Anda di halaman 1dari 8

IMAM terlebih atau tertambah rakaat, apa tindakan imam, dan apa pula tindakan makmum?

Contoh situasi solat Zohor, apabila imam telah menambah rakaat yang ke-5, maka:

TINDAKAN IMAM:

1. Jika imam tersedar kesalahan atau kesilapannya (tertambah rakaat yang ke-5), sama ada sedar
dengan pengetahuan imam itu sendiri, atau sedar kerana ditegur oleh makmum, maka WAJIBLAH imam
tadi untuk segera turun duduk tahiyat akhir.

2. Walau sedarnya tadi berlaku ketika sedang dalam pergerakan bangun untuk berdiri rakaat ke-5, atau
sedar ketika telah sempurna berdiri rakaat ke-5, atau sedar ketika membaca surah al-Fatihah di dalam
rakaat ke-5, atau sedar ketika rukuk rakaat ke-5, atau sedar ketika sujud rakaat ke-5, maka WAJIBLAH
imam tadi SEGERA turun duduk tahiyat akhir, seterusnya membaca tahiyat akhir, sujud sahwi (sunat),
dan memberi salam.

“Kemudian jika ia teringat semasa ia sedang qiyam atau rukuk atau sujud bahawa telah melakukan
rakaat yang lebih itu, maka wajiblah bahaw ia duduk dan kenalah sujud sahwi” (Kitab al-Qaul al-Tam Fi
Ahkam al-Makmum wal-Imam)

3. Sekiranya imam menyedari kesalahannya tertambah rakaat (dalam mana2 tempat dalam rakaat ke-5),
namun tidak segera kembali kepada rukun yang sepatutnya iaitu duduk tahiyat akhir, maka BATALLAH
solat imam tadi serta-merta. Imam ini telah dihukum sebagai telah sengaja menambah rakaat di dalam
solatnya.

“Sekiranya imam bangun kerana tidak sengaja, dia diwajibkan untuk turun semula sekalipun dia sudah
berdiri tegak kerana menambah rukun itu adalah dilarang dan membatalkan solat” (Irsyad Al-Fatwa Siri
Ke-507, Mufti Wilayah Persekutuan KL)

4. Namun ada situasi imam yang naik 'menambah' rakaat ke-5 tidak membatalkan solat si imam tadi.
Iaitu ketika berlaku kepada imam dua perkara berikut:
a. Si imam menyedari berlakunya kekurangan dalam rakaat-rakaat sebelum ini (yang berkaitan dengan
perkara rukun). Contoh, imam menyedari dia tidak membaca surah al-Fatihah pada rakaat ke-4nya,
maka wajiblah si imam menambah satu lagi rakaat, bagi menampung rukun rakaat yg kurang tadi.

b. Atau situasi kedua, si imam syak tentang bilangan rakaat, apakah sudah pada rakaat ke-4 atau masih
lagi rakaat ke-3. Maka ketika ini, sebagaimana kaedah fiqh solat, jika imam masih ragu-ragu, si imam itu
perlu memilih rakaat yang paling kurang. Maka ketika ini imam wajib menambah satu 'rakaat tambahan'
ini.

5. Untuk kedua-dua situasi imam di atas (4a & b), imam perlu mengabaikan teguran makmum (jika ada
teguran), kerana si imam melakukan tindakan yg betul, tahu tujuan 'menambah' rakaat, dan solatnya
dihukum sah.

“Sekiranya imam bangun dan dia meyakini bahawa ketika itu adalah rakaat yang keempat sedangkan
ada makmum yang menyangka bahawa imam terlebih rakaat dan dia menegur imam. Maka pada ketika
itu imam tidak perlu untuk mengikut kata mereka. Dia beramal dengan apa yang dia yakini” (Imam al-
Nawawi, dlm Raudhah al-Tolibin Wa ‘Umdah al-Muftin).

==================================

TINDAKAN MAKMUM

6. Makmum yang menyedari imam tidak duduk tahiyat akhir pada hujung rakaat yang ke-4 (sama ada
kelihatan mula naik atau pun sudah sempurna berdiri rakaat ke-5), maka perkara pertama yg perlu
dilakukan oleh makmum ialah menegur imam tadi dengan bertasbih 'subhanallah' (hukumnya sunat,
sehingga 3x).

Nabi Saw bersabda:

‫ق النِّ َسا ُء‬ َ ُ‫ِّح الرِّ َجال َو ْلت‬


ِ ِّ‫صف‬ ِ ‫صالَتِ ُك ْم فَ ْليُ َسب‬ ْ ‫إِ َذا نَابَ ُك ْم ش‬
َ ‫َي ٌء فِي‬

Maksudnya: "Jika terjadi sesuatu (kesalahan) dalam solat, maka hendaknya lelaki (menegur) dengan
bertasbih dan perempuan dengan tepukan" (HR Abu Daud)
7. Semua makmum yang mengetahui kesalahan imam tadi WAJIB terus duduk menunggu imam dalam
posisi tahiyat akhir. BATAL solat mana-mana makmum yang menyedari kesalahan imam berdiri
menambah rakaat ke-5, tetapi tetap mengikut imam berdiri.

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata:

“Apabila imamnya bangun ke rakaat tambahan, seperti rakaat kelima, kerana sahw (lalai), maka tidak
dibenarkan makmum mengikutinya. Justeru dia boleh mufaraqah daripada imam itu dan memberi
salam, atau menunggunya berdasarkan pendapat yang muktamad.” (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj)

8. Namun tidak batal solat makmum yang tetap mengikut imam naik berdiri rakaat yang ke-5, jika si
makmum itu yakin jemaah belum cukup 4 rakaat (situasi imam dan makmum, masing2 terlalai atau
terlupa).

9. Jika makmum terlupa atau tidak sengaja terikut pergerakan imam, kemudian dia tahu itu adalah
rakaat tambahan, maka BATAL solatnya jika dia terus berdiri mengikut imam, dan TIDAK BATAL solatnya
sekiranya dia segera turun duduk tahiyat akhir.

10. Jika imam yg menyedari kesilapannya (menambah rakaat), kembali duduk tahiyat akhir, maka
makmum perlu meneruskan mengikut imam sehingga selesai salam.

Jika Imam Tidak Turun Duduk

11. Namun sekiranya imam tadi tidak duduk tahiyat akhir selepas diberi tanbih (peringatan), maka para
makmum ada dua pilihan, iaitu:

a. Berniat mufaraqah, iaitu keluar daripada jemaah (tidak lg mengikut imam). Ini bermakna para
makmum menyempurnakan solatnya secara persendirian (membaca tahiyat akhir, dan memberi salam).

"Jika imam lupa tetapi makmum mengetahuinya sedangkan tidak diendahkan oleh imam selepas
diperingatkan, maka tidak harus makmum mengikutnya dan boleh bermufaraqah" (al-Khatib al-Syarbini
dalam Mughni al-Muhtaj)
b. Atau pilihan kedua, kekal duduk dalam posisi tahiyat akhir, membaca tahiyat akhir, sambil menunggu
imam menyempurnakan rakaat tambahannya. Kemudian memberi salam bersama imam (Ini kerana
makmum beranggapan berlaku perkara 4a & b pada imam).

“(Imam Ibn Hajar al-Haitami ditanya) tentang keadaan apabila imam itu bangkit untuk rakaat kelima;
adakah lebih utama untuk makmum menunggunya atau berpisah daripadanya, sama ada bagi makmum
masbuq atau bukan; bolehkah untuk mufaraqah? (maka beliau menjawab), lebih utama makmum itu
menunggu sama ada dia masbuq atau bukan.” (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra)

Tersedar Kesalahan Setelah Selesai Solat

12. Sekiranya masing2 imam dan makmum hanya tersedar kesalahan menambah rakaat ke-5 ketika
sudah berada dalam tahiyat akhir rakaat ke-5 (belum memberi salam), maka mereka hanya dituntut
melakukan SUJUD SAHWI sebelum memberi salam. Dan sekiranya mereka teringat setelah selesai solat,
maka juga disunatkan melakukan sujud sahwi.

Dari Alqamah bin Abdillah RA berkata; Rasulullah SAW telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat.
Lalu baginda ditegur oleh sahabat: “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”.
Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak
lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud (sahwi) dua kali sujud. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

13. Menurut Imam al-Nawawi, berdasarkan hadith di atas, jika ia menyedarinya (penambahan rakaat)
SELEPAS memberi salam, maka solatnya kekal sah. Ia hendaklah sujud sahwi jika menyedarinya sebaik
sahaja selepas memberi salam sekiranya tempoh yang dekat (Syarah Sahih Muslim). Adapun jika telah
lama berlalu, terluputlah tuntutan untuk sujud sahwi, dan menurut ulamak solatnya itu tetap dikira sah,
tanpa perlu di qada'.

Firman Allah SWT:

َ‫َعفَا اللَّـهُ َع َّما َسلَف‬

Maksudnya: “Allah maafkan apa yang telah lalu.” (Surah al-Maidah: 95)

14. Perlu diketahui, disisi mazhab Syafie, hukum melakukan sujud sahwi adalah sunat (al-fiqh al-
Manhaji). Ini bermakna jika imam tidak melakukan sujud sahwi, sama ada sebelum memberi salam, atau
selepas memberi salam, sama ada sengaja ditinggalkan, atau tidak sengaja meninggalkan, solat mereka
tetap dihukum sah.

==================================

TAMBAHAN (Perbahasan isu)

A. Makmum wajib ikut imam berdiri walaupun tahu salah?

1. Ada yang menyatakan makmum boleh bahkan wajib untuk mengikut imam berdiri walaupun sedar
imam telah menambah rakaat. Mereka berdalilkan beberapa peristiwa yang berlaku pada nabi (seperti
di dalam hadith riwayat Alqamah bin Abdillah di atas tentang sahabat tetap mengikut nabi menambah
rakaat yang ke-5), termasuk hadith umum "Tidaklah dijadikan imam melainkan untuk diikuti".

2. Wallahua'lam. Setakat pengetahuan saya, pendapat ini agak janggal. Bahkan menurut jumhur ulamak,
terutama dalam mazhab Syafie, mereka sepakat menyatakan bahawa makmum tidak boleh mengikut
seseorang imam jika mereka sedar imam melakukan sesuatu kesalahan dalam perkara rukun dan syarat
sah solat. Batal solat makmum jika mereka terus mengikut imam.

3. Adapun situasi yang dialami oleh para sahabat nabi ketika itu menurut ulamak, adalah berbeza kerana
ketika itu wahyu / syariat masih lagi sedang turun. Sesuatu syariat atau hukum ada kemungkinan untuk
berubah, dipinda, ditambah atau dikurangkan. Apatah lagi sahabat dalam keadaan tidak tahu (hukum
berlakunya kekurangan dalam solat seorang yang jahil adalah sah). Adapun hari ini, segala syariat dan
hukum2 asas telah 'terhenti', maka ia kembali kepada hukum asal.

B. Batal solat imam kalau turun duduk?

1. Ada pula yang beranggapan bahawa imam yang tertambah rakaat dilarang, bahkan batal solatnya jika
dia turun duduk tahiyat akhir sekiranya telah sempurna berdiri rakaat ke-5nya.

2. Sekali lagi, wallahua'lam. Setakat pengetahuan dan pencarian saya, termasuk merujuk pada asatizah
yg lain, tidak ada dalil atau petunjuk tentang hal ini. Tiada khilaf, melainkan telah ijmak (sepakat) ulamak
dari mazhab mana pun bahawa si imam, jika jelas menyedari kesalahannya tertambah rakaat (walaupun
telah berdiri sempurna), agar segera turun ke kedudukan duduk tahiyat akhir.
3. Maka BATALLAH solat si imam atau individu (jika solat bersendirian), yang memilih untuk tetap berdiri
pada rakaat tambahan itu. Perbuatan mereka itu dianggap menambah rukun atau rakaat dengan
sengaja.

C. Keadaan tertinggal tahiyat akhir disamakan dengan tertinggal tahiyat awal?

1. Setakat ini saya berpandangan bahawa, tanggapan di atas wujud kerana kekeliruan mereka pada
permasalahan seseorang yang terlupa duduk TAHIYAT AWAL (terus naik berdiri untuk rakaat yang ke-3
tanpa duduk tahiyat awal).

2. Benar. Untuk kes tertinggal tahiyat awal ini, jika imam (atau seseorang individu jika solat sendirian)
tertinggal perbuatan duduk tahiyat awal, maka dia tidak dibenarkan berpatah balik duduk tahiyat awal
apabila dia sudah dalam posisi berdiri sempurna pada rakaat ke-3. BATAL solatnya jika dia tetap turun
duduk tahiyat awal (melainkan dia belum sempat berdiri secara sempurna, maka dibenarkan dia untuk
kembali duduk tahiyat awal). Ulamak sepakat dalam hal ini.

Daripada Al-Mughirah bin Syu’bah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

‫ َويَ ْس ُج ْد َسجْ َدتَي ال َّسه ِْو‬، ْ‫ َوإِ َذا ا ْستَتَ َّم قَائِ ًما فَاَل يَجْ لِس‬، ْ‫إِ َذا قَا َم أَ َح ُد ُكم ِمنَ ال ّر ْك َعتَي ِن فَلَ ْم يَ ْستَتِ َّم قَائِ ًما فَ ْليَجْ لِس‬

Maksudnya: "Apabila salah seorang dari kamu bangun daripada dua rakaat, dan masih belum berdiri
sempurna maka hendaklah dia duduk. Dan apabila telah berdiri dalam keadaan sempurna, janganlah dia
duduk serta dia sujud sebanyak dua kali sujud sahwi" (HR Ibn Majah)

3. Maka, sesetengah orang beranggapan bahawa situasi berdiri rakaat ke-3 (TERLUPA TAHIYAT AWAL)
ini sama seperti situasi orang yang berdiri menambah rakaat pada penghujung solatnya (TERLUPA
TAHIYAT AKHIR). Menurut mereka, apabila sudah berdiri tegak, maka tidak boleh turun duduk tahiyat
awal atau tahiyat akhir.

4. Sedangkan kedua-dua isu atau permasalahan ini adalah BERBEZA sama sekali. Untuk kes tertinggal
tahiyat awal, ditegah untuk kembali duduk tahiyat awal setelah sempurna berdiri (pada rakaat ke-3)
adalah kerana duduk tahiyat awal adalah perkara SUNAT. Apabila telah lengkap perkara RUKUN (berdiri
rakaat ke-3), maka tidak boleh untuk kita berpatah balik melakukan perkara sunat (duduk tahiyat awal).
Perbuatan dalam solat ini mestilah dilakukan secara muwalat atau berturut-turut / tertib.
5. Berbeza dengan isu atau permasalahan tertambah rakaat pada penghujung solat. Seseorang yang
solat dalam keadaan meninggalkan perkara RUKUN (duduk tahiyat akhir) dengan rakaat tambahan
(bukan rukun, bahkan termasuk perbuatan membatalkan solat), maka ketika ini ia dituntut (wajib)
segera duduk tahiyat akhir apabila teringat.

PENUTUP

Begitulah sedikit sebanyak perbahasan tentang isu 'tertambah rakaat' ini. Kelihatan ramai lagi yang
masih keliru tentang isu ini, dalam keadaan ia boleh berlaku secara tiba2 pada setiap masa, pada mana2
imam dan jemaah.

Maka dengan ilmulah dapat menjadikan kita tenang berhadapan situasi2 luar jangka ini.

Mungkin perbahasan ini dilihat lebih dalam ruang lingkup mazhab Syafie. Jika ada qaul lain dari ini, atau
kupasan berbeza di sisi mazhab yg lain, bolehlah berkongsi di sini. Teguran dan pembetulan juga dialu-
alukan.

Mudah-mudahan ilmu ini dapat disebarluaskan pada para jemaah masjid2 dan surau2, terutama para
imam dan asatizah.

Semoga bermanfaat.

Wallahua'lam...

Nota simpanan peribadi:

Muaz Mohd Noor (Abu Hauro)

(FB: Muaz Mohd Noor)

Alor Gajah, Melaka.

24.11.2020

Disemak oleh: Timbalan Mufti Melaka, al-fadhil Ustaz Haji Hazarudin bin Haji Baharudin.
Rujukan:

1. Busyra Al-Karim, 1/300

2. Bughyah Al-Mustarsyidin, 116

3. Qaul At-Tamm fi Ahkam Al-Ma'mum wa Al-Imam

4. Tuhfah al-Muhtaj

5. Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra

6. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jilid 2, kitab al-Masajid wa Mawadhi’ as-Solah, bab as-Sahwi
Fi as-Solah wa as-Sujud Lahu.

7. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, jilid 4, bab Iza Shalla Khamsan.

8. Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil Yusuf al-‘Azzazi, 1/428

9. Raudhah Al-Tolibin Wa ‘Umdah Al-Muftin, 1/308

10. Kitab al-fiqh al-Manhaji

11. Irsyad Al-Fatwa, Website Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan KL

Anda mungkin juga menyukai