Anda di halaman 1dari 4

Berinteraksi Dengan Hadis

Hadis adalah apa sahaja yang berkenaan atau berasal daripada Rasulullah saw. Ianya
mungkin dalam bentuk ucapan atau sabdaan Nabi saw, perbuatan baginda
atau taqrir (persetujuan atau sebaliknya). Istilah Hadis dan Sunnah telah digunakan
secara bersilih-ganti kepada kebanyakan ulama.

Menurut Maulana Muhammad Asri bin Yusoff (dalam artikel beliau, Kedudukan Hadis
Sebagai Rujukan Kedua), hadis juga merupakan wahyu yang diturunkan daripada
Allah s.w.t. selain daripada Al-Quran. Bezanya ialah Al-Quran dalam istilah ulamak
dinamakan Al Wahyu Al Jali dan Al Hadis ialah Al Wahyu Al Khafi atau Al Quran
dinamakan dengan Al Wahyu Mathlu dan Al Hadits dinamakan Al Wahyu Al Ghairu Al
Mathli. Hakikat ini dapat dilihat di dalam ayat-ayat berikut :
Firman Allah s.w.t. bermaksud : Tidak kami tentukan kiblat yang dahulu kamu
mengadapnya melainkan supaya kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikut
Rasul dan siapa yang membelot. (Al Baqarah:143)
Ketentuan supaya berkiblat kepada Baitulmaqdis tidak terdapat di dalam Al Quran. Jadi
tentu sekali ketentuan itu sampai kepada Rasulullah s.a.w. melalui saluran yang lain dan
itulah dia saluran Wahyu Khafi atau Al Hadits. Rujukan artikel beliau untuk
penjelasan lanjut.

Umat Islam telah dilatih agar apabila dibaca dalil/nasihat al-Quran atau al-Hadis,
mereka akan mendengar dengan penuh perhatian, seterusnya melaksanakan apa yang
disebut oleh dalil tersebut. Ini adalah kerana mereka amat jelas bahawa ayat-ayat
tersebut bukan sebarangan perkataan dan bukan buku-buku biasa. Ianya adalah Firman
Allah taala atau Sabda Rasulullah saw, ianya bersumberkan wahyu. Perkataan-perkataan
tersebut sarat dengan nilai-nilai kudus yang tidak tertanding oleh mana-mana teks lain
di dunia fana ini, hatta dikumpulkan semua sekalipun. Justeru, interaksi mereka dengan
nas al-Quran dan al-Hadis adalah dengan penuh penghayatan. Mereka amat sedar
bahawa nasihat al-Quran dan al-Hadislah yang akan memberi kejayaan sebenar hidup di
dunia dan di akhirat;

An-Nuur 51: Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman
ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim
memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan
kami taat" dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.

Justeru itulah, para sahabat menerima apa sahaja yang disampaikan berkenaan sunnah
Rasulullah saw tanpa banyak pertanyaan. Begitu banyak catatan sirah berkenaan
dengan sikap benar sahabat dalam berinteraksi dengan sunnah atau hadis Rasulullah
saw:




. .
Berkenaan (Sayyidina) Umar ra, sesungguhnya beliau apabila tiba ke tempat batu hitam
(Al-Hajaratul Aswad) lalu mengucupnya. Dan beliau berkata, sesungguhnya aku tahu
bahawa engkau adalah seketul batu, tidak berfaedah dan tidak juga memudharatkan,
dan kalaulah tidak aku melihat Baginda Rasulullah saw mengucupmu nescaya aku tidak
mahu mengucupmu.

Justeru, untuk mendapat kebaikan yang banyak daripada sumber wahyu al-Quran dan
al-Hadis, kita hendaklah menerimanya dengan penuh perhatian, tidak seperti membaca
bahan-bahan bacaan ringan. Cubalah teliti apa yang hendak disampaikan dan berusaha
setakat yang termampu untuk menunaikan apa yang disarankan oleh sumber maha
berharga tersebut.

Belajar Ilmu Hadis

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Bagaimana Berinteraksi dengan al-Sunnah


menulis bahawa,
Al-Sunnah adalah tafsiran praktis bagi al-Quran juga sebagai perlaksanaan yang benar
dan unggul bagi Islam. Sesiapa yang ingin mengetahui manhaj praktis Islam dengan
ciri-ciri dan rukun-rukunnya, hendaklah ia mengetahui secara detail penjelmaannya
dalam al-Sunnah al-Nabawiyyah sama ada melalui Sunnah Qawliyyah (perkataan-
perkataan Rasulullah saw), Amaliyyah (perbuatan) dan Taqririyyah (pengakuan).

Justeru, umat Islam perlu mempelajari ilmu hadis untuk mendapat kebaikan maksimum
hidup beragama. Ilmu hadis adalah merujuk kepada ilmu yang digunapakai untuk
mengetahui dan menilai kedudukan serta martabat sesebuah hadis melalui ilmu riwayah
dan dirayah-nya. Ilmu hadis riwayat merangkumi rangkaian perawi, penjagaan lafaz,
pemindahan dan pengambilan hadis yang sahih dan terjaga. Ilmu hadis dirayah
membincangkan kedudukan hadis dari segi matan; sama ada dari segi ila (kecacatan),
pertentangan/pencanggahan dan sebagainya.

Mempelajari ilmu hadis akan memberi banyak kebaikan, apatah lagi mendalaminya.
Kekeliruan masyarakat, fitnah (saling menyalahkan - sehingga memecah-belahkan
perpaduan), terheret dengan amalan-amalan bid'ah (ulama-ulama dahulu memberi
keutamaan yang tinggi kepada permasalahan ini), terpesong daripada maksud asal
ajaran, menambah keyakinan beramal, kurang bertaklid, dan banyak lagi kebaikan-
kebaikan yang boleh diperolehi daripadanya.





.

.
"Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak.
Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-khulafa al-Rasyidin
al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi
geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana
setiap yang diada-adakan itu adalah bidah dan setiap bidah adalah sesat.

Malangnya, ramai juga yang mengabaikan hadis secara sedar ataupun tidak. Malah,
kelompok yang ekstrim telah membentuk fahaman mahupun gerakan anti-hadis.
Mungkin kerana mereka merasakan terlalu banyak hadis yang tidak logik, bercanggah
antara satu sama lain atau sebagainya. Sebaliknya orang Islam yang sejati tetap
menganggap hadis sebagai sumber yang tidak boleh ditolak sama sekali. Itulah salah
satu sebab ummah Nabi Muhammad s.a.w itu dinamakan ahlus sunnah wal jamaah.

Menurut Maulana Muhammad Asri Yusuff, Walaupun dalam praktiknya Ahlus Sunnah
Wal Jamaah mengutamakan dan mendahulukan Al-Quran daripada Al-Hadith atau As
Sunnah namun mereka tidak dinamakan Ahlul Quran atau Ahlul Kitab. Ini adalah kerana
Al-Quran atau Al-Kitab itu didakwa oleh semua golongan yang mengaku Islam sebagai
ikutan dan panduan serta pegangan mereka tetapi sikap mereka tentang As Sunnah
adalah tidak sama. Mereka mempertikaikannya dan menolaknya sedangkan Ahlus
Sunnah Wal Jamaah selain dari berpegang teguh dengan Al-Quran, mereka juga
berpegang dengan As Sunnah dengan memeliharanya sebaik-baiknya dan
mempertahankannya. Kerana ciri inilah Ahlus Sunnah ini dinamakan Ahlus Sunnah Wal
Jamaah. (Pengajian al-Hadis dan Tuntutan Masakini).

Dalam pada itu, kita perlu mempertingkatkan kedalaman ilmu hadis untuk meletakkan
hadis pada kedudukan yang tepat. Terdapat berjuta kalimah yang dikatakan hadis;
sebahagian besarnya telah dikaji oleh ulama-ulama hadis dan mereka telah mengkelas
dan menyusunnya dalam bentuk yang tersusun dan telah mendokumentasikannya
dengan kemas. Justeru, kita sekarang ini boleh mengenalpasti dengan mudah, mana
satu hadis yang Sahih dan Hasan (perlu@boleh diterima), Dhoif (hadis lemah - tetapi
boleh digunakan untuk buat amalan namun tidak boleh untuk dijadikan hujah atau
hukum) dan hadis Maudhuk (hadis palsu - tidak boleh diterima sama sekali).

Antara motivasi besar Imam Bukhari menyusun jamik as-sahih-nya adalah apabila beliau
bermimpi berjumpa dengan Rasulullah saw. Dalam mimpinya beliau melihat lalat-lalat
berterbangan berhampiran dengan Rasulullah s.a.w, lalu beliau menghalaunya. Apabila
beliau menceritakan mimpinya kepada guru-gurunya, mereka memaklumkan kepada
Imam Bukhari bahawa beliau akan melakukan satu usaha besar untuk menyisih dan
membuang hadis-hadis yang tidak betul daripada hadis-hadis yang dikatakan hadis
Rasulullah saw.

Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menyarankan agar umat Islam lebih memperdalamkan ilmu
as-Sunnah, untuk mengelakkan ekstrim dalam agama lebih menjadi-jadi. Biasanya satu-
satu ekstrim muncul bila adanya satu ekstrim yang berlawanan. Contohnya, bila hadis-
hadis tertentu tidak difahami oleh kita dalam konteks yang betul, ianya boleh
menyebabkan kepercayaan sebahagian puak kepada al-hadis longgar, malah mungkin
menolak hadis-hadis yang sahih.

Hadis Satu Ilmu Yang Ajaib

Ulama-ulama hadis telah berjihad dan membuat pengorbanan yang besar untuk
memelihara ilmu hadis dalam bentuk yang agak ajaib. Dari satu peringkat kepada
peringkat seterusnya ianya dijaga dengan penuh ketelitian dan menghasilkan satu
sistem penjagaan ilmu yang mengkagumkan ramai orang, sehingga kita boleh yakin
dengan ilmu tersebut.
Kajian terhadap isnad membuat ulamak Islam yakin tentang perkara ini. Mereka bukan
sahaja menyelidik nama-nama perawi dan latar belakangnya untuk mengetahui zaman
mereka hidup, keadaan perekonomian dan persekitaran hidup mereka selain daripada
perhubungan mereka dengan tokoh-tokoh yang lain. Bahkan mereka juga memastikan
kualiti seseorang tokoh hadith itu dengan menguji kebenaran dan kedustaannya di
samping ketelitian dan amanah mereka di dalam menukilkan matan-matan untuk
dihukum siapakah diantara perawi-perawi itu yang boleh dipercayai riwayatnya.
(Maulana Muhammad Asri, Pengajian Ilmu Hadis dan Tuntutan Masakini).

Ianya telah didokumen, diisih, ditapis oleh ulama-ulama yang sangat baik akhlak, luar-
biasa ingatannya, sangat tinggi displin dan sangat besar pengorbanannya. Bukan itu
sahaja, ianya telah dilengkapkan dengan dokumentasi lengkap ilmu rijalu hadis[1], al-
jarh wa tadil[2], asbabul wurud, nasikh wa mansuh dan pelbagai lagi, sehinggakan tidak
ada kemungkinan untuk berlaku penyelewengan. Sehingga tiada sebab untuk kita tidak
mempercayainya.

Hadits-hadits telah sampai kepada kita melalui perawi-perawi yang diketahui sebagai
orang-orang yang benar dan dipercayai. Adakah kita akan teragak-agak untuk
menerimanya, padahal sejarah yang langsung tidak mempunyai sanad boleh pula
diterima oleh mereka, bahkan mereka memberikan ruangan yang istimewa kepada
sejarah itu dengan mengadakan jabatan yang khusus mengenainya.

Sejarah-sejarah yang ada ini walau bagaimana pun tinggi kedudukannya tidak dapat
menyamai selemah-lemah hadits kerana sejarah langsung tidak mempunyai sandaran
yang hidup sedangkan hadits pula mempunyai sandaran dan saksi yang hidup.
Maulana Muhammad Asri Yusuff, Kedudukan al-Hadis Sebagai Sumber Rujukan
Kedua Dalam Islam.

Sangat benar kenyataan di atas; para sahabat, tabii dan alim-ulama di sepanjang
zaman telah memelihara ilmu ini dengan penuh ketelitian dan menggunakan piawaian
pemeliharaan yang sangat tinggi. Mereka sedar bahawa ilmu ini (hadis@sunnah) adalah
ilmu wahyu yang perlu dipelihara keaslian dan kemurniannya. Pengorbanan yang
mereka lakukan sangat luar biasa, menyebabkan ianya dapat terpelihara sebagaimana
asalnya.

Alim ulama di sepanjang lipatan sejarah telah memperlihatkan sikap bijaksana dan
memandang ke hadapan. Mereka telah membaca isyarat yang jelas tentang perlunya
memelihara keautentikan hadis untuk generasi seterusnya apabila membaca nas-nas
seperti di bawah (masih banyak nas yang seumpamanya);

Al-Hasyr 7: dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu
maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya
maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah
amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

[1] Ilmu yang membahaskan tentang sejarah hidup perawi-perawi hadis; tempat lahir,
tarikh lahir, kematian, guru-guru, aliran mazhab yang diikuti, negeri yang pernah
dikunjungi dan didiami serta lainnya. Ianya juga berkaitan dengan kedhabitan atau
keadilan perawi, mahupun penyebab kecacatan serta keadilan perawi.
[2] Antara ilmu yang sangat penting dalam ilmu hadis. Ilmu yang membicarakan tentang
kecacatan dan keadilan seseorang perawi dengan menggunakan kaedah-kaedah
tertentu. Selanjutnya ia membawa kepada penolakan dan penerimaan sesebuah riwayat
yang mereka bawa.

Anda mungkin juga menyukai