Anda di halaman 1dari 8

KKP EDU 3106

3.0 ADAT RESAM KEMATIAN DALAM ETNIK BAJAU

Seperti masyarakat etnik Sabah yang lain, etnik Bajau juga terkenal dengan adat resam
mereka yang pelbagai dan unik. Dalam kehidupan mereka, adat resam berkaitan
kelahiran, perkahwinan dan kematian begitu dititikberatkan. Jadi, di sini saya akan
mengupaskan mengenai adat resam etnik Bajau berkaitan dengan adat resam
Kematian

3.1 Pengenalan

Antara etnik Bajau dengan masyarakat Islam yang lain memang tidak banyak
perbezaan dari segi menguruskan pengebumian kerana mereka sama-sama mengikuti
peraturan agama Islam walaupun terdapat sedikit sebanyak pengaruh adat tempatan.
Orang Bajau percaya bahawa seseorang yang telah meninggalkan dunia akan
meneruskan hidupnya di alam baqa dan sekiranya tidak dikebumikan dengan betul,
maka keluarga dan saudara mara telah berdosa kerana melupakan tanggung jawab
mereka. Upacara kematian mereka dilakukan secara teliti bersandarkan keperluan
agama dan adat kerana melalui upacara inilah si mati dipercayai dapat menyesuaikan
diri dengan keadaan hidup baru di akhirat.

Sama ada kehidupan si mati di alam baqa baik atau tidak bergantung kepada dua faktor
utama iaitu:

1) Kelakuannya di dunia
Orang Bajau percaya bahawa kelakuan yang baik dan selalu beramal ibadat
akan diperlakukan dengan baik di akhirat. Sesetengah orang Bajau pula
berpendapat bahawa semua orang akan mendapat layanan yang sama di akhirat
kerana menurut mereka, Tuhan bersifat penyayang sedia mengampuni dan
menerima baik semua makhluknya, termasuk mereka yang disifatkan sebagai
jahat dan berdosa

4
KKP EDU 3106

2) Cara pengebumian yang betul


Untuk mendapat kesenangan di akhirat, si mati harus dikebumikan dengan baik,
iaitu selaras dengan keperluan adat dan agama. Tanggungjawab untuk
menguruskan hal-ehwal si mati terserah kepada keluarga atau kaum kerabat
dekatnya. Kebaikan yang dilakukan oleh mereka untuk si mati akan diterima oleh
si mati di akhirat. Misalnya, amalan bersedekah kepada orang lain selepas
berlakunya satu-satu kematian adalah cara yang membolehkan si mati
memperoleh kebaikan di akhirat. Itulah sebabnya, dalam kalangan orang Bajau,
seperti dalam kalangan orang Islam yang lain, wang, pakaian dan beberapa
benda lain kepunyaan si mati disedekahkan kepada orang lain. Benda-benda
yang disedekahkan kepada orang lain secara tidak langsung akan diterima oleh
si mati di akhirat. Amalan ini adalah berdasarkan konsep kebaikan dibalas
dengan kebaikan dan sebaliknya kejahatan akan dibalas dengan kejahatan. Jadi
jika keluarga atau kaum kerabat bersikap kedekut dan tidak bersedekah, si mati
akan mengalami kesusahan dan kekurangan di akhirat.

5
KKP EDU 3106

3.2 Upacara Memandikan dan Mengafankan Mayat

Apabila seseorang itu meninggal dunia, doa akan dibaca dan mayatnya akan ditutup
dengan kain. Pada masa itu, “tawak-tawak patai” atau pukulan gong akan dibunyikan
sebagai tanda seseorang itu telah meninggal dunia. Mengikut adat bajau, mereka mesti
menangisi kematian tersebut kerana ia melambangkan kesedihan mereka. Seterusnya
mayat tersebut akan diuruskan sepenuhnya mengikut peraturan agama Islam, seperti
dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Sebelum mayat dikebumukan, dia dimandikan terlebih dahulu dengan beberapa jenis
air oleh ahli agama yang lazimnya terdiri daripada lima atau tujuh orang dewasa dan
tiga atau empat bagi kanak-kanak. Mula-mula mayat dicebok atau dikeluarkan najisnya.
Ia akan dilakukan oleh imam dan ahli agama yang lain berperanan sebagai pembantu.
Selepas dicebok, mayat akan dimandikan. Semasa hendak dimandikan, mayat akan
dibaringkan diatas lantai yang tidak beralas. Badan mayat digosok dengan sabun
sementara imam menyiram air suci ke badannya. Air yang digunakan itu mestilah telah
ditapis dengan kain putih, diasap dengan kemenyan dan dibacakan dengan ayat-ayat
suci oleh iman supaya terlepas daripada segala kotoran.

Setelah mayat dimandikan, rambutnya akan dibersihkan. Bagi menghilangkan daki


rambutnya, mereka menggunakan “air lubi” (santan). Setelah daki dihilangkan, barulah
rambut si mati dicucikan dengan air bersih. Penggunaan air lubi disusuli dengan “air
sembilan”. Air ini merupakan air yang seci yang telah ditapis baik-baik dengan
menuangkan air biasa ke dalam cerek yang mulutnya ditutupkan dengan kain putih
serta diasapkan dengan kemenyan terlebih dahulu sebelum dituangkan ke dalam cerek.
Air ini hendaklah disiramkan ke badan si mati dari kepala hingga ke kaki dan digunakan
sebanyak sembilan mangkuk. Selepas selesai dimandikan, mayat sudah boleh
dikafankan.

6
KKP EDU 3106

Bagi mengafan mayat tersebut, mayat dikafankan sebanyak dua lapis. Lapisan pertama
terdiri daripada baju dan seluar putih. Seterusnya mayat dibungkuskan dengan sehelai
kain putih yang merupakan lapisan kain kafan yang kedua. Setelah dikafankan, si mati
akan disembahyangkan oleh orang ramai. Cara menyembahyangkan mayat mengikut
orang Bajau adalah sama seperti sembahyang mayat bagi masyarakat Islam yang lain

7
KKP EDU 3106

3.3 Semasa Pengebumian (Pagkubulan)

Selepas disembahyangkan, si mati akan dikebumikan. Apabila mayat sudah sedia


untuk dibawa ke tanah perkuburan, sekali lagi dibunyikan gong sebagai isyarat. Adat
naja-naja iaitu berjalan berulang-alik di bawah keranda si mati oleh keluarga dan
saudara mara terdekat akan dilakukan. Adat ini menyerupai adat masyarakat Melayu di
Semenanjung Malaysia. Adakalanya bagi orang yang berpangkat tinggi, tembakan
sebanyak tiga kali akan dibunyikan sebelum mayat mereka dikebumikan. Di samping itu
dua gong atau sulimbak akan dipalu dan tiap satunya akan dipalu sebanyak tiga kali.
Pukulan dua gong ini lazimnya dikhaskan untuk orang yang berpangkat sahaja seperti
panglima, maharaja, imam, bilal dan ahli agama yang lain. Bagi orang biasa yang tidak
jelas pangkatnya, hanya sebuah gong dengan paluan sebanyak tiga kali sahaja
dilakukan.

Apabila mayat hendak dikebumikan, adakalanya bersama-sama mayat tersebut


disertakan beberapa biji buah pinang untuk mewakili anak cucu si mati yang masih
kecil. Pinang tersebut dibungkus dalam sehelai kain putih yang sama dan diletakkan di
sisi mayat. Tujuannya adalah supaya semangat mereka akan bersama si mati ke alam
baqa. Selain pinang, lazimnya tidak ada benda lain yang dikuburkan bersama-sama
mayat kerana perbuatan ini dianggap menyalahi undang-undang agama Islam.
Walaubagaimanapun, kadang kala jika si mati kaya atau merupakan anak kesayangan
ibu bapanya, barang kepunyaanya turut dikuburkan dan menurut keterangan penduduk,
pernah juga enjin perahu si mati dibuatkan nisannya. Seterusnya upacara keagamaan
sepertimana yang dilakukan oleh masyarakat Islam lain akan diadakan sperti tahlil dan
berdoa.

8
KKP EDU 3106

3.4 Selepas Pengebumian : Kenduri Arwah dan “Magjaga-jaga”

Selepas kematian seseorang, terdapat beberapa adat tertentu dilakukan. Antaranya


ialah mengadakan kenduri arwah, adat menjaga-jaga dan berpantang. Selesai
pengebumian, satu tempat tidur yang terdiri daripada tikar atau tilam beserta bantal
akan dibentang untuk memperingati si mati. Bantal-bantal itu diletakkan di bahagian
kepala dan kiri kanan tempat tidur itu. Segala pakaian si mati juga diletakkan di
bahagian kepala tempat tidurnya. Setiap pagi dan petang, seorang imam akan menjaga
tempat tidur tersebut serta membacakan doa untuk si mati.

Selain itu, tujuh hari berturut-turut diadakan kenduri arwah dan bacaan doa selamat
secara kecil-kecilan kecuali pada hari ketujuh. Tujuannya adalah untuk mendoakan
kesejahteraan roh di alam baqa. Kenduri lazimnya akan mengiringi acara doa selamat
tersebut. Bilangan piring yang dihidangkan untuk ketujuh-tujuh hari adalah berbeza
antara satu hari dengan hari yang lain, kerana ia juga menentukan bilangan ahli agama
yang diajak untuk membacakan doa selamat tersebut. Lazimnya kenduri hari pertama
disajikan tiga piring, pada hari kedua, lima piring dan pada hari ketiga tujuh piring.
Angka ganjil ini merupakan sesuatu yang sinonim dengan agama Islam. Kenduri hari
ketujuh adalah yang paling besar dan istimewa sekali dan bilangan orang yang hadir
juga adalah ramai berbanding hari-hari sebelumnya.

9
KKP EDU 3106

Biasanya dari hari pertama sehingga hari ketujuh selepas kematian, keluarga dan
masyarakat setempat akan mengikuti beberapa pantang larang. Antaranya adalah
seperti berikut;

1) Mereka tidak boleh memecahkan barang-barang seperti gelas, mangkuk dan


lain-lain barangan kerana ini menunjukkan petanda yang tidak baik.

2) Mereka tidak boleh membakar benda yang menjadi makanan.

3) Mereka tidak boleh melakukan kerja-kerja seperti menjahit baju, bertukang atau
menganyam.

4) Mereka tidak boleh bersin di rumah si mati kerana ada kemungkinan kematian
akan berlaku di rumah orang yang bersin tadi

5) Dari hari pertama sehingga hari ketujuh, rumah si mati tidak boleh dicuci.

Selepas kenduri hari ketujuh pula, mereka akan mengadakan kenduri pada hari kedua
puluh dan pada hari keempat puluh. Selepas kematian seseorang kebanyakan
masyarakat Bajau tidak mengadakan kenduri selepas hari keempat puluh, tetapi bagi
yang mampu, kenduri arwah masih diadakan pada hari keseratus dan pada hari
ulangtahun kematian seseorang itu. Ia adalah sama seperti adat yang dilakukan
masyarakat Melayu.

10
KKP EDU 3106

3.5 Kesimpulan

Kematian adalah fenomena yang bukan sahaja menimbulkan suasana sedih, tetapi
sering menggangu kehidupan manusia. Hal ini jelas apabila berlaku sesuatu kematian,
kaum kerabat si mati, khusunya mereka yang mempunyai pertalian, terpaksa
mengetepikan kerja biasa untuk menguruskan hal-ehwal si mati dan disamping itu
terpaksa mengamalkan beberapa pantang larang yang menyekat gerak-geri biasa
mereka. Pengurusan hal-ehwal si mati dengan cara yang betul dirasakan perlu sekali,
bukan sahaja untuk menyelamatkan roh si mati di akhirat, malahan menyelamatkan
orang yang masih hidup daripada ganguan roh si mati yang boleh menjelma sebagai
“hantu bangkit” atau pangguah untuk menggangu orang. Pengurusan ini perlu kerana
orang Bajau percaya bahawa orang mati yang tidak dilayan atau dikebumikan dengan
sempurna akan menghadapi kesusahan di akhirat dan berkemungkinan akan
berdendam dengan kaum kerabat yang bertanggungjawab terhadap keadaannya itu.

Dengan adanya kepercayaan begini didapati orang Bajau amat teliti tentang
pengurusan upacara kematian. Si mati perlu dimandikan dengan air suci, dikafankan
dengan kain putih, didoakan dan disembahyangkan oleh ahli agama, kenduri arwah
diadakan dan yang sebagainya. Upacara ini memakan masa dan wang yang banyak
sekali dan dalam keadaan itu, bantuan serta kerjasama kaum kerabat adalah penting
sekali. Pada ketika begini, kaum kerabat jauh dan dekat akan berkumpul untuk
membantu anggota keluarga si mati agar tekanan jiwa yang dihadapi oleh mereka
dapat dilegakan.

11

Anda mungkin juga menyukai