Anda di halaman 1dari 3

Pencapaian murid yang tinggal di asrama adalah lebih baik daripada murid yang tinggal

di rumah.

Berikan pendapat anda

Karangan lengkap

Kebanyakan sekolah menyediakan asrama untuk dihuni oleh murid-


muridnya. Kemudahan asrama yang disediakan ini dapat memudahkan mereka pergi ke
sekolah. Sehubungan dengan itu, murid-murid akan menuntut ilmu dengan selesa.

Tidak dapat dinafikan bahawa murid yang tinggal di asrama mendapat pencapaian
yang lebih cemerlang berbanding dengan murid yang tinggal di rumah. Hal ini disebabkan
hampir 80 peratus mereka yang tinggal di asrama mempunyai latar belakang akademik yang
cemerlang di sekolah rendah. Tambahan pula pihak pengurusan asrama sentiasa
menyediakan persekitaran kondusif untuk membantu mereka mendapatkan keputusan yang
baik.

Dari aspek suasana pembelajaran, murid yang tinggal di asrama belajar dalam
keadaan yang amat berbeza daripada murid yang tinggal di rumah. Mereka terpaksa
mematuhi peraturan belajar yang tetap. Contohnya waktu belajar pada sebelah malam ialah
dari pukul 8.00 malam hingga 10.30 malam. Ketika belajar mereka dilarang
menonton televisyen. Jika ingkar mereka akan didenda atau dibuang dari
asrama. Peraturan ini mendorong mereka supaya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap
pelajaran tanpa sebarang gangguan luar. Mereka ditimbuni maklumat tentang isu semasa
dan pelajaran lantas menjadikan pemikiran mereka matang dan luas.

Punca lain yang membantu pencapaian murid tinggal di asrama ialah bimbingan dan
tunjuk ajar daripada guru di luar waktu pengajaran dan pembelajaran. Contohnya guru
Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris akan mengadakan kelas tambahan pada waktu
malam. Pada hujung minggu pula murid didedahkan tentang teknik belajar dan pengurusan
masa yang efektif melalui ceramah moivasi yang dianjurkan oleh pihak Bimbingan dan
Kaunseling sekolah. Oleh itu, murid di asrama mempunyai cara belajar yang betul dan
terdorong untuk lulus dengan cemerlang.

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa badan yang sihat menyebabkan otak
cerdas. Oleh itu, pada sebelah petang murid-murid yang tinggal di asrama diwajibkan
melakukan aktiviti riadah seperti senamrobik, bermain bola, berjoging dan lain-lain. Selain itu,
aktiviti riadah juga dapat melapangkan fikiran dan mengurangkan tekanan.

Kesimpulanya, pencapaian murid yang tinggal di asrama adalah lebih baik daripada
murid yang tinggal di rumah. Hal ini demikian kerana suasana dan persekitaran belajar yang
kondusif di asrama dapat membantu seseorang itu cemerlang dalam akademik. Oleh
itu, murid-murid tidak seharusnya melepaskan peluang untuk belajar di sekolah asrama.
Contoh Karangan Peribahasa, Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya

Anak-anak perlu dididik sejak kecil seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah daripada
rebungnya.
Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa tersebut.

“Melentur buluh biarlah daripada rebungnya” bermaksud mendidik anak- anak


hendaklah dari kecil lagi. Peribahasa ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk
membentuk sebuah masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai kekeluargaan. Peribahasa ini
merupakan satu nasihat yang amat baik untuk mendidik anak-anak agar cemerlang dan
berguna kepada negara apabila dewasa kelak. Anak-anak menjadi lebih mendengar nasihat
jika diasuh sedari kecil kerana belum terpengaruh dengan unsur negatif.

Aku masih ingat lagi, jiranku Mak cik Mona seorang ibu tunggal yang mempunyai
seorang anak sahaja. Kematian suaminya akibat penyakit jantung menyebabkan dia
kehilangan tempat bergantung. Kehidupan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang tidak menghalang Mak cik Mona memberi pendidikan yang sempurna kepada
anaknya, Iqbal. Mak cik Mona berharap agar suatu hari nanti Iqbal akan dapat memenuhi
impian arwah ayahnya untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Setiap pagi, Mak cik Mona terpaksa bangun seawal jam empat pagi untuk menyiapkan
nasi lemak dan kuih-muih. Semasa Iqbal pergi ke sekolah, dia akan membawa kuih-muih dan
nasi lemak yang disiapkan oleh ibunya untuk dihantar ke warung Pak Mail. Sekembalinya dari
sekolah, Iqbal akan mengambil duit hasil jualannya tadi dan membeli barang-barang
keperluan yang dipesan oleh ibunya. Walaupun pendapatan mereka tidak seberapa, namun
wang tersebut mampu menyara kehidupan mereka berdua.

Sejak dari kecil, Iqbal telah dididik dengan ilmu agama.Setiap petang dia belajar
mengaji Al-Quran dengan Haji Ibrahim di masjid. Haji Ibrahim juga turut mengajar fardu ain
kepada anak-anak di kampung itu. Selepas itu, Iqbal akan terus pulang ke rumah untuk
mengulang kaji pelajaran. Dia patuh akan nasihat ibunya agar cepat pulang ke rumah dan
tidak bercampur dengan budak-budak kacang hantu di kampungnya.

Semakin meningkat remaja, Iqbal menjadi seorang anak yang berbudi pekerti luhur.
Dia tidak pernah mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab kepada ibunya. Dalam setiap
peperiksaan, dia telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Guru-guru selalu memuji dan
menjadikan dia sebagai contoh kepada pelajar-pelajar lain di sekolahnya. Ibunya selalu
mengingatkan Iqbal supaya tidak lupa diri. Tidak hairanlah Iqbal telah muncul sebagai pelajar
terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu.

Kejayaan yang diperoleh telah melayakkan Iqbal melanjutkan pelajaran ke


menara gading. Akhirnya, ketekunan dan usaha gigih Iqbal membuahkan hasil. Iqbal
telah berjaya menjawat jawatan penting di ibu kota. Iqbal bukan sahaja berjaya
dalam bidang kerjaya yang diceburi tetapi dia juga menjadi seorang yang baik
sahsiahnya dan berpegang teguh kepada agama. Dia bukanlah individu yang
diibaratkan seperti kacang lupakan kulit. Kesungguhan dan ketabahan Mak cik
Mona membesarkan anaknya telah terbalas. Mak cik Mona bersyukur kepada Tuhan
dan berasa gembira kerana janji kepada suaminya telah terlaksana
Soalan:

Semasa menyertai satu perkhemahan pengakap berdekatan satu kawasan hutan, kamu dan rakan
kamu ditugaskan mencari kayu api untuk memasak makanan dan kegunaan malam kebudayaan.
Setelah selesai mencari kayu api kamu berdua tidak menemui jalan keluar.

Ceritakan tindakan yang kamu dan rakan lakukan untuk keluar dari hutan tersebut.

Persatuan pengakap sekolah saya telah mengadakan satu perkhemahan di tepi sebatang sungai
berdekatan sebuah kawasan hutan. Aku dan seorang rakan telah ditugaskan oleh Cikgu Mazlan
untuk mencari kayu api. Tanpa membuang masa aku dan rakanku Amirul terus menuju ke kawasan
hutan berdekatan kawasan perkhemahan kami.

Kami berjalan menelusuri sebatang denai di dalam hutan itu . setelah sampai di satu kawasan
kami melihat terdapat sebatang pokok tumbang. Kami segera memotong ranting dan dahan-dahan
kecil untuk dijadikan kayu api. Setelah selesai memotong dan mengikat kayu-kayu itu, barulah kami
tersedar bahawa kami telah tersesat. Kami tidak dapat mengingati arah untuk pulang ke khemah
semula. Kami berasa sangat takut tambahan pula, terdengar pelbagai suara yang pelik-pelik di dalam
hutan itu. Aku segera menjerit memanggil Cikgu Mazlan dan rakan-rakan yang lain. Tetapi jeritan ku
sia-sia sahaja.

Setelah puas menjerit, kami pun duduk termenung sambil berfikir cara untuk keluar dari kawasan
hutan itu. Kami berdua sepakat mencari jalan keluar. Kami berjalan menuju ke tebing sungai kerana
pada pendapat kami lebih mudah menelusuri sungai untuk ke tapak perkhemahan. Kami juga
teringat bahawa tapak perkhemahan kami terletak di tepi sebatang sungai. Sambil berjalan kami
mematahkan ranting-ranting kayu di sepanjang laluan kami.

Hari semakin senja, namun kawasan perkhemahan kami masih belum ditemui. Kami bertambah
takut apabila memikirkan ancaman binatang-binatang buas dan kegelapan malam menyukarkan
pergerakan kami. Setelah penat berjalan kami duduk berehat di tepi sungai tersebut. Tiba-tiba aku
teringat bahawa aku ada membawa pemetik api bersama-sama. Aku segera menghidupkan api
menggunakan ranting-ranting dan daun-daun kering. Di samping untuk menghalau nyamuk dan
keselamatan diri kami, aku berharap agar asap dari pembakaran tersebut dapat dilihat oleh Cikgu
Mazlan dan rakan-rakan kami yang lain.

Tidak beberapa lama kemudian aku terdengar namaku dipanggil. Rupa-rupanya Cikgu Mazlan dan
beberapa orang rakan telah sampai ke tempat kami. Mereka memberitahu bahawa tindakan aku
mematahkan ranting-ranting kayu dalam perjalanan dan asap daripada unggun api itulah yang
membantu mereka menemui kami.

Kami akhirnya terselamat. Cikgu Mazlan memuji tindakan kami yang dianggap bijak. Cikgu
Mazlan juga mengingatkan kami agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai