Anda di halaman 1dari 5

Perjuangan Dato Maharaja Lela

Memetik madah agung, George Santayana (1905), “seseorang yang melupakan sejarah
pasti akan mengulanginya”, menjelaskan kepentingan sejarah dalam kehidupan manusia
dengan menjadikannya panduan dan iktibar kepada kita untuk memperbaiki kesilapan masa
lalu bagi membolehkan kita mencipta kejayaan yang lebih gemilang. Bukan sahaja menjadi
iktibar, malah setiap perjuangan tokoh-tokoh tempatan membina sebuah negara yang bebas
daripada penjajahan kuasa asing. Dengan senangnya kita melaungkan perkataan merdeka
pada setiap 31 Ogos merupakan hasil pengorbanan ramai pejuang negara. Maka, tidak akan
kita melupakan coretan peristiwa-peristiwa berdarah yang membangkitkan semangat
mempertahankan tanah air. Begitulah salah satu kisah tumpahnya darah penjajah di Pasir
Salak yang menjadi permulaan bagi menentang pihak penjajah secara gagahnya di negeri
Perak.

Perjuangan di Pasir Salak yang dipimpin oleh Dato Maharaja Lela menunjukkan
kesanggupan seseorang tokoh untuk mengorbankan nyawanya bagi kesejahteraan rakyat.
Latar belakang beliau adalah keturunan Daeng Salili, nama asalnya Pandak Lam dan anak
Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar
Shah III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran "Dato'
Maharaja Lela Tan Lela", dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya. Dato' Maharaja
Lela Pandak Lam ialah seorang pembesar kelapan Perak dan penghulu di Pasir Salak. Beliau
memihak kepada Sultan Abdullah Muhammad Shah II dan pembesar-pembesar yang
memihaknya. Penentangan bermula akibat daripada penerimaan James Wheller Woodfird Birch
sebagai Residen British melalui Perjanjian Pangkor.

Pembunuhan J.W.W.Birch berpunca daripada rasa tidak puas hati Sultan Abdullah dan
pembesar-pembesarnya terhadap tindak-tanduk Birch. Tindakan Birch mengambil hak
memungut cukai, mencabar ketuanan Melayu dengan memaksa menandatangani surat
penyerahan kuasa, memperkenalkan cukai-cukai baru dan mencabuli adat resam telah
menimbulkan kemarahan rakyat tempatan. Pada 8 Februari 1875, Sultan Abdullah bersama
Dato’ Maharaja Lela telah membantah penguasaan British dan membina sebuah kubu di
Bandar Tua, Perak. Berikutan dengan bantahan tersebut pada 21 Mei sebilangan besar raja
dan orang besar-besar Perak termasuk Dato’ Maharaja Lela telah berkumpul dalam suatu
persidangan di Durian Sebatang untuk mebincangkan cara menghalau British dari negeri Perak.
Setelah mengutarakan pelbagai cadangan, semua yang hadir telah bersetuju menerima
tawaran Maharaja Lela yang sanggup menikam Residen British.

Berikutan dengan perancangan pembunuhan J.W.W.Birch, sebuah mesyuarat diadakan


di Belanda pada 12 September. Sebuah keputusan muktamad telah diambil bahawa Dato’
Maharaja Lela akan memikul tanggungjawab membunuh Birch. Sultan Abdullah juga
memberitahu perancangan ini kepada Sultan Ismail agar dapat membantu Maharaja Lela
menjalankan tugasnya itu. Di samping itu, pada 29 September sesudah didesak oleh Birch,
Sultan Abdullah menyuruh Birch membuatkan sepucuk surat kepada Gabenor di Singapura
yang mengatakan negeri Perak diserahkan kepada kerajaan British. Setelah mengetahuinya,
Dato’ Maharaja Lela tidak mempedulikan hal tersebut dan menerangkan bahawa beliau tidak
akan mengikuti perintah British. Surat perisytiharan dan pemberihuan mengenai cara
pentadbiran baru di Perak telah disuruh ditampalkan di sekitar Pasir Salak. Mat Arshad yang
ditugaskan untuk menyiarkan surat-surat tersebut telah ditikam oleh Pandak Endut apabila dia
cuba menampalnya. Orang ramai yang berkerumun pun datang menyerbu ke rumah rakit
tempat Birch mandi sambil merejamkan lembing. Birch tercampak jatuh ke dalam sungai lalu
Seputum menetak kepala Birch dengan pedang.

Akhirnya, pada 2 November 1875 Birch telah dibunuh seperti yang dirancangkan oleh
Maharaja Lela melalui orang suruhannya. Orang Melayu di Pasir Salak bersuka–ria setelah
mendengar berita terbunuhnya Birch. Sebagai balasan kepada pembunuhan Birch, suatu
serangan dilakukan oleh pihak British terhadap Pasir Salak pada 13 November 1876 dan
menyebabkan Dato Maharaja Lela dan Dato Sagor terpaksa melarikan diri ke Kota Lama. Pada
20 Januari 1877, satu perbicaraan telah diadakan di Matang, Perak yang telah dihakimi oleh
Raja Idris dan penasihat Frank Swettenhem berkaitan dengan kes pembunuhan Birch. Dato
Maharaja Lela, Seputum dan Pandak Endut telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Manakala, Sultan Ismail telah dibuang ke negeri Johor. Sultan Abdullah, Menteri Ngah Ibrahim,
Laksamana, Syahbandar dibuang ke negeri Pulau Seychelles.

Kisah di Pasir Salak bukan sahaja untuk dicetakkan dalam buku teks sejarah dan hanya
dibaca untuk menjawab peperiksaan. Malah, faktor-faktor yang menjadi punca utama bagi
munculnya perjuangan sebegitu perlu diiktibarkan agar tidak menjadi seseorang yang
mengulangi kesilapan kerana telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua. Kita turut mudah
terpedaya dengan pihak yang lebih berkuasa yang cuba mengambil kesempatan jika tidak
mempunyai pengetahuan sejarah. Hal ini lebih mudah untuk berlaku apabila tiada kerjasama
antara pemimpin dengan rakyatnya. Dalam perjuangan Dato Maharaja Lela, rakyat merupakan
tulang belakang yang menjayakan hasratnya untuk membunuh J.W.W Birch. Seluruh penduduk
Pasir Salak telah menyokong segala rancangan pemimpinnya tanpa sebarang bantahan.
Sokongan penuh yang diberikan untuk setiap langkah yang diambil menunjukkan kesetiaan dan
kepercayaan rakyat terhadap pemimpin mereka. Sebagai warganegara Malaysia, cadangan
terkini seperti rancangan Malaysia yang ke-11 (2016-2020) yang dibentangkan oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertemakan pertumbuhan berpaksikan rakyat perlulah kita
berusaha merealisasikannya secara bersama.

Justeru itu, salah satu sifat yang harus dicontohi sewaktu perjuangan tokoh tempatan
adalah semangat juang yang kental. J.W.W Birch dibunuh hasil daripada percubaan banyak kali
tanpa mengenang erti putus asa. Sifat tersebutlah yang menyebabkan mereka gigih berjuang
sehingga mencapai kejayaan. Jika dibandingkan dengan keadaan sekarang, kegigihan
berjuang semakin pudar dalam kalangan generasi muda kini. Kenyataan ini dapat dibuktikan
dengan banyak kes-kes bunuh diri disebabkan pencapaian yang tidak memuaskan dalam
peperiksaan di negara kita. Keazaman yang kuat perlu diwujudkan melalui kesedaran bahawa
setiap orang mencapai kejayaan hanya daripada perasaan tidak putus asa dalam menempuh
segala kegagalannya sebelum itu. Contoh yang terdekat adalah kronologi penentangan J.W.W
Birch oleh Dato Maharaja Lela. Di samping itu, beliau juga seseorang yang berani menegakkan
kebenaran dengan menolak pengenalan cukai-cukai yang baru dan pencabulan adat resam
oleh British kerana kelakuan itu bercanggah dengan budaya dan nilai tempatan. Jati diri rakyat
dan pemimpin yang kuat ditonjolkan melalui keengganan mereka untuk menerima undang-
undang British yang baru. Tetapi masyarakat pada hari ini mudah terpengaruh dengan budaya
luar walaupun bertentangan dengan amalan rakyat Malaysia. Jadi, mengenali sejarah dapat
mengukuhkan jati diri seseorang.

Pengajaran yang saya perolehi melalui perjuangan di Pasir Salak adalah kita perlu
menghadapi musuh dengan menggunakan kekuatan akal fikiran iaitu ilmu dan bukannya
kekuatan tenaga. Sungguhpun begitu Dato Maharaja Lela menggunakan kaedah kekerasan
dalam perjuangannya dan sebagai akibatnya beliau bersama pengikutnya dijatuhkan hukuman
gantung sampai mati. Sebaliknya jika beliau cuba berjuang secara aman mungkin hukuman
tersebut tidak akan diberikan. Kalau dilihat dalam aspek yang berbeza kita dapat
mencontohinya disebabkan sifat semangat setianya yang sanggup berkorban nyawa demi
kesejahteraan bangsa dan tanah air. Dengan itu, semangat patriotisme yang mendalam
merupakan akar umbi bagi melahirkan sifat-sifat sebegitu (Nik Anuar Nik Mahmud, 2002).
Maka, setiap rakyat perlu melengkapkan dirinya dengan sifat-sifat yang terdapat dalam
pemimpin tempatan kita.

Sebagai intihanya, kurang semangat mengakibatkan lebih banyak kegagalan


berbanding kurangnya kebijaksanaan atau kemahiran. Iktibar yang dipelajari daripada peristiwa-
peristiwa perjuangan di negara kita pasti akan membentuk remaja yang setia kepada negara.
Patriotisme pada pandangan Malaysia bukanlah di dalam ruang lingkup yang sempit tetapi
patriotisme yang dapat membina sebuah negara bangsa yang utuh. Wawasan 2020
diperkenalkan untuk mengejar cita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman,
damai di samping mempunyai kestabilan ekonomi, politik dan juga sosial. Hanya apabila
kesejahteraan negara ini dicapai barulah proses pembentukan satu ‘Bangsa Malaysia’ yang taat
setia dan sanggup mengabdikan diri terhadap negara dan bangsa tersebut dapat menjadi realiti
(Wan Zahid, 1993). Nasionalisme dalam konteks ini merupakan langkah bagi menonjolkan imej
Malaysia sebagai bangsa dan negara yang berwibawa di arena antarabangsa.

(1178 patah perkataan)


Rujukan

George Santayana. (1905). An Examination Of Logical Positivism. Kegan Paul, Trench, Trubner
& Co Ltd.

http://historycomiteesmkcs.blogspot.my/2012/03/dato-maharajalela-pejuang-melayu-perak.html

http://maharajalela.weebly.com/sebab-penentangan.html

http://www.nffonline.com/industry-news/2014/08/28/those-who-fail-learn-history-are-doomed-
repeat-it

https://sejarahtokoh.wordpress.com/dato-maharaja-lela/

Nik Anuar Nik Mahmud. (2002). Patriotisme Dalam Penulisan Sejarah. Kertas kerja

dibentangkan di Kongres Patriotisme Negara, di Institut Latihan Kemahiran Sosial


KWSP, anjuran Biro Tatanegara dan Universiti Utara Malaysia, Bangi pada 22-28
Oktober 2002.

Wan Zahid Wan Nordin. (1993). Wawasan Pendidikan: Agenda Pengisian. Kuala Lumpur: Nurin

Enterprise.

Anda mungkin juga menyukai