Anda di halaman 1dari 2

Petikan Monolog olahan dari naskah Asiah Samiah karya Johan Jaafar

ASIAH SAMIAH MUDA :

Saya tak mahu bertanya kalau Abang Anas masih sayangkan saya lagi. Sebab dia tidak
ada di sini. Tapi saya masih boleh bertanya abang, apakah sekurang‐kurangnya abang
tidak belas kepada saya? Abang tau bagaimana saya menghargai abang selama ini.
Bagaimana saya mengagumi abang. Abang ingat cerita abang tentang perjuangan manusia
selama ini. Saya membesar dengan cerita itu. Saya tidak tertarik dengan dongeng
Cinderella atau kisah Jula Juli Bintang Tujuh. Saya tidak ingat cerita Puteri Gunung Ledang
atau Si Melor yang diceritakan oleh Siti Bunirah. Tapi saya ingat cerita abang. Saya ingat
bagaimana abang menidurkan saya dengan perjuangan Tun Fatimah atau pejuang Acheh,
Nyonya Dhien. Saya mengagumi cerita perjuangan wanita yang selalu abang ceritakan.
Abang ingat Abang Anas selalu mencemburui abang kerana saya selalu memilih abang
untuk mendengar cerita. Saya atau Abang Anas cemburu kepada abang.

Abang juga yang menyedarkan saya tentang kuasa dan wibawa seorang wanita. Abang
mengatakan bahawa saya terlalu lambat untuk menjenguk kedewasaan. Abang selalu
bergurau mengatakan saya sukar dijinakkan. Abang mengatakan saya kadang‐kadang lebih
liar daripada Katherine dalam drama Shakespeare dan abang harus menjadi Petruchio.
Kadang‐kadang abang memarahi saya kerana saya masih anak kecil dalam pakaian
kegadisan saya. Abang kata saya masih kecil dalam bungkusan keremajaan. Sebenarnya
Abang Anas memang mencemburui abang. Dia selalu mengatakan saya harus memilih
antara dua jejaka dari Verona. Bagaimana sayaharus membuat keputusan sama ada harus
mengahwini Romeo atau Paris yang terlalu muda itu. Abang istimewa dan abang tau itu.
Tetapi saya mengasihi Abang Anas dan abang pasti tau itu.

Abang melupakan saya agaknya. Abang tau, sejak dia memulakan perjuangannya langsung
dia tidak berkirim khabar kepada saya, waima melalui pesanan. Apakah dia sudah
melupakan saya? Saya terbangun waktu malam saya menanyakan diri saya, apakah salah.
Malah selalunya syaa menyalahkan diri saya sendiri. Mungkin juga saya terlalu
mementingkan diri saya. Kenapa saya tidak merestui Abang Anas. Bukankah itu yang
dimahukannya. Apakah hak saya untuk menghalangnya. Apakah hak saya untuk
menghalangnya? Tapi saya bertanya diri saya lagi, mengapa saya, mengapa tidak orang
lain? Mengapa saya yang harus menjadi mangsa perjuangan? Apa lagi yang tinggal untuk
saya. Siti Bunirah selalu berkata, saya bernasib baik. “Kau ditatang bagai menatang
minyak yang penuh!” kata Siti Bunirah. “Kau anak emas kami semua!” kata Pak Leh Lak
Lak. Saya tau betapa berharganya saya kepada ayah dan mak. Tapi saya sekadar menjadi
bahan peragaan. Barang yang ditunjukkan kepada orang yang datang – ini anak kami. Si
Jelita ini anak kami. Dan kami akan memberikan yang terbaik untuknya. Saya tidak
menyesal hidup di tengah kemewahan ini bang. Tapi semakin saya dewasa semakin
terasa terasing saya. Semakin jauh rasanya saya daripada cerita‐cerita yang abang
ceritakan. Daripada kisah manusia biasa yang menjadi luar biasa. Daripada kisah manusia
yang bernafas dan nyawa secara lumrah, bukan manusia yang mahu ayah dan mak lihat.
Saya teringat cerita abang tentang Juliet. Kadangkala saya rasa saya macam Juliet. Seperti
Juliet yang menjadi bahan peragaan Capulet, saya juga tidak lebih daripada bahan
perhiasan ayah dan mak. Saya tahu ayah dan mak mahukan yang terbaik untuk saya.
Tetapi inikah kehidupan sebenar saya? Inikah akhirnya hidup saya? Dan tidakkah saya
juga akan senasib dengan Si Juliet yang harus mengahwini orang yang tidak disukainya?
Dan apakah kesudahan cerita saya bang? Seperti Juliet juga? Saya harus minum racun
untuk memberikan cinta saya?

Anda mungkin juga menyukai