Anda di halaman 1dari 10

FALSAFAH DAN LOGIKA

PENGAJIAN MELAYU.
JXEA 1104.
KARYA KLASIK.
NAMA: MUHAMMAD ASHRAF BIN AHMAD
NO. MAKTRIK: JEA 080056
NAMA PENSYARAH: DR. AMRAN MOHAMAD

SEMESTER 1, SESI 2008/2009

AKADEMI PENGAJIAN
MELAYU.
UNIVERSITI MALAYA.
KAMALUL ARIFIN TIBA DI-NEGERI

ASKALAN RUM

Sa-telah selesai daripada makan itu, maka Paman pun lalu mengangkat hidangan itu

masok ka-dalam, kemudian ia pun menyorongkan tepak sireh pula ka-hadapan Kamalul

Arifin dengan hormat-nya, maka orang muda itu pun menyambut tepak itu dengan

hormat, lalu ia memakan sireh sa-kapor pula. Lepas itu maka Paman pun masok ka-

dalam bilek tempat tidor-nya, lalu membaringkan diri-nya, dan Kamalul Arifin pun tidor-

lah dengan lena-nya di-anjong rumah itu kerana tersangat leteh berjalan di-waktu siang

itu.

Sa-ketika Paman membaringkan diri-nya di-bilek tidor-nya itu lalu isteri-nya pun

bertanya, kata-nya, “Orang muda itu datang dari mana? Dan hendak ka-mana pula dia?” Sahut

Paman, “Ia ada-lah datang dari negeri Shahar Desa, maka tujuan-nya sa-kadar berjalan-jalan

saja, tetapi sunggoh pun demikian sangat-lah saya heran melihat kelakuan-nya di-waktu mula2

berjumpa dengan dia, di-tengah jalan pada waktu siang tadi, kerana dia bertanyakan kepada saya

di-mana ada rumah tumpangan yang tiada berdapor, maka saya sendiri tiada mengetahui

bagaiman rumah yang tiada berdapor itu. Kemudian saya mengajak akan dia singgah di-rumah

kita ini, pelawaan saya itu dituruti-nya.

Begitu juga dalam masa perjalanan kami berdua masa hendak balek itu, apabila sampai

ka-sabuah sungai lalu menyeberang dengan menempoh sa-buah titi, tiba2 di-katakan-nya kami

melalui “tititan kera” pula; malah tiada aku sahut perkataan-nya itu. Demikian pula apabila

melalui jalan yang berlumpor ia pun dengan tergesa-gesa ia mengenakan kasut-nya, maka sa-
lepas itu ia menanggalkan balek kasut-nya itu. Maka sa-telah kami masok melalui hutan dengan

tiba2 ia pun mengembangkan payong-nya pula, dan bila melalui perjalanan yang menempoh

padang dengan serta merta dia menginchupkan payong-nya itu pula. Sunggoh-nya sangat-lah

heran aku melihatkan kelakuan-nya yang berlainan dari oranag banyak itu; mengapa-kah

gerangan ia berkelakuan demikian.

Maka sahut isteri si-peladang itu, “Sunggoh-lah juga sa-bagaimana kat awak itu.” Sa-

ketika maka anak perempuan si-peladang yang bernama Dang Seri Arif Laksana itu pun

tersenyum mendengar perkataan kedua orang tua-nya itu, seraya ia menyahut dengan suara yang

perlahan, kata-nya, “Wahai bapa dan ibu, tidak-kah bapa dan ibu mengetahui sebab2-nya orang

muda itu berlaku demikian.” Maka kata Dang Seri Arif Laksana, “Ayohai bapa dan ibu, ada pun

yang di-katakan orag muda yang tiada berdapor itu, sa-benar-nya ia-lah masjid, kerana sa-tiap

masjid atau surau tiada-lah sama sa-kali berdapor. Begitu pula yang di-katakan-nya titian kera itu

ia-lah sa-barang titi yang tiada mempunyai tempat pemegang, sebab titi yanag saperti itu ada-lah

sa-rupa titi2 yang di-lalui kera di-hutan2 rimba. Maka sebab orang muda itu mengembangkan

payong-nya sa-waktu melalui hutan rimba kerana ia takut di-kenai oleh ranting patah atau tahi

burong, maka dengan ia mengembanagkan payong itu maka terpelihara-lah ia daripada terkena

najis.

“Ada pun ia mengunchupkan payong-nya apabila melalui padang, kerana di-padang tiada

apa2 najis yang akan jatoh, sa-kadar panas saja maka dapat ia menahan-nya. Demikian juga sa-

waktu menempoh jalan yang berlumpor, ia denga tergesa2 memakaikan kasut-nya, kerana di-

takuti terkena apa2 benda kaki-nya; sebab di-dalam lumpor itu tiada satu apa pun yang kelihatan.

Jadi manakala kaki-nya di-kenai oleh sa-suatu benda mungkin boleh mengaralkan perjalanan-
nya. Tetapi sa-balek-nya jika di-tempat yang kering apa saja dapat di-lihat jelas dengan mata.

Maka demikian itu-lah mengikut pendapat saya mengenai fahaman dan kelakuan orang muda itu.

Shahadan sa-telah sa-peladang suami isteri mendengar perkataan anak-nya yang

demikian itu, seraya kata-nya, “Sa-benar-nya sa-bagaiamana perkataan anakanda itu, tetapi buat

orang tua2 tentu-lah sukar hendak memikirkan pendapat yang saperti itu.” Maka sakalian

perchakapan yang di-perkatakan oleh si-peladang suami isteri dan anak-nya Dang Seri Arif

Laksana itu ada-lah kedengaran jelas oleh Kamalul Arifin, maka ia pun tiada-lah berhenti-henti

daripada menerima keshukoran pada Allah subhanahu wataala, serta dengan kegembiraan hati-

nya. Maka di-saat itu sa-olah2 Kamalul Arifin ada-lah saperti mendapat manikam yang sa-

gunong besar-nya. Maka sa-lepas daripada ia mendengar kata2 si-peladang anak beranak itu

mata-nya tiada-lah mahu tidor, melainkan hasrat-nya melayang kapada ingatan hendak

meminang akan Dang Seri Arif Laksana itu.


Perkataan falsafah dipercayai berasal daripada bahasa Yunani atau Greek purba. Perkataan

falsafah mengandungi dua gabungan perkataan yang membawa maksud cinta akan kebijaksanaan

atau cinta kepada kebenaran. Kini takrif falsafah telah dipelbagai bergantung kepada pegangan

hidup pentakrifnya. Falsafah juga merupakan satu cabang ilmu yang memberi pelbagai kegunaan

kepada manusia yang mempelajarinya. Ilmu falsafah merupakan proses yang menjadi pegangan,

panduan, serta amalan dalam kehidupan seseorang individu. Falsafah penting dalam kehidupan

manusia kerana falsafah dapat meningkatkan daya pemikiran dan daya pemahaman ketika

mempelajari ilmu pengetahuan. Kejayaan yang dikecapi oleh manusia sejak zaman dahulu lagi

adalah bersandarkan kepada falsafah yang diamalkan oleh mereka.

Saya ingin mengupas satu petikan yang bertajuk KAMALUL ARIFIN TIBA DI-NEGERI

ASKALAN RUM. Petikan ini telah dipetik daripada buku karya klasik yang bertajuk HIYAKAT

MUSANG BERJANGGUT. Cerita hikayat ini sebenarnya telah dikarang semula oleh saudara

Abdullah Haji Lubis pada pertengahan abad ke dua puluh. Petikan ini sebenarnya mencerminkan

falsafah yang telah diamalkan oleh masyarakat pada zaman dahulu. Berdasarkan petikan

tersebut, saya akan membuat kupasan daripada sudut femomenologinya sahaja iaitu dengan

membuat kupasan berdasarkan cerita yang terdapat dalam petikan tersebut.

Sinopsis yang dapat dibuat berdasarkan petikan tersebut adalah berkaitan tentang

kebijaksanaan yang dimiliki oleh watak-watak utama dalam karya tersebut. Kita dapat

memahami dengan jelas tentang kebijaksanaan yang dimiliki oleh watak utama iaitu Kamalul

Arifin ketika beliau menempuhi perjalanan untuk mencari seorang isteri yang memiliki semua
pengetahuan dalam kehidupan. Petikan tersebut juga menceritakan kepada kita tentang

kebijaksanaan yang dimiliki oleh Dang Seri Arif Laksana iaitu bakal isteri kepada Kamalul

Arifin.

Berdasarkan sinopsis petikan tersebut, saya telah membuat penilaian tentang falsafah

yang telah digunakan oleh Kamalul Arifin ketika beliau menempuhi perjalanan ke rumah yang

didiami oleh Dang Seri Arif Laksana sekeluarga. Falsafah yang telah digunakan ialah

kebijaksanaan. Falsafah kebijaksanaan bererti seseorang itu telah menggunakan segala ilmu

pengetahuan yang dimiliki olehnya dalam mengharungi kehidupan ini. Pelbagai aral dan

rintangan yang dialami sepanjang hidup boleh diselesaikan sekiranya kita menggunakan akal

fikiran sebagai jalan penyelesaian. Berfikir dengan mendalam dapat membantu kita

mengelakkkan segala masalah yang boleh menyebabkan kehidupan kita dilanda kesusahan.

Kebijaksanaan yang dimiliki harus digunakan sebagai panduan dalam meneruskan

kehidupan ini yang serba-serbi mencabar kewarasan pemikiran manusia. Tuhan memberi kita

akal fikiran supaya kita berfikir tentang hakikat perjuangan hidup seperti mencari rezeki,

menuntut ilmu, berkasih sayang, dan sebagainya lagi dalam alam ciptaan-Nya ini.Bayangkanlah

jika kita tidak menggunakan kebijaksanaan akal fikiran ketika kita ditimpa masalah. Sudah tentu

kita akan menghadapi masalah yang besar atau kita akan mengambil jalan yang songsang untuk

menghadapi sesuatu masalah itu. Kebijaksanaan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada kita

sangat besar ertinya.


Manusia menggunakan pelbagai bentuk kebijaksanaan yang berlandaskan akal fikiran

untuk mengecapi nikmat kemanisan hidup yang melimpah ruah dalam alam ciptaan-Nya ini.

Manusia telah membuktikan kebijaksanaan yang dikurniakan oleh Tuhan sangat berguna dalam

merencanakan kehidupan yang lebih teratur dan sempurna. Buktinya, manusia telah berjaya

mencipta alat bantu belajar seperti pen, pensil, buku, komputer, dan sebagainya lagi supaya

manusia pada masa akan datang dapat menikmati idea-idea kebijaksanaan mereka. Penghasilan

alat-alat ini sebenarnya telah membuktikan kebijaksanaan manusia bertindak mencari jalan

penyelesaian yang dapat membantu memudahkan pengendalian kehidupan seharian.

Selain falsafah tentang kebijaksanaan, falsafah tentang pemahaman turut diceritakan oleh

pengarang dalam petikan tersebut. Falsafah tentang pemahaman ini digambarkan dengan jelas

oleh pengarang melalui watak Dang Seri Arif Laksana. Dang Seri Arif Laksana dapat memahami

setiap butir percakapan yang dituturkan oleh ayahnya semasa menceritakan tentang perangai

Kamalul Arifin ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka. Perkara ini membuktikan

kepada kita bahawa pemahaman merupakan suatu perkara yang yang sangat penting dalam

kehidupan ini. Kita perlu memahami semua perkara yang didengar mahupun perkara yang

dialami supaya kita dapat mengambil iktibar dan pengajaran dalam memahami erti kehidupan

kita. Pemahaman juga tidak terbatas terhadap sesuatu perkara sahaja tetapi turut merangkumi

semua aspek kehidupan selain mendidik kita supaya berfikir dengan lebih spesifik lagi. Kita

perlu memahami banyak perkara tentang kehidupan agar kita tidak terkontang-kanting apabila

kita diajukan persoalan yang berkaitan dengan falsafah kehidupan yang diamalkan oleh manusia

pada zaman sekarang.


Manusia pada zaman sekarang begitu mementingkan aspek pemahaman dalam mencari

realiti kehidupan yang lebih cemerlang. Memahami sesuatu cabang ilmu diyakini mampu

mengubah persepsi kehidupan dari pelbagai sudut yang seterusnya dapat menghuraikan kepada

kita lebih banyak lagi cabang-cabang ilmu tersebut. Ilmu falsafah perlu difahami kita kerana

bidang ini dapat menghuraikan kepada kita pelbagai perkara rumit yang berkaitan dengan

kehidupan dalam alam ini. Mempelajari dan memahami ilmu falsafah akan dapat mengubah

corak kehidupan atau dapat membuka minda kita supaya boleh berfikir tentang hakikat sesuatu

kejadian yang berlaku.

Pemahaman yang tinggi tentang sesuatu ilmu dapat mendidik kita supaya memahami

hakikat sesuatu kejadian itu mempunyai baik dan buruknya terhadap kehidupan kita. Manusia

dapat membezakan sesuatu perkara kerana mempunyai kefahaman yang telah menjadi pemandu

kepada kehidupan kita sejak sekian lama untuk mencapai sesuatu perkara yang lebih baik dan

kehendak mereka sendiri. Perkara ini membuktikan kepada kita bahawa sikap manusia sejak

dahulu lagi adalah ingin memahami semua perkara yang dapat membantu manusia mengubah

nasib dan kehidupan mereka. Pemahaman sangat penting kepada manusia kerana dengan

memahami manusia itu dapat berdikari dan mempelajari hakikat tentang falsafah kehidupan ini.

Manusia mula mempelajari sesuatu supaya dapat memahami makna yang terselindung di sebalik

sesuatu kejadian yang berlaku kerana sifat manusia yang sentiasa ingin mengetahui perkar baru.

Contohnya, kita perlu memahami perkara yang diajar semasa di sekolah, universiti, dan tempat-

tempat menuntut ilmu jika kita ingin menjadi seseorang yang berguna kepada masyarakat,

bangsa, dan negara yang tercinta.


Falsafah yang telah digunakan sejak zaman dahulu lagi sebenarnya banyak membantu

kita memperbaik corak kehidupan pada hari ini. Berdasarkan falsafah yang telah dipetik daripada

petikan dalam HIKAYAT MUSANG BERJANGGUT, dapatlah kita mengambil iktibar serta

memahami bahawa kebijaksanaan akal fikiran dan kefahaman yang tinggi tentang sesuatu

perkara amat penting dalm kita menjalani kehidupan pada zaman teknologi ini. Kita perlu

menggunakan kedua-dua falsafah ini sebagai panduan untuk mengecapi kebahagian dan

kesenangan hidup. Falsafah juga merupakan perkara yang boleh mendidik manusia supaya

bertindak berdasarkan pemikiran supaya manusia tidak lagi terjebak ke dalam lembah yang hina.
RUJUKAN

Abdullah Haji Lubis, Hikayat Musang Berjanggut.

Prof. Dr. Awang Sariyan, 2007. Falsafah Dan Logika Melayu. Jabatan Bahasa Melayu, Akademi

Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Hashim Bin Haji Musa, Ph.D, 2001. Falsafah, Logik, Teori Dan Etika Melayu, Suatu

Pengenalan. Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Anda mungkin juga menyukai