Anda di halaman 1dari 2

TEKS SYARAHAN ‘KEPENTINGAN MENGAMALKAN GAYA HIDUP SIHAT’

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana dan
hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Kepentingan Mengamalkan
Gaya Hidup Sihat’.

Hadirin sekalian,

Amalan gaya hidup sihat boleh didefinisikan sebagai amalan kehidupan yang
membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarga dan masyarakat. Amalan gaya
hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Hal ini demikian, dengan
mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga.
Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh
iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan
dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat melalui
aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan
produktif selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara

Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan
yang seimbang mengikut hierarki piramid makanan. Oleh itu, tubuh orang yang
mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang
diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang
berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang
berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit
berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan
dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya.

Hadirin yang saya hormati,

Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah.
Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu
akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang
itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal,
berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah
daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh
yang cergas.

Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal
ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah
pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit
berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat
dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan
cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini demikian
kerana, alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan
tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah.

Tuntasnya, ingin saya tegaskan di sini bahawa amalan gaya hidup sihat memang
perlu dijadikan budaya untuk menjamin kebahagiaan hidup. Jadi, setiap individu
perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk kekal hidup dengan bahagia kerana
kesihatan melambangkan kebahagiaan. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil,
sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan
menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas
akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul,
yang ringan sama dijinjing.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai