Anda di halaman 1dari 8

Tempurung Kelapa Sawit Sebagai Bahan Tambah Dalam

Penggunaan Batu Baur Dalam Campuran Konkrit

Khairudin Bin Che Husain


Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin
E-mail: karkudin@yahoo.com.my

Khairul Azam Bin Elias@Mayah


Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin

Mazlina Binti Mustapha


Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Politeknik Sultan
Mizan Zainal Abidin
E-mail: mazlina.kch@gmail.com

Abstrak
Tempurung kelapa sawit adalah salah satu bahan buangan selepas proses pemerahan
buah kelapa sawit. Pada umumnya tempurung bersama tandan kelapa sawit dileraikan
secara proses biologi dalam bentuk baja. Walaubagaimanapun, sifat fizikal seperti
kekerasan yang terdapat pada tempurung kelapa sawit menyebabkan ianya sukar
terurai. Kajian ini dilakukan untuk mengkaji sifat fizikal dan mekanikal konkrit dengan
campuran tempurung kelapa sawit sebagai bahan tambah dalam penggunaan batu
baur. Kepentingan kajian ini adalah untuk memberi gambaran tentang sifat konkrit
dengan hasil campuran tempurung kelapa sawit sebagai bahan tambah, faktor-faktor
yang mempengaruhi sifatnya serta kesan penggunaan tempurung kelapa sawit dalam
konkrit. Objektif kajian adalah bagi menentukan hubungan tempurung kelapa sawit
dengan jumlah yang berbeza terhadap sifat fizikal konkrit iaitu sifat kebolehkerjaan
konkrit dan sifat mekanikal iaitu kekuatan mampatan konkrit. Kajian ini dijalankan
dengan menggunakan nisbah simen kandungan air yang berbeza dan setiap nisbah
simen air dengan tiga campuran tempurung kelapa sawit dengan jumlah yang berbeza.
Gred konkrit yang dihasilkan adalah Gred 25 dan Gred 30. Kesemua sampel dihasilkan
di makmal menggunakan simen Portland biasa (OPC). Semua sampel diuji dan
keputusan dianalisis menggunakan Microsoft Excel dan dipersembahkan dalam bentuk
jadual. Kajian menunjukkan konkrit dengan penambahan tempurung kelapa sawit yang
dikaji memenuhi kesesuaian penggunaannya dalam aspek kekuatan mampatan namun
sebahagian daripadanya mempunyai kekurangan pada aspek kebolehkerjaan konkrit.
Kajian juga telah mendapati bahawa penggunaan tempurung kelapa sawit di dalam
adunan konkrit memberi kesan yang positif terhadap sifat fizikal dan mekanikal
terutamanya terhadap kekuatan mampatan.

Kata kunci: Sifat Fizikal; Tempurung Kelapa Sawit; Gred Konkrit; Sifat
Mekanikal

1. Pengenalan

Tempurung kelapa sawit, Oil Palm Shell (OPS) adalah produk sisa yang
berasal dari kilang minyak sawit. Penghasilan bahan terbuang daripada
produk sisa ini semakin meningkat dan menyumbang kepada
pencemaran alam sekitar sekiranya tiada langkah kawalan dianjurkan
dengan mengitar semula sisa tersebut. Jenis-jenis buangan yang
terkandung dalam kilang kelapa sawit boleh dikategorikan kepada
tandan kosong buah kelapa sawit, tempurung kelapa sawit dan serabut
buah kelapa sawit. Pecahan sisa dari pengeluaran minyak sawit
dikeluarkan telah dikategori sebanyak empat jenis sisa (Goh, Tan, Lee, &
Bhatia, 2010)(Goh et al., 2010). Pembuangan tempurung kelapa sawit
pada tahun 2007 adalah sebanyak 4,506 kilo tan (Goh et al., 2010).
Tempurung kelapa sawit adalah salah satu penghasilan sisa besar yang
terhasil dari proses pengekstrakan minyak kelapa sawit.
Industri minyak sawit di Malaysia menyumbang lebih separuh daripada
keluaran minyak kelapa sawit di dunia dan akan terus berkembang
dengan peningkatan global dalam permintaan minyak sayur-sayuran
(Osae-brown, 2013). Ia juga adalah penyumbang utama kepada masalah
pencemaran negara, termasuk pengeluaran tahunan sebanyak 2.6 juta
tan sisa pepejal dalam bentuk OPS (Itam, Beddu, Mohd Kamal, Alam, &
Ayash, 2016). Kajian telah dihasilkan menunjukkan OPS boleh
digunakan dalam campuran konkrit untuk menggantikan batu baur
untuk menghasilkan konkrit ringan.
Tempurung kelapa sawit mempunyai sifat fizikal yang ringan dan
semulajadi bersaiz ideal berpotensi menggantikan batu baur dalam
bancuhan campuran konkrit. Manakala penyerapan air dari campuran
tempurung kelapa sawit adalah tinggi berbanding dengan campuran batu
baur biasa. Berdasarkan kajian sebelumnya, peningkatan keliangan
konkrit bergantung kepada peningkatan lompang dalam konkrit (Okpala,
1990).
Setiap tahun, industri minyak sawit menghasilkan kuantiti yang besar
jumlah tempurung kelapa sawit sebagai bahan buangan selepas
pengekstrakan minyak kelapa sawit. Keluasan ladang kelapa sawit
adalah 5 juta hektar menjelang tahun 2020 di Malaysia (Ramli, 2003). Ini
akan meningkatkan pengeluaran minyak kelapa sawit dan sisa
buangannya.
Campuran konkrit menggunakan OPS berpotensi digunakan di dalam
struktur konkrit yang memerlukan kekuatan rendah hingga sederhana
seperti panel lantai ataupun dinding. Penggunaan tempurung kelapa
sawit akan menghasilkan konkrit yang lebih ringan (Teo, Mannan,
Kurian, & Ganapathy, 2007). Pada tahun 2005, pengeluaran minyak
sawit Malaysia telah mencecah sekitar 15 juta tan (301,000 tong sehari).
Nilai ini adalah sangat hampir dengan kajian sebenarnya sebanyak 14.96
juta tan metrik yang dicatatkan oleh (Abazue, Er, Ferdous Alam, &
Begum, 2015). Peningkatan pesat penanaman sawit telah menimbulkan
kebimbangan mengenai kesan alam sekitar hasil pembuangan daripada
ladang kelapa sawit, khususnya berkaitan dengan kepelbagaian biologi,
pemusnahan hutan hujan tua dan pencemaran udara (Basiron & Weng,
2004). Sebarang pembangunan yang tidak dirancang akan membawa
kepada kemerosotan sistem ekologi, kehilangan habitat termasuk
tumbuh-tumbuhan dan haiwan, degradasi dan pencemaran tanah
ekstrem (air dan udara) kerana penggunaan sejumlah besar racun
perosak dan herbisida yang diperlukan untuk mengekalkan kesuburan
tanaman perladangan. OPS adalah sisa organik yang mudah didapati di
Malaysia. Penggunaannya sebagai agregat pengganti dalam konkrit dapat
mengurangkan kepadatan konkrit biasa serta mengurangkan
pencemaran alam sekitar.
Berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan, penulis telah membuat
kajian penggunaan tempurung kelapa sawit sebagai bahan tambah
dalam batu baur. Objektif kajian ini adalah bertujuan mencari kekuatan
campuran tersebut serta kebolehkerjaan konkrit yang dihasilkan melalui
piawaian ujian yang telah ditetapkan oleh badan antarabangsa dalam
penghasilkan konkrit. Kekuatan campuran konkrit diperolehi melalui
ujian mampatan kiub konkrit, manakala kebolehkerjaan konkrit
diperhatikan dengan menjalankan ujian runtuhan konkrit. Skop kajian
ini menjadikan gred konkrit adalah nilai malar sementara pembolehubah
adalah nilai campuran tempurung kelapa sawit dan nisbah simen
kandungan air.

2. Rekabentuk Kajian

2.1 Pengumpulan Sampel


Proses pengumpulan sampel tempurung kelapa sawit dilakukan sekitar
dungun. Kilang yang dipilih adalah Kilang Kelapa Sawit Durian Mas yang
terletak di Kawasan Perindustrian Bandar Al-Muktafi Billah Shah,
Dungun, Terengganu. Kilang ini telah beroperasi bermula dari tahun
1982. Penentuan pengambilan sampel adalah kerana kekangan waktu
bekerja dan jarak yang hampir dengan kediaman.

2.2 Pengujian Sampel


Sampel yang diambil dari setiap pusat pengeluaran diuji di makmal
untuk mengenalpasti ciri-ciri kualitinya. Dalam kajian yang di lakukan
terdapat tiga nisbah simen dengan kandungan air dikaji iaitu 0.5, 0.55
dan 0.6. Setiap nilai nisbah terdapat dua Gred konkrit diuji. Sebanyak 18
sampel konkrit di buat sampel untuk ujian kekuatan mampatan iaitu
tiga sampel pada hari ke 7, tiga sampel pada hari ke 14 dan tiga sampel
pada hari ke 28. Gred konkrit yang dibancuh adalah Gred 25 dan Gred
30. Jadual 1 menunjukkan lokasi makmal pengujian sampel kajian.
Kerja-kerja pengujian sampel bata dijalankan mengikut prosedur yang
telah ditetapkan dalam piawaian tertentu, berikut adalah ujian-ujian
yang dilaksanakan:

2.2.1 Ujian Runtuhan Konkrit


Ujian runtuhan konkrit adalah ujian yang perlu dilakukan sebelum
konkrit dituangkan ke dalam kotak bentuk. Nisbah kandungan air dalam
bancuhan konkrit menentukan mutu dan kebolehkerjaan konkrit. Acuan
yang digunakan adalah berbentuk kon dan sebelum digunakan akan
dibasahkan terlebih dahulu dan diletakkan di atas permukaan rata.
Seterusnya sampel bancuhan konkrit diambil dan dimasukan ke dalam
acuan berbentuk kon sebanyak 3 lapisan. Lapisan konkrit dipadatkan
sebanyak 35 kali hentakkan menggunakan rod besi. Bahagian atas
acuan diratakan. Kemudian, acuan kon diangkat secara perlahan-lahan
dan acuan diterbalikkan. Kualiti dan kebolehkerjaan konkrit diukur
dengan mengambil bacaan dari bahagian atas acuan kon hingga ke
bahagian runtuhan konkrit dengan menggunakan pita ukur. Perbezaan
ketinggian yang dibenarkan ialah 75 +/- 25cm. Piawai yang digunakan
dalam ujian ini adalah berdasarkan MS 26-1-2:2009, Testing of concrete -
Part 1: Fresh concrete - Section 2: Slump test (Second revision). (Rajah 1)

2.2.2 Ujian Mampatan Konkrit


Ujikaji ini dilaksanakan berdasarkan BS 3921(1985), menggunakan 18
sampel kiub konkrit. Setiap sampel bata direndam dalam air selama 16
jam dengan suhu air dikekalkan antara 10°C hingga 25°C di dalam
sebuah tangki. Sampel bata kemudian dikeluarkan dari tangki, dibiarkan
kering selama lebih kurang setengah jam pada suhu bilik. Guni basah
digunakan untuk menutup permukaan atas bata, untuk mengelakkan
kehilangan lebihan lembapan semasa proses pengeringan. Setelah itu,
lebihan lembapan pada unit kiub konkrit dikeringkan dengan bantuan
kain. Sampel kiub kemudiannya diuji dengan mesin mampatan dengan
kadar kenaikan beban tidak melebihi 140 N/mm2 per minit.
Ujian kekuatan pecahan sebanyak tiga kiub hendaklah diuji pada hari
ketujuh, tiga kiub pada hari ke 7 dan tiga kiub pada hari ke 28.
Keputusan dari ujian-ujian ini akan memberi gambaran bahawa
campuran itu adalah betul mengikut gred bancuhan konkrit. Prosedur
ujian ini adalah seperti berikut. Kiub konkrit dibuat dengan
menggunakan acuan besi yang berukuran 150mm x 150mm. Bancuhan
konkrit dimasukkan sebanyak 3 lapisan dan dipadatkan sebanyak 35
kali. Permukaan atas konkrit diratakan dan dilabelkan mengikut tarikh
ianya dibuat. Acuan tersebut disimpan ditempat terlindung dari
kelembapan selama 24jam. Selepas acuan tersebut dibuka, kiub konkrit
akan diawet dengan menrendamkannya ke dalam tangki berisi air
sebelum diuji. Ujian dibuat keatas kiub konkrit pada hari ke-7 dan ke-28
dari tarikh kiub tersebut dibuat seperti dalam apendix. (Rajah 2).
Piawaian yang digunakan dalam ujian mampatan adalah berdasarkan BS
1881-108:1983

3. Keputusan Dan Perbincangan

Hasil daripada ujian runtuhan kon bagi semua sampel ditunjukkan di


dalam Jadual 2 dan Jadual 3. Terdapat 18 sampel kiub konkrit dengan
nisbah campuran yang berlainan dipersembahkan seperti yang tertera.
Berdasarkan Jadual 2 dan Jadual 3, runtuhan yang paling sedikit adalah
daripada sampel nisbah kandungan air 0.5 dengan nisbah simen, pasir,
batu baur dan tempurung kelapa sawit adalah 1 : 1½ : 3 + 3 OPS dengan
nilai runtuhan yang dicatatkan adalah 50 mm. Perbezaan sebanyak 30
mm ketinggian dengan nilai runtuhan yang paling besar dicatatkan dari
sampel nisbah kandungan air 0.6 dengan nisbah simen, pasir, batu baur
dan tempurung kelapa sawit adalah 1 : 1½ : 3 + 1 OPS. Hasil ujian
disokong oleh (Saman Daneshmand, 2011) yang mengatakan dengan
penambahan penggunaan tempurung kelapa sawit nilai runtuhan
semakin besar.
Nilai runtuhan yang minima diperoleh daripada nisbah kandungan air
simen 0.5 dan 0.6 dengan nilai runtuhan sebanyak 40 mm, manakala
nilai runtuhan yang paling besar dicatatkan oleh nisbah kandungan air
simen 0.55 dan 0.6 dengan nilai runtuhan 65. Perbezaan ketinggian
dicatatkan adalah 25mm.
Berdasarkan Jadual 4 dan Jadual 5, kekuatan konkrit bagi Gred 25
hampir malar bila usia konkrit mencapai 14 hari. Tiada peningkatan
yang ketara sehingga konkrit mencapai usia 28 hari. Manakala bagi Gred
30 pula, peningkatan sangat ketara berlaku pada diantara usia konkrit
14 hari dan 28 hari dengan perbezaan kekuatan mampatan mencapai
kenaikan hampir 9 N/mm2.
Perbezaan purata kekuatan mampatan konkrit bagi Gred 25 diantara
usia 7 hari dan 14 hari adalah 4.45 N/mm2 tetapi berkurangan apabila
usia mencapai 28 hari. Peningkatan yang direkodkan adalah 3.9N/mm2.
Bagi Gred 30 pula, peningkatan 2 kali ganda dicapai apabila usia konkrit
mencapai 28hari. Perbezaan purata kekuatan pada usia 7 hari dengan 14
hari adalah 4.49N/mm2 dan meningkat peningkatan sebanyak 10.15
N/mm2 apabila konkrit berusia 28 hari. Perbezaan kekuatan konkrit
akan berlaku diantara konkrit tanpa campuran tempurung kelapa
kerana permukaan tempurung yang licin berbanding batu baur (Mannan
& Ganapathy, 2001).
Jadual 6 menunjukkan kekuatan mampatan konkrit dengan nisbah air
simen 0.6. Purata kekuatan mampatan pada hari ke 28 bagi Gred 25
adalah 30.64 N/mm2. Manakala purata kekuatan mampatan bagi Gred
30 adalah 38.18 N/mm2. Perbezaan kekuatan di antara gred ini adalah
7.54 N/mm2.

4. Kesimpulan

Beberapa kesimpulan dapat dirumuskan berdasarkan ujian yang telah


dilakukan. Pertama, hampir semua sampel konkrit yang dihasilkan
menepati lingkungan piawaian yang telah ditetapkan berdasarkan
piawaian MS 26-1-2:2009, Testing of concrete - Part 1: Fresh concrete -
Section 2: Slump test (Second revision) dengan nilai runtuhan tidak
melebihi dan tidak berkurang daripada 75 +/- 25cm kecuali nilai pada
konkrit Gred 30 dengan campuran tiga bahagian tempurung kelapa sawit
dengan nilai runtuhan 40mm.
Kesimpulan kedua adalah semua campuran konkrit melebihi kekuatan
minimun yang ditetapkan dalam piawaian ujian mampatan konkrit. Oleh
yang demikian campuran tempurung kelapa sawit sebagai bahan tambah
dalam penggunaan batu baur dalam campuran konkrit mempengaruhi
kekuatan dan kebolehkerjaan konkrit. Penggunaan tempurung kelapa
sawit dalam konkrit sebagai penambahan ataupun penggantian batu
baur di galakkan supaya penggunaan bahan kitar salah satu daripada
pokok kelapa sawit dengan penggunaan yang optimum.

5. Penghargaan
Penulis ingin mengucapkan setinggi tinggi penghargaan kepada Ketua
Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di
atas kebenaran menggunakan kemudahan makmal dan bengkel.

REFERENCES
Abazue, C. M., Er, A. C., Ferdous Alam, A. S. A., & Begum, H. (2015). Oil
Palm Smallholders and Its Sustainability Practices in Malaysia.
Mediterranean Journal of Social Sciences, (December).

Basiron, Y., & Weng, C. K. (2004). The Oil Palm and its Sustainability.
Journal of Oil Palm Research, 16(1), 1–10.

Goh, C. S., Tan, K. T., Lee, K. T., & Bhatia, S. (2010). Bio-ethanol from
lignocellulose: Status, perspectives and challenges in Malaysia.
Bioresource Technology, 101(13), 4834–4841.

Itam, Z., Beddu, S., Mohd Kamal, N. L., Alam, M. A., & Ayash, U. I.
(2016). The Feasibility of Palm Kernel Shell as a Replacement for
Coarse Aggregate in Lightweight Concrete. IOP Conference Series:
Earth and Environmental Science, 32(1), 8–12.
https://doi.org/10.1088/1755-1315/32/1/012040

Mannan, M. A., & Ganapathy, C. (2001). Mix design for oil palm shell
concrete. Cement and Concrete Research, 31(9), 1323–1325.

Okpala, D. C. (1990). Palm kernel shell as a lightweight aggregate in


concrete. Building and Environment, 25(4), 291–296.
Osae-brown, A. (2013). The oil palm tree, (August).

Ramli, A. (2003). Short-Term and Long-Term Projection of Malaysian Palm


Oil Production. Oil Palm Industry Economic Journal, 3(1), 32–36.

Saman Daneshmand, O. S. (2011). Influence of Oil Palm Shell on


Workability and Compressive Strength of High Strength. Annals off
Faculty Engineering Hunedoara - International Journal of
Engineering, Tome IX, 51–56.

Teo, D. C. L., Mannan, M. A., Kurian, V. J., & Ganapathy, C. (2007).


Lightweight concrete made from oil palm shell (OPS): Structural
bond and durability properties. Building and Environment, 42(7),
2614–2621.
Appendix

Jadual 1. Lokasi Makmal Pengujian Bagi Sampel Kajian


Bil Makmal Ujian

Makmal Teknologi Konkrit, Politeknik


1 Ujian Runtuhan Konkrit
Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu.

Makmal Babena Sdn Bhd, Paka,


2 Ujian Kekuatan Mampatan
Dungun.

Jadual 2. Keputusan Ujian Runtuhan Bagi Konkrit Gred 25


Water Ratio 0.5 Water Ratio 0.55 Water Ratio 0.6
Concrete Mixing Slump Concrete Mixing Slump Concrete Mixing Slump
C : S : Agg + OPS (mm) C : S : Agg + OPS (mm) C : S : Agg + OPS (mm)

1 : 1½ : 3 + 1 OPS 75 1 : 1½ : 3 + 1 OPS 75 1 : 1½ : 3 + 1 OPS 80


1 : 1½ : 3 + 2 OPS 60 1 : 1½ : 3 + 2 OPS 65 1 : 1½ : 3 + 2 OPS 70
1 : 1½ : 3 + 3 OPS 50 1 : 1½ : 3 + 3 OPS 55 1 : 1½ : 3 + 3 OPS 60

Jadual 3. Keputusan Ujian Runtuhan Bagi Konkrit Gred 30


Water Ratio 0.5 Water Ratio 0.55 Water Ratio 0.6
Concrete Mixing Slump Concrete Mixing Slump Concrete Mixing Slump
C : S : Agg + OPS (mm) C : S : Agg + OPS (mm) C : S : Agg + OPS (mm)

1 : 1 : 2 + 1 OPS 60 1 : 1 : 2 + 1 OPS 65 1 : 1 : 2 + 1 OPS 65


1 : 1 : 2 + 2 OPS 55 1 : 1 : 2 + 2 OPS 60 1 : 1 : 2 + 2 OPS 50
1 : 1 : 2 + 3 OPS 40 1 : 1 : 2 + 3 OPS 55 1 : 1 : 2 + 3 OPS 40

Jadual 4. Kekuatan Mampatan Konkrit Dengan Nisbah Air Simen 0.5


Cube Concrete
Compression Strength Test (N/mm²)
Marking Mixing

C : S : Agg 7 Days 14 Days 28 Days

OPS 1 OPS 2 OPS 3 OPS 1 OPS 2 OPS 3 OPS 1 OPS 2 OPS 3

Grade 25 1 : 1½ : 3 24.36 24.71 24.98 30.93 32.00 33.91 32.44 32.67 32.89

Grade 30 1:01:02 26.40 26.71 27.33 30.84 31.38 32.98 40.22 40.80 41.11

Jadual 5. Kekuatan Mampatan Konkrit Dengan Nisbah Air Simen 0.55


Cube Concrete
Compression Strength Test (N/mm²)
Marking Mixing

C : S : Agg 7 Days 14 Days 28 Days

OPS 1 OPS 2 OPS 3 OPS 1 OPS 2 OPS 3 OPS 1 OPS 2 OPS 3


Grade 25 1 : 1½ : 3 23.15 23.69 23.96 27.33 27.87 28.13 31.56 31.91 31.64

Grade 30 1:01:02 25.60 25.82 26.04 30.00 30.31 30.62 39.73 40.67 40.98

Jadual 6: Kekuatan Mampatan Konkrit Dengan Nisbah Air Simen 0.6


Cube Concrete
Compression Strength Test (N/mm²)
Marking Mixing

C : S : Agg 7 Days 14 Days 28 Days

OPS 1 OPS 2 OPS 3 OPS 1 OPS 2 OPS 3 OPS 1 OPS 2 OPS 3

Grade 25 1 : 1½ : 3 22.71 22.93 23.16 25.2 25.38 25.82 30.67 30.80 30.44

Grade 30 1:01:02 24.84 25.07 25.42 28.49 28.76 29.29 37.87 38.09 38.58

Rajah 1. Ujian Runtuhan Konkrit

Rajah 2. Ujian Kekuatan Mampatan di Makmal Babena

Anda mungkin juga menyukai