Anda di halaman 1dari 8

Berlegar dalam masyarakat sendiri, belum dimanfaatkan bagi mencapai gagasan 1Malaysia

SASTERA Mahua (Tionghua Malaysia) masih berlegar dalam kelompok kaumnya sendiri meskipun
hakikatnya ia sudah bermula pada 1920-an dan sebelum 1967 berkembang dengan jayanya kerana
penulisannya turut membabitkan ramai penulis dari Singapura.

Bagaimanapun segala-galanya itu kini tinggal sejarah dan sastera Mahua kini hanya berlegar di kalangan
penulis dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sedang hakikatnya ia boleh dimanfaatkan bagi mencapai
gagasan 1Malaysia janaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lalu, usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menterjemah dan menerbitkan antologi Salam Malaysia
yang menghimpunkan terjemahan 95 puisi pilihan karya 10 penyair Mahua pascamerdeka diyakini dapat
menghubungkan kembali sastera Mahua dengan masyarakat.

Pensyarah Bahagian Linguistik Bahasa Malaysia, Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu
Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Goh Sang Seong berkata terjemahan sastera Mahua
dalam bahasa kebangsaan membolehkan pembaca Malaysia mendekati orang Cina secara tidak langsung.

“Usaha menterjemah karya sastera Mahua membawa makna yang besar kerana melalui karya yang
diterjemahkan dapatlah masyarakat lain memahami dengan lebih dekat mengenai pemikiran penulis Cina di
Malaysia, sekali gus mencapai matlamat gagasan 1Malaysia.

“Ini kerana isi karya memaparkan persoalan dan rasa hati yang sama dengan penulis lain di Malaysia.
Semua karya yang diketengahkan mendedahkan budaya dan perasaan manusia yang meliputi
permasalahan dan perjuangan hidup, pendidikan, perniagaan, cinta serta kasih sayang,” katanya ketika
ditemui pada majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Penterjemah Cerpen Mahua di Dewan Bahasa dan
Pustaka, baru-baru ini. 

Justeru, beliau berharap penterjemahan sastera Mahua ke bahasa Melayu dapat dipertingkatkan lagi
kerana kekurangan buku sastera Mahua dalam bahasa Melayu menyebabkan ramai penulis Melayu
tertanya-tanya, malahan sastera Mahua masih kurang dikenali di kalangan orang Melayu. 

“Pada pandangan saya, usaha menyebarluaskan karya sastera pelbagai kaum patut digalakkan dan
dilaksanakan oleh agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta orang perseorangan
kerana ia boleh melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan harmoni,” katanya.

Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr Chew Fong Peng pula melihat sastera Mahua
penting sebagai penghubung masyarakat pelbagai kaum khususnya Melayu, Cina dan India selain dapat
memperkukuhkan usaha melahirkan persefahaman dan perpaduan kaum.

“Usaha ini penting kerana masyarakat bukan Cina dapat memahami budaya dan pemikiran orang Cina di
Malaysia, sekali gus menjadi pemangkin dalam usaha memupuk perpaduan antara kaum serta dapat
menyemarakkan semangat 1Malaysia.
“Hakikatnya, sastera Mahua sebenarnya merangkumi masyarakat Malaysia. Ia bukanlah karya yang
memaparkan isu perkauman, sebaliknya lebih menumpukan terhadap pelbagai isu sosial, pendidikan dan
politik berdasarkan pemikiran penulis berbangsa Cina,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa sastera Mahua masih belum sebati di kalangan orang
Melayu dan India kerana Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) yang
banyak menyumbang terhadap perkembangan sastera Mahua hanya terhad kepada galakan membaca dan
penterjemahan karya.

“Justeru, saya percaya sekiranya PERSPEKTIF dapat bergerak cergas seperti Persatuan Penulis Kaum
India Malaysia (KAVYAN) dalam memperjuangkan sastera India melalui penganjuran majlis baca puisi dan
pelbagai aktiviti tambahan, sastera Mahua juga akan dapat ke arah itu,” katanya.
(Berita Harian, 29 Disember 2010), (samb.)

atu bahasa, satu sastera

Oleh Hafizah Iszahanid

Sastera pelbagai kaum akan hanya menghancurkan perpaduan

APABILA Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 (1) mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, kedudukan dan hak bahasa Melayu mengatasi semua bahasa lain di Malaysia, manakala
Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 pula menguatkan lagi kedudukan bahasa itu.

Justeru, ia juga sepatutnya menjadi titik tumpu sastera kebangsaan atau dalam bahasa mudah, sastera
Malaysia mesti dihasilkan dan ditulis dalam bahasa Melayu, selari dengan kedudukannya sebagai bahasa
rasmi serta kebangsaan negara ini.

Ketika Seminar Sastera Pelbagai Kaum di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA), Kuala Lumpur,
minggu lalu, tiada langsung ditemui titik kesamaan di antara enam pembentang kertas kerja. 

Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan mengeluh mengenai khalayak sastera berbahasa
Melayu yang tidak mengenali penulis sastera Mahua, meskipun hebat hingga menerima Anugerah Sastera
di Taiwan kerana mereka menulis dalam bahasa Cina.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Goh Sang Seong pula, bercakap mengenai penulis sastera
Mahua sangat mencintai Tanah Melayu sebagai tanah kelahiran, namun semua rasa cinta itu diluah dalam
bahasa ibunda. 

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Chew Fong Feng, pula sibuk menegaskan perlunya karya sastera
Mahua diterjemah ke dalam bahasa Melayu dan dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran
dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).
Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Henry Banting pula mengingatkan usaha Cosmos Abah yang
mengeluarkan wang pencen untuk membiayai penerbitan himpunan puisi dalam bahasa Kadazandusun.

Hanya Pensyarah Sastera Bandingan UM, Dr Krishanan Maniam dan Pensyarah Kolej Seni dan Sains,
Universiti Utara Malaysia (UUM), Phat Awang Deng, melakukan pembentangan yang hampir senada -
semuanya kerana penulis India di Malaysia sebilangannya menulis dalam bahasa Melayu, manakala penulis
keturunan Siam juga berkarya dalam bahasa Melayu hingga ada yang dinobat sebagai pemenang hadiah
sastera.

Penulis bukan Melayu yang menulis dalam bahasa kebangsaan bukan seorang dan tidak juga fenomena
luar biasa serta dibuktikan dengan keindahan puisi Prof Madya Dr Lim Swee Tin, kehebatan novel Jong
Chian Lai atau cantiknya budaya dalam cerpen Jaya Ramba apalagi Jair Sulai.

Malah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga sudah menjalankan tugas mengeratkan perpaduan dan
keharmonian masyarakat melalui sastera seperti dapat disaksikan sejumlah antologi cerpen serta puisi,
malahan novel bukan Melayu yang menulis dalam bahasa Melayu diterbitkan.

Aneh juga, jika Lee Keok Chih, Peter Agustine Goh, Selina SF Lee, Jong Chian Lai, Eh Deng Eh Chik,
Saroja Theavy, Prasert Eh Chai, Joseph Selvam, Mahat Anak China, Poul Nanggang, Raja Rajeswari
Seetha Raman dan Tan Bok Hoi boleh menulis dengan baik dalam bahasa Melayu, mengapa tidak penulis
lain? 

Dapat difahami kebanyakan penulis sastera Mahua mendapat pendidikan sekolah jenis kebangsaan dan
begitu juga sebahagian penulis sastera Tamil, namun, seperti kata Dr Chew dan dipersetujui Dr Goh, subjek
Bahasa Melayu sudah diperkenalkan di sekolah jenis kebangsaan sejak di tahun satu. Generasi muda Cina
dan India hari ini sebenarnya boleh bertutur, menulis dan memahami bahasa kebangsaan dengan baik
sekali, tetapi ia bukan jaminan mereka akan berkarya dalam bahasa kebangsaan kerana sesungguhnya,
luahan rasa datang dari jiwa paling halus dan apa sebenarnya ternukil dengan indah adalah dalam bahasa
yang terlalu dekat di hati pengarang.

Menulis dalam bahasa selain bahasa kebangsaan juga bukanlah bermaksud mereka tidak patriotik atau
karya itu tidak indah seperti dipancarkan dalam puisi Wu Tianci yang merakam rasa cinta pada Tanah
Melayu yang tidak berbelah bahagi.

Tanah Melayu - tempat tumpah darahku//air sungai menyanyikan lagu gembira/banjaran gunung
mempamerkan muka manis//irama perkasa berdendang di ladang getah/ (Nyanyian Buat Pertiwi terjemahan
oleh Yuen Boon Chan).
Fu Chengde pula berkongsi resah dan impian terhadap negara ini lewat puisinya, Salam Malaysia.

Salam pagi Malaysia/ apakah fajar mentari masih bebas menyinar/ apakah angin sepoi masih bebas
menghembus/ apakah unggas pagi masih bebas berlagu/ jika ya/ salam pagi, pertiwiku/ (Terjemahan Thock
Ker Pong)
Begitu juga Cosmos Abah, penulis puisi Kadazandusun, Siapalah anak emas Malaysia/ Seorang pemimpin
negara Malaysia/ Kedudukan kukuh penuh kesabaran/ Seorang penuh visi dan misi (Anak Emas Malaysia,
terjemahan Henry Bating).

Bagaimanapun, semua karya indah ini hanya dinikmati oleh kelompok yang boleh berbahasa berkenaan,
lalu untuk menterjemahkannya agar difahami pembaca berbahasa Melayu turut sama menghayati karya
seni bukan berbahasa kebangsaan adalah tugas yang sungguh mulia. 

Walaupun demikian, untuk meletakkannya dalam definisi sastera kebangsaan adalah tidak molek, malahan
melanggar Dasar Kebudayaan Kebangsaan, selain sastera pelbagai kaum dalam pelbagai bahasa
sebenarnya hanya menjarakkan lagi silaturahim sesama warga negara.

Ini jika slogan bahasa lambang perpaduan diambil kira dan lagipun, bukankah sangat janggal dalam negara
yang bahasa rasminya bahasa Melayu, sasteranya pula dipecah-pecahkan kepada sastera berbahasa
kebangsaan dan sastera tidak berbahasa kebangsaan?
(Berita Harian, 12 April 2011, ms 26, Sastera)

Sastera Malaysia: Satu Bahasa, Pelbagai Budaya

Forum Penulis Pelbagai Kaum: Satu


Pertemuan Kreatif pada 8 Januari 1994 mungkin merupakan satu titik permulaan ke arah mencari bentuk
sastera kebangsaan negara kita.
.
Forum tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan
dipengerusikan oleh Prof. Madya Abdullah Tahir (Allahyarham) dihadiri sekitar 80
peserta pelbagai kaum. Penulis pelbagai kaum ini telah berpeluang untuk saling
mengenali sastera pelbagai bahasa yang terdapat di Malaysia.
.
Salah seorang panel, Prof. Madya Dr Tang Eng Teik memperkatakan rentetan sejarah
sastera Mahua (Malaysian Tionghua) dari tahun 1919 hingga akhir tahun 1980-an.
.
Kolumnis akhbar New Straits Times, Wong Phui Nam pula menjelaskan mengapa ada
penulis yang masih menulis dalam Bahasa Inggeris. Beliau berpendapat bahawa penulis-
penulis yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam berkarya tidak seharusnya
mengabaikan idea, matlamat dan budaya negara ini.
.
Pada masa yang sama, menurut beliau lagi, untuk menjadi penulis yang berjaya, para
penulis Malaysia amat perlu mengkaji dan meneliti perkembangan sastera dan sasterawan
negara-negara lain. Di sinilah Bahasa Inggeris memainkan peranan yang amat penting
kerana bahasa itu merupakan bahasa antarabangsa.
.
Suasana gamat sedikit apabila Dr Krishanan Maniam dari Jabatan Pengajian India,
Universiti Malaya mendedahkan bahawa karya Bahasa Tamil yang tersiar di akhbar dan
majalah tidak dibayar honorarium. Malah, untuk menerbitkan antologi/kumpulan cerpen
mahupun novel Bahasa Tamil, penulis terpaksa mengusahakannya sendiri; termasuk
urusan pemasaran.
.
Usaha-usaha baru harus dilakukan bagi memastikan nasib penulis karya Bahasa Tamil
terpelihara, kata beliau. Perlu juga diadakan bengkel penulisan atau seminar sastera bagi
membantu meningkatkan mutu karya mereka. Jika tidak, mutu dan hasil karya sastera
Bahasa Tamil akan terkubur di masa hadapan.
.
Kajian terperinci beliau terhadap hal ini dapat dibaca dalam Cerpen Tamil dan Melayu
(1957-1970): Perbandingan Tema dan Struktur (DBP: 1993).
.
Ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu Berhad, Johan Jaafar pula membuat
semacam kesimpulan bahawa masih belum berlaku penyatuan antara karya-karya Bahasa
Malaysia, Tamil, Mahua dan Inggeris. Menurut beliau, perlu ada interaksi antara penulis
pelbagai kaum (yang menulis dalam pelbagai bahasa) agar dapat menyumbang kepada
perkembangan Sastera Malaysia.
.
“Pengelasan seperti penulis kaum India untuk sastera Bahasa Tamil, penulis kaum Cina
bagi sastera Mahua dan penulis kaum Melayu untuk sastera Melayu akan menyebabkan
penulis menulis mengikut orientasi kaumnya sendiri serta sukar untuk menerima bentuk
penulisan kaum lain,” kata beliau.
.
Menurut beliau lagi, perlu ada satu interaksi yang lebih erat dan terancang bagi mencari
jalan ke arah mewujudkan Sastera Malaysia yang lebih dinamik dan berdaya saing.
.
Daripada pemerhatian penulis, forum yang lebih berupa “pertemuan” ini tidak mencapai
sebarang kata sepakat sebagaimana yang telah penulis impikan sebelum menyertainya.
.
Apa yang agak aneh, sepanjang forum, panel dominan memperkatakan karya kaumdan
bahasa masing-masing. Panel sekadar “mencadangkan” agar penulis pelbagai kaum
menulis dalam Bahasa Malaysia. Para peminat sastera tanah air tentu maklum bahawa
Tan Bok Hooi, Saroja Theavy Balakrishnan, Lawrence Quek, Eh Pon dan Prasert Eh
Chai (sekadar menyebut beberapa nama) adalah penulis Bukan Melayu yang mampu
mengungkapkan budaya kaum/etnik masing-masing dalam sastera Bahasa Malaysia.
.
Karya-karya bermutu penulis Bukan Melayu yang memenangi Hadiah Cerpen
Maybank-DBP terdapat dalam siri antologi Menara (DBP: 1988), Menara 2 (DBP:
1989),  Menara 3(DBP: 1990), Menara 4 (DBP: 1991) dan Menara 5 (DBP:
1993).  Tanpa Mengira Warna(DBP: 1993) juga merupakan antologi cerpen penulis
Bukan Melayu.
.
Tempoh forum yang relatif singkat juga tidak memungkinkan para peserta mengenali
sastera pelbagai bahasa yang diterangkan oleh panel. Tanpa “pengenalan asas” itu,
tentulah sukar untuk mencari satu titik pertemuan antara sastera Bahasa Malaysia, Tamil,
Mahua dan Inggeris. Apatah lagi untuk merumuskan satu bentuk Sastera Kebangsaan!
.
Penulis pelbagai kaum yang sudah sedia menulis dalam Bahasa Malaysia boleh dijadikan
agen atau tali penghubung antara sastera pelbagai kaum di negara kita. Penulis-penulis ini
harus terus mempertahankan identiti dan budaya masyarakat dalam karya Bahasa
Malaysia yang mereka hasilkan.
.
Selain daripada membantu memperkayakan sastera Bahasa Malaysia, karya-karya
seumpama ini juga menyumbang ke arah membentuk persefahaman dalam kalangan
masyarakat majmuk.
.
Cerpen “Kandasami” (Menara 4) dan “Nayagi” (Menara 5), misalnya, memberi peluang
kepada seluruh rakyat Malaysia meneliti secebis daripada permasalahan dan budaya
kaum India yang didedahkan oleh penulis kaum India sendiri dalam Bahasa Malaysia
yang sangat indah dan berkesan.
.
Penulis pelbagai kaum juga harus berani menulis tentang kaum-kaum lain. Azizi Haji
Abdullah, misalnya, melalui novel Sinappapal (DBP: 1993) mempunyai keunikan
tersendiri (walaupun masih tepu dengan gaya Melayu-Islam).
.
S.M. Zakir dan Anwar Ridhwan (sekadar contoh) pula menyelongkar khazanah sastera
epik India, lalu memberi interpretasi baru mengikut perkembangan semasa.
.
Usaha Biro Antarabangsa PENA mewujudkan interaksi antara penulis pelbagai
kaum/bahasa seharusnya dipuji. Harapan penulis adalah agar pertemuan-pertemuan
susulan terus diadakan dari semasa ke semasa.
.
Badan-badan berwibawa seperti Kelab Sastera DBP, Kelab Sastera Bandingan, GAPENA
dan Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) pula disarankan menganjurkan
pertemuan antara penulis pelbagai kaum yang dikenal pasti berupaya mengungkapkan
budaya pelbagai kaum dalam sastera Bahasa Malaysia.
.
Dalam pertemuan berbentuk diskusi itu nanti, perbincangan bukan lagi tentang titik
persamaan antara karya kreatif Bahasa Malaysia, Tamil, Mahua dan Inggeris. Sebaliknya
perbincangan harus lebih serius terhadap isu sastera pelbagai kaum yang dihasilkan
dalam Bahasa Malaysia tanpa kehilangan identiti budaya masing-masing penulis pelbagai
kaum/etnik.
Rais berkata peranan Bahasa Melayu dalam membina masyarakat pelbagai kaum di negara ini tidak boleh
diambil ringan. Katanya seminar yang dianjurkan ASWARA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta
Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) semalam merupakan langkah
awal dalam melahirkan penulisan yang bernilai antara penulis Melayu dan bukan Melayu.
Beliau berkata kementerian akan bekerjasama dengan DBP dan ASWARA dalam usaha memartabatkan
bahasa Melayu demi menyatukan masyarakat pelbagai kaum, selaras dengan konsep Gagasan 1Malaysia.

Pada seminar itu, satu memorandum persefahaman ditandatangani antara Rektor ASWARA Datuk Dr


Mohamed Najib Ahmad Dawa, Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Presiden PERSPEKTIF
Goh Hin San untuk bekerjasama dalam usaha memberi bimbingan kepada penulis menghasilkan karya
bermutu. — Bernama

Anda mungkin juga menyukai