Amalan Gaya Hidup Sihat
Amalan Gaya Hidup Sihat
Karangan yang ditulis/ditaip oleh aku sendiri. Tujuannya adalah untuk dikongsi
untuk semua pelajar tak kira yang bakal menghadapi PMR ataupun SPM. Hehe :)
Apakah maksud 'Amalan Gaya Hidup Sihat'? Frasa tersebut boleh ditakrifkan sebagai
cara hidup yang mampu mengurangkan risiko mendapat penyakit-penyakit yang akan
membawa maut pada masa akan datang. Menurut kajian pakar-pakar dietetik Malaysia,
jumlah rakyat Malaysia yang mengalami obesiti semakin meningkat bak cendawan
tumbuh selepas hujan. Kandungan kolesterol dan tekanan darah individu yang mengalami
obesiti dan perokok tegar pula dua kali lebih tinggi berbanding orang kebanyakan. Oleh
itu, pendekatan secara drastik perlu diambil bagi membendung masalah kesihatan di
negara ini daripada semakin berleluasa.
Langkah yang perlu diambil bagi merealisasikan gaya hidup sihat adalah dengan
menghindarkan diri daripada gejala-gejala tidak sihat seperti merokok dan
penyalahgunaan dadah. Kajian dari Universiti Cambridge telah membuktikan bahawa
perokok menghadapi risiko untuk mendapat serangan jantung berbanding mereka yang
tidak merokok. Penyalahgunaan dadah pula perlu dicegah kerana perbuatan terkutuk itu
akan membawa kepada penyakit-penyakit seperti HIV dan AIDS. Oleh itu, kita perlu
bijak dalam membuat keputusan agar tidak terjebak dalam gejala-gejala negatif yang
bukan sahaja meragut wang ringgit, bahkan meragut nyawa seseorang.
Amalan gaya hidup sihat lain yang perlu diikuti adalah dengan mengamalkan
pemakanan yang seimbang. Pemilihan makanan yang menepati nisbah piramid makanan
perlu dititiberatkan agar tubuh badan mendapat nutrisi yang mencukupi selain terhindar
daripada penyakit. Kita juga seharusnya perlu mengurangkan pengambilan makanan
segera kerana makanan tersebut biasanya mempunyai kandungan lemak dan kolesterol
yang tinggi. Sebaliknya, pengambilan makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran dan
buah-buahan perlu diperbanyak agar mencapai tahap kesihatan yang lebih baik.
Di samping itu, aktiviti senaman juga perlu dijadikan keutamaan bagi seseorang
individu. Hal ini demikian kerana apabila kita bersenam,tubuh badan kita akan membakar
lemak, membuang toksin dan melancarkan pengaliran darah. Hal ini penting terutamanya
bagi pelajar kerana apabila pengaliran darah menjadi lancar, otak akan lebih mudah
menyerap pembelajaran. Jadi, seseorang perlulah bersenam sekurang-kurangnya setengah
jam sehari bagi meningkatkan kecergasan tubuh da kecerdasan minda.
Selain itu, kita perlu mengelakkan diri daripada mengunjungi pusat-pusat hiburan
seperti kelab malam dan sarang pelacuran. Hal ini demikian kerana tempat-tempat
sebegini akan menjerumus seseorang ke kancah pengambilan alkohol dan dadah selain
hubungan seks rambang. Perbuatan sebegini juga akan menyebabkan seseorang individu
mendapat penyakit HIV dan AIDS. Sebaiknya, kita boleh mendapat hiburan dengan
berekreasi di taman atau melancong bersama keluarga bagi mengurangkan stres. Apabila
kita mengawal tingkah laku dan perbuatan kita dalam kehidupan seharian, nescaya kita
tidak akan terjebak dengan penyakit-penyakit yang berbahaya.
Intihanya, banyak inisiatif yang dapat diambil oleh seseorang individu dalam
mengamalkan gaya hidup sihat. Kita juga perlu menjaga kesihatan kita dengan sebaik-
baiknya kerana jika nasi sudah menjadi bubur, tidak banyak yang dapat dilakukan dalam
menyelamatkan tubuh badan yang rapuh dirobek penyakit. Oleh itu, kita perlulah
bertindak bijak dalam menentukan kesihatan kita kerana mencegah adalah lebih baik
daripada mengubati.
Amalan Pemakanan Seimbang Bersukan dan Beriadah Pemeriksaan
Kesihatan
Rangka Karangan
Pendahuluan
- kepentingan amalan gaya hidup sihat
Isi-isi
- amalan pemakanan seimbang
- bersukan dan beriadah
- Pemeriksaan kesihatan
Penutup
- amalan tersebut perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat
Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan
mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh
itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu,
sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung
sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya
badan akan menjadi sihat melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan
melahirkan rakyat yang sihat dan produktif selaras dengan matlamat kerajaan untuk
meningkatkan produktiviti negara.
Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang
seimbang. Oleh itu, tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan
mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu
banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta
mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi.
Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah
tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada
mengubatinya.
Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti
sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan
melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh
bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau
berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya
juga cerdas kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas.
Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini
akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah
pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya
seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan
lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah
pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini demikian kerana, alat-alat
perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah
terhantuk baru nak tengadah.
Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya
untuk melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil
langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah
tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan
cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat
dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat
sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.
EMPEN GAYA HIDUP SIHAT
Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa
impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh
kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami
sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula.
Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat
menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan
yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu diet pemakanan yang
seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, ramai yang suka
mengambil satu jenis makanan sahaja seperti hanya memakan daging tanpa mengambil
sayur dalam diet mereka. Ketiadaan diet yang seimbanglah atau hanya menumpukan
pemakanan mereka terhadap satu aspek sahaja yang menyukarkan seseorang untuk
mencapai matlamat gaya hidup yang baik ini. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan
kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria kerana semua zat yang diperlukan oleh
badan diperoleh menerusi pemakanan yang baik itu di samping menjauhi obesiti dan
penyakit kronik.
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang
dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti
berjalan atau berlari bersendirian atau melakukan aktiviti bersukan bersama-sama
keluarga atau ketika hujung minggu untuk mendapatkan senaman sebegini. Aktiviti
senaman sudah lama diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran
darah manusia lebih stabil dan baik. Ekorannya, senaman turut menjadikan sistem
imunisasi mereka lebih tinggi. Sebagai impaknya, semakin kerap senaman dilakukan,
semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya
daripada badan yang cergas.
Amalan Gaya Hidup Sihat
Dalam era yang menongkah arus pemodenan ini sering kali kita dikejutkan dengan berita
yang menyedihkan yakni berita yang berkaitan dengan masalah kesihatan. Sebagai
tamsilan, penyakit diabetes, sakit jantung, kanser dan sebagainya. Oleh itu, kita mestilah
mengetahui cara-cara menjalani kehidupan yang sihat agar diri kita terhindar daripada
masalah kesihatan tersebut supaya nasi tidak menjadi bubur.
Pertama sekali, kita perlu mengamalkan aktiviti bersenam dan bersukan sekurang-
kurangnya tiga kali seminggu. Contohnya berjoging, bermain bola sepak dan
seumpamanya. Hal ini penting untuk menjamin badan kita sentiasa sihat dan cergas
sepanjang masa. Sekiranya aktiviti seumpama ini tidak diamalkan, badan kita akan
mudah dijangkiti penyakit berbahaya. Fungsi otak untuk memproses maklumat akan
terganggu dan gagal menyimpannya di kotak ingatan dengan sempurna. Justeru aktiviti
kecergasan memberi banyak faedah kepada kita bertepatan dengan slogan "badan sihat,
otak cerdas".
Di samping itu, pengambilan makanan seimbang perlu kita amalkan agar berat
badan kita sentiasa ideal dan risiko dihinggapi penyakit akan berkurangan. Misalnya,
kita perlulah melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu
harian. Seandainya jumlah kalori dalam badan tidak seimbang masalah kesihatan akan
berlaku seperti masalah obesiti akibat pengambilan lemak yang berlebihan. Oleh itu,
setiap individu perlulah peka terhadap pemakanan mereka setiap hari agar tidak menyesal
pada kemudian hari kerana "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna".
Seterusnya, pemeriksaan kesihatan perlu juga dilakukan sebagai amalan gaya hidup
sihat. Setiap individu harus menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya dua kali setahun
bagi mengetahui tahap kesihatan pada satu-satu masa. Contohnya, pemeriksaan kadar
denyutan jantung, tekanan darah dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, kita akan
dapat mengesan penyakit yang kita hidapi dengan lebih awal. Dengan itu, kita tidak akan
bersusah payah mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli ubat-ubatan kerana
"mencegah lebih baik daripada mengubati".
Selain itu, pengamal gaya hidup sihat juga amat mementingkan tidur dan rehat
yang secukupnya. Perkara ini sangat penting kerana kita akan kembali bertenaga untuk
melaksanakan tugasan harian dengan sempurna. Tidur yang mencukupi bagi seseorang
ialah selama lapan jam sehari. Sekiranya seseorang itu tidak mendapatkan tidur yang
mencukupi akan menyebabkan produktiviti mereka menurun malah proses biologi dalam
badan turut terganggu. Pendek kata, tidur dan rehat yang cukup menjamin kehidupan
yang sihat sejahtera.
Isi-isi penting:
Penutup:
- Terdapat banyak cara yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan harian kita.
- Pelbagai pihak perlu bekerjasama untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di negara
ini.
- Aspirasi negara dapat direalisasikan dengan mudah dan tidak menjadi seperti angan-
anganMatJenin
2. AMALAN RUMAH TERBUKA
(TEMA) Rumah terbuka atau ‘open house’ sudah menjadi lumrah pada sambutan
perayaan di negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari
Raya Aidilfitri. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga
seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang
menjadi amat sinonim dalam kehidupan mereka. (ISU) Kerajaan Malaysia pada tahun
2000 telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai
perayaan utama negara yang diraikan di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan
pusat dan kerajaan negeri. (ARAHAN) Menyedari kesungguhan kerajaan untuk
menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional, persoalan yang sering berlegar-
legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?
(ISI 1) Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan
kepentingan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota
masyarakat di negara kita. (MENGAPA) Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat
memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka
memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai erti perpaduan yang
harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum. Amalan
ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat,
perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada
pembangkang atau kerajaan. (BAGAIMANA) Jadi, setiap kaum seperti Melayu, India,
Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa
sebarang halangan dan kekangan yang perlu dibimbangi. (KESAN) Sehubungan dengan
itu, perasaan muhibah antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih
harmoni. (PENEGAS) Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan
melalui amalan rumah terbuka.
(ISI 2) Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat
serta pemimpin sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum
memahami budaya kaum-kaum lain. (MENGAPA) Mereka hanya akan merayakan
perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga
agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain,
memahami antara satu sama lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang
rakan-rakan mereka sendiri. (BAGAIMANA) Sebagai contoh, orang-orang India, Cina,
Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan
orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. (KESAN) Hal ini dapat membantu mereka
mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya yang sihat juga dapat diwujudkan
dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Secara tidak langsung
semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. (PENEGAS)
Pendek kata, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.
(ISI 3) Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri, penganjuran rumah-
rumah terbuka juga merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang
melancong di negara kita. (MENGAPA) Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk
melancong dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan
memahami sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa
menyambut perayaan kaum masing-masing. (BAGAIMANA) Kerajaan melalui
Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan
negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari
Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas.
(KESAN) Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di
Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka
sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan industri
pelancongan negara. (PENEGAS) Izharlah bahawa konsep rumah terbuka dapat
memberikan persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat
Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian.
(ISI) Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam
hubungan kekeluargaan. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya
amalan rumah terbuka ialah amalan ini merupakan medan pertemuan yang paling sesuai
untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini
amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh dan
padu, bukannya semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan
silaturahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan hilang
kepada generasi akan datang yang semakin tidak mengenali sanak-saudara mereka.
(BAGAIMANA) Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan
dapat melepaskan kerinduan di samping mendapat perkembangan terkini antara satu
sama lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat dalam
pertemuan ahli keluarga ini. (PENEGAS) Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat
diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan.
(PENUTUP) Bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak
membawa kebaikan kepada negara dan masyarakat. (CADANGAN) Oleh itu, konsep
rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini
tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan ini akan mendatangkan keburukan atau
sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah
sudah siap baru pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. (HARAPAN)
Jika amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan
Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun
negara kita merupakan satu titik kecil di dalam peta dunia namun usaha kerajaan untuk
menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada mata
dunia.
3. CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN
(TEMA) Dalam meniti arus globalisasi ini, generasi yang berwawasan
merupakan pelapis dan peneraju kepada kemajuan dan pembangunan negara kerana ahli
pujangga pernah berkata bahawa generasi berwawasan sebagai pemangkin
pembangunan negara. Generasi berwawasan dapat ditafsirkan sebagai golongan muda
yang mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadikan negara kita maju selaras dengan
saranan yang terkandung dalam Wawasan 2020. (ISU) Dewasa ini, isu generasi
berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita. Isu generasi
berwawasan menjadi amat penting untuk diberikan perhatian dan tumpuan yang
sewajarnya kerana mereka merupakan nadi negara. Oleh itu, usaha untuk melahirkan
remaja yang berwawasan semakin diberikan keutamaan. (ARAHAN) Persoalannya,
apakah ciri-ciri seseorang remaja yang dikategorikan mempunyai wawasan?
(ISI 1) Kecemerlangan dari segi akademik merupakan salah satu elemen yang
maslahat untuk menelurkan remaja yang berwawasan. (MENGAPA) Intelek merupakan
faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Remaja yang
mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang dapat membuat penilaian
dan keputusan yang bijak dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan onak dan
duri ini. (BAGAIMANA) Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba
ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya
ilmu sains dan matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku , melayari
lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. (KESAN) Ketekunan dan
inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi
gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang
cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan
segala impian mereka. Oleh itu remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang
mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme.
Ingatlah peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.” (PENEGAS) Tegasnya, remaja
yang berwawasan sentiasa memastikan dirinya tidak jemu menimba ilmu untuk memiliki
mentaliti kelas pertama.
(ISI) Selain itu, remaja yang berwawasan juga perlu sentiasa dinamik dan
progresif dalam menjalankan sesuatu tugas. Dinamik dapat diertikan sebagai perubahan
yang lebih baik daripada sebelumnya. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana
negara yang pesat membangun seperti Malaysia memerlukan generasi yang memiliki ciri-
ciri ini untuk mencapai kemajuan dalam setiap aspek. (BAGAIMANA) Individu yang
dinamik tidak memiliki ciri-ciri negatif seperti berputus asa sebaliknya bersemangat
tinggi. Dalam mengejar kejayaan, individu yang berwawasan seharusnya gigih
menghadapi cabaran tanpa berputus asa kerana tiada kejayaan yang datang bergolek bak
kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
(KESAN) Ekoran daripada itu, remaja yang dinamik dan progresif sudah pasti dapat
mencapai cita-cita yang diimpikan. (PENEGAS) Pendek kata, remaja yang berwawasan
sudah pasti akan memastikan dirinya berubah untuk memajukan diri dan negaranya.
(ISI) Dalam nada yang sama, remaja yang berwawasan perlu berkreatif dan
berinovatif untuk memacu kegemilangan negara. (MENGAPA) Hal ini terjadi demikian
kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru
dapat mengecap kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan
maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba akan menikmati buah kejayaan
yang manis. (BAGAIMANA) Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya
berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa
harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak
mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan mat
jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. (KESAN) Dalam
konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan,
kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika
berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas
kelak. (PENEGAS) Sesungguhnya, pemikiran yang kreatif dan inovatif merupakan ciri
remaja yang berwawasan.
(ISI) Jika kita telusuri dari dimensi yang berbeza, remaja yang berwawasan
seharusnya cinta akan negara. (MENGAPA) Remaja yang berjiwa patriotik ini akan
menjadi bakal pemimpin yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara. Sebagai
bakal pemimpin negara sudah pasti mereka perlu sentiasa berusaha untuk memelihara
imej negaranya daripada tercemar dan menjadi bahan cemuhan masyarakat luar.
(BAGAIMANA) Oleh itu, mereka haruslah menghormati lagu kebangsaan negara iaitu
lagu Negaraku dan mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.
Mereka tidak akan sekali-kali menjadi pengkhianat negara dan tidak akan melibatkan diri
dalam gejala sosial yang akan mencemarkan imej negara. (KESAN) Jiwa patriotik
remaja yang menebal ini akan menjamin keharmonian negara dan sekali gus berupaya
menjaga maruah negara di pentas global. (PENEGAS) Ringkasnya, remaja yang
berwawasan sentiasa bersemangat patriotik untuk mengekalkan keharmonian dan
kedaulatan nusa tercintanya.
(PENUTUP) Sebagai intihanya, terdapat banyak ciri yang memaparkan
seseorang remaja itu mempunyai wawasan yang tinggi. Remaja sebagai tunjang yang
bakal menerajui kepimpinan negara kita harus terlepas daripada belenggu angkara sosial.
Generasi yang berwawasan menjadi akar pada pertumbuhan dan pembangunan modal
insan yang menjadi agenda utama negara kita. (CADANGAN) Oleh itu, golongan remaja
perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki kelemahan diri sebelum terlewat bak kata
pepatah, sesal di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Golongan remaja kita perlulah
melakukan anjakan paradigma untuk menjadi remaja kelas pertama dan memangkinkan
kecemerlangan negara. (HARAPAN) Diharapkan kelahiran remaja berwawasan dapat
merealisasikan segala aspirasi negara di samping dan menyerbakkan keharuman negara
kita di persada antarabangsa.
4. AMALAN GAYA HIDUP SIHAT
(TEMA) Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan
yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara
contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa
mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh
tertentu pula. (ISU) Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan
ini, gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. (ARAHAN) Oleh
itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
(ISI) Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil
makanan yang seimbang. (MENGAPA) Tubuh orang yang mengamalkan pemakanan
seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. (BAGAIMANA)
Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti
sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau
mengandungi kolesterol yang tinggi. (KESAN) Dengan cara itu, penyakit berbahaya
seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan
kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. (PENEGAS) Jadi, izharlah
bahawa pemakanan yang seimbang membolehkan kita semua mencapai satu kehidupan
yang ceria dan sihat.
(ISI) Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah.
(MENGAPA) Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang
kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan
peluh. (BAGAIMANA) Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat
mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Seseorang itu boleh
bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau
berenang. (KESAN) Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya
pemikirannya juga cerdas kerana badan cergas, otak cerdas. (PENEGAS) Tegasnya,
aktiviti beriadah dan bersukan dapat menjamin kesihatan seseorang.
(ISI) Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara
berkala. (MENGAPA) Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu
seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik.
(BAGAIMANA) Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung
koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui
peralatan moden dalam bidang perubatan. (KESAN) Dengan cara itu, langkah pemulihan
akan dapat dilakukan dengan segera kerana alat-alat perubatan moden dapat mengesan
sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru tengadah. (PENEGAS)
Ringkasnya, seseorang itu akan senantiasa memastikan dirinya sentiasa sihat dengan
mendapatkan pemeriksaan doktor secara berjadual sebelum kudis menjadi tokak.
(ISI) Akhir sekali, setiap individu perlu menjauhi gaya hidup yang negatif dan
tidak sihat seperti pengambilan alkohol yang banyak, ketagihan rokok dan juga
pengambilan dadah atau pil-pil perangsang. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian
kerana amalan gaya hidup yang tidak sihat akan menjejaskan kesihatan dan mengancam
nyawanya atau nyawa orang lain. (BAGAIMANA) Pengambilan alkohol dan dadah akan
mendedahkan badan kepada pelbagai penyakit dan masalah kesihatan seperti obesiti,
kencing manis dan kesihatan mental. Selain kita, setiap orang juga perlu menjauhi amalan
mengunjungi rumah pelacuran atau tempat-tempat maksiat bagi mengelakkan diri
daripada jangkitan penyakit kelamin dan HIV Aids. (KESAN) Tahap kesihatan rakyat
yang baik dapat menjamin maruah diri dan meningkatkan produktiviti negara.
(PENEGAS) Pendek kata, seseorang yang mengimpikan kehidupan yang sihat akan
memastikan dirinya tidak terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.