Anda di halaman 1dari 5

Peranan Komputer dalam Pendidikan Matematik

Pengenalan

Era perkembangan teknologi masa kini mempengaruhi setiap bidang kehidupan.


Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya
usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap
perkembangan teknologi. Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada
sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran,
kreatif,dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini ( KPM, 1997 ). Atas
alasan inilah pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan berhasrat untuk
mengujudkan Sekolah Bestari yang sekali gus bertindak mengisi agenda
perancangan , dan perlaksanaan Koridor Raya Multimedia ( Multimedia Super
Corridor atau MSC ). Perlaksanaan Sekolah Bestari akan membuka ruang seluas-
luasnya kepada teknologi komputer yang akan membolehkan fleksibiliti dan
kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan. Suasana ini akan mengurangkan
jurang peluang antara mereka yang berada dan berupaya menggunakan teknologi
terkini di rumah, dengan mereka yang kurang berada ( KPM, 1997 ).

Pengajaran Berbantukan Komputer

Perubahan yang sedang melanda dalam dunia pendidikan kini tentunya akan
merubah kandungan dan reka bentuk kurikulum setiap mata pelajaran ( Jamaludin,
1989; Nik Azis, 1989). Kurikulum matematik juga tidak dapat lari daripada arus
teknologi ini

( Fatimah & Munirah, 1995; PPK, 1993; Nik Azis, 1989 ). Pendidikan komputer
dalam kurikulum melibatkan tiga peranan penting (Nik Azis, 1989 );

1. Pembelajaran tentang komputer perisian, perkakasan dan pengaturcaraan


komputer

 2. Penggunaan komputer untuk menyelenggara dan memproses data

- memproses data penyelidikan

- memproses perkataan

3.Penggunaan komputer untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran

- pengaturan murid

- pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ( PPBK ).

Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) ialah aturcara


komputer yang menggunakan teknik-teknik kepintaran buatan untuk membantu
seseorang belajar ( Jamaluddin, 1989 ). Mikrokomputer digunakan untuk
menyelenggara aktiviti pengajaran dengan berpandu kepada program yang dibentuk
oleh penulis perisian. Murid berinteraksi dengan program komputer atau perisian
melalui terminal ( Nik Azis, 1989 ).

Dalam pengajaran berbantukan komputer ( CAI ), komputer boleh dianggap sebagai


tutor atau guru. Dalam proses pengajaran sebenar dalam bilik darjah, guru
berperanan sebagai pengajar (instructor), penerang (explaner) dan pemudahcara
(facilitator). Semua peranan ini boleh diambil alih oleh komputer dalam CAI ( Abd.
Rahman, 1995 ). Pengajaran berbantukan komputer melibatkan sistem tutorial,
permainan dan simulasi di samping aktiviti latih tubi ( PPK, 1993; Jamaludin, 1989 ).

  Komputer Dalam Pendidikan Matematik

Penggunaan komputer dalam pengajaran matematik dapat memperkembang dan


memperkayakan lagi tajuk yang diajar. Lebih seabad yang lalu, NCTM (National
Council of Teachers' of Mathematics, 1980) mencadangkan supaya pengajaran
matematik mengambil peluang luas yang ditawarkan oleh komputer. Cockcroft
(1982) menyarankan bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran matematik
bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti pengajaran matematik malah penggunaan
komputer juga boleh merubah kepentingan sesuatu tajuk dalam silibus matematik.
Keadaan yang sama juga mungkin wujud dalam pengajaran dan pembelajaran
matapelajaran lain di sekolah. Aktiviti penyelesaian masalah adalah bahagian
terpenting dalam pendidikan matematik. Pencapaian yang tinggi dalam matematik
tidak bermakna jika seseorang pelajar tidak mampu melakukan proses penyelesaian
masalah. Laporan Cockcroft (1982) menegaskan bahawa masalah matematik harus
diterjemahkan kepada sebutan dan bahasa matematik sebelum ianya diselesaikan.
Langkah terjemahan seperti ini memerlukan fahaman yang lengkap terhadap
struktur konsep yang terkandung dalam masalah tersebut. Keadaan ini telah
menyebabkan kesukaran pembelajaran di kalangan setengah-setengah pelajar.
Masalah dan kesukaran ini boleh diatasi melalui penggunaan komputer ( Al Ghamdi,
1987; Lim, 1989 ).

Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan (Funkhouser, 1993; Henderson and
Landersman, 1992, Chazan, 1988; McCoy, 1991; Al Ghamdi, 1987) didapati :

 pelajar yang menggunakan komputer dalam matematik mempunyai sikap


yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan
menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.
 Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran akan dapat
membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah
dan berkesan
 Pencapaian pelajar dalam peperiksaan akhir menunjukkan peningkatan yang
ketara
 Kumpulan yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan
mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat
menggunakannya dalam bidang-bidang lain.

Kelembapan dan kebantutan perkembangan CAI dalam pendidikan matematik


khususnya, pada pertengahan tahun 70 an hingga 80 an adalah disebabkan oleh
kos perkakasan komputer yang terlalu tinggi, bilangan perisian yang sedikit,
kemahiran dan pengetahuan tentang komputer yang rendah dan tidak kurang juga
kebimbangan dan kurang keyakinan di kalangan pendidik ( PPK, 1993 ). Walau
bagaimanapun keadaan tersebut telah berubah, di mana harga komputer telah
banyak menurun dan mampu dibeli oleh ramai orang serta berbagai kursus telah
dan sedang dianjurkan oleh pihak kementerian untuk memberi kesedaran,
keyakinan, pengetahuan serta kemahiran dalam penggunaan komputer.

Dalam pendidikan matematik, komputer boleh berperanan untuk melaksanakan


aktiviti-aktiviti berikut

i. Penghasilan Bahan Kurikulum

ii. Latih Tubi

iii. Tutorial

iv. Ulangkaji

v. Pemulihan dan Pengayaan

vi. Simulasi

vii. Pengiraan

viii. Alat Bantu Mengajar

ix. Tutee

Penggunaan spreadsheet

Terdapat banyak kajian tentang penggunaan spreadsheet dalam pengajaran


matematik. Kajian-kajian yang telah dijalankan mencadangkan berbagai cara
penggunaan spreadsheet dalam pengajaran matematik ( Janet, 1988; Lim, 1995;
Fatimah & Munirah, 1995). Ada juga kajian yang mencadangkan penggunaan
spreadsheet dapat mengurangkan kesilapan konsep tentang sesetengah konsep
matematik ( Catterall and Lewis, 1985 dalam Fatimah & Munirah, 1995 ). Mungkin
guru-guru di Malaysia juga boleh menggunakan speadsheet dalam pengajaran
matematik sementara menunggu pakej CAI yang sesuai.

Penggunaan multimedia

Multimedia adalah teknologi maklumat terkini yang membenarkan integrasi dan


manipulasi video, audio, teks, grafik dan animasi ( Baharuddin & Mohd, 1995 ).
Multimedia berasaskan komputer boleh menjadikan proses pendidikan suatu
pengalaman yang menyeronokkan dan menarik di samping membantu pelajar
memahami sesuatu konsep dengan cepat dan mudah ( Brown & Bush, 1992; Toh &
Ng, 1994; Rio & Kasiran, 1994; Baharuddin & Mohd, 1995 ). Penggunaan
multimedia mempunyai peranan penting dalam pendidikan matematik. Antaranya
ialah multimedia boleh;
1. memberi peluang kepada pelajar untuk belajar sendiri berdasarkan kemampuan
masing-masing.

2. memudah dan mempercepatkan kefahaman sesuatu konsep matematik.

3. menjadikan aktiviti pembelajaran menarik dan menyeronokkan

4. membekalkan lebih banyak maklumat dan pengetahuan kepada pelajar

5. membantu pelajar mengulangi sesuatu isi pelajaran berulang kali

Penggunaan Internet

Internet atau ' International Network of Networks ' ialah sebuah rangkaian komputer
diperingkat antarabangsa. Ia mengandungi lebih daripada 50 ribu rangkaian
komputer di seluruh dunia, lebih daripada 6.6 juta komputer hos dan lebih daripada
50 juta pengguna dari lebih daripada 160 buah negara ( Zoraini, 1995 ). Dalam
rangkaian Internet, terdapat berbagai jenis sumber yang berjuta-juta bilangannya.
Sumber ini termasuklah kertas persidangan, artikel majalah, perisian komputer,
gambar, video dan sebagainya. Seseorang guru boleh mendapat rancangan
pengajaran dari guru lain atau pun dari komputer yang menyimpannya. Atau pun
sumber pengajaran seperti peta, gambar dari angkasa lepas dan sebagainya boleh
didapati dalam Internet.

Di dalam Internet terdapat lebih daripada 8 000 kumpulan diskusi eletronik.


Kumpulan ini mungkin terdiri dari beberapa orang sehinggalah ke beberapa ribu
orang yang berbincang tentang perkara yang sama, termasuklah tentang matematik.
Topik-topik perbincangan bermacam-macam dari Antropologi sehinggalah ke
Zoologi. Bagi guru matematik, terdapat beberapa kumpulan diskusi eletronik yang
dapat disertai secara percuma. Antaranya; IMSE-L dan MATHEDCC. Selain
daripada diskusi eletronik, WWW (World Wide Web) juga menyediakan berbagai
sumber pengajaran dan pembelajaran , khususnya dalam bidang matematik
( Zoraini, 1995; Lee, 1996 )

Beberapa tajuk yang boleh diperolehi dari WWW :

 Global Network Navigator - Mathematic


 Math Section
 Mathematics - Singapore Min of Education
 Math Launchpad
 Mathematics Archives - K12 Internet Sites
 K-8 dan K-12 Mathematics Education
 Math and Numbers
 The Math Forum
 Ask Dr Math
 Math Archives
 Internet Math Class
 Forum Guru dan Pelajar - TM School On Line
 Nota dan Soalan Latihan ( UPSR, PMR dan SPM ) - TM School On Line
 

Menyedari potensi dan keupayaan Internet sebagai wadah komunikasi dan interaksi
eletronik yang berkesan maka Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah
untuk

memperkenalkan Internet kepada para pelajar dan pendidik. Dengan kerjasama


serta bantuan kepakaran daripada MIMOS, Kementerian Pendidikan telah
melancarkan projek Jaringan Pendidikan ( Sulaiman, 1996 ). Dalam perlaksanaan
projek ini, Kementerian Pendidikan telah:

1. menyediakan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian kepada para pelajar


dan golongan pendidik di sekolah dan maktab-maktab perguruan
2. melatih dan membimbing guru-guru dengan kemahiran menggunakan
kemudahan yang disediakan
3. merancang, melaksana dan menyelia pelbagai aktiviti pendidikan berasaskan
penggunaan rangkaian meluas ke arah mengembangkan minda dan
pengetahuan di samping menggalakkan perlaksanaan pelbagai aktiviti kreatif
dan inovatif berasaskan teknologi maklumat

Segala kemudahan yang sedia ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Bidang


teknologi maklumat yang menjadi sebahagian daripada kandungan sukatan kursus
akan memberi peluang kepada guru pelatih untuk menambahkan pengetahuan dan
meningkatkankemahiran dalam penggunaan komputer, khususnya untuk aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Tambahan pula pada hari ini, terdapat berbagai
program pendidikan yang dicipta dan dipasarkan, yang meliputi hampir semua
peringkat. 

Penutup

Penggunaan komputer dalam pendidikan adalah merupakan langkah awal ke arah


mewujudkan masyarakat berteknologi selaras dengan hasrat Wawasan 2020.
Institusi pendidikan sebagai wadah terpenting perlu mengalami perubahan terlebih
awal berbanding dengan institusi-institusi lain ke arah mencapai matlamat tersebut.
Potensi dan kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Untuk mancapai matlamat pendidikan di Malaysia, satu anjakan paradigma


diperlukan dalam cara pemikiran dan penggunaan teknologi ( Wan Zahid, 1996 ).
Usaha perlu dibuat dan penglibatan secara menyeluruh perlu dilakukan sehingga
kita mampu mereka dan menghasilkan sesuatu mengikut acuan pemikiran kita
sendiri, tanpa bersandar dan berharap kepada orang lain. Selagi kita bertaraf
‘pengguna’, selagi itulah kita tidak mampu merubah apa-apa

Anda mungkin juga menyukai