Anda di halaman 1dari 14

(TEMPLET TUGASAN - VERSI BAHASA MALAYSIA) (MUKA SURAT HADAPAN)

FAKULTI PENGAJIAN PERNIAGAAN

JAN/2018

HBEF3703

INTRODUCTION TO GUIDANCE AND COUNSELING

NO. MATRIKULASI :
NO. KAD PENGNEALAN :
NO. TELEFON :
E-MEL :

PUSAT PEMBELAJARAN :
HBEF3703

ISI KANDUNGAN MUKA SURAT

1.0 Pengenalan

1.1 Prinsip Asas Kod Etika dan Profesion Kaunseling 1

2.0 Prinsip Asas Etika Kaunseling: Pemahaman dan Ringkasan 2

3.0 Prinsip Asas Kaunseling: Kajian Kes 5

3.1 Autonomi 5

3.2 Amal Jariah 6

3.3 Tiada Kemudaratan 7

3.4 Keadilan 8

3.5 Kesetiaan 9

3.6 Ketulusan dan Menghormati Diri 9

4.0 Kesimpulan 11

Rujukan 14

i
HBEF3703

1.0 Pengenalan

1.1 Prinsip Asas Kod Etika dan Profesion Kaunseling: Pemahaman Melalui
Perbincangan dan Kajian Kes

Perkhidmatan kaunseling di Malaysia mulai pesat membangun dan semakin diterima


oleh masyarakat sebagai salah satu medium dalam membantu menstabilkan keadaan
psikologikal seseorang individu (See dan Ng, 2010). Perkembangan ini menunjukkan
bahawapengurusan etika dan perundangan kaunseling perlu dititikberatkan agar pengamalan
kaunseling yang dijalankan selari dengan standard dan spesifikasi yang ditetapkan oleh
badan-badan profesional. Standard dan spesifikasi tersebut dapat dirujuk melalui Kod Etika
Kaunselor (KEK) yang dikeluarkan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM).LKM
menetapkan beberapa prinsip asas yang perlu dipatuhi oleh setiap pengamal kaunseling iaitu
autonomi (autonomy), amal jariah (beneficence), tiada kemudaratan (non-maleficence),
keadilan (justice), kesetiaan (fidelity), dan ketulusan (veracity). Justeru, prinsip-prinsip asas
ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci beserta huraian dan contoh kajian kes agar
memantapkan pemahaman mengenai etika pengamalan kaunseling.

Lembaga Kaunselor Malaysia [LKM] (2011) telah menyenaraikan beberapa prinsip


asas dalam etika pengamalan kaunseling sebagai rujukan kepada profesion kaunselor di
Malaysia. Prinsip-prinsip asas tersebut dirujuk melalui badan profesional kaunseling
antarabangsa (American Counseling Association [ACA], 2014). Corey, Corey dan Callanan
(2010) juga tidak terkecuali menekankan prinsip asas yang sama di dalam penulisan mereka.
British Association for Counselling and Psychotherapy [BACP] (2010) turut menyenaraikan
enam prinsip asas yang sama kecuali prinsip ketulusan (veracity) yang dirujuk sebagai prinsip
menghormati diri (self-respect). Penerangan konsep tersebut oleh BACP (2010) tidaklah
menggugat prinsip asas yang dinyatakan oleh LKM dan badan profesional yang lain kerana ia
juga membawa erti yang sama iaitu seorang kaunselor perlulah mempunyai sikap yang jujur
dan tulus dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Oleh itu, melalui sikap yang jujur dan tulus,
kaunselor berupaya untuk menghormati segala prinsip yang dikemukakan demi
pembangunan kemahiran diri sendiri.

1
HBEF3703

2.0 Prinsip Asas Etika Kaunseling: Pemahaman dan Ringkasan

Autonomi (Autonomy) menunjukkan bahawa kaunselor berusaha untuk menghormati


hak dan kebajikan klien di dalam sesi yang dijalankan (ACA, 2014; BACP, 2010; Corey et
al., 2010). Selain itu, setiap individu sama ada kaunselor mahupun klien sesi kaunseling
mempunyai hak dan kebebasan untuk berfikir dan membuat segala keputusan. Kaunselor
mempunyai hak untuk memastikan setiap klien menjalani sesi dalam keadaan yang selesa dan
terapeutik (Aga Mohd Jaladin dan Lau 2013). Penyediaan dari segi kemudahan bilik, meja,
kerusi, peralatan, dan bahan yang digunakan di sepanjang sesi perlulah disediakan
sepenuhnya oleh kaunselor. Sesi kaunseling yang selesa dan terapeutik dapat merangsang
proses pemulihan psikologikal klien. Selain itu, kaunselor juga perlu menghormati hak dan
kebebasan klien dalam menentukan matlamat sesi kaunseling yang dijalankan (Aga Mohd
Jaladin et al., 2013). Sesi kaunseling yang baik merangkumi penyataan matlamat yang jelas
dan kaunselor bertindak sebagai pembimbing yang berupaya meningkatkan sistem
kepercayaan diri klien untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.Justeru, adalah
menjadi tanggungjawab kaunselor untuk menjaga hubungan profesional agar hak dan
kebajikan klien dapat dijaga dengan rapi dan teliti.

Amal jariah (Beneficence) merujuk kepada kemampuan kaunselor untuk melakukan


segala kebaikan dan meningkatkan kesejahteraan dalam diri klien (ACA, 2014; BACP, 2010;
Corey et al., 2010; Aga Mohd Jaladin et al., 2013). Demi menjaga kesejahteraan klien,
kaunselor perlulah meningkatkan kefahaman kendiri dengan ilmu dan pengetahuan yang luas
mengenai bidang dan pengkhususan yang diceburi. Kaunselor perlu melaksanakan segala
tugas di dalam bidang kompetensi masing-masing agar proses pemulihan yang dijalankan
tidak menjejaskan kesejahteraan klien (ACA, 2014; BACP, 2010). Setiap individu atau klien
yang datang ke sesi kaunseling memerlukan pendekatan yang berbeza.Maka, kaunselor perlu
bijak mengatur strategi pengamalan kaunseling yang bersesuaian dengan kapasiti klien serta
menjaga segala kelengkapan yang diperlukan dengan baik.

Tiada kemudaratan (Non-maleficence) pula merujuk kepada keupayaan kaunselor


untuk tidak melakukan sebarang tingkah laku yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada
klien (ACA, 2014; BACP, 2010; Corey et al., 2010; Aga Mohd Jaladin et al., 2013).
Kaunselor juga merupakan seorang yang mempunyai naluri dan nafsu yang sama seperti
orang lain (Wheeler & Bertram, 2008; Corey et al., 2010). Justeru, kaunselor perlu
mengelakkan diri daripada bertindak memanipulasi klien demi mencapai kehendak dan

2
HBEF3703

kemahuan diri sendiri. Kaunselor tidak seharusnya mementingkan diri di dalam perhubungan
menolong yang dijalankan, sebaliknya, perlu menjaga tatasusila dengan memastikan tiada
kemudaratan yang dilakukan kepada klien sama ada secara langsung atau tidak langsung
(Aga Mohd Jaladin et al., 2013). Hal ini kerana segala kemudaratan yang berlaku boleh
membuatkan klien hilang kepercayaan serta menjatuhkan kredibiliti seseorang kaunselor.
Maka, kepercayaan yang tidak diraih akan menjadikan sesi kaunseling tidak berkembang
serta timbul syak wasangka buruk klien terhadap kaunselor. Justeru, kebolehan dan
kompetensi kaunselor juga akan diragui dan sukar untuk diberi kepercayaan dalam
menjalankan tugas.

Keadilan (Justice) merujuk kepada kemampuan kaunselor dalam menyediakan sesi


rawatan yang adil dan saksama dengan segala kelengkapan yang mencukupi bagi setiap
lapisan klien (ACA, 2014; BACP, 2010; Corey et al., 2010; Aga Mohd Jaladin et al., 2013).
Layanan yang adil dan bersesuaian perlu dititikberatkan kepada semua lapisan klien dengan
tidak mengira bangsa, agama, umur serta ciri-ciri fizikal dan mental klien (ACA, 2014;
BACP, 2010). Kaunselor perlu sedaya upaya meningkatkan kefahaman dan ilmu dalam
mengendalikan kes klien daripada kepelbagaian budaya, fizikal, dan mental klien.
Pendedahan am dan khusus terhadap jenis-jenis pendekatan kaunseling yang digunakan serta
hak-hak klien secara rasmi dan beretika dapat membantu meningkatkan kompetensi
kesaksamaan (ACA, 2014; BACP, 2010). Pengendalian kes yang baik dan teliti
mencerminkan kemampuan kaunselor dalam menyediakan perkhidmatan yang bersifat adil
dan tidak berunsur diskriminasi (BACP, 2010; Wheeler et al., 2008; Corey et al., 2010). Oleh
itu, klien lebih yakin dan selesa membincangkan isu-isu yang berkaitan semasa sesi
kaunseling berlangsung.

Kesetiaan (Fidelity) pula merujuk kepada penghormatan kepada kepercayaan klien


oleh kaunselor yang menjalankan sesi kaunseling (ACA, 2014; BACP, 2010; Corey et al.,
2010; Aga Mohd Jaladin et al., 2013). Setiap sesi yang dijalankan mempunyai persetujuan
termaklum, oleh itu, kaunselor perlu sedaya upaya menjaga kerahsiaan dan limitasi
kerahsiaan yang dibincangkan sepanjang sesi (Wheeler et al., 2008; Corey et al., 2010).
Kaunselor juga mempunyai hak untuk tidak mendedahkan informasi yang terlalu sulit kepada
mana-mana pihak ketiga kerana ia merupakan salah satu bentuk kepercayaan yang telah
diletakkan oleh klien dan perlu dihargai dan dihormati (BACP, 2010; Aga Mohd Jaladin et
al., 2013). Sekiranya perkara tersebut tidak dijaga dengan baik, maka, perhubungan

3
HBEF3703

menolong antara klien dan kaunselor akan terjejas serta menghalang proses perkembangan
dan pemulihan psikologikal klien.

Ketulusan dan menghormati diri (veracity and self-respect) membawa konteks


pemahaman yang sama di dalam etika kaunseling iaitu memupuk keikhlasan dalam
menjalankan sesi kaunseling serta meningkatkan kemampuan diri melalui pengumpulan ilmu
yang berterusan (ACA, 2014; BACP, 2010; Corey et al., 2010; Aga Mohd Jaladin et al.,
2013). Ketulusan dan keikhlasan seseorang kaunselor dilihat melalui usaha dalam
menyediakan sesi kaunseling dengan teliti dan rapi serta berlandaskan pengamalan etika
kaunseling yang sesuai (Wheeler et al., 2008; Corey et al., 2010; Aga Mohd Jaladin et al.,
2013). Sesi kaunseling yang rapi dan teliti merangkumi penerokaan masalah yang meluas
serta perancangan sesi yang sistematik. Maka, kaunselor perlu mempunyai inisiatif untuk
meningkatkan kemahiran dan kompetensi dalam diri bagi memastikan sesi yang dijalankan
bermanfaat kepada klien. Kaunselor juga dikatakan berupaya untuk menghormati diri dengan
melaksanakan tugas secara tulus dan jujur serta berusaha untuk meningkatkan ilmu dengan
konsep pembelajaran sepanjang hayat (ACA, 2014; BACP, 2010). Melalui konsep ini,
kaunselor mampu melengkapkan diri dengan ilmu yang baharu dan terkini serta berupaya
mengendalikan sesi dengan mudah dan lancar.

4
HBEF3703

3.0 Prinsip Asas Etika Kaunseling: Kajian Kes

Berikut merupakan perbincangan mengenai kajian kes yang berlandaskan enam (6)
prinsip asas di dalam kod etika. Perbincangan mengenai setiap kes adalah berpandukan
model membuat keputusan dengan beretika oleh Corey et al. (2010) dan Cottone dan
Tarvydas (2016).

3.1 Autonomi (Autonomy)

Klien mempunyai masalah bersamasuaminya. Dia meragui bahawa sang suami


mempunyai hubungan sulit di luar pengetahuannya. Keraguan ini semakin
meningkat apabila sang suami sentiasa balik lewat malam sehingga menimbulkan
kecemburuan di dalam dirinya. Klien pernah bertanya kepada sang suami tetapi
jawapan yang diterima tidaklah memberi kelegaan kepada dirinya. Kaunselor
memberi peluang sepenuhnya kepada klien untuk menjelaskan permasalahan
yang dialami di dalam sesi yang dijalankan.Tetapi, kaunselor turutmengesyorkan
klien untuk mengekori pergerakan sang suami bagi memastikan tindak-tanduk
suaminya. Adakah tindakan kaunselor betul dan cadangan yang diberikan tidak
bercanggah dengan etika sebagai seorang kaunselor?

Perbincangan: Tindakan kaunselor dengan memberi peluang kepada klien untuk


menceritakan segala permasalahan yang dialami adalah betul dan ini menunjukkan kaunselor
menghormati hak klien untuk menentukan perbincangan di dalam sesi (prinsip autonomi).
Peranan kaunselor di dalam sesi kaunseling adalah sebagai pembimbing dengan usaha
menghormati kehendak dan matlamat yang ingin dicapai oleh klien. Menurut KEK,
tanggungjawab utama kaunselor ialah untuk menghormati maruah dan memupuk kebajikan
klien [A.1.a. Tanggungjawab utama] (LKM, 2011). Sebaliknya, perlakuan kaunselor dengan
memberikan cadangan terhadap solusi permasalahan klien adalah tidak beretika dan ia
mungkin menjejaskan perhubungan sesi kaunseling. Di dalam KEK ada menjelaskan bahawa,
kaunselor dan klien perlu bekerjasama untuk menentukan pelan tindakan yang ingin
dilaksanakan sepanjang sesi berlangsung dengan memberi keutamaan kepada kebebasan
klien dalam membuat pilihan [A.1.c. Pelan-pelan kaunseling] (LKM, 2011). Seharusnya,
kaunselor hanya bertindak membimbing klien untuk memahami permasalahan yang
dialamiserta memberikan hak dan kebebasan kepada mereka dalam menentukan solusi yang
terbaik. Dengan ini, kaunselor dapat memupuk sifat berdikari dan bertanggungjawab dalam

5
HBEF3703

diri klien untuk lebih peka dengan solusi permasalahan yang dihadapi (Wheeler et al., 2008;
Corey et al., 2010).

3.2 Amal Jariah (Beneficence)

Klien mempunyai masalah kecelaruan seksual (sexual disorder) dan telah


disyorkan oleh rakannya untuk bertemu dengan seorang pakar kaunseling di
dalam bidang pengkhususan kaunseling kesihatan mental. Klien telah
menceritakan semua sebab dan kesan yang dialami olehnya. Setelah meneliti
segala simptom dengan merujuk kepada DSM-V, terbukti dan ternyata bahawa
klien mempunyai masalah tersebut. Kaunselor kemudian mendiagnos klien
dengan masalah kecelaruan seksual dan menjalankan proses rawatan yang
bersesuaian mengikut keadaan semasa klien.Dalam masa yang sama, kaunselor
tersebut berusaha mendapatkan khidmat nasihat, bimbingan, dan penyeliaan
daripada pakar psikologi bagi memahami pandangan klinikal terhadap
permasalahan tersebut dan memastikan kesejahteraan mental klien sentiasa
terjaga. Adakah tindakan kaunselor betul dan menunjukkan ciri-ciri seorang
kaunselor yang beretika?

Perbincangan:Terdapat beberapa tindakan kaunselor yang boleh dipertikaikan melalui


ringkasan kes di atas dan akan dibincangkan dengan lebih terperinci. Kaunselor menunjukkan
prinsip amal jariah yang baik dengan berusahamendapatkan bantuan individu profesional
lain, tetapi, kaunselor terlupa untuk mendapatkan persetujuan termaklum daripada klien
terlebih dahulu sebelum menjalankan khidmat nasihat dan bimbingan tersebut. Menurut
KEK, kaunselor seharusnya mendapatkan persetujuan daripada klien terlebih dahulu untuk
bekerjasama dengan individu profesional lain bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan
mentalnya terjaga sebelum menjalankan proses rawatan yang sepatutnya [A.3. Klien yang
diberi perkhidmatan oleh profesional lain; D.1.b Menjalin hubungan] (LKM, 2011).
Kaunselor juga bertindak merujuk DSM-V ketika menjalankan proses diagnosis kerana
khuatir melakukan kesalahan [E.5.a. Diagnosis yang betul] (LKM, 2011).Tindakan kaunselor
untuk mendapatkan bantuan profesional lain harus dipuji kerana usahanya dalam memastikan
pelaksanaan tugas sedia ada berada di bawah kompetensinya [C.2.a. Sempadan kompetensi]
(LKM, 2011). Tambahan pula, kaunselor mempunyai kesedaran untuk bertindak menghindari
kemudaratan terhadap klien dan berusaha sebaik mungkin meminimumkan dan memulihkan
kemudaratan yang tidak dapat dielakkan [A.4.a. Menghindari kemudaratan] (LKM, 2011).

6
HBEF3703

Rasionalnya, kerjasama di antara bidang pengkhususan profesion kaunseling dan psikologi


dilihat berupaya meningkatkan pemulihan dan kestabilan psikologikal serta mental klien
(Brown & Barlow, 2016; Butcher, Hooley, dan Mineka, 2014). Oleh itu, usaha yang
ditunjukkan oleh kaunselor perlu dipuji kerana berupaya untuk memberikan perkhidmatan
yang terbaik bagi memastikan kesejahteraan mental klien terjaga.

3.3 Tiada Kemudaratan (Non-maleficence)

Klien telah menjalani empat sesi kaunseling individu bersama dengan kaunselor.
Klien merasakan bahawa kaunselor tersebut telah berjaya membantu memulihkan
keadaan psikologikalnya dan berhasrat untuk memberikan ganjaran dan
penghargaan. Pada pertemuan yang seterusnya, klien telah membawa sebungkus
kotak berupa hadiah yang ingin diberikan kepada kaunselor tersebut. Tetapi,
kaunselor itu menolak kerana terikat dengan etika sebagai seorang kaunselor
berdaftar. Klien tetap memujuknya untuk menerima hadiah tersebut, tetapi,
kaunselor masih dengan pendiriannya yang tetap dan berusaha untuk menjelaskan
situasi tersebut sebaik mungkin kepada klien. Adakah tindakan kaunselor itu
betul dan menunjukkan ciri-ciri seorang yang beretika?

Perbincangan: Ya, tindakan kaunselor itu betul dan menunjukkan bahawa dirinya terikat
dengan etika sebagai seorang kaunselor berdaftar. Selain itu, tindakannya itu juga
menunjukkan bahawa wujudnya keinginan untuk menghindari kemudaratan daripada berlaku
dalam diri klien dan perhubungan menolong yang sedang terjalin. Memang tidak dinafikan,
profesion kaunseling berupaya mengundang keselesaan dan kebergantungan klien terhadap
kaunselor (Corey et al., 2010). Di dalam kepelbagaian budaya, hadiah mungkin dilihat
sebagai salah satu cara untuk menghargai keterlibatan seseorang dalam membantu
memudahkan sesuatu urusan(Aga Mohd Jaladin et al., 2013). Namun, di dalam perhubungan
menolong, sejajar dengan KEK, kaunselor perlu sedar bahawa pemberian hadiah mungkin
menjadi salah satu budaya setempat, justeru, kaunselor perlu bijak menginterpretasi
pemberian tersebut sama ada untuk menerima atau menolaknya kerana ia mungkin berpotensi
mewujudkan hubungan dan interaksi yang memberi faedah kepada klien [A.10.e. Menerima
hadiah] (LKM, 2011). Justeru, KEK menegaskan lagi bahawa kaunselor juga disarankan
untuk meminimumkan hubungan yang berpotensi memberi faedah kepada klien dan berusaha
untuk mendokumenkan segala perlakuan dan interaksi yang berpotensi memberi faedah
sebagai rujukan dan langkah berjaga-jaga di masa hadapan [A.5.d. Interaksi berpotensi

7
HBEF3703

memberi faedah] (LKM, 2011). Tindakan kaunselor untuk menghindari daripada berlakunya
kemudaratan dalam diri klien mungkin dilihat sebagai salah satu prinsip hidup yang telah
lama diamalkan oleh kaunselor. Tindakan tersebut diperkukuhkan lagi dengan KEK yang
menjelaskan bahawa kaunselor hendaklah sedar akan nilai dan prinsip hidup masing-masing
dan tidak memaksa diri untuk menerima suatu prinsip yang mungkin menggugat matlamat
sebenar sesi kaunseling tersebut serta berusaha untuk menghormati dan menghargai
kepelbagaian klien [A.4.b. Nilai-nilai peribadi] (LKM, 2011). Oleh itu, kaunselor seharusnya
bijak meminimumkan segala perhubungan dan interaksi yang mungkin menimbulkan faedah
agar setiap tindakan tidak mudah dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

3.4 Keadilan (Justice)

Pembantu pegawai psikologi di Jabatan Kebajikan Masyarakat merujuk beberapa


kes kaunseling yang melibatkan penderaan seksual kanak-kanak dan kes
penderaan fizikal kanak-kanak kelainanupaya kepada salah seorang kaunselor
berdaftar di dalam organisasi tersebut. Tanpa berfikir panjang lagi, kaunselor
tersebut menerima kes yang dirujuk itu. Untuk memastikan dirinya berupaya
mengendalikan kes tersebut, kaunselor itu telah bekerjasama dengan beberapa
individu profesional lain. Adakah tindakan kaunselor itu betul dan menepati ciri-
ciri sebagai seorang yang beretika?

Perbincangan: Ya, tindakan kaunselor itu betul dan menepati prinsip asas keadilan seperti
yang dianjurkan di dalam KEK. Kaunselor berlaku adil terhadap semua lapisan klien dengan
tidak mengamalkan prinsip diskriminasi. KEK menjelaskan bahawa kaunselor dilarang
terlibat dalam sebarang perlakuan diskriminasi terhadap klien dan berusaha untuk
memberikan pertolongan dengan sebaik-baiknya serta melindungi kerahsiaan dan limitasi
kerahsiaan bersama dengan klien minoriti [C.5. Diskriminasi; B.5.a. Tanggungjawab kepada
klien] (LKM, 2011). Tambahan pula, tuntutan sebagai kaunselor di Jabatan Kebajikan
Masyarakat yang mengendalikan kes penderaan terhadap klien minoriti memerlukan
kerjasama melalui badan-badan profesional yang lain (Aga Mohd Jaladin et al., 2013).
Justeru, KEK turut menjelaskan bahawa kaunselor yang bekerja dalam berpasukan perlu
memberi fokus kepada langkah untuk memastikan kesejahteraan klien terjaga dengan
berpandukan kepada keputusan sejagat [D.1.c. Kerja berpasukan antara disiplin] (LKM,
2011). Oleh itu, kaunselor bertindak tepat dengan memastikan kes tersebut dapat dipantau

8
HBEF3703

bersama-sama oleh badan-badan profesional lain demi menyediakan perkhidmatan


kaunseling yang terbaik untuk klien [D.1.b. Menjalin hubungan] (LKM, 2011).

3.5 Kesetiaan (Fidelity)

Seorang klien di penjara telah menjalani sesi kaunseling bersama dengan


kaunselor. Dalam tempoh itu, kaunselor tersebut telah diperintahkan oleh
mahkamah untuk memberikan keterangan mengenai isu-isu yang dibincangkan di
dalam sesi. Kaunselor berusaha untuk meminimumkan pendedahan mengenai isu
yang dibincangkan setelah mendapat kebenaran daripada klien terlebih dahulu.
Adakah tindakan kaunselor itu betul dan menepati ciri-ciri kaunselor yang
beretika?

Perbincangan: Ya, tindakan kaunselor itu betul dan menunjukkan prinsip asas kesetiaan
dengan menghormati hak dan maruah klien. Menurut KEK, kaunselor perlulah
meminimumkan pendedahan kepada pihak mahkamah setelah mendapat persetujuan
termaklum daripada klien kerana ia akan menjejaskan perjalanan sesi kaunseling serta
berpotensi memberi kemudaratan kepada klien itu sendiri [B.2.c. Pendedahan atas perintah
mahkamah] (LKM, 2011). Selain itu, kaunselor perlu memastikan bahawa maklumat rahsia
yang berpotensi didedahkan kepada pihak ketiga juga perlu dimaklumkan dengan sebaik-
baiknya kepada klien dan maklumat penting sahaja yang akan diberikan [B.2.d. Pendedahan
minimum] (LKM, 2011). Oleh itu, profesion kaunseling sangat menuntut kaunselor untuk
menghormati hak-hak klien di dalam sesi yang dijalankan kerana ia melibatkan sistem
kepercayaan perhubungan menolong itu sendiri (Wheeler et al., 2008; Aga Mohd Jaladin et
al., 2013). Maka, kaunselor perlu mengoptimumkan penjagaan kerahsiaan dan limitasi
kerahsiaan sebaik yang mungkin agar keadaan sesi kaunseling lebih selesa dan terapeutik.

3.6 Ketulusan dan Menghormati Diri (Veracity and Self-respect)

Seorang klien telah mendapatkan khidmat kaunseling untuk kali kedua setelah
sesi kaunseling yang dahulu tamat beberapa tahun yang lepas. Kaunselor
menerima klien tersebutdan menjalankan sesi seperti biasa serta berusaha untuk
menjalankan sesi sebaik yang mungkin dengan melakukan pembacaan umum
bagi meningkatkan lagi kefahaman mengenai permasalahan yang dibincangkan
dan berkongsi bersama klien di dalam sesi. Sehingga pada sesi yang keempat,
klien meluahkan perasaan cinta terhadap kaunselor. Kaunselor tersebut terkejut

9
HBEF3703

dan berusaha untuk meminimumkan interaksi yang memberi faedah kepada klien.
Namun, ia tidak memberi kesan sehinggakan kaunselor tersebut merujuk klien
kepada kaunselor wanita yang lain kerana takut akan menjejaskan perhubungan
kaunseling. Adakah tindakan kaunselor itu betul dan menepati ciri-ciri seorang
yang beretika?

Perbincangan: Ya, tindakan kaunselor itu betul dan situasi di atas menunjukkan bahawa
perkhidmatan yang dijalankan oleh kaunselor tersebut tulus dan menghormati hak dan
maruah kedua-dua belah pihak. Sebagai seorang kaunselor, sifat keterbukaan untuk menerima
klien adalah atas dasar perhubungan profesional di mana kaunselor dilarang sama sekali
untuk melakukan sebarang bentuk diskriminasi terhadap penerimaan klien di dalam sesi
kaunseling selagi ia masih berada di dalam lingkungan kompetensi dan kemampuan
kaunselor [C.5. Diskriminasi; C.2.a. Sempadan kompetensi] (LKM, 2011). Kaunselor juga
berusaha meningkatkan kefahaman melaluipembacaan umumbagi memastikan sesi
kaunseling dapat dijalankan sebaiknya [C.2.f. Pendidikan berterusan] (LKM, 2011). Justeru,
kaunselor menunjukkan keikhlasan dalam pelaksanaan tugas perkhidmatannya kepada klien.
Selain itu, tindakan kaunselor untuk meminimumkan interaksi yang berpotensi memberi
faedah kepada klien juga bertepatan kerana khuatir akan memudaratkan proses kaunseling
tersebut [A.5.d. Interaksi berpotensi memberi faedah] (LKM, 2011). Tindakan itu bertepatan
dengan KEK iaitu mengelakkan hubungan bukan profesional yang berpotensi memberi
manfaat kepada klien serta menghalang daripada hubungan romantik berlaku di dalam sesi
[A.5.a. Klien semasa; A.5.c. Interaksi atau hubungan bukan profesional] (LKM, 2011). Maka,
adalah menjadi kewajipan untuk menghindari hubungan tersebut daripada berlaku dan
meneruskan penjagaan hak serta kebajikan klien bagi mendapatkan sesi kaunseling setelah
kaunselor menamatkan sesi dan merujuk kepada kaunselor lain [A.11.b. Ketidakupayaan
membantu klien; A.11.c. Penamatan yang sesuai; A.11.d. Pemindahan maklumat yang sesuai]
(LKM, 2011). Oleh itu, ketulusan kaunselor dalam menjalankan tugas perlu diberi keutamaan
demi menjaga maruah dan memartabatkan profesion kaunseling.

10
HBEF3703

4.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, perkhidmatan kaunseling dilihat sebagai salah satu medium utama dalam
memastikan kesejahteraan psikologikal manusia terjaga melalui inisiatif pengamalan etika
dan prinsip asas kaunseling yang betul. Oleh itu, kaunselor perlu mengamalkan konsep
pembelajaran sepanjang hayat agar standard dan spesifikasi pengamalan kaunseling di
Malaysia dapat diperkasa dan disegani seantero dunia.

(3000 patah perkataan)

11
HBEF3703

Rujukan

American Counseling Association [ACA]. 2014. 2014 ACA code of ethics: As approved by
the ACA governing council. Alexandria, VA: American Counseling Association.

Aga Mohd Jaladin, R., & Lau, P. L. 2013. Isu profesional dan etika dalam kaunseling dan
psikoterapi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

British Association for Counselling & Psychotherapy [BACP]. 2010. Ethical framework for
good practice in counselling & psychotherapy. Leicestershire, UK: British
Association for Counselling & Psychotherapy.

Brown, T. A., & Barlow, D. H. 2016. Casebook in abnormal psychology (5th ed.). Belmont,
CA: Wadsworth Publishing.

Butcher, J. N., Hooley, J. M., & Mineka, S. 2014. Abnormal psychology (16th ed.). Boston,
MA: Pearson.

Corey, G., Corey, M. S., & Callanan, P. 2010. Issues and ethics in the helping professions
(8th ed.). Belmont, CA: Brooks/Cole Publishing Company.

Cottone, R. R., & Tarvydas, V. 2016. Ethics and decision making in counseling and
psychotherapy (4th ed.). New York: Springer Publishing Company.

Lembaga Kaunselor Malaysia [LKM]. 2011. Kod etika kaunselor: Lembaga kaunselor
(Malaysia). Kuala Lumpur: Penerbitan Lembaga Kaunselor.

See, C. M., & Ng, K. M. 2010. Counselling in Malaysia: History, current status, and future
trends. Journal of Counselling and Development, 88(1), 18-22.

12

Anda mungkin juga menyukai