Anda di halaman 1dari 2

Bincangkan sumbangan Tamadun India kepada dunia.

Tamadun India yang dianggap sebagai salah satu tamadun yang tertua telah membawa
banyak sumbangan kepada dunia. Tamadun India mempunyai pencapaian yang tinggi dalam
pelbagai bidang seperti bidang kesenian, sains dan teknologi, bahasa dan kesusasteraan, seni bina
dan sebagainya.
Dalam bidang kesenian, terdapat tiga aspek yang terkandung dalam seni halus iaitu tarian,
muzik dan drama. Ketiga-tiga aspek ini boleh digunakan secara serentak. Sebagai contohnya,
tarian Kathak dan tarian Bharata Natyam telah dipersembahkan serentak dengan muzik dan drama.
Sebuah karya yang dinamakan Natya Sastra yang dihasilkan oleh Bharata telah menerangkan
semua jenis seni halus ini. Karya ini berbincang secara keseluruhan tentang drama, cara dan teknik
mengatur pentas, emosi dramatik dan bahasa persajakan. Tambahan pula, terdapat 5 perkara yang
penting dalam tarian ialah muzik, pakaian, gerakan, ekspresi dan emosi. Sebenarnya, tarian yang
dipersembahkan bukan semata-matanya untuk hiburan sahaja tetapi juga mengandungi unsur
keagamaan. Contohnya, tarian Bharata Natyam dipersembahkan di kuil-kuil yang terletak di
selatan India.
Selain itu, Tamadun India juga mencapai kegemilangan dari segi seni bina. Masyarakat
tamadun ini berupaya membina binaan yang sangat baik dan lengkap. Hal ini dapat dilihat dari
binaan Great Bath yang merupakan mandi awam yang terawal di dunia. Masyarakat India
membina bangunan mereka berasaskan elemen geometri. Sebagai contoh, bentuk bulat dan empat
segi selalu digunakan dalam binaan kuil. Dari segi bina Buddha, Torana Buddha atau pintu
gerbang yang diperbuat daripada batu telah diukir hikayat Buddha pada permukaannya.
Bukan itu sahaja, seni bina Islam membawa hasil gabungan unsur-unsur seni bina Arab,
Parsi dan tempatan. Salah satu contoh yang terbaik ialah Taj Mahal. Taj Mahal merupakan bukti
kecemerlangan seni bina Islam. Seni ukir dalam tamadun India berkait rapat dengan agama
merangkumi pembuatan patung, tiang berukir dan seni pahat. Tiang Asoka merupakan contoh
terbaik kemegahan seni bina dan seni ukir India. Masyarakat India telah menggunakan tanah liat
untuk membuat patung-patung. Di samping itu, tamadun tersebut juga mencapai kemajuan dalam
bidang seni lukis dengan bukti candi dan kuil telah dihiasi dengan lukisan yang menggambarkan
unsur-unsur keceriaan dan keagamaan.
Sumbangan tamadun India dalam bidang sains dan teknologi memang tidak dapat
dinafikan. Dalam ilmu matematik, konsep geometri telah digunakan untuk menentukan tempat
upacara pengorbanan melalui kiraan astrologi. Ilmu astronomi pula telah digunakan untuk
menentukan masa upacara pengorbanan. Tambahan pula, kalendar matahari juga dicipta untuk
mengetahui musim, tahun, bulan dan hari. Seterusnya, perkembangan tamadun India dalam ilmu
fizik dan kimia amat berkait rapat dengan agama dan teknologi. Antaranya konsep jirim lahir
bukan berdasarkan kepada eksperimen tetapi berasaskan institusi logik dan akal. Mereka juga
percaya alam semesta mempunyai lima elemen iaitu tanah, angin, api, air dan angkasa. Bagi
bidang kimia pula, tujuan mereka menghasilkan ubat adalah untuk memanjangkan hayat, membuat
racun dan sebagainya.
Sehubungan dengan itu, tamadun India mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan
sejak zaman Veda lagi. Bagi mereka, ilmu perubatan merupakan ilmu sihir. Unsur-unsur bidang
perubatan termasuk fisiologi, pembedahan, seni pernafasan, reproduksi mausia, farmakologi
dan veterinari telah berlaku sejak zaman sebelum masihi lagi. Menurut teks-teks Ayurvedik, badan
manusia terbentuk dari kombinasi angin, api dan lendir. Serangan penyakit adalah disebabkan oleh
ketidakseimbangan dalam badan dan harus dirawat dengan minyak urutan atau ubatan herba.
Bukan itu sahaja, amalan yoga juga diperkenalkan oleh masyarakat India untuk mengekalkan
kesihatan dan ketenangan minda. Yoga telah diamalkan oleh masyarakat seluruh dunia sehingga
hari ini.
Kesimpulannya, tamadun India mempunyai pelbagai penemuan dan pencapaian dalam
pelbagai bidang. Pencapaian tinggi tamadun ini dalam bidang kesenian, sains dan teknologi telah
memberi banyak sumbangan kepada seluruh masyarakat dunia. Sumbangan yang tinggi telah
berjaya menjadikan tamadun India sebagai tamadun yang hebat dan kekal lama sampai ke hari ini.
Jadi, kita harus menghargai sumbangan yang diberi kerana tanpa mereka bagaimanalah dunia kita
sekarang.