Anda di halaman 1dari 10

PENGHARAMAN ARAK SECARA BERANSUR-ANSUR

Islam mengharamkan minum arak secara putus kerana ia dianggap sebagai punca kejahatan. Selain khamar itu merosakkan akal fikiran, ia juga merosakkan kesihatan, menghabiskan wang ringgit malahan boleh menyebabkan pertumpahan darah. Tetapi oleh kerana pada zaman permulaan Islam, khamar telah menjadi kegemaran kebanyakan orang Arab maka syariat Islam mengharamkan khamar itu tidak dengan sekaligus bahkan dengan cara berperingkat-peringkat. Pertama Allah menurunkan ayat yang menerangkan bahawa khamar yang diambil daripada buah kurma dan anggur adalah bukan daripada rezeki yang baik sebagaimana firmanNya : Maksudnya : Dan daripada buah-buahan kurma dan anggur kamu jadikan daripada minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Yang kedua Allah menurunkan ayat yang menjelaskan bahawa keburukan yang ada khamar lebih banyak daripada kebaikannya sebagimana firmanNya : Maksudnya : Mereka bertanya kamu (Muhammad) mengenai khamar dan judi, katakanlah bahawa pada kedua-duanya dosa yang besar dan bermunafaat kepada manusia tetapi dosa kedua-duanya itu lebih besar daripada munafaat. Kemudian turun ayat seterusnya yang melarang orang yang dalam keadaan mabuk menunaikan solat sebagaimana firmanNya : Maksudnya : Wahai ornag-orang yang beriman, jangan kamu hampiri solat sedangkan kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengetagui apa-apa yang kamu cakapkan. Akhir sekali turunlah ayat al-Quran yang memberi kataputus tentang pengharaman khamar sebagaimana firmanNya : Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman seseungguhnya arak, judi, mengundi nasib, berhala-berhala adalah perbuatan keji daripada perbuatan syaitan, maka jauhilah daripadanya mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan. Begitulah Islam melarang orang daripada minum khamar kerana bertujuan untuk memberikan personaliti kuat sama ada dari segi fizikal mahupun dari segi mental, sebab khamar boleh merosakkan akal fikiran dan apabila akal sudah rosak maka ia

akan menjadi punca berlakunya kejahatan sama ada pada dirinya sendiri atau kepada orang lain. Hikmat Pengharaman Khamar Syariat Islam telah mengharamkan arak dan menetapkan hukuman berat ke atas peminum-peminum arak kerana ia boleh membahayakan bukan sahaja kepada peminum-peminum arak itu sendiri bahkan juga kepada masyarakatnya. Di antara kemudaratan yang timbul daripada minum arak. 1. Merosakkan kesihatan. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam Hadithnya yang bermaksud : Bahawasanya arak itu bukan ubat tetapi adalah sebagai pembawa penyakit. Mengikut kajian ilmiah bahawa arak menjadi sebab datangnya bermacammacam penyakit seperti sakit perut, hilang selera makan, perjalanan darah tidak betul, sakit paru-paru, lemah nafsu, sesak nafas, kecacatan pada kandungan, mandul dan sebagainya. 2. Arak adalah punca segala kejahatan seperti maksud Hadith Rasulullah s.a.w : Maksudnya : Khamar adalah punca kejahatan. Kerana apabila seorang itu mabuk maka dia akan melakukan kejahatan sama ada dari segi percakapan dan perbuatannya, tanpa menyedari akibatnya. 3. Menyebabkan perpecahan dan permusuhan dalam masyarakat. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya : Maksudnya : Sesungguhnya syaitan mengkehendaki supaya berlaku permusuhan dan kebencian disebabkan oleh arak dan judi. Apabila seorang itu mabuk maka akalnya tidak dapat menghalang dirinya daripada mengeluarkan kata-kata atau perbuatan yang menyakiti orang lain. Sehingga boleh berlaku pergaduhan dan pembunuhan. 4. Orang yang mabuk arak tidak mengindahkan tuntutan-tuntuan agamanya dan tidak mempedulikan larangan-larangan syarak. Hal ini diterangkan oleh Allah dalam AlQuran : Maksudnya : Dan arak itu menghalang kalian daripada menginati Allah dan daripada menunaikan solat maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu) 5. Menghabiskan harta. Jika seorang itu asyik minum arak yang menjadi punca

kejahatan maka sudah tentu dia melakukan kejahatan-kejahatan yang lain seperti berjudi, berpoya-poya, pergi ke tempat-tempat maksiat dengan menghabiskan masa tenaga dan wang ringgit. Jadi oleh kerana begitu hebatnya bahaya daripada minuman arak itu maka memang munasabah sekali Islam mengharamkan arak serta menetapkan hukuman yang berat ke atas peminum-peminum arak itu. Rukun-rukun Kesalahan Minum Arak (Khamar) : 1. Minuman khamar 2. Orang yang minum 3. Niat 1. Minuman Khamar Perkataan khamar berasal daripada masdar atau khamar yang bererti penutup, yang bermaksud bahawa khamar boleh menutupi akal fikiran daripada mengetahui keadaan yang sebenar. Ulamak feqah berselisih pendapat mengenai pengertian khamar yang membolehkan peminumnya dikenakan hukuman had. Jumhur ulamak mengatakan bahawa taip-tiap benda yang memabukkan adalah khamar sama ada yang memabukkan itu sedikit atau banyak, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. Maksudnya : Tiap-tiap benda yang memabukkan adalah khamar dan tiap-tiap khamar adalah diharamkan. Sabda Rasulullah lagi daripada al-Nukman b. Basyir : Maksudnya : Bahawasanya daripada al-hantah itu khamar, dan daripada syair itu khamar, daripada anggur kering itu khamar, daripada tamat itu khamar dan daripada madu adalah khamar. Kedua Hadith di atas menunjukkan bahawa khamar itu ialah sebagi tiap-tiap minuman yang memabukkan dan juga kerana tiap-tiap benda yang memabukkan dengan tidak mengambil kira daripada mana bahan asalnya. Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa khamar ialah benda memabukkan yang berasal daripada buah anggur dan kurma. Berdasarkan sabda Rasulullah : Maksudnya : Diharamakan khamar kerana bendanya dan yang memabukkan dari setiap minuman.Menurut satu riwayat bahawa Rasulullah menunjuk pokok anggur dan kurma dengan jarinya dan bersadba :

Maksudnya : Khamar itu (berasal) daripada kedua-dua pokok ini. Imam Abu Hanifah membezakan khamar yang diperbuat daripada anggur dengan minuman-minuman lain yang memabukkan yang dibuat selain daripada anggur dari segi hukuman dengan peminumnya. Jadi, orang yang minum khmar yang diperbuat daripada sama ada sedikit atau banyak adalah haram dan wajib dikenakan hukuman had. Manakala yang minum jenis-jenis minuman yang selain khamar maka peminumnya tidak wajib dikenakan hukuman had kecuali jika sampai had yang memabukkan. Sedangkan menurut jumhur ulamak hukuman bagi orang yang minum minuman yang memabukkan adalah satu sahaja, sama ada ia minum yang dibuat daripada anggur atau daripada bahan-bahan lain asalkan memabukkan. Jadi kalau dibandingkan antara kedua-dua pendapat di atas maka pendapat jumhur yang lebih sesuai dengan pendapat kita kerana Rasulullah s.a.w. sendiri telah mendefinasikan khamar itu bahan daripada anggur itu sendiri tidak dinamakan khamar melainkan disebabkan kerana ia mendatangkan mabuk. Jadi, jika bahan-bahan yang selain anggur boleh memabukkan maka ia juga dinamakan khamar, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang, yang kedapatan jenis bahan yang memabukkan bertambah banyak. Oleh itu kalau yang diharamkan itu hanya terhad kepada bahan-bahan yang dibuat daripada anggur maka ramailah orang yang terlepas daripada hukuman sedangkan terdapat bahan-bahan yang selain daripada anggur lebih memabukkan dan lebih mendatangkan kemudaratan. Dengan mengikut pendapat jumhur ini bererti segala jenis yang memabukkan sama ada minuman atau tidak adalah diharamkan seperti dadah, opium dan sebagainya kerana bahan-bahan itu membahayakan tubuh badan dan merosakkan akal fikiran, yang boleh membawa kepada melakukan kejahatan-kejahatan yang lain. 2. Syarat orang yang minum arak. Disyaratkan kepada orang yang melakukan kesalahan minum khamar sehingga ia boleh dikenakan hukuman had ialah seperti berikut : i, ii Orang yang sudah baligh dan berakal. Sekiranya kanak-kanak atau orang gila minum minuman keras maka tidak diwajibkan had ke atas mereka disebabkan perbuatan mereka tidak dianggap sebagai perbuatan jenayah kerana diangkatnya qalam daripada mereka. iii. Islam tidak menjadi syarat. Ini bererti seorang yang kafir zimmi atau mustamin jika minum minuman khamar diwajibkan hukuman had ke atas mereka mengikut pendapat jumhur kerana minuman khamar itu diharamkan dalam semua agama samawi dan kerana pengharamannya adalah untuk kepentingan masyarakat dan

memelihara daripada kebinasaan. Akan tetapi menurut Abu Hanifah Khamar adalah harta yang bernilai di sisi zaimmi dan mustamin dan ia diharuskan ke atas mereka. Jadi, mereka minum khmar tidak dianggap sebagai melakukan jenayah, oleh kerana itu mereka tidak boleh dikenakan hukuman had. Akan tetapi jika orang-orang kafir zimmi itu minum minuman khamar kemudian mereka mabuk maka mereka boleh dikenakan hukuman had disebabkan mereka mabuk dan bukan kerana minum arak, kerana dalam keadaan mabuk itu diharamkan dalam semua agama. iv. Dengan kehendaknya sendiri bukan dipaksa. Oleh itu jika seorang itu minum khamar kerana dipaksa orang atau terpaksa minum seperti dalam keadaan dahaga yang bersangatan yang mana tidak mendapati air kecuali minuman khamar maka tidak wajib had ke atasnya, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Diampunkan umatku kerana tersalah, lupa dan kerana dipaksa. Dan mengikut firman Allah : Maksudnya : Maka barangsiapa dalam keadaan terpaksa sedangkan ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas maka tidak ada dosa baginya. v. Minuman itu mestilah sampai ke dalam rongga melalui mulut, kalau minuman itu sampai ke dalam rongga dengan jalan yang lain daripada mulut seperti melalui suntikan atau ditebuk lubung di leher dan seumpamanya maka tidak diwajibkan had ke atasnya. 3. Adanya niat melakukan kesalahan. Yang dimaksudkan dengan adanya niat itu ialah apabila seorang yang minum itu betul-betul mengetahui bahawa benda yang diminum itu ialah khamar atau benda yang memabukkan. Jadi, kalau dia minum bahan yang memabukkan tetapi dia tidak mengetahui bahawa dengan meminum queintiti yang banyak itu memabukkan maka dia tidak diwajibkan had ke atasnya walaupun dengan sebab minum itu dia menjadi betul mabuk. Begitu juga jika seorang itu minum minuman yang memabukkan sedangkan dia menyangka yang diminum itu bukan bahan yang memabukkan maka peminum itu terlepas daripada hukuman had seperti kes seorang yang berwati dengan perempuan yang disangkanya isterinya sendiri. Begitu juga juga yang dimaksudkan dengan adanya sengaja ialah jika orang yang minum arak mengetahui tentang haramnya khamar itu. Tetapi kalau dia tidak tahu bahawa khamar itu haram maka perbuatannya itu tidak dianggap sahaja dan tidak wajib dikenakan had walaupun dia mengetahui bahawa yang diminum iut bahan yang memabukkan sekalipun. Akan tetapi kalau kejahilan tentang haramnya khamar itu berada di tengah-tengah masyarakat Islam maka alasannya itu tidak boleh diterima. Manakala kalau kejahilannya itu disebabkan baru masuk Islam atau berada di tempat yang berjauhan daripada orang Islam maka boleh diterima alasannya.

Bukti-bukti Yang Mensabitkan Kesalahan Minum Khamar 1. Kesaksian 2. Pengakuan 3. Bau mulut

Kesalahan minum khamar dan mabuk disabitkan dengan adanya saksi-saksi, terdiri dari dua orang laki-laki yang mempunyai syarat-syarat yang cukup sebagai saksi. Oleh sebab itu jika saksi itu semuanya terdiri dari kaum wanita atau seorang saksi lelaki beserta dengan beberapa kaum wanita maka tidak diterima kesaksian mereka, ini kerana kesaksian mereka boleh mendatangkan keraguan. Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf mensyaraktkan selain daripada syarat saksi-saksi itu ialah adanya bau khamar ketika seorang itu disaksikan minum khamar atau sedang mabuk, dan tidak disyaratkan adanya bau khamar itu ketika penyiasatan. Manakala Muhammad al-Syaibani tidak mensyaratkan adanya bau khamar ketika saksi-saksi itu menyaksikan pesalah itu minum khamar atau sedang mabuk. Alasan Abu Hanifah ialah kerana hukuman had kerana minum khamar itu ditetapkan oleh ijmak para sahabat dan oleh kerana Ibn Maud mensyaratkan adanya bau khamar yang tidak ada ijmak kecuali dengan ijtihadnya. Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf juga mengatakan bahawa kesaksian itu diterima dengan syarat kejadian jenayah itu disaksikan tidak lama selepas kejadian itu kira-kira belum hilang bau khamar di mulut yang dituduh. Jadi kalau saksi-saksi itu mendiamkan sahaja kejadian itu tidak mahu tampil menjadi saksi sehingga hilang bau khamar, selepas itu baru hendak menjadi saksi maka tidak diterima kesaksian mereka. Manakala Muhammad al-Shaibani pula menentukan masa untuk menjadi saksi tidak lebih dari tiga puluh hari. Akan tetapi kebanyakan ulamak tidak menerima pendapat Imam Abu Hanifah mengenai tempoh kesaksian sebagai syarat penerimaan saksi-saksi. Apabila saksi-saksi itu tampil memberi keterangannya maka kadi hendaklah menyoal saksi-saksi itu mengenai apa yang dikatakan khamar dan bagaimana yang dituduh itu meminumnya sama ada dengan kemahuannya sendiri atau dipaksa juga disoal tentang tempat di mana yang dituduh itu minum sama ada di negara Islam atau di negeri bukan Islam . 2. Ikrar-Pengakuan Sabit kesalahan minum khamar dengan pengakuan yang diberikan oleh pesalah itu sendiri. Memadai dengan sekali pengakuan mengikut pendapat empat mazhab. Cuma

Abu Yusuf yang mensyaratkan dua kali pengakuan sepertimana saksi itu disyaratkan dua orang. Seorang yang menarik balik pengakuan kerana minum khamar boleh diterima penarikan balik akuannya kerana kesalahan itu adalah semata-mata mengenai hak Allah s.a.w. seperti kesalahan-kesalahan hudud yang lain yang mengenai hak Allah, kerana kemungkinan pengakuan yang dibuat sebelumnya tidak benar, maka jadilah satu perkara yang menimbulkan kesamaran (syubahat) yang boleh melepaskan hukuman hudud. Adapun pengakuan yang dibuat oleh seorang yang sedang mabuk tidak boleh diterima kerana pengakuannya itu mungkin tidak benar oleh itu orang yang sedang mabuk itu tidak boleh dipegang keterangannya. Seperti dalam kesaksian maka dalam hal pengakuan ini juga Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf mensyaratkan bahawa pengakuan itu dibuat tidak lama selepas kejadian jenayah minum. Kalau kejadian minum itu telah lama berlaku sehingga telah hilang bau khamar di mulutnya, baru seorang itu mengaku maka tidak diterima pengakuannya. Manakala kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa pengakuan yang dibuat selepas kejadian ini berlaku walau macam mana lama sekalipun boleh diterima pengakuannya sehingga boleh mensabitkan kesalahannya. 3. Bau arak. Imam Malik dan satu riwayat daripada Imam Ahmad berpendapat bahawa dengan adanya bau khamar di mulut seseorang sudah cukup untuk membuktikan bahawa seorang itu minum arak walaupun ketika dia minum itu tidak seorang pun yang menyaksikannya. Jadi, jika dua orang menyaksikan adanya bau khamar di mulut seorang atau seorang saksi melihat seorang sedang minum khamar sedang yang seorang lagi mencium bau khamar di mulutnya maka keterangan saksi-saksi itu boleh mensabitkan kesalahan minum yang membolehkan peminum khamar itu di hukum had. Manakala Imam Abu Hanifah, Syafie dan satu riwayat daripada Ahmad menyatakan bahawa adanya bau khamar di mulut seseorang tidak boleh dengan sendirinya mensabitkan kesalahan tersebut. Akan tetapi menurut Abu Hanifah bau khamar berserta dengan adanya seorang saksi melihat seorang itu minum khamar boleh mensabitkan kesalahan. Mereka yang mensabitkan kesalahan minum khamar kerana adanya bau dimulut beralasan bahawa Ibn Masud telah menghukum jilid ke atas seorang laki yang didapati mulutnya berbau khamar dan mengikut satu riwayat daripada Saidina Umar yang berkata maksudnya : Aku dapati mulut Ubaidillah berbau khamar yang kemudiannya dia mengaku telah

minum air anggur. Kemudian Saidina Umar bertanya kepadanya jika dia mabuk maka aku akan menghukum jilid ke atasnya. Manakala ulamak yang tidak menerima bau arak sebagai bukti yang mensabitkan kesalahan minum arak berpendapat bahawa mulut seorang itu berbau khamar tidak semestinya dia minum, mungkin dia hanya berkumur atau menyimpannya sahaja di mulut dengan tidak ditelan minuman tersebut dan mungkin dia makan buah-buahan atau minuman yang mempunyai bau yang serupa dengan bau khamar. Jadi, dengan adanya kemungkinan-kemungkinan ini mendatangkan kesamaran-kesamaran yang boleh melepaskan dari hukuman had. 4. Dalam keadaan mabuk. Jika didapati seorang itu dalam keadaan manuk sudah cukup untuk mensabitkan yang dia minum khamar yang wajib untuk mensabitkan yang dia itu minum khamar yang wajib dikenakan hukuman had mengikut mazhab Hanafi jika dianya telah disaksikan oleh dua orang. Akan tetapi menurut Mazhab Syafie seorang yang dalam keadaan mabuk tidak boleh disabitkan kesalahan minum khamar kerana mungkin dia mabuk itu disebabkan kena suntik atau tersalah minum atau dipaksa minum begitulah juga menurut satu riwayat daripada Imam Ahmad. Manakala Imam Malik dan satu pendapat daripada Ahmad yang menyatakan adanya bau khamar sudah memadai untuk membuktikan kesalahannya maka lebih-lebih lagi jika seorang itu mabuk sudah tentu boleh mensabitkan kesalahan tersebut sehingga pesalah itu wajib dikenakan hukuman had. Hukuman Bagi Kesalahan Minum Khamar Semua ulamak fekah sependapat bahawa hukuman bagi orang yang minum khamar ialah dijilid. Cuma mereka berbeza pendapat tentang kadarnya. Ada yang mengatakan bahawa hukumannya ialah sebanyak lapan puluh kali jilid menurut pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. Manakala Imam Syafie dan satu pendapat daripada Imam Ahmad mengatakan hukuman bagi kesalahan tersebut ialah sebanyak empat puluh kali jilid. Walaupun demikian boleh juga pesalah itu dikenakan jilid sebanyak lapan puluh kali jika pada pendapat pemerintah pesalah itu patut dijilid sebanyak itu. Jadi hukuman hadnya ialah empat puluh kali manankala yang selebihnya adalah sebagai hukuman tazir. Punca perselisihan mereka disebabkan kerana hukuman bagi kesalahan had minum khamar tidak ada keterangannya di dalam al-Quran dan juga kerana Hadith-Hadith Nabi dan Athar para sahabat tidak memberi penjelasan yang jitu tentang kadar yang tertentu bahkan semuanya boleh diijtihadkan. Sesungguhnya dalam al-Quran ada disebutkan tentang pengharaman arak tetapi tidak ada menetapkan hukuman had

kepada peminum-peminum khamar begitu juga Nabi Muhammad s.a.w. tidak menetapkan kadar yang tertentu. Ada kalanya beliau menyebat pesalah tersebut hanya beberapa kali sebat dan ada kalanya dengan banyak kali tetapi tidak melebihi daripada empat puluh kali sebat. Kemudian Saidina Abu Bakar pula menghukum peminumpeminum khamar sebanyak empat puluh kali sebat. Diriwayatkan daripada Ibn Said al-Khudri dan Ali bahawa Nabi Muhammad s.a.w. menghukum orang yang minum khamar sebanyak empat puluh kali sebat. Apabila tiba pada zaman Saidina Umar maka beliau meminta nasihat daripada para sahabat lalu Abdul Rahman bin Auf berkata Maksudnya : Seringan-ringan hudud ialah lapan puluh kali sebat, kemudian Umar pun menetapkan hukuman itu sebanyak 80 kali dan para sahabat semuanya setuju dengan Umar yang mengambil pendapat Abdul Rahman sebagai satu ijmak. Diriwayatkan daripada Husain bin al-Munzir bahawa ketika Saidina Ali ditugaskan oleh Saidina Uthman untuk menghukum jilid ke atas al-Walid bin Uqbah, beliau berkata yang maksudnya : Rasulullah s.a.w. telah menghukum sebanyak 40 kali jilid begitu juga Saidina Abu Bakar tetapi Saidina Umar menghukum sebanyak lapan puluh kali semuanya aalah sunnah yang ini aku lebih sukai. Bagi fuqaha yang mengatakan hukuman had minum khamar sebanyak lapan puluh kali sebat berdasarkan kepada riwayat daripada Anas bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah didatangi seorang lelaki yang minum arak, kemudian beliau menyebat dengan dua pelepah tamar lebih kurang empat puluh dan begitu juga Abu Bakar berbuat seperti ini, tetapi pada zaman Saidina Umar, beliau meminta nasihat para sahabat, lalu Abdul Rahman bin Auf berkata seringan-ringan hukuman hudud ialah lapan puluh kali sebat lalu Saidina Umar pun memerintahkan hukuman tersebut. Hadith di atas menunjukkan bahawa hukuman had minum khamar ialah lapan puluh kali jilid kerana para sahabat telah merestui pendapat Umar yang dengan sendiri dianggap ijmak dan ijmak pula adalah sebagai salah satu sumber hukum syara. Manakala ulamak yang mengatakan hukuman had minum khamar itu sebanyak empat puluh kali sebat pula berdasarkan kepada hukuman yang telah dijalankan oleh Saidina Ali sebanyak empat puluh kali sebat ke atas al-Walid bin Uqbah dan berkata : Nabi Muhammad s.a.w. menghukum jilid sebanyak empat puluh kali begitu juga Abu Bakar tetapi Umar menghukum jilid sebanyak lapan puluh kali, semuanya Sunnah dan yang ini lebih aku sukai. Jadi mereka berpendapat bahawa perbuatan Nabi adalah diterima sebagai hujjah yang

tidak boleh ditinggalkan kerana hendak mengikut perbuatan orang lain dan juga kerana ijmak tidak boleh diterima sebagai hujah jika bertentangan dengan perbuatan Nabi s.a.w., Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali. Jadi mereka menganggap hukuman tambahan yang dilakukan oleh Umar adalah sebagai hukuman tazir jika pada pendapat pemerintah bahawa hukuman itu diperlukan. Jika dibandingkan antara kedua-dua pendapat di atas maka saya lebih cenderung kepada pendapat Imam Syafie kerana Hadith-hadith yang menjelaskan hukuman had minum khamar menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah menghukum kepada peminum khamar sebanyak empat puluh kali sebat atau yang hampir kepada empat puluh. Ada pun riwayat yang mengatakan ada daripada sahabat menghukum sebanyak lapan puluh kali itu mungkin hukuman yang lebih daripada empat puluh sebagai tazir dan bukan sebagai had. Manakala dakwaan bahawa hukuman lapan puluh kali sebat itu sebagai ijmak sahabat tidak dapat diterima kerana ijmak sahabat tidak mungkin berlaku kalau bertentangan dengan amalan yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Lagi satu bukti tidak ada ijmak sahabat ialah kerana Saidina Ali lebih suka kepada hukuman empat puluh kali jilid seperti yang berlaku ketika baginda menyebat al-Walid yang minum khamar pada zaman Saidina Uthman.

Anda mungkin juga menyukai