Anda di halaman 1dari 3

Petikan Monolog naskah Asiah Samiah karya Johan Jaafar

ASIAH SAMIAH MUDA :

Malam itu, buat pertama kalinya saya mengeraskan suara saya di hadapan ayah dan mak.
“Misa Sagaraga itu kuasa, kekayaan dan pengaruh, alangkah beruntungnya kau,” kata
ayah. “Mak bangga kerana kami berjaya mendidik kau menjadi anak yang baik dan Tuhan
memberikan kau wajah yang rupawan!” Saya tidak sedar mulut saya mengeluarkan kata‐
kata itu. “Baik untuk siapa ayah? Bangga kerana apa mak?” Demi Allah, bukan niat saya
untuk melukakan ayah dan emak. Selama ini saya tidak pernah, waima sekali,
meninggikan suara saya di hadapan mereka. Kasih dan sayang saya kepada mereka,
bukan kecil. Malah sebenarnya tidak boleh saya gambarkan. Itulah kali pertama bang,
saya mungkin menyakitkan hati emak dan ayah saya. Saya tidak apakah reaksi ayah dan
mak malam ini. Tapi saya semacam merasakan kesepian yang menyelubungi rumah kami
selepas itu – saya tidak tahu apakah ayah dan mak marah atau kecewa. Sekali ini
biarlah saya berkata apa yang datang dari dalam diri saya – sekali ini saja bang. Saya
teringat cerita abang lagi tentang King Lear dan tiga orang anak gadisnya. Saya boleh
saja menjadi Goneril dan Regan yang berpura‐pura menyatakan kasih dan sayang saya
kepada ayah dan mak. Tapi saya memilih untuk menjadi Cordelia. Saya tidak boleh
membohongi diri saya untuk mengatakan bahawa kasih dan sayang saya kepada ayah
dan mak melampaui ruang, kebebasan, malah nyawa, kesihatan, kecantikan, dan maruah.
Saya tidak boleh berbuat demikian. Saya harus meletakkan Anas dalam lubuk hati saya.
Di manakah Anas? Tapi ayah dan mak harus tau bahawa kasih dan sayang saya tidak
berganjak sekalipun saya menanyakan kemahuan mereka sekali itu. Apa yang harus saya
buat bang? Lari mencari Anas? Tinggal di sini untuk dikahwini oleh Misa Sagaraga. Atau
membunuh diri seperti Juliet? Saya bertanya diri saya apakah agaknya yang akan
dilakukan oleh Majnun pada saat‐saat semacam ini. Ah, saya betul‐betul keliru. Agaknya
sewaktu Tun Kudu harus memilih untuk mengahwini Tun Ali demi menyelamatkan perang
saudara di Melaka, tidaklah seburuk kekeliruan saya kali ini. Ah, Bang Anas, di mana
agaknya dia? “Asiah kadangkala kita harus membuat pengorbanan dalam hidup, ini masa
abang,” dia memberitahu saya. Dan saya mengangguk bang kerana saya yakin bahawa
sebagai lelaki dia harus bertanggungjawab sekurang‐kurangnya kepada dirinya sendiri. Juga
kepada bangsanya. Tapi kepada saya? (Kuat) Bang Anas! Okay! Abang dengar tak? Ini
Asiah! Asiah doakan pemergian abang. Malah Asiah restui pemergian abang. Kalau itu
yang abang mahukan, pergilah. Asiah tinggal di sini bersama ingatan. Dan kenangan
manis. Pergilah bang, pergilah ke mana saja. Berjuanglah, kalau itu pilihan abang. Saya di
sini, abang di sana. Tapi sampai bila bang? Sampai bila? Hati saya hancur bang! Hancur!
Setiap kali saya teringatkan abang – ah, entah hidup entah tidak. Saya hanya mendengar
cerita yang bukan‐bukan tentang abang. Bahawa abang sekarang disumbatkan di penjara.
Abang diseksa. Abang dikejami. Mungkin abang akan menjadi korban perjuangan itu. Tapi
saya disini bang. Membawa obor kasih kita. Mencari makna daripada kehidupan yang
semakin menyakitkan ini. Mencari kewarasan dalam kegilaan ini. Disini tidak ada
kebenaran bang. Kebenaran hilang bersama abang.... Sari! Mana daun upih yang selalu
kami gunakan! Saya tau, ada permainan lain, tapi Bang Anas suka menarikku dalam upih.
Katanya mengembalikan nostalgia di kampungnya. Katanya mengembalikan seribu satu
kenangan. Kebanggaan zaman kanakkanaknya yang menerpa. Lalu membariskan seribu
satu macam peristiwa suka duka. Ah, aku tidak faham Sari, tentang makna anak sungai,
siulan burung, telur tempua, miang keladi. Bagi aku, semua itu sama asingnya dengan
permukaan Venus. Aku tidak pernah menjejakkan kaki ke kampung yang diceritakan oleh
Abang Anas. Maka itu, upih itu penting bagi kami.

Mak Bunirah! Jangan beritahu mak ya? Biarlah kami main di tengah lapang itu. Kalau
mak tau pasti dia marah. Ah, katakan saja saya ke bengkel kayu melihat Pak Leh Lak Lak
membuat kerja. Atau saya ke supermarket bersama Bang Mat Drebar. Bagilah kami
peluang itu Mak Bunirah. Itu saja yang ada pada saya. Ah, saya macam burung dalam
sangkar! Saya pernah dengar Mak Bunirah berbual dengan Pak Leh Lak Lak tentang saya.
“Burung dalam sangkar,” kata Pak Leh Lak Lak. Benar, saya memang burung dalam
sangkar. Burung malang yang diberi makan dan pakai, dihiasi kemewahan, dilitupi
kekayaan, tetapi tetap burung dalam sangkar. Saya barang peragaan rumah ini. Barang
peragaan yang berharga. Setiap yang berhasrat untuk menyunting saya, silakan. Asal
harganya betul. Darjatnya kena. Di sini kebenaran tidak ada Bang Anas. Kebenaran diukur
daripada darjat. Buat masa ini Anas Samanda tidak benar. Buat masa ini yang benar
ialah Misa Sagaraga. Dan saya akan dikahwinkan dengan kebenaran itu – kerana
kebenaran itu ialah kuasa dan kekayaan.

Saya burung dalam sangkar Bang Marga. Burung jinak yang sudah dipatahkan hati dan
nuraninya. Burung manja yang hilang upayanya. Kasihanilah saya Bang Marga. Abang
selalu menasihatkan saya tentang kasih, tentang harga diri dan masa depan. Abang selalu
bercerita untuk menghilangkan keraguan saya. Ceritalah bang, ceritalah lagi. Ceritalah apa
saja walaupun cerita itu penuh luka dan derita. Saya tidak peduli kalau kisahnya berakhir
dengan tragedi dan kematian kerana hidup saya nampaknya tidak akan berakhir dengan
kesudahan yang menggembirakan. Saya boleh menangis bang, sampai bengkak mata.
Saya boleh menangisi nasib saya. Tetapi apalah makna air mata seorang kekasih yang
bernasib malang. Tapi apalah ertinya tangisan itu. Kalau saya menangis air mata darah
sekalipun, Bang Anas tidak akan pulang. Dan nasib saya tidak akan berubah. Saya hanya
mampu menangis masa ini. Apa daya saya sekarang. Kasihanilah saya bang! Di mana
kalian semua? Bang Anas? Bang Marga? Kenapa tinggalkan saya di sini sendirian?
Mengapa dibiarkan saya menanggung penderitaan ini seorang? Uk! Di mana kalian!
Tolong saya! Tolong saya Bang Anas! Tolong saya Bang Marga! (gaya bercerita) Pada
zaman dahulu terdengarlah kisah seorang puteri jelita yang tinggal di dalam sebuah
istana yang indah. Puteri itu hidup dalam kemewahan dan mendapat belaian kasih sayang
sepenuhnya daripada ayah dan bondanya. Tetapi puteri itu, walaupun diulit kemewahan
tidak pernah berasa bahagia...

Anda mungkin juga menyukai