Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI PROGRAM BINA INSAN GURU SIRI III/2013 LAWATAN

BENCHMARKING KE SEKOLAH KEBANGSAAN ISLAH, KOTA BHARU,


KELANTAN.

Nama: Siti Aisyah Bt Khalid

No.k/p: 910511-02-5908

Pada hari khamis bertarikh 7 Februari 2013, kumpulan guru pelatih PISMP
Pendidikan Khas (PK) Semester 5 telah menjalankan Program Bina Insan Guru (BIG) di
Sekolah Kebangsaan Islah, Kota Bharu, Kelantan. Kami telah jalankan Program
Benchmarking iaitu lawatan ke sekolah cemerlang untuk mengetahui pengurusan dan
pencapaian yang pernah dicapai oleh sekolah tersebut. Kami bertolak dari IPG Kampus
Kota Bharu seawal 7.00 pagi dan tiba di Sekolah Kebangsaan Islah pada jam 8.00 pagi.
Kedatangan kami di sekolah disambut baik oleh Guru Besar sekolah tersebut.
Persembahan silat dan dikir barat oleh pelajar SK Islah dipersembahkan kepada kami
setibanya kami di sana. Saya berasa sangat terharu kerana dilayan seperti Yang
Berhormat. Layanan yang sangat baik dan menarik menambahkan lagi rasa hormat
saya terhadap guru-guru di SK Islah.

Selepas selesai persembahan, kami dibawa melawat ke Galeri Warisan SK Islah.


Terdapat banyak maklumat mengenai sekolah untuk menambahkan pengetahuan saya.
Semasa melawat galeri warisan, saya dapat mengetahui sejarah penubuhan sekolah
tersebut, pencapaian sekolah dari dahulu hingga sekarang, aktiviti-aktiviti yang pernah
diajalankan, tokoh-tokoh murid, bekas kakitangan yang berjasa dan banyak lagi. Kami
juga mengambil kesempatan untuk menjalankan sesi soal jawab mengenai maklumat-
maklumat yang dipamerkan di galeri tersebut. Hasil dari soal jawab saya dengan Guru
Besar, beliau mengatakan bahawa SK Islah dahulunya adalah sebuah Sekolah Agama
Rakyat yang tersohor di Kota Bharu dan sekarang SK Islah tersohor sebagai sekolah
rendah cemerlang di Kota Bharu. Pada tahun 2012, seramai 74 orang murid telah
mencapai keputusan 5A dalam UPSR dan hal ini tidak menafikan Sk Islah adalah
antara sekolah rendah yang mencapai tahap cemerlang di Kota Bharu.
Setelah selesai melawat, Guru Besar menjemput kami menuju ke bilik
mensyuarat. Di sana, Guru Penolong Kanan menerangkan sedikit sebanyak mengenai
pengurusan dan pentadbiran sekolah, pencapaian sekolah, strategi yang digunakan
oleh guru-guru Sk Islah bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar dan banyak lagi.
Melalui penerangan yang disampaikan oleh beliau, banyak input yang diperolehi oleh
saya dan rakan-rakan guru pelatih yang lain. Saya dapat mengetahui strategi-strategi
yang digunakan oleh guru-guru di SK Islah bagi meningkatkan pencapaian murid
seperti melaksanakan pembejaran masteri, selalu mengadakan kuiz, mengadakan
kelas tambahan, melayan pelajar secara sama-rata, melaksanakan sesi kaunseling
bersama ibu bapa pelajar untuk mengkhabarkan pencapaian anak mereka dan banyak
lagi. Menurutnya lagi, strategi-strategi yang dijalankan sangat berkesan jika guru bijak
melaksanakannya di sekolah. Hal ini menambahkan lagi rasa kagum saya terhadap
guru-guru SK Islah yang bijak melaksanakan strategi sehingga berjaya manambahkan
peratus bilangan pelajar yang mencapai 5A dalam UPSR.

Selesai sesi penerangan oleh Guru Penolong Kanan, kami dijemput untuk
minum pagi. Kami dihidangkan dengan nasi tupang yang sememangnya sangat
terkenal di negeri Kelantan. Saya sangat teruja kerana dapat menikmati kelazatan nasi
tupang yang sebelum ini belum pernah saya rasai. Selesai minum pagi, sesi
penerangan mengenai hal-hal berkaitan sekolah disampaikan oleh Guru Besar. Kami
juga menjalankan sesi soal jawab dalam majlis tersebut bagi menambahkan maklumat
yang belum diketahui. Kami diberitahu bahawa Sk Islah mempunyai Kelab Pailot yang
rata-ratanya tidak pernah terdapat di sekolah-sekolah lain. Ianya sangat menarik bagi
kami. Guru besar mengatakan bahawa tujuan kelab ini ditubuhkan adalah untuk
memupuk minat pelajar dalam membimbing sesuatu kumpulan dalam jumlah yang
ramai. Seperti juruterbang juga, mereka perlu membawa sejumlah penumpang ke
sesuatu destinasi dengan selamat. Melalui kelab ini saya rasa ianya dapat memupuk
sikap tanggungjawab seseorang pelajar terhadap sesuatu tugas yang diberikan bagi
membimbing sejumlah pelajar yang lain.
Selepas itu, pada pukul 11.00 pagi, kami dibawa melawat ke sekitar sekolah.
Kami dibawa melawat ke makmal-makmal yang terdapat di sekolah seperti makmal
sains, makmal komputer, makmal kemahiran hidup. Kami juga melawat perpustakaan
sekolah, kelas pra-sekolah dan banyak lagi. Susunan tempat di kawasan sekolah ini
sangat strategik, hal ini dapat memudahkan guru-guru, murid-murid serta pelawat untuk
bergerak. Semasa melawat ke sekitar sekolah, kami diberi peluang untuk beramah
mesra bersama kanak-kanak pra-sekolah dan pelajar tahun 1. Sememangnya mereka
sangat gembira dan menyambut kedatangan kami dengan begitu mesra.

Selesai melaksanakan lawatan di sekitar sekolah, kami menuju semula ke bilik


mesyuarat bagi melaksanakan majlis penutup. Pensyarah yang hadir merasmikan
majlis penutup ialah Encik Wan Zil, selaku wakil penyelaras Program Bina Insan Guru
dan pensyarah pembimbing kami, Encik Halim Bin Wan Ibrahim serta guru besar
Sekolah Kebangsaan Islah. Majlis penutup telah berakhir pada pukul 1.00 petang.
Selepas selesai majlis penutup, kami dijemput ke kantin sekolah untuk makan tengah
hari.

Sebelum pulang, semua guru pelatih yang hadir diminta melakukan post mortem
bersama pensyarah pembimbing bagi mendapatkan maklum balas tentang perjalanan
program pada hari tersebut. Antara perkara yang diutarakan dalam post mortem
tersebut ialah protokol, keberkesanan program, kelemahan dan kelebihan program dan
sebagainya. Selesai post mortem, kami semua pulang ke IPG Kampus Kota Bharu
dengan menaiki bas IPG dan sampai tepat jam 2.30 petang. Walaupun penat dan letih
pada hari itu, tapi saya berasa sangat berpuas hati dan seronok kerana dapat
melaksanakan program BIG dengan lancarnya dan mendapat 1001 pengalaman yang
mungkin tidak dapat diperolehi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) seharian.
Kenangan melakukan program di Sekolah Kebangsaan Islah mungkin tidak akan saya
lupakan. Segala kemahiran dan pengalaman yang diperolehi daripada program Bina
Insan Guru (BIG) ini akan saya aplikasikan dalam kehidupan seharian dan dalam usaha
menjadi seorang bakal guru yang kompeten suatu hari nanti. InShaaAllah.

Anda mungkin juga menyukai