Anda di halaman 1dari 2

5 SYARAT SESUATU KERJA ATAU AMALAN

DIKIRA SEBAGAI IBADAH.


Segala kerja atau amalan yang dilakukan dalam kehidupan ini jika menurut peraturan yang telah
ditentukan oleh Islam adalah dikira sebagai ibadah. Sekiranya aktiviti atau amalan dilakukan
tanpa memenuhi syarat-syaratnya, ia tidak menjadi ibadah dan amalan itu tertolak atau sia-sia
sahaja. 

Antara syarat syarat sesuatu kerja atau amalan itu sebagai ibadah ialah:

 Niat mesti betul kerana Allah SWT.

Sesuatu ibadah tidak wajar dilakukan kerana niat yang lain dari Allah SWT seperti riak, takbur,
menunjuk-nunjuk, sombong diri, ujub dan sebagainya. Pastikan kerja yang dilakukan sama ada
fardu ain atau fardu kifayah niatnya adalah kerana Allah SWT. 

 Amalan yang dibuat dan pelaksanaanya tidak melanggar hukum syarak.

Niat yang betul mesti tidak diiringi dengan pelanggaran terhadap syariat Allah SWT. Misalnya
jika berniaga pastikan bahan jualan itu halal untuk umat Islam, jangan berniaga arak atau
menjual nombor ekor, menjual barang curi atau barang palsu dan sebagainya. Seandainya
jualan itu salah di sisi syarak, niat yang betul sekalipun tidak diterima Allah SWT. Begitu juga
orang yang membaca Bismillah ketika minum arak atau mereka yang membeli nombor ekor
dengan berdoa kepada Allah SWT supaya menang nombor tersebut, semuanya tidak diterima
malah perbuatan tersebut sama seperti mempersendakan Allah SWT. 

 Natijah dari usaha diatur ke jalan Allah SWT untuk kemakmuran alam dan manusia
sejagat.

Natijah kerja yang dilakukan mesti disalurkan ke jalan yang betul dan sesuai dengan syariat.
Misalnya seorang pelajar yang mencari ilmu menurut tuntutan Allah SWT, jangan pula setelah
memiliki ilmu pengetahuan, ia menjadi seorang yang sombong, meninggi diri, ego dan
sebagainya. Ilmu yang diperolehi itu sepatutnya tidak menjadi seseorang itu rosak akhlaknya
seperti menipu, rasuah, memutarbelit orang lain dan sebagainya. Ilmu yang diperolehi
semestinya memberi manfaat kepada masyarakat, keluarga dan diri sendiri. Begitu juga jika
seseorang itu berniaga, hasilnya dapat membayar zakat, menolong orang yang susah, sedekah
kepada fakir miskin, anak yatim dan sebagainya. Hasil yang diperolehi tidak digunakan untuk
berjudi, minum arak atau melibatkan diri dalam kerja-kerja haram dan sebagainya. 

 Ibadah asas tidak diabaikan.

Menjaga kerja-kerja supaya menjadi ibadah, jangan pula mencuaikan ibadah-ibadah asas
seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji. Jangan disebabkan terlalu sibuk berniaga
sehingga meninggalkan solat, tidak menunaikan solat jumaat, tidak berpuasa di bulan Ramadan,
tidak menutup aurat, terlibat dengan pergaulan bebas dan sebagainya.

 Amalan itu dilakukan dengan penuh ketekunan.

Begitu juga untuk memastikan amalan tersebut menjadi ibadah, ia perlu dilakukan dengan
bersungguh-sungguh dan tekun. Umpamanya seorang pelajar yang ingin menjadikan belajarnya
itu ibadah, perlulah belajar bersungguh-sungguh dan tekun. 

Tindakan atau kerja yang sudah jelas sudah ibadah seperti membaca Al-Quran, bersedekah,
membangunkan kerja amal seperti memungut derma dan sebagainya, jika tidak memenuhi
syarat maka ia tidak dikira sebagai ibadah di sisi Allah SWT.

Anda mungkin juga menyukai