Anda di halaman 1dari 7

TAJUK:

“Cikgu akan ditugaskan untuk membimbing dua orang pelajar Tahun Enam

dalam kelas pemulihan 2M iaitu Along Gapet dan Long Aton”, arah Cikgu Rokani, guru

penyelaras Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu.

Kelas kecil yang memuatkan dua puluh tiga orang pelajar itu kelihatan sangat

besar dan luas dalam fikiranku. Bebanan ini menyesakkan fikiranku. Terasa darah

gemuruhku mengalir laju melalui urat-urat saraf dan jantungku juga mula berdebar-

debar. Masih segar diingatanku debarannya sama seperti ketika aku menanti untuk

ditemuduga oleh penemuduga-penemuduga semasa temuduga Kursus Perguruan

Lepasan Ijazah beberapa bulan yang lalu. Pelbagai persoalan timbul ketika itu. Apakah

yang ingin ditanya oleh penemuduga kepadaku? Bersediakah aku untuk menjawab

dengan rasional? Berjayakah aku? Debaran itu akhirnya membawa akhiran yang baik

buatku apabila aku berjaya dipilih untuk menjalani kursus itu. Sehinggalah hari ini, aku

bersama rakan-rakan yang lain ditugaskan untuk menjalani program Pengalaman

Berasaskan Sekolah di sekolah-sekolah orang asli Sungai Siput, Perak sebagai

memenuhi syarat kursus.

Debaran itu menghantuiku lagi hari ini. Manik-manik peluh mula membasahi dahi

dan baju kurungku. Berbagai-bagai persoalan berputar-putar di benak fikiranku.

Bagaimanakah latar belakang pelajar-pelajar yang akan ku bimbing dalam dua minggu

ini? Apakah pendekatan yang harusku pilih untuk membimbing mereka? Dan yang

paling penting, apa yang harusku lakukan untuk mencapai objektif kelas 2M ini?

1
Berjayakah aku untuk membantu mereka untuk memahirkan diri menulis dan

membaca? Aku mula berkira-kira untuk meminta pihak sekolah mengarahkan seorang

guru pelatih untuk membantuku mengendalikan kelas tersebut. Tetapi sokongan padu

dan kata-kata semangat yang tidak jemu-jemu diberikan oleh rakan-rakan pelatih yang

lain berjaya menguatkan mentalku untuk mengharungi cabaran baru ini. Kami sebagai

mentor diminta untuk menemui dan berkenalan dengan mentee masing-masing. Buku

latihan disediakan kepada kami, guru pelatih sebagai panduan dan latihan semasa

kelas ini dijalankan. Oleh kerana kedua-dua mentee ku tidak hadir ke sekolah, aku

diberikan seorang pelajar lelaki yang agak mahir menulis dan membaca sebagai

pengganti.

Sesi itu dijalankan di dalam kelas yang sama tetapi setiap guru pelatih bebas

untuk mencari tempat masing-masing untuk bersama mentee. Pelajar-pelajar yang

agak mahir membaca dan menulis diminta memasuki kelas yang lain. Aku memilih

untuk duduk di belakang kelas kerana suasananya lebih tenang dan jauh dari rakan-

rakan yang lain. Sesi bimbingan pun bermula. Kami berdua menghadap sesama sendiri

untuk memudahkan interaksi. Aku terdiam seketika, merangka soalan dan perancangan

yang harusku lakukan selama dua jam kelas tersebut. Bagaimanakah cara untukku

memulakan interaksi dengan pelajar ini? Otakku tidak dapat berfungsi dengan baik

disaat aku memerlukannya. Aku memandang pelajar itu. Comel dengan pipinya yang

agak tembam, berkulit sawo matang, dan agak rendah. Pakaian sekolahnya agak kotor

dan berkedut. Aku memahami keadaan di sana, tiada kemudahan yang mencukupi.

Namun mereka masih boleh bersekolah kerana keprihatinan kerajaan Malaysia. Dia

hanya tunduk malu memandang lantai.

2
“Siapa nama kamu?”, aku memulakan bicara.

“Uda”, dia menjawab pendek.

Pelbagai soalan kutujukan kepadanya berkaitan latar belakang. Bagi sesi ini, aku

lebih selesa untuk mengenalinya dengan lebih dekat lagi memandangkan kami akan

bersama selama lebih kurang dua minggu lagi. Jadi adalah lebih baik untuk kami

mengenali diri masing-masing dahulu. Aku juga memperkenalkan diriku. Uda

merupakan anak keempat daripada lima orang adik-beradik. Bapanya bekerja sebagai

penoreh getah manakala ibunya tidak bekerja. Aku bertanya kepadanya mengenai cita-

citanya apabila dia sudah dewasa nanti.

“Saya mau ikut bapa masuk hutan cari kayu”, jawabnya.

Aku agak terkejut mendengar jawapannya itu. Adakah pelajar-pelajar orang asli

ini sudah menetapkan dalam minda mereka untuk mewarisi pekerjaan ibu bapa mereka

dan tidak mempunyai keinginan untuk memperbaiki hidup mereka? Aku bertanya

kepadanya,

“Kenapa kamu nak masuk hutan? Kamu tak mahu ke jadi cikgu atau doktor?

Boleh dapat banyak duit.”

Uda lantas menjawab, “Tak apa, makan ubi, sayur dah cukup. Semua ada dalam

hutan. Tak apa tak ada duit”.

Aku terkedu mendengar jawapannya itu. Sedangkan kita, masyarakat bandar

amat memerlukan wang untuk keperluan dan kehendak hidup yang pelbagai, tetapi

mereka di situ langsung tidak mementingkan kebendaan dan keselesaan hidup. Hidup

3
hanya ala kadar tetapi cukup membahagiakan. Jawapannya yang ringkas

meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam diriku. Aku termenung seketika,

memikirkan ayat yang sesuai untukku tujukan kepadanya. Lamunanku terhenti tatkala

seorang pelajar perempuan datang menghampiri kami. Dia memperkenalkan dirinya

sebagai Long Aton. Rupa-rupanya dia salah seorang mentee ku yang kusangkakan

tidak hadir ke sekolah hari ini. Aku memintanya duduk di sebelah Uda di hadapanku.

Aku melihat jam sejenak. Sudah pukul 9.30 pagi.

“Kamu pergi ke mana tadi?”, aku bertanya kepadanya.

Dia menjawab, “Baru datang dari rumah”.

Aku terkejut besar mendengar jawapannya itu. Aku terus menanyakan alasan

atas kelewatannya itu.

“Mak suruh masak”, ujarnya.

Perasaanku bercampur baur antara terkejut dan sedih apabila mendengar

jawapannya itu kerana memikirkan kanak-kanak seusianya sepatutnya berada di dalam

kelas pada waktu itu dan belajar dengan bebas sedangkan dia perlu membantu ibunya

menguruskan hal di rumah dan hanya ke sekolah setelah kerjanya selesai. Hasil

daripada maklumat yang diberikan, Long Aton merupakan anak sulung daripada enam

orang adik-beradik. Bapanya bekerja sebagai penoreh getah dan kadangkala mencari

rotan di dalam hutan untuk menambahkan pendapatan sama seperti bapa Uda.

Manakala ibunya adalah pembuat bakul rotan separuh masa. Sebagai seorang anak

sulung, Long Aton perlu membantu ibunya menguruskan hal-hal rumah seperti

memasak, mengemas dan menjaga adik-adiknya. Aku menanyakan kepadanya

4
mengenai cita-citanya apabila sudah dewasa kelak. Jawapannya agak berbeza dengan

Uda. Dia ingin menjadi doktor.

“Kalau kamu nak jadi doktor, kamu kena belajar bagi pandai, kena rajin datang

ke sekolah, tak boleh ponteng”, nasihatku kepadanya.

Dia hanya mengangguk malu. Aku dapat merasakan bahawa dia mempunyai

keinginan yang tinggi untuk mengubah kehidupan mereka sekeluarga. Tetapi

halangannya cukup besar. Dia tidak dapat menumpukan perhatiannya dalam pelajaran

kerana perlu membantu ibunya menguruskan keluarga. Jadi tidak hairanlah apabila aku

memintanya untuk membaca, dia gagal berbuat demikian. Sedangkan mereka sudah

hampir untuk melangkah ke alam sekolah menengah. Sungguh kasihan dengan nasib

kanak-kanak ini. Mereka perlu melupakan cita-cita mereka kerana budaya masyarakat

yang tidak mementingkan pendidikan. Hanya segelintir sahaja yang mementingkan

pendidikan untuk anak-anak mereka. Selebihnya akan mengahwinkan anak-anak

mereka seawal umur belasan tahun.

Aku cuba meyakinkan kanak-kanak ini bahawa betapa pentingnya pendidikan

dalam kehidupan. Sekiranya tiada ilmu di dada, mereka akan mudah dipengaruhi dan

ditipu oleh orang luar. Mereka hanya mengangguk diam. Aku tidak pasti sama ada

mereka memahami apa yang aku cuba sampaikan tetapi aku berharap mereka akan

memahaminya dan cuba mengubah nasib mereka. Selama dua minggu tersebut, sesi

tersebut merupakan sesi yang pertama dan terakhir bagi kami kerana kekangan masa.

Apa yang dapatku simpulkan di sini, hasil daripada pemerhatian dan maklumat

yang diperolehi menunjukkan hampir keseluruhan masyarakat orang asli tidak

5
mementingkan pendidikan bagi anak-anak mereka. Ibu bapa sudah menerapkan dalam

fikiran anak-anak mereka bahawa pendidikan tidak penting dalam kehidupan mereka.

Mereka tidak memerlukan perubahan kerana sudah terbiasa dengan budaya dan cara

hidup sekarang. Guru sepertiku sahajalah agen penggerak yang perlu sentiasa

memberi panduan kepada masyarakat ini untuk mengubah kehidupan mereka agar

tidak ketinggalan dalam arus kemodenan ini.

6
BIODATA DIRI PENULIS

NAMA PENUH : ASMA ATIFAH BT MOHAMAD DIAUDDIN


NAMA PENA : tifalockheart
ALAMAT TETAP: NO. 62, KG. BANGGOL LALANG, GUAR CHEMPEDAK, 08800
GURUN, KEDAH
TEMPAT LAHIR : KG. BANGGOL LALANG
TARIKH LAHIR : 18 NOVEMBER 1985
NO K/P : 851118-02-5138
PENDIDIKAN: 2005-2008 UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (IJAZAH SM
SASTERA – Pengajian Sastera dalam Bahasa Inggeris)
2003-2004 SEK MEN KEB GUAR CHEMPEDAK (STPM)
1998-2002 SEK MEN (A) AN-NAHDZAH, BUKIT BESAR, KEDAH
(SPM)
PENGALAMAN KERJAYA: 2008-2009 GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH DI SEK
MEN KEB TUN SYED SHEH BARAKBAH, SG. BAKAP,
P.PINANG
2005 PEMBANTU PERANGKAAN, JABATAN
PERANGKAAN MALAYSIA
PENGALAMAN PENULISAN: TIADA
SEKOLAH PEDALAMAN: SEK KEB POS KUALA MU, SG. SIPUT, PERAK
ANUGERAH: TIADA

Anda mungkin juga menyukai