Anda di halaman 1dari 7

KONSEP ASAS BAITULMAL

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

Oleh; Ridhwan Bin Abdul Rahman


Pegawai Baitulmal MAIK

A. PENGENALAN

Baitulmal menurut bahasa berasal dari perkataan Arab dari dua kosakata iaitu

Al-Bait dan Al-Mal di mana yang pertama bererti “rumah” dan kedua bererti
“harta” atau ringkasnya rumah harta (Perbendaharaan). Menurut lisan al-Arab
(rujukan asas Bahasa Arab) ia bermaksud “rumah yang menerima sesuatu harta

dan menyimpannya untuk diagihkan.”

Pada hakikatnya Baitulmal merupakan satu bentuk institusi kewangan harta

dalam Islam. Ia terdiri dari pelbagai sumber hasil seperti zakat, harta wakaf,

cukai-cukai (kharaj) dan lain-lain sumber yang pengumpulan dan penggunaannya

untuk kepentingan masyarakat dan negara.

Baitulmal dalam Islam mempunyai konsep penggunaan harta yang amat luas dan

berteraskan 3 asas falsafah utama yang merangkumi 3 unsur penting iaitu:

1. Konsep harta - ekonomi (Sumber)

2. Konsep amanah - pentadbiran (Proses)

3. Konsep keadilan sosial - penggunaan (Tujuan)


B. SEJARAH PENUBUHAN BAITULMAL DALAM ISLAM

Pada awal penubuhan kerajaan Islam oleh Rasulullah s.a.w. istilah ‘Baitulmal’

tidak wujud secara formal disebabkan usaha pada peringkat ini lebih kepada

menyampaikan risalah dakwah dan penyebaran Islam. Apalagi kerana harta yang

diperolehi tidak sempat terkumpul lama kerana ianya terus diagihkan kepada

mereka yang memerlukan tanpa tertangguh-tangguh lagi.

Bagaimanapun semasa pemerintahan Rasulullah s.a.w. di Madinah, beliau telah

menukarkan corak pentadbirannya sesuai keadaan semasa dan di sinilah

terbentuknya institusi kewangan secara tidak rasmi di mana masjid merupakan

pusat pentadbiran yang menguruskan hal-ehwal ibadat dan kemasyarakatan.

Keadaan tersebut berterusan sehingga zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar

al-Siddiq dan menjadi lebih meluas pada masa Saidina Umar ibn Al-Khattab

apabila perluasan wilayah baru yang dikuasai banyak mendatangkan perubahan

dan perlu diatasi dengan bijaksana, sehingga pada masa ini harta yang diperolehi

telah digunakan untuk membayar gaji pekerja, membiayai perbelanjaan negara,

pembangunan ekonomi dan sebagainya. Pada masa ini sumber Baitulmal meliputi:

(i) Kharaj

Iaitu cukai dikenakan terhadap tanah yang dibuka oleh orang-orang Islam

secara peperangan atau perdamaian yang tidak dibahagi kepada pejuang

Islam tetapi dijadikan harta negara dengan pemiliknya yang asal.

(ii) Jizyah

Iaitu cukai (diri) yang dikenakan terhadap non muslim (kafir zimmi) yang

tinggal di negara Islam.


(iii) Usyur

Iaitu cukai yang dikenakan ke atas tanah yang dimiliki oleh orang kafir

yang memeluk Islam tanpa melakukan peperangan dan juga tanah yang

dimiliki oleh pejuang Islam yang diperolehi daripada rampasan perang

yang dibahagikan oleh khalifah.

(iv) Wakaf/Wasiat

Iaitu penyerahan penggunaan harta secara manfaat untuk kebajikan umat

Islam.

(v) Harta/Kafarat

Iaitu dikenakan bagi seseorang yang melakukan kesalahan syara’ seperti

melanggar sumpah, nazar, jima’ pada bulan Ramadhan dan melakukan

zihar.

(vi) Harta Zakat

Iaitu kadar yang tertentu dari harta yang tertentu yang wajib

dibelanjakan kepada golongan-golongan yang tertentu dan ianya adalah

salah satu daripada rukun Islam.

C. KONSEP BAITULMAL MASA KINI

Pelaksanaan Baitulmal di Malaysia pada masa kini baik dari segi teori dan amalan

telah disesuaikan dengan kehendak perlembagaan Malaysia di mana ianya

terletak di bawah struktur kuasa perundangan negeri. Ini jelas dari Jadual ke

Sembilan Perlembagaan menyenaraikan hak kerajaan negeri termasuk hak

penentuan hukum agama yang berkaitan dengan harta seperti zakat, wakaf,
Baitulmal dan yang berkaitan dengan hal-ehwal agama di mana pada masa ini dan

dalam konteksnya di negeri Kelantan adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama

Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Jadual ke sembilan Senarai 2

Senarai Negeri bahawa “Wakaf Islam dan ta’arif serta peraturan mengenai

amanah khairat dan khairat ugama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan


perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan khairat,
yayasan amanah, khairat dan yayasan amanah yang dijalankan, kesemuanya sekali
dalam negeri; adat istiadat melayu, zakat fitrah dan Baitulmal atau hasil
ugama Islam yang seumpama....”

D. PERANAN BAITULMAL MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT

MELAYU KELANTAN

Baitulmal negeri Kelantan merupakan satu unit yang penting dalam Majlis Agama

Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan penyumbang hasil yang kedua

kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan selain zakat. Ia

ditubuhkan seiring dengan penubuhan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat

Melayu Kelantan pada tahun 1915 tetapi secara rasminya ditubuhkan di bawah

Enakmen MAIK 1966. Secara jelasnya Penubuhan Baitulmal sebagaimana yang

terdapat dalam Seksyen 41 (1) Enakmen MAIK Bil. 4 /1994 menyebutkan:

“Suatu dana yang diberi nama Baitulmal adalah dengan ini ditubuhkan. Kumpulan
wang itu hendaklah mengandungi semua wang dan hartabenda alih atau tak alih
yang menurut Hukum Syarak atau peruntukan Enakmen ini atau kaedah-kaedah
yang dibuat di bawahnya, diperolehi atau disumbangkan oleh mana-mana orang
atau pihak kepada kumpulan wang itu”.
Selaras dengan fungsinya sebagai sebuah ‘perbendaharaan’, ianya ditubuhkan

untuk menambahkan sumber kewangan dan meningkatkan taraf ekonomi umat

Islam khususnya di Kelantan dengan cara:

i. Menguruskan kutipan harta-harta wakaf dan harta umat Islam dari

pelbagai sumber.

ii. Menambahkan pendapatan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat

Melayu Kelantan melalui urusan penyewaan premis-premis dan

pajakan tanah-tanah Baitulmal dan tanah-tanah wakaf.

iii. Berusaha mendapatkan sumber harta pusaka umat Islam yang

ditetapkan syara’.

iv. Berusaha menjadi sebuah institusi kewangan yang berupaya

membangun ekonomi serta menyajikan keadilan sosial dan

kebajikan umat Islam.

E. BIDANG KUASA DAN SUMBER HARTA BAITULMAL MAJLIS AGAMA

ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

Bidang kuasa Baitulmal Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

adalah sebagaimana peruntukan Seksyen 42 Enakmen Majlis Agama Islam Dan

Adat Istiadat Melayu Kelantan Bil. 1/1994 yang menyebut:

“Majlis hendaklah mempunyai kuasa memegang, mentadbir, menukar, memajak,


menggadai, menjual, membuat pawahan melabur wang atau harta-harta Baitulmal
alih atau tak alih, bagi maksud memaju dan mengembangkan pendapatan dari
harta-harta itu”, meliputi
i. Kutipan sewa gudang (rumah-rumah kedai, Baitulmal/wakaf)

ii. Kutipan sewa atau pajak tanah (Baitulmal/Wakaf)

iii. Cucuran pusaka Baitulmal

iv. Harga/pampasan tanah

v. Dalal (komisyen)Baitulmal

vi. Pelbagai hasil Baitulmal (seperti Luqatah, hibah dan “ interest” dari

simpanan bank)

vii. Perolehan dari Pelaburan Baitulmal

Sesuai dengan seksyen yang berlainan antara zakat dan Baitulmal maka pihak

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan telah mengasingkan

kedua-dua sumber penting ini kepada 2 akaun yang berlainan demi memudahkan

proses pengagihan iaitu akaun Zakat dan akaun Baitulmal.

Sungguhpun demikian, ciri-ciri pengagihan kedua-dua sumber ini,tetap tidak

berubah, di mana zakat diagihkan kepada lapan asnafnya yang khas manakala

sumber Baitulmal kepada manfaat am umat Islam di mana prinsipnya tidak lari

maslahah (kebajikan) dan ‘adalah (keadilan).

F. KESIMPULAN

Baitulmal merupakan sebuah institusi kewangan yang penting dalam sebuah

negara Islam. Sungguhpun peranannya pada masa ini agak berbeza dengan era

kegemilangannya namun sumbangan dan fungsi yang dimainkannya tidak dapat

dinafikan telah berjaya mengangkat taraf sosio ekonomi umat Islam melalui

pembangunan yang telah dilaksanakan.


Menjadi harapan kepada seluruh masyarakat umat Islam khasnya di Kelantan

baik yang telah terlibat dengan penyewaan harta-harta Baitulmal ataupun tidak

untuk bersama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

mengangkat institusi ini menjadi pemangkin kepada arus ekonomi perdana negeri

dan negara demi manfaat umat Islam seluruhnya.

Anda mungkin juga menyukai