PEREMPUAN:
Fly me to the moon and let me play among the stars
let me see what spring is like on jupiter and mars
Banyaknya lagu cinta yang membuai perasaan. Aku mengenal lagu‐lagu ini waktu aku
masih bersekolah rendah. Setiap hari berkumandang di radio dan aku mempelajari
liriknya dari mulut ibu; yang seringkali terkumat‐kamit menyanyikannya bersama lagu di
radio...dan matanya, ya matanya itu nampak seolah dia tenggelam dalam sebuah
perasaan yang penuh keindahan. Tapi tak boleh, aku tak pernah bertanya kepadanya
apakah yang sedang difikirkannya pada waktu itu. Rumah kami adalah kawasan terlarang
untuk persoalan cinta, kata ayah, aku masih mentah. Mentahkah aku, ketika menjelang
remaja setiap hari aku mnyelami persoalan cinta yang bersiaran dalam
telenovela‐telenovela dan sinetron‐sinetron di kaca tv. Tiap sabtu tak jarang aku
menemani ibu dan kertas‐kertas tisunya mengusap airmata perjuangan cinta Bollywood
para pelakon kesayangan ibu. Aku tambah terpesona, begitu indahnya kisah cinta yang
penuh dugaan dan cubaan, akhirnya bahagia selamanya. Aku seolah merasakan
belaian tangan Amir Khan yang lembut mengusapku, bisikan‐bisikan manja gShah Rukh
Khan meniupkan nikmat di telingaku dan dekapan lengan sasa Salman, menggetarkan
jiwa remajaku..
Tak boleh! Haram! Kau jangan nak malukan nama ayah, nama keluarga kita. Aku tak
suka kau nak keluar berjalan‐jalan dengan lelaki. Kalau kau dah gatal sangat nak kahwin,
ha berhenti sekolah suruh dia pinang kau cepat‐cepat tak payah nak menyemakkan
kepala aku dengan perangai kau ni. Anak dara tak tau malu, tak reti diajar. Mak kau
pun satu manjakan sangat kau ni. Memang korang berdua ni keturunan kepala batu,
degil tak tau diuntung orang!
Lancar je kata‐kata tu keluar dari mulut ayah. Memang macam tu ke, semua ayah
menerima, menghafal dan melafaz dialog yang sama setiap kali berdepan dengan
kekhilafan anakanaknya? Mungkin aku memang degil, tapi mak tidak. Cuma hatinya telah
keras, sekeras tawa gembira ayah ketika suatu hari pulang dengan isterinya yang baru,
madunya. Degilkah ibu, ayah, kerana tak dapat nak menerima bahawa layanannya selama
ini tak pernah mencukupi bagi ayah. Degilkah ibu kerana merasa dipermainkan setelah
benar‐benar menyangka bahawa keluarga kita benar‐benar cukup dan berbahagia selama
ini. Masih degilkah ibu yang membarut luka hatinya dengan kesibukan‐kesibukan lain
yang tak pernah dipedulikan ayah selama ini? Ayah tak gentleman, kata ibu. Pengecut
yang bertopengkan status ayah dan lelaki. Gentleman... Mungkin itu yang diharapkan ibu
setelah tiap telenovela, sinetron dan filem bollywood yang ditontonnya. Tapi hairannya
ibu tak serik menonton selepas itu. Cuma kali ini dia tak perlukan aku dan kertas tisuku.
Sekarang dia menonton dengan senyum sinis dan pahit di wajahnya. Kenapa ibu,
tanyaku. Ibu menambahkan lagi pedas dalam senyumnya dan berkata,"Gentlemen hanya
wujud dalam cerita sahaja." Betul ke macam tu?