Anda di halaman 1dari 7

PENDAHULUAN

Pengangkutan bermaksud membawa barangan dari satu tempat ke satu tempat yang
lain. Selain itu, pengertian pengangkutan ini juga bermaksud kenderaan. Walaupun
definisi pengangkutan disampaikan dengan cara berlainan tetapi masih membawa
maksud yang sama iaitu, pengangkutan bermaksud pergerakan untuk membawa
penumpang atau barangan dari suatu tempat ke tempat yang lain ataupun mengubah
lokasi fizikal sesuatu barangan atau penumpang. Oleh itu, pengangkutan berfungsi
sebagai media yang menghubungkan satu lokasi dengan lokasi yang berlainan dan
membolehkan melakukan pergerakan manusia.
Sebagai satu aktiviti asas manusia, pengangkutan membantu memindahkan
manusia dan barangan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Sistem pengangkutan
yang terjalin dibentuk oleh jaringan jalan dan pengangkutan dan seterusnya
membentuk pergerakan yang berlaku dalam sesebuah kawasan. Bidang pengangkutan
memainkan peranan penting dalam menyelaras segala program pembangunan
sesebuah negara. Sektor pengangkutan bukan sahaja merupakan penawaran
perkhidmatan yang produktif dan berpotensi, tetapi juga merupakan penawaran
kemudahan mod pergerakan umum dalam pelbagai jenis dan bentuk bersesuaian
dengan kehendak kemajuan masyarakat. Malah dewasa ini pengangkutan merupakan
keperluan dalam kemudahan pergerakan manusia dan barangan yang perlu dimiliki
dan menjadi asas utama dalam kehidupan seharian.
Dengan perkembangan aktiviti manusia yang kian meningkat dan bertambah
kompleks melalui pelbagai fungsi dan aktiviti seharian secara tidak langsung
meningkatkan keperluan permintaan terhadap pelbagai jenis kenderaan. Serentak
dengan itu, jumlah kenderaan di jalan raya juga meningkat dengan pesatnya pada
setiap tahun. Dengan bertambahnya bilangan kenderaan secara berterusan di negara
kita ketika ini seperti juga di negara-negara lain terutama di bandar-bandar utama dan
di jalan-jalan raya utama secara langsungnya telah menimbulkan pelbagai isu dan
permasalahan lalu lintas khususnya kemalangan jalan raya.

FUNGSIPENGANGKUTAN
Keperluan untuk pengangkutan wujud walaupun dalam masyarakat yang belum
mencapai pembangunan ekonomi yang tinggi. Apabila ekonomi sesuatu kawasan makin
membangun, permintaan untuk pengangkutan semakin meningkat. Selain fungsi
ekonomi, pengangkutan juga mempunyai fungsi sosial untuk menghubungkan
silaturahim sesama manusia sama ada ahli keluarga atau sahabat handai. Dengan
adanya sistem pengangkutan yang lebih baik manusia boleh memilih untuk bekerja di
sesuatu tempat di mana majikan boleh menawarkan gaji yang lumayan tetapi pada
masa yang sama memilih untuk tinggal di kawasan pilihan mereka. Pengangkutan juga
membolehkan manusia menggunakan masa santainya dengan cara terbaik.
Di bandar, sebahagian besar penyediaan kemudahan adalah untuk memenuhi
permintaan bergerak daripada pengguna, dari satu tempat kepada satu tempat yang
lain. Antaranya untuk menghubungkan pengguna ke tempat bekerja, pusat
perkhidmatan, sekolah dan institut pengajian, tempat membeli belah dan sebagainya.
Penyediaan mod pengangkutan yang pelbagai, adalah untuk memberi peluang kepada
masyarakat memilih mod pengangkutan yang lebih mesra pengguna, selamat, selesa
dan ekonomik. Pengangkutan juga dilihat sebagai pemangkin yang mampu
melonjakkan pembangunan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi sejajar dengan
matlamat untuk meningkatkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan, penjanaan,
guna tenaga dan pembangunan masyarakat seluruhnya.
Pengangkutan berfungsi sebagai faktor integrasi dan koordinasi dalam
masyarakat yang kompleks terutamanya dalam masyarakat perusahaan.
Pengangkutan berkait rapat dengan pergerakan barangan. Tanpa sistem
pengangkutan, sesuatu masyarakat itu tidak dapat berkembang maju dan menerima
perubahan dalam sistem sosial, ekonomi dan sebagainya. Pengangkutan juga
mempunyai fungsi yang berkaitan dengan pertambahan penduduk, perkembangan
bandar dan guna tanah. Pengangkutan boleh mengubah bentuk perkembangan bandar.
Pada masa dahulu, pertambahan penduduk hanya tertumpu pada kawasan yang
mempunyai sosioekonomi tertentu tetapi dengan perkembangan pengangkutan,
perkembangan bandar mengikut perkembangan pengangkutan.

Jenis-jenis Pengangkutan
Pengangkutan boleh dibahagikan kepada pelbagai jenis. Jika dikaitkan dengan mod
atau ragam pengangkutan boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu
pengangkutan darat, pengangkutan air, dan juga pengangkutan udara.

Pengangkutan Darat
Pengangkutan darat biasanya dikaitkan dengan kenderaan yang menggunakan jalan
raya sebagai laluan. Antaranya ialah kenderaan persendirian seperti kereta dan juga
motosikal, pengangkutan awam seperti bas ekspres, bas mini, teksi dan juga kereta
sewa, serta kenderaan perdagangan seperti lori, bas kilang dan juga treler.
Setiap jenis kenderaan mempunyai fungsi serta kapasiti masing-masing. Sebagai
contoh, kenderaan persendirian memberi kelebihan dari segi penjimatan masa,
perkhidmatan dari pintu ke pintu dan kebolehsampaian. Walau bagaimanapun,
kenderaan persendirian hanya mampu menampung 4 hingga 5 orang penumpang
untuk kereta ataupun, 6-8 orang untuk kenderaan serba guna (MPV). Sementara
pengangkutan awam memberi faedah dari segi kemurahan tambang, keupayaan
kenderaan yang tinggi dan juga kemudahan mendapatkan perkhidmatan. Berikut
merupakan pendaftaran kenderaan darat mengikut jenis.

ISU DAN MASALAH PENGANGKUTAN DI TAMAN BERANGAN,SUNGAI PETANI


Pergantungan yang tinggi terhadap kenderaan persendirian seperti motosikal dan
kereta akan memberi implikasi yang negatif dari segi penggunaan sumber tenaga,
umpamanya fosil yang dibakar oleh enjin kenderaan boleh mendatangkan dan
meningkatkan pencemaran udara dan seterusnya memberi impak negatif kepada
persekitaran. Masalah kesesakan lalu lintas yang dialami oleh penduduk di bandar
tidak seharusnya dibiarkan berterusan. Hal ini kerana kesesakan lalu lintas boleh
memberi gangguan kepada persekitaran dan psikologi manusia.
Di Taman Berangan, banyak isu dan masalah utama yang menjadi kekangan
dalam mencapai kualiti hidup yang baik di bandar. Pertambahan penduduk bukan
sahaja memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan, permintaan terhadap perumahan,
kemudahan sosial bahkan turut menambah jumlah kenderaan di jalan raya dan lebuh
raya. Perubahan demografi melalui pertumbuhan semula jadi dan migrasi telah
meningkatkan lagi permintaan terhadap pengangkutan bagi kemudahan untuk
bergerak. Pengangkutan merupakan antara punca terpenting yang menyumbang
kepada pencemaran alam sekitar, terutamanya pencemaran udara di kawasan bandar.
Masalah ini bukan sahaja berkaitan dengan mod pengangkutan, bahkan turut
melibatkan struktur jalan raya yang membahayakan seperti tiadanya pembahagi jalan
yang jelas, jalan yang pecah dan berlopak, jalan tidak rata, kurangnya kemudahan
lampu isyarat, kesesakan lalu lintas yang boleh memberi kesan kepada fizikal dan
psikologi manusia dan beberapa kesan lagi. Keadaan-keadaan seperti ini didapati boleh
menyebabkan masyarakat bandar merasa tidak selesa, susah hati, cemas, letih, lesu,
kerumitan untuk berinteraksi dan kebimbangan yang serius apabila setiap hari mereka
terpaksa menggunakan jalan raya tersebut ke tempat bekerja, ke pasar raya, pusat
perkhidmatan atau apa sahaja urusan penting dalam keadaan pengguna tidak
mempunyai pilihan yang lain.
Selain itu, kemudahan pengangkutan awam yang terdapat di bandar-bandar
besar yang tidak dapat memberikan perkhidmatan yang memuaskan dan maksimum
kepada pengguna. Mutu perkhidmatan yang tidak memuaskan seperti jadual
perjalanan yang tidak konsisten, bilangan penumpang yang terlalu ramai yang
menimbulkan kesesakan dalam bas dan monorel, kekerapan perjalanan bas yang
terlalu lama, tiada kemudahan penyaman udara dan sebagainya. Keadaan-keadaan
seperti ini didapati telah menimbulkan kerumitan yang serius kepada pengguna. Ada
kalanya pengguna cuba beralih kepada mod pengangkutan awam, tetapi perkhidmatan
yang ditawarkan pula tidak memuaskan. Manakala untuk terus menggunakan
kenderaan persendirian ternyata akan lebih menyulitkan apabila terpaksa menghadapi
kesesakan lalu lintas yang lama, keletihan, dan sebagainya. Hal-hal seperti ini
merupakan antara masalah yang sering berlaku di kawasan bandar.

SISTEM PENGANGKUTAN SEBAGAI FAKTOR PEMBANGUNAN TAMAN


BERANGAN,SUNGAI PETANI
Pembangunan merupakan satu proses yang berterusan, melalui satu perancangan
untuk memperbaiki kehidupan masyarakat dalam pelbagai aspek. Satu aspek yang
penting dalam pembangunan tersebut ialah pengangkutan. Hampir seluruh kehidupan
manusia tidak terlepas daripada keperluan pengangkutan. Pengangkutan berkembang
seiring dengan kemajuan kehidupan dan budaya manusia. Sistem pengangkutan
merupakan salah satu faktor penggerak utama dalam pembangunan negara yang
secara langsungnya dapat meningkatkan kualiti hidup sosial. Sejarah telah
membuktikan bahawa proses perbandaran telah banyak membawa kesan positif
kepada pembangunan negara. Dari awal lagi pusat bandar telah memainkan peranan
yang penting sebagai pusat pengumpul, pertukaran barangan melalui aktiviti
perniagaan dan perdagangan serta menjadi pusat pengedaran hasil pengeluaran ke
kawasan-kawasan lain atau di peringkat tempatan.
Proses ini berterusan sehingga fungsi bandar merebak keluar ke kawasan-
kawasan di sekitarnya setelah wujudnya kawasan-kawasan perindustrian,
perdagangan, pejabat-pejabat pentadbiran, pasar raya dan kawasan kediaman yang
memerlukan kawasan yang lebih luas. Akibatnya wujud pula bandar-bandar lain di
pinggir bandar atau di sepanjang jalan pengangkutan utama mengikut fungsinya yang
tertentu seperti bandar satelit, bandar baru, bandar peranginan, bandar universiti dan
suburb yang terdiri daripada pelbagai jenis seperti suburb perumahan eksklusif,
campuran dan suburb perindustrian ringan yang merangkumi kawasan bandar yang
lebih luas dan kompleks seperti yang dialami pada masa kini. Justeru itu kesannya
tidak dapat dinafikan di kalangan sebahagian penduduknya dalam memperoleh kualiti
hidup sosial pada peringkat minimum disebabkan kepesatan proses perbandaran yang
tidak terkawal.
Bagi setengah kawasan yang lain pula terdapat percanggahan penggunaan tanah
dengan ditempatkan kawasan-kawasan industri di kawasan kediaman dan perniagaan
di pusat-pusat bandar. Kedudukan bangunan-bangunan peninggalan sejarah sebelum
perang yang berdekatan dengan laluan lorong-lorong yang sempit menyebabkan kerja-
kerja untuk melebarkan jalan raya tidak dapat dilaksanakan. Keadaan ini dijangka
menjadi bertambah buruk lagi pada masa akan datang dengan bertambahnya jumlah
kenderaan sama ada persendirian, awam atau pengangkutan barangan dengan
melibatkan pelbagai mod pengangkutan yang akhirnya membawa banyak masalah
kesesakan lalu lintas bukan saja di pusat bandar, tetapi juga di jalan-jalan utama yang
sudah pun melebihi had isi padunya terutama pada waktu-waktu kemuncak.
Sistem pengangkutan dapatlah dianggap sebagai satu daripada faktor
pendorong yang utama di dalam pembangunan, terutama kepada negara yang sedang
membangun. Pengangkutan berfungsi sebagai media yang menghubungkan satu
tempat dengan satu tempat yang lain dan ini membolehkan pergerakan manusia.
Pembinaan jalan-jalan dan kemudahan sistem pengangkutan di dalam dan di luar
bandar memberi jalan masuk kepada sesuatu kawasan dan seterusnya memudahkan
pengaliran pengaruh terhadap pembangunan dan unsur-unsur pemodenan. Manusia
atau masyarakat lazimnya mempunyai ciri-ciri sosioekonomi tertentu. Masyarakat juga
dapat dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut status ekonomi dan ini dapat
diukur berdasarkan jenis pekerjaan dan garis pendapatan. Faktor-faktor ini akan
mencerminkan kawasan penempatan, kepadatan penduduk dan jenis sistem
pengangkutan yang diperlukan.
Hal ini menunjukkan jalan-jalan utama melalui pusat-pusat penempatan dan
kemudahan pengangkutan awam yang cekap amat diperlukan. Jika pengangkutan di
sesuatu kawasan itu baik, murah, tepat pada waktunya, senang didapati dan terletak di
lokasi yang strategik, hal ini akan mewujudkan permintaan yang berlebihan. Sesuatu
lokasi yang strategik dikaitkan dengan kegiatan tumpuan seperti pusat pelancongan
atau pusat membeli-belah. Jika permintaan melepasi peringkat optimum, kesesakan
akan wujud dan ini akan merendahkan nilai lokasi kepada pengguna atau masyarakat
sedia ada. Kesesakan lokasi sukar diukur dan ini biasanya berlaku di pusat-pusat
bandar, di tempat-tempat peranginan, atau di sesebuah kawasan yang menarik. Oleh
itu, perancangan pengangkutan hendaklah dikait rapat dengan perancangan guna
tanah.
Dengan itu, tiap-tiap aktiviti di dalam bandar merupakan elemen-elemen yang
mempunyai fungsi tersendiri. Di antara elemen-elemen penting ialah temp[at tinggal,
tempat bekerja atau belajar, tempat membeli-belah dan tempat beristirahat. Tiap-tiap
elemen tersebut saling berkaitan dan memerlukan suatu sistem pengangkutan. Di
samping itu, kehendak masyarakat juga selalu berubah mengikut peredaran zaman.
Perkembangan bandar telah mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan
permintaan perumahan dan memperbanyakkan pejabat.
Situasi ini akan meletakkan suatu kawasan atau bandar itu di peringkat
optimum, di mana tahap kesesakan amat ketara. Pada kebiasaannya, perkembangan
bandar akan meluas ke kawasan pinggir bandar dan hal ini memerlukan suatu sistem
perhubungan yang baru dan menjadi faktor kepada pembukaan sesebuah bandar baru.

KESAN PENGANGKUTAN DAN PEMBANGUNAN TERHADAP ALAM SEKITAR


Alam sekitar boleh dirujuk kepada segala benda yang berada di sekeliling manusia
pada suatu titik ruang dan masa.[6] Pencemaran alam sekitar telah bermula sejak
wujudnya revolusi perindustrian lagi. Dalam kita mengejar kemajuan dan
meningkatkan taraf hidup, kegiatan ekonomi dan pembangunan yang pesat tidak dapat
dielakkan atau dihalang bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat.
Pencemaran yang disebabkan oleh kegiatan manusia sama ada secara sengaja atau
tidak sengaja seperti pelepasan gas-gas beracun oleh kilang-kilang ke ruang udara,
pembuangan sisa kumbahan, asap dari kenderaan, pemusnahan dan pembakaran
hutan serta aktiviti yang berkaitan dengan pengaruh manusia. Hal ini secara tidak
langsung adalah kesan daripada kepesatan pembangunan dan kemajuan sistem
pengangkutan di negara kita.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengangkutan moden telah banyak
membawa perubahan dan kebaikan pada taraf kehidupan masyarakat Malaysia.
Begitu juga dengan pembangunan yang berkembang dengan pesat di negara kita.
Impak pembangunan terhadap alam sekitar pada masa ini semakin meningkat,
walaupun terdapat pelbagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengawasinya
dan bertambahnya peraturan dan garis panduan yang digubal bagi melawannya.[7]
Pencemaran Udara
Pencemaran udara adalah salah satu kesan sampingan daripada sistem pengangkutan
iaitu kenderaan bermotor.Kesan negatif yang disebabkan oleh sistem pengangkutan
merupakan faktor terbesar yang menyebabkan pencemaran udara. Dianggarkan setiap
tahun, lebih kurang 13.6 juta tan gas-gas beracun yang berpunca daripada penggunaan
kenderaan merosakkan kawasan hutan, tasik dan kehidupan laut. Gas beracun ini juga
turut menambahkan kesan rumah hijau serta membahayakan kesihatan manusia
sejagat.
Ahli sains telah membuktikan bahawa pengangkutan secara keseluruhan
menghasilkan 64% gas Nitrogen Oksida (unsur utama yang menyebabkan terjadinya
hujan asid), 42% Hidrokarbon, 66% Karbon Monoksida, 32% Plumbum, 30% Karbon
Dioksida, 74% Benzena (merupakan bahan beracun), serta Toluena, Xilena, dan
Etilena yang tidak diketahui jumlah peratusannya.
Pencemaran Bunyi
Pertambahan kenderaan di kawasan bandar boleh menghasilkan bunyi yang bising dan
mencemarkan bunyi di bandar. Penduduk yang tinggal berhampiran dengan jalan raya
utama dan lebuh raya selalu mengalami keadaan yang bising dan ketenteraman emosi
mereka akan terganggu. Selain itu, kerja-kerja pembinaan jalan raya dan lebuh raya
juga boleh menghasilkan bunyi bising yang kuat.

Perubahan Landskap
Pembinaan sistem pengangkutan boleh mengubah landskap fizikal sesuatu
kawasan. Pembinaan lebuh raya atau melebarkan jalan raya boleh menyebabkan cerun
bukit dipotong dan hutan-hutan ditebang dengan banyaknya. Projek memotong dan
menarah bukit boleh menyebabkan kejadian hakisan cerun. Seterusnya apabila
berlaku hujan lebat, air hujan boleh melonggarkan tanah dan menyebabkan
berlakunya tanah runtuh

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN PENCEMARAN ALAM SEKITAR


Penjagaan alam sekitar adalah sangat penting bagi mengelakkan masalah besar yang
akan timbul kemudian hari. Jika alam sekitar tidak dijaga dan dipelihara dengan betul,
hal ini boleh memberi masalah kepada masyarakat dan hidupan lain. Oleh itu, langkah
pencegahan dan pengawalan telah dijalankan oleh pihak-pihak tertentu bagi menjamin
kualiti udara di Malaysia. Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan
adalah dengan mengelakkan penggunaan klorofluorokarbon (CFC) dan melalui
perundangan dan penguatkuasaan.
Dalam usaha mengawal pencemaran di Malaysia, kerajaan telah membuat
beberapa peraturan dan kaedah. Dalam konteks pencemaran udara yang disebabkan
oleh kenderaan bermotor, peraturan-peraturan yang ditetapkan boleh didapati dalam
Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 1978, Kaedah-kaedah
Kereta Motor (Kawalan Pelepasan Asap dan gas), 1977. Selain itu, pencemaran udara
juga boleh dikawal dengan menggunakan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar
(Kawalan Pelepasan daripada Enjin Petrol) 1996 dan Peraturan-peraturan Kualiti
Alam Sekitar (Kawalan Pelepasan daripada Enjin Diesel) 1996.
Selain itu kita patut mengurangkan penggunaan penyaman udara dalam
kenderaan bermotor kecuali jika benar-benar diperlukan. Penggunaan alat penyaman
udara boleh menghasilkan gas Klorofluorokarbon (CFC) dan menambahkan
penggunaan minyak hingga 12 % terutamanya sewaktu kesesakan lalu lintas.
Penggunaan alat penyaman udara boleh digantikan dengan penggunaan ventilator
udara dan membuka tingkap sewaktu memandu. Menggunakan kadbod penghalang
cahaya di cermin hadapan dan belakang ketika meletakkan kenderaan bermotor di
tengah panas juga boleh mengurangkan kepanasan dalam kenderaan bermotor.
Dengan ini kita dapat mengurangkan penggunaan alat penyaman udara sewaktu
memandu kenderaan seterusnya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Berkongsi kenderaan untuk ke pejabat atau tempat-tempat tertentu bukan
sahaja menjimatkan tenaga dan wang, malahan adalah satu cara yang lebih bersih dan
bijak dalam memulihara alam sekitar daripada tercemar. Selain itu, menyelesaikan
seberapa banyak tugas dalam satu perjalanan juga boleh menjimatkan penggunaan
minyak. Akhir sekali kita seharusnya mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor
bagi perjalanan jarak dekat. Penggunaan basikal, kenderaan awan ataupun berjalan
kaki adalah lebih baik untuk alam sekitar di samping memberi kesan yang positif
terhadap kesihatan kita. Penglibatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam melaksanakan
tanggungjawabnya hanya akan tercapai dengan kerjasama dan kefahaman masyarakat
umum akan betapa pentingnya penjagaan alam sekitar. Alam sekitar yang bersih dan
terlindung mencerminkan masyarakat yang harmonis dan sihat bagi menerajui
pembangunan sains dan teknologi negara.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, kepesatan pembangunan dan perkembangan sistem pengangkutan
yang semakin meningkat banyak memberi kesan kepada masyarakat dan alam sekitar,
sama ada kesan negatif mahupun kesan positif. Pembangunan sesebuah bandar
bertujuan membawa transformasi yang lebih bermakna dan diharapkan agar negara
dapat mengharungi arus globalisasi yang kian mencabar dari semasa ke semasa.
Kepesatan bandar telah membawa kepada perkembangan sistem pengangkutan
yang selaras dengan keperluan masyarakat yang semakin meningkat. Kawasan-
kawasan yang dibangunkan ini mempunyai fungsi yang tersendiri dan memberi faedah
antara satu sama lain. Kawasan-kawasan yang dicantumkan sehingga wujudnya
wilayah, mempunyai fungsi tertentu yang membolehkan pergantungan berlaku antara
satu kawasan dengan kawasan yang lain. Contohnya kawasan yang mempunyai
kemudahan pengangkutan mempunyai hubungan rapat dengan kawasan yang terdapat
banyak peluang pekerjaan, yang menjadi tempat tumpuan orang ramai.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa sistem pengangkutan dan pembangunan
sesebuah kawasan merupakan dua perkara yang saling berkaitan dan mempunyai
kepentingan tersendiri dalam sistem sosial masyarakat khususnya di Malaysia. Walau
bagaimanapun, dalam menikmati kepesatan pembangunan dan perkembangan sistem
pengangkutan, kesan-kesan di sebaliknya perlu dikawal dan seharusnya langkah-
langkah yang sewajarnya perlu diambil bagi mengelakkan kesan negatif terhadap
masyarakat dan alam sekitar.

Anda mungkin juga menyukai