Anda di halaman 1dari 38

Hukuman Qisas

UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM MENGENAI


JENAYAH QISAS BUNUH

BAB 1

QISAS DAN HIKMAT

Definasi Qisas

Qisas berasal dari kata perbuatan . Dari segi bahasa mempunyai beberapa makna. Ada kalanya
bererti “mengikut” seperti dalam Surah al-Qasas (ayat 11) “dan Ibn Musa berkata kepada
saudara Musa yang perempuan. Kau ikutlah dia” dan dalam Surah al-Kahfi (ayat 64) “lalu
kedua-duanya kembali mengikuti jejaknya tadi.” Selain dari itu boleh diertikan sebagai
“memotong atau menggunting” seperti dalam ayat “Qassa al-Sh’ar,” menceritakan seperti
dalam ayat “ia menceritakan khabar kepadanya” dan juga boleh membawa makna
persamaan.

Di antara makna-makna di atas, maka qisas yang bererti “mengikut” dan “menyamai” adalah
yang paling hampir kepada maksud qisas dari segi istilah syara’, di mana orang yang melakukan
jenayah bunuh atau mencederakan anggota tubuh badan akan diikuti dengan hukuman yang
menyamai dengan jenayah yang dilakukan, iaitu jika seseorang itu melakukan jenayah bunuh
akan dijatuhkan hukuman bunuh atau jika seseorang itu umpamanya memotong kaki orang, dia
juga akan dihukum potong kakinya dan begitulah seterusnya.
Menurut istilah syara’ pula qisas adalah satu jenis hukuman yang termasuk dalam
kategorihudud, iaitu suatu hukuman yang telah ditetapkan syara’ melalui nas-nas al-Quran dan
sunnah Rasulullah s.a.w bagi kesalahan-kesalahan yang melibatkan hak-hak anak Adam atau hak
individu seperti jenayah bunuh dan mencederakan anggota tubuh badan.

Sumber Hukum Qisas

Kewajipan melakukan undang-undang qisas tidak boleh dipertikaikan lagi kerana ianya telah
ditetapkan syara’ secara qat’I dan muktamad seperti mana wajibnya solat, puasa, zakat, haji dan
sebagainya. Ini berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Antara firman Allah Taala :

Maksudnya :

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang kena bunuh ;
seorang merdeka dengan seorang merdeka, seorang hamba dengan seorang hamba, seorang
perempuan dengan seorang perempuan. Maka barangsiapa yang mendapat kemaafan dari
saudaranya hendaklah mengikuti dengan baik dan hendaklah (yang diberi maaf) memberi (diyat)
kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik pula. Yang demikian itu suatu keringanan
dari tuhanmu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melanggar lagi sesudah itu maka untuknya
siksaan yang pedih”

Firman Allah :

Maksudnya :

Dan telah Kami wajibkan ke atas mereka (kaum Bani Israel) di dalam (Taurat) bahawa (nyawa)
di balas nyawa, mata (dibalas) dengan mata, hidung (dibalas) dengan hidung, telinga (dibalas)
dengan telinga, gigi (dibalas) dengan gigi dan luka-luka itu ada (balasan) qisasnya. Barangsiapa
yang melepaskan (hak) qisasnya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya.
Barangsiapa yang tidak menghukum menurut yang diturunkan Allah, maka mereka itu orang-
orang yang zalim”
Firman Allah :

Maksudnya :

“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan
dengan suatu (alas an) yang hak. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya
Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya. Tetapi janganlah ahli waris itu
melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat
pertolongan”.

Firman Allah:

Maksudnya :

“Bulan haram dengan bulan haram dan pada sesuatu yang patut dihormati berlaku hukum
qisas. Oleh itu barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah dia, seimbang dengan
serangannya terhadapmu. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah beserta
orang-orang yang bertakwa”

Firman Allah :

Maksudnya :

“Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang
ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik
bagi orang-orang yang sabar.
Manakala sumber-sumber daripada Sunnah Rasulullah s.a.w. pula; antaranya ialah :

Sabda Nabi s.a.w. :

Maksudnya :

“Barangsiapa yang (waris) baginya dibunuh, maka dia diberi dua pilihan ; sama ada
(menuntut) untuk membunuh atau (menuntut) bayaran diyat (gantirugi)”
Sabda Nabi s.a.w. :
Maksudnya :

Barangsiapa yang ditimpa pembunuhan, dia diberi pilihan antara tiga perkara, sama ada untuk
(menuntut) hukuman qisas atau menuntut diyat atau memaafkan.”
Sabda Nabi s.a.w. :
Maksudnya :

“Barangsiapa yang membunuh secara sengaja hendaklah diserahkannya kepada wali mangsa
yang kena bunuh. Jika mereka mahu, mereka boleh (menuntut) untuk membunuh (penjenayah),
dan boleh (menuntut) bayaran diyat”

Dengan keterangan daripaa nas-nas Al-Quran dan Al-Sunnah yang tersebut di atas, jelaslah
bahawa undang-undang jenayah mengenali qisas wajib dilaksanakan untuk memelihara salah
satu daripada maslahah atau kepentingan yang paling berharga iaitu nyawa dan tubuh badan.

Hikmat Disyariatkan Qisas

Tiap-tiap undang-undang atau peraturan yang disyariatkan Allah kepada umat manusia tidak
didatangkan dengan sia-sia. Bahkan mempunyai kebaikan dan hikmah yang kebanyakkannya
tidak diketahui oleh kebanyakkan orang. Maka begitulah halnya dengan undang-
undang qisasyang diwajibkan kepada orang-orang yang beriman untuk melaksanakannya, sama
sekali tidak menyusahkan atau memudaratkan ; tetapi mempunyai hikmah atau signifikasinya
yang tersendiri.

Antara hikmah syariat qisas ialah :

a. Untuk memberi keadilan kepada umat manusia, kerana qisas adalah satu hukuman yang
paling adil dan saksama. Ini kerana hukuman qisas menyamai dengan jenayah yang telah
dilakukan, umpamanya seorang yang membunuh dengan sengaja akan dikenakan hukuman
bunuh. Seorang yang memotong telinga orang akan dibalas dengan dipotong telinganya dan
sebagainya . Adalah tidak adil sekiranya seorang anak kehilangan bapanya yang dibunuh orang
dengan kejam, tiba-tiba pembunuh berkenaan tidak dijatuhkan hukuman bunuh. Begitu juga
adalah tidak adil sekiranya seorang yang hilang penglihatannya kerana perbuatan jahat orang,
tiba-tiba penjahat berkenaan tidak dihukum dengan hukuman yang serupa dengan jenayah yang
telah dilakukan; adalah tidak adil namanya.
b. Dengan melaksanakan hukuman qisas dapat mencegah dan menghalang orang yang
bercadang untuk melakukan jenayah daripada meneruskan niat buruknya. Jika mereka
mengetahui bahawa hukuman yang akan diterimanya adalah berat, menyamai dengan jenayah
yang dilakukan sudah tentu dia akan berfikir dua tiga kali dan akhirnya akan membatalkan niat
buruknya itu.

c. Undang-undang qisas dapat meredakan kemarahan dan dendam waris-waris mangsa


jenayah bunuh. Waris-waris seperti ibubapa atau anak-anak mangsa jenayah bunuh akan merasa
lega dan kurang marah jika pembunuh itu dihukum bunuh juga. Sebaliknya jika pembunuh itu
hanya dipenjara atau didenda maka waris tadi akan mencari jalan untuk membalas dendam
bukan sahaja kepada pemnbunuh ; bahkan boleh menjalar kepada keluarga si penjenayah. Hal
seperti ini berlaku di zaman jahiliah di mana jika didapati seorang sahaja anggota qabilahnya
dibunuh orang, maka qabilah berkenaan akan membalas dendam dengan membunuh seberapa
ramai anggota qabilah yang membunuh itu bagi memuaskan nafsunya.

d. Selain daripada itu dengan menjalankan undang-undang qisas bererti menjamin kehidupan
yang aman tenteram kepada seluruh umat manusia, sebagaimana firman Allah S.W.T :

Maksudnya :

“Dan di dalam qisas itu ada (jaminan) hidup bagimu wahai orang-orang yang berakal supaya
kamu bertakwa”

Ayat Al-Quran yang tersebut di atas menjelaskan bahawa faedah hukuman qisas bukan hanya
dirasai oleh wali atau waris mangsa ; bahkan ianya dapat dirasai oleh seluruh umat manusia,
sebab itu digunakan perkataan “dan bagi kamu semua.” Jadi qisas bukan sebagai satu tindakan
balas dendam yang faedahnya hanya dirasai oleh mangsa jenayah.

Ayat di atas juga menjelaskan bahawa kehidupan masyarakat dijamin oleh hukuman qisas.
Oleh kerana jika qisas tidak dijalankan maka nyawa dan tubuh badan akan dicerobohi tanpa
balasan dan pembelaan ; yang kuat akan menindas yang lemah. Hidup dalam keadaan huru-hara
dan kucar-kacir kerana tidak ada undang-undang dan peraturan yang mengawal keamanan dan
ketenteraman. Supaya hidup dalam keadaan kasih sayang dan aman damai ; maka perlulah
dijalankan hukuman qisas kerana ianya merupakan suatu hukuman yang adil dan saksama.

Begitu juga ayat di atas menerangkan bahawa matlamat dan keistimewaan syariat qisas hanya
dapat difahami dan diakui oleh mereka yang mempunyai akal fikiran yang waras. Lantaran
itulah Allah menunjukkan firman-Nya dengan perkataan ertinya “Wahai orang-orang yang
berakal”. Jadinya orang-orang yang tidak berakal atau yang tidak mempunyai akal yang waras
dan rasional tidak mahu menerima dan mengakui kebaikan undang-undang qisas . Sebaliknya
orang-orang yang seperti ini sanggup melemparkan tuduhan-tuduhan yang liar terhadap
syariat qisas seperti dituduhnya sebagai hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Oleh itu tidaklah menghairankan jika ada golongan manusia termasuk orang-orang Islam
sendiri yang menolak perlaksanaan undang-undang qisas kerana akal mereka sudah ditutupi
dan diselubungi dengan idea-idea atau isme-isme lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Hikmat undang-undang qisas juga telah diperjelaskan dalam Al-Quran :

Maksudnya :

“Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukuman) bagi Bani Israel bahawa barangsiapa yang
membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh orang lain) atau bukan
kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia
seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-
olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya”.

Ayat di atas memberi gambaran tentang kedurjanaan pembunuh secara sengaja walaupun
hanya membunuh seorang sahaja, seolah-olah dia membunuh manusia seluruhnya. Memang
tepat sekali perbandingan yang dijelaskan Al-Quran itu kerana selagi pembunuh itu masih bebas
dan tidak dikenakan hukuman yang setimpal, dia akan terus bermaharajalela mencari mangsa
yang lain untuk dibunuhnya. Oleh sebab itu ianya diumpamakan seperti telah membunuh
semua manusia kerana dia telah mencerobohi hak seseorang untuk hidup dalam keadaan aman
damai. Barang siapa yang memusuhi kehidupan seseorang seolah-olah dia telah mencerobohi
hak orang ramai untuk hidup.

Seterusnya ayat di atas menjelaskan bahawa sesiapa yang menghidupkan seseorang, dengan cara
menjalankan hukuman qisas seolah-olah telah memberi kehidupan kepada semua orang. Ini
adalah kerana apabila pembunuh itu telah dikenakan hukuman qisas bunuh, maka secara
langsung atau tidak langsung telah dapat menyelamatkan bakal mangsa pembunuhan daripada
kekejaman penjenayah.

Ayat di atas juga boleh dimaksudkan bahawa dengan melaksanakan hukuman qisas kepada
penjenayah bunuh akan menghidupakan waris-waris dan keluarga mangsa, dengan erti kata
bahawa semangat dan kekuatan waris-waris dapat dipulihkan setelah mereka kecewa dan patah
hati kerana kematian anaknya yang dibunuh oleh penjenayah itu.
Qisas Dalam Ugama-ugama Lain

Qisas atau hukuman bunuh balas bukan hanya disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad
s.a.w. sahaja, bahkan ianya juga telah disyariatkan kepada umat nabi-nabi yang terdahulu
sebagaimana firman Allah setelah menceritakan pembunuhan Habil oleh saudaranya Qabil
kerana cemburu dan hasad dengki.

Firman Allah :

Maksudnya :

“Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukuman) bagi Bani Israel bahawa barangsiapa
membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain atau bukan kerana
membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia
seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-
olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya”

Jelasnya Allah menerangkan bahawa qisas terdapat dalam kitab Taurat seperti firman-
Nya :

Maksudnya :

“Dan telah kami fardukan ke atas mereka (Bani Israel) di dalam (Kitab Taurat) bahawasanya
jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga,
gigi dengan gigi dan luka-lukapun ada qisasnya”

Begitu juga dalam kitab Old Testiment, (fasal ke 21 menerangkan, “sesungguhnya siapa yang
memukul orang hingga mati hendaklah ia dibunuh dan jika seorang itu menganiayai seorang
lain lalu dibunuhnya, maka lebih baik pembunuh itu dibawa ke hadapan untuk dibunuh balas”

Qisas juga terdapat dalam syariat Nabi Isa a.s. sebagaimana firman Allah :

Maksudnya :

Dan kami iringkan jejak mereka (nabi-nabi Bani Israel) dengan ‘Isa Putera Maryam,
membenarkan kitab yang sebelumnya, iaitu Taurat. Dan Kami telah memberikan kepadanya
Kitab Injil, sedang di dalamnya ada petunjuk dan cahaya, dan membenarkan kitab yang
sebelumnya, iaitu Kitab Taurat dan menjadi petunjuk serta pegangan untuk orang-orang yang
bertakwa”
Firman Allah selanjutnya :

Maksudnya :
“Dan hendaklah pengikut-pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan
Allah di dalamnya (Injil). Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang
diturunkan Allah, mereka itu adalah orang-orang yang fasiq.”

Bagaimanapun apa yang terkandung dalam Bible Mathew bertentangan dengan apa yang
disebutkan dalam Al-Quran. Oleh itu mengiktu setengah golongan dalam agama Kristian
mengatakan bahawa seorang pembunuh itu tidak dikenakan hukuman qisas bunuh berdasarkan
kitan Injil Mathew maksudnya, “Adapun aku katakana kepadamu ; Jangan kamu lawan
kejahatan (dengan kejahatan). Bahkan barangsiapa yang menampar pipimu yang kanan maka
tukarkan pula ke pipimu yang lain.” Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat
hukuman bunuh terdapat dalam agama Masihi berdasarkan kata-kata Nabi Isa, “Aku tidak
datang untuk mengurangkan malaikat Jibril tetapi untuk menyempurnakannya.

Dengan keterangan-keterangan yang tersebut di atas adalah jelas bahawa qisas bukan hanya
diwajibkan di dalam Islam ; bahkan ianya telah diwajibkan di dalam agama-agama Samawi yang
terdahulu seperti ugama Yahudi dan Nasrani. Jadi sepatutnya tidak menjadi pelik dan hairan jika
undang-undang qisas khasnya dan undang-undang jenayah umumnya dilaksanakan oleh umat
Islam hari ini.

Tanggapan-tanggapan Negatif Terhadap Qisas

Pandangan-pandangan yang serong terhadap undang-undang jenayah Islam umumnya dan


undang-undang qisas khususnya: adalah disebabkan sama ada mereka memang tidak
memahaminya ataupun sengaja tidak mahu memahami, dengan tujuan untuk menyesatkan orang
lain. Lebih-lebih lagi jika golongan yang tidak mahu faham ini terdiri dari kalangan umat Islam
sendiri.

Di antara tanggapan-tanggapan yang salah adalah seperti di bawah ini :

a. Qisas adalah satu hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Orang-orang yang
menganggap qisas sebegitu rupa kerana lebih mengambil berat tentang nasib penjenayah itu
daripada memikirkan nasib orang ang menjadi mangsa penjenayah itu sendiri. Sedangkan
sepatutnya orang yang tidak mempunyai sifat belas kasihan, seperti penjenayah tidak patut
diberi belas kasihan; sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya :

“Barang siapa yang tidak ada belas kasihan, janganlah diberi kasihan belas”

Lagi pula jika ditelitikan bahawa hukuman qisas adalah satu yang paling saksama kerana
hukuman yang diterima penjenayah itu serupa dengan jenayah yang dilakukan ; seperti
penjenayah bunuh dikenakan hukuman bunuh balas, seorang yang memotong telinga orang
dihukum potong telinganya dan begitulah seterusnya.
b. Qisas dianggap kononnya satu undang-undang yang ketinggalan zaman dan tidak sesuai
dengan budaya masyarakat di sini. Sebenarnya jika seseorang itu mempercayai qisas ini
undang-undang Allah yang terkandung dalam Al-Quran, maka tidak timbul anggapan seperti
itu. Lebih-lebih lagi ianya diriwayatkan kepada Nabi Muhammadn s.a.w. sebagai utusan yang
terakhir. Maka sudah tentulah syariat Allah sesuai pada bila-bila masa dan di mana juga.
Tambahan pula tidak akan ada lagi syariat selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. . Lagipun
anggapan seperti ini seolah-olah undang-undang jenayah Islam, khususnya qisas hanya sesuai
di zaman Nabi Muhammad s.a.w dan di kalangan masyarakat Arab sahaja. Sedangkan pada
umumnya umat Islam mempercayai ajaran Islam untuk sepanjang zaman hingga qiamat, yakni
sama kedudukannya dengan hukum-hukum mengenai solat, zakat, haji dan perkahwinan Islam
yang tidak dianggap ketinggalan zaman atau tidak sesuai dengan budaya bangsa Malaysia.

c. Qisas kononnya sebagai hukum suku-suku bangsa atau dengan lain perkataan dianggap
sebagai undang-undang Arab Jahiliah. Anggapan seperti ini adalah amat berat kerana ianya
menyamakan qisas dengan undang-undang Arab Jahiliah dan sekaligus menafikan qisas
sebagai syariat Allah S.W.T. Padahal ianya terang-terang sebagai syariat Allah kerana
berdasarkan kepada dalil-dalil dan nas yang jelas di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah
s.a.w. sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Jika sesuatu hukum yang telah ditetapkan
di dalam Al-Quran tidak dipercayai., maka sikap yang seperti ini boleh merosakkan aqidah
seseorang; apatah lagi jika dikaitkan undang-undang qisas itu dengan amalan Arab Jahiliah.

Sedangkan antara qisas dan hukum balas dalam Arab Jahiliah adalah jauh bezanya, sepertimana
jauhnya jarak antara langit dan bumi. Sebagai contoh, dalam hukuman balas Arab Jahiliah jika
didapati seorang sahaja anggota qabilahnya dibunuh, maka qabilah berkenaan akan membalas
dendam dengan membunuh seberapa ramai anggota qabilah pembunuh. Sedangkan dalam
undang-udang qisas hanya pembunuhnya sahaja yang dikenakan hukuman bunuh kerana Islam
melarang membunuh seseorang tanpa hak, sebagaimana firman Allah:

Maksudnya :

Dan janganlah kamu membunuh orang yang Allah haramkan (membunuhnya) melainkan dengan
(alasan) yang benar. Dan barang siapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah
memberi kekuasaan kepada ahli warisnya tetapi janganlah melampaui batas dalam membunuh”

Begitu juga dalam Surah Al-Anam ayat 51, maksudnya : “dan janganlah kamu bunuh jiwa yang
Allah haramkan (membunuhnya) melainkan dengan suatu (sebab) yang benar”. Maksud
membunuh dengan sebab yang hak seperti melakukan bunuh kepada penjenayah zina yang
sudah berkahwin, kepada orang yang keluar daripada Islam (murtad) dan membunuh secara
qisas kepada penjenayah bunuh.
d. Qisas kononnya dianggap sebagai tindakan balas dendam. Orang yang mempunyai
anggapan sebegini sebenarnya tidak memahami undang-undang qisas, walaupun kedua-dua
sistem itu ada persamaan dari segi hukuman balas seperti bunuh dibalas bunuh dan
mencederakan anggota badan akan dicederakan balik. Pada hakikatnya antara balas dendam
dan qisas jauh bezanya.

Dalam amalan balas dendam biasanya orang yang berdendam tidak pedulikan soal persamaan
antara apa yang telah dilakukan oleh penjenayah dengan balasan yang akan dikenakan
kepadanya, sedangkan dalam melaksanakan hukuman qisas disyaratkan supaya hukuman itu
menyamai dengan kesalahan yang dilakukan. Jika hukuman itu tidak boleh menyamai jenayah
yang dilakukan perlu ditukar hukuman qisas itu kepada hukuman lain. Begitu juga dalam
melakukan amalan balas dendam seseorang itu tidak hanya membalas kepada penjenayah,
bahkan kepada orang lain yang tidak ada kena mengena dengan jenayah berkenaan. Manakala
hukuman qisas hanya dikenakan kepada penjenayah itu sendiri dan tidak boleh dilibat orang
lain ; walaupun kepada ibu bapa, anak-anak atau warisnya yang terdekat.

Selain dari itu dalam amalan balas dendam maka orang yang berdendam itu sendiri yang akan
melaksanakan balasan dendam. Jadi kadar balas dendam itu berbeza-beza mengikut kekuatan
masing-masing. Jika seseorang yang berdendam itu mempunyai tubuh badan yang kuat maka
dia akan bertindak lebih ganas dan kejam. Sebaliknya jika yang berdendam itu tidak kuat,
maka tindakan balas dendamnya tidak berapa liar dan ganas.

Manakala dalam sistem qisas tidak memberi apa-apa kesan tentang kekuatan atau kelemahan
mangsa jenayah berkenaan, kerana qisas tidak dijalankan oleh orang perseorangan, tetapi
dijalankan melalui perbicaraan di mahkamah yang dibentuk oleh pihak pemerintahan Islam.
Malahan dengan menjalankan hukuman qisas boleh menghapuskan amalan balas dendam.

Amalan balas dendam adalah perkara biasa dalam cara hidup `Arab Jahiliah, sehingga kadang
kala terbawa-bawa walaupun sesudah memeluk Islam; sebagaimana satu riwayat menyatakan
bahawa ada dua suku `Arab Jahiliah bermusuh-musuhan di zaman Jahiliah lagi. Ada di antara
mereka yang kena bunuh dan yang kena luka, termasuklah hamba-hamba dan wanita. Qabilah
berkenaan tidak mengambil tindakan balas dendam kepada qabilah yang lain sehinggalah mereka
masuk Islam. Setelah Islam mereka terus bermusuhan antara satu dengan yang lain sehingga
mereka bersumpah bahawa mereka tidak rela, melainkan jika seorang merdeka dari qabilah
yang satu itu dibunuh balas disebabkan adanya seorang hamba yang dibunuh oleh qabilah lain.
Malahan mereka tidak rela melainkan jika seorang lelaki dari qabilah lain dibunuh balas kerana
seorang wanita dari qabilah lain dibunuh orang.

Kemudian turunlah ayat 178 Surah Al-Baqarah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang
beriman diwajibkan ke atas kamu qisas.”.

Oleh itu dengan turunnya ayat yang mensyariatkan qisas, maka amalan balas dendam dapat
dihapuskan jika undang qisas itu dijalankan di dunia hari ini.
BAB II

JENAYAH BUNUH YANG MEWAJIBKAN


HUKUMAN QISAS

Pendahuluan

MENURUT syariat Islam pembunuhan pada asalnya terbahagi kepada dua. Pertama,
pembunuhan yang diharamkan iaitu pembunuhan yang dilakukan dengan adanya permusuhan
seperti membunuh orang yang tidak bersalah; dan keduanya ialah pembunuhan yang hak dan
dibenarkan iaitu pembunuhan yang tidak ada tanda-tanda permusuhan seperti menjalankan
hukuman bunuh ke atas penjenayah bunuh, murtad dan pesalah zina yang muhsan. Ini
sebagaimana yang disebutkan melalui sabda Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya :

“Tidak halal (mengambil) darah seorang Muslim melainkan kerana salah satu daripada tiga
(sebab); kerana kufur sesudah beriman, zina sesudah ihsan dan membunuh orang tanpa dibunuh
balas”

Jenis-Jenis Jenayah Bunuh

‘Ulama’ fiqh mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai pembahagian jenis jenayah
bunuh ini. Ada di antara ulama yang membahagikan kepada dua jenis sahaja, iaitu pembunuhan
dengan sengaja dan pembunuhan secara tersalah.

Setengah mereka membahagikan kepada tiga jenis iaitu selain dari dua jenis di atas ditambah
satu jenis lagi iaitu pembunuhan yang menyerupai dengan secara
sengaja

Ada pula ulama yang membahagikan kepada empat jenis iaitu selain dari 3 jenis yang
disebutkan di atas; ditambah lagi dengan satu jenis pembunuhan yang menyerupai dengan
tersalah bunuh.

Manakala setengah ulama pula membahagikan jenayah bunuh itu kepada lima jenis iaitu empat
jenis yang tersebut di atas dan pembunuhan secara tidak langsung atau bersebab.

Perbezaan yang nyata antara pembahagian dua jenis dengan pembahagian yang lain kerana
‘ulama’ yang membahagikan pembunuhan itu kepada dua jenis sahaja, mereka tidak mengakui
pembunuhan yang menyerupai sengaja. Walau bagaimanapun menurut pendapa tyang masyhur
pembunuhan itu terbahagi kepada tiga iaitu pembunuhan dengan sengaja, yang menyerupai
dengan sengaja dan pembunuhan tersalah atau tidak sengaja.
Pada hakikatnya tidak ada perbezaan di antara pembahagian jenis pembunuhan kepada tiga jenis
dengan yang empat atau lima jenis pembunuhan, kerana ulama yang membahagikan kepada
empat jenis itu memisahkan antara pembunuhan secara tersalah bunuh. Manakala yang
membahagikan pembunuhan itu kepada lima pula memisahkan antara pembunuhan secara
langsung dengan pembunuhan yang dilakukan dengan ada sebab dan musabab.

Tetapi jika merujuk kepada Al-Quaran maka jenayah bunuh itu hanya terbahagi kepada dua jenis
sahaja iaitu pembunuhan dengan sengaja dan pembunuhan secara tersalah atau tidak sengaja,
sebagaimana

firman Allah :

Maksudnya :

“Barangsiapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah
Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan mengutuknya serta
menyediakan azab yang besar baginya.

Dan juga firman-Nya :

Maksudnya :

“Dan barang siapa membunuh seorang Mukmin kerana tersalah (hendaklah) ia memerdekakan
seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar diyat yang diserahkan kepada keluarga
(si terbunuh itu) kecuali jika mereka bersedekah”

Oleh kerana jenis pembunuhan yang mewajibkan hukuman qisas ialah pembunuhan secara
sengaja, maka perbincangan akan ditumpukan kepada jenayah membunuh secara sengaja.

Syarat-syarat yang mewajibkan hukuman qisas


Untuk menentukan penjenayah bunuh itu boleh dijatuhkan hukuman qisas perlu ditelitikan
syarat-syarat berikut :

a. Pembunuhan Secara Sengaja

b. Pembunuhan Berpunca Dari Permusuhan

c. Pertanggungjawaban Penjenayah

d. Persamaan Antara Penjenayah Dengan Mangsanya


SYARAT PERTAMA

a) Pembunuhan Secara Sengaja

Ulamak memberikan definisi yang berbeza-beza mengenai pembunuhan jenis ini. Antaranya
menerangkan bahawa yang dikatakan pembunuhan secara sengaja ialah apabila penjenayah itu
sengaja memukul mangsanya dengan senjata dan sebagainya seperti benda yang tajam dari batu
atau kayu untuk mengambil nyawa seseorang.
Setengahnya pula mentakrifkannya sebagai sengaja menyerang dengan suatu yang pada
kebiasaannya boleh membawa maut. Satu lagi takrif menegaskan “bahawa tiap-tiap yang
disengajakan manusia ada dengan menempeleng atau menumbuk atau memukul dengan
senapang, batu, kayu dan sengajanya; semua itu adalah membunuh dengan sengaja jika
mangsanya itu mati dalam kejadian itu.”
Untuk penjelasan lebih lanjut mengenai pembunuhan secara sengaja, di bawah ini diterangkan
satu demi satu rukun-rukun bagi pembunuhan secara sengaja.

Rukun-rukun bagi pembunuhan secara sengaja

Bagi menentukan jenayah itu dilakukan secara sengaja ; maka perlulah menepati ketiga-tiga
rukun berikut :

1. Pembunuhan itu dilakukan ke atas manusia yang masih hidup.


2. Kematian itu hasil dari perbuatan pembunuh
3. Adanya niat sengaja membunuh

Rukun Pertama

Pembunuhan dilakukan ke atas manusia yang masih hidup

Mangsa jenayah bunuh itu mestilah manusia yang masih hidup. Oleh itu sekiranya mangsa
penjenayah itu bukan manusia seperti hukuman qisas kerana dia tidak dikira sebagai pembunuh
secara sengaja; walaupun boleh dianggap sebagai menzalimi binatang. Begitu juga sekiranya
seseorang itu memotong sebarang anggota seseorang yang telah mati tidak dianggap sebagai
pembunuh, kerana kematian orang itu bukan hasil dari perbuatan orang yang memotong mayat
berkenaan. Oleh itu orang yang memotong sebarang anggota seseorang yang telah mati tidak
boleh dihukum qisas tetapi diwajibkan hukuman takzir kerana menganiayai mayat.

Apa yang dimaksudkan dengan “seorang yang sudah mati” ialah seseorang yang telah terpisah
nyawanya dari jasadnya secara pasti. Jadi sekiranya seorang itu membunuh seorang yang sedang
sakit tenat adalah dikira sebagai pembunuh secara sengaja kerana penjenayah itu yang
menghabiskan nyawanya dari jasad mangsanya.
Adapun kalau umpamanya ada dua orang melakukan jenayah sehingga akhirnya mangsanya itu
mati ; katakanlah penjenayah yang pertama memukul kepala seseorang dengan besi yang berat,
tetapi orang itu masih ada harapan boleh hidup lagi, tiba-tiba selepas itu penjenayah yang kedua
memancing lehernya hingga mati, maka yang bertanggungjawab dalam jenayah ini ialah
penjenayah yang kedua. Justeru dialah yang mengambil nyawa dari jasad mangsanya.

Manakala dalam kes umpamanya penjenayah pertama menikam perut Umar hingga terburai isi
peru
tnya, kemudian datang seorang lain memancung leher Umar hingga mati, maka ulamak
mempunyai pandangan yang berbeza-beza. Ada yang berpendapat bahawa penjenayah yang
pertamalah yang membunuh kerana dialah yang menjadikan mangsanya dalam keadaan maut.
Manakala sebahagian ulama pula berpendapat bahawa yang membunuh mangsa berkenaan ialah
penjenayah yang kedua kerana walaupun pada masa orang yang kedua melakukan jenayahya,
nyawa mangsa tidak menentu lagi, tetapi masih dianggap bernyawa. Mangsa itu tidak boleh
dianggap sudah mati selagi nyawanya belum berpisah dari jasadnya. Oleh itu orang yang
melakukan jenayah yang paling hampir kepada kematian mangsa itulah dianggap sebagai
pembunuhnya.

Begitulah halnya dengan orang yang memukul perut seorang yang sedang mengandung
sehingga anak yang dalam kandungannya itu mati, maka dia tidak dianggap sebagai membunuh
manusia yang hidup, kerana anak yang dalam perut itu tidak dikira sebagai manusia yang sudah
bernyawa sepenuhnya. Sungguhpun demikian penjenayah berkenaan boleh dianggap telah
melakukan kesalahan membunuh dari jenis yang khusus dan boleh dikenakan hukuman yang
khas, sebagaimana ada hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. ada memutuskan satu
kes di mana seorang yang menyebabkan kematian seorang bayi dalam kandungan seorang
wanita dari Bani Lihyan iaitu dengan membayar diyat bernilai seorang hamba.

Rukun Kedua

Kematian itu berpunca dari perbuatan pembunuh

Perkara kedua yang menentukan pembunuhan itu dilakukan dengan sengaja ialah jika kematian
itu dari perbuatan pembunuh dan ianya dilakukan untuk membunuh. Dengan ini bererti jika
berlaku kematian seseorang itu bukan disebabkan oleh perbuatan orang seperti seorang itu mati
kerana dihempap pokok, ataupun perbuatan itu tidak sampai membawa maut, seperti memukul
dengan pensil ; maka orang yang melakukan tindakan seperti itu tidak boleh dianggap sebagai
pembunuh secara sengaja.

Pembunuhan yang dilakukan oleh penjenayah itu tidak disyaratkan dengan cara-cara yang
tertentu. Bahkan memadai sama ada dengan cara memukul, melukakan, memancung leher,
membakar, menenggelamkan, meracun dan sebagainya.

Begitu juga tidak menjadi syarat sama ada perbuatan yang dilakukan oleh pembunuh itu hanya
sekali atau berulang-ulang kali ; asalkan perbuatan penjenayah itu membawa maut.
Alat sebagai penentu jenis pembunuhan

Oleh kerana kebiasaannya penjenayah menggunakan alat atau senjata untuk membunuh
mangsanya, maka di bawah ini dibincang sama ada alat yang digunakan itu penting atau tidak
untuk menentukan jenis pembunuhan.

Telah menjadi kebiasaan bahawa tiap alat atau senjata mempunyai kekuatan dan kesan
penggunaanya yang tertentu. Begitu juga bagi setiap kejadian membunuh biasanya kerana
adanya alat dan sebab yang membawa kepada kematian. Akan tetapi oleh kerana sebab dan alat
yang menyebabkan kematian itu berbeza-beza dari segi kuat atau tidaknya dan dari segi
kesannya kepada tubuh badan, maka ulamak mempunyai pandangan yang berbeza-beza
mengenai hukum dan syarat-syarat bagi alat atau senjata yang digunakan.

Imam Malik tidak meletakkan apa-apa syarat bagi perbuatan yang dilakukan oleh pembunuh
atau bagi alat yang digunakan. Tiap-tiap perbuatannya yang disengajakan oleh seseorang sama
ada dengan cara memukul, menumbuk, menempeleng atau dengan menggunakan senjata, kayu,
batu dan sebagainya, semuanya itu dikira sebagai membunuh dengan sengaja jika tindakan
penjenayah itu menyebabkan mangsanya mati.

Jadi Imam Malik menjadikan “niat membunuh” sebagai asas yang menentukan penjenayah itu
membunuh secara sengaja dengan tidak mengambil kira tentang alat yang digunakan.
Sebaliknya jika seseorang itu sengaja bergurau atau bermain-main dengan tidak ada niat
hendak membunuh, seperti jika dua orang itu mengaku bermain silat ; lalu salah seorang itu
dapat menarik kaki hingga jatuh lalu mati, maka kematian seperti ini dianggap sebagai tersalah
bunuh dan bukan sebagai membunuh secara sengaja.

Ini kerana penjenayah berkenaan melakukannya dengan cara bergurau dan bermain-main dan
tidak ada niat untuk membunuh. Tetapi jika seseorang itu bertindak seperti hendak membunuh
atau dengan menunjukkan kemarahannya lalu menyerang mushnya hingga mati, maka orang itu
telah membunuh mangsanya secara sengaja.

Oleh itu mengikut mazhab Maliki untuk menentukan pembunuhan secara sengaja, tidak
memerlukan apa-apa syarat bagi perbuatan pembunuh dan alat atau senjata yang digunakan.
Walaupun dengan cara menumbuk, menempeleng atau membaling dengan batu atau memukul
dengan tongkat kecil; yang semuanya itu pada kebiasaanya tidak membawa maut. Bagaimanapun
ianya boleh dikara sebagai pembunuh dengan sengaja jika penjenayah itu sengaja melakukan
pencerobohan dan jika orang yang dicerobohi itu mati dengan sebab perbuatannya itu.

Pandangan ini adalah menepati jenis pembunuhan dalam Mazhab Maliki kepada dua jenis sahaja
iaitu membunuh secara sengaja dan tersalah bunuh, kerana sesuatu perbuatan itu dilakukan sama
ada sengaja atau tersalah. Oleh itu tidak boleh dianggap bahawa pembunuhan dengan
menggunakan alat yang pada kebiasannya tidak membawa maut seperti rotan kecil, cemeti, kayu
pembaris dan sebagainya sebagai tersalah bunuh, jika penjenayah itu sengaja membunuh dan
berniat untuk membunuh mangsanya.

Imam Shafie dan Hanbali menyatakan bahawa yang dikatakan pembunuhan secara sengaja, jika
penjenayah itu menggunakan alat atau senjata yang pada kebiasaannya boleh mematikan
seseorang. Pembunuhan secara sengaja ialah seseorang itu sengaja membunuh dengan
menggunakan alat yang pada ghaibnya boleh membawa maut, walaupun dengan benda yang
tidak tajam. Sebaliknya jika alat yang digunakan itu pada kebiasaannya tidak boleh mematikan
maka pembunuhan itu dianggap sebagai yang menyerupai dengan sengaja.

Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa alat yang digunakan dalam pembunuhan itu selain
dari jenis yang pada kebiasaannya boleh membawa maut, hendaklah alat itu tajam yang boleh
menceraikan tubuh badan ; sama ada yang diperbuat daripada besi tembaga, kayu dan
sebagainya (seperti pedang, parang, lembing, anak panah dan alat-alat yang boleh memotong dan
menikam seperti kaca, api dan sebagainya).

Oleh itu menurut Imam Abu Hanifah sekiranya senjata yang digunakan itu daripada jenis yang
biasanya boleh membunuh dan memang disediakan untuk membunuh seperti pedang atau
senjata api, maka pembunuhan seperti itu dianggap sebagai sengaja membunuh. Namun begitu
jika senjata itu pada kebiasaannya boleh mematikan tetapi bukan dari jenis yang boleh
melakukan atau menikam seperti kayu besar atau batu besar, maka perbuatan bunuh itu sebagai
menyerupai dengan sengaja ; walaupun penjenayah itu berniat hendak membunuhnya.

Perselisihan pendapat ulamak itu adalah berpunca dari perselisihan mereka dalam menentukan
jenis pembunuhan. Umpamanya Imam Malik menetapkan niat membunh sebagai asas bagi
menentukan pembunuhan secara sengaja dengan tidak mengambil kira mengenai alat yang
digunakan. Ini kerana Imam Malik hanya membahagikan pembunuhan itu kepada dua jenis
sahaja ; iaitu secara sengaja dan tersalah bunuh.

Manakala Imam Syafie dan Ahmad dalam menentukan pembunuhan itu sebagai sengaja, selain
dari adanya niat sengaja membunuh, disyaratkan adanya tanda-tanda yang membuktikan niat
itu; iaitu dengan cara menggunakan alat yang pada kebiasaannya boleh mencabut nyawa orang.

Begitu juga pendapat Imam Abu Hanafah. Malahan pendapat beliau ditambah dengan satu lagi
syarat iaitu alat yang pada kebiasaannya boleh membawa maut itu mesti tajam dan boleh
memotong atau menceraikan anggota tubuh badan.

Setelah diteliti pendapat ulamak yang tersebut, pendapat Imam Syafie dan Ahmad dalam
menentukan pembunuhan itu sebagai sengaja adalah lebih munasabah dan sesuai. Justeru kalau
hanya bergantung semata-mata kepada niat adalah sukar untuk menentukannya. Lebih-lebih
lagi‘niat’ adalah perkara dalam sanubari yang tidak ada siapa yang mengetahuinya. Jadi untuk
mengetahui niat penjenayah itu perlu ada bukti luaran iaitu dengan meneliti senjata yang
digunakan. Jika alat yang digunakan itu pada kebiasaannya boleh mematikan, bolehlah
dianggap sebagai membunuh dengan sengaja. Sebaliknya jika senjata yang digunakan itu
pada ghalibnya tidak boleh membunuh seperti kayu kecil, batang pensil, rotan kecil dan lain-
lain ; maka pembunuhan itu tidak dikira sebagai sengaja membunuh. Begitulah juga senjata
yang biasanya membawa maut itu tidak semestinya tajam atau yang boleh menceraikan anggota
tubuh badan.

Rukun Ketiga

Niat sengaja membunuh

Ulamak mempunyai pendapat yang berbeza-beza dalam menentukan sama ada qasad atau niat
sengaja itu sebagai rukun bagi jenayah bunuh secara sengaja. Walau bagaimanapun kebanyakan
ulama berpendapat bahawa pembunuh itu mesti ada niat dengan sengaja hendak membunuh
mangsanya. Jika penjenayah itu tidak ada niat untuk membunuh, maka pembunuhan itu tidak
dianggap sebagai sengaja membunuh, walaupun penjenayah berkenaan ada niat sengaja untuk
mencerobohi mangsanya. Lantaran niat sengaja menceroboh dengan tidak ada niat untuk
membunuh tidak cukup untuk membuktikan penceroboh itu melakukan pembunuhan secara
sengaja.

Dalam kitab-kitab mazhab Hanafi memberi takrif sengaja membunuh sebagai suatu yang
sengaja dilakukan dengan memukul mangsanya dengan senjata atau sebagainya; dan seorang
pembunuh itu dianggap sengaja apabila dia berniat sengaja untuk membunuh orang.

Ulamak mazhan Shafie pula mentakrifkan pembunuhan secara sengaja seperti berikut :

Maksudnya :

“Bahawa pembunuhan secara sengaja ialah sengaja (qasad) untuk menyerang dengan suatu
yang pada kebiasaannya alat itu boleh membunuh seseorang”

Begitu juga dalam kitab matan Abi Syuja’ menyatakan :

Maksudnya :

“Sengaja membunuh itu apabila seorang itu sengaja memukul seorang dengan menggunakan
suatu yang pada ghalibnya boleh membawa maut dan qasad membunuhnya dengan
menggunakan alat yang tersebut”

Manakala mazhab Hanbali mentakrifkan sengaja membunuh sebagai membunuh manusia


dengan suatu yang pada sangkaan biasanya boleh membunuhnya. Selain dari itu disyaratkan
adanyaqasad sengaja dan jika tidak ada qasad sengaja membunuh maka tidak diwajibkan qisas.
Niat sengaja membunuh amat penting bagi ketiga-tiga mazhab yang tersebut, kerana niat itulah
yang membezakan antara pembunuhan secara sengaja dengan yang menyerupai dengan sengaja
dan juga dengan pembunuhan yang tersalah atau tidak sengaja. Oleh yang demikian jika
penjenayah itu berniat sengaja membunuh mangsanya, maka pembunuhan itu dianggap sebagai
sengaja. Jika penjenayah itu walaupun dengan sengaja melakukan permusuhan tanpa niat
hendak membunuh, maka pembunuhan ini dianggap sebagai menyerupai dengan sengaja.
Manakala jika penjenayah itu ada niat sengaja melakukan tindakan yang tidak ada niat untuk
melakukan permusuhan maka pembunuhan seperti ini dianggap sebagai tersalah bunuh.

Imam Malik pula tidak menjadikan niat sengaja membunuh itu sebagai syarat untuk
menentukan suatu pembunuhan itu sebagai sengaja. Bahkan memadai dengan adanya niat
permusuhan, asalkan pembunuhan bukan hasil dari bergurau, bermain atau mengajar.

Kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa niat sengaja membunuh menjadi syarat utama bagi
jenayah bunuh dengan sengaja. Akan tetapi oleh kerana niat adalah perkara yang tersembunyi
di hati sanubari seseorang, maka sudah tentu sukar untuk dikesan. Oleh itu kebanyakkan ulamak
berpendapat bahawa untuk membuktikan niat penjenayah itu perlu kepada suatu perkara yang
berkait rapat dengan penjenayah.

Pada kebiasaannya untuk menentukan niat seseorang akan diukur dari segi alat atau senjata yang
digunakan dalam pembunuhan itu, kerana penjenayah biasanya akan memilih senjata yang
sesuai untuk melaksanakan niatnya.

Jika berniat hendak membunuh mangsanya dia akan menggunakan senjata yang sesuai untuk
tujuan tersebut seperti pedang panjang, senjata api dan sebagainya. Sebaliknya kalau hanya
berniat hendak memukul sahaja dia akan gunakan senjata yang ringan seperti kayu kecil, rotan
dan sebagainya. Oleh itu penggunaan alat atau senjata yang pada kebiasaannya boleh membawa
maut adalah bukti lahir yang menunjukkan niat penjenayah.

Walau bagaimanapun dalam menentukan sama ada seseorang pembunuh itu melakukannya
dengan sengaja atau tersalah bunuh tidak boleh semata-mata bergantung kepada senjata yang
digunakan kerana boleh jadi seseorang itu menyerang lawannya dengan menggunakan senjata,
tetapi berniat tidak membunuhnya tetapi berlaku dengan secara tersalah atau tidak sengaja.

Oleh yang demikian untuk membuktikan niat seseorang dengan melihat kepada senjata yang
digunakan adalah tidak mencukupi, tetapi perlu kepada perbincangan yang lebih mendalam lagi.
Jadi adalah lebih baik untuk menentukan niat penjenayah itu diserahkan kepada hakim sehingga
beliau berpuashati bahawa penjenayah itu melakukan dengan sengaja, sama ada melalui alat
yang digunakan atau dengan meneliti bagaimana permusuhan itu berlaku dan sebagainya.
SYARAT KEDUA

Pembunuhan Berbunca Dari Permusuhan

Syarat kedua bagi membolehkan penjenayah itu dihukum bunuh balas (qisas) jika
pembunuhan itu berlaku disebabkan adanya permusuhan antara pembunuh dengan mangsanya.
Ini bererti jika seseorang itu membunuh orang kerana mempertahankan dirinya atau
menunaikan tanggungjawabnya atau kerana menggunakan haknya, maka pembunuhan seperti
itu tidak dianggap sebagai memusuhi mangsanya.

Oleh itu pegawai penjara yang ditugaskan utuk melaksanakan hukuman bunuh ataupun
seorang yang mempertahankan dirinya dari serangan orang, hingga terpaksa membunuh
penyerangnya, tidak boleh dijatuhkan hukumanqisas ke atasnya kerana dia membunuh orang itu
bukan kerana permusuhannya, tetapi menunaikan kewajipannya atau untuk mempertahankan
dirinya.

Jadi ada tiga perkara yang boleh menjadi bukti bahawa sesuatu pembunuhan itu berlaku bukan
kerana adanya permusuhan .

Pertama : menunaikan kewajipan

Kedua : menggunakan hak, dan

Ketiga : kerana mempertahankan diri.

Pertama : Menunaikan Kewajipan

Jika seorang itu tugasnya memang untuk melaksanakan hukuman bunuh kepada penjenayah,
maka apabila dua menunaikan tugasnya untuk membunuh penjenayah-penjenayah, maka dia
tidak boleh dihukum qisas kerana dia tidak ada apa-apa permusuhan dengan orang yang
dibunuhnya.

Mengikut peraturan biasa bahawa seseorang hakim akan menjatuhkan hukuman bunuh hanya
setelah berpuashati dengan keterangan yang jelas terhadap penjenayah supaya penjenayah itu
benar-benar berhak menerima hukuman mati. Andainya seorang hakim telah memutuskan
hukuman mati kepada orang-orang yang sepatutnya tidak menerima hukuman mati, tetapi
petugas penjara telah menjalankan keputusan hakim di atas, jadi siapakah yang patut
dipertanggungjawabkan?. Atau dengan lain perkataan siapakah yang wajib dihukum qisas ,
hakim yang memutuskan hukuman mati atau pegawai yang melaksanakan hukuman tersebut?
Jika pegawai yang melaksanakan hukuman mati itu tidak mengetahui orang yang dihukum
bunuh sebenar tidak bersalah, maka orang yang menjalankan kewajipan itu tidak boleh
dihukum qisas. Sebaliknya yang boleh dihukum qisas ialah orang yang mengeluarkan arahan
untuk membunuh. Ini kerana orang yang menerima arahan dan perintah, tidak boleh
dipersalahkan kerana dia wajib mentaati pemerintah selagi tidak disuruh melakukan
kemaksiatan kepada Allah. Akan tetapi jika pegawai yang ditugaskan itu tahu bahawa orang
yang dijatuhkan hukuman bunuh itu tidak bersalah dan dia teruskan juga hukuman mati itu
maka pegawai petugas wajib dikenakan hukuman qisas.

Kedua : Menggunakan Hak

Syariat Islam memberi hak kepada seseorang untuk menuntut haknya ; walaupun sehingga
kepada tuntutan hukuman bunuh. Apabila dia menggunakan haknya dengan membunuh
seseorang, maka dia tidak boleh dipersalahkan dan juga boleh dijatuhkan hukuman qisas.
Seperti seorang bapa membunuh orang yang telah membunuh anaknya setelah si bapa itu
mendapat kebenaran dari pihak pemerintah ataupun seorang bapa yang memukul anaknya untuk
mendisiplinkannya.

Ada dua kes untuk dibincangkan di sini :

1. Membunuh penjenayah bunuh

Pada dasarnya penjenayah bunuh tidak akan terlepas dari hukuman bunuh balas (qisas). Tetapi
persoalannya adakah Islam membenarkan kepada sesiapa sahaja untuk membunuh balik
penjenayah berkenaan. Menurut pandangan majority ulamak, orang yang bukan waris mangsa
bunuh, tidak berhak untuk membunuh balik penjenayahnya. Oleh itu orang yang tidak ada
pertalian darah dengan mangsa itu akan dihukum qisas jika dia membunuh balas penjenayah
tersebut. Lantaran orang yang bukan waris mangsa bunuh, tidak boleh membunuh balas
penjenayah berkenaan.

Adapun jika wali mangsa bunuh itu sendiri membunuh balas orang yang membunuh warisnya,
tidak diwajibkan hukum qisas ke atasnya, tetapi boleh dikenakan hukuman takzir ; kerana wali
tersebut tidak mengikut peraturan am yang mana sepatutnya tugas untuk menjalankan hukuman
bunuh telah ditugaskan kepada pegawai yang tertentu dan bukan ditugaskan kepada semua
orang.

2. Membunuh orang yang berzina

Sebagaimana maklum zina adalah jenayah yang paling keji dan terkutuk. Jika maksiat ini tidak
dikawal, bukan sahaja akan merosakkan akhlak seseorang tetapi boleh meruntuhkan sistem
kekeluargaan dan kemasyarakatan. Oleh sebab itulah Islam memerintahkan satu hukuman yang
berat, setimpal dengan kesalahan yang dilakukan iaitu hukuman rejam dengan batu sampai mati
kepada penzina yang sudah berumahtangga dan hukuman sebat 100 kali dan buang daerah
kepada penzina yang masih teruna atau dara.
Tetapi apakah hukumannya jika seseorang itu bertindak sendiri dengan membunuh pesalah
zina. Ulamak mempunyai pandangan yang berbeza-beza. Ada yang berpendapat bahawa orang
yang membunuh penzina yang muhsan itu tidak boleh dihukum qisas kerana penzina tersebut
adalah halal darahnya dan wajib dikenakan hukuman bunuh.
Sungguhpun demikian orang yang membunuh penzina itu boleh dikenakan hukuman takzir
kerana melanggar peraturan pemerintah. Manakala sesetengah ulamak pula menyatakan bahawa
wajib dihukum bunuh(qisas) ke atas orang yang membunuh penzina kerana yang
bertanggungjawab untuk menjalankan hukuman bunuh ialah pihak pemerintah dan bukannya
tugas perseorangan.

Begitu juga ulamak tidak sekata mengenai hukum orang yang membunuh penzina yang masih
teruna dan dara. Ada ulamak yang mengatakan bahawa orang yang membunuh penzina
tersebut wajib dihukum qisas kerana penzina yang bukan muhsan tidak boleh dikenakan
hukuman bunuh. Ada juga setengah ulamak yang menyatakan bahawa orang yang membunuh
penzina tidak boleh dihukum bunuh kerana dia melakukannya untuk mencegah kemungkaran.

Walau bagaimanapun jika yang membunuh penzina itu suami atau bapa atau adik-beradik
kepada mangsa penzina, maka tidak wajib dihukum qisas sama ada penzina itu sudah berkahwin
atau belum.

Imam Ali bin Abi Talib telah membuat satu keputusan mengenai satu kes di mana seorang
isteri di malam perkahwinannya telah membawa masuk teman lelakinya ke dalam biliknya.
Apabila si suami itu masuk biliknya tiba-tiba si lelaki itu bangun dan bergelut dengan si suami.
Akhirnya si suami itu membunuh lelaki tersebut dan si isteri itu bangun dan membunuh
suaminya. Ali memerintahkan kepada isteri itu membayar diyat kepada keluarga teman
lelakinya kerana dialah yang menyebabkan suaminya membunuh lelaki berkenaan.

Ketiga : Mempertahankan Diri

Menurut syariat Islam mempertahankan diri terbahagi kepada dua jenis :

Pertama : mempertahankan diri secara khusus

Keduanya : mempertahankan diri secara umum


a. Mempertahankan diri secara khusus

Adalah menjadi kewajipan setiap orang untuk mempertahankan dirinya dengan menggunakan
kekuatan yang perlu bagi mengelakkan diri dari pencerobohan tersebut. Sama ada ianya
sebagai satu tanggungjawab atau hak, tujuannya ialah untuk mengelakkan permusuhan. Oleh itu
orang yang mempertahankan dirinya tidak boleh dipersalahkan dan tidak boleh dihukum
berdasarkan kepada
firman Allah S.W.T.

Maksudnya :
“Barangsiapa yang menyerang kamu maka seranglah dia seimbang dengan serangannya
terhadapmu”

Hadis yang diriwayatkan Imam Muslim bahawa


“Yu’la Ibn Umayyah berbalah dengan seorang lelaki lalu salah seorang menggigit
tangan yang seorang lagi. Apabila direntap tangannya maka tercabutlah gigi hadapannya, lalu
diapun mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi Rasulullah tidak mengenakan diyat ke atas
orang yang menggigit”.

Begitu juga sabda Rasulullah yang bermaksud :


“Andainya ada seorang mengintai kamu tanpa izin maka kamu baling dia dengan batu
tepat kena matanya dan menjadi buta, maka tidak ada dosa ke atas kamu”

Bukan sahaja seseorang itu dibenarkan untuk mempertahankan dirinya, malahan juga wajib
mempertahankan harta benda dan kehormatannya, bahkan juga diri orang lain, harta benda
mereka dan kehormatan mereka.

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya :
“Bantu saudara kamu sama ada yang zalim atau yang kena aniaya”
Iaitu jika dia adalah seorang yang zalim, cara membantunya ialah dengan menghalangnya
dari terus melakukan kezaliman. Sebaliknya jika dia adalah yangkena aniaya ialah dengan
menjauhkan kezaliman daripadanya.

Apakah hukum mempertahankan nyawa, tubuh badan, kehormatan dan harta benda ? Adakah
ianya sebagai hak atau tanggungjawab?

Semua ulamak bersetuju bahawa jika kehormatan seseorang itu dicerobohi, maka wajiblah dia
mempertahankan dirinya. Umpamanya kalau ada seorang lelaki hendak mencabul kehormatan
seorang wanita, sedangkan wanita tersebut tidak mampu melawannya melainkan dengan
membunuhnya ; maka wajiblah dia membunuh penyerang itu semata-mata untuk
mempertahankan dirinya. Lantaran kalau ia tidak mempertahankan diri bererti ianya telah
membolehkan penceroboh melakukan jenayahnya. Begitu juga seorang yang melihat orang lain
hendak merogol seorang perempuan dan lelaki itu tidak boleh melawannya kecuali dengan
membunuh perogol tersebut, maka wajiblah dia membunuh penjenayah berkenaan jika mampu.

Mengenai mempertahankan jiwa pula, ulamak tidak sependapat. Ada yang mengatakan
hukumnya wajib untuk mempertahankan nyawa dari pencerobohan. Manakala sebahagian yang
lain menyatakan harus bagi seorang itu mempertahankan nyawanya dari serangan penceroboh.
Mengenai mempertahankan harta pula menurut kebanyakan ulamak bukan suatu kewajipan,
ianya hanya suatu yang diharuskan atau dibenarkan untuk mempertahankannya. Dengan kata
lain orang yang dirampas hartanya boleh mempertahankannya dan boleh membiarkannya
sahaja.

Syarat-Syarat Untuk Mempertahankan Diri Dari Penyerang

Supaya orang yang mempertahankan diri itu tidak dipersalahkan, walaupun sampai membunuh
penyerangnya ; maka perlulah ia mematuhi syarat-syarat berikut :

Syarat Pertama : Menghadapi permusuhan / serangan.

Seseorang itu boleh mempertahankan diri jika ada serangan dan permusuhan. Sebaliknya jika
tidak menerima serangan dan ancaman, tidak harus baginya untuk mempertahankan diri atau
menolak serangan tersebut. Seperti seorang bapa yang memukul anak untuk memberi
pengajaran ataupun suami memukul isterinya yang tidak taat supaya isteri itu insaf, maka tidak
diharuskan bagi anak atau isteri melawan balik atau mempertahankan dirinya dengan memukul
bapanya atau suaminya. Apatah lagi si bapa dan suami memukul anak dan isteri bukan kerana
berlaku permusuhan, tetapi semata-mata untuk menggunakan haknya atau menunaikan
kewajipannya.

Begitu juga tiap-tiap tindakan atau perbuatan yang diwajibkan atau yang dibenarkan oleh syarak
tidak dianggap sebagai pencerobohan dan permusuhan, jika orang yang mempunyai hak atau
yang diwajibkan itu menjalankan tugasnya seperti menangkap, memeriksa, memukul dan
sebagainya

Syarat Kedua : Serangan itu benar-benar berlaku (bukan secara sangkaan atau anggapan).

Kalau serangan itu tidak berlaku, tiba-tiba orang yang menyangka kena serang itu pula
menyerang balik, maka dia bukanlah mempertahankan diri tetapi sebaliknya dialah penyerang.
Kerana seseorang itu boleh mempertahankan diri hanya jika berlaku serangan dan pencerobohan
ke atasnya. Jika baru kena ugut terus menyerang orang yang mengugut belum masanya untuk
menolak serangan kerana bahaya dari ugutan belum dirasai sepenuhnya. Oleh itu tidak boleh
menyerang sebelum ianya kena diserang.
Syarat Ketiga : Tidak ada cara lain untuk melawan pencerobohan.

Orang yang mempertahankan diri itu dibenarkan untuk menyerang musuhnya jika tidak ada jalan
lain untuk melepaskan diri. Jadi kalau dia ada jalan lain untuk mengelakkan dari serangan
penjenayah, wajiblah menggunakan cara itu. Kalau seseorang itu mampu melawan penjenayah
itu dengan menjerit meminta tolong kepada jiran-jirannya, maka tidak perlu dia memukul atau
mencederakan penjenayah itu.

Begitu juga kalau dia boleh melawan penjenayah tanpa menggunakan senjata dan kekerasan,
maka tidak perlulah menggunakan kekerasan. Kalau dia melakukannya juga maka
perbuatannya itu dianggap sebagai melakukan jenayah. Malahan jika orang yang diserang itu
boleh lari sebagai satu cara untuk mengelakkan dari serangan, perlulah dia lari dan tidak perlu
melawan dengan kekerasan.

Syarat Keempat : Boleh menggunakan kekuatan sekadar yang perlu sahaja.

Jika melebihi dari yang diperlukan bukan lagi dikira sebagai mempertahankan diri, tetapi sebagai
pencerobohan ke atas orang lain. Orang yang kena serang sentiasa mengimbangi antara
pertahanan yang hendak dilakukan dengan serangan yang diterima. Oleh itu dia hendaklah
sentiasa memikirkan untuk mempertahankan dirinya dengan cara yang lebih ringan dari
serangan yang diterimanya. Sebagai contohnya; pencuri itu tidak boleh terus dibunuhnya kalau
dia ingin memulangkan barang curinya tanpa menggunakan kekuatan dan kekerasan.

Begitu juga jika ada orang mengingati dari celah lubang sebuah rumah ; pertama kalinya
hendaklah dilarang. Kalau tidak mahu pergi maka halaulah dia dengan cara yang paling ringan.
Tetapi kalau dia tidak pergi juga kecuali jika dibaling matanya dengan batu, maka orang yang
membaling batu itu tidak boleh dipersalahkan mengikut pendapat kebanyakan ulama. Ini
berdasarkan hadis Nabi s.a.w. :
“Andainya ada seorang mengintai kamu tanpa izin kamu lalu dia baling dengan batu dan
mengenai matanya sampai buta, maka orang yang membaling itu tidak ada apa-apa dosa ke
atasmu”.

b. Mempertahankan diri secara umum

Semua ulamak sepakat bahawa mempertahankan diri secara umum atau menyeru kepada ‘amr
ma’ruf’ dan nahi munkar bukan hanya sebagai hak setiap orang yang boleh dilakukan atau
boleh ditinggalkan mengikut sesuka hati mereka, dan bukan juga sebagai suatu yang
digalakkan. Tetapi ianya suatu kewajipan yang tidak boleh tidak mesti dilakukan sama ada
oleh kerajaan, masyarakat dan individu-individu Muslim.
Cuma mereka berselisih pendapat dari segi sama ada kewajipan itu sebagai fardhu ain yang
mesti dilakukan oleh setiap orang yang Islam atau hanya fardhu Kifayah. Iaitu apabila ada satu
golongan atau seseorang menjalankan tugas itu maka terlepaslah tanggungjawab orang lain.

Kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa amr ma’ruf dan nahi mungkar adalah fardhu
kifayah seperti jihad berdasarkan kepada firman Allah :

Maksudnya :
“Dan hendaklah sebahagian dari kamu satu golongan yang mengajak kepada
kebajikan, menyuruh ma’ruf dan menengah kemungkaran’

Mereka beralasan bahawa perkataan bererti sebahagian. Oleh itu kewajipan hanya kepada
setengah orang dan tidak diwajibkan kepada semua.

Manakala setengah ulama pula mengatakan bahawa wajib ke atas tiap-tiap orang Islam untuk
menunaikan ‘amr ma’ruf’ dan nahi mungkar mengikut kemampuan masing-masing, walaupun
ada orang yang lebih layak daripadanya. Sambil menyifatkan tugas tersebut seperti kewajipan
haji ke atas orang yang mampu; malahan ianya lebih daripada kewajipan haji kerana ‘amr
ma’ruf’ dan nahi mungkar tidak disyaratkan adanya kemampuan seperti fardhu haji.

Lagipun kemampuan dalam ‘amr ma’ruf dan nahi mungkar boleh di dapati pada semua orang
mengikut kepada taraf masing-masing. Orang jahil mampu menunaikan tugas ini seperti
menunaikan salat dan puasa dan boleh menegah kemungkaran seperti kecurian, kezaliman dan
lain-lain. Manakala orang alim pula mampu ‘amr ma’ruf dan nahi munkar sama ada yang
zahir mahupun yang tersembunyi.

SYARAT KETIGA

Pertanggungjawaban Penjenayah

Bagi membolehkan hukuman qisas dikenakan kepada penjenayah, maka penjenayah itu
hendaklah dari orang yang sudah boleh memikul tanggungjawab. Sebaliknya jika jenayah itu
dilakukan oleh orang yang belum / tidak boleh memikul tanggungjawab kerana belum cukup
umur, gila, kerana paksaan dan sebagainya, maka terlepaslah mereka daripada menerima
hukuman qisas.

Oleh yang demikian penjenayah bunuh yang boleh dijatuhkan hukuman qisas mesti memenuhi
syarat-syarat di bawah ini :

1. Seorang yang sudah baligh. Ini bermakna jika pembunuhan itu masih kanak-kanak,
hukum qisas tidak boleh dikenakan ke atasnya walaupun kanak-kanak itu sudah mumayyiz,
kerana mereka belum sampai masanya untuk memikul tanggungjawab. Lagipun qisas adalah
satu hukuman yang berat yang tidak boleh dikenakan kecuali ke atas penjenayah yang sudah
mempunyai penuh tanggungjawab.
Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. :

Maksudnya :
“Diangkat qalam daripada tiga (golongan manusia), dari kanak-kanak sehingga
dia baligh, daripada orang tidur sehingga dia bangun dan daripada orang gila sehingga dia
sembuh”

Had baligh boleh diketahui sama ada melalui tanda-tanda atau umur seseorang itu. Antara
tanda-tanda baligh bagi kanak-kanak lelaki ialah bermimpi, berkhayal dengan perempuan dan
keluar mani. Manakala kanak-kanak perempuan tanda-tanda baligh mereka bermimpi, keluar
haid dan mengandung. Jika tidak ada tanda-tanda di atas maka bolehlah dianggap telah
baligh apabila telah mencapai umur 15 tahun mengikut setengah pendapat.

Walaupun kanak-kanak yang belum baligh itu tidak dikenakan hukuman qisas, bukanlah
bererti mereka terus terlepas dari sebarang hukuman. Bahkan mereka boleh dikenakan
hukuman takzir, jika mereka sudah mumayyiz, dan yang sudah hampir kepada had umur
baligh kerana jenayah yang dilakukannya itu tetap dilarang Islam. Tetapi mereka tidak
dihukum dengan hukuman qisas sebagai satu keringan syarak kerana tidak cukup
tanggungjawab dan niat mereka.

2. Seorang yang waras akal fikirannya, tidak gila, mabuk, pitam dan sedang tidur kerana
keadaan di atas menunjukkan mereka tidak sedar dan hilang fikirannya. Oleh kerana semua
perintah-perintah syarak dan larangannya ditujukan hanya kepada orang yang waras akal
fikirannya, maka pembunuh yang gila tidakj boleh dihukum qisas sama ada gila yang
berterusan atau yang datang sekali sekala. Bagi orang yang gila sekali-sekala jika membunuh
orang ketika dia sedang gila, terlepaslah dia dari hukuman qisas.

Tetapi jika dia membunuh itu ketika dia waras, tidak gila; maka penjenayah itu boleh dikenakan
hukuman qisas. Jika pembunuhan itu menjadi gila setelah melakukan jenayah tersebut maka
menurun mazhab Shafie dan Hanbali, penjenayah tersebut boleh dikenakan hukuman qisas.
Imam Malik pula berpendapat penjenayah itu boleh dihukum qisas tetapi hendaklah ditunggu
sehingga dia sembuh. Kalau tidak sembuh juga hendaklah membayar diyat dari harta
penjenayah tersebut.

Manakala menurut mazhab Hanafi, jika setelah dihukum qisas diapun menjadi gila sebelum
diserahkan kepada wali maka hukuman qisas ditukarkan kepada diyat. Tetapi kalau selepas
diserahkan kepaa wali, penjenayah itu gila maka wajiblah dikenakan hukuman qisas.

Mengenai mabuk disebabkan minum arak dan sebagainya; jika orang yang minum itu tidak tahu
benda itu adalah arak ataupun dia tidak tahu yang arak itu adalah haram, ataupun dia minum
arak kerana dipaksa, selepas itu dia mabuk lalu membunuh orang, dalam keadaan seperti ini
tidak wajib qisas ke atasnya. Akan tetapi jika mabuk dari hasil minum arak dengan sengaja dan
dengan kehendaknya sendiri, maka ulamak mempunyai pandangan yang berbeza, sama ada
pembunuh yang mabuk hasil dari minum arak secara sengaja itu wajib dihukum qisas atau
tidak.

Menurut Imam al-Shafie dan Hanbali pembunuh yang sedang mabuk kerana minum arak itu
wajib dihukum bunuh (qisas) berdasarkan satu riwayat yang menyatakan bahawa Abu Wabarah
al-Kalbi diutus oleh Khalid bin al-Walid kepada Sayyidina Umar al-Khattab yang berada di
masjid bersama-sama Sayyidina Uthman, ‘Ali, Abdul Rahman, Talhah dan Al-Zubair (r.a.);
Khalid berkata : “Ramai orang yang minum arak, tetapi mereka meringan-ringankan
hukumannya”. Kemudian Umar (r.a.) bertanya sahabat-sahabat yang berada di sisinya, maka
Imam ‘Ali pun menjawab : “Sya berpendapat apabila seseorang itu mabuk dia akan bercakap keji
dan jika dia bercakap keji dan kotor dia akan berbohong dan bagi pendusta hukumanya ialah
lapan puluh kali sebat”. Begitulah sahabat-sahabat menjatuhkan hukuman kepada orang yang
mabuk sama seperti kepada orang yang sedar.

Menurut satu lagi riwayat daripada Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafi’yyah bahawa
pembunuh yang mabuk tidak diwajibkan qisas tetapi diwajibkan membayar diyat, kerana
mabuk itu seperti orang gila juga. Manakala Imam Ibn Hazm pula berpendapat pembunuh yang
dalam keadaan mabuk itu tidak wajib dihukum qisas atau diyat berdasarkan kepada hadis: yang
tersebut di atas. Lagipun orang yang sedang mabuk minum arak itu tidak sedar seperti orang gila
juga. Begitu juga orang yang sedang mabuk itu jika murtad tidak dikira riddahnya; maka apatah
lagi dalam masalah pembunuhan kerana masalah riddah adalah lebih besar daripada
pembunuhan.

Kita berpendapat bahawa pembunuh yang sedang mabuk itu wajib dijatuhkan hukuman qisas
jika telah sabit kesalahannya. Ianya tidak boleh disamakan dengan pembunuhan yang gila
kerana orang gila memang tidak sedar apa yang telah dilakukan. Sedangkan orang yang
mabuk telah melakukan maksiat dengan melanggar larangan syarak. Oleh yang demikian
adalah tidak rasional jika orang yang melakukan maksiat terhadap Allah dapat dilepaskan dari
hukuman qisas kerana kesalahan membunuh. Adalah dikhuatiri sekiranya pembunuh yang
sedang mabuk dari minum arak itu dilepaskan dari hukuman qisas, nescaya akan menggalakkan
orang yang hendak membunuh itu supaya minum minuman yang memabukkan untuk dijadikan
alas an bagi melepaskan diri dari tanggungjawab jenayah yang dilakukan.

3. Pembunuh itu melakukan jenayah dengan kehendaknya sendiri, bukan dengan paksaan,
sepertimana menurut pendapat Imam Abu Hanifah dan satu pendapat Imam Syafie. Oleh itu
diwajibkan qisas ke atas orang yang memaksa dan bukan kepada yang dipaksa. Ada dua tahap
paksaan; satu paksaan yang keras dan yang satu lagi ialah paksaan yang lembut.

Paksaan yang boleh melepaskan hukuman qisas mengikut ulamak yang berpendapat begitu ialah
paksaan yang benar-benar menakutkan hingga hilang pilihan dan yang memenuhi syarat-syarat
berikut :
(a) Paksaan yang boleh mendatangkan kerosakan pada nyawa dan tubuh badan.
Adapun paksaan yang kurang dari itu, tidak dikecualikan dari tanggungjawab.

(b) Yang melakukan jenayah itu tidak mahu mengikut paksaannya.

(b) Orang yang memaksa mampu melaksanakana paksaannya. Paksaan yang seperti ini hanya
datang
dari pihak pemerintah, menurut Imam Abu Hanifah.

(c) Pada anggapan orang yang dipaksa itu, bahawa jika tidak dilakukan paksaannya nescaya
dilakukan
ugutannya.

Paksaan yang tidak ada syarat-syarat di atas tidak dapat melepaskan dari hukuman qisas.

Ulama tidak sependapat mengenai kedudukan pembunuh yang dipaksa. Imam Abu Hanafi dan
salah satu pendapat Imam Shafie menyatakan bahawa hukuman qisas tidak boleh dikenakan
kepada orang yang dipaksa membunuh, sebaliknya diwajibkan kepada orang yang memaksa,

berdasarkan kepada hadis Nabi.


Maksudnya :
“Diangkat qalam (untuk mencatit) dari umatku kerana tersilap, terlupa
dan keras paksaan ke atasnya”

Imam Malik, Ahmad, Ahl al-Zahr dan sebahagian ulamak Shafie berpendapat bahawa qisas
boleh dikeluarkan kepada kedua-duanya; sama ada yang memaksa atau yang dipaksa
membunuh. Ulamak sependapat mengenai masalah di mana seorang yang hampir hendak mati
disebabkan kebuluran, tidak dibenarkan membunuh orang lain untuk dimakan dagingnya dan
juga untuk mengekalkan hidupnya, maka orang dipaksa terpaksa membunuh orang lain.
Manakala orang yang memaksa pula menyebabkan pada kebiasaannya kepada pembunuhan.

Pendapat yang pertama lebih kuat kerana orang yang dipaksa hilang ikhtiarnya dan
diumpamakan seperti alat untuk membunuh, sedangkan qisas tidak diwajibkan ke atas alat
pembunuh tetapi diwajibkan qisas ke atas orang yang menggunakan alat untuk membunuh.
Lagipun yang dipaksa itu terpaksa membunuh mangsanya untuk mempertahankan dirinya kerana
kalau dia tidak membunuh dia akan dibunuh orang yang memaksanya. Oleh itu pembunuh yang
dipaksa itu tidak wajib dikenakan hukuman qisas

4. Pembunuh itu mestilah mengetahui hukum haramnya membunuh orang. Oleh itu jika dia
jahil tentang larangannya membunuh itu maka dia tidak boleh dihukum qisas. Lagi pula tujuan
qisas disyariatkan adalah untuk mencegah dan menghalang penjenayah daripada mengulangi
jenayahnya. Sedangkan orang yang jahil mengenai larangan tersebut tidak perlu dikenakan
siksaan. Selain dari itu apabila seseorang itu tidak tahu mengenai pengharaman membunuh,
bermakna dia menganggap bahawa membunuh itu dihalalkan. Jika demikian akan
menimbulkan kesamaran yang boleh melepaskan dari hukuman qisas .

5. Hendaklah pembunuh itu seorang yang dipelihar darahnya sama ada disebabkan oleh
keimanannya atau perjanjian damai. Ertinya pembunuh yang wajib dihukum qisas itu mestilah
seorang Muslim atau kafir zimmi. Oleh sebab itu jika seorang kafir harbi yang telah
membunuh orang pada masa dia kafir, selepas itu dia memeluk agama Islam, dia tidak wajib
dihukum qisas kerana pada masa kafir dia tidak dipertanggungjawabkan ke atas jenayah yang
dilakukannya.

Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala.

Maksudnya :

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka yang kafir, sekiranya mereka berhenti nescaya
diampunkan kepada mereka dosa-dosa yang lalu”

Dan juga sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

Maksudnya :
“Iman itu menutupi (dosa) yang sebelumnya”

Selain dari itu Nabi Muhammad s.a.w. tidak menghukum bunuh kepada Washi iaitu orang yang
membunuh bapa saudaranya yang bernama Hamzah dan tidak menuntut bayaran diyat
daripadanya pembunuhnya. Andainya kafir harbi juga diwajibkan hukuman qisas kerana
membunuh seorang Muslim sudah tentu Nabi menghukum qisas kepada penjenayahnya.

Tidak wajib hukuman qisas ke atas kafir harbi kerana kesalahan membunuh adalah selaras
dengan dasar Islam yang memperjuangkan keadilan kepada orang Islam dan bukan Islam. Oleh
yang demikian syariat Islam menghalalkan darah dan harta benda orang kafir dalam masa
peperangan, maka begitulah sebaliknya darah dan harta benda orang Islampun dihalalkan
kepada orang bukan Islam. Samalah kedudukan kafir harbi yang membunuh itu tidak
diwajibkan hukuman qisas ke atasnya.

6. Penjenayah itu melakukan pembunuhan secara langsung. Ini bermakna jika penjenayah itu
tidak melakukannya secara langsung seperti saksi yang dusta sehingga menyebabkan orang yang
dituduh membunuh itu dijatuhkan hukuman bunuh qisas, maka saksi-saksi tersebut tidak boleh
dihukum qisas. Begitu juga orang yang menggali lubang, tiba-tiba ada seorang yang terjatuh ke
dalam lubang itu mati, maka pengali lubang yang menyebabkan orang terjatuh itu mati, tidak
boleh dikenakan hukuman bunuh qisas.
Ini adalah pendapat ulamak mazhab Hanafi yang menyatakan bahawa pembunuhan yang
berlaku dengan adanya sebab-musabab itu tidak sama dengan pembunuhan secara langsung;
kerana membunuh secara tidak langsung hanya merupakan pembunuhan dari segi maknawi dan
bukan haqiqi. Manakala pembunuhan secara langsung pula adalah pembunuhan dari segi
maknawi dan haqiqi. Sedangkan qisas diwajibkan kepada penjenayah kerana kesalahan
membunuh secara langsung.

Kebanyakkan ulamak tidak meletakkan “membunuh secara langsung” sebagai syarat yang
membolehkan pembunuh itu dihukum qisas. Menurut riwayat daripada Al-Qassim bin Abdul
Rahman bahawa ada dua orang lelaki menjadi saksi ke atas seorang pencuri sehingga
menyebabkan pencuri itu dikenakan hukuman potong tangan. Selepas itu kedua saksi berkenaan
membawa seorang lain dengan menyatakan “inilah dia pencurinya dan kami telah tersalah
anggap pada orang yang mula-mula dituduh tadi.” Oleh kerana persaksian mereka tidak diterima
untuk orang yang kedua, maka kedua-dua saksi itu dikenakan membayar diyat kerana
menyebabkan orang yang dituduh pertama itu dipotong tangannya. Lalu Imam Ali bin Abi Talib
berkata: “Andainya aku tahu kamu telah sengaja berbohong nescaya aku potong kedua tangan
kamu”.

Kata-kata Imam Ali menunjukkan dengan jelas bahawa orang yang menyebabkan seorang itu
dihukum bunuh boleh dihukum qisas kerana saksi-saksi di atas tidak memotong secara
langsung tangan orang yang disaksikan. Bahkan mereka hanya menyebabkan orang yang
dituduh mencuri itu dipotong tangannya . Oleh yang demikian jika perkara yang menyebabkan
itu boleh mewajibkan hukuman qisas dalam kes-kes anggota tubuh badan, maka begitulah
juga hukuman qisas boleh dikenakan ke atas orang yang menyebabkan kematian seseorang
atau orang yang membunuh secara tidak langsung itu boleh dikenakan hukuman qisas.

SYARAT KEEMPAT

Persamaan Antara Penjenayah Dengan Mangsanya

Bagi membolehkan penjenayah bunuh itu dihukum qisas, hendaklah mangsanya itu menyamai
kedudukan pembunuhannya. Ini bermakna jika mangsa bunuh tidak menyamai (sekufu) dengan
pembunuhannya, maka hukuman qisas tidak wajib dikenakan ke atas penjenayah.

Perkara-perkara yang menidakkan persamaan (kufu) antara mangsa jenayah bunuh dan
pembunuhnya ialah disebabkan berlainan jantina agama, bilangan, perhambaan dan
kemerdekaan. Walau bagaimanapun tidak semua ulamak sependapat dalam soal ini, bahkan
ada yang berpendapat bahawa berlainan dalam perkara-perkara di atas tidak menghalang
hukuman qisas dikenakan kepada penjenayah bunuh. Untuk lebih terperinci lagi, di bawah ini
dibincangkan satu persatu mengenai perbezaan-perbezaan di atasm:
1. Berlainan Jantina Lelaki dan Perempuan

Tidak ada perbezaan pendapat dalam masalah jika seorang lelaki membunuh seorang lelaki
atau seorang perempuan membunuh seorang perempuan. Semua ulamak sependapat
mengatakan bahawa pembunuh berkenaan wajib dikenakan hukuman bunuh (qisas). Yang
menjadi perselisihan pendapat ulamak ialah jika seorang itu membunuh orang yang bukan
sejenisnya, umpamanya seorang lelaki membunuh seorang perempuan ataupun seorang
perempuan membunuh seorang lelaki.

Perbezaan pendapat itu berpunca dari pemahaman ayat al-Quran dalam Surah Al-Baqarah ayat
178 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas
berkenaan dengan orang-orang yang kena bunuh, orang yang merdeka dengan orang merdeka,
hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita”

Dalam ayat di atas Allah menjelaskan hukuman qisas ke atas orang yang membunuh sesama
jenisnya iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dan
wanita dengan wanita. Sebaliknya Allah tidak menjelaskan hukuman ke atas pembunuh yang
membunuh orang yang berlainan jenisnya. Lagipun nilai diyat wanita tidak sama dengan diyat
untuk orang lelaki.

Ada tiga pendapat dalam masalah ini :

Pertama : jumhur ulamak berpendapat bahawa jika seorang lelaki membunuh seorang
wanita atau seorang wanita membunuh seorang lelaki, maka wajib dihukum bunuh qisas
berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :

1. Firman Allah Taala :


Maksudnya :
“Dan telah Kami wajibkan ke atas mereka (Bani Israel) di dalam (Taurat) bahawa jiwa
dibalas dengan jiwa”

Dalam ayat ini Allaah menjelaskan secara umum bahawa satu jiwa dibalas dengan satu jiwa,
tanpa membezakan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Oleh itu hukuman kerana
membunuh seorang lelaki dan perempuan sama sahaja iaitu dibunuh balas bunuh qisas.

2. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa seorang hamba perempuan dijumpai kepalanya
terhimpit di celah-celah batu. Apabila ditanya, “siapa yang melakukannya?” dijawabnya, “si
pulan bin si pulan,” sehingga mereka menyebut nama seorang lelaki Yahudi, perempuan
itupun menganggurkan kepalanya. Apabila dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w. Yahudi itu
mengakui Rasulullah pun memerintahkan supaya kepada Yahudi itu dihempapkan di celah-
celah batu tersebut. Perintah Nabi s.a.w. supaya kepala lelaki Yahudi itu dihempap adalah
bukti jelas bahawa seorang lelaki boleh dihukum bunuh balas qisas kerana membunuh seorang
perempuan.
3. Menurut satu riwayat bahawa Rasulullah s.a.w. ada mengirimkan kepada penduduk
Yaman sebuah kitab yang mengandungi perkara-perkara yang fardu dan sunat. Antaranya
menyebutkan, “bahawa seorang lelaki dihukum bunuh balas kerana membunuh seorang
perempuan”

4. Menurut satu riwayat daripada Imam Ali dan Abdullah berkata : “Jika seorang lelaki
membunuh seorang perempuan dengan sengaja maka baginya hukuman qisas.” Selain dari
telah diijmakan bahawa jika salah seorang daripada lelaki atau perempuan melakukan
kesalahan qazaf kepada pihak yang lain, dikenakan hukuman had, kerana kesalahan qazaf.
Oleh sebab itu adalah munasabah jika lelaki membunuh perempuan atau sebaliknya dikenakan
hukuman qisas kerana tidak ada sebab untuk membezakan hukum had, qazaf, qisas antara
penjenayah lelaki dengan perempuan.

Kedua Al-Hasan Al-Basri,Akramah, ‘Ata’ dan salah satu pendapat Imam Shafie menyatakan
bahawa seorang lelaki yang membunuh seorang perempuan tidak diwajibkan hukuman qisas
berdasarkan kepada firman Allah:

Maksudnya :
“Diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang yang kena bunuh, seorang merdeka
dengan seorang merdeka, seorang hamba dengan seorang hamba, seorang perempuan dengan
seorang perempuan”

Dan ayat di atas dengan jelas menyebutkan setiap jenis iaitu merdeka, hamba dan wanita serta
disebutkan bersetentangan dengan jenisnya: adalah satu bukti bahawa setiap jenis itu tidak wajib
dihukum bunuh qisas, kecuali jika pembunuhnya sama tarafnya. Lagipun kerana perempuan
tidak menyamai lelaki dari segi mejadi saksi, bahagian pusaka dan bayaran diyat.

Ketiga : Satu pendapat daripada Imam Malik bahawa seorang lelaki yang membunuh seorang
wanita boleh dikenakan hukuman bunuh qisas, tetapi wali kepada perempuan mangsa bunuh
itu kena membayar setengah diyat kepada wali pembunuh. Ini berdasarkan kepada satu
riwayat daripada Imam Ali bin Abi Talib yang berkata:

“Jika seorang lelaki membunuh perempuan, maka wali perempuan itu diberi pilihan; jika
mereka mahu mereka boleh membunuh lelaki yang menjadi penjenayah itu dan membayar
setengah diyat kepada wali lelaki pembunuh. Juga jika mereka (wali-wali perempuan) mahu,
mereka boleh meminta supaya lelaki tidak dihukum qisas, tetapi meminta bayaran diyat untuk
wanita yang dibunuh itu. Sebaliknya jika perempuan itu membunuh seorang lelaki, maka wali
kepada lelaki mangsa bunuh itu diberi pilian sama ada untuk meminta supaya pembunuh itu
dihukum qisas dan mengambil setengah diyat, atau tidak meminta hukuman qisas dan
mengambil sepenuh diyat dari perempuan yang membunuh itu”
Selain dari itu kerana perempuan pada umumnya tidak menyamai kaum lelaki. Bahkan dalam
banyak hal wanita hanya dianggap separuh dari kaum lelaki dalam pembahagian pusaka,
pembayaran diyat dan persaksian.

Pendapat jumhur ‘ulamak’ selain dari mempunyai dalil yang kukuh ia adalah lebih menepati
tujuan disyariatkan qisas dan roh Islam itu sendiri, yang memperjuangkan persamaan antara
lelaki dan wanita. Selain dari itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Darah (nyawa)
orang-orang Islam adalah setaraf.” Hadis ini menjelaskan secara umum bahawa setiap orang
Islam adalah sama tarafnya, sama ada lelaki atau wanita.

Jika kita telitikan dari segi hikmah disyariatkan qisas adalah untuk memelihara supaya nyawa
atau darah tidak tumpah secara sia-sia seperti firman Allah yang bermaksud : “Dan bagi kamu
dalam perlaksanaan qisas itu (memberi) satu penghidupan wahai orang-orang yang
mempunyai akal” Jadi kalaulah orang lelaki yang membunuh perempuan itu tidak dihukum
bunuh, maka ini boleh diertikan sebagai mensia-siakan nyawa perempuan, tanpa pembelaan
dan akan mendorong orang lelaki membunuh wanita dengan sewenang-wenangnya kerana
mereka mengetahui pembunuhnya tidak akan dihukum bunuh. Tidak ada bezanya antara
nyawa lelaki dengan nyawa wanita. Ianya tidak boleh diukur atau ditimbang, walaupun saksi
wanita dianggap separuh dari saksi orang lelaki, tetapi ini tidak bermakna bahawa nyawa
wanita hanya setengah dari nyawa orang lelaki.

Mengenai Al-Quran yang menyebutkan perkataan ( wanita dengan wanita) bukannya


bermakna hanya wanita yang membunuh itu akan dibunuh kerana membunuh wanita, tetapi
tujuannya disebutkan di atas itu ialah untuk membatalkan amalan-amalan yang berlaku pada
zaman Jahiliah di mana waris mangsa jenayah bunuh akan membunuh sesiapa sahaja; bukan
sahaja kepada pembunuh, malahan kepada orang lain yang tidak ada kena mengena dengan
kes bunuh berkenaan . Seterusnya ulamak telah sepakat menyatakan bahawa hukuman qisas
tidak boleh dicampurkan dengan diyat. Oleh yang demikian kita tidak dapat menerima
hukuman qisas dicampurkan dengan hukuman membayardiyat.

Mengenai perbezaan diyat antara lelaki dan wanita itu tidak boleh dijadikan alasan
ketidaksamaan antara nyawa lelaki dan wanita. Justeru andainya berlainan diyat untuk lelaki
dan wanita diterima, nescaya tidak wajib qisas kepada hamba-hamba kerana hamba-hamba
mempunyai harga dan nilai yang berbeza antara satu dengan yang lainnya. Juga nescaya
pembunuh secara beramai-ramai itu tidak akan dihukum qisas kerana perbezaan bilangan
dengan mangsa yang dibunuh. Sedangkan semua ulamak bersetuju bahawa seorang hamba
dihukum bunuh kerana membunuh hamba dan orang ramai yang membunuh seseorang akan
dikenakan bunuh sebagai qisas.
b. Perbezaan Agama dan Kepercayaan

Soal yang juga menarik untuk dibincangkan di sini ialah adakan dengan sebab agama yang
dianuti oleh pembunuh itu berbeza dengan agama yang dianuti oleh mangsa bunuh ; boleh
mempengaruhi atau memberi kesan kepada hukuman qisas atau tidak ?

Oleh kerana semua umat Islam mempercayai bahawa Islam adalah satu agama yang paling
tinggi dan mulia, maka sebab itu setengah ulamak berpendapat bahawa perbezaan agama antara
mangsa bunuh dan pembunuh boleh mempengaruhi terhadap hukuman qisas. Oleh sebab itu
ada setengah ulamak berpendapat bahawa seorang Islam yang membunuh seorang kafir tidak
diwajibkan hukum bunuh qisas, kerana ketiadaan persaman di antara kedua-duanya. Atau
dengan lain-lain perkataan kerana agama yang dianuti oleh pembunuh iaitu agama Islam adalah
lebih tinggi dari agama kafir yang dianuti oleh mangsa jenayah tersebut. Sebaliknya jika agama
yang dianuti oleh kedua-dua penjenayah dan mangsanya itu sama, maka pembunuh itu wajib
dikenakan hukuman bunuh qisas, seperti jika seorang Muslim membunuh seorang Muslim atau
seorang zimmi membunuh seorang zimmi, maka wajiblah dikenakan hukuman qisas.

Imam-imam Mazhab Shafie Hanbali, Maliki dan Zahiri dan Syiah Imamiyyah berpendapat
bahawa orang Islam yang membunuh orang kafir zimmi tidak diwajibkan hukuman qisas kerana
orang kafir zimmi tidak menyamai orang Islam dari segi agamanya, kerana agama yang dianuti
oleh kafir zimmi itu lebih rendah dari agama yang dianuti orang Islam. Sedangkan syarat
diwajibkan qisas ialah adanya persamaan antara mangsa bunuh dengan pembunuhnya. Mereka
juga berhujah dengan ayat-ayat Al-Quran, antaranya seperti berikut :

Firman Allah :

Maksudnya :
“Apakah patut Kami jadikan orang-orang Islam itu sama dengan orang-orang yang
berdosa (orang-orang kafir). Mengapa kamu (berbuat demikian) bagaimanakah kamu
mengambil keputusan”

Firman Allah :

Maksudnya :
“Maka apakah orang yang beriman seperti orang yang fasiq (kafir) tidak sama”

Dan firman Allah lagi:

Maksudnya :
“Dan Allah sekali-sekali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir (untuk
memusnahkah) orang yang beriman”.
Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa kafir zimmi tidak menyamai orang Islam. Apabila tidak
sama maka tidak wajib menjatuhkan hukuman qisas ke atas seorang Muslim yang membunuh
seorang kafir zimmi kerana persamaan adalah menjadi syarat wajib qisas.

Sabda Rasulullah s.a.w. :


Maksudnya :
“Orang-orang Islam darah (nyawa) mereka serupa. Dia berusaha dengan perjanjian
damai dengan mereka yang lebih rendah. Mereka berkuasa ke atas orang yang selain daripada
mereka. Orang Islam tidak (dihukum) bunuh kerana membunuh seorang kafir dan orang yang
mempunyai perjanjian dengan zimmi”

Difahamkan daripada hadis di atas bahawa darah orang bukan Islam tidak menyamai
darah orang Islam. Apabila tidak ada persamaan maka tidak wajib dihukum qisas. Ditambah
lagi dengan sabda Nabi s.a.w. :
Maksudnya :
“Orang yang beriman tidak dihukum bunuh kerana kesalahan membunuh orang kafir”

Perkataan kafir yang disebut dalam hadis di atas adalah umum, termasuk kafir zimmi dankafir
harbi.

Manakala Abu Hanifah, Nakha’I, Sufian al-Thawri dan lain-lain berpendapat bahawa orang
Islam yang membunuh seseorang kafir zimmi wajib dihukum qisas berdasarkan kepada dalil-
dalil berikut :

1. Firman Allah :

Maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang
yang kena bunuh, mereka dengan merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita”

Ayat ini menjelaskan kewajipan qisas kepada pembunuh dengan tidak membezakan
antara seorang Muslim dan bukan Muslim, dan termasuk di dalam zimmi dan lainnya.

2. Firman Allah :
Maksudnya :
“Dan telah Kami wajibkan ke atas mereka (Bani Israel) bahawa jiwa dibalas dengan
jiwa”

Ayat ini juga tidak membezakan antara seorang dengan seorang yang lain. Bahkan siapa juga
yang bersalah membunuh boleh dihukum qisas.
3. Firman Allah :
Maksudnya :
“Dan jika kamu memberi balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan
siksaan yang ditimpakan kepadamu”

4. Firman Allah :
Maksudnya :
“Barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia seimbang dengan
serangannya terhadapmu”

Ayat-ayat Al-Quran di atas membuktikan wajibkan hukuman qisas ke atas pembunuhan


dengan tidak membezakan antara orang Islam dengan bukan Islam.

Selain daripada itu menurut satu riwayat menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah
menghukum qisas ke atas seorang Muslim yang bersalah membunuh seorang zimmi lalu
bersabda :
Maksudnya :
“Aku lebih berhak ke atas orang yang menyempurnakan tanggungjawabnya (zimmi)”

Rasulullah s.a.w. menyuruh berlaku adil kepada penduduk bukan Islam dengan sabdanya :
Maksudnya :
“Barangsiapa yang menyakiti kafir zimmi maka akulah pembelanya di hari kiamat”

Hadis di atas menjelaskan bahawa orang yang menyakiti seorang zimmi yang dianiayai akan
mendapat pembelaan Rasulullah s.a.w. di hari akhirat. Maka apatah lagi jika seorang zimmi itu
dibunuh, sudah tentulah dibalas dengan menghukum bunuh qisas ke atas pembunuhnya.

Pandangan kebanyakan ulamak yang menyatakan bahawa seorang Islam yang membunuh
seorang kafir zimmi tidak diwajibkan hukuman qisas adalah pendapat yang kuat berdasarkan
kepada dalil-dalil yang kuat. Bagaimanapun setelah meneliti kedua-dua pandangan di atas, maka
pendapat yang menyatakan bahawa orang Islam yang membunuh seorang kafir zimmi tetap
dikenakan hukuman bunuh balas (qisas) adalah lebih menepati dengan dasar keadilan yang
diperjuangkan Islam yang tidak membezakan warna kulit, keturunan, agama dan bangsa.
Malahan bersesuaian dengan konsep persamaan bahawa manusia itu semuanya sama, dan
dasarqisas dalam kes nyawapun adalah persamaan. Selain dari itu Islam memberi
perlindungan(protection – ‘ismah) kepada seseorang itu berdasarkan kepada keimanan atau
keamanan. Oleh sebab itu orang-orang zimmi wajib dilindungi nyawa, tubuh badan, harta
benda dan keluarga mereka kerana mereka memberikan janji taat setia kepada negara Islam.
Jadi kalaulah orang Islam yang membunuh orang kafir zimmi itu telah dihukum bunuh, seolah-
olah Islam tidak memberi perlindungan kepada rakannya yang bukan Islam. Dan ini
bertentangan dengan jaminan is’mah (protection) yang sepatutnya diberi kepada orang-
orangzimmi. Lagi pula dalam kes di mana jika orang Islam mencuri harta orang kafir, semua
ulamak sependapat bahawa orang Islam itu wajib dihukum had potong tangan kerana mencuri
harta orang zimmi. Dalam kes ini menunjukkan harta orang-orang zimmi dilindungi oleh
Islam. Oleh itu sepatutnya nyawa mereka lebih utama dilindungi dengan menghukum bunuh
balas (qisas) kepada orang Islam yang membunuh orang kafir zimmi
Maksudnya :
“Tidak dihukum bunuh orang Mukmin kerana membunuh orang kafir”

Maksud perkataan “kafir” dalam hadis ini ialah kafir harbi (yang memerangi Islam) yang
bukankafir zimmi. Ianya bermaksud jika orang Islam membunuh kafir harbi tidak dikenakan
hukuman bunuh balas qisas. Tetapi jika orang Islam itu membunuh orang kafir zimmi wajib
dikenakan hukuman qisas kerana biasanya kalau maksud kafir iatu ialah orang zimmi. Nabi
Muhammad s.a.w. menyebutkan dengan perkataan zimmi dan jika Baginda menyebut perkataan
kafir sahaja maksudnya kafir harbi.

Mengenai alasan yang mengatakan bahawa nyawa orang kafir tidak dilindungi secara mutlak,
tetapi tertakluk kepada komitmen mereka terhadap perjanjian taat setia. Maka begitu juga
orang –orang Islam diberi protection (‘ismah) pun tidak mutlak. Bahkan
perlindungan (‘ismah) itu diberikan selama mereka berada dalam agama Islam dan tidak
melanggar larangan-larangan syarak. Sebaliknya jika mereka keluar Islam atau membunuh
atau berzina mereka tidak diberi perlindungan lagi; bahkan wajib dikenakan hukuman bunuh
kerana melakukan kesalahan-kesalahan yang tersebut.

c. Perbezaan Bilangan

Jika seseorang membunuh seorang ataupun seseorang membunuh dua orang atau lebih, maka
semua ulamak bersetuju bahawa pembunuh itu wajib dihukum qisas. Tetapi jika sekumpulan
orang ramai bersama-sama membunuh seseorang maka ulamak mempunyai pendapat yang
berbeza-beza.

Kebanyakkan ulamak termasuk Iman Abu Hanifah, Malik dan Al-Shafie berpendapat orang
ramai yang berpakat membunuh seseorang, semuanya diwajibkan hukuman qisas dengan syarat
tiap-tiap seorang dari mereka itu melakukan perbuatan yang menyebabkan kematiannya.

Di antara alasan-alasan mereka berpendapat demikian ialah firman Allah Taala dalam Surah Al-
Baqarah ayat 178 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas
kamu qisas dalam kes orang yang kena bunuh. Orang merdeka dengan orang mereka, hamba
dengan hamba” yang mana ayat di atas ini menunjukkan wajib menghukum bunuh ke atas
pembunuhnya secara umum; sama ada pembunuhnya itu seorang atau terdiri dari beberapa
orang.

Begitu juga menurut satu riwayat daripada Ibn Umar bahawa Sayyidina Umar dalam kes
seorang kanak-kanak yang dibunuh secara kejam berkata, “Andainya semua penduduk San’a
berpakat membunuh seseorang nescaya aku bunuh mereka.” Dan menurut riwayat Imam Malik
menyebutkan bahawa Sayyidina Umar ibn al-Khattab telah menghukum bunuh seramai lima dan
enam orang yang membunuh orang secara tipu daya, sambil berkata, “Andainya semua
penduduk sana bersama-sama membunuh seseorang nescaya aku bunuh mereka
semua.” Selain dari itu dari riwayat menyatakan bahawa Sayyidina Ali menghukum bunuh ke
atas orang-orang Khawarij kerana mereka membunuh ‘Abdullah bin Khubub. Pada mulanya
Sayyidna Ali tidak mahu menghukum mereka, akan tetapi apabila Sayyidina Ali memanggil
mereka yang membunuhnya dan mereka mengaku sebanyak tiga kali , lalu Sayyidina Ali dan
sahabatnya menghukum bunuh mereka yang membunuh Abdullah bin Khubab.

Manakala satu pendapat daripada Imam Ahmad berpendapat bahawa orang ramai yang
berpakat membunuh seseorang tidak diwajibkan hukuman qisas, bahkan diwajibkan
membayardiyat berdasarkan kepada firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 178
bermaksud:”Diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang yang kena bunuh, seorang
merdeka dengan seorang merdeka, hamba dengan hamba”.

Ayat ini menetapkan persamaan antara pembunuh dari mangsanya sebagai syarat kewajipan
hukuman qisas. Sedangkan tidak ada persamaan di antara seorang mangsa yang kena bunuh
dengan pembunuh yang ramai itu. Oleh itu tidak wajib qisas apabila tidak ada syaratnya.
Begitu juga ayat 45 Surah Al-Majidah bermaksud: “Dan Kami telah wajibkan ke atas mereka di
dalam (Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata.” Ayat ini
menunjukkan bahawa satu itu menyamai satu dan juga kerana qisas hanya diwajibkan di antara
satu nyawa dengan satu nyawa. Sedangkan menghukum qisas kepada orang ramai yang
membunuh seseorang itu bertentangan dengan maksud ayat di atas tadi. Selain dari itu
disebabkan berlawanan sifatpun boleh menghalang hukuman qisas seperti seorang hamba yang
membunuh seorang yang merdeka, atau seorang Muslim yang membunuh seorang kafir.
Semuanya tidak diwajibkan hukuman qisas, maka apatah lagi jika berlainan bilangan seperti
orang ramai membunuh seseorang, tentunya tidak dikenakan hukuman qisas.

Pendapat majority ulamak adalah lebih menepati dengan kehendak dan matlamat undang-
undang qisas yang menekankan persamaan antara jenayah dan hukumannya. Begitu juga
kerana Ijma’ para sahabat Nabi s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Said bin al-Musayyib
bahawa Umar bin al-Khattab telah menghukum bunuh ke atas tujuh orang penduduk San’a
yang membunuh seorang lelaki dan menurut satu riwayat menyatakan bahawa Sayyidina Ali
telah menghukum bunuh ke atas tiga orang yang didapati membunuh seseorang.
Satu lagi riwayat menyatakan bahawa Ali bin Abi Talib telah menghukum bunuh ke atas
sekumpulan orang ramai kerana kesalahan membunuh seseorang sahaja. Oleh kerana tidak ada
yang menentang pendapat sahabat di atas, maka ianya dianggap sebagai pendapat yang disetujui.

Selain dari itu jika hukuman qisas tidak diwajibkan ke atas orang ramai yang berpakat
membunuh seseorang itu; nescaya akan menggalakkan penjenayah-penjenayah itu untuk tolong-
menolong dalam perkara kejahatan dan permusuhan. Mungkin juga mereka akan membunuh
siapa yang mereka kehendaki atas alasan kononnya mereka akan terlepas dari hukuman qisas.
Sebaliknya jika mereka mengetahui bahawa mereka akan dihukum qisas andainya melakukan
perbuatan membunuh secara beramai-ramai, nescaya mereka akan berfikir dua tiga kali dan
akhirnya mereka tidak meneruskan niat buruknya itu.

Anda mungkin juga menyukai