Anda di halaman 1dari 9

1.

0 PENGENALAN

Menggalas tugas sebagai seorang guru bukanlah satu perkara yang mudah. Guru
bukan sahaja perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan semata-mata malahan
perlu memahami dan menghayati etika perguruan supaya tidak melanggar profesionalisme
guru. Hal ini bertujuan untuk melahirkan guru yang berkualiti selaras dengan hasrat yang
dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Guru iaitu "Guru yang berpekerti mulia,
berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta
menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara
suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.

Jika dilihat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, profesionalisme ditakrifkan sebagai
sifat-sifat (kemampuan, kemahiran, cara pelaksanaan sesuatu dan lain-lain) sebagaimana
yang sewajarnya terdapat pada atau dilakukan oleh seorang profesional. Menurut R.
Hedderdord (1971) dalam Sufean Hussin (2008), profesionalisme pada asasnya dianggap
suatu nilai yang murni jika individu mengamalkan tanggungjawab mereka dengan penuh
dedikasi, tidak mementingkan diri atau suka memilih pekerjaan. Pada pemahaman saya,
secara umumnya, profesionalisme guru merangkumi kemahiran mereka untuk
menyampaikan ilmu kepada anak didik dan juga kemahiran mereka mengawal tingkah laku
agar dapat menjadi contoh kepada murid dan masyarakat luar. Justeru, guru perlulah
berpengetahuan, berkemahiran, bertingkah laku mulia dan pandai mengawal emosi sesuai
dengan apa yang dikehendaki dalam profesionalisme guru walaupun terdapat pelbagai
cabaran dan perubahan berlaku sistem pendidikan.

1
2.0 PERUBAHAN SISTEM PENDIDIKAN

Pada zaman sebelum merdeka iaitu pada abad ke-14, sistem pendidikan yang
diguna pakai ialah Sistem Pendidikan Pondok dan Sistem Pendidikan Vernakular.
Pendidikan pondok merupakan pendidikan yang bersifat tidak formal yang dimulakan oleh
pedagang Arab dan India. Pada peringkat awal, pendidikan pondok diajar di surau-surau
dan madrasah pada waktu malam sebelum sekolah-sekolah agama dibuka. Sekolah-
sekolah dibina daripada papan beratapkan nipah dan kemudahan bilik darjah yang
disediakan hanyalah papan batu dan kalam saja. Meja dan kerusi pula dibuat sendiri oleh
pelajar-pelajar. Kemudahan asrama hanya disediakan untuk pelajar yang tinggal jauh di
pedalaman. Buku-buku rujukan yang digunakan pula adalah diambil dari negara Mesir dan
negara-negara Arab yang lain.

Pada zaman pemerintahan British pula, dasar laissez-faire diperkenalkan


menyebabkan wujudnya pendidikan vernakular yang terdiri daripada sekolah vernakular
Melayu, sekolah vernakular Cina, sekolah vernakular Tamil, sekolah Inggeris dan sekolah
agama. Ciri-ciri pendidikan vernakular ini ialah berorientasikan kaum, menggunakan
pengantar bahasa ibunda. kurikulum yang digunakan adalah mengikut keperluan kaum
masing-masing serta sukatan pelajaran, guru-guru dan buku teks dibawa dari negara asal.
Sistem pendidikan ini tidak mempunyai sukatan kurikulum yang khusus dan guru-guru
menghadapi cabaran dalam menyeragamkan sukatan pelajaran yang diajar. Contohnya,
sekolah vernakular Cina dan Tamil masing-masing menggunakan sukatan kurikulum
daripada negara masing-masing.

Pada zaman selepas merdeka, sistem pendidikan di Malaysia berubah ke arah yang
lebih sistematik dengan adanya beberapa laporan dan akta yang diwujudkan seperti
Laporan/Penyata Razak, Laporan Rahman Talib, Akta Pendidikan 1961, Laporan Aminuddin
Baki 1964, Laporan Jawatankuasa Kabinet dan Akta Pendidikan 1996. Pada peringkat awal,
sistem pendidikan pada zaman ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam
kalangan penduduk berbilang kaum di negara kita sebelum beralih kepada objektif yang
lebih menyeluruh. Kemudiannya, selari dengan perubahan era globalisasi, pada tahun 1996
Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggubal Konsep Sekolah Bestari bertujuan
menyediakan pendidikan yang lebih berkualiti untuk meningkatkan pencapaian Falsafah
Pendidikan Negara ke tahap maksimum (Abd. Ghani Jaafar et. al, 2005). Dalam sistem
pendidikan kini pula, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 2010 telah
diperkenalkan sebelum diganti dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013 2025 yang telah dilancarkan pada tahun 2011 oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia.

2
Dalam melaksanakan perubahan sistem pendidikan ini, guru memainkan peranan
yang sangat penting. Justeru, tidak hairanlah jika profesion keguruan menghadapi cabaran
saban hari. Bagi menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan, seorang guru harus
menguasai kemahiran-kemahiran belajar, berfikir, merancang, mengajar, pemudahcaraan,
menilai, berkomunikasi dan mengurus termasuk mengurus teknologi maklumat dan
komunikasi selari dengan profesionalisme keguruan (Noriati A. Rashid et al., 2016). Selain
itu, guru juga perlu bersikap mesra, luwes, kecindan, tegas, dedikasi, wibawa dan toleransi.
Semua ciri-ciri ini perlu dikuasai oleh guru bagi memastikan profesionalisme guru terus
dipatuhi walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

3
3.0 CABARAN GURU DALAM DUNIA PENDIDIKAN

Profesion keguruan yang merupakan antara profesion tertua di dunia dianggap


sebagai salah satu profesion yang penting dalam sesebuah negara. Hal ini demikian kerana
guru berperanan mendidik anak bangsa dengan ilmu yang secukupnya daripada segi fizikal,
emosi, intelektual, mental dan rohani agar dapat melahirkan insan yang berupaya
mengemudi serta memajukan negara pada masa akan datang. Sistem pendidikan di
Malaysia yang telah mengalami beberapa perubahan sejak daripada zaman sebelum
merdeka, selepas merdeka sehinggalah pada masa kini menyaksikan peranan guru turut
berubah. Selaras dengan perubahan zaman dan perubahan sistem pendidikan, cabaran
yang dihadapi oleh guru dalam mendidik juga semakin bertambah. Guru bukan sahaja perlu
bijak menangani cabaran di sekolah malahan perlu sentiasa peka dan akur dengan
perubahan dalam sistem pendidikan negara kita yang pastinya akan menguji kredibiliti dan
keupayaan mereka dalam menjaga nama baik serta profesionalisme keguruan. Namun,
sebagai seorang guru yang berdedikasi dan versatil, mereka seharusnya mengambil
cabaran yang dihadapi sebagai batu loncatan untuk mereka memajukan diri dalam profesion
ini.

3.1 CABARAN DALAM KOMPETENSI ILMU

Mendepani arus pendidikan abad ke-21, guru bukan sahaja perlu memiliki tahap
kelayakan akademik yang baik tetapi juga perlu diiringi dengan penghayatan moral, nilai dan
akhlak yang tinggi. Tugas utama guru ialah mendidik dan memberikan pengetahuan yang
berguna kepada pelajar dalam bidang-bidang tertentu berdasarkan kurikulum yang
ditawarkan dan diperakui oleh KPM atau pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam
pendidikan (Abd. Rahim Abd. Rashid, 2007). Oleh itu, guru-guru perlulah sentiasa meneroka
ilmu-ilmu baharu saban hari melalui pembacaan buku teks, buku rujukan, penulisan ilmiah
dan modul serta perlu menanam semangat cintakan ilmu dalam diri agar dapat membimbing
pelajar dengan cemerlang bagi mencapai aspirasi yang ditetapkan oleh kerajaan. Berbeza
pada zaman sebelum merdeka, seseorang yang menjadi guru tidak perlu mempunyai
kelayakan akademik yang tinggi. Contohnya, dalam sistem pendidikan pondok, guru
biasanya terdiri daripada imam dan haji. Sistem pendidikan vernakular pula mengambil
guru-guru daripada negara asal masing-masing. Tiada kualiti guru yang standard dan
seragam ditetapkan pada zaman ini. Pada zaman selepas merdeka pula, penghasilan tenga
kerja telah ditekankan terutamanya dalam Laporan/Penyata Razak yang mengesyorkan
guru-guru menerima latihan yang serupa. Kini, Institut Pendidikan Guru (IPG) atau sebelum
ini dikenali sebagai Maktab Perguruan ditubuhkan bagi melatih dan menghasilkan guru-

4
guru yang berkualiti selaras dengan aspirasi negara. Pengalaman dan pengetahuan yang
diperolehi sepanjang berada di IPG perlulah diguna pakai sebaik mungkin dalam mendidik
pelajar. Dengan adanya guru yang berilmu tinggi, profesion keguruan dapat dimartabatkan
walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

3.2 CABARAN DALAM PENGHAYATAN NILAI DAN AKHLAK GURU

Selain tahap kelayakan akademik yang baik, guru juga berdepan cabaran dalam
pembentukan sahsiah dan akhlak diri. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr.
Khair Mohamad Yusof, guru perlu memahami bahawa penghayatan moral, nilai dan akhlak
merupakan asas kepada kehidupan manusia dan asas martabat sesuatu profesion
khususnya profesion keguruan yang bertanggungjawab memelihara tradisi dan budaya
masyarakat Malaysia. Dalam membentuk murid yang bermoral tinggi, guru itu sendiri yang
perlu menjadi suri teladan agar dapat dicontohi oleh anak didik mereka. Pada zaman
sebelum merdeka, masyarakat amat menyanjungi kepimpinan guru kerana guru dikenali
sebagai pendidik, pembimbing dan penasihat kepada masyarakat. Namun, amat malang
sekali apabila dewasa ini, guru sering dikaitkan dengan aktiviti yang tidak bermoral seperti
amalan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan media sosial. Isu terbaharu yang
melanda dunia pendidikan kita kini ialah berkenaan isu seorang guru lelaki dipenjara dua
tahun selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menggunakan aplikasi Internet untuk
menghantar gambar berunsur lucah dan palsu membabitkan beberapa pemimpin negara
dan memiliki filem lucah, dua tahun lalu (Harian Metro, 2016). Berita sebegini bukan sahaja
mencemarkan profesionalisme keguruan tatapi turut menjatuhkan imej sistem pendidikan di
negara kita kerana tidak mampu melahirkan individu yang mempunyai penghayatan nilai.
Disebabkan perkara sebegini, sistem pendidikan di negara kita menekankan etika dan
kerohanian seperti yang terkandung dalam PPPM 2013 2015 sebagai salah satu daripada
enam aspirasi murid. Sekiranya semua guru menekankan penghayatan nilai dan moral
dalam pendidikan, hasrat kerajaan untuk melahirkan guru yang memenuhi profesionalisme
keguruan dapat dipenuhi.

3.3 CABARAN DALAM MENANGANI MASALAH DISIPLIN MURID

Antara cabaran lain yang dihadapi oleh guru dalam mendidik anak bangsa pada
abad ke-21 ini ialah masalah perlanggaran disiplin yang semakin menjadi-jadi. Pada zaman
dahulu, masalah disiplin dalam kalangan murid kurang berlaku. Hal ini mungkin disebabkan

5
oleh ketegasan guru dalam membentuk disiplin murid. Namun, pada hari ini, perlanggaran
disiplin dalam kalangan murid dilihat semakin berleluasa. Antara gejala perlanggaran disiplin
yang sering berlaku ialah ponteng sekolah, buli, biadab terhadap guru, vandalisme,
pergaduhan, merokok dan penyalahgunaan dadah. Menurut laporan daripada akhbar
Kosmo, sebanyak 108,650 daripada 5.3 juta pelajar sekolah menengah dan rendah seluruh
negara terlibat dalam masalah disiplin pada tahun 2011. Daripada jumlah itu, Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata, isu ponteng sekolah merupakan penyumbang terbesar masalah
salah laku dengan jumlah 18.550 pelajar (majlis perasmian Program Pemantapan dan Jati
Diri Sahsiah Remaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012). Hal ini menyebabkan tugas
guru untuk mengajar terganggu kerana selain mengajar, guru juga perlu fokus kepada
masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Sekiranya ada pelajar yang ponteng kelas, guru
terpaksa menangguhkan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mencari pelajar tersebut
atau melaporkannya kepada guru disiplin. Perkara ini sudah semestinya mengganggu
konsentrasi pelajar lain. Kesannya, insan yang berilmu pengetahuan tidak dapat dibina
sekiranya masalah ini berlanjutan. Justeru, guru perlu menganggap cabaran dalam
menangani masalah perlanggaran disiplin dalam kalangan pelajar sebagai satu lumrah
kehidupan dalam menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang
bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin seperti mana yang terkandung dalam
Falsafah Pendidikan Guru.

3.4 CABARAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT)

Penubuhan Sekolah Bestari pada tahun 1996 menjadi titik tolak kepada pengunaan
teknologi secara lebih meluas dalam pendidikan. Hal ini demikian kerana komponen utama
yang dititikberatkan dalam pelaksanaan Sekolah Bestari ini ialah aspek teknologi maklumat
dan komunikasi. Guru-guru yang terbabit dalam pendidikan Sekolah Bestari perlu
melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran ICT yang secukupnya. Hal ini bertujuan
untuk melahirkan guru yang sentiasa mencari maklumat dalam bentuk fakta-fakta terkini,
sentiasa melayari internet bagi mendapatkan idea-idea pedagogi semasa seperti dalam
pendekatan generik contohnya pengajaran masteri, kontekstual, konstruktisme,
pembelajaran akses kendiri dan pembelajaran masa depan (Abd. Ghani Jaafar et al., 2005).
Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam sistem pendidikan kini juga
turut menuntut guru menguasai kemahiran dan penggunaan alatan ICT (Asraf Mubarak
Atan, 2013). Menurut beliau lagi, guru menggunakan kemahiran penggunaan dan peralatan
ICT seperti komputer, alat cetak, mesin imbas dan pelbagai perisian seperti microsoft word,
powerpoint, excel, paint dan internet untuk membina instrumen. Asraf Mubarak Atan juga

6
mengatakan bahawa guru perlu memberikan sepenuh komitmen dalam membuat eviden,
memeriksa eviden, merekod dan menyimpan keputusan dalam sistem online setiap minggu.
Penguasaan kemahiran ICT amat penting dalam menyiapkan tugas-tugas tersebut. Selain
itu, sekiranya guru berupaya menguasai pengetahuan ICT, suasana pembelajaran yang
diwujudkan dapat menarik minat pelajar kerana kaedah pengajaran yang digunakan bersifat
informatif dan tidak membosankan. Contohnya, penggunaan perisian-perisian khusus yang
dibangunkan untuk sesuatu bidang seperti penggunaan CD-Rom, aplikasi general purpose
seperti aplikasi-aplikasi pemprosesan perkataan, lembaran kerja dan persembahan,
penggunaan pangkalan data elektronik boleh digunakan untuk meningkatkan keberkesanan
proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (Razali Ismail, 2003). Sekiranya
guru mematuhi nilai positif dalam Amalan Profesionalisme Guru seperti nilai daya saing dan
daya cipta, sudah pasti cabaran dalam menguasai kemahiran ICT dapat diatasi dengan
mudah.

Kesimpulannya, dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan di negara kita, individu


yang bergelar guru tidak boleh lari daripada cabaran dan perubahan sistem pendidikan kini.
Justeru, sangatlah tidak wajar jika seorang guru merungut dengan perubahan yang berlaku
dalam sistem pendidikan negara kita. Seharusnya, cabaran yang datang perlu disahut oleh
seorang guru sama ada cabaran dalam menyampaikan ilmu pengetahuan atau cabaran
dalam dasar-dasar yang telah ditetapkan dalam sistem. Perubahan dan cabaran yang
diterima oleh guru seharusnya dapat membentuk jati diri dan meningkatkan profesionalisme
guru mengikut acuan dan aspirasi negara di samping dapat memenuhi hasrat kerajaan
menerusi anjakan ketiga dalam PPPM 2013 2025 iaitu transformasi keguruan sebagai
profesion pilihan.

7
4.0 REFKELSI

Profesionalisme keguruan boleh dijadikan panduan kepada guru dalam usaha


melahirkan guru yang mampu berhadapan dengan cabaran masa kini. Sekiranya, guru-guru
mempunyai kepimpinan profesion yang lemah, pelbagai masalah dan krisis dalam
pendidikan akan timbul. Hal ini kerana tugas guru pada abad ini bukan hanya mengajar
murid mengenal ABC dan 123, tetapi melebihi skop itu. Guru juga seharusnya perlu memiliki
kemahiran dalam kepimpinan pengurusan pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan
kemasyarakatan agar mampu berhadapan dengan apa-apa jua cabaran yang akan terjadi
dalam sistem pendidikan negara kita.

Guru-guru juga perlu akur dengan setiap perubahan dalam sistem pendidikan
Malaysia. Hal ini kerana perubahan yang dilakukan bertujuan untuk meningkatkan dan
memajukan tahap pendidikan di Malaysia ke arah yang lebih baik setanding dengan negara-
negara maju. Sebagai seorang guru yang professional, mereka juga perlu sentiasa
menunjukkan nilai, akhlak dan budi bahasa yang baik agar dijadikan contoh kepada murid.
Hasilnya, modal insan yang akan dihasilkan kelak mempunyai nilai yang tinggi. Menjadi guru
yang menepati ciri profesionalisme keguruan bukan mudah, tetapi tidak mustahil untuk
dicapai sekiranya guru mempunyai semangat yang tinggi dan sedar akan tanggungjawab
mereka.

8
RUJUKAN

Abd. Ghani Jaafar, Hoe Lee Chan, K.Shoba A/P C. Karuppaya, Bazrulzaman
Baharom . (2005). Konsep dan Perlaksanaan Sekolah Bestari di Malaysia.
Seminar Pendidikan.

Abd. Rahim Abd. Rashid. (2007). Profesionalisme Keguruan Prospek dan


Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Asraf Mubarak Atan. (2013). Beban Tugas Guru Dalam Pelaksanaan Pbs di
Sekolah Kebangsaaan Bandar dan Luar Bandar di Muar. Jurnal Universiti
Teknologi Malaysia.

Hakimi Ismail. (15 Mei, 2015). Cabaran baharu kerjaya guru abad ke-21.
Retrieved 7 Ogos , 2016, from Utusan Online:
http://www.utusan.com.my/pendidikan/umum/cabaran-baharu-kerjaya-
guru-abad-ke-21-1.91781

Kosmo! (2008). 108,650 pelajar terlibat salah laku. Retrieved 7 Ogos , 2016, from
Kosmo! online: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?
y=2012&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Mohd Syafiq A. Ghani. (13 Februari, 2013). Perkembangan Sistem Pendidikan di


Malaysia. Retrieved 5 Ogos, 2016, from SlideShare:
http://www.slideshare.net/syafiqghani/perkembangan-sistem-pendidikan-
di-malaysia

Muhamaad Razis Ismail. (20 Julai, 2016). Guru Dipenjara Dua Tahun. Retrieved 2
Ogos, 2016, from myMetro: http://www.hmetro.com.my/node/153077

Noriati A. Rashid, Lee Keok Cheong, Zulkufli Mahayudin, Zakiah Noordin. (2016).
Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Razali Ismail. (2003). Menjentik Minda: Siri Memperkasa Profesionalisme


Keguruan. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sufean Hussin. (2008). Pendidikan di Malaysia: Sejarah Sistem dan Falsafah Edisi
Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Ismail Syed Mustapa, Ahmad Subki Miskon. (2010). Asas Kepimpinan &
Perkembangan Profesional. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai