Anda di halaman 1dari 14

TAHAP-TAHAP PENSEJARAHAN DI MALAYSIA Memang tidak dapat dinafikan bahawa penulisan sejarah atau pensejarahan amat dipengaruhi oleh

suasana politik dan sosial yang wujud apabila sesebuah karya itu dikarang serta persepsi dan pendirian penulis turut dicorakkan oleh keadaan persekitarannya atau pemikirannya. Penulisan merupakan satu cara yang paling berkesan untuk menyampaikan idea, pemikiran, kritikan, maklumat dan pendapat terhadap sesuatu perkara yang mencakupi pelbagai bidang samada berkaitan masyarakat, agama, politik, bangsa dan negara. Hakikatnya penulisan merupakan satu perjuangan, peperangan atau satu cara jihad [1] untuk menegakkan kebenaran . Pendidikan merupakan elemen yang paling penting dan sering mempengaruhi penghasilan penulisan. Begitu juga dengan disiplin sejarah, dengan adanya tahap pendidikan sekurangkurangnya ia memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya sikap gemar mencatat, merekod dan menghasilkan sesebuah karya sejarah. Malah lebih tinggi tahap pendidikan yang diterima akan melahirkan satu sikap yang lebih kritis dalam sesebuah penulisan sejarah itu samada sejarah politik, sejarah ekonomi mahupun sejarah sosial. Demikianlah juga dengan pensejarahan Malaysia. Karya-karya sejarah yang dihasilkan pada tempoh-tempoh tertentu memaparkan ciri-ciri tersendiri dari segi tumpuan, kaedah dan pendekatannya. Dalam kajian ini penulis membahagikan tahap-tahap pensejarahan di Malaysia[2] dapat dibahagikan kepada dua tahap berdasarkan ciri-ciri penulisan yang dihasilkan pada zaman tersebut: a. Pensejarahan Tahap Tradisional (Pensejarahan Pribumi)

b. Pensejarahan Tahap Kolonial manakala pada tahap kolonial, penulis membahagikan kepada dua iaitu i. Sebelum Perang Dunia Ke-2 (Sebelum 1941) ii. Selepas Perang Dunia ke-2 (Selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu) Kajian tentang perkembangan penulisan sejarah ini menuntut kita meninjau pula tentang beberapa persoalan yang berkaitan dengan perkembangan persejarahan Melayu di Malaysia. Misalnya bilakah pensejarahan Melayu tradisi itu berakhir dan bilakah penulisan bentuk moden itu bermula? Apakah ciri-ciri pensejarahan Melayu pada setiap tahap. Bagaimanakah tahap perkembangannya dari tahap tradisi kepada pensejarahan bentuk moden? Tetapi bukanlah tujuan utama untuk penulis menghuraikan segalanya dalam kajian ini. Dalam bab ini penulis lebih menjelaskan kepada perkembangan pensejarahan tradisi kepada pensejarahan moden dalam bentuk makro dengan mengemukakan beberapa ciri yang boleh dijadikan panduan.

1.2.1

Tahap Pensejarahan Tradisional[3]

R.O. Winstedt pernah menyatakan bahawa Semenanjung Tanah Melayu kaya dalam bidang penulisan sejarah. Kenyataan Winstedt ini adalah merujuk kepada pensejarahan tradisional.[4] Pensejarahan tradisional atau dikenali juga sebagai pensejarahan istana merupakan pensejarahan Melayu paling awal. Ianya telah wujud sebelum kedatangan imperialis Barat lagi. Pensejarahan Melayu di antara abad ke-16 dengan abad ke-19 memperlihatkan beberapa ciri tertentu dari segi isi dan pemikiran. Bagi zaman pra-kolonial ini berbagai sumber pribumi boleh ditemui dan digunakan. Satu daripadanya ialah penghasilan bertulis yang bercorak sejarah, lahir dalam bentuk tradisi sejarah, salasilah, hikayat dan tawarikh yang merupakan historical text[5] atau genre yang sekelas dengannya tetapi lebih umum coraknya, historical literature or referential literature tetapi..has been largely neglected[6] Sebagaimana biasa dinyatakan, ia lebih merupakan sejarah istana dan memang ditulis untuk mengharumkan pemerintahan seseorang raja atau pemerintah. Tumpuan secara menyeluruh diberikan kepada golongan atasan sebaliknya gambaran tentang kehidupan dan keadaan rakyat jelata jarang dipaparkan. Pensejarahan tradisional ini dilakukan atau ditulis kerana menjunjung titah pemerintah raja atau pemerintah. Raja adalah unsur yang paling asas adanya raja bermakna adanya kerajaan. Raja adalah punca segala kewibawaan[7]. Orang Melayu pantang durhaka kepada raja dan dalam sejarah negeri-negeri Melayu kedudukan raja tidak pernah dicabar oleh orang kebanyakan[8]. Pensejarahan yang dihasilkan pada tahap ini atas beberapa tujuan seperti melaksanakan titah perintah raja , penulisan dibuat untuk menyukakan hati raja yang bertujuan untuk memihak, menyanjung sesuatu golongan khasnya golongan pemerintah atau raja yang sedang berkuasa atau bertakhta. Sebagai contoh Raja Chulan , Misa Melayu adapun baginda itu (Sultan Iskandar, TM 1756-1770) terlalu arif bijaksana dan manis barang titahnya, makin bertambah kebesaran baginda itu . [9] Jika dikaji semula bahawa pensejarahan istana, pensejarahan Islam dan pensejarahan China[10] pada zaman pemerintahan maharaja karya-karya sejarah dihasilkan atau ditulis atas arahan golongan pemerintah. Pendapat ini telah dinyatakan oleh Rosenthal dalam bukunya A History of Muslim Histriography yang dipetik oleh Muhd. Yusof Ibrahim; menyatakan bahawa kebanyakan monograf yang dihasilkan mengenai sejarah sezaman adalah terdiri daripada penulisan yang dilakukan atas perintah raja yang ingin jasanya ( dan kerap juga wangsanya) atau peristiwa yang penting dalam zaman pemerintahannya diabadikan dalam penulisan. Pensejarahan atau histriografi tradisonal bertujuan untuk menunjuk ajar, pensejarahan pada tahap tradisional ini ditulis atas tujuan motif generasi menimbulkan kegemaran untuk moralising dalam pensejarahan iaitu bertujuan mengingatkan ataupun mengajar generasinya ataupun generasi akan datang tentang contoh teladan yang boleh didapati daripada sesuatu peristiwa sejarah itu. Motif generasi bertujuan untuk menunjuk ajar masyarakat dan generasi yang akan datang, itulah fungsi pensejarahan pada tahap tradisional ini. Motif generasi (moralising) ini juga dapat dilihat dalam pensejarahan tradisi China. Contoh Ssu Ma Chien memuatkan penilaian moralnya di akhir setiap bab penulisannya iaitu penilaian ke atas peristiwa atau perkara yang telah dicatatkan[11] Justeru itu, cara penyampaiannya kerap berasaskan konsep pengajaran yang disampaikan secara berkhutbah dan diselang-selikan pula dengan perbualan yang bertujuan untuk menimbulkan kesan yang mendalam serta keyakinan terhadap iktibar yang akan diperoleh. Secara amnya, iktibar yang dimaksudkan ialah sesuatu pengajaran ataupun tauladan daripada sesuatu peristiwa sejarah

yang ditulis itu. Matlamatnya pula di samping bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang budaya dan warisannya, adalah untuk memperbaiki, mengekalkan dan mengukuhkan malah mewariskan unsur budaya dan warisan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang perkembangan yang berlaku di sekeliling mereka sama ada yang berbentuk sosial, politik, ekonomi mahupun agama dengan harapan anggota masyarakatnya sentiasa bersedia dan berwaspada menghadapi cabaran yang dibawanya.[12] Pensejarahan atau histriografi tradisonal bertujuan untuk menghiburkan para pendengar dan pembesarnya serta pembacanya melalui penggunaan bahasa yang baik dan pemilihan peristiwa yang suka didengar seperti peristiwa peperangan, kisah pahlawan yang meninggikan semangat keperwiraan. Unsur lagenda atau dongengan bukan sahaja bertujuan untuk berhibur tetapi elemen ini dimasukkan untuk dijadikan sindiran atau kiasan terhadap perbuatan mahupun peribadi tokohtokoh tertentu dalam pensejarahan berkenaan.[13] Hasil karya pensejarahan Melayu tradisional agak unik kerana wujudnya banyak cerita atau tradisi lisan tempatan. Juga dimuatkan unsur-unsur sastera seperti pantun, syair, puisi, kata-kata perbualan di kalangan tokoh-tokoh yang dimuatkan dalam sesuatu pensejarahan itu.[14] Dengan adanya unsur-unsur sastera inilah menyebabkan pengkaji sastera mendakwa hasil pensejarahan itu merupakan hasil sastera yang bercorak sejarah lantas diistilahkan sebagai sastera sejarah. Elemen sastera seperti dialog, pantun, syair ini bukan sahaja terdapat dalam karya pensejarahan Melayu malah terdapat juga dalam karya-karya pensejarahan bangsa lain khususnya kata-kata bual / dialog. Herodotus, Thucydides dan Ssu ma Chien juga memasukkan kata-kata dialog dalam karya masingmasing. Bukan sahaja sebagai rencah tetapi juga untuk mengukuhkan kesejarahan tokoh-tokoh berkenaan. Ssu Ma Chien dalam karyanya sangat bergantung kepada ucapan-ucapan yang panjang yang mungkin sengaja diada-adakan yang disogokkan kepada tokoh-tokohnya untuk menerangkan dan menonjolkan tindakan dan juga untuk mengasingkan tokoh-tokoh.[15]Sejarawan moden kerap menganggap bahawa sejarah tradisi tidak menggunakan kaedah penyelidikan yang konsisten ataupun bersifat subjektif serta tidak menentu kebenarannya atau apa yang disifatkan oleh R.G. Collingwood tidak ada nilai sains[16] ini tidak bermakna bahawa hasil pensejarahan tradisional tidak mempunyai kebenaran atau kenyataan / realiti sejarah. Umpamanya J.C. Bottom pernah menyatakan tentang pola penulisan sejarah orang Melayu secara umum: History to the Malays has not until recently been either a science or and art but an entertaiment. Accuracy, completeness, organized exposition are not the vital principles; what the best pleased were legend, fantasy and a pleasant hotchpotch of court and port-gossipThis fairly describes for instance, the Sejarah Melayu.

Kata-kata Bottom ini ada benarnya akan tetapi kebenaran itu tidak setepat mana yang didakwa oleh J.C. Bottom pada keseluruhannya terutama apabila beliau menyatakan bahawa Sejarah Melayu adalah sebagai seni hiburan. Di sini seolah-olah J.C. Bottom menyamakan hasil

karya sejarah tradisional itu seakan-akan cerita penglipurlara atau karya sastera yang lain. Pandangan-pandangan sarjana terhadap pola pensejarahan tradisional Melayu ada berbagai-bagai. Malah Professor Roolvink tentang karya sejarah tradisional bahawa kebanyakan persejarahan Timur mempunyai dua bahagian dari segi isinya yang terdiri: Bahagian-bahagian dongeng dan pengalaman-pengalaman sendiri yang terjadi dalam masa hidupnya.[17] Amat keterlaluan jika semua karya pensejarahan tradisi dianggap sedemikian kerana motif penulis karya-karya tradisional adalah memuatkan perkara yang mereka anggap benar sama ada kebenaran terbukti secara maujud mahupun secara sindiran atau kiasan. Para penulis ingin mewujudkan kebenaran dengan bersandarkan kepada pertimbangan nilai budaya mereka pada ketika itu. Tidak dapat dinafikan mungkin ada penyelidikan yang mereka lakukan mengikut kaedah yang mereka ketahui pada ketika itu yang mereka rasakan cukup mantap untuk menghasilkan karya-karya tersebut. Tun Seri Lanang amat berat hati ketika menerima tanggungjawab memperbaiki Sulatus Salatin. Dalam penulisan tersebut beliau menulis setelah fakir mendengar demikian, jadi beratlah atas anggota fakir allazimurakkabun ala jahili[18] seterusnya Tun Seri Lanang mencatatkan . maka fakir perkejutlah diri fakir pada mengusahakan dia, syahdan memohon taufik kehadrat Allah, Tuhan saniil alam dan minta huruf kepada nabi sayyidil -anam, dan minta ampun kepada sahabat yang akram, maka fakir karanglah hikayat ini..[19]. Berdasarkan kenyataan itu menampakkan pengaruh daripada kaedah pensejarahan Islam tetapi menggambarkan juga kesungguhan tekad pengarangnya untuk menghasilkan karya pensejarahan yang baik mengikut ukuran atau tahap keilmuan pada ketika itu. Keberatan perasaan itu adalah kerana menginsafi kelemahan dirinya dan kurangnya ilmu pengetahuan. [20] Memang tidak dapat dinafikan bahawa ciri-ciri pensejarahan tradisional terdapat kelemahan jika dibandingkan dengan karya-karya pensejarahan yang dihasilkan selepas zaman itu. Menurut pandangan Khoo Kay Kim, karya-karya sejarah lama itu bukanlah bersifat pensejarahan dalam pengertian zaman sekarang; ia merupakan dokumen rasmi. Ia dihasilkan bukan untuk dibaca oleh orang ramai tetapi untuk disimpan di istana untuk rujukan keranan kedudukan seseorang raja sentiasa dicabar oleh sanak-saudaranya dan oleh anak raja dari negeri-negeri lain di dalam lingkungan Alam Melayu.[21] Bagaimanakah sejarawan moden dapat menerima sejarawan tradisi dan masyarakat tradisi itu sebagai sejarawan dan hasil pensejarahan? Mangapa mereka perlu kita anggap sebagai sejarawan dan karya-karya yang dihasilkan sebagai karya pensejarahan dan bukannya karya kesusasteraan atau dongengan semata-mata.[22] Bagi Tariff Khalidi Islamic Histriography telah memberikan dua panduan / pentunjuk yang boleh menjawab pertanyaan di atas. Sejarawan boleh dikaji secara bermakna dari dua sudut. Mereka boleh dilihat sama ada dari sudut kebenarannya iaitu secara amnya sebagai sumbersumber ataupun seperti yang dilakukan di dalam kajian ini, dari sudut pandangan mereka terhadap sejarah dan asas-asas teorinya memikirkan kembali pemikiran-pemikiran mereka sebagaimana yang dilakukan oleh R.G. Collingwood.[23]

Justeru itu hasil kajian pensejarahan mereka boleh ditinjau atau dikaji dari sudut tertentu. Jika ingin melihat kebenarannya maka kajian hendaklah dilihat dari sudut sejarah dan sumbersumber yang digunakan oleh para sejarawan. Manakala dari sudut pemikiran mereka tentang sejarah yang dimuatkan dalam pensejarahan mereka sama ada secara jelas atau secara umum sahaja iaitu bergantung kepada penggunaan kata-kata dan adanya istilah yang bersesuaian pada ketika itu. Mereka sebenarnya sedar tentang fungsi dan kepentingan asas bagi sejarah sebagai teladan atau contoh sebagai sempadan yang harus dilihat atau dijauhi. Bagi Dionysius dari Halicarnassus (Sejarawan Yunani) abad pertama Masihi pernah menyatakan bahawa sejarah adalah sesuatu bentuk falsafah yang mengajar dengan memberikan contoh. Bagi mereka, sejarah itu ditakrifkan sebagi suatu laluan waktu yang terdiri daripada pelbagai peristiwa yang berlaku berturut-turut. Lantas apa yang dilakukan oleh mereka ialah menyusun karya pensejarahan masing-masing mengikut sesuatu urutan waktu ataupun tarikh-tarikh yang munasabah. Kesedaran ini menggambarkan hasrat sebenar seseorang sejarawan tradisi itu menghasilkan ataupun menyampaikan pensejarahannya berdasarkan suatu susunan tarikh yang munasabah dari segi urutan waktu. Dengan demikian diharapkan apa yang disampaikan atau dipersembahkan adalah benar ataupun sekurang-kurangnya dianggap benar kepada mereka yang berpeluang membaca pensejarahannya pada zaman itu. Manakala bagi William Dunning- beliau telah mengingatkan agar kita jujur mengiktiraf bahawa apa yang dianggap benar oleh sesebuah masyarakat pada zaman itu, sesungguhnya benar bagi mereka dan zamannya. Sejarah adalah sesuatu bentuk falsafah yang mengajar dengan memberikan contoh.[24] Gaya penyampaian atau kerangka penulisan adalah berbentuk penceritaan / naratif karya zaman tradisi ini mengisahkan tentang asal-usul raja dan keturunan, kebangkitan, kemakmuran, kebesaran, kegagahan, kepintaran tokoh, rakyat , kerajaan dan empayar, (seperti Melayu Melaka), kesucian adat dan istiadat yang menjadi warisan masyarakat dan kerajaan di kepuluan Nusantara, amnya. Ini menunjukkan bahasa dan kebijaksanaan minda Melayu dalam tahap tradisional. Dalam aspek gaya bahasa yang digunakan adalah gaya bahasa yang terbaik, tidak terlalu panjang, berbelit-belit atau berulang, tidak terlalu ringkas tetapi cukup jelas dalam kebanyakan karya tradisi. Walaupun kebanyakan berjudul hikayat, penceritaan dan gaya bahasanya adalah jauh berbeza. Jelas di sini isi dan tujuan penulisan memberi pewarnaan kepada karya-karya tersebut. Tiap-tiap genre memiliki cara berfikir dan nilai yang dipegang dalam perkembangan intelektual masyarakat tersebut yang jelas karya-karya tahap tradisi ini membawa pelbagai isi dan pemikiran.[25] Selain dari perananya mengekal, mengembang dan mengabdikan bahasa untuk faedah kajian perkembangan bahasa Melayu, karya-karya pensejarahan zaman tradisi ini menurunkan kepada kita unsur-unsur peradaban silam, nilai tinggi budaya masyarakat dan pemikiran yang dimilikinya. Unsur inilah yang menjadikan manusia Melayu itu agak berbeza dan lain daripada manusia-manusia lain. Cara pemikiran, tindakan-tindakan yang diambil, adat-istiadat yang

dipentingkan serta larangan-larangan tertentu menjadikan landasan perkembangan peradaban tersebut. Dengan demikian perlu ditegaskan bahawa, karya-karya Melayu zaman tradisi tetap kekal sebagai bahan terpenting yang dapat memberi gambaran tentang kehidupan nenek moyang kita dahulu disamping menerangkan jalan perkembangan yang diharungi pada masa kini. Malangnya generasi hari ini tidak menyedari akan nilai bangsanya sendiri, jatidiri bangsanya, pemikirannya dan pandangan hidup bangsanya. Hal ini menyebabkan mereka terpesona dengan pengaruh dan pandangan bangsa lain. Mereka tidak membaca karya tradisonal seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat al- Nafis, Hikayat Siak ataupun Hikayat Abdullah.Bangsa yang tidak menyedari akan nilai bangsanya sendiri, jati diri bangsanya, pemikiran dan pandangan hidup bangsanya menyebabkan mereka sering terpesona atau tertipu dengan pengaruh pandangan bangsa lain.Oleh itu bangsa Melayu perlu membaca karya-karya persuratan Melayu tradisi kerana hasil-hasil karya sebegini mencerminkan minda dan tamadun bangsa kita. Dalam seluruh hasil karya Melayu tradisional, kita dapat melihat dan mengkaji minda peribumi atau minda asli Melayu yang cuba menggambarkan identiti dan budaya bangsanya melalui proses pemikiran kreatif, imaginatif dan rasional untuk membentuk pandangan hidup Melayu tentang alam, adat dan budi pekerti, konsep kenegaraan, keadilan, bahasa, ilmu, konsep kewujudan , undang-undang, hubungan diplomasi dengan negara dan raja asing dan wira bangsa Melayu. Apabila orang Melayu membaca karya-karya tersebut, kita sebenarnya membaca tentang diri bangsa kita, karya-karya yang dapat meninggalkan kesan identiti kemelayuannya yang kekal dalam ingatan bersama bangsa Melayu sepanjang zaman. Jikalau terdapat unsur mitos, fantasi atau khayalan dalam karya-karya tersebut, itu cara biasa manusia cuba menangani alamnya melalui penulisan. Hal yang penting ialah mesej atau maksud yang hendak disampaikan di sebalik mitos itu.

1.3.2 Tahap Pensejarahan Kolonial Jika dibandingkan dengan karya-karya sejarah Malaysia dalam tempoh abad ke-16 hingga Perang Dunia II lebih banyak didapati telah diselenggarakan oleh penulis-penulis Barat berbanding dengan penulis tempatan. Namun demikian bukanlah bermakna masyarakat Melayu belum mempunyai tradisi persuratan. Tetapi menurut pendapat Khoo Kay Kim, kebanyakan golongan penulis adalah terdiri dripada golongan agama yang lebih cenderung untuk menghasilkan penulisan berbentuk kitab-kitab agama daripada menghasilkan karya-karya sejarah.[26] Penulisan karya-karya sejarah Melayu pada tahap kolonial dapat dilihat dengan penghasilan sebuah penulisan yang berjudul Adat Raja-raja Melayu. Meskipun terdapat beberapa versi naskhah ini namun isi kandungan dan bahasanya menunjukkan ia mempunyai persamaan. Dalam karya ini dimuatkan juga peraturan keturunan bagi golongan atau bangsa raja, gelaran menteri, Asal -usul

Nama Melayu dan fasal larangan. Muhd. Yusof Ibrahim mengklasifikasikan naskah ini penting sebagai sumber sejarah.[27] Selepas karya ini, terdapat sebuah tulisan yang berjudul Bahawa Ini Cerita Kapal Asap[28], yang merupakan satu karya menceritakan ketibaan kapal asap yang pertama di Singapura. Karya ini mengandungi unsur sejarah iaitu menceritakan sejarah asal dan kegunaan kapal asap. Terdapat juga kritikan sosial yang dimuatkan dalam karya ini. Bentuk kritikan disampaikan dalam bentuk pesanan, nasihat malah mahukan orang Melayu mengubah sikap dan jangan terlalu mengikut telunjuk dan memuliakan orang Arab. Sungguhpun begitu, karya ini bukanlah sebuah karya pensejarahan yang lengkap, namun catatan tentang kapal asap itu boleh dianggap sebagai sejarah, manakala kritikan sosial yang terkandung dalam karya ini jelas memaparkan keadaan atau minda masyarakat Melayu pada ketika itu. Kisah Perlayaran Abdullah Munsyi Ke Kelantan[29] merupakan karya atau catatan perjalanan yang telah dihasilkan oleh Abdullah Munshi pada tahun 1852. Dalam perlayaran ke negeri-negeri pantai timur itu, Abdullah Munshi telah menghasilkan sebuah catatan tentang tempattempat yang telah disinggahinya. Meskipun ia bukanlah sebuah karya pensejarahan sebenar tetapi karya ini merupakan catatan analisis semasa yang boleh dianggap sebagai sebagai sumber sejarah meskipun tidak sebagai karya pensejarahan dalam erti kata sebenarnya. Abdullah Munshi telah menghasilkan sebuah lagi karya yang berjudul Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah, di mana dalam karya ini beliau telah merakamkan apa yang dilihat dan menarik sepanjang pelayarannya ke Jeddah. Tulisan Abdullah Munshi telah diikuti oleh anaknya iaitu Muhammad Ibrahim Munshi yang berjudul Kisah Pelayaran Muhammd Ibrahim Munshi. Berbeza dengan bapanya Ibrahim telah berjaya menghasilkan sebuah penulisan yang lebih objektif sifatnya. Ibrahim lebih adil dan seimbang dalam menghasilkan karyanya di mana beliau tidak memihak kepada sesuatu pihak apabila melakukan kritikan , jika beliau mengkritik orang Melayu, sifat kreatif juga membolehkannya mengkritik orang Inggeris.[30] Selepas karya Muhammad Ibrahim ini, telah diterbitkan sebuah buku yang berjudul Kitab Kumpulan Nama Melayu[31] yang telah diusahakan oleh Ibrahim bin Dato Muda. Karya yang diterbitkan pada tahun 1924 mempunyai tiga bahagian iaitu bahagian pertama ialah Pendahuluan yang memuatkan nama-nama Melayu dan gelaran-gelaran. Bahagian kedua pula dimuatkan senarai nama dan gelaran orang Melayu yang dikutip oleh pengarangnya daripada jadual peperiksaan murid-murid di sekolah-sekolah Melayu serta Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Persekutuan dan selebihnya dari negeri-negeri lain. Bahagian ketiga pula dimuatkan terjemahan daripada tulisan R.J Wilkinson yang diberi judul Kehidupan dan Adat-adat Melayu. Jika dilihat dari aspek pensejarahan bahagian satu dan tiga boleh dikategorikan sebagai penulisan sejarah tetapi tidak pada bahagian kedua.

Kemudian kira-kira tujuh tahun selepas diterbitkan karya Ibrahim, Mejar Dato Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman telah menghasilkan sebuah karya yang berjudul Pakai Patut Melayu pada tahun 1931. Karya ini membicarakan tentang bentuk dan asal-usul pakaian Melayu terutamanya bagi negeri Johor iaitu lelaki, perempuan dan kanak-kanak mengikut kesesuaian dan keadaan. Karya ini telah diterbitkan di Johor Bahru oleh Matbaah al-Attas dalam tulisan jawi setebal 50 halaman.[32] Setahun selepas karya tersbut diterbitkan, Zainal Abidin Daud al- Sulaimani telah menghasilkan sebuah karya yang diberi judul Taman Penghidupan. Karya ini merupakan sebuah karya pensejarahan bukan sahaja menarik tetapi juga turut dimuatkan unsur-unsur nasihat, penerangan dan seruan kepada orang Melayu supaya mengukuhkan iman, menambah ilmu pengetahuan, mendidik anak dan menjadi pemimpin yang baik. Karya yang diterbitkan pada tahun 1931 dalam tulisan jawi setebal 77 halaman itu telah dibahagikan kepada enam tajuk kecil seperti: (1) Tarikh Dunia Diduduki Manusia; (2) Asal-usul Manusia (3) Keadaan Manusia (4) Sebab-sebab Manusia Berpuak-puak; (5) Kedatangan Agama dan (6) Tamadun Dunia. Selain karya di atas, Zainal Abidin juga telah menghasilkan sebuah lagi karya yang berjudul Pelayaran Dahulu Kala. Zainal Abidin telah menulis karya setebal 68 halaman itu dengan memerihalkan sejarah negara India, China dan Mesir purba serta meriwayatkan tentang kejayaan kuasa-kuasa Eropah dalam pembinaan kapal. Apabila kuasa Barat berjaya membina kapal membolehkan mereka menjelajah ke Timur untuk menguasai perdagangan rempah dan meluaskan kuasa dengan menjalankan dasar imperialisme di Timur. Manakala dalam bahagian kedua pula Zainal Abdin telah memaparkan kisah kegigihan dan kecekalan Haji Batu belayar ke Makkah dengan tajuk Riwayat Pelayaran Haji Batu[33]. Kisah itu merupakan kisah teladan untuk tatapan dan memberi semangat kepada bangsa Melayu. Ini jelas pada kenyataan pengarang: Sekarang renunglah oleh tuan-tuan pembaca bagaimana ketinggalan umat-umat Melayu daripada bangsa yang maju di muka bumi ini tentang belayar dan membuka negeri dan menjelajah tempat seperti orang lain..[34]

Seterusnya Zainal Abidin Daud al-Sulaimani telah berpesan kepada golongan muda seperti berikut: jangan lengah lagi, sementara kita ada harapan patut Melayu mesti berniaga sekarang di tanah airnya supaya kekayaan itu lempah makmur kepada bangsa kita, demikian juga kita seru patutlah orang kita mengarang-ngarang di dalam surat khabar eloklah banyakkan kisah-kisah berniaga.[35]

Pada tahun 1938, Mejar Dato Haji Muhammd Said bin Haji Sulaiman menghasilkan karya yang berjudul Perihal Adat Melayu: Mengandungi Kanun Sultan Sulaiman Riau dan Ringkasan Kanun Sultam Muhammad Syah Melaka. Di samping memberikan takrif terhadap adat resam dan kanun Melayu yang pertama, kanun Sultan Mahmud Syah Melaka iaitu Hukum Kanun Melaka dan

kanun Melayu yang kedua iaitu Kanun Riau yang digubal semasa Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah Ibnu Sultan Abdul Jalil IV menjadi pemerintah Johor-Riau pada tahun 1772. Pada tahun yang sama, terdapat sebuah lagi karya yang berjudul Pusat Kekuasaan Inggeris di dalam Laut Mediteranean[36] yang dihasilkan oleh Abdullah Thani Bin Raja Kecil. Berdasarkan kandungannya karya ini tidak begitu menonjol kepentingannya kerana hanya membicarakan dengan ringkas bagaimana dan mengapa pihak British membina beberapa pusat kekuasaannya di Laut Mediteranean seperti di Cyprus, Malta dan Jabal Tariq. Dari segi penerbitan karya ini dianggap penting kerana ia adalah antara karya pensejarahan politik yang awal. Abdullah Thani Bin Raja Kecil telah menyatakan bahawa beliau mengusahakan buku itu : dengan harapan moga-moga pemuda-pemuda bangsa Melayu dapat mengaliri satu-satu dasar siasat kerajaan Inggeris yang pintar , cerdik dan penaung kita yang maha adil itu adanya.

Sebagai karya pensejarahan pengarang telah menggunakan sumber-sumber seperti:

ingatan pelajaran..dibangku sekolah Inggeris dan kejadian baru ini saya petik daripada beberapa majalah dan akhbar Inggeris bacaan saya.

Abdullah Thani kemudiannya menjadi seorang nasionalis dan pemimpin politik radikal Tanah Melayu yang terkenal dalam perjuangan menentang penjajahan British, walaupun dalam karyanya ini beliau masih menganggap British yang maha adil. Beliau kemudiannya dikenali dengan nama samaran Ahmad Boestaman. Menjelang awal tahun 1942, Muhammad Said bin Haji Sulaiman telah menghasilkan sebuah lagi karya pensejarahan yang diberi judul Semangat Nippon yang sebenarnya diuraikan. Karya ini bukanlah karya asli beliau tetapi ia merupakan karya A. Asahi dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan sebagai lampiran untuk akhbar Syonan Times (Ahad, 23 Ogos 2602 tahun Jimo = 1942). Namun Muhammad Said telah menterjemahkannya secara bebas dan hasilnya seperti sebuah karyanya sendiri. Dari segi kandungannya karya ini meriwayatkan falsafah dan konsep keagamaan, kemasyarakatan malah ketenteraan Nippon (Jepun) yang telah membolehkan Jepun mencapai kemajuan dalam masa yang singkat. Dr. Burhanuddin al-Helmi pula seorang yang telah menghasilkan sebuah karya yang berjudul Perjuangan Kita : 17 Oktober 1945 17 Oktober 1946. Walaupun pada asasnya karya ini merupakan satu peringatan penubuhan penubuhan PKMM setahun sebelum itu, namun kandungannya turut memuatkan perbincangan yang agak kritis dan analitikal tentang bentuk sejarah dan geo-politik alam serta bangsa Melayu. Ini dapat dilihat daripada tajuk-tajuk kecil yang dimuatkan untuk dibincang dan dianalisis seperti Usul Kebangsaan Melayu, Melayu dan Bangsa Dagang,

Pemerintahan di Gugusan Pulau-pulau Melayu dan Kebangsaan Melayu dan Politik[37] Sebuah lagi karya Dr. Burhanuddin al-Helmi berjudul Asas Falsafah Kebangsaan Melayu yang telah diterbitkan pada tahun 1950. Malah Khoo Kay Kim mengatakan bahawa melalui karya ini Dr. Burhanuddin menerangkan asas atau latar belakang sejarah bagi falsafah politiknya. Pada tahun 1954, sebuah lagi karya beliau diterbitkan yang merupakan perkembangan karya awalnya yang diberi judul Falsafah Kebangsaan Melayu. Sebuah lagi karya yang boleh dianggap sebagai karya pensejarahan politik ialah Sejarah Malaya Merdekayang ditulis oleh Zainal Abidin bin Daud yang juga merupakan penulis Riwayat Tanjung Malim. Berdasarkan pendahuluannya pengarang telah mengimbas kandungan dan tujuan penulisannya iaitu: meninjau sejarah masyarakat bangsa kita (Melayu) zaman berzamaniaitu dari riwayat-riwayat, mulut menjelma ke buku-buku, majalah-majalah, suratkhabar-suratkhabar kemudian difikirkan, dirundingkan oleh kumpulan-kumpulan daripada parti-parti persatuan, baik Melayu, Cina, India mahupun orang Eropah yang ada hubungan dengan Tanah Melayu ini.[38]

Sebuah lagi karya pensejarahan sosio-politik dikatakan bersifat objektif telah diterbit pada tahun 1953 hasil karya Abdul Aziz bin Zakaria yang berjudul Sejarah kenaikan dan Kejatuhan Kekuasaan Portugis di Melaka TM 1511-TM 1641. Karya ini dianggap sebagai antara karya pensejarahan terbaik sepanjang dekad 1950-an. [39] Terdapat juga beberapa buah karya pensejarahan yang lain dihasilkan oleh penulis-penulis lain yang diterbitkan. Ibrahim Haji Yaacob umpamanya telah menghasilkan karya Melihat Tanah Air yang merupakan catatan perjalanan jika dilihat dari segi zahirnya tetapi pada hakikatnya karya tersebut merupakan karya politik yang telah menggunakan sejarah sebagai landasan penerangan serta penghuraiannya. Ibrahim Haji Yaacob telah menerangkan sejarah sistem pemerintahan British di Tanah Melayu secara terperinci sebagai latar belakang perjuangan politiknya. Selain itu Ibrahim Haji Yaacob juga telah menghasilkan tiga buah yang lain dan dikenalpasti diterbitkan di Jogjakarta, Indonesia. Karya-karya tersebut berjudul Sejarah Perjuangan di Malaya (Jogjakarta, 1948), Nusa dan Bangsa Melayu(1951) dan Sekitar Malaya Merdeka (1957).

1.3 Kesimpulan

Penulisan merupakan satu medium yang dapat mengemukakan idea, pemikiran, pandangan atau pendapat kepada khalayak pembaca. Penghasilan karya-karya pensejarahan sebenarnya memberi erti dan sumbangan yang besar kepada perkembangan sejarah dan pembangunan negara. Meskipun hampir setengah abad negara mengecap nikmat kemerdekaan peranan serta sumbangan tokoh-tokoh yang pernah berjuang membebaskan negara dari penjajah tidak harus dilupakan, samada mereka yang berjaya dalam perjuangan atau mereka yang telah terkorban dalam menegakkan maruah bangsa dan negara. Dengan adanya karya-karya pensejarahan di Malaysia, fungsi dan manfaatnya harus digunakan sebaik mungkin agar generasi yang baru dapat melihat kembali sejarah perjuangan bangsa dan sentiasa menghargai nikmat sebuah kemerdekaan negara. Dengan membaca, meneliti karya-karya pensejarahan ini membolehkan generasi baru memahami onak dan duri yang terpaksa dilalui oleh pejuang-pejuang tanahair. Bukan sahaja menghayati perjuangan mereka dalam gerakan penentangan bersenjata malah dapat mengikuti setiap gerak dan langkah pejuang yang berjuang melalui siasah dan ketajaman mata pena mereka. Dengan mengetahui, mengikuti dan memahami perjalanan sejarah negara memungkinkan kita dapat melahirkan sebuah generasi yang sentiasa bersyukur dan menjaga maruah bangsa dan agama di tanah air tercinta, agar tidak dijajah semula dalam gerakan neoimperialisme yang dirancang oleh pihak Barat yang sentiasa mendukung minat menjajah negara-negara yang lemah.

[1] Pengertian jihad menurut perspektif Islam adalah segala daya usaha muslim sehingga sanggup mengorbankan nyawa harta untuk menghapuskan kemungkaran di atas muka bumi ini. Hal ini selaras dengan firman Allah dalam Surah Ash-Shaff ayat 10-11 yang bermaksud: Hai orang-orang beriman mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu mengetahuinya. Lihat Al-Faqir Ilallah Fadzlullah Shutib, Jihad Pada Jalan Allah, Penerbitan Al-Qalam, Kuala Lumpur, 1984, hlm. 10 [2] Istilah Malaysia yang telah digunakan secara meluas pada hari ini adalah merujuk kepada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Nama Malaysia lahir secara rasminya apabila terbentuknya Gagasan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, apabila negeri-negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu bergabung dengan Sabah dan Sarawak. Dalam kajian ini penulis merujuk nama Malaysia juga merujuk kepada sebelum tarikh 16 September 1963. [3] Tradisional berasal dari kata tradisi yang diertikan sebagai : A long -established custom or practise that has an effect on a written law: specially any of the usages of a school of art or literature handed down through the generations and generally observed. Dipetik daripada Muhammad Yusof Hashim, Pensejarahan Nusantara.hlm. 5 [4] R.O. Winstedt, A History Of Classical Malay Literature, Oxford University Press, 1977, hlm. 155 [5] Terdapat dua pihak yang menerima historical texts sebagai sumber sejarah dan golongan yang menolak atau menafikan kesejarahan historical textsdengan tokoh-tokoh seperti J. Crawford, R.O. Winstedt, Kern dan lain-lain sehingga kedua-dua pihak ini memberi pengaruh bukan kecil di kalangan ahli sejarah sezaman, malah berlaku perbahasan ilmu mengenai teori dan metodologi penelitian serta penggunaan historical texts bagi menulis sejarah tempatan.Pihak yang menolak kerana pemikiran atau idea mereka terhadap konsep sejarah dan pensejarahan dirujuk kepada konsepsi Barat mengenai erti

sejarah moden. Ada unsur-unsur anakronistik di sini. (2) golongan ini amat didorong oleh faktor pertama di mana sejarah harus dari sudut saintifik coraknya, humanistic isinya dan rasional komposisinya. (3) Mereka tidak berupaya untuk membezakan dua masyarakat yang berlainan iaitu Melayu Eropah, di mana keperluan dan keinginan yang berbeza maka sudah tentulah memiliki etos yang tidak sama. Malah kewujudan sikap ego-sentrik budaya menyebabkan golongan ini cuba menafikan hasil pensejarahan pribumi. Mohd. Yusof Hashim, Naskah-naskah Kesusasteraan Melayu Tradisional Yang bercorak Sejarah dan Pensejarah Malaysiadalam Siti Hawa Salleh, (pnyt) Cendikia Kesusasteraan Melayu Tradisional.., hlm. 36 [6] ibid, hlm. 37 [7] Jika dilihat dari segi kepentingan fungsi dan peranan Raja-raja Melayu (i) Sebagai payung bangsa. Institusi Raja-raja ditakrifkan sebagai payung bagi bangsanya, umpama paying yang melindungi pemakainya dari terik kepanasan matahari dan basahan siraman hujan. Insitusi Raja-raja yang berhakikat sebagai pelindung pada kedaulatan bangsa dan agama yang dipayungi itu. Pentingnya peranan Raja-raja Melayu sebagai tonggak pelindung bangsa dan agama adalah umpama bapa sebagai ketua rumahtangga. Bapa diamanahkan oleh Allah SWT sebagai penjaga dan pelindung isteri dan anakanaknya. Sebagai tonggak keluarga, bapa perlu menjaga maruah dan kehormatan keluarga. Begitulah umpamanya peranan Raja-Raja Melayu. Mereka dipilih untuk menjadi tonggak sebuah keluarga besar yang dinamakan kerajaan Melayu. Raja tidak akan mencampuri urusan pentadbiran selama mana ia tidak mengugat kepentingan, keutamaan maruah serta perpaduan bangsa dan agamanya. Walaubagaimanapun, apabila ada pihak yang cuba mengugat, maka dengan peranan dan kuasa yang diamanahkan padanya, ia akan bertindak melindunginya kerana maruah bangsa dan agama adalah maruah Raja. [8] Tetapi pada tahun 1699, apa yang diertikan pantang menderhaka telah tercabar apabila berlaku peristiwa pembunuhan Sultan Mahmud Johor di Kota Tinggi. Catitan peristiwa 1699 bukan sahaja dalam Sejarah Johor tetapi sejarah keturunan Kesultanan Melaka atau di Tanah Melayu. Pada tahun tersebut, pakatan pembesar Johor membunuh Sultan Mahmud dan orang yang bertanggungjawab pula ialah Megat Seri Rama. Selain berakhirnya sultan keturunan Melaka memerintah Johor berlakunya huru-hara dalam negeri Johor. Kemunculan Raja Kechil menyerang dan menakluk Johor pada 1718 dan menduduki takhta Kerajaan Johor dengan gelaran Sultan Abdu Jalil Rahmat Shah kemudiannya mengundang penglibatan Opu Bugis Lima Bersaudara dalam politik Johor. Lihat Abdullah Zakaria Ghazali, Etika Dalam Penulisan Sejarah dalam Kertaskerja Bengkel Pascasiswazah, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 19 Ogos 2006, hlm. 2-3 [9] Raja Chulan, Misa Melayu, (Cetakan Ke-4), Kuala Lumpur, Pustaka Antara, 1966, hlm. 55) [10] Tradisi pensejarahan China telah wujud sejak abad ke-7 Masihi pada zaman Dinasti Tang yang telah mempunyai sebuah institusi yang dikenali sebagai Pejabat Sejarah dan sejarawan rasmi dilantik untuk bertugas di pejabat itu. Negara China merupakan sebuah pemerintahan yang mengutamakan penulisan malah ada pendapat yang menyatakan raja-raja China telah melantik sejarawan rasmi di istana sejak kurang 1000 tahun sebelum zaman Ssu-Ma-Chien (145 85 S.M) Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya , Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur, 1988, hlm. 2 [11] Muhd. Yusof Ibrahim & Mahayuddin Haji Yahayahlm. 6 [12] Lihat W.G. Shellabear (pnyt), Sejarah Melayu, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967, hlm. 3 [13] Muhd.Yusof Ibrahim, Sejarawan dan Pensejarahan , .hlm. 7 [14] ibid., hlm 6 [15] Ssu Ma Chien, Records of the Historian, hlm. 4, Lihat juga J.B. Bury, The Ancient Greek Historians, New York, Dover Publications, Inco., 1958, hlm. 42 [16] R.G. Collingwood , Idea Sejarah, terjemahan Muhd. Yusof Ibrahim, Kuala Lumpur , DBP,1985, hlm. 15 [17] Mohd. Nor Long, Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu: Satu Perbandingan Bentuk Persejarahan, dalam Jornal Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Vol. VII, 1968/69, hlm. 58 [18] Abdul Samad Ahmad, edSulatus Salatin ,..hlm. 2 [19] Muhd. Yusof Ibrahim, Sejarawan dan Pensejarahan ..hlm. 9 [20] ibid [21] Khoo Kay Kim, Panji-panji Gemerlapan, hlm. 343

[22] Seperti tanggapan Thucydides dan beberapa kajian sekitar kurun ke-19 terhadap karya Herodotus
yang berjudul Perang Parsi. Thucydides menganggap Herodotus sebagai penglipurlara dan beberapa orang sebelumnya menganggap Heodotus sebagai Bapa pembohongan. Herodotus telah memberikan penerangan yang panjang lebar terhadap apa yang diistilahkan sebagai Perang Parsi iaitu peperangan yang berlaku akibat daripada satu siri persengketaan di antara Yahudi dengan Parsi disebabkan oleh perbezaan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan agama di antara keduanya. Herodotus telah membuat tafsiran bahawa peristiwa Perang Parsi itu sebagai peperangan yang berlaku akibat daripada pertentangan dua budaya yang sangat jauh perbezaanya. Lihat Muhd. Yusof Ibahim, Sejarawan dan Pensejarahan,..hlm. 14 [23] ibid., hlm. 10 [24] Muhd. Yusof Ibrahim, Sejarawan dan Pensejarahan, hlm. 12.Lihat juga William Dunning, Truth in History and Other Essay,reprint with an introduction by J.G. de Rouhac Hamilton, New York, Kennikat Press Inc. 1965, hlm. 17 [25] Siti Hawa Salleh, Cendikia Kesusasteraan Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987, hlm. vii [26] Khoo Kay Kim, Pensejarahan Malaysia, Syarahan Tun Seri Lananghlm. 3. Menurut beliau terdapat dua faktor yang mendorong seseorang penulis mengarang: (a) ingin menyebarkan ajaran dan pengetahuan agama , (b) bagi mengharumkan keagungan sesuatu wangsa atau pemerintah. [27] Muhd. Yusof Ibrahim, Pensejarahan Melayu 1800-1960,Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994hlm. 78. Karya ini memberi gambaran tentang struktur masyarakat dan upacara yang diamalkan oleh golongan atas masyarakat Melayu tradisi. [28] Karya ini ditulis dalam tulisan jawi setebal 86 halaman pada tahun 1830 Masihi tetapi tiada dinyatakan nama pengarangnya. Ada pendapat yang mengatakan bahawa karya ini dihasilkan oleh Abdullah Munshi berdasarkan kata awalannya yang dinyatakan : aku dipanggil oleh tuan -tuan Inggeris yang diam di dalam negeri Singapura pergi melihat kapal asap yang baru datang dari negeri Inggeris yang bernama Sisteris. Lihat ibid., hlm. 78 [29] Dalam karya ini Abdullah Munshi telah mencatatkan keadaan sosiopolitik dan ekonomi di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan dikatakan pemerintah tidak berlaku adil dalam menjalan pemerintahan sebaliknya memerintah mengikut hawa nafsu, masyarakatnya tidak mementingkan pelajaran , tidak mahu mempelajari bahasa dan memberi gambaran-gambaran yang negatif kepada masyarakat Melayu di ketiga-tiga negeri. Abdullah melahirkan rasa sedihnya dengan menyatakan apabila dibiarkan juga akan segala hal ini, lama-kelamaannya kelak hilanglah nama Melayu dari dunia ini. Lihat Abdullah Kadir Munshi, Kisah Pelayaran Abdullah, Cetakan ketiga, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1964, hlm. 38 [30] Dari segi kemelayuannya, Ibrahim telah mengambil berat tentang masyarakatnya, bukan sahaja di Johor tetapi juga di mana sahaja beliau berada. Ibrahim gembira bila berada dengan orang-orang yang berbudi bahasa dan beradat; beliau juga memuji kerajinan orang-orang Melayu Melaka berkerja kuat setanding dengan bangsa-bangsa asing yang lain. Namun Brahim juga akan mengkritik masyarakat Melayu jika melihat keadaan yang tidak menyenangkan baik dari segi adat, sopan-santun, agama dan penggunaan bahasa. Tetapi kritikannya tidaklah begitu keras berbanding dengan bapanya. Lihat Muhammd Ibrahim Munshi, Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1980, hlm vi (Pengenalan). [31] Judul asalnya ialah : Bahawa Inilah Kumpulan Nama Melayu: Iaitu Menhimpun Segala Nama dan Gelaran, Timang-timangan dan Tuah-tuahan yang Terpakai pada Sebelah Sini. Lihat Muhd. Yusof Ibrahim, Pensejarahan Melayuhlm. 84 [32] ibid., hlm. 85 [33] Mengisahkan Seorang tokoh di utara Sumatera yang bernama Haji Batu yang mempunyai cita-cita tinggi dan semangat yang cekal untuk ke Makkah. Cita-cita Haji Batu untuk belayar akhirnya tercapai tetapi pengalaman perlayaran dan perjalanannya untuk sampai ke Jeddah kemudian ke Makkah sangatlah mencabar dan mencemaskan melalui Selat Melaka, Laut Acheh, Lautan Hindi sebelum sampai ke Jeddah. [34] Lihat Zainal Abidin Daud al-Sulaimani, Pelayaran Dahulu Kala, The Teruna Press, Batu Pahat, 1937, hlm. 15

[35] ibid., hlm. 21 [36] Buku ini telah dikeluarkan oleh Shamsudin Salleh di Ipoh Malay Press, 1938 dalam huruf jawi setebal 42 halaman. [37] Buku Dr. Burhanuddin al-Helmi ini telah diterbitkan dalam tulisan jawi setebal 88 halaman oleh PKMM, Cawangan Singapura pada Oktober 1946. [38] Zainal Abidin bin Daud, Sejarah Malaya Merdeka, Sentosa Store, Kuala Pilah,1957, Bahagian Pendahuluan. Karya ini diterbitkan dalam tulisan jawi setebal 50 halaman di mana penulis telah membahagikan karyanya kepada 5 bahagian yang merangkumi analisis politik tentang sejarah perkembangan serta cabaran dan perjuangan masyarakat Melayu sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. [39] Pengarang ini banyak terlibat dalam bidang penulisan terutamanya penulisan sejarah, antara karya beliau yang awal iaitu sebelum 1960 lebih menumpu kepada sejarah sedangkan selepas itu lebih kepada pentadbiran.Karya-karya beliau selepas 1960 ialah Pengenalan kepada Jentera Pentadbiran Malaysia(1976), Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang Kehormatan Persekutuan serta Cara-cara Memakainya (1978), Jentera Pentadbiran Kerajaan di Malaysia : Satu Pengenalan (1987), BritishJapanese Independent Malaysia: A Memoir.

Anda mungkin juga menyukai