Anda di halaman 1dari 17

Nota Kuliah Tambahan : Konsep Falsafah dan Falsafah Pendidikan

Pengenalan

Belajar falsafah merupakan satu ilmu yang mempelajari mengenai sebuah proses memahami
aktiviti-aktiviti berfikir manusia, dan falsafah itu sendiri adalah aktiviti berfikir itu. Dengan kata
lain, falsafah mendorong manusia untuk berfikir dengan lebih kritis dan kritik. Tujuan falsafah
ialah mencari dan membuktikan kebenaran dan memberi arah tujuan atau pedoman untuk perkara-
perkara yang penting dalam kehidupan. Setiap perbuatan serta perlakuan manusia itu
menggambarkan apa yang difikirkan oleh seseorang dalam akalnya, di mana apa yang
dilakukannya adalah apa yang difikirkan. Oleh itu, seseorang yang berakhlak dan berdisiplin itu
bolehlah dikatakan sebagai seorang yang mempunyai fikiran yang tersusun dan teratur serta akal
yang sihat. Ini kerana, akhlak yang dicerminkannya menggambarkan keadaan akal fikirannya.

Ramai manusia tidak menggemari falsafah kerana ia dikatakan satu ilmu yang susah dan
merumitkan. Sebenarnya, falsafah itu sudah ada pada diri manusia itu sendiri. Setiap dari manusia
itu mempunyai falsafahnya sendiri. Falsafah yang dimaksudkan di sini adalah corak serta aktiviti
berfikir. Seseorang manusia akan berfikir apa yang hendak dilakukan sepanjang seharian dia
bekerja. Ini bertujuan agar segala kerja dan tanggungjawab yang dipikulnya berjalan lancar.

Konsep Asas Falsafah


Istilah falsafah berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu philos (bermakna mencintai)
dan Sophia (bermakna kebijaksanaan). Dengan berpandukan kepada makna dua perkataan Yunani
ini, istilah falsafah boleh diertikan sebagai perihal mencintai kebijaksanaan.

Pada zaman Yunani yang bertamadun kira-kira 2500 tahun dahulu, ahli-ahli falsafah yang
terkemuka seperti Socrates, Plato dan Aristotle sentiasa berusaha dan cuba memikir, menilai,
mentafsir kehidupan dan pengalaman manusia dengan tujuan mencari kebenaran dan nilai
kehidupan yang sempurna. Konsep ini dapat dikesan daripada dialog ahli-ahli falsafah yang
direkodkan dalam zaman Yunani tersebut. Sebagai contoh, Socrates (469 – 399 SM) pernah
berkata : “Kehidupan manusia yang tidak dinilai merupakan kehidupan yang tidak berguna.”
Dalam zaman Yunani, ahli-ahli falsafah sering memikir soalan-soalan setiap fenomena alam
sekitar. Sesetengahnya memandang jawapannya harus diperoleh terus melalui perbahasan.
Manakala, sesetengah ahli yang lain menegaskan jawapan itu hanya boleh didapati melalui
pemikiran deduktif, dan akhirnya menghuraikan falsafah sebagai pemikiran atas fikiran manusia.

Maka, tugas utama seseorang ahli falsafah ialah menilai kehidupan dan pengalaman manusia
dengan cara menganalisis dan memberi interprestasi, kemudian mencari rumusan yang boleh
membawa kepada taksiran secara menyeluruh terhadap ilmu dan kebenaran yang berkaitan dengan
kehidupan dan pengalaman manusia. Penemuan dan rumusan ahli falsafah adalah amat berguna,
dan akan dapat menjadi pedoman kepada manusia untuk mencari kehidupan yang sempurna serta
menentukan haluan untuk pembangunan dan kemajuan negara.

1
Falsafah, dalam zaman Yunani dan selepas beberapa kurunnya, merangkumi bidang yang sangat
luas, termasuk perkara-perkara seperti sains, matematik, teologi, psikologi, sosiologi dan ekonomi.
Secara khususnya, falsafah melibatkan diri terhadap kajian tentan ilmu, alam nyata, fitrah manusia
dan masyarakat. Ini adalah kerana ramai ahli falsafah berpendapat bahawa falsafah boleh
membawa kemajuan manusia melalui usaha mencari ilmu dunia.

Immanuel Kant (1724 – 1804) seorang ahli falsafah yang terkenal dan paling berpengaruh dari
Jerman, berpendapat : “Perkara yang berkaitan dengan falsafah ialah bukan menentukan
peraturan, tetapi menganalisis pendapat peribadi terhadap penjelasan umum.”

Menurut Russell (1946), falsafah dimaksudkan sebagai sesuatu fahaman atau pengertian di antara
teologi dan sains. Ini kerana, seperti teologi, falsafah mengandungi spekulasi terhadap perkara
yang belum tepat dibuktikan. Manakala, seperti pendekatan sains, falsafah pula berusaha
menggunakan taakulan dan logik untuk membuktikan fahamannya. Oleh itu, Russell memandang
falsafah merupakan sebagai sesuatu bidang kawasan tanpa manusia, didedahkan untuk serangan
antara teologi dan sains.

Fung Yu-Lan (1966), dalam bukunya Sejarah Ringkas Falsafah China, menghuraikan falsafah
sebagai pemikiran relektif yang sistematik terhadap kehidupan. Menurut beliau, seseorang ahli
falsafah harus berfalsafah dengan memikir secara relektif terhadap kehidupan, kemudian
menyatakan pemikirannya secara sistematik. Maka, semua teori kehidupan dan alam semesta, serta
ilmu adalah hasil daripada pemikiran relektif tersebut.

Mengikut E.D Miller dalam bukunya Questions That Matter (1984), falsafah boleh ditakrifkan
sebagai usaha untuk berfikir secara rasional dan kritis terhadap perkara-perkara yang penting.
Sehubungan ini, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai satu usaha berfikir secara rasional
dan kritis terhadap perkara yang penting mengenai pendidikan.

Sharifah Alawiah Alsagoff dalam bukunya Falsafah Pendidikan (1984) memberi tafsiran falsafah
yang lebih lengkap, iaitu :
1 - Falsafah ialah pertimbangan asas dan andaian mengenai pertimbangan terhadap perkara yang
penting.
2 - Falsafah mempersoalkan prinsip-prinsip realiti, ilmu dan nilai.
- Falsafah cenderung mengumpulkan rumusannya kepada bentuk mazhab-mazhab atau sisitem-
sistem pemikiran.
4 - Falsafah ialah pendekatan yang rasional terhadap sesuatu masalah atau persoalan.
5 - Falsafah ialah sesuatu penyiasatan yang komprehensif dan logikal mengenai asas-asas pemikiran
atas semua aktiviti manusia khususnya dalam bidang sains, seni agama dan pendidikan.

Hu Jun (2003), di dalam bukunya What is Philosophy?, mentakrifkan falsafah sebagai panduan
kebijaksanaan dan seni hidup manusia. Beliau berpendapat falsafah boleh dihayati daripada
perspektif berikut :
1. Falsafah adalah suatu disiplin yang berlainan dengan disiplin-disiplin seperti psikologi, pedagogi,
ekonomi, sosiologi, teologi dan sebagainya.

2
2. Mengikut perkataan philosophy falsafah adalah diertikan sebagai perihal mencintai
kebijaksanaan. Semua usaha intelektual manusia adalah kerana mencintai kebijaksanaan.
3. Falsafah bermula daripada rasa terkejut. Mengikut Plato, rasa terkejut ini memotivasikan manusia
berfikir dan ini memulakan aktiviti berfalsafah.
4. Tujuan utama falsafah ialah usaha memahami kendiri individu. Mengikut Descartes (1596 – 1650)
: “saya memikir kerana ia itu saya”, menjelaskan falsafahnya ialah mengkaji diri sendiri.
5. Falsafah ialah panduan kesejahteraan hidup. Seorang ahli falsafah dari Rome pernah berkata
: “Falsafah! Guru sepanjang hayat, sahabat terbaik dan penentang kejahatan yang tidak
ditandingi.”

Ringkas kata, perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar,
rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah
dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membukti
kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam
kehidupan.

Ciri-ciri Berfikir Falsafah Ke Arah Kebenaran


Menurut Sidi Gazalba (1974), beliau menyatakan dalam bentuk falsafah bahawa makhluk berfikir
ialah manusia. Manusia berfikir ialah ahli falsafah. Ahli falsafah ialah manusia tetapi manusia
bukan ahli falsafah. Berfalsafah adalah berfikir tetapi berfikir bukan berfalsafah. Berfikir yang
dikatakan berfalsafah ialah apabila usaha berfikir yang mengandungi tiga ciri iaitu berfikir radikal,
berfikir sistematik dan berfikir universal.

1. Berfikir Radikal : Radikal berasal daripada perkataan radix (bahasa Yunani) yang bererti akar.
Berfikir radikal ialah berfikir sehingga ke akar umbi atau sehingga ke peringkat paling dasar.
Berfikir sebegini bukanlah hanya dengan imbasan sahaja atau seperti hangat-hangat tahi ayam
semata-mata. Tiada yang tahu, tiada yang suci dan tiada yang terlarang bagi berfikir secara radikal.
2. Berfikir Sistematik : Berfikir sistematik ialah berfikir logik dan tersusun dengan bergerak
selangkah demi selangkah dengan penuh kesedaran dan urutan yang bertanggungjawab dan saling
berhubungan secara teratur.
3. Berfikir Universal : Berfikir universal ialah berfikir secara umum dan mencakupi keseluruhan
perspektif atau worldview. Berfikir sebegini tidak khusus atau terbatas pada bahagian-bahagian
tertentu sahaja.

Falsafah : Cabang, Persoalan dan Penyelesaian


Pada amnya, falsafah diklasifikasikan kepada empat cabang atau bidang kajian, iaitu :
1. Metafizik yang berkaitan dengan kajian realiti.
2. Epistemologi yang berkaitan dengan kajian ilmu.
3. Aksiologi yang berkaitan dengan kajian nilai.
4. Logik yang berkaitan dengan penaakulan.

Ada ahli falsafah membahagikan aksiologi kepada dua cabang lagi, iaitu aksiologi
etikadan aksiologi estetika. Terdapat pula ahli falsafah lain yang tidak mengakui logik sebagai
cabang falsafah dengan sebab logik merupakan kaedah atau pendekatan berfalsafah. Mereka

3
berpendapat logik ialah kaedah yang digunakan dengan metafizik, epistemologi dan aksiologi
dalam kajian realiti, ilmu dan nilai masing-masing. Bagi mereka, cabang falsafah sebenarnya
diklasifikasikan di bawah tiga bidang kajian sahaja, iaitu metafizik, epistemologi dan aksiologi.

Metafizik
Metafizik adalah salah satu cabang falsafah yang berkaitan dengan kajian sifat dan asal usul
mengenai realiti mutlak. Istilah ini berasal daripada nama tajuk Meta ta physicadalam karya
Aristotle ‘Prinsip Pertama’. Oleh sebab tajuk itu bermakna ‘Selepas Fizik’, maka pengertian
metafizik ialah berkaitan perkara yang keluar daripada fizik.

Metafizik Aristotle (384 – 322 SM) pada asasnya berkaitan dengan masalah-masalah seperti bahan
dan penyebabnya (temasuk sebab pertama, atau Tuhan), serta kewujudan yang telah menjadi
kajian dalam ontologi, sesuatu cabang atau bidang kajian metafizik.

Mengikut istilah falsafah, ontologi ialah pengajian kewujudan (existence) atau kejadian (being).
Ahli ontologi sentiasa berusaha mengetahui makna apabila kita mengatakan kewujudan sesuatu.
Misalnya, epistemologi dan aksiologi Plato (421 – 347 SM) adalah berlandaskan ontologi.

Mengikut Immanuel Kant (1724 – 1804), konsep metafizik tentang persepsi ‘kebenaran’
sebenarnya hasil struktur kognitif dalam minda manusia.

Masa kini, pengertian metafizik ditafsir sebagai cabang falsafah mengenai kajian realiti yang
muktamad. Cabang falsafah metafizik ini mengkaji realiti dengan mempersoalkan perkara
seperti:
1. Apa dia alam semester?
2. Apa dia kehidupan?
3. Apa dia pemikiran?
4. Apa dia demokrasi? dan sebagainya.

Di samping itu, ia juga mempersoalkan perihal Tuhan; misalnya, adanya Tuhan atau tiada Tuhan?

Rumusan yang didapati daripada soalan-soalan tersebut dikaitkan dengan falsafahnya, misalnya
metafizik pragmatisme, metafizik idealisme, metafizik eksistensialisme dan sebagainya. Sebagai
contoh, mengikut metafizik idealisme, semua realiti dapat digolongkan kepada satu perkara iaitu
kerohanian.

Epistemologi
Epistemologi ialah cabang falsafah yang mengkaji ilmu pengetahuan. Epistemologi
mempersoalkan perkara seperti Apa dia ilmu? Bagaimana kita memperoleh ilmu? Bagaimana kita
bukti kesahihannya? Apakah perkaitan ilmu dengan pembelajaran?

Di dalam proses perkembangan epistemologi, sejak tamadun zaman purba kala, telah wujudnya
mazhab materialisme dan idealisme, iaitu pendekatan-pendekatan dialektik dan metafizik yang
bertentangan. Melalui kedua-dua pendekatan ini, maka materialisme dan idealisme berkembang

4
bersama dengan empirisisme dan rasionalisme yang mana idea mereka dianggap lebih mantap dan
lebih sistematik.

Secara umumnya, epistemologi yang berlandaskan mazhab idealisme menekankan penguasaan


ilmu daripada kesedaran kepada kefahaman. Ahli mazhab idealisme berpendapat ilmu didapati
daripada pemikiran rasional atau pengalaman yang subjektif. Mereka menolak ilmu sebagai
refleksi otak manusia terhadap dunia secara objektif. Manakala, epistemologi yang berlandaskan
mazhab materialisme menekankan pendekatan ilmu daripada kefahaman kepada kesedaran. Oleh
sebab ahli materialisme memandangkan ilmu sebagai sesuatu persepsi secara langsung dan refleksi
yang pasif, maka teori epistemologi mereka tidak dapat menghuraikan masalah ilmu rasional
dengan tepat.

Teori epistemologi yang berlandaskan materialisme dialektikal, meletakkan perlaksanaan teorinya


sebagai tempat pertama, menggunakan pendekatan dialektik (proses interaksi di antara tesis dan
antitesis demi menghasilkan sintesis) untuk menyelesaikan masalah semasa proses ilmu, iaitu
mulai daripada persepsi yang menggerakkan pemikiran abstrak, demi mendapat penyelesaian
secara saintifik berkenaan masalah sumber, proses, tujuan dan fungsi ilmu.

Teori epistemologi yang berlandaskan emperisisme dan rasionalisme merupakan dua mazhab yang
paling berpengaruh terhadap pendidikan masa kini. Kedua-dua teori merupakan huraian falsafah
secara sistematik yang berkembang di bawah konteks revolusi sains pada abad ke-17. Kedua-dua
pendekatan memberi pertimbangan utama kepada pencarian ilmu asas yang kekal. Model
rasionalisme yang menarik perhatian ahli falsafah pendidikan mereka seperti Descartes, Leibniz
dan Spinoza adalah didapati daripada demonstrasi formal dalam logik dan matematik tanpa
pemerhatian atau eksperimen. Mereka berusaha membentuk semula secara kritis segala ilmu
manusia dengan mengaplikasikan pemikiran tulen asas dan aksiomnya, sebagaimana yang
dinyatakan oleh Descartes : ‘Saya memikir, maka saya wujud.’ Sedangkan, ahli emperisisme
seperti Locke, Berkeley dan Hume menggunakan persepsi yang diperoleh daripada pengalaman
sensori sebagai ilmu yang benar.

Perbahasan antara ahli rasionalisme dan ahli emperisisme adalah berpusatkan khasnya ke atas
kemungkinan ilmu yang dilahir secara semula jadi, sama ada ilmu diperoleh sebagaia priori, iaitu
didapati melalui penaakulan tanpa pengalaman dahulu, atau a posterior, iaitu ilmu didapati
daripada pengalaman atau sesuatu yang tidak terpisah daripada pengalamannya. Ahli emperisisme
menekankan minda manusia sebagai lembaran kosong sehingga kesan persepsinya ditinggalkan
daripada pengalaman sensorinya.

Immanuel Kant (1724 – 1804), seorang ahli falsafah dari Jerman dalam abad ke-18,
menggabungkan emperisisme dan rasionalisme dalam teori epistemologi beliau, dan
mensintesiskannya di antara pengalaman dengan konsep. Mengikut beliau, tanpa organ-organ
deria manusia, kita tidak dapat mengenal pasti kesan dan kesedaran benda yang terwujud, tetapi
tanpa kefahaman, kita tidak dapat membentuk konsep daripadanya. Maka, proses memperoleh
ilmu ialah menggabungkan sesuatu yang melibatkan persepsi, imaginasi dan kefahaman yang
berinteraksi dengan proses penaakulan. Menurut Kant, struktur mengorganisasikan konsep asas

5
tidak boleh diperoleh daripada pengalaman sahaja. Tetapi, ia perlu digunakan untuk membolehkan
kita menginterprestasikan pengalaman dunia secara keseluruhan. Maka, konsep ini adalah
sebenarnya telah wujud sebelum pengalaman yang diperoleh seseorang.

Aksiologi
Cabang falsafah aksiologi merupakan kajian terhadap nilai, dengan mempersoalkan perkara
seperti apakah yang bernilai? Sebagaimana yang telah dihuraikan, cabang falsafah aksiologi ini
adalah diklasifikasikan kepada dua bahagian, iaitu etika dan estetika.

Cabang etika mengkaji perkara seperti nilai-nilai moral, prinsip moral dan tingkah laku serta sifat
murninya. Maka cabang etika ini pula dikenali sebagai falsafah moral. Istilah etika diperoleh
daripada perkataan Yunani ethos, yang membawa maksud adat resam dan kelakuan. Etika sebagai
suatu disiplin pula dibahagikan kepada etika normatif dan metaetika. Etika normatif mengkaji dan
mencadangkan prinsip-prinsip kelakuan yang betul dan salah, baik dan jahat.

Pada masa dahulu, kebanyakan ahli falsafah menumpukan kajian berasaskan etika normatif. Sejak
abad ke-19, metaetika semakin mendapat perhatian ahli falsafah dengan menggunakannya untuk
mempersoalkan perkara seperti peranan etika dalam kehidupan, asas logikal tentang sesuatu sistem
etika dan kesahihannya.

Di dalam kebanyakan sistem organisasi sosial, kelakuan etika biasanya dipandang sebagai
penyempurnaan kendiri melalui usaha mengejar kebaikan, kewajiban terhadap orang lain atau
menerima prinsip-prinsip kebaikan, atau kedua-duanya. Penyempurnaan kendiri mungkin boleh
diperoleh daripada kegembiraan atau keseronokan, atau daripada usaha mengejar sesuatu yang
ideal. Kewajiban biasanya termasuk bukan sahaja kehormatan kepada orang lain dan norma
masyarakat, tetapi juga sebagai perkhidmatan kepada Tuhan.

Estetika mengkaji nilai-nilai mengenai kecantikan dan seni. Istilah estetika pula diperoleh daripada
perkataan Yunani yang membawa maksud persepsi deria.

Estetika mempersoalkan perkara seperti “apakah kecantikan”, “Apakah nilai-nilai kecantikan?”,


dan sebagainya. Tentang persoalan seni, Plato dan Aristotle memandangnya sebagai peniruan dan
kecantikannya sebagai ungkapan kualiti universal. Plato pula membezakan seni dari segi
kecantikan yang ideal dengan objek yang cantik. Manakala, Aristotle menganggap kecantikan
adalah direka bentuk dalam harmoni kerja seni.

Kepada orang Yunani, konsep seni merangkumi semua kraf tangan, bentuk simetri, keseimbangan
dan perpaduan dalam tenunan, seni tembikar, puisi dan seni pahat. Sejak abad ke-19, seni menjadi
sesuatu yang berkaitan dengan lukisan, seni pahat dan sastera, dan dikenali sebagai seni halus.

Immanuel Kant memberi tafsiran baru kepadanya dengan memandang penikmatan seni bukan
semata-mata persepsi kecantikan instrinsiknya, tetapi sebagai penglibatan penilaian yang
subjektif.

6
Hari ini seni tidak lagi digunakan dalam upacara agama atau sivil sahaja, tetapi dipandang sebagai
refleksi psikologikal, sosial dan politikal. Di dalam mazhab Marxisme, seni sering digunakan
untuk tujuan sosial, menyokong atau melemahkan keadaan ekonomi yang sedia ada.

Konsep nilai etika atau estetika adalah berbeza-beza dengan falsafah yang berlainan. Misalnya,
dalam aksiologi idealisme, nilai adalah mutlak dan kekal secara abadi. Manakala, aksiologi
pragmatisme memandang nilai sebagai relatif atau tertakluk kepada keadaan.

Logik
Logik adalah pengkajian terhadap perkara-perkara yang berbentuk penaakulan sah. Ia adalah
berkaitan dengan usaha mencari kaedah yang boleh membezakan penaakulan sah dengan
penaakulan tidak sah atau tidak rasional.

Perkataan logik berasal daripada perkataan Yunani ‘logik’ dan Aristotle merupakan seorang ahli
falsafah yang pertama mengorganisasikan hukum-hukum penaakulan. Aristotle dikatakan
menyusun dunia dalam beberapa kategori, yang membawa ilmu-ilmu dengan mengenal pasti
kualiti-kualiti am di dalam entiti yang berbeza. Lantaran itu, perkataan silogisme dicipta dengan
membawa idea logik Aristotle seperti berikut :

“Diberi dua premis, sesuatu kesimpulan (atau inferens) akan diikutinya.”

Misalnya :
Premis 1 : Semua manusia ialah makhluk yang fana.
Premis 2 : Socrates ialah seorang manusia.
Premis 3 : Jadi, Socrates ialah makhluk yang fana.

Berdasarkan huraian di atas, jelaslah pendekatan logik Aristotle digunakan mirip dengan kaedah
deduktif, iaitu menggunakan sesuatu prinsip am untuk membuat kesimpulan terhadap perkara
khusus. Logik deduktif serupa ini adalah sering berkait dengan mazhab falsafah idealisme dan
realisme.

Selain kaedah deduktif, logik induktif sebaliknya digunakan untuk membuat kesimpulan
berasaskan perkara-perkara yang khusus. Seperti kaedah deduktif, kaedah induktif juga banyak
digunakan dalam pemikiran falsafah idealisme dan realisme. Sesungguhnya, pendekatan
penaakulan tidak terhad kepada deduktif dan induktif sahaja. Misalnya, di bawah pemikiran
falsafah rasionalisme, ahli-ahli falsafah yang menggunakan pendekatan rasionalis berusaha
mencari kebenaran atau prinsip dengan cara penaakulan ataupun melalui perhubungan dengan
logik.

Logik berkait rapat dengan ketiga-tiga cabang falsafah, iaitu metafizik, epistemologi dan aksiologi.
Sesungguhnya, logik merupakan kaedah yang digunakan dalam setiap pemikiran mazhab falsafah.
Ia digunakan untuk mengkaji peraturan-peraturan falsafah yang membolehkan ahli-ahli falsafah
berfalsafah dengan membentuk dan mengesahkan usul-usul atau hujah-hujah falsafah.

7
Sebagai kesimpulan, diturunkan satu rumusan Morris dan Van Cleve (1961) yang mengaitkan
cabang-cabang falsafah dengan beberapa mazhab falsafah umum seperti jadual di bawah.

Mazhab Metafizik Epistemologi Aksiologi (Nilai)


Falsafah (Realiti) (Kebenaran) Etika Estetika
Idealisme Alam fikiran Kebenaran sebagai Mematuhi yang Refleksi
idea Maha Kuasa keunggulan
Realisme Alam Kebenaran sebagai Hukum-hukum Refleksi tabii
kebendaan fakta yang dapat tabii (menurut (sifat keadaan
dipersepsi sifat semula atau bentuk
jadi) semula jadi)
Pragmatisme Alam Kebenaran sebagai Nilai-nilai Citarasa umum
pengalaman pengalaman yang umum
berlaku
Eksistensialisme Alam Kebenaran sebagai Berdasarkan Penjelmaan
kewujudan pilihan individu kebebasan daripada nilai
(kebebasan individu dan norma
individualiti) masyarakat
Perkaitan cabang-cabang falsafah dengan mazhab-mazhab falsafah.
(Sumber : Morris & Van Cleve (1961) Philosoply and the American Schools, Houghton Mifflin
Co. New York, US)

Konsep Pendidikan
Pendidikan, mengikut pandangan umum, bermaksud proses atau aktiviti untuk mengembangkan
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) untuk menambahkan kemahiran, kebolehan dan
pengetahuan supaya dapat memberi kebahagiaan, faedah dan kemajuan dalam hidup dan dapat
bertindak rasional untuk diri sendiri, bangsa dan agama (Annick, 1999). Pendidikan merupakan
proses perubahan manusia untuk mencapai aktualisasi diri atau dengan kata lain mencapai
kesedaran diri. Ia berkait rapat dengan kesedaran hubungan antara manusia dengan pencipta,
manusia lain, makhluk lain dan alam.

Secara khususnya, pendidikan boleh diertikan sebagai aktiviti persekolahan. Ini bermakna
pendidikan merupakan aktiviti-aktiviti yang mempunyai objektif, rancangan dan organisasi untuk
mendidik murid-murid supaya menjadi insane yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan
menguasai kemahiran tertentu, demi berupaya menyesuaikan diri dalam masyarakatnya pada masa
depan.

Usaha utama pendidikan adalah untuk menyediakan seseorang individu memainkan peranan yang
positif dan berkesan dalam masyarakat. Di dalam usaha ini juga, pendidikan menjadi suatu agen
untuk menyebar dan mengekalkan kebudayaan yang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan
semasa. Dalam masyarakat moden ini, pendidikan adalah penting untuk menyediakan ahli-ahli
masyarakat untuk menghadapi cabaran kehidupan dan pembaharuan serta membuat
pengubahsuaian demi memberikan sumbangan untuk pembangunan masyarakat itu.

8
Pandangan Tokoh-Tokoh Falsafah Barat Terhadap Pendidikan
Falsafah dan pendidikan merupakan dua disiplin ilmu yang berbeza tetapi mempunyai perkaitan
yang sangat erat. Kehidupan manusia membentuk falsafah yang tersendiri. Perkembangan manusia
yang berkait dengan pendidikan membawa kepada pertembungan falsafah dalam pendidikan.
Pendidikan pula memerlukan kurikulum sebagai pengisiannya bagi membolehkan manusia
memperoleh pengetahuan, kemahiran, nilai dan budaya untuk survival dalam kehidupannya dan
generasi yang seterusnya.
Perkataan pendidikan mempunyai tafsiran yang berlainan bagi setiap individu. Pengertian
pendidikan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, tujuan dan tugasnya. Pada asalnya,
perkataan education dibentuk daripada dua perkataan Latin, iaitu educere yang bermakna
membimbing atau melatih, dan educare, iaitu melatih atau mengasuh.

Plato (427 – 347 SM), seorang ahli falsafah yang terkemuka pada zaman Yunani, berpendapat
pendidikan merupakan suatu proses untuk membentuk individu yang berakhlak mulia. Beliau
menyokong pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan adalah untuk memberi latihan moral
kewarganegaraan yang baik. Proses pendidikan dapat membentuk warganegara yang baik serta
setia dan mematuhi undang-undang negara.

Plato percaya seseorang hanya dapat ilmu apabila dia berusaha bersungguh-sungguh dengan
menggunakan pemikiran secara kritis. Mengikut beliau, ramai orang bersedia menerima fenomena
yang diperhatikan kali pertama, seperti dengan orang yang berpuas hati melihat bayang yang
dipantulkan sinar dari luar ke atas dinding gua. Orang ini enggan meninggalkan tempatnya untuk
menghadapi realiti, dan tidak seperti ahli falsafah yang menggunakan masa hidup sepenuhnya
berusaha secara bersungguh-sungguh mencari kebenaran.

Menurut Plato, orang yang mencintai kecantikan, benda yang baik atau tindakan yang adil adalah
orang yang ada pendapat, tetapi bukan ilmu. Seorang yang berilmu mencintai kecantikan, kebaikan
dan keadilan yang sebenar. Bagi Plato, pendapat adalah berkaitan dengan objek yang
dipersepsikan, dan ini boleh disalahertikan. Manakala, ilmu yang sebenar adalah di luar persepsi
dan berkaitan dengan dunia abadi yang mana tidak boleh disalahertikan. Maka, perkara yang
khusus adalah pendapat dan bukan ilmu. Seorang yang berilmu adalah dimotivasikan oleh hasrat
yang mencintai apa yang sebenar, terbaik, tulen, tertinggi dan abadi.

Plato, di dalam buku Republic, menjelaskan fungsi pendidikan sebagai pemilihan murid yang
sesuai untuk melatih mereka berdasarkan potensi masing-masing. Kandungan pelajaran harus
dirancang mengikut peringkat-peringkat perkembangan individu. Pendidikan merupakan interaksi
antara individu dengan masyarakatnya. Oleh itu, ciri-ciri sosio-budaya harus mempengaruhi
perkembangan kognitif individu, termasuk tingkah lakunya. Mengikut Plato, pendidikan adalah
tanggungjawab negara. Republik yang idealnya adalah : “Jika pendidikan individu dapat
memenuhi keperluan masyarakat dan negara, dan potensi individu dapat diperkembang mengikut
perbezaan individu, maka pendidikan ini akan dikatakan mencapai tujuan dan fungsinya.”

Aristotle (384 – 322 SM), ahli falsafah Yunani yang terkemuka selepas Plato, dalam
bukunya Politik, menghuraikan pendidikan sebagai ilmu yang bersifat etikal dan politikal.

9
Mengikut beliau, tujuan pendidikan ialah memberikan setiap warganegara segala peluang untuk
mencapai kebahagiaan hidupnya. Proses pendidikan dapat melatih warganegara mematuhi
peraturan-peraturan dan tingkah laku yang baik dan cekap dalam pengurusan pentadbiran serta
keupayaan mempertahankan kedaulatan negara.

Logik yang diperkenalkan oleh Aristotle adalah berkaitan rapat dengan pemikiran deduktif, iaitu
mengaplikasikan generalisasi umum untuk menghuraikan kes khusus atau membentuk generalisasi
baru. Logik Aristotle menggunakan silogisme yang merangkumi dua premis yang benar dan satu
kesimpulan yang sah.

Sebagai contoh :
Premis 1 : Semua manusia adalah makhluk yang fana.
Premis 2 : Plato ialah manusia.
Kesimpulan : Plato ialah makhluk yang fana.

Mengikut Aristotle, kebaikan adalah kecemerlangan manusia. Maka, tujuan pendidikan ialah
memupuk kebaikan murid. Semua rakyat bertanah harus dididik apa yang berguna untuk mereka,
agar mereka berbudaya mempunyai kebaikan dan masa untuk memainkan peranan yang
bertanggungjawab dalam pentadbiran negara.

Rumusan Falsafah Pendidikan Aristotle


1. Pendidikan adalah berhubung rapat dengan politik, dan perlu berkuatkuasa sebelum
perlaksanaannya.
2. Pendidikan sekolah harus dihadkan kepada warganegara sahaja. Kanak-kanak hamba tidak layak
dididik.
3. Pendidikan harus mengutamakan rasionaliti individu.
4. Oleh kerana pembentukan konsep, teori dan prinsip berdasarkan pengalaman konkrit, pendekatan
pembelajaran yang betul ialah daripada konkrit kepada abstrak dan daripada spesifik kepada
umum. Teori yang dibentuk harus diaplikasikan.

Jean Jacques Rousseau (1712 – 1778), seorang pendidik di negeri Eropah, memandang pendidikan
sebagai suatu proses yang berterusan dan bermula dari masa-masa kanak-kanak kecil. Dalam
proses ini, segala potensi semulajadi lahir dengan sendirinya mengikut kehendak dan peraturan
semulajadi.

Pandangan Tokoh-Tokoh Pendidikan Barat Terhadap Pendidikan


Di dalam buku A Philosophy of Education, John Macdonald menghuraikan perbezaan pendidikan
di antara masyarakat primitif dengan masyarakat moden. Menurut beliau, pengertian pendidikan
di dalam masyarakat primitif ialah latihan vokasional dan pelajaran adat resam, kepercayaan serta
cara bersembahyang, disampaikan melalui tunjuk ajar dengan secara tidak langsung daripada
keluarga dan pergaulan dengan orang dewasa. Manakala pengertian pendidikan dalam masyarakat
moden merupakan latihan khusus menguasai kemahiran dan memperoleh ilmu pengetahuan yang
penting untuk kehidupan, disampaikan melalui pengajaran secara langsung daripada guru yang
berilmu tinggi serta mempunyai kemahiran mengajar.

10
Mengikut Froebel (1782 – 1852), pendidikan adalah bertujuan mencapai kehidupan yang lurus,
suci dan mulia.

John Stuart Mill (1806 – 1873) pula memandangkan pendidikan sebagai suatu proses yang member
bantuan untuk setiap individu supaya hidup dengan penuh kegembiraan.

Seorang pakar pendidikan yang lain, T.H. Huxley (1825 – 1895), di dalam bukunyaScience of
Education, menegaskan orang yang benar-benar dikatakan berpendidikan sempurna akan bersedia
untuk berkhidmat demi kemajuan diri dan masyarakatnya, serta rela melaksanakan kerjanya
dengan ikhlas dan patuh kepada undang-undang alam, penuh bertenaga, bersemangat, berseni dan
bermasyarakat.

Maria Montessori (1870 – 1952), seorang doktor dan pendidik di Itali, mentafsirkan pendidikan
sebagai proses membentuk dan mengembangkan intelek, jasmani, rohani dan sosial kanak-kanak.

John Dewey (1859 – 1952), seorang pakar pendidikan dari Amerika Syarikat, pernah mengatakan
pendidikan merupakan satu proses perkembangan individu. Menurut beliau, pendidikan
merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi pengetahuan semula jadi
yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan lebih selamat lagi.

Konsep Falsafah Pendidikan


Pada asasnya, konsep falsafah pendidikan adalah berbeza dengan konsep falsafah dan pendidikan.
Secara ringkasnya, falsafah pendidikan merupakan konsep filososfikal dalam pendidikan, yang
berkait rapat dengan pendekatan falsafah yang digunakan untuk membina teori pendidikan
berdasarkan masalah atau isu pendidikan di bawah kajian pengkaji.

Di dalam jurnal Harvard Education Review (1955), terkandung beberapa makalah yang
membincangkan pengertian, ciri-ciri, tujuan dan isi falsafah pendidikan. Maka, berdasarkan
dapatan perbincangan masing-masing, konsep falsafah pendidikan dirumuskan seperti berikut :
1. Definisi falsafah pendidikan haruslah ditentukan berdasarkan ciri-ciri falsafah iaitu ditentukan
melalui kaedah spekulatif, normatif dan analitik. Menurut Frankena, falsafah pendidikan yang
dikaitkan dengan ilmu harus berlandaskan criteria utamanya iaitu epistemologi, diikuti dengan
aplikasi metafizik, kaedah deduksi dan logiknya untuk membentuk teori pedagogikal.
2. Falsafah pendidikan seharusnya ialah teori pendidikan. Frankel C. menghuraikan penentuan
tujuan dan pendidikan adalah aplikasi pendekatan yang sistematik daripada falsafah pendidikan.
3. Falsafah pendidikan mengandungi ciri-ciri tersendiri. Soalan asas falsafah pendidikan
ialah “Apakah pendidikan?”. Maka, hasil daripada falsafah pendidikan adalah atas usaha kajian
intelektual dengan tujuan pendidikan, realiti objektif, prinsip asas dan nilainya.

E.D. Miller, dalam bukunya Question That Matter (1984), mmenginterpretasikan falsafah sebagai
usaha memikir secara rasional dan kritis atas perkara-perkara yang penting. Maka, falsafah
pendidikan boleh diertikan sebagai usaha memikir secara rasional dan kritis atas pendidikan.

11
Berdasarkan huraian-huraian di atas, falsafah pendidikan boleh dirumuskan sebagai panduan, arah
tuju atau pendapat terhadap pendidikan.

Aliran Falsafah Pendidikan Pendidikan Barat Masa Kini


Falsafah pendidikan tidak sekadar bertanyakan tentang asas metafizik, epistemologi dan aksiologi
malah ia juga akan membincangkan berkaitan dengan pendidikan. Di samping itu, ia juga cuba
memberi makna kepada konsep-konsep sejagat yang mendefinasikan proses pendidikan, konsep
pendidikan, tujuan pendidikan, kurikulum, pembelajaran dan sebagainya. Tujuan atau matlamat
pendidikan ialah untuk mengembangkan potensi individu dan mencapai kesedaran kendiri.
Falsafah Pendidikan Barat masa kini mengandungi unsur-unsur falsafah tradisional dan juga aliran
moden. Antara falsafah pendidikan tradisional yang utama ialah essensialisme dan parennialisme.
Manakala falsafah pendidikan moden yang berpengaruh ialah progressivisme, rekonstruktivisme
dan eksistensialisme.

Essensialisme
Pendidikan essensialisme bersifat fleksibel di mana ia terbuka untuk perubahan, toleran dan tidak
terikat dengan doktrin tertentu. Nilai yang jelas dan tahan lama serta guru yang memiliki sifat
autoriti. Falsafah aliran ini mementingkan pembentukan peribadi dan kurikulumya disusun dari
topik yang mudah kepada yang lebih kompleks serta menekankan kemahiran 3M iaitu menulis,
mengira dan membaca. Ahli-ahli essensialisme mengkaji semula perkara-perkara yang akan
dimasukkan ke dalam kurikulum dan membezakan program-program sekolah kepada pelajaran
yang penting dan kurang penting serta membentuk autoriti guru di dalam bilik darjah.

Menurut Mok Soon Sang (2004), guru menurut fahaman essensialisme hendaklah memainkan
peranan yang penting dalam proses pendidikan. Mereka berperanan dalam menyampaikan ilmu
pengetahuan dan mengajar mereka memperolehi keperluan dan kualiti kehidupan orang dewasa
supaya mereka boleh berjaya dalam hidup. Guru juga hendaklah bersifat demokratik, kreatif,
mempuyai inisiatif dalam pengajaran dan mahir menggunakan taktik ganjaran dan denda kepada
pelajar (Abdul Rahman dan Zakaria Kasa, 1986). Ahli-ahli essensialime menganggap segala
inisiatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran terletak di bawah tanggungjawab guru. Guru
juga hendaklah mencerminkan kebaikan sesuatu masyarakat (Azizi Jaafar, 2009). Oleh itu, kaedah
pengajaran yang disarankan termasuklah pembacaan, syarahan, ingatan, ulangan dan peperiksaan.

Pendidikan membolehkan setiap individu menyedari keupayaannya. Kanak-kanak akan hadir ke


sekolah agar dapat memahami keadaan dunia sekelilingnya dan dapat mentafsirkannya mengikut
minat dan kemahuannya. Fahaman ini mementingkan pengalaman masyarakat daripada
pengalaman perseorangan. Sesuatu kebudayaan yang kompleks memerlukan sistem pendidikan
yang baik, oleh itu guru yang berdisiplin dan berdedikasi dalam melaksanakan amatlah
dikehendaki. Selain itu, kurikulum essensialisme di bahagikan kepada dua bahagian kepada mata
pelajaran penting seperti matematik dan sains manakala mata pelajaran yang kurang penting ialah
seni, muzik, Pendidikan jasmani dan vokasional. Bahan pengajaran juga disediakan dengan
sempurna dan dirancang dengan sistematik.

12
Kriteria kenaikan darjah hendaklah ditetapkan mengikut pencapaian pelajar semasa peperiksaan.
Semasa di sekolah rendah lagi, pendekatan secara 3M telah dijalankan (Azizi Jaafar, 2009).
Pendidikan essensialisme ini menyarankan penerapan nilai-nilai sosial, kebudayaan, politik,
cendiakawan dan penulisan terkenal dan guru juga hendaklah mempunyai kelayakan dan
kemahiran dalam bidang nilai masyarakat tradisi dan moden. Elemen-elemen yang diperlukan
dalam pendidikan pula meliputi pengetahuan semasa dan masa lampau. Maka tumpuan
kurikulumnya berkaitan dengan perkara yang benar-benar penting dan diperlukan. Jadi semua
aktiviti ko-kurikulum kurang diberi keutamaan.

Perennialisme
Parennialisme berasaskan daripada falsafah tradisional yang banyak dipengaruhi oleh fahaman
idealisme. Mengikut ahli parennialisme, nilai moral dan rasional manusia semakin merosot. Oleh
itu, untuk meyelamatkan umat manusia daripada kelenyapan fungsi utama pendidikan hendaklah
mengutamakan perkembangan potensi rasional individu, membantu mencari prinsip mutlak dan
memahami dunia yang sebenar.

Maka parennialisme memandang pendidikan sebagai jalan iaitu proses mengembalikan


kebudayaan sekarang. Ahli-ahli parennialisme menganggap bahawa ciri-ciri asas semulajadi
manusia berbentuk universal dan tiada had masa. Manusia itu bersifat rasional. Rasionaliti serta
intelek ini hendaklah disemai melalui pendidikan. Tujuan pendidikan adalah untuk mengajar nilai
dan pengetahuan yang berbentuk universal dan tiada had masa (Azizi Jaafar, 2009). Selain itu,
mereka menganggap tujuan sejagat pendidikan adalah untuk mencari dan menyebarkan kebenaran.
Ini kerana, kebenaran merupakan perkara yang universal dan tidak berubah-ubah. Maka, proses
utama dalam pendidikan adalah mendisiplinkan mental dan jiwa pelajar di samping
mengembangkan potensi penaakulan (Abdul Rahman dan Zakaria Kasa, 1986). Oleh itu,
pembacaan tulisan-tulisan agung dan bahan-bahan masa lampau merupakan tugas yang penting
bagi para pelajar. Dengan pembacaan ini, secara tidak langsung pelajar dapat idea daripada
pemikiran para cendiakawan. Dengan ini pelajar dapat menonjolkan bakat yang ada pada dirinya
yang selama ini terpendam disebabkan tiada asuhan atau tunjuk ajar daripada pihak luar.
Kurikulum parenialisme pula berpegang kepada kembali ke asal kerana yang asal itulah yang
benar. Pendidikan adalah sama bagi semua orang kerana manusia mempunyai potensi yang sama
dan guru mempunyai kuasa autoriti di dalam kelas (Azizi Jaafar, 2009). Isi kandungan kurikulum
adalah tetap dan tidak berubah tetapi ia boleh menggunakan kaedah pembelajaran Socrates.
Kebenaran dalam kurikulum parenialisme adalah sejarah dan sekolah merupakan agensi
masyarakat yang bertujuan untuk membentuk manusia menjadi manusia yang rasional. Mata
pelajaran yang diutamakan adalah matematik, bahasa, doktrin-doktrin dan buku-buku ternama. Ia
juga menekankan 3M dalam kurikulum dan mewujudkan kelas vokasional bagi pelajar yang
kurang pandai. Kaedah pengajaran yang dicadangkan adalah ingatan, pembacaan, penulisan, latih
tubi dan ulangkaji.

Progressivisme
Pengajaran progressive pula, mereka menggunakan pendekatan induktif dalam mencapai matlamat
pendidikan kerana pendekatan induktif tidak memerlukan teori tetapi memerlukan mereka
membentuk penerangan sendiri yang akan menerangkan fenomena yang didedahkan. Menurut

13
Mok Soon Sang (2010), guru hanyalah berfungsi sebagai pembimbing atau penasihat dalam
penyelesaian masalah. Kurikulum mereka memberi tumpuan kepada proses pelajaran manakala
kurikulum essensialisme dan parenialisme memberi tumpuan kepada mata pelajaran (Abdul
Rahman dan Zakaria Kasa, 1986). Pelajar bebas memilih dan membuat keputusan ke atas dirinya
jika ia dianggap baik. Mereka menggambarkan pendidikan adalah penghidupan dan bukan
persedian untuk hidup. Pencarian kebenarannya melalui pengalaman dan isi kandungan kurikulum
adalah pengetahuan asas dan pengalaman. Kaedah pengajaran secara inquiri iaitu secara
penyelidikan. Kebenaran merupakan milik masyarakat. Sekolah merupakan tempat menggalakan
kerjasama bukannya persaingan serta sekolah juga menggalakkan demokrasi.

Pelajar akan diberikan kebebasan secara fizikal dan mental untuk mengembangkan bakat dan
kemampuan yang terpendam dalam diri mereka tanpa dikekang oleh rintangan daripada orang lain.
Oleh itu, falsafah ini tidak bersetuju dengan fahaman parennialisme dan essensialisme yang
bersifat autoriti. Ini disebabkan autoriti akan mematikan pengembangan dan daya kretiviti pelajar.
Fahaman ini menyatakan kurikulum yang paling wajar dilakukan ialah kurikulum yang bersifat
fleksibel dan terbuka. Kurikulum jenis ini mudah diubah dan dibentuk sesuai dengan peredaran
zaman. Kurikulum hendaklah berpusatkan kepada pengalaman atau eksperimen. Guru hendaklah
menggalakkan pelajar mengambil inisiatif sendiri dan menggunakan kaedah praktikal dan
pengalaman dalam mencari ilmu pengetahuan. Hanya ilmu sains sahaja merupakan ilmu yang
benar. Oleh itu, peranan guru hanyalah sekadar pembimbing dan penasihat kepada pelajar. Bagi
mereka, pelajar merupakan seorang individu yang berpengalaman, berfikiran dan suka
mengembara. Buku pula dianggap sebagai alat dalam proses pembelajaran dan bukan sebagai
sumber pengetahuan yang tidak boleh dipersoalkan. Sekolah pula tempat pelajar bekerjasama
bukannya tempat untuk bersaing.

Rekonstruktivisme
Rekonstruktivisme merupakan falsafah pendidikan yang dipecahkan daripada aliran fahaman
progresivisme dan menjadi suatu falsafah sendiri. Pelopor utama aliran fahaman rekonstruktivisme
ialah George S. Counts (1899 – 1974) dan Harold O. Rugg (1886 – 1960), kedua-duanya adalah
penyokong pragmatism John Dewey.

Ahli-ahli rekonstruktivisme berpendapat falsafah pendidikan progresivisme hanya sesuai


digunakan dalam masyarakat yang stabil; oleh itu adalah perlu mengadakan suatu falsafah ‘krisis’
seperti rekonstruktivisme untuk menyelamatkan kebudayaan masyarakat yang kian diancam dan
menghadapi masalah keruntuhan. Tambahan pula mengikut mereka, progresivisme terlalu
mementingkan pendekatan dan proses pendidikan, sehingga mengabaikan objektif dan hasilnya.
Mereka berpendapat tugas utama pendidikan harus mengandungi objektif eksplisit, iaitu
membentuk “Order Baru Masyarakat” sebagai objektif yang ideal, membaiki masyarakat,
merealisasikan demokrasi untuk masyarakat dan sarwa jagat demi membawa kebajikan dan
kesejahteraan untuk manusia.

Aliran fahaman rekonstruktivisme mula menjadi perhatian di dalam tahun 1950-an, apabila
Theodore Burghard Hurt Brameld (1904 – 1987) menggabungkan teori progresivisme dengan
behavioural sains sebagai asas rekonstruktivisme. Beliau berpendapat pengalaman sebenarnya

14
ialah hasil interaksi manusia dengan elemen-elemen dalam alam persekitaran dan alam sosial, di
mana pengalaman individu merupakan tempat utama dalam proses interaksi tersebut. Nilai
berubah mengikut perubahan masyarakat. Nilai yang tertinggi akan dapat dicapai apabila individu
dan masyarakat memperoleh kepuasan dalam peringkat penyempurnaan. Sehubungan ini, sekolah
seharusnya menjadi sesuatu organisasi yang mengamalkan prinsip rekonstruktivisme. Hal ini
memerlukan murid mematuhi segala prinsip tingkah laku yang ditentukan dan berusaha
mempertingkatkan kualiti pembelajaran mereka. Mengikut mereka, teori progresivisme yang
menyarankan kaedah penyelesaian masalah tidak mempunyai objektif dan nilainya dan cara yang
berkesan untuk mengkaji masalah sosial ialah teknik perbincangan, yang akan dapat mencapai
matlamat penyelesaian masalah sosial, dan seterusnya membentuk masyarakat sosial yang
harmoni dan sempurna.

Maka, teori rekonstruktivisme, di dalam usaha membina masyarakat baru, menumpukan usaha
kepada perkembangan ekonomi dan kebajikan sosial manusia. Mereka percaya bahawa sekolah
boleh memainkan peranan membentuk semula masyarakat yang harmoni dan sempurna. Maka,
peranan guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga membawa isu-isu sosial
yang penting untuk dibincang dan diselesaikan secara usahasama. Ringkasnya, teori
rekonstruktivisme menekankan teknik perbincangan dan penggunaan kemahiran berfikir secara
kreatif dan kreatif dalam penyelesaian masalah. Untuk mencapai matlamat pendidikan ini, bahan-
bahan pelajaran hendaklah distrukturkan secara sistematik dan bersepadu. Mata pelajaran
kemanusiaan hendaklah menjadi fokus utama dalam rancangan kurikulum sekolah agar dapat
membentuk murid yang berperikemanusiaan, berlandaskan kebudayaan masyarakat yang ideal.

Eksistensialisme
Aliran fahaman eksistensialisme mengutamakan pembelajaran kendiri dan bukan mencari ilmu
pengetahuan. Pelajar tidak seharusnya mengorbankan individualiti mereka untuk memperolehi
ilmu pengetahuan. Oleh itu hanya pembelajaran yang berkesan sahaja yang mempunyai makna
kepada individu berkenaan. Fokus utama kurikulum hendaklah dipindahkan daripada perkara alam
dunia kepada dunia personaliti. Kurikulum eksistensialisme pula mementingkan kebebasan.
Kurikulum eksistensialisme tidak tetap kerana kurikulumnya berdasarkan minat pelajar itu sendiri.
Pelajar akan memilih program pelajaran tanpa ada paksaan atau hasutan dari sesiapa. Guru bukan
penyebar ilmu tetapi membantu pelajar berjaya dalam usaha mencari kesedaran kendiri. Mereka
menyokong kaedah pembelajaran Socrates. Kebenaran eksistensialisme berakhir pada diri. Bahan
pembelajaran, cara pembelajaran, kuantiti pembelajaran dan nilai pembelajaran hendaklah
ditentukan oleh pelajar itu sendiri (Azizi Jaafar, 2009). Keputusan yang dibuat oleh pelajar itu
sama ada betul atau silap adalah di bawah tanggungannya. Guru hendaklah menghormati
pandangan dan pemilihan pelajar dan tidak mempengaruhi pelajar dalam membuat keputusan.
Sekolah pula tempat untuk menyediakan peluang untuk memupuk kemahiran berfikir reflektif
untuk menilai diri serta keupayaan disiplin diri. Ahli eksistensialisme ini tidak memberi perhatian
kepada kewujudan kebenaran muktahir. Mereka menolak kebenaran adalah mutlak. Semua makna
dan kebenaran adalah hak individu. Mereka menganggap semua kehidupan di dunia ini hanyalah
sesuatu yang tidak bermakna.

15
Perkara yang paling penting dalam pendidikan eksistensialisme ini ialah individu hendaklah
mendidik diri sendiri dan juga berupaya mambuat keputusan mengenai kelakuan, kursus yang
ingin diambilnya dan kaedah pembelajaran yang dikehendakinya. Pendidikan tidak terarah kepada
peningkatan intelek semata-mata tetapi perlu diberi perhatian kepada sikap, perasaan, nilai dan
komponen-komponen subjektif yang lain. Mata pelajaran merupakan pengetahuan yang disusun
dan bukan dianggap sebagai satu matlamat atau satu cara untuk menyediakan pelajar kepada
pekerjaan. Sebaliknya ia digunakan sebagai satu cara untuk mencapai perkembangan diri. Oleh
itu, dalam proses pembelajaran, seseorang itu berkuasa ke atas buku teks. Ahli-ahli fahaman ini
mengatakan bahawa sukar untuk menyatakan bahawa sesuatu mata pelajaran itu penting atau tidak
kerana kebaikan sesuatu mata pelajaran akan ditentukan oleh pelajar itu sendiri.

Pendekatan dan Metodologi Falsafah Pendidikan


Pendekatan digunakan untuk falsafah pendidikan adalah bergantung kepada interprestasi
konsepnya. Sebagai contoh, sekiranya falsafah pendidikan dipandang sebagai suatu cabang
disiplin sosial, maka pendekatan lazimnya akan menggunakan falsafah penggunaan dan konsep
pendidikan, yang akan digunakan untuk kajian perkembangan idea baru dalam pendidikan.

Gowin D.B. (1969), dalam penulisannya yang bertajuk Philosophy of Education, Encyclopedia of
Education Research, 4th Edition, memperkenalkan lima metodologi utama sebagai kajian
berlandaskan falsafah pendidikan.
1. Analisis Konsep : iaitu menganalisis dan mengenal pasti masalah di bawah konsep pendidikan dan
menghuraikannya dengan cara eksplisit.
2. Analisi Bahasa : iaitu menganalisis penggunaan bahasa, sama ada tepat, jelas, kabur atau
diputarbelit, dan menghalusinya untuk mengelakkan aplikasi silap dalam analisis konsep.
3. Kaedah Dialektikal : kaedah ini sering digunakan dalam falsafah, untuk memeriksa di antara idea-
idea yang menentang supaya mendapat kebenaran.
4. Pembentukan Teori : iaitu membentuk model atau teori baru berdasarkan teori pendidikan yang
sedia ada.
5. Kaedah Fenomenikal : iaitu penggunaan kaedah ini untuk membantu kefahaman terhadap realiti
secara objektif dan tepat.

Falsafah Pendidikan dan Peranannya


Sebagaimana yang telah dihuraikan, falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan
yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian
ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta
membukti kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting
dalam kehidupan.

Berdasarkan huraian di atas, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau
pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Maka, Falsafah
Pendidikan Kebangsaan ini adalah digubal daripada usaha berfikir secara rasional dan kritis,
berlandaskan ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar
Pendidikan Kebangsaan, termasuk Rukun Negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini akan

16
menjadi suluh yang memberi pedoman dan inspirasi kepada segala usaha pendidikan, sama ada di
dalam institusi pendidikan atau di luar institusi pendidikan.

Kesimpulan
Falsafah barat memainkan peranan penting terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia.
Falsafah pendidikan Kebangsaan mempunyai beberapa ciri-ciri yang diterapkan dari falsafah
barat. Falsafah pendidikan barat terbahagi kepada dua bahagian iaitu falsafah tradisional dan
falsafah barat. Falsafah tradisional pula diri daripada essensialisme dan parennialisme manakala
falsafah moden terdiri daripada progressivisme dan eksistensialisme. Kedua-dua bahagian ini
mempunyai mazhab-mazhab tertentu dan secara keseluruhannya penumpuan kesemua mazhab
berdasarkan faktor kurikulum, peranan guru, kaedah mengajar dan peranan murid. Di dalam
falsafah pendidikan barat terdapat mazhab yang memberikan penumpuan pembinaan insan yang
berketerampilan dan aspek ini juga terdapat dalam falsafah pendidikan kita. Keempat-empat
falsafah yang telah dibincangkan ini boleh dikatakan sebagai asas kepada Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Walau bagaimanapun, falsafah-falsafah ini digabungkan dan diubahsuai mengikut
keperluan negara kita. Hanya mengambil aspek-aspek yang penting dan berguna sahaja yang
diambil kira dalam penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Falsafah Pendidikan
Kebangsaan juga meletakkan kembali asas kepada perkembangan insan berjiwa kemerdekaan iaitu
kepercayaan kepada Tuhan.

Rujukan
Abd. Rahman Hj. Abdullah (2005). Wacana Falsafah Ilmu : Analisis Konsep-konsep Asas Falsafah dan
Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur : Utusan Publications.
Abdul Rahman dan Zakaria Kasa (1986). Falsafah dan Konsep Pendidikan (Edisi Ketiga).
Serdang : Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Azizi Jaafar (2009). Aliran-Aliran Falsafah Pendidikan, diambil pada 7 April, 2012,
daripada http://abuakhyar1.blogspot.com/
Mok Soon Sang (2004). Ilmu pendidikan untuk KPLI. Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Percetakan Seasons
Sdn. Bhd
Mok Soon Sang (2010). Falsafah dan Pendidikan Di Malaysia. Selangor : Multimedia Marketing Sdn
Bhd.
Mok Soon Sang (2012). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia (Edisi Ketiga). Selangor : Penerbitan
Multimedia Sdn Bhd.

17

Anda mungkin juga menyukai