Anda di halaman 1dari 24

BAB 4

PERINGKAT 2: PERUMUSAN DASAR

OBJEKTIF BAB

Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Mengenal pasti bentuk-bentuk penyelesaian dasar yang
bersesuaian untuk menyelesaikan permasalahan awam.
2. Mengenal pasti kepentingan peramalan dalam alternatif dasar.
3. Membezakan bentuk-bentuk peramalan alternatif dasar.
4. Membincangkan kriteria yang digunakan dalam membuat
peramalan.

4.1 PENGENALAN

Pada peringkat ini anda akan didedahkan bagaimana sesuatu dasar


dirumuskan. Perumusan dasar adalah peringkat di mana proses mengenal
pasti tindakan yang bersesuaian dan boleh diterima pakai untuk
menyelesaian sesuatu masalah awam melalui undang-undang. Selain
daripada itu, perumusan dasar merupakan satu proses yang teknikal kerana
ia akan melibatkan cadangan beberapa alternatif dasar untuk
menyelesaikan masalah awam. Untuk membentuk alternatif-alternatif yang
terbaik memerlukan pengumpulan maklumat dan data secara menyeluruh
serta terperinci. Seterusnya, alternatif-alternatif yang dibina tersebut juga
perlulah tidak bertentangan dengan statut yang sedia ada. Di Malaysia,
setiap cadangan dasar perlulah tidak bercanggah dengan Perlembagaan
Malayasia. Contohnya, keistimewaan Raja-raja adalah diakui oleh
Perlembagaan. Oleh itu, sebarang cadangan yang menyentuh hak
keistimewaan Raja-raja tidak akan diterima pakai. Begitu juga tentang hak-
hak keistimewaan orang-orang Melayu. Selain itu, untuk mengatasi
masalah awam, cadangan bagi setiap alternatif perlulah secara berhati-hati
agar tidak wujud perkara-perkara yang ketinggalan bagi mengelakan
sebarang kesan negatif sekiranya alternatif tersebut dilaksanakan sebagai
dasar.

Aktor yang terlibat dalam perumusan dasar ialah aktor rasmi dan aktor
tidak rasmi. Antara aktor-aktor rasmi yang terlibat ialah agensi-agensi
kerajaan, pihak legeslatif, dan juga golongan elit politik. Di Malaysia, elit
politik seperti Majlis Tertinggi UMNO memainkan peranan penting dalam
perumusan sesuatu dasar. Manakala, agensi-agensi kerajaan akan
melibatkan diri secara aktif sekiranya dasar tersebut berkaitan dengan
mereka. Contohnya, isu tuntutan hak bekerja lima hari oleh persatuan-
persatuan guru Malaysia melibatkan Kementerian pelajaran serta agensi-
agensi
45
kerajaan yang berkaitan dengan Kementerian tersebut seperti Jabatan
Pelajaran bagi setiap negeri.

Aktor tidak rasmi pula seperti kumpulan berkepentingan, NGO, media dan
masyarakat. Misalnya, isu tuntutan 14 persatuan guru untuk bekerja lima
hari seminggu melibatkan aktor tidak rasmi iaitu kumpulan berkepantingan
seperti persatuan guru yang berjuang untuk tuntutan tersebut.

Cuba anda fikirkan agensi manakah yang akan terlibat


untuk mengatasi masalah Selsema Burung?

4.2 BENTUK-BENTUK PENYELESAIAN DASAR

Menurut Stone (1988), terdapat lima bentuk penyelesaian yang boleh


digunakan untuk mengatasi masalah awam. Bentuk-bentuk penyelesaian
dasar ini boleh dijadikan sebagai kaedah untuk mengaplikasikan sesuatu
dasar bagi masalah awam tertentu. Lima bentuk tersebut ialah dorongan,
peraturan, fakta, hak dan kuasa. Penganalisis dasar boleh menggunakan
satu atau lebih bentuk penyelesaian untuk satu masalah. Penggunaan
bentuk penyelesaian bergantung kepada kesesuaian masalah awam
tersebut.

1. Dorongan

Penyelesaian berbentuk dorongan merupakan kaedah untuk mengubah


tingkah laku manusia dengan menggunakan ganjaran dan hukuman.
Ganjaran merupakan satu insentif untuk masyarakat agar bertindak sesuatu
seperti yang diingini oleh kerajaan dalam menjayakan sesuatu dasar.
Contohnya, Program rawatan penagihan dadah menggunakan ubat gantian
metadon yang bermula serentak pertengahan bulan Oktober 2005 di
seluruh Semenanjung Malaysia. Program tersebut memberi peluang kepada
penagih tegar yang bercadang menjalani rawatan itu boleh mendapatkan
dos metadon harian mereka secara percuma di tujuh buah hospital
kerajaan, empat Pusat Kesihatan Kecil (PKK) dan lapan klinik swasta yang
disenaraikan. Kementerian Kesihatan mengorak langkah melaksanakan
program tersebut sebagai mencontohi usaha beberapa buah negara seperti
Hong Kong, Thailand, Indonesia dan China yang telah menggunakan
kaedah itu bagi memerangi penagih dadah. Program ini merupakan dasar
berbentuk dorongan ganjaran di mana menggalakkan penagih berhenti
menagih dengan menawarkan ubat tersebut. Hukuman juga digunakan oleh
kerajaan untuk mewujudkan sekatan terhadap masyarakat bagi melakukan
perkara-perkara yang mendatangkan masalah kepada masyarakat.
Contohnya, untuk mengurangkan kadar kematian disebabkan rokok,
kerajaan telah menaikkan cukai rokok. Secara tidak langsung kerajaan cuba
membuat sekatan agar masyarakat kurang membeli rokok. Sekiranya
mereka masih membeli rokok secara aktif, secara tidak langsung mereka
menerima hukuman melalui tanggungan cukai yang tinggi oleh kerajaan.
Selain daripada itu, perangkap laju oleh pihak polis juga merupakan satu
sekatan
46
yang digunakan oleh PDRM untuk mengatasi masalah kemalangan
yang kian meningkat di Malaysia. Dengan adanya Op Sikap dan
perangkap laju di Lebuh raya, secara langsung kerajaan menggunakan
tindakan berbentuk dorongan hukuman dimana denda akan diberikan
sekiranya melebihi had laju yang telah ditetapkan.

Selain itu, dorongan juga boleh berlaku secara serentak iaitu, sekiranya
rakyat melakukan apa yang kerajaan kehendaki, mereka akan mendapat
ganjaran, sebaliknya jika mereka mengingkari, mereka akan mendapat
hukuman. Contohnya, isu kad pengenalan baru. Sebelum tamat tempoh
pertukaran kad pengenalan lama kepada kad pengenalan baru, Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) telah menawarkan cabutan bertuah bagi
pelanggan yang datang berbuat demikian. JPN telah menawarkan
hadiah kereta MYV. Ini merupakankan dorongan kepada masyarakat
untuk menjayakan dasar penggunaan kad pengenalan baru. Tetapi
selepas tamat tempoh sepatutnya iaitu pada Disember 2005, semua
rakyat Malaysia yang ke JPN untuk pertukaran kad penganalan baru
akan didenda. Ini merupakan hukuman bagi masyarakat yang tidak
menukar kad pengenalan pada tempoh yang telah ditetapkan oleh
kerajaan.

SOALAN DALAM TEKS

1. Senaraikan bentuk-bentuk penyelesaian dasar.


2. Apakah DUA (2) aspek yang perlu ditekankan
apabila menggunakan pendekatan peraturan?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2. Peraturan

Pembuat dasar selalunya akan memberi perhatian kepada peraturan


rasmi iaitu peraturan yang digunakan untuk mencapai matlamat sosial.
Peraturan rasmi di sini merujuk kepada undang-undang yang dibentuk
oleh legislatif. Peraturan rasmi ini akan menentukan autoriti terhadap
tingkah laku seseorang. Maksudnya di sini, peraturan rasmi akan
memberi arahan kepada masyarakat, organisasi dan kerajaan untuk
bertindak sesuatu dengan cara yang tertentu. Oleh itu, peraturan yang
dicadangkan merupakan satu peraturan yang tidak diragui kesahannya.

Terdapat dua aspek yang perlu ditekankan dalam peraturan. Peraturan


sebenarnya cuba menerangkan langkah yang perlu diambil berdasarkan dua
aspek iaitu aspek keadaan atau aspek kontek kejadian. Sebenarnya, jika
berlaku sesuatu perkara yang melibatkan peraturan, dan perkara tersebut di
bawa kepada peguam, peguam juga tidak dapat menentukan jawapan sama
47
ada perkara tersebut salah atau benar. Untuk menentukan perkara
tersebut salah atau tidak, bergantung kepada keadaan atau kontek
kejadian.

Contohnya, perlakuan seorang majikan lelaki menepuk bahu pekerja


wanitanya semasa bekerja adalah satu perlakuan yang melanggar etika
pekerjaan. Maksudnya di sini, keadaan perlakuan seorang majikan
lelaki menepuk bahu pekerja wanitanya tersebut adalah salah. Tetapi
apabila kita merujuk kepada kontek kejadian, iaitu sekiranya pekerja
wanita tersebut adalah anak majikan, perkara tersebut adalah lumrah di
mana mungkin majikan tersebut berbuat demikian sebagai tanda
sokongan atas tugasan yang dilakukan oleh anaknya itu. Tetapi
sekiranya individu tersebut tidak mempuyai sebarang pertalian, hal ini
menunjukkan wujudnya kejadian gangguan seksual di tempat kerja.
Apatah lagi sekiranya mewujudkan ketidak selesaan terhadap pekerja
wanita tersebut.

3. Fakta

Fakta merupakan cara yang digunakan oleh kerajaan untuk


mempengaruhi masyarakat agar mengikuti sesuatu dasar yang
diperkenalkan oleh kerajaan. Pendekatan ini menyatakan bagaimana
kerajaan cuba mempengaruhi pemikiran masyarakat secara rasional dan
membuat keputusan. Pendekatan ini juga lebih kepada membimbing
masyarakat ke arah pemikiran yang disebut rasional yang paling ideal.

Tindakan rasional yang paling ideal melihat kepada tingkah laku


manusia yang membuat keputusan secara rasional. Keputusan secara
rasional ini melibatkan pernyataan matlamat individu, pencarian
pelbagai maklumat untuk membuat pilihan oleh individu bagi mencapai
matlamat mereka, mengkaji setiap pilihan dan seterusnya memilih
pilihan yang terbaik untuk mencapai matlamat tersebut. Selain itu,
tindakan rasional ini menyatakan seseorang individu akan bertindak
sesuatu berdasarkan alasan tertentu dan keputusannya melalui
pemikiran secara mendalam atau terperinci. Oleh itu, kerajaan
menggunakan pendekatan fakta dengan andaian masyarakat boleh
berfikir secara rasional yang paling ideal.

Jadi, pendekatan ini digunakan untuk memberikan maklumat secukupnya


kepada individu bagi memilih keadaan mana yang benar dan mana yang
salah. Ia merupakan satu daripada cara pemujukan atau cuba
mempengaruhi pemikiran seseorang tentang perkara yang patut dilakukan
dengan mengutarakan fakta-fakta yang berkaitan oleh pihak tertentu.
Pendekatan ini menggunakan kempen seperti “Tak Nak” untuk kempen
berhenti merokok, Kempen utamakan keluarga melalui iklan televisyen
dengan persolan “Dimanakah anak-anak anda pada masa ini” dan lain-lain
lagi. Masyarakat juga seringkali didedahkan dengan angka-angka, statistik
atau indeks yang menerangkan tentang sesuatu keadaan seperti tahap
jerebu, prestasi ekonomi, ramalan cuaca, kadar kematian disebabkan dadah
dan Aids. Contohnya, melalui laporan ekonomi oleh kerajaan, akan
membantu

48
masyarakat merancang perbelanjaan, simpanan pelaburan dan
sebagainya dengan lebih baik.

4. Kuasa

Pendekatan ini merujuk kepada pemberian kuasa kepada pihak tertentu


sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Selalunya
pemberian kuasa ini lebih kepada pihak berkuasa. Contohnya, pemberian
kuasa terhadap pihak polis dalam menjalankan tugas-tugas mereka. Selain
itu, pemberian kuasa terhadap suruhanjaya tertentu untuk menyiasat
perkara yang dikehendaki oleh kerajaan juga merupakan pendekatan
pemberian kuasa. Contohnya, kes layanan buruk yang diterima oleh
pelancong dari negara China yang ditahan kerana disyaki menggunakan
pengenalan (pastport) palsu. Untuk menyelesaikan masalah tersebut,
Perdana Menteri telah menyatakan satu suruhanjaya bebas akan
diwujudkan untuk menyiasat kes tersebut. Oleh itu, suruhanjaya tersebut
dilihat telah mendapat kuasa untuk menyiasat kes tersebut. Hasil siasatan,
didapati mangsa yang ditahan bukannya warganegara China, tetapi rakyat
Malaysia sendiri.

5. Hak

Apabila kita bercakap mengenai hak, kita akan lihat akan hak-hak yang ada
pada seseorang individu. Contohnya, hak untuk bergerak, bersuara, untuk
mendapatkan pelajaran, kesihatan dan lain- lain lagi. Walaupun hak ada
kalanya bertentangan dengan kepentingan politik dalam pentadbiran
sesebuah negara, tetapi hak juga merupakan salah satu pendekatan yang
digunakan oleh kerajaan untuk membentuk tingkah laku masyarakat bagi
mencapai tujuan yang kolektif. Hak melibatkan sesuatu yang berkaitan
dengan peraturan dan autoriti (sanction) tertentu, tetapi strategi dasar
berbentuk hak biasanya lebih digunakan bagi penyelesaian tingkah laku
dalam sistem penyelesaian sesuatu konflik. Ada dua bentuk hak iaitu
positif dan normatif. Hak berbentuk positif adalah hak yang disokong oleh
peraturan tertentu. Ia merupakan jangkaan tentang apakah yang sepatutnya
diterima atau bagaimana seseorang dilayani menurut peraturan tertentu.
Contohnya, hak untuk mengundi semasa pilihanraya. Contoh lain, apabila
kita kaitkan dengan isu tahanan reman yang diminta melakukan ‘tok
ketampi’ secara tidak berpakaian. Ia bertentangan dengan hak berbentuk
positif kerana tahanan reman sepatutnya tidak dilayan sebegitu. Tahanan
reman sebenarnya mempunyai hak mereka sendiri bagaimana hendak
dilayan. Manakala hak normatif pula merupakan hak yang sukar untuk
dikenal pasti. Hak normatif merupakan hak yang boleh dilakukan oleh
pihak tertentu tanpa mengikut seperti yang ditetapkan oleh peraturan tetapi
masih mendapat kebenaran pihak tertentu. Misalnya, pihak polis
mempunyai hak secara normatif apabila meminta tahan reman ‘tok
ketampi’ dalam keadaan tidak berpakaian sekiranya mereka mensyaki
tahan reman tersebut menyembunyikan dadah ditempat yang sukar
diramalkan. Walaupun tindakan ini bertentangan dengan hak positif, tetapi
untuk proses siasatan, hak normatif diperlukan bagi pencarian bukti yang
lebih jelas.
49
SOALAN DALAM TEKS

3. Kenapakah pendekatan peraturan berkesan untuk


mengubah tingkah laku manusia?
4. Dengan menggunakan pendekatan pendorong,
bagaimanakah caranya untuk menggalakkan
masyarakat lebih berhati-hati di jalan raya?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

4.3 TEKNIK DALAM PENGHASILAN ALTERNATIF DASAR

Sebelum kita melihat teknik penghasilan alternatif, adalah lebih sesuai


kita memahami dahulu apa yang dimaksudkan dengan alternatif.
Merujuk kepada Sabitha Marican (1997), alternatif merupakan pilihan-
pilihan atau cara yang ada untuk pembuatan keputusan mencapai
matlamat. Alternatif ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk dasar,
strategi, undang-undang, atau tindakan yang wajar dan ia berkaitan isu
yang dihadapi. Oleh itu, alternatif merupakan pilihan-pilihan yang perlu
disenaraikan oleh pembuat keputusan, dan daripada pilihan-pilihan
tersebut, hanya pilihan yang terbaik akan digunakan untuk
menyelesaikan sesuatu masalah.

4.4 PERKAITAN ALTERNATIF DAN IMPAK

Alternatif yang dibuat sebenarnya akan mendatangkan impak sama ada


impak yang berbentuk faedah yang bersifat positif ataupun kesan
negatif yang berbentuk kos. Impak alternatif perlulah dikaji agar kita
dapat melihat alternatif yang terbaik bagi membentuk sesuatu dasar.
Oleh itu, penilaian yang berkesan terhadap alternatif perlulah dilakukan.
Seterusnya, kita akan melihat bagaimana penilaian alternatif dibuat dan
bagaimana kita cuba mengandaikan kesannya.

4.5 PENILAIAN ALTERNATIF

Sebelum membina alternatif, kita perlulah mengetahui apakah kriteria


yang menjadi keutamaan dalam membentuk dasar awam. Menurut
Sabitha (1997), kriteria merupakan satu aturan atau panduan yang
digunakan untuk mengklaskan alternatif mengikut aturan yang
dikehendaki. Terdapat tiga kriteria yang perlu diketahui dalam
pemilihan alternatif. Kriteria-kriteria tersebut ialah kriteria pilihan,
kriteria kekangan dan kriteria kos dan faedah.
50
4.5.1 Kriteria Pilihan

Kriteria pilihan merupakan alternatif yang dibuat berdasarkan pilihan


tertentu oleh pihak yang ingin membuat keputusan atas sesuatu dasar.
Dengan adanya kriteria pilihan, maka objektif, alternatif dan impak
dapat dikaitkan dengan cara yang lebih sistematik. Misalnya, untuk
menyiapkan sesuatu program, kriteria yang menjadi pilihan ialah dari
segi kos. Oleh itu, juru analisis perlu fikirkan kos yang paling minimum
dalam menjayakan program tersebut. Tetapi sekiranya, kriteria masa
yang dititik beratkan, maka juru analisis perlu mewujudkan program
yang berfaedah tetapi dalam masa yang singkat.

Selain itu, kita dapati perbezaan dalam kriteria juga akan membawa
kepada pilihan alternatif yang berbeza. Oleh yang demikian, proses
penetapan kriteria perlulah diberikan tumpuan yang berat dimana juru
analisis harus mengetahui apakah kriteria yang dikehendaki oleh pihak
yang menyerahkan tugas agar analisis yang dikendalikan itu selaras
dengan kehendak pihak penganjur.

4.5.2 Kriteria Kekangan

Selain membuat pemilihan alternatif berdasarkan kriteria pilihan,


pembuat dasar juga boleh memilih dan menilai alternatif berdasarkan
kriteria kekangan. Kekangan merujuk kepada batasan yang terlibat dan
ia perlu diambil kira apabila membuat peramalan dalam alternatif dasar.
Sabitha (1997) menggariskan beberapa kekangan yang perlu diberi
perhatian. Kekangan tersebut ialah seperti berikut:

a. Kekangan Fizikal

Perkembangan teknologi merupakan satu kekangan fizikal, kerana


teknologi memerlukan pengetahuan. Oleh itu, sekiranya pengetahuan
seseorang adalah terbatas dan tidak mengikuti perkembangan semasa
terutamanya teknologi, maka alternatif yang dibuat mungkin tidak
sejajar dengan keadaan semasa. Contoh, jika masih ada pekerja yang
tidak mahir menggunakan komputer akan ketinggalan dalam melakukan
tugas dan mendapatkan maklumat pada masa kini.

b. Kekangan Perundangan

Undang-undang tertentu juga mungkin menjadi satu halangan terhadap


alternatif yang hendak dicadangkan. Contohnya, objektif sesuatu dasar
yang terhalang oleh perundangan awam, hak milik kerajaan atau
swasta, undang-undang persatuan, undang-undang organisasi dan lain-
lain lagi.
51
c. Kekangan Organisasi

Organisasi yang kita ketahui dikuasai oleh birokrasi. Keadaan karenah


birokrasi boleh juga mempengaruhi pembentukan sesuatu alternatif
dasar. Sesuatu objektif atau alternatif mungkin tidak dapat dilaksanakan
kerana terbatas oleh struktur dan proses organisasi tersebut.

d. Kekangan Politik

Pengaruh politik juga memainkan peranan dalam pembentukan


alternatif dasar. Tentangan politik akan menyebabkan pelaksanaan
sesuatu dasar mungkin tergugat, malahan penerimaan dasar itu sendiri
akan diragui. Batasan ini boleh kita lihat berdasarkan kelewatan
tindakan yang diambil terhadap masalah berbangkit dan pengelakkan
daripada membincangkan sesuatu isu walaupun isu tersebut merupakan
masalah awam.

e. Kekangan Agihan

Dasar awam bermatlamatkan kesaksamaan dimana matlamat tersebut


melihat agar semua masyarakat menerima apa yang sepatutnya mereka
perolehi secara sama rata. Tetapi apa yang terjadi, kerajaan mungkin
tidak dapat memberi kesemua perkara yang diingini oleh masyarakat
secara maksimum kerana agihan selalunya terbatas disebabkan ia harus
dilaksanakan dalam keadaan kos dan faedah yang diagihkan secara
seimbang antara semua kumpulan sasaran. Contohnya bantuan biasiswa
hanya diberikan kepada pelajar-pelajar tertentu sahaja, sedangkan ramai
yang memerlukannya.

SOALAN DALAM TEKS

5. Berikan contoh kekangan organisasi.


6. Berikan contoh kekangan politik.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

f. Kekangan Belanjawan

Seperti yang kita ketahui, hukum ekonomi menyatakan kehendak kita


adalah tidak terbatas sedangkan sumber ekonomi adalah terhad. Oleh itu,
didapati belanjawan awam juga selalunya terhad sedangkan matlamat
kerajaan adalah pelbagai. Jadi, sesuatu objektif perlulah dilaksanakan
dalam keadaan sumber-sumber yang terhad. Tetapi kebiasaannya kos
belanjawan yang dirancang dalam peringkat cadangan adalah sedikit
berbanding apabila dilaksanakan.
52
Oleh itu, peramalan alternatif juga perlu mengambil kira faktor
belanjawan agar alternatif mampu mencapai matlamat yang disasarkan.

4.5.3 Kriteria Kos dan Faedah

Kriteria kos dan faedah juga merupakan satu langkah yang sering
digunakan dalam melakukan penilaian alternatif. Kos dan faedah
melihat kepada keuntungan dan kerugian yang akan dikenal pasti
apabila peramalan dibuat bagi setiap alternatif dasar untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi. Kita boleh membuat ukuran
melalui kos dan faedah melalui beberapa bentuk. Antaranya ialah luaran
dan dalaman, langsung dan tidak langsung serta utama dan sekunder.

a. Kos - Faedah Luaran dan Dalaman

Bentuk ini merujuk kepada kesan yang akan diterima oleh kumpulan
sasaran yang terlibat dalam sesuatu alternatif dasar. Peranan
penganalisis yang utama di sini ialah mengetahui siapakah kumpulan
sasaran apabila sesuatu alternatif dilaksanakan. Penganalisis perlu
melihat sama ada kumpulan sasaran terdiri daripada keseluruhan
masyarakat atau hanya sekelompok masyarakat yang terlibat.
Contohnya, kesan program latihan pembuatan kraf tangan untuk
Industri Kecil Sederhana (IKS) kepada penduduk desa Permai.
Sekiranya semua masyarakat desa Permai terlibat dalam program
tersebut, maka ia akan menimbulkan kesan kepada semua komuniti
desa Permai terutamanya dari segi kemahiran kendiri dan juga peluang
penambahan ekonomi untuk diri dan keluarga. Tetapi, sekiranya
program tersebut hanya disasarkan kepada kumpulan tertentu sahaja,
contohnya untuk kaum wanita sahaja, peramalan perlu melihat kepada
kesan dalam dan luaran sekaligus kerana ia mewakili sekelompok
masyarakat kecil sahaja. Selain itu, kita juga boleh merujuk kepada
kesan-kesan di luar kawalan seperti spillover (faktor limpahan) dan
externalities (faktor luaran). Spillover dan externalities telah
dibincangkan dalam modul dasar awam sebelum ini. Adakah anda
masih mengingatinya?

c. Kos - Faedah Langsung dan Tidak Langsung

Merujuk kepada Sabitha (1997), kos - faedah barangan dan


perkhidmatan yang boleh diukur secara langsung dengan menggunakan
harga pasaran yang dikethui. Contohnya harga tanah dan harga rumah.

Manakala kos-faedah barangan dan perkhidmatan yang boleh diukur


secara tidak langsung ialah dengan melakukan anggaran berdasarkan
harga pasaran. Apabila juru analisis terpaksa mengukur kos dan faedah
untuk udara bersih, maka beliau terpaksa menggunakan pertimbangan
subjektif dalam menentukan nilai wang untuk kos dan faedah untuk
faktor tersebut.
53
c. Kos - Faedah Utama dan Sekunder

Kos-faedah utama merujuk kepada perkaitan yang paling rapat dengan


objektif utama sesuatu alternatif dasar. Manakala kos dan faedah
sekunder lebih menekankan aspek kurang penting atau kurang diberi
keutamaan terhadap objektif alternatif dasar. Contohnya, program untuk
siswazah menganggur. Tujuan utama untuk menambahkan kemahiran
pelatih dan seterusnya memberi peluang kepada pelatih untuk
mendapatkan kerja. Faedah utama akan diperoleh oleh pelatih tersebut,
manakala penerima faedah sekunder merupakan keluarga pelatih
tersebut di mana mereka juga boleh menumpang kesenangan anak-anak
yang berkerja atau mengurangkan bebanan mereka setelah anak mereka
bekerja. Kos utama pula ialah kos yang terpaksa ditanggung oleh
kerajaan dalam menyediakan program tersebut. Manakala kos sekunder
pula adalah kos tanggungan pihak yang terlibat sama dalam
menjayakan program tersebut seperti organisasi yang terpilih untuk
pelatih menjalani program tersebut.

Sebenarnya, dalam membuat peramalan kesan alternatif-alternatif dasar


perlu di ambil kira sama ada kesan tersebut merupakan kesan yang
boleh dikawal atau tidak boleh dikawal. Sekiranya kesan tersebut
adalah dalam kawalan kita, maka perlulah kita memikirkan cara-cara
yang bersesuaian untuk mengatasinya sekiranya perkara tersebut wujud.
Tetapi, jika di luar kawalan, kita perlulah memikirkan bagaimana cara
yang boleh diambil untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini
berlaku.

SOALAN DALAM TEKS

7. Nyatakan kriteria kos dan

faedah. Semak jawapan anda di

akhir bab ini.

4.6 PERAMALAN ALTERNATIF DASAR

Setelah mengenal pasti alternatif-alternatif dasar, maka juru analisis


harus membuat peramalan ke atas impak alternatif dasar tersebut.
Proses peramalan penting untuk memahami keadaan masa hadapan agar
tindakan yang lebih berhati-hati akan diambil. Ramalan juga dapat
membantu memberi atau mengurangkan impak yang negatif bagi masa
hadapan. Dengan adanya ramalan, penganalisis boleh menyediakan
langkah berjaga-jaga.
Terdapat tiga bentuk peramalan alternatif dasar iaitu unjuran, jangkaan
dan tekaan.

54
4.6.1 Unjuran (Projection)

Unjuran merupakan ramalan yang dibuat mengenai sesuatu perkara


yang akan berlaku pada masa akan datang berdasarkan tekaan setelah
melihat trend atau paten sejarah serta hal ehwal semasa. Cara ini juga
melihat trend semasa ke satu titik masa hadapan. Contohnya, metod
yang boleh digunakan ialah analsis siri masa seperti unjuran pencapaian
ekonomi ataupun analisis dari isu-isu yang sama seperti unjuran
mengenai jumlah penduduk negara dalam tempoh 5 tahun.

4.6.2 Jangkaan (Prediction)

Ramalan berbentuk jangkaan adalah berdasarkan kaedah tertentu, atau


anggapan yang dikemukakan oleh teori- teori tertentu yang
menerangkan sebab dan akibat atau hasil daripada sesuatu peristiwa.
Model juga digunakan dalam menggambarkan sesuatu yang akan
berlaku. Jangkaan sering dikaitkan untuk ramalan ekonomi. Contohnya,
konsep permintaan dan penawaran. Jangkaan juga boleh dikaitkan
dengan konsep analogi atau persamaan yang mana kita boleh membuat
jangkaan berdasarkan sesuatu perkara lain tapi mempunyai ciri-ciri
yang hampir sama. Contohnya, kes letupan penyerang berani mati
sering dikaitkan dengan kumpulan al-Qaeda berdasarkan Modes
Operandi yang digunakan.

4.6.3 Tekaan (Conjecture)

Bentuk ramalan ini memerlukan kepakaran yang tinggi. Ramalan ini


menggunakan penilaian yang dibuat oleh pakar dan memerlukan
maklumat yang lengkap mengenai sesuatu perkara yang hendak dikaji.
Bentuk ramalan ini juga dikenali sebagai intuitif atau mengikut gerak
hati, ataupun hasil tahap keintelektualan yang kreatif oleh individu
terbabit. Walau bagaimanapun, tekaan ini perlu disokong oleh pihak
yang mempunyai autoriti. Contohnya, untuk mentafsir tentang politik
masa depan negara, sudah tentu kita akan bertanya kepada pakar politik
ataupun penganalisis politik negara.

4.7 KESIMPULAN

Peringkat perumusan dasar merupakan peringkat yang cuba mengenal


pasti bentuk atau jalan penyelesaian yang perlu difikirkan oleh
penggubal untuk menyelesaikan suatu masalah. Terdapat beberapa
penyelesaian yang boleh diaplikasikan untuk masalah yang telah
dikenal pasti. Alternatif-alternatif yang dicadangkan juga perlu dikaji
berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Seterusnya setiap cadangan
alternatif-alternatif tersebut juga perlu diramal agar analisis setiap
alternatif tersebut mampu mewujudkan formula yang terbaik untuk
sesuatu masalah awam.
55
SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Bezakan antara hak positif dan hak normatif.

2. Rakyat didedahkan dengan maklumat yang lengkap merupakan


salah satu cara pihak kerajaan membantu dan membenarkan
rakyat membuat keputusan sendiri.

Betul / Salah

3. Bezakan antara pendekatan peraturan dan dorongan untuk


menyelesaikan masalah awam?

4. Berikan satu contoh untuk menerangkan bagaimana pendekatan


kuasa digunakan untuk menyelesaikan masalah awam.

5. Senaraikan Kriteria kekangan dalam membuat peramalan.

6. Bezakan antara bentuk peramalan berikut:


a. Unjuran
b. Jangkaan

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1. Senaraikan bentuk-bentuk penyelesaian dasar.


- Dorongan
- Peraturan
- Fakta
- Kuasa
- Hak
2. Apakah DUA (2) aspek yang perlu ditekankan apabila
menggunakan pendekatan peraturan?
- Keadaan
- Kontek kejadian

3. Kenapakah pendekatan peraturan berkesan untuk mengubah


tingkah laku manusia?
- Pendekatan peraturan berkesan untuk mengubah tingkah laku
manusia kerana ia dapat memperingatkan seseorang individu
56
untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengelakkan
sebarang hukuman dikenakan. Selain itu, menjadikan individu
tersebut peka akan kesan yang bakal diterima dan berfikir
sebelum melakukan sesuatu.
4. Dengan menggunakan pendekatan pendorong, bagaimanakah caranya
untuk menggalakkan masyarakat lebih berhati-hati di jalan raya?
- Pendekatan dorongan boleh diberikan terhadap mesyarakat
dengan menggunakan kempen-kempen kemalangan jalan raya.
Selain itu peraduan pemandu berhemah dengan menyediakan
hadiah yang lumayan juga merupakan satu dorongan untuk
pemandu agar menjadi pemandu yang berhemah di jalan raya.

5. Berikan contoh kekangan organisasi.


- Tidak semua ketua jabatan organisasi awam boleh membuat
keputusan atas semua perkara. Ada perkara yang perlu dirujuk
kepada pihak yang lebih atas.
6. Berikan contoh kekangan politik.
- Penerimaan masyarakat terhadap penggunaan Bahasa inggeris
dalam mata pelajaran sains dan matematik.

7. Kriteria kos dan faedah juga merupakan satu langkah yang sering
digunakan dalam melakukan penilaian alternatif. Kos dan faedah
melihat kepada keuntungan dan kerugian yang akan dikenal pasti
apabila peramalan dibuat bagi setiap alternatif dasar untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi. Kita boleh membuat
ukuran melalui kos dan faedah melalui beberapa bentuk.

57

Anda mungkin juga menyukai