Anda di halaman 1dari 9

Kata Adverba| 148

UNIT 7
KATA ADVERBA

HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir unit, anda diharapkan dapat:
1. mengetahui jenis kata adverba dalam bahasa Melayu
2. mengetahui fungsi kata adverba dalam ayat
3. menyenaraikan kata adverba dalam ayat
4. menggunakan kata adverba dengan betul

7.0 Pengertian Kata Adverba


Kata adverba juga dikenali sebagai kata keterangan. Kata adverba ialah perkataan yang menerangkan
kata kerja, kata adjektif, dan kata adverba. Kata adverba menjadi tambahan dalam predikat dan tidak dapat
berdiri sendiri untuk menjadi inti frasa. Oleh sebab itu, kata adverba tergolong sebagai kata tugas.
Contohnya:

(1) Haris pulang esok. (esok ialah kata adverba yang menerangkan kata kerja pulang)
(2) Maryam selalu suka akan ais krim. (selalu ialah kata adverba yang menerangkan kata adjektif suka)
(3) Pemuda itu ketawa kuat sungguh. (sungguh ialah kata adverba yang menerangkan kata adverba kuat)
(4) Lelaki itu pura-pura baik untuk menarik perhatian gadis itu.(pura-pura ialah kata adverba yang
menerangkan kata adjektif baik)

Perkataan daripada golongan kata yang lain dapat menjadi kata adverba kerana mempunyai
fungsi ”menerangkan”. Fungsi inilah selalunya menyebabkan tarafnya berubah daripada golongannya
dalam struktur ayat. Dalam ayat (5), perkataan cepat tidaklah lagi tergolong sebagai kata adjektif seperti
dalam ayat (6) kerana cepat berfungsi menerangkan perbuatan ”berjalan” dan tidak menjadi inti bagi frasa
predikat. Kata cepat dalam ayat (6) ialah kata adjektif kerana menjadi inti frasa predikat. Contohnya:

(5) Dia berjalan cepat.


(6) Perjalanan ke Ipoh cepat.
Kata Adverba| 149

Dalam ayat (7)-(9), kata kerja berfungsi sebagai kata adverba kerana menjadi penerang kepada kata kerja,
kata adjektif dan adverba. Contohnya:

(7) Budak lelaki itu berenang menelentang.


(8) Baju perempuan itu merah menyala.
(9) Mereka ke bandar berdua.

Bandingkan ayat yang berikut. Apakah fungsi kata parah dalam ayat-ayat tersebut?
1. Mangsa kemalangan itu parah.
2. Mangsa kemalangan itu bertambah parah.
3. Mangsa kemalanagn itu luka parah.

7.1 Ciri-ciri Kata Adverba


(a) keterangan yang ditambahkan pada kata kerja, kata adjektif dan kata adverba. Contohnya:

( (12) Adik menangis terisak-isak.


(13) Budak itu kurang berhati-hati.
(14) Kasut lelaki itu hitam berkilat.
(15) Gadis itu cantik menawan
(16) Mereka ke hosiptal segera.
(17) Kamil datang ke sini tiba-tiba

(b) kedudukan kata adverba adalah bebas, yakni boleh di depan atau di belakang perkataan yang
diterangkannya. Contohnya:

tidur lena kurang berhati-hati


duduk diam-diam sering berpindah
putih berseri hampir pengsan

Kata adjektif yang menjadi adverba bagi kata kerja yang menunjukkan cara boleh bertukar tempat.
Contohnya:
Kata Adverba| 150
tidur lambat
lambat tidur
bermain bersungguh-sungguh
bersungguh-sungguh bermain
menangis terisak-isak
terisak-isak menangis

7.2 Bentuk Kata Adverba


Kata adverba terdiri daripada bentuk:
(i) kata tunggal
(ii) kata terbitan
(iii) kata ganda

(i) Bentuk kata adverba tunggal


Kata adverba dalam bentuk tunggal tidaklah banyak. Kata adverba bentuk tunggal terdiri daripada satu
kata dasar. Contohnya: esok, dahulu, hampir, begitu, tentu, tadi, lusa, sekarang, semalam, sentiasa, selalu
dan sebagainya.

(18) Azmi akan datang esok.


(19) Saya akan pergi dulu.
(20) Peristiwa itu akan menjadi ingatan semasa tua kelak.
(21) Dia sentiasa berderma.
(22) Hasnita tentu lapar.

(ii) Bentuk kata adverba terbitan


Kata adverba terbitan ialah kata adverba yang mempunyai imbuhan. Bentuk kata adverba ini terdiri
daripada:
se-...-nya seperti sepatutnya, semestinya, sesudahnya, sebolehnya, seeloknya, dll;
–nya seperti agaknya, biasanya, rasanya, dll. Contohnya:

se-…-nya
(23) Sebaiknya kita segera pergi ke sana.
(24) Kami sebenarnya tidak jadi ke sana.
(25) Seeloknya kita siapkan keraj ini.
-nya
(26) Maryam pintar rupanya.
(27) Bayi itu biasanya menangis apabila lapar.
(28) Gurauan itu agaknya membuatnya marah.
Kata Adverba| 151

(iii) Bentuk kata adverba ganda


Kata adverba ganda ialah kata adverba dalam bentuk ganda. Kata adverba ganda terdiri daripada (a)
penggandaan penuh, (b) penggandaaan separa, (b) penggandaan berentak. Contohnya:

(a) kata adverba penggandaan penuh. Contohnya:

duduk diam-diam
buai laju-laju
datang tiba-tiba
pura-pura baik
sama-sama cantik
betul-betul baik

(b) kata adverba penggandaaan separa. Contohnya:

datang berhari-hari
menangis teresak-esak
berjuang mati-matian
berniaga kecil-kecilan
terbang setinggi-tingginya
menjerit sekuat-kuatnya
merdu semerdu-merdunya

(c) kata adverba penggandaan berentak. Contohnya:

lari lintang-pukang
berjalan mundar-mandir
berjalan huyung-hayang
menangis sedu-sedan
tidur serta-merta
Kata Adverba| 152

7.3 Jenis-jenis Kata Adverba


Kata adverba terdiri daripada tiga jenis, iaitu:
(a) kata adverba jati
(b) kata adverba yang asalnya kata adjektif
(c) kata adverba yang asalnya kata kerja

(a) kata adverba jati


Kata adverba jati ialah kata adverba yang tidak termasuk ke dalam mana-mana golongan kata lain. Kata
adverba jati sememangnya berfungsi untuk menerangkan kata kerja, kata adjektif atau kata adverba.
Bentuk kata adverba tunggal merupakan kata adverba jati. Contohnya: tadi, kelak, dahulu, sekarang, nanti,
kemudian, tulat, dahulu, kemudian, barangkali, sentiasa, saling, langsung, begitu, begini, demikian,
semalam, kelmarin, esok, lusa, kelak, sering kali, acap kali, kerap kali, julung kali, sentiasa, kadang-
kadang, kadangkala, saling, sekali gus, serentak, jarang kali, sempat, langsung, nyaris, begitu, begini,
demikian, pertama kali, agaknya, dan nanti, dll. Beberapa contoh penggunaannya dalam ayat adalah
seperti yang berikut:

(29) Saya telah menziarahi Jamal kelmarin.


(30) Tetamu datang serentak pada majlis itu.
(31) Anis cantik sekarang.
(32) Lelaki itu dahulu kaya, tetapi kini miskin.
(33) Dia datang ke rumah saya kelmarin.
(34) Kita perlu membuat kerja itu sekali gus esok.

(ii) kata adverba asalnya kata adjektif


Kata adjektif ini asalnya memang kata adjektif tetapi berfungsi sebagai adverba yang menerangkan kata
kerja, kata adjektif atau kata frasa sendi nama. Contohnya: lampai (tinggi lampai), besar (besar panjang),
kurang (kurang berhati-hati), sering (sering ke pejabat), dll. Cntohnya:

(35) Pemain bola keranjang dari China itu tinggi lampai.


(36) Anak Pak Yazid sudah besar panjang.
(37) Kanak-kanak kurang berhati-hati ketika melintas jalan.
(38) Maniam sering ke pejabat pada hari Sabtu.
(39) Bas ekspres dari Kelantan tiba lewat.
(24) Nenek Ah Seng sakit tenat.
(25)
Kata Adverba| 153

(c) kata adverba salnya kata kerja


Kata adverba jenis ini berasal daripada kata kerja dan berfungsi sebagai penerang kepada kata kerja, kata
adjektif, atau frasa sendi nama. Contohnya: mengiring (tidur mengiring), menyala (merah menyala),
menyendiri (duduk menyendiri), berseri (cantik berseri), melangit (tinggi melangit), dll. Contohnya:

(40) Bayi itu tidur mengiring.


(41) Gadis itu memakai baju merah menyala.
(42) Encik Lim duduk menyendiri sejak kematian isteri.
(43) Wajah gadis itu cantik berseri.
(44) Menara Kuala Lumpur tinggi melangit

7.4 Kata Tugas yang Tergolong dalam Kata Adverba


Kata bantu dan kata penguat tergolong sebagai kata adverba. Dalam ayat (45)-(48), kata bantu dan kata
penguat juga berfungsi sebagai kata adverba kerana kedua-duanya berfungsi ”menerangkan”. Contohnya:

(45) Bapa mesti pergi ke majlis kenduri itu.


(46) Kereta api itu mula bergerak.
(47) Pakaian di kedai ini agak mahal.
(48) Bangunan yang baru siap itu terlalu tinggi.

Dalam ayat (45)-(46), perkataan mesti dan mula merupakan kata bantu kerana hadir di depan kata
kerja, manakala dalam ayat (47)-(48) perkataan agak dan terlalu dikenali juga sebagai kata penguat kerana
hadir di depan kata adjektif. Namun, kata bantu dan kata penguat dalam contoh ayat di atas dari segi
fungsinya adalah sebagai kata adverba kerana perkataan tersebut berfungsi ’menerangkan’. Oleh itu, kata
bantu dan kata penguat boleh menjadi kata adverba dalam ayat.

7.5 Makna Kata Adverba


Kata adverba mempunyai makna yang banyak. Dalam modul ini, hanya beberapa saja makna yang
disenaraikan:

(a) Adverba waktu


Perkataan yang menerangkan masa berlakunya sesuatu perbuatan atau peristiwa dan keadaan.
Contohnya:
Kata Adverba| 154

(49) Amir hendak pulang sekarang.


(50) Bas ekspres itu tiba lewat.
(51) Abang baru pulang dari pejabat.
(52) Komathi selalu datang ke rumah saya.

(b) Adverba cara


Perkataan yang menerangkan cara sesuatu perbuatan itu dilakukan. Contohnya:

(53) Hamid duduk menyendiri.


(54) Kamu perlu berbuat begini.
(55) Buruh itu berkerja bermati-matian.
(56) Dia berkata demikian semata-mata untuk berbohong.

(c) Adverba ragam


Perkataan yang menerangkan ragam atau keadaan kepastian berlakunya sesuatu perbuatan. Contohnya:

(57) Saya tentu sampai di sana petang ini.


(58) Pelajar itu betul-betul gembira dengan keputusan SPMnya.
(59) Mohd Nor benar-benar baik.

(d) Adverba jarak


Perkataan yang menerangkan jarak yang berkaitan dengan kata kerja yang diterangkannya. Contohnya:

(60) Zaini tinggal dekat dengan rumah saya.


(61) Burung gagak itu terbang tinggi.
(62) Datuk pergi jauh meninggalkan kita.
Kata Adverba| 155

(e) Adverba keadaan


Perkataan yang menerangkan keadaan yang berlaku pada kata kerja, kata adjektif dan kata adverba.
Contohnya:

(63) Askar itu berambut pendek.


(64) Buku-buku itu disusun rapi.
(65) Cili itu dipotong nipis.

(f) Adverba sifat perasaan


Perkataan yang menerangkan sifat perasaan bagi kata kerja. Contohnya:

(66) Ibu berasa rindu sejak adik ke universiti.


(67) Dia bercakap benar setiap kali berbicara.
(68) Nasir ketawa riang menonton persembahan itu.

KATA KUNCI
1. kata adverba
2. kata keterangan
3. penerang

PENILAIAN KENDIRI

1. Nyatakan kata adverba yang terdapat dalam ayat yang berikut:


a. Dia jarang-jarang datang ke rumah saya.
b. Mereka diam-diam datang ke sini.
c. Bapa bekerja kuat sejak dulu.
d. Setibanya musim panas, orang Arab suka melancong.
e. Ustaz ini memberi kuliah secara bulanan.
f. Budak itu lari lintang-pukang kerana dikejar anjing.
g. Gadis itu duduk termenung.
h. Kami berdoa agar pengantin itu hidup berbahagia.
i. Jiran saya masih sakit tenat.
j. Adik dimarahi kerana bermain sehari-hari.
Kata Adverba| 156

2. Apakah bentuk kata adverba yang bergaris?


a. berbuat baik
b. tinggal dekat
c. memandu perlahan-lahan
d. duduk sebentar
e. pulang ke gagang
f. berpisah lama
g. ketawa riang
h. berkawal bergilir-gilir
i. kadang kala timbul
j. sentiasa berhati-hati

3. Apakah jenis kata adverba yang bergaris?


a. sejuk benar
b. kasar sedikit
c. belajar sangat kuat
d. berjalan lambat sungguh
e. tidur lewat
f. bergerak perlahan

RUJUKAN

Abdullah Hassan. (2006). Morfologi. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Arbak Othman. (1984). Tatabahasa Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Percetakan Sarjana (M) Sdn. Bhd.

Asmah Hj. Omar. (2009). Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa dan Abdul Hamid Mahmood. (2010). Tatabahasa
Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sulaiman Masri dan Ahmad Khair Mohd Nor. (2008). Tatabahasa Melayu Mesra Pengguna Edisi
Baharu. Kuala Lumpur: Utusan Publications dan Distributors Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai