Anda di halaman 1dari 5

Pengaruh teknologi maklumat dan kesibukan ibu bapa menyebabkan anak-anak

semakin pasif dalam berkomunikasi dan bersosial.

Huraikan bagaimanakah keluarga dapat memainkan peranan untuk


menangani masalah ini.

Kesan kemajuan teknologi begitu ketara dalam diri anak-anak pada zaman
pascakemerdekaan ini. Anak-anak khasnya remaja pada hari ini yang asyik
menghadap komputer ada yang begitu pasif dalam bersosial. Hal ini disebabkan
oleh sesetengah remaja kini terlalu lama melayari kemajuan teknologi hingga
menyebabkan mereka seperti janggal dan kekok apabila berhubungan dengan
orang yang lebih tua. Hubungan melalui alam maya menyebabkan hubungan
sesama manusia semakin renggang. Malahan, apabila anak-anak muda berada
dalam suasana orang ramai, gelagat mereka seperti ’rusa masuk kampung’. Senario
ini sekiranya tidak diatasi akan menyebabkan keadaan yang lebih ruwet lagi.
Semasa usia anak-anak ini masih mudalah maka sikap pasif bersosial ini perlu
diperbaiki kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dalam hal ini, ibu bapa
sememangnya memainkan peranan yang signifikan untuk membendung
permasalahan yang semakin ketara ini.

Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bersama dengan anak-anak setiap
hari walaupun masa mereka terbatas sebagai akibat pekerjaan yang sentiasa
menghambat mereka. Waktu sepuluh minit yang berkualiti dan penuh dengan
keprihatinan dan kasih sayang sudahpun begitu bermakna berbanding dengan
meluangkan masa seharian tetapi ibu bapa dan anak-anak masing-masing dengan
hal sendiri lebih-lebih lagi jika ada gajet teknologi seperti ipad, ipod, tablet, telefon
bimbit dan sebagainya di tangan masing-masing. Lebih baik lagi sekiranya waktu
bersama dengan anak-anak dapat ditentukan oleh ibu bapa sendiri. Bagi yang
beragama Islam misalnya, waktu malam antara solat Maghrib hingga Isyak, ibu
bapa boleh meluangkan masa bersama dengan anak-anak untuk bercerita, mengaji
al-Quran, berbincang tentang masalah agama dan sebagainya manakala yang
bukan Islam pula, ibu bapa boleh mencari masa yang sesuai untuk berbincang
tentang masalah anak-anak, tentang pengetahuan agama masing-masing dan
menyelitkan nilai-nilai moral. Hal ini bertujuan supaya anak-anak berasakan
bahawa mereka hidup dalam keluarga yang penuh dengan kasih sayang, berasa
dipunyai dan pendapat mereka pula dihargai. Hubungan yang rapat ini akan
membimbing anak-anak berinteraksi sekurang-kurangnya dengan ibu bapa dan
adik-beradik. Malahan hubungan yang rapat ini akan menjalin suasana
berkomunikasi yang lebih harmoni. Ibu bapa sebenarnya mampu merungkaikan
kebejatan sosial dalam kalangan anak muda. Jika keluarga berkenaan terdiri
daripada keluarga yang lebih besar, iaitu datuk dan nenek serta saudara-mara yang
lain pula, suasana komunikasi terjalin erat sekiranya ahli-ahli keluarga yang lain ini
turut menerapkan suasana yang kondusif untuk berkomunikasi dan dianyam
dengan tatasusila budaya timur yang penuh kesantunan. Pada masa yang sama, ibu
bapa juga perlu memantau ataupun mengawal anak-anak yang leka dengan
komputer, Internet ataupun sebarang gajet teknologi sahaja. Hadis ada menyatakan
bahawa, ’anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya.’ Hala
tuju anak-anak sebenarnya di bawah bimbingan keluarga khasnya ibu bapa dan ibu
bapa perlu mencari ruang waktu untuk bersama dengan anak-anak mereka.

Perkara lain yang boleh dilakukan adalah dengan menziarahi sanak-saudara


dan ahli keluarga terutama ketika musim cuti sekolah dan musim-musim perayaan.
Sebenarnya sudahpun menjadi sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia untuk
balik kampung pada musim-musim begini. Amalan seperti ini akan dapat menjalin
hubungan yang rapat dengan ahli keluarga sama ada yang jauh mahupun yang
dekat. Sekiranya anak-anak masih mempunyai datuk dan nenek sama ada di
sebelah ibu atau bapa, sewajarnya anak-anak diberi peluang untuk berkunjung dan
menziarahi mereka. Jika pada musim cuti sekolah, anak-anak dapat tinggal
bersama dengan datuk dan nenek mereka di kampung dalam tempoh tertentu.
Selain dapat merapatkan hubungan kekeluargaan, banyak impak yang positif dapat
disuburkan dalam diri anak-anak. Misalnya, anak-anak akan terdidik dengan
amalan menghormati orang tua dan yang lebih penting mereka akan belajar
berinteraksi dengan orang yang lebih tua. Sekiranya anak-anak masih ada Mak
Long, Pak Long, dan sebagainya pula, tentulah wajar anak-anak turut dibawa
menziarahi mereka. Amalan menziarahi jiran tetangga juga dapat dilakukan kerana
sudah menjadi sebahagian daripada budaya penduduk kampung di negara ini
biasanya mereka saling mengenal, saling menolong sesama penduduk kampung
dan saling bertanya khabar. Hubungan silaturahim sesama ahli keluarga dan
sesama jiran tetangga dapat dipanjangkan dan sikap saling menghormati dapat
dikekalkan. Dewasa ini hubungan kekeluargaan semakin luntur dan ramai yang
tidak mengenali saudara-mara sendiri inikan pula jiran tetangga dan masyarakat
setempat. Jadi, ibu bapa dan ahli keluargalah yang memainkan peranan agar
pertalian kekeluargaan dan semangat rukun tetangga akan berkekalan dan
seterusnya hubungan sosial anak-anak dapat diperluas.

Setelah lima hari menghabiskan masa di tempat kerja untuk mencari nafkah
maka pada hujung minggu Sabtu dan Ahad wajar diluangkan untuk anak-anak dan
ahli keluarga. Ibu bapa perlu merancang pelbagai aktiviti bersama dengan anak-
anak semasa cuti hujung minggu tersebut. Misalnya, ibu bapa boleh mengadakan
lawatan ke tempat-tempat menarik ataupun ke tempat-tempat yang bersejarah.
Selain itu, aktiviti berkelah juga mampu menjadikan hujung minggu sebagai
pengisian terbaik bersama dengan keluarga. Aktiviti seperti ini memberikan
peluang kepada anak-anak untuk bergaul dengan orang ramai. Sebenarnya, dengan
membawa anak-anak keluar ke tempat-tempat begini akan membiasakan anak-
anak bergaul dalam kalangan masyarakat. Malah, terdapat ibu bapa yang turut
melibatkan anak-anak dalam aktiviti sukarelawan dan kebajikan seperti
menyediakan hadiah dan makanan kepada anak-anak yatim, orang kelainan upaya,
dan orang tua yang dianjurkan oleh individu mahupun oleh badan-badan bukan
kerajaan. Tindakan ini membolehkan ibu bapa mencapai sasaran serampang dua
mata, iaitu anak-anak menjadi lebih prihatin terhadap orang yang kurang bernasib
baik dan pada masa yang sama mereka dapat bergaul dengan ahli sukarelawan
yang lain dan orang ramai. Kalau hujung minggu hanya dihabiskan di rumah,
tentulah anak-anak akan bersengkang mata berhadapan dengan komputer. Oleh itu,
jalan penyelesaian terbaik ibu bapa adalah dengan membawa anak-anak bersantai
ataupun menghabiskan masa dengan kerja-kerja amal yang berfaedah tersebut.
Sebaik-baiknya anak-anak tidak dibenarkan membawa telefon bimbit kerana
dikhuatiri anak-anak akan leka dengan telefon bimbit. Tegasnya, ibu bapa perlu
memberikan peluang seluas-luas mungkin agar anak-anak bergaul dengan orang
ramai.

Ibu bapa juga boleh merancang untuk mengadakan aktiviti gotong-royong


sama ada di rumah mahupun di kawasan tempat kediaman mereka. Jika aktiviti
gotong-royong dilakukan di rumah, aktiviti seperti ini dapat merapatkan hubungan
kekeluargaan. Anak-anak akan bersama dengan ibu bapa membersihkan kawasan
rumah. Selain menyahut seruan kerajaan agar menjaga kebersihan terutama
persekitaran rumah tentulah banyak manfaat lain yang diperoleh. Hubungan
keluarga seperti ’air yang dicencang tidak akan putus’ akan dapat dilahirkan dan
menunjukkan betapa utuhnya perhubungan itu. Jika aktiviti gotong-royong turut
melibatkan jiran tetangga pula, maka semangat kejiranan di kawasan tempat
tinggal sendiri dan hubungan sosial dengan masyarakat setempat dapat dieratkan.
Keadaan ini akan mewujudkan semangat saling bertoleransi, saling menghormati
dan saling bertegur sapa dengan jiran-jiran. Kemungkinan wujudnya keadaan
bermasam muka sesama jiran disebabkan perselisihan yang kecil juga dapat
dielakkan kerana semangat persefahaman sudah terjalin. Jadi, ibu bapa wajar
mengambil peluang untuk merapatkan hubungan seperti ini melalui aktiviti
gotong-royong. Hal ini demikian kerana tentulah semasa melakukan kerja-kerja
pembersihan, ahli keluarga ataupun sesama jiran tetangga saling berinteraksi dan
anak-anak tidaklah hanya terperap di hadapan skrin komputer. Malahan, ibu atau
jiran tetangga boleh menyediakan masakan masing-masing lalu dikongsi dan
makan bersama-sama sebaik sahaja selesai aktiviti gotong-royong dijalankan.
Ringkasnya, aktiviti gotong-royong akan dapat mewujudkan jalinan hubungan
ukhuwah yang luar biasa dalam kalangan ahli keluarga mahupun jiran tetangga.

Ibu bapa juga boleh memainkan peranan dengan mengadakan Hari


Keluarga. Langkah mengadakan Hari Keluarga ini bertepatan dengan seruan
kerajaan bersempena dengan kempen ’Keluargaku Syurgaku’. Hari Keluarga ini
boleh diadakan dengan membabitkan kakitangan yang bekerja bersama-sama
ataupun dalam kalangan ahli keluarga yang dikumpulkan. Tempat aktiviti Hari
Keluarga boleh difikirkan sendiri sama ada di rumah, di pusat peranginan,
mahupun di kawasan kediaman setempat. Aktiviti seperti ini tentulah akan
mendorong anak-anak berinteraksi dalam lingkungan ahli keluarga yang hadir,
mahupun dengan anak-anak rakan sekerja atau anak-anak jiran tetangga. Anak-
anak juga boleh diajak untuk pergi membeli-belah bersama-sama bagi menjayakan
Hari Keluarga berkenaan. Dengan demikian, ibu bapa dapat mendedahkan anak-
anak kepada suasana orang ramai dan menanamkan sikap kerjasama sesama ahli
keluarga mahupun orang lain. Secara tidak langsung, anak-anak dapat
membiasakan diri dengan hubungan sosial yang melibatkan ramai orang. Semua
ini akan membentuk sikap interpersonal anak-anak dan mengelakkan anak-anak
menjadi pasif dalam hubungan sosial. Malah, anak-anak menjadi tidak segan untuk
berinteraksi dan berkomunikasi dengan semua ahli masyarakat. Anak-anak juga
tidak akan hanya terperap di dalam rumah dan menghadap komputer atau hanya
’berkomunikasi’ dengan gajet teknologi yang sememangnya tidak sihat untuk
mereka dalam jangka masa yang panjang.

Penutup:
1 peranan keluarga khasnya ibu bapa sangat penting untuk memupuk
anak-anak agar pandai berinteraksi dan bersosial
2 tanpa usaha yang jitu daripada ibu bapa, tentulah sukar untuk
membentuk hubungan sosial anak-anak.

Anda mungkin juga menyukai