Anda di halaman 1dari 1

Hindarilah Sifat Jahil Dan Taksub

Kejahilan bukan sahaja akan melahirkan sikap taksub, malah lebih daripada itu ia mempunyai
implikasi buruk terhadap kehidupan. Ia boleh menyebabkan kebinasaan kepada seseorang
individu, masyarakat, agama dan negara. Di samping merendahkan martabat insan, kejahilan
tidak mengenal nilai-nilai kerjasama, timbang rasa, kecintaan dan keadilan. Kerana sikap jahil
dan taksub itulah, maka perpecahan terus berlaku di kalangan kita umat Islam. Perbuatan ini
ternyata bertentangan dengan syariat Islam.
Sudah menjadi lumrah dan nasib yang tersurat bahawa setiap agama akan bertembung dengan
ancaman hawa nafsu yang bergelora serta pemikiran yang menyesatkan. Agama tidak akan
aman sama sekali daripada sikap pelampau dan ketaksuban. Bahkan setiap umat dalam
menegakkan seruan syariat yang benar sentiasa berhadapan dengan golongan ini. Dari segi
prinsipnya mereka memiliki kepercayaan serta pegangan atas nama agama yang di luar
batasan ajaran agama Islam sebenar.
Demikianlah hakikatnya orang yang jahil perasaannya beku dan lemah otaknya. Justeru itu
mudah menjadi taksub dan akibat ketaksuban ini ia tidak lagi boleh berfikir secara normal dan
ia akan bertindak mengikut hawa nafsu bukan berlandaskan akal atau ilmu syariat.
Kejahilan dan ketaksuban menjadikan diri mereka tidak dapat membezakan di antara
kebenaran dan kebatilan. Hati mereka telah buta daripada keimanan dan ketakwaan.
Sebagaimana kata-kata hukama: Buta hati kerana jahil lebih berbahaya daripada buta mata.
Bukan sedikit mereka celik mata tetapi buta hati kerana jahil. Golongan ini makin diberi
peringatan atau nasihat makin bertambah bebal dan jahil. Lebih berbahaya lagi apabila
ditambah pula dengan penyakit kesombongan. Sebagaimana kata Saidina Ali B. Abi Talib r.a :
Tiada musuh yang lebih Aku takuti daripada kejahilan. Setiap manusia menjadi musuh selama
ia jahil.
Kesimpulannya, jelaslah bahawa kejahilan adalah pokok segala kecelakaan dan punca segala
bahaya. Orang yang jahil tergolong dalam maksud hadis Nabi yang bermaksud: Dunia itu
terlaknat, segala isinya terlaknat, kecuali zikrullah (berzikir kepada Allah), sesesorang yang
berilmu dan seorang yang mencari ilmu. Seorang yang jahil itu tidak akan terkeluar dari
kegelapan kejahilan melainkan dengan nur dan cahaya ilmu pengetahuan. Ia merangkumi
ilmu-ilmu untuk keperluan dan kesempurnaan tanggungjawab diri terhadap Allah, ilmu untuk
mempertingkatkan kualiti hidup diri, keluarga, dan masyarakat. Wallahu alam..

1/1

Anda mungkin juga menyukai