara yang sebaliknya berlaku kepada orang bukan Islam apabila
bertambahnya bilangan wasiat yang didaftarkan hasil kesedaran terhadap pentingnya
mengelakkan pertikaian selepas kematian. Dalam perkara ini terdapat beberapa firma atau
konsultan yang mengendalikan penulisan wasiat orang Islam dibawah pengawasan Amanah
Raya Berhad, dan tidak ketinggalan peguam-peguam syarie yang menjalankan khidmat
penulisan wasiat untuk kemudahan masyarakat Islam merancang pemilikan harta selepas
kematian dengan aman dan bijaksana.

Pada dasarnya, wasiat yang dibuat oleh mana-mana orang Islam di Malaysia adalah tidak
melibatkan urusan di Mahkamah Syariah. Namun apabila berlaku sebarang pertikaian dari mana-
mana pihak ataupun penentuan keesahan sesuatu wasiat maka kata putus hendaklah dibuat oleh
Hakim Syarie yang berbidangkuasa berdasarkan Enakmen Pentadbiran dan Enakmen Wasiat.
Berikut adalah contoh situasi dimana wasiat dibuat dalam bentuk surat yang tidak lengkap
Situasi wasiat 3:
Jefri atau disebut sebagai Arwah selepas ini, mati meninggalkan waris yang terdiri dari seorang
isteri yang bernama Rose, seorang ibu kandung dan 3 orang anak lelaki yang mana salah
seorangnya terencat akal, ketika masih hidup Arwah telah melantik Wasoyah Trustee Berhad
secara rasmi sebagai wasi dan pemegang amanah yang menguruskan harta peninggalan beliau.
Wasoyah Trustee Berhad telah mewakilkan seorang agen untuk membuat surat wasiat yang
mengagih dan mentadbir harta-harta peninggalan Jefri setelah beliau mati kepada ahli-ahli waris
yang masih hidup. Di dalam wasiat tersebut Arwah telah mewasiatkan hartanya yang terdiri dari
sebuah rumah banglo, sebuah kereta, tanah dan saham kepada isteri beliau manakala wang
ASNB, wang Tabung Haji, keahlian kelab golf dan akaun simpanan beliau kepada anak
pertamanya sebanyak 30%, anak kedua seanyak 30% dan anak ketiga sebanyak 40%. Namun
dalam wasiatnya tidak dinyatakan nama ibu beliau, walaubagaimanapun kesemua waris-waris
bersetuju untuk melaksanakan sepenuhnya wasiat tersebut. Malangnya surat wasiat tersebut tidak
sempat ditandatangani oleh Arwah.
Berdasarkan seksyen 4 Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, Rose meyakini
bahawa wasiat arwah yang tidak sempat ditandatangani masih sah dan boleh dilaksanakan oleh
waris-waris yang hidup. Seksyen 4 dipetik
“… tiada apa-apa tuntutan tentang keesahan sesuatu wasiat selepas matinya seseorang pewasiat
boleh diterima oleh Mahkamah melainkan ianya disokong oleh dokumen-dokumen yang ditulis
atau ditandatangani oleh pewasiat .”
Jika diteliti bahagian terakhir peruntukan seksyen tersebut, dengan perkataan “atau” ternyata
hasrat penggubal untuk membuka peluang pelaksanaan wasiat adalah besar sehingga meliputi
dokumen wasiat yang bertulis tetapi tidak ditandatangan oleh pemberi wasiat. Pun begitu,
sekiranya dokumen yang tidak ditandatangani ini dipertikaikan, maka kaedah pembuktian
melalui dua orang saksi mampu dijadikan hujah keesahan wasiat tersebut.
Dalam kes ini, Rose selaku salah seorang waris telah menfailkan kes ini ke Mahkamah Syariah,
pemfailan ini menjadikan beliau sebagai Plaintif, manakala waris lain yang terdiri dari ibu
Arwah dan anak-anaknya dijadikan sebagai Defendan. Permohonan beliau adalah untuk
mendapatkan perintah Mahkamah supaya wasiat Arwah diisytiharkan sah dan dilaksanakan
sepenuhnya.
Oleh kerana salah seorang anak Arwah tidak boleh mengurus dan mentadbir hal-hal diri dan
harta sendiri, maka Rose telah membuat permohonan untuk menjadi penjaga ad-litem
berdasarkan alasan bahawa beliau adalah ibu kandung dan penjaga hakiki. Penjaga ‘ad-litem’
kepada anak tersebut berkuasa untuk membuat apa-apa urusan mengenai harta anak tersebut
berdasarkan peruntukan seksyen 91 dan 92 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri
Selangor 2003. Walaubagaimanapun oleh kerana beliau sedang dan akan bertindak sebagai salah
seorang benefisiari apatah lagi sebagai Plaintif dalam kes ini maka penjaga ad-litem
kemudiannya ditukarkan permohonannya kepada bapa saudara anak tersebut bagi mengelakkan
tohmah.
Ibu Arwah yang mengambil sikap tidak mahu campurtangan dan menyerahkan urusan serta
bahagiannya kepada keluarga Arwah telah membuat penyerahan hak dalam bentuk akuan
sumpah dihadapan Pesuruhjaya Sumpah, oleh kerana kes ini melibatkan Mahkamah Syariah
maka Pesuruhjaya Sumpah beragama Islam lebih diutamakan. Antara isi kandungannya adalah
beliau menolak segala hak bahagiannya di dalam faraid dan redha menerima haknya yang
diperuntukkan dalam surat wasiat. Beliau juga berakujanji untuk tidak mempertikaikan keesahan
surat wasiat tersebut.
Dipenghujung prosiding, semua pihak yang terdiri dari benefisiari atau waris yang berhak
mengikut hukum syarak kepada harta Arwah termasuk seorang penjaga ad-litem telah
menandatangani Surat Ikatan Persetujuan. Surat tersebut mengandungi kesemua isi kandung
wasiat yang tidak sempat ditandatangani oleh Arwah. Maka dengan keterangan semua pihak dan
yang lebih penting lagi, persetujuan yang ikhlas daripada waris-waris maka wasiat Arwah
akhirnya menjadi perintah Mahkamah dan secara rasminya wasiat tersebut menjadi sah dan
terlaksana mengikut hukum syarak dan undang-undang.
Kes tersebut adalah salah satu gambaran permohonan pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah,
perkembangan kes wasiat sebegini amat kurang didaftarkan di Negeri Selangor, berdasarkan
carian e-syariah terkini, tahun 2006 sebanyak 1 kes didaftarkan, manakala tahun 2007 sebanyak
3 kes dan bagi tahun 2008 sehingga ke hari ini tiada sebarang kes dibawah kod 039 Permohonan
Pengesahan Wasiat didaftarkan. Terdapat dua kemungkinan yang menyumbang kepada
kurangnya kes sebegini. Antaranya sifat mengambil jalan tengah umat Islam yang tidak mahu
ahli waris berebut-rebut harta peninggalannya selepas mati seterusnya menyerahkan
pembahagian kepada sistem faraid semata-mata manakala kemungkinan kedua samada wasiat
yang dibuat oleh simati tidak dipertikaikan langsung oleh semua ahli waris.
Berdasarkan kes diatas, semua pihak bernasib baik apabila kesemua syarat yang ditinggalkan
oleh pembuat wasiat telah memenuhi kehendak undang-undang dan juga restu ahli waris, dengan
keharmonian yang ada pada semua pihak, harta peninggalan walaupun membentuk wasiat
kepada ahli waris dan kadar harta melebihi satu pertiga, masih dapat dilaksanakan. Namun tidak
semua kes boleh berjalan dengan lancar terutamanya apabila melibatkan salah faham dari
pembuat wasiat terhadap undang-undang dan hukum syarak. Pertikaian yang direkodkan melalui
kes-kes yang dilaporkan dalam jurnal perundangan membentuk empat permasalahan popular
sewaktu pengagihan wasiat dibuat.
Yang pertamanya apabila wasiat melebihi satu pertiga harta yang ditinggalkan. Dalam kes Shaik
Abdul Latif dengan Shaikh Elias Bux (1962) 28 MLJ 374 Hakim telah memutuskan wasiat
Shaikh Babu Bux adalah bercanggah dengan undang-undang Islam. Dalam kes ini ia telah cuba
menghadiahkan hartanya lebih dari satu pertiga pada selepas kematiannya. Dalam kes Katchi
Fatimah lwn Mohamad Ibrahim (1962)28 MLJ 374 diputuskan seseorang Muslim tidak boleh
mewasiatkan hartanya melebihi satu pertiga dari baki selepas pembayaran urusan pengebumian
dan hutang piutang kecuali dengan izin semua ahli waris selepas kematian pemberi wasiat.
Yang keduanya berkaitan penangguhan dalam penyerahan harta wasiat. Dalam kes Abdul Rahim
lawan Abdul Hameed dan lain-lain (1983)2 MLJ 78 Mahkamah memutuskan pembuat wasiat
tidak boleh menangguhkan penyerahan harta wasiat, seterusnya menghalang pembahagian harta
mengikut faraid terhadap ahli waris. Kes Saedah binti Abu Bakar dan Malek bin Hj Mohamed
Yusuf lawan Hj Abdul Rahman bin Haji Mohamed Yusuf dan Usman bin Haji Mohamed Yusuf
menyaksikan Mahkamah membatalkan wasiat yang dipohon. Pemohon dalam kes ini mendakwa
wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun adalah tidak sah dan
pembahagian kepada ahli waris hendaklah dilaksanakan segera.
Yang ketiga apabila wasiat dibuat semasa sakit yang mengakibatkan kematian (maradhul maut).
Dalam kes Amanullah bin Haji Ali Hassan lawan Hajjah Jamilah binti Sheikh Madar, wasiat
dibuat semasa pemberi wasiat dalam keadaan separuh sedar. Beliau menyerahkan hartanya lebih
daripada satu pertiga kepada warisnya. Mahkamah memutuskan bahawa wasiat yang dibuat
dalam keadaan tersebut adalah tidak sah.
Dan yang keempat wasiat kepada ahli waris, Kes Siti binti Yatim lawan Mohamed Nor bin
Bujal, si mati telah mewasiatkan kesemua hartanya kepada anaknya, Mohamed Nor bin Bujal
dengan tujuan menghalang isterinya mendapat bahagian di dalam hartanya. Diputuskan bahawa
wasiat tersebut adalah tidak sah. Namun berlawanan dalam kes contoh yang dibawakan pada
permulaan artikel ini, walaupun wasiat dibuat kepada ahli waris namun dengan tiadanya
pertikaian yang timbul seperti dalam kes Siti binti Yatim, maka Mahkamah boleh memutuskan
seperti mana yang dikehendaki oleh simati.
Pokok pangkalnya, pemahaman semua pihak samada ahli waris ataupun pembuat wasiat sendiri
terhadap kehendak hukum syarak dan undang-undang boleh membantu kelancaran pembahagian
harta selepas berlaku kematian. Bagi memudahkan semua pihak terdapat beberapa agensi yang
sedia membantu proses pembuatan pengesahan dan pelaksanaan wasiat. Maka dengan
kemudahan ini maka tidak akan berlaku lagi pertikaian yang boleh mencerai beraikan ahli
keluarga dan sanak saudara dikalangan umat Islam.

HARTA PUSAKA
Situasi Faraid 1:
Latif bin Sujak tergamam apabila mendengar berita kemalangan yang melibatkan bapa dan
datuknya dalam perjalanan ke KLIA. Selaku pengasas kepada kumpulan perniagaan yang
tersenarai dalam papan utama di beberapa negara, kehilangan Datuk Asri memberi kesan kepada
keluarganya. Lebih mengejutkan dikalangan sanak saudara mereka tiada sebarang penamaan
dibuat keatas siapa yang akan menjadi pewaris harta Datuk Asri. Melalui laporan perubatan
terhadap dua mangsa yang sempat dikejarkan ke hospital, Encik Sujak meninggal dunia terlebih
dahulu daripada Datuk Asri. Jarak kematian diantara bapa dan datuk kepada Latif walaupun
selang beberapa minit menjadikan Latif sekeluarga tidak layak untuk mewarisi harta arwah
Datuknya mengikut hukum faraid.
Halangan ke atas Sujak untuk menerima harta datuknya adalah disebabkan syarat pewarisan
yang menghendaki waris hidup ketika pemilik harta mati. Ini bermakna, waris-waris yang mati
dahulu daripada pemilik harta tidak mewarisi pusaka walaupun meninggal terlebih dahulu
beberapa saat. Masalah yang sama juga boleh didapati dalam peristiwa kemalangan yang
melibatkan ramai orang, contohnya nahas jalanraya, udara, bencana alam dan sebagainya apabila
berlaku kematian beramai-ramai maka tidak diketahui siapa yang mati dahulu dan siapa yang
mati kemudian, maka dihukumkan tiada pusaka mempusakai diantara mereka yang layak apabila
terjadi yang sedemikian.
Selain daripada halangan kematian terlebih dahulu daripada pemilik harta, pembunuh tidak boleh
mewarisi harta orang yang dibunuhnya, dalam kebanyakan mazhab Ahli Sunnah, bunuh yang
dimaksudkan samada secara sengaja atau tidak sengaja, jika ditakdirkan Encik Sujak yang
memandu kereta membawa Datuk Asri, tidak meninggal dalam kemalangan tersebut, beliau
masih terhalang untuk menerima harta Datuk Asri, kerana dari segi syaraknya beliau adalah
penyebab kepada kematian bapanya. Melainkan Mazhab Hanafi dan Hanbali yang
membahagikan penyebab kematian kepada sengaja dan tidak sengaja atau kematian yang
menyebabkan hukuman qisas, diat atau kifarat menjadi sebab kepada penerimaan atau halangan
menerima warisan atau faraid. Selain daripada itu berlainan agama juga faktor penghalang
kepada penerimaan dan pemberian faraid kerana terdapat sebuah hadis Rasulullah yang
berbunyi: Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi harta orang-
orang kafir.
Namun dalam konteks Malaysia, harta orang bukan Islam boleh diwarisi oleh orang Islam
mengikut undang-undang yang dikanunkan dibawah Akta 1004. Distribution (Amendment) Act
1997. Berdasarkan peruntukan tersebut pembahagian dibuat kepada semua ahli waris tanpa
mengira agama mereka. Penerimaan dan pemberian ini akan mendatangkan keuntungan kepada
semua pihak samada dari segi ekonomi umat Islam mahupun hubungan toleransi agama dengan
sanak saudara yang tidak beragama Islam. Manakala satu lagi halangan menerima wasiat adalah
murtad atau keluar dari agama Islam. Harta orang yang murtad dikembalikan kepada Baitumal
tetapi menurut mazhab Hanafi harta tersebut boleh dibahagikan faraid kepada ahli waris setelah
dinilai sebelum beliau murtad, harta yang diperolehi selepas murtad diserahkan kepada
Baitulmal.
Peruntukan dalam undang-undang syariah di Malaysia tidak menyatakan dengan jelas tentang
kaedah pembahagian harta orang yang mati didalam enakmennya, ini adalah kerana bahagian
setiap ahli waris telah dinyatakan dengan jelas dalam beberapa ayat daripada Surah An-Nisaa’.
Antaranya:
“Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara maka bahagian ibu bapanya ialah
seperenam. Pembahagian ini ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh
simati dan sesudah diselesaikan hutangnya”.
Pembahagian faraid dari segi pecahan bahagian tiap seorang adalah dalam bidang kuasa
Mahkamah Syariah mengikut bidangkuasa yang diperuntukkan dalam Seksyen 61(3)(b)(ix)
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No.1 Tahun 2003:
61(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah- (b)Dalam bidangkuasa malnya mendengar dan
memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu
adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu berhubungan dengan: (ix) penentuan orang-
orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau
bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;
Daripada peruntukan umum tersebut dikhususkan pula takat bidangkuasa Mahkamah Rendah
Syariah untuk tuntutan yang bernilai di bawah seratus ribu ringgit sepertimana diperuntukkan
dalam seksyen 62(2)(b) yang berbunyi:
62(2)Mahkamah Rendah Syariah hendaklah; (b)Dalam bidang kuasa malnya,mendengar dan
memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk
mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak
melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang.
Oleh yang demikian kepada permohonan untuk perakuan warisan yang nilaian melebihi takat
RM100,000.00 maka tuntutan hendaklah didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam,
manakala selainnnya boleh didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah yang
berbidangkuasa.
Di dalam Enakmen yang sama terdapat satu peruntukan khas untuk pembahagian faraid yang
mana di dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 terdahulu, dinamakan sebagai
Sijil Faraid, manakala selepas pindaan dinamakan sebagai Perakuan Warisan, seksyen 65
dinyatakan:
“Jika dalam perjalanan mana-mana prosiding yang berhubungan dengan pentadbiran atau
pembahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam, mana-mana mahkamah atau
pihak berkuasa, selain Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah, mempunyai
kewajipan untuk menentukan- (a) orang yang berhak mendapat bahagian dalam harta pusaka itu;
atau (b) bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak, Mahkamah
Syariah boleh, atas permohonan mana-mana orang yang menuntut bahawa dia menjadi
benefisiari atau wakilnya dan setelah dibayar olehnya fi yang ditetapkan, memperakukan fakta-
fakta yang didapati oleh Mahkamah Syariah itu dan pendapat Mahkamah Syariah itu tentang
orang-orang yang berhak atau bahagian-bahagian itu”.
Terdahulu, prosiding permohonan sijil faraid dilakukan secara mengemukakan permohonan
melalui borang tanpa perlu diperiksa oleh Hakim tentang kebenaran fakta waris-waris, namun
setelah meneliti kaedah tersebut yang didapati membuka ruang untuk memalsukan fakta seperti
melindungi waris yang berhak untuk menerima faraid, maka penambahbaikan sistem
diperkenalkan, melalui pekeliling Ketua Pendaftar setiap permohonan perakuan warisan dibuat
dengan sokongan ikrar melalui Afidavit (sumpah dihadapan Pendaftar atau Hakim Syarie).
Setelah permohonan lengkap, siasatan dilakukan sepertimana prosiding kes Mal di dalam dewan
perbicaraan oleh Hakim Syarie ke atas pemohon. Penyiasatan ini dilakukan dengan teliti supaya
tidak ketinggalan semua ahli waris, atau tidak berlaku penyembunyian waris yang berhak
melalui pakatan waris lain. Sekiranya perlu Hakim boleh memanggil saksi samada seorang atau
lebih untuk menguatkan fakta dan aturan waris. Berbanding dengan sistem sijil faraid terdahulu,
sijil yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah perlu mendapat pengesahan dan semakan
daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, sekarang tidak lagi, malah keputusan Sijil Perakuan
Faraid boleh dirayu ke Mahkamah yang lebih tinggi. Salah satu piagam pelanggan Jabatan
Kehakiman Syariah Selangor menyatakan pelanggan boleh mendapatkan Sijil Perakuan Faraid
dalam tempoh 14 hari selepas kes diputuskan.

Kembali merujuk kepada masalah Latif dipermulaan artikel dan sebagai jalan penyelesaian
kepada isu mereka yang terhalang daripada menerima bahagian faraid disebabkan kematian
penerima waris terlebih dahulu daripada pemilik harta, pihak Jawatankuasa Perundangan Syarak
Negeri Selangor telah memasukkan peruntukan wasiat wajibah ke dalam Enakmen Wasiat Orang
Islam Selangor 1999, seksyen 27 berbunyi: (1) Jika seseorang mati tanpa membuat apa-apa
wasiat kepada cucunya daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau
mati serentak dengannya, maka cucunya itu hendaklah berhak terhadap satu pertiga wasiat dan,
sekiranya cucu itu diberi dengan kadar yang kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah
disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen ini.
Peruntukan ini memberi maksud, Latif selaku cucu kepada Datuk Asri tetap layak utuk
menerima bahagian didalam faraid, walaupun terhalang kerana kematian bapanya yang lebih
dahulu mati sebelum datuknya. Peruntukan ini dinamakan sebagai wasiat wajibah, hanya Negeri
Selangor sahaja di dalam Malaysia yang memperakui peruntukan tersebut, kebanyakan
Mahkamah Syariah selainnya berpandukan kepada bidangkuasa umum berkaitan wasiat yang
diperuntukkan dalam senarai 2 Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan dan dalam Enakmen
Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri. Oleh kerana ketiadaan peruntukan tersebut, kerapkali
timbul masalah dan konflik dalam memutuskan kes-kes yang berkaitan dengan wasiat.
Walaupun persoalan faraid tidak pernah membincangkan wasiat wajibah secara terperinci kerana
khilaf yang berlaku diantara ulama’ fiqh tentang keharusannya, namun terdapat beberapa Negara
Islam yang melaksanakannya diatas dasar menjaga maslahah dan keadilan kepada waris dan ahli
keluarga terutamanya cucu yang dinafikan daripada mendapat pusaka kerana ibu atau bapa
mereka mati dahulu sebelum kematian datuk atau nenek mereka. Negara-Negara tersebut adalah
Mesir, Maghribi, Syria, Tunisia, Pakistan dan Sudan, sepertimana khilaf terhadap keharusan
wasiat wajibah tersebut, Negara-negara Islam yang mengiktirafnya turut berbeza kaedah
pemakaiannya antara satu sama lain.
Menurut Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, seksyen 27, menyatakan kadar yang akan
diterima oleh cucu adalah tidak melebihi bahagian yang sepatutnya diterima oleh ayahnya
sepertimana yang diperuntukkan, begitu juga dengan beberapa peruntukan lain yang menjadi
panduan kepada Hakim Syarie sebelum memutuskan bahagian faraid yang mengandungi wasiat
wajibah untuk kemaslahatan semua pihak sepertimana kandungan seksyen tersebut yang
berkenaan:
“(2) Kadar wasiat wajibah untuk kanak-kanak yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah
setakat kadar di mana ayahnya berhak daripada harta pusaka datuknya sekiranya diandaikan
ayahnya itu mati selepas kematian datuknya:”
Dengan syarat wasiat itu tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka simati.
“(3) Kanak-kanak tersebut hendaklah tidak berhak kepada wasiat sekiranya dia telah mewarisi
daripada datuk atau neneknya, mengikut mana berkenaan, atau datuk atau neneknya semasa
hayatnya, dan tanpa menerima apa-apa balasan, telah membuat wasiat kepada mereka atau telah
memberi kepada mereka harta yang bersamaan dengan apa yang mereka sepatutnya menerima
menurut wasiat wajibah:
Dengan syarat sekiranya wasiat yang dibuat oleh datuk atau nenek itu kurang daripada bahagian
yang sepatutnya dia berhak, haknya hendaklah ditambah sewajarnya dan jika bahagian tersebut
adalah melebihi bahagian yang dia berhak, bahagian yang lebih itu hendaklah menjadi wasiat
sukarela dengan tertakluk kepada persetujuan waris.”.
HARTA SEPENCARIAN
Harta Sepencarian merupakan salah satu isu yang sering timbul daripada perceraian di kalangan
umat Islam khususnya masyarakat Islam di Malaysia. Penyelesaiannya melalui peringkat
Mahkamah telah berlaku baik di mahkamah sivil mahupun di mahkamah syariah. Penyelesaian
ini amat penting dilakukan kerana apapun dalam isu harta kebiasaannya boleh menimbulkan
hubungan yang kurang senang atau perbalahan di kalangan mereka yang berhak senadainya
ianya tidak diselesaikan.
Harta Sepencarian ditakrifkan dalam Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Negeri Selangor 2003 sebagai:
“harta sepencarian” ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan
berkuat kuasa mengikut syaratsyarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;”
Berdasarkan pindaan enakmen undang-undang keluarga pada tahun 2003, tafsiran harta
sepencarian secara umum telah menyentuh dua peruntukan substantif dalam enakmen yang
sama, pertamanya seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor
2003:
“(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila
membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh
pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka
atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan
dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan
hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil
perhatian tentang.
(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang,
harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat
bersama mereka;
(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada, dan,
tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian
yang sama banyak.”
Manakala yang keduanya di dalam seksyen 23(10) enakmen yang sama:
(10) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu
didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana
pihak kepada perkahwinan.
(a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-
isteri yang sedia ada; atau
(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam
masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-
mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.
Peruntukan ini diwujudkan setelah pindaan dibuat untuk memastikan hak isteri terdahulu
terjamin dan mengelakkan pertikaian tentang harta kepada pasangan yang telah dibenarkan oleh
Mahkamah untuk berpoligami.
Sesuatu tuntutan yang berkaitan dengan harta sepencarian sama ada harta alih atau harta tak alih
perlu dibuktikan bahawa harta itu diperoleh dalam tempoh perkahwinan. Harta yang
dikumpulkan oleh pasangan suami isteri selepas perceraian tidak dianggap sebagai harta
sepencarian. Dalam kes Ningal @ Yang Chik lawan Jamal, plaintif (isteri) yang telah diceraikan
menuntut perkongsian dalam harta sepencarian. Dibuktikan bahawa defendan (suami) telah
menceraikan plaintif pada 12 Februari 1982 tetapi perceraian mereka didaftarkan pada Januari
1983. Di Mahkamah Rayuan, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan
Qadhi Besar. Dalam Kes ini, Mahkamah Rayuan mengulas bahawa meskipun dalam nota
perbicaraan kes ini, Qadhi yang mendaftarkan perceraian perayu dan yang kena rayu telah
mencatatkan akan menjual rumah itu serta akan membahagi separuh daripada nilainya kepada
perayu tetapi nota tersebut hanyalah tidak lebih dari hasrat yang kena rayu memberikan separuh
bahagian daripada hasil jualan rumah itu. Sehubungan itu, fakta yang amat penting di dalam kes
ini ialah rumah dan kereta yang dipertikaikan itu adalah dibeli oleh pihak yang kena rayu selepas
dia menceraikan perayu pada 12 Februari 1982.
Sehubungan itu, pihak yang menuntut perlu membuktikan di Mahkamah bahawa harta yang
dipertikaikan itu benar-benar wujud. Jika sekiranya tuntutan harta tak alih dibuat, meskipun
beban pembuktian dibebankan kepada pihak yang menuntut biasanya pembuktian berada dipihak
yang kena tuntut, tetapi pihak yang menuntut boleh mendapatkan pembuktian itu melalui
Perakuan Carian Rasmi di Pejabat Tanah berasaskan kepada Jadual 4 Kanun Tanah Negara atau
Cabutan Hak Milik berasaskan Jadual 9 (kaedah 42) Kanun Tanah Negara dan taksiran nilaian
harta-harta yang dipertikaikan itu melalui penilai berdaftar atau taksiran dari Pejabat Tanah
(Pembahagian Pesaka).
Disamping tuntutan hak ke atas harta sepencarian, suatu relief yang perlu dilakukan memohon
tegahan harta tersebut dari sebarang perpindahan, peruntukan yang agak jelas dibuat dalam
undang-undang yang baru digubal dan telahpun diluluskan oleh sesetengah negeri. Undang-
undang baru ini memperuntukkan bahawa mahkamah, boleh atas permohonan mana-mana pihak
isteri atau suami membuat suatu perintah melarang daripada melupuskan apa-apa harta yang
diperoleh dalam perkahwinan jika mana-mana prosiding hal ehwal suami isteri masih belum
selesai atau dalam prosiding itu mahkamah boleh membuat suatu perintah berkenaan. Kegagalan
pihak-pihak itu mematuhi perintah berkenaan boleh dikenakan hukuman sebagai suatu
penghinaan kepada mahkamah.
Harus diteliti bahawa harta-harta lain yang tidak dapat ditafsirkan dengan jelas didalam undang-
undang bertulis yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah, maka ia tidak boleh dituntut di
Mahkamah Syariah. Dengan perkataan lain, undang-undang bertulis berkenaan hanya
meperuntukkan perkara perkara yang melibatkan hal ehwal agama Islam yang dilihat dalam skop
yang terhad. Oleh itu jika pertikaian harta (misalnya saham) meskipun ia berlaku dalam tempoh
perkahwinan tetapi pihak yang menuntut berjaya membuktikan atas asas anggapan ia sebagai
amanah maka ia tidak termasuk dalam makna tafsiran dalam undang-undang keluarga dan
Mahkamah Syariah tidak berbidangkuasa untuk membicarakan tuntutan berkenaan. Tegasnya,
apa yang dapat difahami dari peruntukan undang-undang tersebut ialah “perkahwinan atau
perceraian” atau “tuntutan-tuntutan terhadap harta yang berbangkit daripada perkahwinan dan
perceraian itu hendaklah berlaku secara serentak dan bukan secara berasingan atau dalam isu
yang tersendiri. Dengan lain perkataan, perkahwinan dan perceraian itu hendaklah ada unsur
dominan dan perkaitan yang amat rapat dengan apa-apa tindakan atau prosiding.
Dalam kes Noor Jahan lawan Md Yusoff dan lain-lain plaintif merupakan isteri defendan
pertama yang menuntut bahawa 47,001 unit saham Amanah Saham Nasional (ASN) yang
dikeluarkan oleh defendan kedua (ASN Sdn Bhd) walaupun didaftarkan atas nama defendan
pertama, dipegang atas amanah untuknya dan memohon suatu injunksi dan suatu perintah untuk
pemindahan saham itu kepadanya. Dalam kes ini, plaintif memberitahu mahkamah bahawa dia
telah membeli saham itu atas permintaan defendan pertama. Oleh itu suatu amanah berbangkit
yang memihak kepadanya telah timbul. plaintif diberikan suatu injunksi interlokutri.
Meskipun defendan pertama menghujahkan bahawa saham itu merupakan satu hadiah dan
memohon supaya tuntutan plaintif dibatalkan atas alasan bahawa ia tidak mendedahkan apa-apa
kuasa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan, salah tanggap disisi undang-undang dan
penyalahgunaan proses mahkamah dan beliau juga memohon supaya injunksi interlokutri itu
diketepikan kerana tidak ada soalan serius untuk dibicarakan, terdapat ketidakdedahan fakta
material dan sebagainya disamping menimbulkan suatu bantahan bahawa Mahkamah Tinggi
tidak mempunyai bidangkuasa ekslusif di bawah peruntukan Perlembagaan Perkara 121 (1A)
namun permohonan beliau (defendan pertama) ditolak dengan merujuk kepada kandungan dan
tujuan Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Pulau Pinang 1959 yang membuat
peruntukan mengawal hak ehwal agama Islam supaya membuat suatu tindakan atau prosiding ke
dalam skopnya. Tegasnya dalam kes ini, tuntutan Plaintif untuk relief injunktif bukanlah
mempunyai kaitan dengan dominan dengan perceraian tetapi sebaliknya ia berbangkit dari relief
asas yang dipohon itu penentuan mengenai hak milik (empunya) saham itu dan soal amanah serta
tidak ada kaitan dengan hak ehwal Agama Islam (dalam soal perceraian dan perkara berkaitan
dengannya). Kedua-dua belah pihak juga memperakui bahawa perkara tindakan dibawah maksud
seksyen 40(30 9b) (iv) enakmen itu (pembahagian inter vivos harta sepencarian) iaitu 47001 unit
saham itu adalah dibeli dengan wang plaintif sendiri dan telah diberi kepada defendan secara
ekslusif. Malah sumber atau usaha bersama di antara plaintif dan defendan pertama tidak
dibangkitkan sama ada harga belian atau mana-mana bahagian daripada saham itu diperoleh
secara bersama.
Kebanyakan penyelesaian kes harta sepencarian berdasarkan kepada adat Melayu, kerana
peruntukan kuasa mahkamah pembahagian harta sepencarian tidak menjelaskan bagaimana patut
harta dibahagikan.
Meskipun tiada kaedah yang tetap kes-kes terdahulu boleh dijadikan pengikat kes-kes kemudian
antara kes berkenaan, kes Hajjah Lijah Binti Jamal lwn Fatimah Binti Mat Diah The Rasim lwn
Neman Laton lwn Ramah dan Re Noorijah adalah antara kes-kes yang sering dijadikan rujukan
pembahagian Harta Sepencarian.
Kes Robert lwn Umi Kalthom adalah kes yang sering dikaitkan dengan pembahagian harta
sepencarian. Roberts adalah seorang pegawai British yang telah memeluk Islam dan berkahwin
dengan Umi Kalthom, kedua-duanya bekerja. Rumah yang mereka duduki telah didaftarkan atas
nama isterinya Umi Kalthom, Robert adalah warga negara asing telah berkahwin dengan Umi
Kalthom warganegara Malaysia. Mengikut peraturan dalam akta pemilikan, beliau tidak boleh
memiliki apa-apa tanah dan rumah untuk mendaftar milik harta atas namanya, termasuk rumah
yang diduduki bersama isterinya. Sedangkan tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan oleh
mana-mana pihak suami atau isteri. Dalam kes ini, suami berhak menuntut bahagian harta yang
disifatkan harta sepencarian, jika dibuktikan harta itu adalah harta sepencarian, setelah berlaku
penceraian, Robert menuntut sebahagian rumah itu. Hakim Raja Azlan Shah telah merujuk
kepada kes lama yang pernah diputuskan, dan akhirnya mahkamah memutuskan bahawa Robert
berhak mendapat sebahagian dari rumah tersebut yang dikongsi bersama dengan Umi Kalthom.
Persoalan mengenai Robert tidak boleh memiliki tanah dan rumah serta tidak boleh
mendaftarkan rumah itu atas namanya tidak timbul kerana ia tidak ada kaitan dengan adat
Melayu yang diamalkan, oleh itu tidak diambil kira diatas siapa harta didaftarkan. Hakim
berpendapat bahawa harta sepencarian adalah perkara adat Melayu dan bukan mengenai undang-
undang Islam. Pada masa itu perkara-perkara adat Melayu termasuk adat mengenai harta
sepencarian, Mahkamah Sivil yang berbidangkuasa mendengarnya.
Dalam kes Boto’ Binti Taha lwn Jaafar Bin Muhammad Dimana Boto’ sebelum berkahwin telah
bekerja dan berhenti setelah berkahwin. Boto’ menuntut sebahagian daripada harta sepencarian.
Hakim Salleh Abbas memutuskan bahawa harta sepencarian itu tidak ada kaitan dengan Undang-
undang Islam dan ia termasuk di bawah kumpulan adat Melayu tempatan yang sudah lama
diamalkan. Oleh itu sebarang pertimbangan hakim adalah berdasarkan adat Melayu dan tidak
berpandukan undang-undang Islam tulin. Adalah diputuskan bahawa pembahagian hendaklah
dibuat melalui adat, dengan itu Boto’ dibenarkan atas tuntutannya.
Dalam kes Aishah Bee lwn Mohamad Noor. Harta sepencarian boleh juga dibahagikan jika
sekiranya kedua belah pihak bersetuju. Dalam kes ini pembahagian harta sepencarian dibuat atas
persetujuan kedua-dua belah pihak.
Dalam kes Rosnah lwn. Ibrahim isteri menamakan harta yang dituntut itu adalah harta
sepencarian yang diperolehi sepanjang perkahwinan. Dengan itu isteri telah membuat tuntutan
harta terhadap beberapa perkara, antaranya termasuk barang-barang kemas, kereta tolak, pinggan
mangkuk dan juga wang simpanan di dalam bank. Diputuskan, barang-barang kemas dan
pakaian serta kereta tolak hendaklah diserahkan kepada isteri, barang-barang kemas yang telah
digadai hendaklah diganti, tuntutan isteri terhadap pinggan mangkuk dan wang simpanan di
dalam bank ditolak, kerana tidak ada bukti menunjukkan bahawa harta dan barang-barang itu
adalah hasil usaha isteri juga.
Dalam kes Sabariah lwn Zainal isteri menuntut rumah dan kereta dibawah tuntutan pembahagian
harta syarikat, tuntutan isteri ditolak kerana tidak ada keterangan yang jelas menunjukkan
bahawa harta (rumah dan kereta) yang diperolehi itu boleh dianggap sebagai harta syarikat,
tuntutan isteri ditolak.
Dalam kes Norbee lwn Ahmad Sanusi isteri menuntut bahagiannya ke atas kereta, televisyen dan
beberapa perkakas rumah. Qadhi Besar, telah membenarkan tuntutan itu di bawah peruntukan
pembahagian harta sepencarian dan juga di atas dasar harta syarikat, ini disebabkan oleh suami
isteri tinggal bersama dalam sebuah rumah, isteri mendakwa beliaulah yang mengurus
rumahtangga, menjaga kebajikan suami ketika suami keluar bekerja mencari nafkah. Selain itu,
isteri telah menjelaskan bahawa suami tidak menyediakan beberapa perkara yang sepatutnya
disediakan oleh suami untuk membantunya dalam mengurus rumah tangga seperti menyediakan
pembantu rumah kerana isteri berhak untuk mendapatnya sedangkan suaminya mampu berbuat
demikian. Oleh kerana suami tidak menyediakan pembantu rumah, maka segala urusan yang
berkaitan dengan rumah tangga dan kebajikan suami serta keluarga terpaksa dilakukan sendiri.
Oleh itu adalah wajar disifatkan usaha dan kerja-kerja suami seolah-olah usaha dan kerjasama
dari isteri. Sumbangan isteri seperti ini amat besar ertinya kepada suami, sehingga menjadikan
suami begitu selesa mencari dan mengumpul harta yang akhirnya memiliki harta itu, diputuskan,
harta (rumah dan kereta) itu dijual dan dibahagikan antara mereka berdua. Pembahagian ini
menepati peruntukan dalam Undang-undang keluarga Islam di Malaysia.
Dalam kes Hamimah Bee lwn. Shamsuddin. isteri menuntut bahagiannya, iaitu barang-barang di
dalam rumah, kereta, peti televisyen, petisejuk, dapur gas dan rumah. Isteri mendakwa semua
tugas rumahtangga dilakukannya sendirian tanpa adanya pembantu rumah, isteri juga turut
menjaga rumah dan anak tiri, kerana isteri tidak mempunyai pembantu rumah, maka harta-harta
yang dituntut itu boleh dianggap sebagai harta bersama. Walau bagaimanapun, dalam kes ini
tidak ada keterangan dan saksi yang dipanggil untuk menyokong tuntutannya. Qadhi Besar
memutuskan rumah itu hendaklah dibahagi bersama antara mereka, dapur gas dan almari diberi
kepada isteri dan yang lain-lain kepada suami.
Dalam kes Zawiah lwn Roslan, isteri menuntut dan mendakwa bahawa suami telah
menggadaikan barang kemasnya, isteri juga menuntut kereta di mana isteri turut serta memberi
pinjaman kepada suami sebanyak RM4,000.00. Suami dapat membuktikan bahawa,
sememangnya barang kemas itu digadai tetapi separuh daripadanya diberi kepada isteri,
sementara kereta pula telah dijual oleh suami sebelum mereka bercerai. Suami juga dapat
buktikan bahawa kereta itu dibeli dengan wangnya sendiri. Dengan itu mahkamah telah
memutuskan bahawa suami hendaklah memberi separuh daripada barang yang digadai sahaja.
Dalam kes Zarah lwn Idris, di Johor Baharu, tuntutan isteri ditolak kerana tidak ada bukti
keterangan dikemukakan, harta-harta yang diperolehi itu secara bersama, sementara suami pula
dapat membuktikan bahawa rumah memang dibeli dengan wangnya sendiri, pendahuluan
dibayar dengan wang simpanan pekerjanya dan ansuran dipotong dengan wang gajinya,
tambahan pula isteri dengan sendiri meninggalkan rumah dengan itu mahkamah menolak
tuntutan isteri.
Dalam kes Piah lwn Che Lah .Qadhi Besar telah memerintahkan rumah dibahagikan samarata
antara suami isteri kerana ada bukti menunjukkan bahawa rumah itu dibeli bersama. Dalam kes
Mamat lwn Fatimah, mereka berkahwin pada tahun 1945, suami seorang pegawai polis apabila
bersara suami membeli tanah dengan wang pencennya, suami dan isteri bekerja bersama-sama
atas tanah itu serta mendirikan rumah, suami juga ada membeli harta (tanah) lain. Di Mahkamah,
Qadhi meminta suami bersumpah untuk menafikan harta itu harta sepencarian. Jika tidak
bersumpah akan dibalikkan kepada isteri dan isteri juga mestilah bersumpah untuk mengiakan
harta itu adalah harta sepencarian dan isteri akan mendapatnya. Suami menbuat rayuan, Qadhi
menolak rayuan itu dan diminta dibicarakan semula. Dalam perbicaraan semula Qadhi
nampaknya tidak menilai jasa isteri yang mengerjakan tanah itu dengan mengemukakan alasan
apakah boleh dituntut semula segala usaha yang dilakukan oleh isteri untuk menunaikan
kewajipan sebagai isteri. Dalam kes sumbangan isteri dalam pembelian tanah telah diambil kira
dan diputuskan isteri memperoleh sebahagian kecil daripada tuntutannya.
Dalam kes Bidah lwn Abd Ghani isteri menuntut pembahagian harta sepencarian, walau
bagaimanapun terdapat perdamaian dan persetujuan diantara mereka berdua agar harta yang
dituntut itu dibahagi samarata. Dalam kes Tengah lwn Ibrahim. kedua-dua pihak bekerja, suami
bekerja sebagai buruh dan isteri bertani, hasil pendapatannya dikongsi bersama mereka membeli
tanah dan mendirikan rumah di atasnya. Setelah mereka bercerai, isteri menuntut pembahagian
harta itu dibahagi samarata, suami menuntut tanah dan rumah sebanyak 2/3 bahagian. Qadhi
membuat penilaian dan melihat bahawa usaha dan tenaga suami lebih banyak daripada usaha dan
sumbangan isteri maka diputuskan harta itu dibahagi sebagai mana dituntut oleh suami.
Dalam kes Tengku Anum Zahrah lwn Dr. Hussein isteri menuntut pembahagaian harta
sepencarian, Suami mendakwa bahawa semua harta yang diperolehi hasil usaha gigihnya,
sedangkan isterinya tidak menyumbang apa-apa pun sama ada tenaga atau usaha ataupun wang
ringgit. Qadhi berpendapat sungguhpun isteri tidak menyumbang tenaga atau usaha atau wang
ringgit sehingga suami memiliki harta namun isteri tetap memberi sumbangan sekurang-
kurangnya sokongan moral secara langsung atau tidak langsung kerana berkahwin dengannya
yang merupakan salah seorang keturunan dan kerabat di raya Terengganu. Dengan itu, sedikit
sebanyak dapat mempengaruhi karier dan pekerjaannya atau profesyennya, sehingga suami
dengan mudah memperolehi harta dan membuatkan orang ramai dapat memberi kepercayaan
kepadanya. Selain dari itu, dapat memudahkan suami mendapat gelaran pangkat Dato’. Oleh itu
mahkamah membenarkan tuntutan isteri pada 12.12.1982. Perceraian telah didaftarkan pada
12.1.1983, harta yang terdiri dari rumah dan tanah telah dibeli selepas bercerai diputuskan
bahawa rumah itu dibahagi samarata dengan persetujuan dua pihak, tetapi tanah tidak
dibahagikan kerana diperolehi selepas bercerai.
Dalam kes Rokiah Binti Abdul Jalil lwn Mohamed Idris Shamsuddin, Qadhi Besar telah menolak
tuntutan isteri untuk mendapat harta, termasuk tanah dan saham yang diperolehi dalam masa
perkahwinan. Qadhi berpendapat, bahawa suami telah memperolehinya sendiri. Qadhi
bersandarkan kepada pendapat Imam Syafie’
“Jika terdapat pertelingkahan di antara suami dan isteri berkenaan dengan perabot rumah di masa
mereka tinggal sebelum berpisah atau sama ada rumah itu diberikan kepada suami atau isteri atau
jika kedua-duanya mati atau salah seorangnya mati dan pertelingkahan timbul dikalangan
warisnya, sesiapa yang dapat membawa bukti bahawa harta milik suami atau isteri maka dialah
berhak mendapatnya.”
Dalam kes ini jawatankuasa Mahkamah Rayuan berpendapat, Qadhi Besar telah tidak
menghiraukan sumbangan secara tidak langsung isteri di dalam memperolehi harta, mereka telah
merujuk kepada kes Mansjur lwn Kamariah dan rujukan juga telah dibuat kepada fatwa-fatwa
yang dikeluarkan. Dalam kes Mansjur lwn Kamariah dan juga kes Rokiah lwn Mohd Idris,
hujjah yang dipertikaikan ialah mengenai sumbangan isteri sama ada secara langsung dan tidak
langsung perlu diambil kira atau sebaliknya. Mahkamah seharusnnya membuat pertimbangan
sewajarnya selain dari itu harta yang diperolehi dalam masa perkahwinan juga mesti diambil kira
sebagai sumbangan isteri secara tidak langsung terhadap perolehan harta itu, di mana isteri
menjaga rumah tangga dan kebajikan sosial keluarganya sepanjang tempoh perkahwinan, kerana
tempoh perkahwinan pasangan ini selama 33 tahun dan merupakan suatu tempoh yang lama bagi
sesebuah perkahwinan, maka dengan itu amatlah wajar bagi isteri memperolehi haknya.
Mahkamah Rayuan memerintah suami memberi satu pertiga bahagian harta kepada isteri.
Berdasarkan dari kes-kes yang disebutkan tadi, menggambarkan kaedah dan kepelbagaian
bentuk pendekatan pembahagian harta sepencarian yang telah diaplikasikan oleh mahkamah-
mahkamah sama ada Mahkamah Tinggi (sivil) atau Mahkamah Syariah dalam menyelesaikan
pertikaian mengenai pembahagian harta selepas bercerai, disamping itu juga, didapati tiada suatu
pendekatan khusus yang seragam boleh diterimapakai sebagai satu peraturan atau kaedah yang
patut dan munasabah diikuti.
Secara umumnya pembahagian harta sepencarian yang diselesaikan itu dapat diklasifikasikan
kepada dua cara, iaitu pembahagian melalui persetujuan kedua belah pihak (suami isteri) dan
kemudian diperakui oleh mahkamah atau pun melalui pembahagian penghakiman dalam keadaan
hakim sendiri yang memutuskan pembahagian itu.
Selain dari itu mahkamah didapati agak longgar dalam menilai dan menimbang bukti keterangan
untuk memutuskan sesuatu kes. Walau pun sumbangan pihak masih boleh dipersoalkan. Adalah
wajar mahkamah memastikan bahawa ia benar-benar tidak wujud penipuan dan pembohongan
daripada pihak-pihak yang berkepentingan (menuntut dan pihak yang kena tuntut) dalam
menyelesaikan persoalan ini. Mahkamah hendaklah benar-benar berpuashati sebelum keputusan
dibuat.
PENUTUP
Berdasar maklumat yang dikumpulkan, dari segi peruntukan undang-undang dan laporan kes-kes
di Mahkamah, kita mendapati masih terdapat ruang penambahbaikan yang boleh diisi samada
dalam bentuk substantif mahupun prosedurer. Sebagai umat Islam, kaedah dan cara-cara
pengurusan yang betul mestilah menjadi amalan supaya tidak berlaku perpecahan dalam
keluarga dan masyarakat hanya disebabkan oleh kejahilan menguruskan harta. Setiap orang ada
haknya, jika kita menghormati hak orang lain maka hak kita juga akan dihormati, malah jika kita
saling redha meredhoi dan bersedekah itu adalah lebih baik.
p/s: saya tertinggal bab hibah rasanya, ia disampaikan melalui presentation, kalau adam tak
jumpa minta maaf ya, saya akan cuba research sekali lagi.
Nukilan rasa abu razeen at 12:10 AM
Labels: pusaka wasiat hibah harta sepencarian

Anda mungkin juga menyukai