Anda di halaman 1dari 38

FALSAFAH DALAM KURIKULUM

PENDIDIKAN BAHASA MELAYU

1.0 Pengenalan

Bahasa adalah milik manusia yang paling penting dan bahasalah yang membezakan antara manusia dan
makhluk-makhluk lain. Dengan menggunakan bahasa, manusia dapat berhubung, melahirkan pendapat,
pandangan dan perasaan. Manusia juga menggunakan bahasa untuk menyampaikan ilmu dan mencipta
keindahan melalui kesusasteraan. Semua orang mengakui akan kepentingan bahasa dalam kehidupan
sehari-hari. Tanpa bahasa, manusia akan hidup terasing dari masyarakat dan tiada kemajuan.

Bahasa lahir kerana timbul keperluan dan keinginan manusia untuk berkomunikasi sesama ahli
masyarakat lain. Bahasa menjadi keperluan asas terpenting kepada manusia. Setiap manusia yang baharu
dilahirkan, secara semula jadinya mempunyai beberapa alat fizikal yang sesuai untuk memperoleh bahasa.
Walaupun pada mulanya bayi dilahirkan tanpa kebolehan berbahasa tetapi pemerolehannya akan berlaku
sedikit demi sedikit dan berperingkat-peringkat mengikut perkembangan otaknya.

Mengikut teori biologis, sejak anak itu dilahirkan, memang sudah ada satu kebolehan
menggunakan bahasa. Kebolehan ini dinamakan jentera pemerolehan bahasa atau Language Acquisition
Device ( LAD ). Seorang kanak-kanak yang normal akan memperolehi bahasa pertamanya antara umur
dua hingga enam tahun. Ketika itu, mereka akan mengambil perkataan-perkataan penting, memahami dan
mempelajarinya dan seterusnya menggunakannya (Chomsky, 1965).

Namun begitu, satu perkara yang pasti ialah setiap kanak-kanak memerlukan pendedahan
terhadap bahasa. Kanak-kanak perlu mendengar cara-cara bahasa dihasilkan dan apakah hubungan bahasa
dengan objek. Tanpa pendedahan bahasa, kanak-kanak tidak akan memperoleh sebarang bahasa dan sukar
menerima bahasa yang akan diajar. Kanak-kanak memerlukan beberapa pendedahan bahasa sama ada
melalui pertuturan, isyarat, tulisan ataupun sentuhan sebelum pembelajaran bahasa berlaku.

1.1 Pemahaman Bahasa

Pemahaman adalah suatu kemampuan seseorang dalam mentafsir, menterjemah, atau


mengatakan sesuatu dengan caranya sendiri tentang pengetahuan yang pernah
diterima atau dipelajari. Menurut Kamus Dewan (2005), pemahaman didefinisikan
sebagai perihal memahami, perkara yang difahami tentang sesuatu atau sejauh mana
sesuatu itu difahami, manakala bahasa pula ditakrifkan sebagai sistem lambang bunyi
dan suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok
manusia. Bahasa digunakan sebagai alat perhubungan antara seorang individu dengan
individu lain dan hubungan antara ahli dalam suatu kelompok manusia. Berdasarkan
takrif di atas menjelaskan bahawa pemahaman bahasa adalah kemampuan seseorang
dalam memahami sistem lambang bunyi dan suara yang digunakan sebagai alat
perhubungan dalam kelompok manusia.

Usaha bagi memahami dan mentafsir input-input bahasa, sama ada dalam
bentuk lisan atau tulisan melibatkan beberapa langkah yang rencam dan kadangkala
merumitkan. Data bahasa yang diperoleh bukan sahaja terdiri daripada ayat-ayat yang
mudah, benar dan gramatis tetapi juga terdiri daripada ayat-ayat yang kompleks dan
terdapat juga ayat-ayat yang tidak lengkap strukturnya. Selain itu, ada juga yang lahir
dalam bentuk kiasan dan sebagainya. Oleh yang demikian, proses pemahaman adalah
sangat penting untuk pendengar dan pembaca memproses pelbagai input bahasa.
Proses pemahaman bukan berlaku secara automatik dan bukanlah semudah dan
setangkas yang disangkakan. Ortegay (1959:1 dalam Zulkifley Hamid, 2006) membuat
rumusan hanya dengan usaha yang bersungguh-sungguh baharulah kita mampu
memahami beberapa bahagian penting mengenai perkara yang cuba disampaikan,
atau yang perlu difahami mengenai sesebuah teks. Lazimnya ini melibatkan bahagian-
bahagian yang tidak terjangkau oleh daya pemahaman kita.

2.0 Pemahaman Bahasa Menurut Sarjana Psikolinguistik Secara Umum

Persoalan yang sering dihadapi adalah bagaimana manusia dapat memahami


perkataan, frasa, klausa, ayat atau wacana yang mereka dengar. Dengan kata lain,
bagaimanakah kefahaman dapat terbentuk? Dari sudut pandangan ilmu psikolinguistik
menurut Clark & Clark (1977 dalam Soenjono Dardjowidjojo, 2007), terdapat dua jenis
kefahaman, iaitu kefahaman yang berkaitan dengan pemahaman terhadap ujaran yang
kita dengar dan kedua adalah kefahaman yang berkaitan dengan tindakan yang perlu
dilakukan setelah pemahaman itu terjadi. Untuk jenis yang pertama, kefahaman dapat
didefinisikan sebagai suatu proses mental apabila pendengar mempersepsi bunyi yang
dikeluarkan oleh seorang penutur dan mengunakan bunyi-bunyi itu bagi membentuk
suatu interpretasi tentang apa yang dimaksudkan oleh penutur tadi. Secara mudah
dapat dikatakan bahawa kefahaman adalah pembentukan makna daripada bunyi.
Setelah pemahaman terhadap ujaran itu terjadi, pendengar menentukan apakah ada
tindakan yang perlu dilakukan sesuai dengan apa yang difahami. Proses mental ini
dinamakan pelaksanaan ayat.

Menurut Soenjono Dardjowidjojo (2007), sewaktu kita mendengar seseorang


bercakap, kita beranggapan bahawa kita boleh memahami sesuatu pengucapan yang
disampaikan dengan mudah. Tanpa disedari, ujaran yang diucapkan dalam bentuk
bunyi-bunyi itu sebenarnya merupakan suatu hal yang sangat kompleks. Hal ini kita
rasakan apabila kita mendengar orang yang bercakap dalam bahasa asing, kecuali
apabila bahasa asing seseorang sudah berada pada tahap yang baik. Lazimnya, kita
akan mendengar dengan teliti setiap perkataan yang diujarkan untuk memahami ujaran
tersebut dengan baik. Tambahan lagi, perkara yang sering terjadi adalah belum sempat
kita memahami perkataan-perkataan yang diujarkan, pengucap sudah bercakap
perkara yang lebih mendalam. Akibatnya, kita tidak dapat memahami dengan baik atau
langsung tidak memahami apa-apa yang diperkatakan.

Pemahaman percakapan bermaksud pendengar memanfaatkan bunyi-bunyi


yang diucapkan oleh penutur untuk membina tafsiran tentang hal yang hendak
disampaikan oleh penutur. Pemahaman juga bermaksud pembinaan tafsiran makna
akhir yang menyerupai gambaran dalaman sesuatu ayat. Sebagai contoh, penutur
menyebut ayat Gadis itu menjahit baju . Pendengar akan cuba memahami ayat yang
diujarkan oleh penutur tersebut. Susunan kata-kata adalah;

i.Gadis
ii.itu
iii.menjahit
iv.baju
Pendengar bukan mendengar perkataan-perkataan tersebut secara berasingan,
tetapi pendengar memahami perkataan-perkataan tersebut terbina dalam satu ayat,
iaitu gadis itu menjahit baju. Pemahamannya melibatkan suatu entiti, iaitu pertamanya
pendengar perlu mengecam dan memastikan golongan kata bagi perkataan-perkataan
gadis dan itu. Perkataan-perkataan gadis dan itu bergabung dalam satu entiti, iaitu
merupakan satu frasa. Dianalisis dari segi aspek tatabahasa frasa tersebut merupakan
frasa nama (FN). Perkataan baju terbina dalam satu entiti yang lain. Manakala
perkataan menjahit membentuk satu unit yang lebih besar, iaitu menandakan satu
peristiwa. Perkataan menjahit membina entiti yang menyatukan kedua-dua frasa
tersebut, iaitu gadis itu (FN) dan baju (FN).

2.1 Proposisi

Sewaktu kita mendengar suatu ujaran, apa yang kita dengar memang serentetan bunyi
yang membentuk suku kata, dan daripada suku kata menjadi perkataan, dari perkataan
menjadi frasa, dan seterusnya. Namun, bagi memahami ujaran itu kita perlu
menggabungkan bunyi dan perkataan-perkataan itu sehingga terbentuklah representasi
makna yang mendasarinya. Unit-unit makna pada ayat dinamakan proposisi (Clark dan
Clark, 1977 dalam Soenjono Dardjowidjojo, 2007). Proposisi amat penting dalam
pemahaman sesuatu percakapan. Untuk memahami suatu ayat, kita perlu memahami
proposisi yang dinyatakan oleh ayat tersebut. Proposisi terdiri daripada dua bahagia,
iaitu hujahan atau subjek (perkara yang diperkatakan) dan predikat (pernyataan yang
dibuat mengenai hujahan). Contohnya:

a. Mimi menyanyi.

b. Siti sedang menulis tesis.

Berdasarkan contoh di atas, menyanyi dan sedang menulis tesis adalah predikat
sedangkan Mimi dan Siti adalah hujahan. Proposisi pada ayat a mempredikati kegiatan
menyanyi oleh Mimi, manakala ayat c mempredikati kegiatan menulis tesis oleh Siti.
Pemahaman bermula dengan mengenal pasti struktur permukaan (surface
structure / suferficial surface) sesuatu ayat, iaitu perkataan-perkataan, susunan, dan
golongan katanya. Kemudian pendengar perlu membina satu tafsiran makna.
Pendengar akan menggunakan tafsiran-tafsiran makna yang telah terbina berdasarkan
ayat yang didengar. Apabila mendengar sesuatu ayat atau pernyataan, pendengar akan
cuba memahami dan memetik maklumat baharu dan menyimpannya dalam ingatan di
otak. Pada masa lainnya, apabila pendengar mendengar sesuatu pernyataan atau
persoalan, pendengar akan mencari maklumat yang sepadanan dengan pernyataan
atau persoalan itu. Kemudian, pendengar akan cuba mendapatkan jawapan
berdasarkan apa yang ada dalam ingatan. Pendengar akan membuat keputusan yang
bersesuaian dengan arahan dan permintaan yang didengarnya mengikut
kemahuannya. Dalam hampir setiap keadaan, pendengar akan memikirkan tindakan
yang sepatutnya diambil apabila mendengar sesuatu ayat. Pemahaman terhadap
binaan proposisi ayat dapat membantu pendengar mentafsir ujaran yang diucapkan.

Selain itu, proposisi membantu pendengar terhadap proses-proses mental yang


menjadi penggerak kepada pendengar yang membolehkannya bertindak selaras
dengan tafsiran ayat yang didengar. Proses-proses mental itu ialah proses pembinaan
(construction process) bermaksud cara pendengar membina sesuatu tafsiran ayat
berdasarkan perkataan-perkataan yang terbit dari mulut penutur. Proses ini bermula
dengan mengenal pasti struktur permukaan ayat dan berakhir dengan satu tafsiran
yang berbentuk gambaran (representation) dalaman ayat. Apabila pendengar mentafsir
sesuatu ayat, matlamatnya adalah untuk membina gambaran dalaman ayat.
Contohnya, semasa mendengar ayat, Lelaki tua itu membonceng anak lelakinya.
Pendengar tidak dibekalkan gambaran dalaman ayat tersebut. Oleh itu, pendengar
dapat membina lima pernyataan, iaitu;

i.lelaki,

ii.lelaki tua itu,

iii. anak,
iv. anak lelakinya

v. membonceng.

Pernyataan-pernyataan yang dibina itu mestilah saling berhubungan dengan


perkataaan-perkataan yang didengar. Pendengar menghubungkan struktur permukaan
ayat dengan gambaran dalaman ayat.

Proses mental kedua ialah penggunaan (utilization process) menyatakan


bahawa cara pendengar menggunakan tafsiran ini untuk beberapa tujuan seperti
menyimpan maklumat baharu dan menjawab soalan mengikut arahan dan janji.
Pendengar cuba mencari makna sesuatu ayat yang hendak disampaikan oleh penutur
dalam proses pembinaan ayat. Pendengar mengetahui proposisi sesuatu ayat yang
didengar, belum tentu dia dapat menggunakannya seperti yang dikehendaki oleh
penutur. Matlamat proses penggunaan ayat adalah untuk menepati maksud penutur.
Proses penggunaan ayat merupakan proses mental yang berlaku kepada pendengar
sewaktu menggunakan sesuatu ayat yang bertepatan dengan maksud penutur.

Terdapat hipotesis yang mengatakan bahawa sewaktu pendengar memahami


sesuatu ayat, dia menceraikan ayat itu kepada konstituen-konstituennya dan bagi
setiap konstituen dia akan membina proposisi yang bersesuaian. Dikatakan juga
bahawa pendengar membina gambaran dalaman sesuatu ayat dengan menggunakan
empat langkah, iaitu:

LANGKAH 1
Pendengar mengambil pertuturan yang mentah dan
mengekalkan gambaran fonologi pertuturan itu dalam ingatan
yang aktif.
LANGKAH 2
Pendengar menyusun gambaran fonologi pertuturan itu
kepada konstituen-konstituen lalu, mengenal pasti isi dan
fungsi konstituen.

LANGKAH 3
Semasa mengenal pasti isi dan fungsi setiap konstituen,
pendengar membina gambaran sesuatu proposisi secara
berterusan.

LANGKAH 4
Selepas mengenal pasti proposisi untuk sesuatu konstituen,
pendengar mengekalkannya dalam ingatan yang aktif. Dengan
itu, berlakulah penghapusan gambaran fonologi daripada
ingatan. Pendengar lupa setiap perkataan, yang kekal adalah
makna.

Rajah 1: Langkah-langkah Pendegar Membina Gambaran Dalaman Sesuatu Ayat

Keempat-empat langkah ini bertindak serentak pada masa yang sama.


Pendengar mungkin akan mengenal pasti konstituen sewaktu sedang mengambil
pertuturan yang baru sambil menghapuskan gambaran fonologi daripada ingatan serta
aktiviti- aktiviti yang lain. Langkah- langkah ini dapat membantu kita memahami
peranan struktur permukaan ayat dalam proses pemahaman.

Ringkasnya, setiap ujaran penutur yang sampai kepada pendengar merupakan


rantai pertuturan yang mengandungi bentuk pemikiran manusia. Bentuk pemikiran
manusia mulai dari yang paling dasar adalah pengertian atau konsep, diikuti proposisi
atau pernyataan dan akhirnya adalah penalaran. Pada dasarnya tidak ada proposisi
tanpa pengertian atau konsep dan tidak ada penalaran tanpa proposisi.

2.2 Peringkat Penguasaan Bahasa

Berdasarkan maklumat yang dipetik daripada Abdullah Hassan (2009), kanak-kanak


tidak akan dapat memperoleh sesuatu bahasa melainkan jika mereka mendengarnya
dan fungsi kita hanya bercakap, lebih banyak yang dicakap lebih banyak yang diperoleh
kanak-kanak. Biologi memainkan peranan yang penting dalam penguasaan bahasa
samalah seperti pentingnya organ-organ tubuh menghadam makanan selepas makan.
Semuanya berlaku sebagai sesuatu yang sudah sedia terbina. Anak tersebut
memerlukan bahasa untuk hidup sama seperti ia memerlukan makanan. Maklumat
yang diterimanya dari pertuturan kita dapat dianggap sebagai bahan mentah yang
masuk melalui saluran pendengarannya terus ke pusat sistem saraf dan dianalisis
kepada unsurnya dan kemudian dibina kembali sebagai suatu kemahiran bahasa yang
amat kompleks. Bayi manusia dilahirkan dengan tidak berupaya dan terpaksa
membesar. Berat otak bayi manusia semasa dilahirkan hanya lebih kurang 25%
daripada otak orang dewasa. Hal ini membolehkan proses tumbesaran kematangan
otak berlaku dalam satu jangkamasa yang panjang selepas lahir. Oleh sebab sistem
saraf berkembang maka proses perkembangan bahasa boleh berlaku.

Semasa berumur sepuluh bulan, kanak-kanak mula mengeluarkan berbagai-


bagai bunyi dan mula meniru bunyi dan membezakan bunyi yang berlainan yang
didengarnya. Semasa berumur dua belas bulan kanak-kanak mulai belajar berjalan-
jalan dan bunyi yang serupa dengan bunyi bahasa mula diterbitkan dan perkataan
seperti mak, abah, mamam, mula disebut. Pada masa ini juga kanak-kanak tersebut
mulai memahami arahan. Semasa berumur lapan belas bulan kanak-kanak sudah
mempunyai antara tiga hingga lima puluh perkataan. Kefahamannya bertambah baik
dan dia mula menggabungkan dua perkataan untuk menjadi rangkaikata. Semasa
umurnya meningkat dua tahun pola-pola ayatnya mula menjadi lengkap dan dia dapat
merumuskannya dengan bersendirian. Proses ini berterusan hingga umurnya menjadi
baligh apabila bahasanya menjadi sempurna.

Masa tamat peringkat kesuburan untuk belajar bertutur ini mungkin juga
mempunyai sesuatu kepentingan dalam perkembangan bahasa tersebut. Selepas itu
sistem itu menjadi mantap. Oleh sebab itu perlulah diberi masa yang agak sesuai untuk
bahasa berkembang dan proses itu harus berhenti setelah mencapai peringkat yang
sempurna. Selalunya ia berlaku setelah ia menjadi baligh dan mula memainkan
peranannya dalam masyarakat secara aktif. Pembakuan itu menjadi perlu supaya
bahasa yang dituturkan itu berdasarkan suatu sistem sahaja yang dapat difahami oleh
semua anggota masyarakat itu. Kalau ia terus berkembang, maka haruslah ia menjadi
sukar untuk difahami oleh kebanyakan anggota masyarakat yang ramai itu.

Terdapat satu ciri yang selalu berlaku dalam perkembangan bahasa. Selalunya
bayi menunjukkan yang mereka faham setengah perkataan dan arahan- arahan
semenjak mereka berumur dua belas bulan lagi walaupun mereka tidak dapat
mengeluarkan sepatah perkataan pun. Kita dapat memperhatikan bahawa proses
memahami dalam sesuatu bahasa itu mendahului proses bertutur. Dalam suatu kajian
terhadap seorang kanak-kanak yang sakit otak kerana jangkitan semasa dalam
kandungan, menunjukkan bahawa dia tidak dapat bertutur dengan baik. Walau
bagaimanapun, dalam ujian-ujian yang dijalankan, dia dapat memahami perintah
seperti `Ambil kotak itu!' dan `Masukkan ke dalam botol', dan di samping itu dia boleh
menjawab soalan mengenai cerita-cerita yang didengarnya. Hal ini menjelaskan prinsip
penting bahawa kemahiran memahami itu mendahului kemahiran bertutur. Bukan itu
sahaja, bahkan ia lebih mudah dan lebih dasar. Dengan kata lain, ada sesuatu yang
istimewa dalam pertuturan yang dapat kita fahamkan sebagai pengetahuan berkenaan
dengan sesuatu bahasa, yang mungkin sudah wujud semasa awal dalam kehidupan
kanak-kanak lagi. Dari sini dapatlah disimpulkan bahawa proses bermula semasa
kanak-kanak itu berumur dua tahun dan berakhir lebih kurang semasa ia berumur dua
belas tahun. Setelah mencapai peringkat itu maka, bahasa kanak-kanak itu dianggap
sudah lengkap dalam serba serbinya. Memang betul bahawa kanak-kanak, bahkan
orang dewasa sendiri masih terus belajar. Namun, apa yang mereka pelajari itu hanya
merupakan gaya, atau peluasan dari segi pemakaian, atau sesuatu makna yang baharu
sahaja. Sebenarnya, dari segi nahunya, bahasa itu sudah cukup lengkap, tetapi
pemerolehan lain akan terus berlaku.

3.0 Pemahaman Bahasa Menurut Sarjana Tempatan

Selain daripada ahli sarjana luar negara, sarjana tempatan juga mempunyai pandangan
yang tersendiri tentang pemahaman bahasa. Pandangan dua orang tokoh akan
dibincangkan, iaitu Zulkifley Hamid serta Adenan Ayob dan Abdullah Hassan.

3.1 Pemahaman Bahasa Menurut Zulkifley Hamid

Menurut Zulkifley Hamid (2006), proses pemahaman merupakan proses mental. Hal ini
bermaksud untuk memahami sesuatu wacana lisan, pendengar perlu membuat
persepsi dan memproses bunyi-bunyi yang dituturkan oleh penutur, kemudian
menggunakan hasil pemprosesan itu bagi mentafsir perkara yang cuba disampaikan
oleh penutur. Pemprosesan maklumat bahasa melibatkan beberapa tahap yang
bermula daripada penanggapan maklumat deria hinggalah kepada pemahaman ayat-
ayat berdasarkan keperihalan keadaan.

3.1.1 Tahap-tahap dalam proses pemahaman

Terdapat empat tahap dalam proses pemahaman dari menanggap maklumat deria
sehinggalah memperoleh makna. Berikut merupakan tahap-tahap dalam proses
pemahaman.

Menanggap Mengecam dan Membina Memperoleh

Maklumat Mendapatkan Struktur


Makna
Deria Makna Perkataan Ayat

Rajah 2 : Tahap-tahap dalam proses pemahaman

3.1.1.1 Tahap Pertama : Menanggapi Maklumat Deria dan


Pengecaman Kata

Pada tahap ini pendengar yang menerima sesuatu rangsangan bunyi akan
memproses rangsangan atau input bahasa tersebut sehingga terbentuknya perkataan
yang bermakna. Hal ini hampir sama berlaku apabila seseorang membaca sesebuah
teks. Input penglihatan dalam bentuk huruf akan disatukan untuk membentuk
perkataan yang bermakna. Dalam memproses huruf ataupun rangsangan bunyi,
pembaca perlu mengulangi proses pengecaman kata berulangulang kali jika apa
yang dibentuk bukan perkataan yang bermakna. Misalnya perkataan keluas,
sistem pemprosesan maklumat perlu mengulangi proses pengecaman kata sehingga
terbentuk perkataan yang bermakna seperti keluasan. Selepas perkataan-perkataan
dicam dan maknanya diperoleh daripada ingatan jangka panjang, perkataan-
perkataan ini akan dicantumkan untuk membentuk frasa atau ayat-ayat yang memberi
makna yang tertentu.

Input penglihatan

Menyatukan input penglihatan dalam bentuk huruf atau fonem


kepada beberapa suku kata
Menyatukan suku-suku kata menjadi perkataan

Membandingkan perkataan yang telah dibentuk dengan perkataan


yang ada dalam ingatan

Input penglihatan telah dipastikan sebagai perkataan

Mendapatkan makna perkataan

Rajah 3 : Proses pengecaman kata

3.1.1.2 Tahap Kedua : Pembentukan frasa dan ayat

Sesebuah ayat hanya dapat difahami apabila perkataan-perkataan yang


membentuk ayat tersebut digabungkan untuk membentuk frasa, dan seterusnya
membentuk ayat yang bermakna. Perkataan-perkataan harus disusun secara logik dan
gramatis untuk memudahkan proses pemahaman. Seseorang pembaca atau
pendengar akan hanya dapat memahami maksud yang cuba disampaikan oleh
sesebuah ayat, sekiranya dapat memahami subjek dan predikat ayat tersebut.
Menurut Garnham (1985: 5 dalam Zulkifley Hamid, 2006) Perkataan-perkataan dalam
sesebuah ayat tidak disusun secara sewenang-wenangnya, perkataan-perkataan ini
membentuk kelompok yang bermakna, frasa atau klausa. Pembentukan kelompok ini
adalah penting dalam pemahaman ayat. Struktur ayat seperti di bawah:

Contoh ayat : Saya ingin makan nasi goreng.

X Y Z

|------------------------------------|-------------------------------------|

Subjek Predikat

Saya ingin makan nasi goreng

Rajah 4: Struktur sebuah ayat

Dalam proses kefahaman, seseorang pembaca atau pendengar perlu


memahami maklumat yang terkandung di antara X dan Y, iaitu subjek dan
kemudiannya menggabungkan maklumat ini dengan maklumat yang terkandung di
antara Y dan Z, iaitu predikat. Hal ini bermakna frasa saya perlu difahami dan
dikaitkan dengan frasa ingin makan nasi goreng.

3.1.1.3 Tahap Ketiga : Melihat makna ayat dalam wacana

Pemprosesan makna yang hanya merujuk kepada makna perkataan-perkataan


dan perhubungan sintaksis yang dibentuk oleh perkataan-perkataan dalam ayat
kadangkala boleh memberikan makna yang kurang tepat. Penganalisisan sesebuah
ayat di luar daripada konteks atau keperihalan keadaannya boleh menghasilkan bentuk
pentafsiran makna yang salah. Atas alasan inilah Garnham (1958: 6 dalam Zulkifley
Hamid, 2006) menegaskan, sebenarnya adalah salah untuk berhenti setakat makna
ayat. Unit-unit yang lebih besar daripada ayat, iaitu wacana atau teks mempunyai
makna yang melampaui makna ayat-ayat sekiranya dilihat secara terpisah.

Sebagai contoh, dalam sesuatu ceramah agama, seseorang


penceramah mungkin mengatakan, wahai saudara sekalian, ikuti sahajalah apa yang
nafsu kamu ingini tetapi kita akan diadili di akhirat nanti. Ucapan ini tidak bermaksud
menyuruh kita menurut hawa nafsu tetapi ingin mengingatkan kita supaya jangan
terpedaya dengan nafsu jahat. Makna sebenar ucapan di atas tidak mungkin kita
peroleh dengan menganalisis ayat ini dengan tidak merujuk kepada keperihalan
keadaan kewujudannya. Makna hanya dapat difahami dengan betul jika dilihat dalam
tema atau keperihalan sesuatu keadaan dituturkan.

Daripada huraian yang telah dibuat memperlihatkan kepada kita bahawa


pemahaman melibatkan satu urutan pemprosesan. Proses pemahaman
melibatkan penganalisisan makna perkataan-perkataan dan corak hubungan struktur
antara perkataan yang membina sesuatu ayat. Di samping itu, penganalisisan makna
juga melibatkan penentuan makna ayat berdasarkan tema atau keperihalan keadaan.

3.1.2 Ingatan dan Proses Pemahaman

Proses pemahaman melibatkan ingatan. Terdapat tiga jenis ingatan manusia iaitu
ingatan deria, ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang. Dalam proses
pemahaman, ingatan deria berfungsi mempersepsi rangsangan-rangsangan yang
penting dan terdengar. Hanya rangsangan-rangsangan yang penting dan perlu diproses
sahaja yang akan dihantar kepada ingatan jangka pendek. Maklumat yang sudah siap
diproses akan dihantar kepada ingatan jangka panjang untuk disimpan.

Kebolehan seseorang memahami ayat yang didengar atau dibacanya bergantung


kepada bagaimana maklumat yang berhubung dengan ayat tersebut disimpan dalam
ingatan jangka panjang. Sekiranya maklumat tentang ayat yang hendak diproses itu
ada tersimpan dalam ingatan jangka panjang, kita akan dapat memahami ayat yang
didengar itu dengan mudah dan sebaliknya. Maklumat yang tersimpan dalam ingatan
jangka panjang memainkan peranan yang penting dalam proses pemahaman ayat. Hal
ini bermakna maklumat yang cuba disampaikan melalui sesebuah ayat hanya dapat
difahami jika maklumat itu ada tersimpan dalam ingatan pendengar.

3.1.3 Teori-Teori Pemahaman Bahasa

Terdapat beberapa teori yang diperkatakan dalam aspek pemahaman bahasa,


antaranya Teori Imej, Teori Transformasi Generatif dan Teori Strategi.

3.1.3.1 Teori Imej

Teori Imej telah digunakan untuk menghuraikan cara maklumat tersimpan. Menurut
teori ini, pendengar akan membina perwakilan dalaman dalam bentuk hubungan satu
lawan satu dengan objek luaran. Misalnya, ayat yang berbunyi Anjing mengejar seekor
kucing. Pendengar akan membina imej seokor anjing yang sedang mengejar seekor
kucing dalam mindanya. Hal ini bermaksud segala yang dituturkan dianggap sebagai
gambaran tentang perkara yang ada dalam fikiran. Jika rangsangan itu dapat
digambarkan oleh pendengar maka rangsangan itu akan dapat difahami (Foss & Hake,
1978: 137; Clark & Clark, 1977:409). Walau bagaimanapun, teori ini masih terdapat
kelemahan, iaitu persoalan timbul sekiranya perkataan yang digunakan bersifat abstrak.
Sudah tentu sukar untuk dibayangkan.

Disebabkan kelemahan ini, idea struktur dalaman digunakan. Menurut pendapat


ini, ayat dalam ingatan jangka panjang disimpan dalam bentuk struktur dalam ayat
tersebut (Foss & Hakes, 1978: 138). Walau bagaimanapun, Bransford & Franks (dalam
Foss & Hakes, 1978: 140) telah mempersoalkan kesahihan pendapat yang mengatakan
maklumat tersimpan dalam bentuk struktur dalaman. Mereka lebih mementingkan
maklumat yang terkandung dalam sesebuah ayat. Hal ini demikan kerana setiap ayat
akan hilang struktur asalnya. Apa yang disimpan dalam ingatan jangka panjang ialah
maklumat semantik tentang ayat-ayat tersebut. Seterusnya, pelbagai teori dan model
dikemukakan oleh pelbagai sarjana untuk menerangkan proses pemahaman. Antara
teori yang dikemukakan ialah Teori Transformasi Generatif dan Teori Strategi.
3.1.3.2 Teori Transformasi Generatif

Bagi para pendukung Teori Transformasi Generatif, pengetahuan bahasa dan aspek-
aspek yang berkaitan dengan penggunaan pengetahuan ini wujud dalam dua bentuk
atau dua lapisan (Chomsky, 1985 :118). Bentuk yang pertama ialah bentuk yang
bersifat abstrak, iaitu hanya wujud dalam minda atau akal budi seseorang pengguna
bahasa. Oleh sebab bentuk bahasa ini bersifat dalaman, hal ini diistilahkan sebagai
struktur dalaman. Bentuk yang kedua ialah bentuk yang boleh ditanggapi oleh
pancaindera, dan kerana ia boleh ditanggapi secara luaran, bentuk ini dikenali sebagai
bentuk permukaan atau struktur permukaan. Struktur dalaman ialah struktur yang
mengandungi ayat dasar atau ayat inti. Struktur permukaan pula ialah struktur yang
telah pun mengalami perubahan daripada struktur dalamannya dan merupakan bentuk
ayat yang dituturkan oleh seseorang penutur. Misalnya perubahan daripada ayat aktif
kepada ayat pasif.

Menurut Teori Transformasi Generatif, semua ayat pada peringkat struktur


dalaman adalah bersifat dasar, iaitu ayat tunggal aktif yang bersifat penyata. Ayat-ayat
pada peringkat struktur permukaan pula berkemungkinan telah berubah kepada
pelbagai bentuk. Contohnya, ayat pada peringkat struktur permukaan boleh wujud
dalam bentuk ayat pasif atau ayat majmuk seperti ayat majmuk gabungan dan ayat
majmuk pancangan.

Menurut teori ini lagi apabila seseorang mendengar sesebuah ayat, pendengar
tersebut akan membina struktur permukaan ayat tersebut. Seterusnya, ayat yang
berada dalam bentuk struktur permukaan ini akan ditransformasikan tahap demi tahap
sehinggalah terbentuk struktur dalaman atau struktur dasar bagi ayat tersebut.

Ayat Aktif Ayat Pasif

Seluruh rakyat Malaysia Pemimpin asing yang angkuh itu


mengecam pemimpin asing yang dikecam oleh seluruh rakyat
angkuh itu. Malaysia.

Jadual 1: Ayat Aktif dan Ayat Pasif


Berdasarkan contoh di atas, ayat aktif merupakan struktur dalaman atau struktur
dasar manakala ayat pasif pula merupakan struktur permukaan. Sekiranya pendengar
mendengar ayat pasif seperti di atas, mereka akan mentransformasikan ayat tersebut
kepada ayat aktif ataupun bentuk struktur dalamannya.

Menurut teori ini, semasa proses pemahaman, ayat pasif akan ditukarkan atau
ditransformasikan kepada bentuk aktifnya. Teori ini mengandaikan bahawa semua
struktur dalaman bagi semua ayat wujud dalam bentuk ayat aktif dasar. Oleh hal yang
demikian, menurut pandangan teori transformasi, sesebuah ayat yang memerlukan
banyak urutan semasa proses transformasi sebelum sampai kepada bentuk struktur
dalamannya, iaitu bentuk aktif dasar akan memerlukan masa yang lebih lama untuk
difahami berbanding dengan ayat yang tidak memerlukan banyak tahap atau urutan
transformasi.

Berdasarkan pandangan di atas, ayat yang berada dalam bentuk pasif akan
memerlukan masa yang lebih lama untuk difahami berbanding dengan ayat yang
berada dalam bentuk aktif. Hal ini demikian kerana pendengar akan mengambil masa
yang lama untuk mentransformasikan ayat tersebut kepada struktur
dalamannya. Pandangan ini sama seperti Teori Kompleksiti yang Diterbitkan
(Derivational Theory of Complexity). Menurut teori ini, setiap ayat mempunyai struktur
dalaman dan ayat-ayat terbitan dihasilkan daripada struktur dalaman ini.

Seseorang pendengar akan melakukan proses transformasi secara terbalik,


iaitu proses yang bertentangan dengan proses semasa penghasilan atau penerbitan
ayat. Setiap urutan transformasi akan memerlukan masa. Dengan demikian, sesuatu
ayat yang memerlukan urutan transformasi yang lebih banyak akan memerlukan masa
yang lebih lama untuk difahami. Mengikut hokum Transformasi Generatif, struktur
dalaman dan struktur luaran diterbitkan oleh dua rumus tatabahasa. Rumus-rumus
tersebut ialah Rumus Struktur Frasa (RSF) & Rumus Transformasi. RSF akan
membentuk ayat pada struktur dalaman, manakala Rumus Transformasi pula akan
menerbitkan ayat pada peringkat permulaan. Ayat-ayat yang terhasil daripada kedua-
dua bentuk tersebut biasanya tidak mempunyai persamaan. Ayat yang terhasil daripada
struktur dalaman akan menjadi input kepada pembentukan ayat pada peringkat
permukaan. Berikut merupakan urutan proses pemahaman ayat menurut teori
Transformasi Generatif.

Rumus-rumus Fonologi

Rumus-rumus Transformasi

Struktur
Dalaman

Rajah 5 : Urutan proses pemahaman ayat menurut Teori Transformasi Generatif

Terdapat juga segolongan sarjana yang menjurus dalam bidang nahu yang
mempersoalkan pandangan yang mengatakan ayat pasif diterbitkan daripada ayat aktif.
Bagi mereka, ayat pasif sejak daripada awal sememangnya pasif. Penggunaan ayat
pasif merupakan strategi pengguna bahasa untuk menyamarkan atau menyembunyikan
pelaku. Walaupun terdapat beberapa kelemahan, konsep pemprosesan maklumat yang
dikemukakan oleh teori ini merupakan konsep yang mudah untuk difahami dan
munasabah.

3.1.3.3 Teori Strategi

Menurut teori ini, setiap item leksikal dikaitkan dengan maklumat tertentu dalam ingatan
jangka panjang yang juga disebut sebagai kamus mental. Maklumat yang tersimpan
dalam ingatan jangka panjang akan digunakan untuk membina representasi semantik
atau makna bagi sesuatu input ayat. Item-item leksikal yang dianggap paling penting
dalam menentukan struktur input ialah kata kerjanya. Teori ini mencadangkan bahawa
pendengar mendapatkan maklumat mengenai struktur ayat di mana sesuatu kata kerja
itu boleh wujud. Oleh yang demikian, pendengar akan kurang pasti mengenai struktur
sesebuah ayat jika sekiranya kata kerja yang terdapat dalam ayat tersebut, kata kerja
yang mempunyai makna yang taksa. Ayat yang dari segi semantiknya taksa, akan
memerlukan masa yang lebih lama untuk difahami. Kesimpulannya, teori ini lebih
menekankan kata kerja inti sebagai unsur terpenting dalam proses pembentukan
struktur dan makna sesebuah ayat.

3.1.4 Keterhadan Ingatan dan Masalah Pemahaman

Masalah kefahaman timbul apabila ingatan kita khususnya ingatan jangka pendek
menghadapi masalah dalam memproses maklumat. Masalah-masalah ini dapat
dikelompokkan kepada empat punca utama. Keempat-empat punca tersebut dijelaskan
seperti berikut.

3.1.4.1 Masalah pemahaman yang berpunca daripada ketaksaan leksikal


dan struktur

Ketaksaan leksikal hanya melibatkan kata-kata tertentu dalam sesebuah ayat.


Hal ini berlaku apabila sesuatu kata mempunyai lebih daripada satu makna dan setiap
makna menghasilkan pentafsiran yang berlainan untuk sesebuah ayat. Contohnya
perkataan bunga dalam ayat berikut :

Di rumah Pak Abu ada jambangan-jambangan bunga yang sedang


mekar.

Apabila seseorang mendengar ayat di atas, ia terpaksa memilih salah satu


daripada dua makna bagi perkataan bunga, sama ada bunga dalam maksud yang
biasa atau bunga yang dikiaskan untuk anak-anak gadis Pak Abu.
Ketaksaan struktur pula wujud apabila dua atau lebih struktur yang
berlainan dihubungkan dengan satu urutan kata yang serupa. Setiap struktur
mempunyai makna yang berlainan daripada struktur yang lain. Contohnya, apabila
kita membaca ayat berikut, kita dihadapkan dengan beberapa penafsiran yang
berbeza.

Kenangan Oswald menembak masih segar dalam ingatan

Ayat di atas dapat ditafsirkan mempunyai dua maksud yang berlainan. Pertama,
Oswald telah menembak seseorang dan peristiwa itu diingat hingga sekarang. Kedua,
Oswald telah memasuki peraduan menembak. Mata yang diperolehinya sungguh
mengagumkan dan peristiwa yang mengagumkan ini diingat hingga sekarang.
Daripada contoh di atas dapat kita lihat, perkataan yang sama dan disusun dengan
susunan yang sama dapat memberikan maksud yang berlainan.

Persoalannya, mengapakah kita kadangkala sukar untuk mentafsirkan ayat-ayat


yang taksa itu? Mengapakah ingatan manusia tidak dapat memberikan pentafsiran
yang sebanyak mungkin pada sesuatu ketika dan pada masa yang sama memilih
tafsiran yang paling tepat bagi ayat tersebut? Puncanya ialah ingatan jangka pendek
mempunyai daya atau kekuatan pemprosesan yang terhad. Di samping itu,
pemprosesan maklumat mesti melalui satu rangkaian urutan gerak laku yang tetap,
bermula dengan ingatan deria yang bertindak balas terhadap rangsangan bahasa,
sama ada rangsangan penglihatan dan pendengaran. Sesudah ditapis, rangsangan ini
dihantar kepada ingatan jangka pendek ditafsir. Selepas selesai diproses, maklumat itu
dihantar kepada ingatan jangka panjang untuk disimpan.

Ingatan jangka pendek tidak dapat membuat pelbagai pentafsiran serentak.


Pentafsiran dibuat satu persatu. Selepas itu, baru dipilih pentafsiran yang paling tepat.
Inilah puncanya mengapa ayat taksa yang mempunyai pelbagai bentuk pentafsiran
memerlukan masa yang lebih lama untuk ditafsir berbanding dengan ayat-ayat yang
tidak taksa.
3.1.4.2 Masalah pemahaman yang berpunca daripada kerencaman
struktur dan proposisi ayat

Daya pemprosesan ingatan jangka pendek manusia terbatas. Apabila dilampaui


batasan ini, ingatan jangka pendek tidak dapat berfungsi dengan berkesan. Clark &
Clark (1977:137) mengatakan, Ingatan jangka pendek adalah seperti sebuah pita
rakaman yang mempunyai pita yang terhad panjangnya. Pita ini dapat merekod
maklumat dan mengulanginya semula, dengan syarat tidak melebihi kepanjangan pita
yang ada.

Apabila kita membaca ayat-ayat dasar seperti Majnun cinta akan Laila, Hang
Jebat sangat berani dan Ali seorang guru, ayat-ayat ini dapat difahami dengan mudah
kerana strukturnya mudah dan setiap ayat hanya mengandungi satu proposisi Namun,
berbeza dengan ayat berikut:

Dua buah kedai adik kakak ipar abang saya yang dibina oleh datuk adik
kakak ipar abang saya telah dirompak sebelum dibakar.

Ayat tersebut memerlukan masa yang panjang untuk memahami keseluruhan maksud
yang hendak disampaikan. Ayat tersebut mempunyai struktur dan proposisi yang terlalu
rencam dan sukar untuk diproses oleh ingatan jangka pendek. Hal ini dikatakan
demikian kerana ingatan jangka pendek hanya mampu menyimpan setakat tujuh
potong (chunk) maklumat pada satu-satu ketika (Clark & Clark, 1977:137). Satu potong
maklumat merupakan satu proposisi, iaitu satu unit terkod yang boleh memberikan
makna yang lengkap. Dengan kata lain, satu chunk merupakan sebuah ayat mudah
atau ayat selapis.

Ayat terbentuk daripada dua unsur, subjek dan predikat. Hubungan di antara
kedua-dua gatra terbina apabila disatukan dalam sebuah ayat. Sesebuah ayat akan
sukar difahami jika hubungan di antara kedua-dua ini sukar dibentuk. Atas sebab inilah
ayat-ayat yang terlalu panjang atau yang mengandungi proposisi terlalu rencam sukar
difahami. Ingatan jangka pendek menghadapi masalah untuk menghubungkan
maklumat-maklumat yang terkandung dalam kedua-dua gatra ayat.

Struktur sesebuah ayat aktif bahasa Melayu adalah seperti berikut:

A___________________________B_______________________C

Subjek Predikat

Jarak antara titik A dan B mengandungi maklumat-maklumat tentang subjek sesebuah


ayat. Jarak di antara titik B dan C pula mengandungi maklumat-maklumat predikat
sesebuah ayat. Daripada segi nahu, jarak di antara A dan B dan di antara B dan C tidak
ada had. Contohnya, frasa nama bahasa Melayu, iaitu unsur yang membina subjek bagi
sesebuah ayat bahasa Melayu dapat dirumuskan seperti di bawah:

FN (Bil) + (penj. Bil) + N + (N) + (A) + (A)..

Jika sesebuah ayat mengandungi frasa nama subjek yang terlalu rencam, jarak
di antara titik A dan B menjadi jauh. Jarak ini tidak seharusnya melampaui batas daya
pemprosesan ingatan jangka pendek kerana ingatan jangka pendek perlu menyimpan
maklumat-maklumat yang terkandung di antara titik A dan B untuk digabungkan dengan
maklumat yang terkandung di antara titik B dan C. Hal ini demikian kerana, semasa
melakukan pemprosesan, ingatan jangka pendek menyimpan rangsangan-rangsangan
bahasa dalam bentuk mentah. Perkara ini ditegaskan oleh Clark & Clark (1977: 138),
ingatan jangka pendek menyimpan maklumat-maklumat lisan manakala ingatan jangka
panjang menyimpan maknanya.

Sekiranya ingatan jangka pendek tidak dapat menampung maklumat-maklumat


yang terdapat dalam gatra subjek, ingatan jangka pendek akan gagal menghubungkan
maklumat-maklumat ini dengan maklumat-maklumat yang ada dalam gatra predikat.
Apabila keadaan ini berlaku, timbullah masalah dalam pemahaman.
Walau bagaimanapun, ada juga ayat-ayat yang sama panjang tetapi berlainan
darjah kesukaran memahaminya. Perbezaan ini wujud kerana terdapat perbezaan
dalam bilangan proposisi yang dikandung oleh ayat-ayat tersebut. Menurut Kintsch dan
Keenan (dalam Clark & Clark, 1977: 166):

Lebih banyak proposisi yang perlu disimpan dalam ingatan, lebih sukar untuk membaca
dan memahami sesebuah ayat, dan hal ini telah dibuktikan. Untuk perenggan-
perenggan yang mengandungi 15 patah perkataan, masa untuk membaca bertambah
daripada 10 saat untuk perenggan yang mengandungi empat proposisi kepada 15 saat
untuk perenggan yang mempunyai lapan proposisi.

3.1.4.3 Masalah pemahaman yang berpunca daripada kegagalan


mengintegrasikan maklumat dalam sesebuah wacana

Untuk memahami maksud sesebuah perenggan, kita perlu terlebih dahulu memahami
maksud ayat-ayat yang terkandung dalam perenggan tersebut. Maklumat yang
terkandung dalam setiap ayat kemudiannya perlu disatukan untuk membolehkan kita
memahami keseluruhan isi sesuatu perenggan. Kegagalan mengintegrasikan maklumat
yang terkandung dalam ayat-ayat yang menjadi komponen sesebuah perenggan
menyebabkan kegagalan memahami isi perenggan tersebut. Garnham (1985:134)
mengatakan, matlamat utama bagi sistem kefahaman adalah memahami wacana atau
teks. Makna sesuatu wacana bergantung pada erti ayat-ayat yang dikandungnya.

Sesuatu wacana merupakan satu organisasi unsur dan proposisi yang saling
berhubungan yang membentuk satu struktur. Walau bagaimanapun, ayat-ayat yang
terkandung dalam suatu wacana tidaklah bertaraf sama. Sesetengah ayat mempunyai
maklumat inti dan yang lainnya hanya bertindak sebagai penerang. Sesuatu proposisi
yang berada di hieraki teratas representasi lebih berkemungkinan untuk diambil semula
oleh ingatan jangka pendek kerana kedudukannya yang lebih utama dalam struktur
sesebuah cerita.

Semasa pemprosesan sesebuah wacana, ketiga-tiga jenis ingatan berganding


erat. Ayat-ayat yang sudah diproses akan disimpan dalam ingatan jangka panjang.
Ayat-ayat tersebut akan diambil semula apabila timbul keperluan untuk
mengintegrasikan maklumat yang sudah diproses ini dengan maklumat-maklumat yang
baru. Apabila ingatan jangka pendek gagal mengintegrasikan maklumat ini, gagallah
proses pemahaman sesebuah teks. Kegagalan boleh berpunca daripada kelonggaran
struktur teks. Hal ini menyebabkan ingatan jangka pendek yang terhad kemampuannya
tidak dapat mengintegrasikan semua maklumat dengan berkesan.

Penutur dan penulis perlulah membantu ingatan jangka pendek pendengar dan
pembaca dengan mengadakan tanda-tanda saran yang dapat membantu proses
pemahaman mereka. Kata-kata dan frasa yang bertindak sebagai penghubung seperti
walaupun, bagaimanapun, tetapi, seperti yang telah dinyatakan, dengan kata lain,
selain itu dan sebagainya dapat membantu ingatan jangka pendek mengintegrasikan
maklumat.

3.1.4.4 Masalah pemahaman yang berpunca daripada ketidakwujudan


dan keterasingan kosa kata

Kosa kata yang dimiliki disimpan dalam ingatan jangka panjang. Apabila kita
dihadapkan dengan rangsangan-rangsangan bahasa, ingatan deria akan memilih
rangsangan-rangsangan yang penting. Kemudian, rangsangan-rangsangan ini dihantar
kepada ingatan jangka pendek untuk diproses. Semasa pemprosesan, makna
perkataan-perkataan yang terkandung dalam sesuatu rangsangan bahasa perlu
didapatkan daripada ingatan jangka panjang. Kadangkala dalam usaha mendapatkan
makna ini, ingatan jangka pendek menghadapi masalah seperti ketidakwujudan kata di
dalam kamus mental dan keterasingan sesetengah perkataan dalam kamus mental
atau ingatan jangka panjang.

Sesetengah kata lebih penting daripada yang lain semasa pemprosesan


maklumat. Kata-kata yang penting ini ialah kata-kata inti yang membina subjek dan
predikat sesebuah ayat. Kegagalan untuk mendapatkan makna bagi kata-kata utama ini
daripada kamus mental boleh mengakibatkan ketidakfahaman ayat-ayat yang didengar
atau dibaca.

Jumlah dan jenis kosa kata yang dimiliki oleh individu-individu berbeza
bergantung pada taraf pendidikan, pengalaman dan persekitaran sosio budaya. Clark &
Clark (1977: 552) menyatakan petani, tukang kayu, doktor bedah, pemain bola sepak,
tukang masak, setiap kumpulan melalui kepakaran yang mereka miliki, menguasai
sejumlah besar istilah khusus. Kita mungkin mengetahui nama-nama untuk beberapa
bahagian anggota dalaman tubuh manusia, tetapi doktor bedah mengetahui ratusan.

Hal di atas menyebabkan seseorang individu menghadapi kerumitan untuk


memahami pertuturan dari kumpulan yang berbeza pengalaman dan profesion
daripadanya. ketidakwujudan kosa kata khusus yang dimiliki oleh kumpulan-kumpulan
pekerjaan dan profesion tertentu boleh menyebabkan komunikasi antara kumpulan
menjadi sukar.

Sesetengah perkataan lebih kerap digunakan daripada yang lain. Perkataan-


perkataan yang tidak digunakan untuk jangka masa yang terlalu lama akan mengambil
masa yang lebih lama untuk diingat semula. Perkataan-perkataan yang sering
digunakan akan dapat diingat semula dengan lebih cepat. Foss & hakes (1978: 107)
menamai fenomena ini sebagai kesan keterbaruan penggunaan (recency effect).
Mereka mengatakan, Perkataan yang baru digunakan akan lebih cepat diingat semula
daripada perkataan yang telah lama digunakan.
Walaupun ingatan jangka dapat menyimpan maklumat untuk jangka masa yang
lama tetapi perlu sering dirangsang. Perkataan-perkataan yang sudah wujud di dalam
kamus mental tetapi telah tidak digunakan untuk jangka masa yang lama, akan sukar
diingat semula kerana sudah menjadi asing. Perkataan-perkataan yang sudah asing ini,
kalau wujud dalam pertuturan atau teks, boleh melambatkan proses pemahaman.

3.2 Pemahaman Bahasa Menurut Adenan Ayob dan Abdullah Yusof

Menurut Adenan Ayob dan Abdullah Yusof (2010), pemahaman bahasa melibatkan dua
jenis kemahiran, iaitu kemahiran mendengar dan membaca.

3.2.1 Kemahiran Mendengar

Kemahiran mendengar merupakan satu kemahiran asas dan berlaku pada peringkat
penerimaan. Lazimnya, aktiviti mendengar dilakukan pada peringkat awal sekali
bertujuan memungkinkan pembaca memperoleh, memahami dan mentafsir maklumat
semasa proses pendengaran.

Kemahiran mendengar penting kerana merupakan asas yang perlu dimiliki


terutama oleh pelajar kerana kebanyakan maklumat yang disampaikan berbentuk lisan.
Oleh itu, pelajar perlu mendengar dengan teliti dan memberi sepenuh perhatian
memeandangkan maklumat yang diberikan berbentuk abstrak dan konseptual. Input
atau maklumat yang diterima oleh pendengar kadang kala sukar, terlalu banyak, dan
abstrak yang menyebabkan segala input tersebut gagal diproses untuk difahami. Oleh
hal yang demikian, pendengar perlu bersiap sedia lebih awal dengan membuat
pembacaan awal tentang perkara yang akan dibincangkan. Hal ini memperlihatkan
seseorang tersebut cuba memahami isu-isu atau fakta-fakta penting yang akan
dibincangkan. Pendengar perlu memberikan perhatian pada perkataan penting seperti
yang penting ialah atau sebab-sebabnya ialah.
Sebagai pendengar juga, jika ada input yang diberikan tidak difahami, tidak jelas
atau timbul kemusyikilan, perlu bertanya soalan untuk mendapatkan jawapan yang
pasti. Proses memperoleh dan mamahami sesuatu maklumat tidak akan berkesan
sekiranya pendengar hanya mendengar kerana proses ini perlu berlaku secara dua
hala. Selain itu, pendengar juga perlu mengambil nota dengan baik kerana akan
membantu pendengar untuk mengingat kembali input yang diberikan. Nota yang baik
akan membantu untuk memahami perkara yang dipelajari. Nota yang baik juga
menandakan pendengar tersebut memahami input yang disampaikan.

3.2.1.1 Proses Mendengar

Bagi memproses pelbagai jenis maklumat, terdapat empat langkah utama yang
perlu dilalui oleh pendengar. Hal ini dapat dijelaskan melalui rajah berikut:

LANGKAH 1
Pendengar memberi tumpuan dan perhatian
sepenuhnya semasa mendengar.

LANGKAH 2
Pendengar menganalisis perkara yang didengar
sama ada idea atau fakta secara satu persatu.

LANGKAH 3
Pendengar memahami idea dan fakta yang
didengar.

LANGKAH 4
Pendengar memberi tindak balas terhadap perkara
yang didengari.
Rajah 6: Proses Mendengar

Berdasarkan langkah yang dijelaskan di atas dapat dihuraikan bahawa


sebelum sampai kepada tahap penerimaan atau pemahaman, pendengar perlu
melalui beberapa langkah yang penting. Langkah pertama, iaitu pendengar perlu
member tumpuan yang sepenuhnya semasa mendengar guru atau pengucap
sedang bercakap. Pada peringkat ini, pendengar perlu mengelakkan sebarang
gangguan semasa proses mendengar kerana apa-apa jua gangguan akan
menghilangkan konsentrasi. Hal ini akan menyebabkan perkara yang ingin
didengar tidak dapat difahami dengan baik.

Langkah kedua pula pendengar perlu menganalisis perkara yang


didengar sama ada idea atau fakta yang didengarinya satu persatu. Hal ini
bermaksud apabila pendengar mendengar ayat berikut Projek untuk memperlebar
jalan menelan belanja sebanyak RM1 juta, pendengar perlu menganalisis idea atau
fakta secara satu persatu. Berdasarkan contoh ayat berikut terdapat beberapa perkara
penting, iaitu:

i. Projek

ii. memperlebar jalan

iii. menelan belanja

iv. RM1 juta

Melalui contoh di atas pendengar perlu menganalisis perkara yang


didengarinya satu persatu seperti yang dijelaskan di atas. Hal ini untuk memudahkan
pemahaman pendengar. Namun, ayat itu bukan didengar secara berasingan tetapi
secara keseluruhan.
Seterusnya, pada langkah ketiga pendengar perlu memahami perkara
yang didengarinya. Tahap pemahaman ini menentukan tindakan yang akan
diambil oleh pendengar. Proses ketiga ini ada kaitan yang rapat dengan proses
keempat, iaitu sama ada pendengar memberi tindak balas terhadap perkara yang
didengari ataupun tidak. Pada peringkat ini yang memperlihatkan sama ada pendengar
dapat memahami apa yang didengari ataupun tidak. Sekiranya pendengar
memberi tindak balas terhadap perkara yang didengari, pendengar cenderung
untuk memperlihatkan bahawa pendengar tersebut faham melalui tindakan
bertanya soalan, mencatat nota dan sebagainya.

3.2.1.2 Kemahiran Mendengar di Bilik Darjah

Menurut Adenan Ayob dan Abdullah Yusof (2010), semasa berada di bilik darjah,
terdapat lima kemahiran yang perlu diaplikasi oleh pendengar, iaitu:

i. Pendengar perlu memberi tumpuan pada bidang yang diajar. Dalam hal ini, pendengar
perlu memastikan bahawa apa-apa tajuk yang dipelajari perlu dikaji dan dilihat kembali.
ii. Pendengar perlu menyoal sama ada menyoal diri sendiri mahupun guru. Antara soalan
yang ditanya pada diri ialah Apakah isi penting?, Apakah maksudnya? dan
sebagainya. Soalan yang ditanya kepada guru pula ialah perkara-perkara yang tidak
difahami dengan baik.
iii. Pendengar perlu mengelakkan reaksi emosi yang timbul melalui penggunaan
perkataan-perkataan tertentu yang akan menyebabkan fokus pendengar akan hilang.
Hal ini akan menyebabkan gangguan dalam proses memperoleh dan memahami input.
iv. Pendengar tidak boleh mengkritik guru disebabkan penampilannya atau fizikalnya
kerana input yang diperkatakan tidak berkaitan dengan perkara tersebut. Pendengar
perlu menjadikan tajuk yang didengar menarik dan jangan sekali-kali menganggap tajuk
yang diperkatakan membosankan.
v. Perkara utama yang menjadi tumpuan pendengar ialah kebolehan mengambil idea-idea
utama dan perincian bahan yang disampaikan serta dikaitkan dengan tajuk.
Secara keseluruhannya menyatakan bahawa pendengar yang baik
mampu mendengar apa-apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain, mampu
memahami maksud dan dapat mentafsir apa-apa yang didengari dengan cepat.
Memang tidak dinafikan bahawa pendengar yang baik mampu mengamalkan
cara mendengar aktif supaya maklumat yang diterima dapat diproses bagi tujuan
pemahaman, penemuan dan sebagainya.

3.2.1.3 Strategi Mendengar yang Baik

Memang tidak dinafikan bahawa kemahiran mendengar sangat penting


dalam menentukan pemahaman seseorang. Pendengar perlu mempunyai strategi-
strategi tertentu supaya maklumat yang diterima mudah diproses dan disimpan
dalam ingatan jangka panjang.

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pendengar adalah


memerhatikan gaya penyampaian. Gaya penyampaian seseorang sangat penting
dan merupakan sebahagian daripada sumber untuk mendapat maklumat yang
didengar. Pendengar perlu mendengar dengan teliti dan memastikan guru
menggunakan nada suara atau gerak badan untuk menunjukkan tekanan pada
bahagian-bahagian atau isi-isi tertentu.

Selain itu, pendengar perlu mendengar secara kritis dengan mengambil


kira perkara-perkara tersembunyi di sebalik penggunaan perkataan-perkataan
tertentu. Pendengar perlu mendengar dengan baik sama ada seseorang bercakap
tentang fakta atau pandangan.

Pendengar juga perlu mengetahui beberapa perkara penting yang


telah dihuraikan untuk menjadi pendengar yang baik. Pendengar yang baik mampu
mendengar apa-apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain dan mampu
memahami maksud serta mentafsir perkara yang didengar dengan cepat. Bagi
memproses sesuatu maklumat, pendengar perlu merancang perkara yang
didengar supaya dapat menerima bahan yang diharapkan. Bagi mencapai tujuan
tersebut, pendengar perlu menguasai kemahiran-kemahiran tertentu seperti
mendengar sepenuh perhatian, mengemukakan soalan kepada diri sendiri dan
guru, bersedia lebih awal, dan mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan
emosi semasa mendengar. Pendengar yang baik juga mampu mengetahui dan
mengamalkan cara mendengar yang aktif supaya maklumat yang diterima dapat
diproses bagi tujuan pemahaman, penemuan dan sebagainya.

3.2.2 Kemahiran Membaca

Menurut Mariam Buyung (1981 dalam Adenan Ayob dan Abdullah Yusof, 2010),
membaca ialah proses mengenal dan menterjemah simbol bertulis kepada bunyi-bunyi
suara dan memahami makna yang terkandung dalam bahan-bahan yang tertulis dan
bercetak. Melalui pembacaan, seseorang pembaca akan memperoleh sebahagian
besar makluman daripada bahan bertulis. Tidak dinafikan bahawa pembacaan
dilakukan untuk memperoleh maklumat dan untuk pemahaman. Oleh hal yang
demikian, pembacaan adalah proses yang memungkinkan akal budi
mempertingkatkan kefahamannya dengan perkataan-perkataan yang terdapat dalam
bahan bacaan.

Sebelum kemahiran membaca dapat ditingkatkan dengan berkesan, pembaca


perlu memahami pelbagai peringkat pembacaan dan perbezaan bagi setiap peringkat
tersebut agar input yang diperoleh mudah diproses.

Peringkat Permulaan atau Dasar


Pelajar mempelajari pada peringkat persekolahan. Pembaca
menghadapi masalah ketika hendak membaca sesuatu yang
ditulis dalam bahasa asing yang tidak dikuasai dengan baik.
Dalam keadaan ini, usaha pertama adalah mengenal makna
kata-kata satu-persatu baharulah dapat difahami sepenuhnya.
Peringkat Hubungan dengan Waktu
Pembaca diberikan jumlah waktu tertentu untuk menyelesaikan
pembacaan. Pembacaan pada peringkat ini bertujuan
menemukan sebanyak mungkin cirri-ciri sesebuah buku dalam
waktu tertentu.

Peringkat Analitis
Peringkat ini jauh lebih sukar daripada dua peringkat di atas.
Pembacaan dilakukan secara tuntas dan baik. Pembacaan
analitis merupakan pembacaan yang lebih giat dan pembaca
perlu memahami sebuah buku sepenuhnya tanpa batas waktu.
Pembacaan peringkat ini adalah untuk memperoleh
pemahaman bukan memperoleh maklumat.

Peringkat Bandingan
Pembaca tidak sekadar membaca sebuah buku tetapi
beberapa buah buku dan melihat hubungan buku-buku dengan
yang lain. Hubungan mungkin tentang sesuatu persoalan
sehingga pembaca memperoleh pemahaman yang
menyeluruh.

Rajah 7: Peringkat Pembacaan


(Sumber: Diubah suai daripada Adenan Ayob dan Abdullah Hassan)

4.0 Strategi dalam Memahami Ujaran

Menurut Soenjono Dardjowidjojo (2005), dalam memahami sesuatu ujaran, terdapat


tiga faktor yang berkaitan, iaitu :
4.1 Faktor yang berkaitan dengan pengetahuan dunia

Sebagai anggota masyarakat, kita telah hidup bersama dengan alam sekitar kita. Alam
sekitar ini memberikan kepada kita pengetahuan-pengetahuan tentang kehidupan di
dunia. Sebahagian dari pengetahuan ini bersifat universal sedangkan sebahagian yang
lain khusus mengenai masyarakat tempat kita tinggal. Pengetahuan umum bahawa ikan
paus berbadan besar membuat kita menganggap ikan paus yang mempunyai saiz
seekor ikan jerung adalah ikan paus kecil. Sebaliknya, pengetahuan kita bahawa semut
berbadan kecil membuat kita berkata bahawa semut yang panjangnya dua sentimeter
adalah semut yang besar. Dengan demikian, ungkapan ikan paus kecil dan semut
besar harus difahami dalam konteks tentang pengetahuan dunia.

Pengetahuan tentang dunia yang sifatnya tidak universal adalah pengetahuan


yang spesifik terdapat budaya atau masyarakat tertentu. Dalam masyarakat Jawa,
misalnya, ada perhitungan hari yang berdasarkan kalendar Jawa. Menurut kalendar
Jawa, satu minggu itu terdiri daripada lima hari, iaitu pon, paing, manis, wage, dan
kliwon. Dalam kombinasinya dengan kalendar nasional yang terdiri dari tujuh hari akan
ada suatu hari Khamis yang bercampur dengan wage. Khamis wage itu adalah Khamis
sebelum Jumaat, dan Jumaat sesudah Khamis wage adalah Jumaat kliwon. Dalam
budaya Jawa, malam Jumaat kliwon (yakni, Khamis wage malam) adalah malam yang
menyeramkan kerana pada malam ini banyak setan, jin, dan orang halus lain
menampakkan diri. Hubungannya dengan kefahaman bahasa adalah jelas, iaitu suatu
ayat yang berbunyi Ini malam Jumaat kliwon, kan? harus difahami sebagai suatu
pertanyaan yang mempunyai implikasi spiritual yang menakutkan.

4.2 Faktor Sintaktik

Seperti yang diketahui, ayat terdiri daripada konstituen. Konstituen ini juga memiliki
struktur tertentu. Struktur konstituen inilah yang membantu kita memahami ujaran.
Dengan perkataan lain, kita menggunakan strategi-strategi sintaktik bagi membantu kita
memahami suatu ujaran. Strategi-strategi ini adalah:

i. Apabila kita mengenal pasti perkataan pertama daripada suatu konstituen yang kita
dengar, proses mental kita mulai mencari perkataan lain yang selaras dengan
perkataan pertama dalam konstituen tersebut. Seandainya perkataan pertama yang kita
dengar adalah orang, maka kita mencari perkataan lain yang secara sintaktis boleh
berkolokasi dengan perkataan ini. Perkataan-perkataan ini boleh jadi tua, besar, bodoh,
atau cantik. Proses seperti ini terjadi kerana kita sebagai penutur asli bahasa Melayu
secara intuitif tahu bahawa perkataan seperti orang hampir selalu diikuti oleh sesuatu
yang lain untuk boleh menjadi suatu konstituen.
ii. Setelah mendengar perkataan yang pertama dalam suatu konstituen, perhatikan
apakah perkataan berikutnya mengakhiri konstruksi itu. Seandainya setelah
perkataan orang muncullah perkataan yang, maka kita membuat kesimpulan bahawa
konstruksi orang yang tidak mungkin membentuk suatu konstituen. Oleh sebab itu,
benak kita masih mengharapkan adanya perkataan atau perkataan-perkataan lain yang
mengikutinya lagi. Hal ini disebabkan secara intuitif kita juga tahu bahawa
perkataan yang pastilah membentuk ayat kecil, maka kita mengharapkan munculnya
ayat kecil itu. Apabila ayat kecil tadi muncul, misalnya, Orang yang mencari kamu
legalah kita kerana dengan adanya ayat kecil ini maka terciptalah suatu FN.
iii. Apabila mendengar suatu kata kerja, carilah jenis serta bilangan argumen
yang selaras dengan kata kerja tersebut. Jikalau kata kerja yang kita dengar
adalah, kata kerja menjahit, maka kita pasti mengharapkan adanya satu
argumen, iaitu benda yang dijahit. Oleh sebab itu, setelah kita mendengar
ungkapan Dia menjahit pastilah kita mengharapkan sebuah kata nama
seperti baju atau seluar kerana tidak mungkin ada suatu ayat yang berakhir dengan
kata kerja.

iv. Kewujudan ayat adalah dalam bentuk linear sehingga perkataan yang
mengikuti biasanya menjelaskan perkataan yang mendahuluinya. Sebagai
contoh dalam ayat baju kurung tradisional masyarakat Malaysia. Proses-proses
perkembangan fikiran adaah seperti berikut:
(a) Ini apa? baju,

(b) baju apa? baju kurung;

(c) baju kurung apa? baju kurung tradisional;

(d) tradisional masyarakat apa? tradisional masyarakat Malaysia.

v. Gunakanlah perkataan atau konstituen pertama daripada suatu klausa


bagi mengenal pasti fungsi klausa tersebut. Seandainya kata yang kita dengar
adalah jikalau, meskipun, atau ketika, maka pastilah akan ada klausa utama
dalam ayat tersebut. Contohnya, Jikalau kamu setuju,

vi. Dalam bahasa Melayu juga, imbuhan dapat memberikan bantuan dalam
pemahaman.Contohnya dalam ayat berikut:

Ayat 1 : Ahmad mengahwini Suraya.

Ayat 2 : Ahmad mengahwinkan Suraya

Dalam bahasa lisan, pemahaman seseorang itu dalam mengerti


mengahwini dan mengahwinkan adalah bergantung pada akhiran yang
digunakan.Penggunaan akhiran -i kita fahami bahawa Ahmad berkahwin dengan
Suraya manakala dengan imbuhan kan kita fahami bahawa Ahmad akan
mewalikan Suraya.

4.3 Faktor Semantik

Di samping strategi sintaktik, orang juga menggunakan strategi semantik dalam


memahami ujaran. Berikut adalah beberapa strategi semantik yang digunakan:

4.3.1 Menggunakan akal dalam memahami ujaran

Kita hidup dalam masyarakat yang memiliki persepsi yang sama tentang pelbagai
perkara. Misalnya, semua orang memahami bahawa di dunia ini anjing mengejar
kucing, dan bukan sebaliknya. Dengan pengetahuan seperti ini maka jikalau kita diberi
proposisi yang berkaitan dengan seekor kucing, seekor anjing, dan perbuatan
mengejar, pastilah kita berfikir bahawa ayat yang kita dengar adalah Anjing itu
mengejar kucing dan bukan Kucing mengejar anjing. Apabila kita terdengar ayat
Kucing mengejar anjing pastilah kita hairan.

4.3.2 Cari konstituen yang memenuhi syarat-syarat semantik tertentu

Jikalau kita mendengar perkataan mencarikan, pastilah muncul dalam benak kita
konsep-konsep semantik yang berkaitan dengan perkataan ini, iaitu (a) mesti ada
pelaku perbuatan, (b) mesti ada objek yang dicari, dan (c) pasti ada orang lain yang
dicarikan. Dengan demikian, jikalau ayat yang kita dengar hanyalah Dia sedang
mencarikan anaknya pastilah kita masih mengharapkan adanya kelanjutan daripada
ayat itu kerana kata kerja mencarikan belum lengkap jikalau hanya diikuti oleh orang
yang mendapat manfaat. Jikalau ayat yang kita dengar adalah Dia sedang mencarikan
pekerjaan. Terdapat dua pengertian yang boleh difahami, iaitu pekerjaan itu bukan
untuk dia sendiri, dan oleh sebab itu pasti ada orang lain yang sedang dia carikan
pekerjaan itu, meskipun hal ini tidak dinyatakan secara eksplisit.

4.3.3 Urutan kata

Apabila ada urutan kata KN + KK + K N, maka KN yang pertama adalah pelaku


perbuatan, kecuali ada tanda-tanda lain yang mengingkarinya. Dalam ayat Dia
melanggar polis, dia adalah pelaku perbuatan. Namun, bila kata kerjanya telah ditandai
dengan imbuhan tertentu, misalnya, awalan di, sehingga ayatnya menjadi Dia dilanggar
polis perkataan dia tidak lagi menjadi pelaku perbuatan. Dalam bahasa Inggeris, begitu
kita mendengar perkataan the man pasti kita mengira orang itu sebagai pelaku dan
mengharapkan adanya kata kerja perbuatan. Akan tetapi, kemudian yang muncul
adalah verba was. Kita masih mengharap adanya kata kerja perbuatan seperti beating
atau eating. Akan tetapi, apabila yang muncul kemudian ternyata adalah kata kerja
beaten maka hilanglah harapan kita akan munculnya N sebagai pelaku perbuatan.
4.3.4 Maklumat lama biasanya mendahului maklumat baharu

Dalam kita bercakap, terdapat informasi-informasi yang kita anggap ada pada
kesedaran si pendengar pada saat dia mendengar. Informasi seperti ini dinamakan
informasi lama. Setelah informasi lama dinyatakan, barulah informasi baharu diberikan.
Sewaktu kita berkata Ahmad menikahi Suraya pada 19 Januari 2011 pastilah kita
berandaian bahawa pendengar menyedari bahawa rujukan yang dimaksud dengan
Ahmad. Hal ini adalah informasi lama yang diandaikan diketahui oleh pendengar.
Setelah informasi lama ini disampaikan, pembicara memberikan informasi baharu, iaitu
orang tersebut menikahi Suraya pada 19 Januari 2011.
Apabila urutannya bukan informasi lama dan informasi baharu, biasanya ada tanda-
tanda sintaktik yang muncul. Perhatikan ayat berikut Surayalah yang dinikahi Ahmad
Januari 2011.
Dalam ayat ini terasa bahawa yang diberitakan (yang merupakan informasi baharu)
adalah mengenai Suraya. Dalam ayat seperti, informasi baharu mendahului informasi
lama ayatnya memiliki penanda khusus seperti adanya partikel lah, munculnya kata
relatif yang, dan munculnya awalan pasif di. Dari gambaran di atas jelas bahawa baik
strategi sintaktik mahupun strategi semantik diperlukan untuk memahami ujaran.

5.0 Kesimpulan

Ringkasnya, terdapat hubungan yang erat antara ingatan dan proses pemahaman.
Masalah kefahaman selalunya berpunca daripada masalah yang dihadapi oleh ingatan
semasa memproses maklumat. Bagi mengelakkan berlakunya masalah-masalah dalam
pemahaman, penutur atau penulis perlu memastikan agar bahasa yang digunakan
mampu diproses oleh ingatan pendengar atau pembaca yang menjadi sasaran
penyampaian mereka. Kosa kata dan gaya bahasa yang digunakan harus disesuaikan
dengan keupayaan pendengar atau pembaca. Penggunaan gaya bahasa yang hebat
dengan kosa kata yang jarang didengar boleh menyebabkan kerumitan dalam proses
pemahaman. Hal ini tidak boleh dipandang enteng oleh para guru khasnya dalam
proses pengajaran dan pembelajaran bahasa bersama-sama pelajar di dalam kelas.
Amat penting bagi guru untuk memastikan setiap isi pelajaran yang disampaikan dapat
difahami oleh pelajar. Jika ilmu yang disampaikan tidak difahami oleh pelajar maka
dapat dikatakan objektif pengajaran guru tidak tercapai pada ketika itu. Oleh hal yang
demikian, kaedah, pendekatan dan strategi yang digunakan oleh guru dalam proses
pengajaran dan pembelajaran haruslah bersesuaian dengan tahap kebolehan pelajar.

Anda mungkin juga menyukai