Anda di halaman 1dari 4

IMPLIKASI PERBEZAAN INDIVIDU DAN GAYA PEMBELAJARAN TERHADAP PENGAJARAN DAN

PEMBELAJARAN (P&P)

2.1 Perbezaan gaya berfikir

Perbezaan gaya berfikir merujuk kepada gaya kognitif dan gaya murid belajar. Kedua-dua gaya
terhasil daripada perbezaan individu. Kedua-dua gaya ditunjukkan oleh murid dalam kelas seperti
ada yang lebih selesa belajar menggunakan kemudahan audio dan ada pula yang selesa dengan
menggunakan alat visual. Murid-murid yang cepat bertindak akan cepat menyiapkan kerja-kerja
rumah. Bagi murid-murid yang tidak berminat dengan kerja rumah akan menghantar lewat
tugasannya kepada guru.

Gaya belajar dikelaskan sebagai gaya belajar bergantung, bebas, mengelak, bekerjasama, bersaing
dan mengelakkan diri. Guru boleh mengenal pasti dengan jelas keenam-enam gaya belajar di atas
dalam sesebuah kelas. Manurut pakar psikologi, terdapat sekurang-kurangnya dua puluh perbezaan
gaya belajar dalam kalangan individu. Oleh itu, guru perlu membuat penyelidikan bagi mengkaji dan
meneliti perlakuan setiap murid dalam kelas yang diajarnya sebelum pengajaran dimulakan.

Menurut teori pembelajaran pengalaman, terdapat empat peringkat pengalaman yang dilalui oleh
murid iaitu, pengalaman konkrit, pemerhatian, reflektif, perkonsepan abstrak dan percubaan aktif.
Hasil daripada empat peringkat ini, lahirlah individu dengan gaya belajar yang tersendiri sama ada
diverger, assimilator, konverger, ataupun akomodator.

2.2 Objektif pengajaran dan pembelajaran

Objektif pembelajaran perlu ditentukan mengikut kemampuan murid. Bagi murid yang pintar,
objektif pembelajaran perlu lebih tinggi daripada murid yang lemah. Objektif pembelajaran perlu
mengikut aras yang dicadangkan oleh taksonomi Bloom, iaitu aras pengetahuan, kefahaman, aplikasi,
analisis dan sintesis. Aras kesukaran pada objek atau penilaian perlu berubah mengikut prestasi
murid. Bagi murid-murid yang pintar cerdas tentu memerlukan objektif yang lebih luas jika
dibandingkan dengan kumpulan yan lemah.

2.3 Kesediaan belajar

Sememangnya diketahui bahawa umur merupakan faktor yang sangat penting dalam menentukan
kesediaan kanak-kanak untuk belajar. Namun demikian, kanak-kanak yang sama umurnya tidak
semestinya berada di peringkat kesediaan belajar yang sama. Murid-murid yang mendapat
pendidikan asas di rumah dan pernah memasuki kelas tadika dan pra sekolah akan kelihatan cukup
bersedia semasa guru memulakan sesuatu pengajaran. Keadaaanya adalah berbeza dengan murid-
murid yang tidak dapat menikmati kemudahan dan keperluan tersebut.

Murid-murid yang telah dikenal pasti mempunyai perbezaan dalam kesediaan emosi, kesediaan
kognitif dan kesediaan psikomotor memerlukan pertimbangan sewajarnya daripada guru dalam
pemilihan kaedah dan teknik mengajar. Murid-murid yang pintar selalunya bersedia awal untuk
belajar berbanding dengan murid lembam yang memerlukan ransangan yang lebih untuk
menggerakkan mereka belajar. Perlu diperhatikan juga tahap kecergasan dan kestabilan emosi murid
sebelum pengajaran dimulakan. Oleh itu, dicadangkan guru membuat pemerhatian awal secara
rambang untuk mendapatkan tahap kesediaan murid pada hari itu.

Di peringkat sekolah menengah pula, disamping perbezaan dari segi umur, faktor motivasi, tekanan
emosi, pemilihan mata pelajaran yang sesuai, keyakinan diri dan sikap guru terhadap murid juga
mempengaruhi kesediaan seseorang untuk belajar. Contohnya, sekiranya seorang pelajar tidak
meminati mata pelajaran Geografi dipaksa oleh guru untuk mengambilnya, besar kemungkinan
pelajar tersebut tidak akan menyediakan dirinya untuk belajar. Situasi ini jika berlarutan akan
menyebabkan keputusan peperiksaan pelajar tersebut turut terjejas.

2.3 Gangguan pengajaran dan pembelajaran

Gangguan pengajaran dan pembelajaran berkaitan dengan kesediaan belajar. Murid-murid yang
bersedia belajar selalunya akan memudahkan guru memulakan pengajaran. Mereka juga biasanya
saling bekerjasama dengan rakan-rakan dalam sebarang aktiviti pembelajaran yang dijalankan.
Sebaliknya bagi murid yang bermasalah seperti malas belajar, meminta perhatian yang berlebihan,
nakal dan berkelakuan tidak senonoh, mereka akan menggangu pembelajaran. Murid-murid ini akan
menggangu rakan, membuat bising dan tidak mengendahkan arahan guru. Guru harus berhati-hati
menangani murid-murid salah laku yang berkecenderungan merosakkan harta sekolah dan
mencetuskan pergaduhan dengan rakan lain. Walau bagaimanapun, terdapat kes-kes murid yang
cerdik menggangu pembelajaran seperti terlalu proaktif, menyudahkan kerja terlalu cepat dan berani
melawan.

2.4 Kadar kecerdasan mengikut jantina

Manusia memang jelas berbeza dalam kadar dan kebolehan. Darjah kecerdasan biasanya berubah-
ubah mengikut umur, sikap, kematangan dan faktor persekitaran. Berbagai-bagai jenis ujian, kajian
telah dan sedang dilaksanakan untuk mengukur darjah kecerdasan kanak-kanak. Kajian-kajian di
negara Barat membuktikan bahawa kecerdasan seseorang akan bertambah apabila umurnya
meningkat. Hal ini adalah sejajar dengan pendapat bahawa seseorang pelajar yang telah sedar akan
nilai pendidikan akan mempunyai inisiatif dan motivasi yang kuat untuk belajar. Pada umumnya,
keupayaan intelek dan penguasaan bahasa pelajar perempuan di peringkat sekolah rendah adalah
lebih baik daripada pelajar lelaki. Sebaliknya, tahap kecerdasan pelajar lelaki adalah sederhana dan
akan meningkat mencapai kematangan apabila sampai ke peringkat pengajian tinggi. Namun begitu,
kita tidak boleh menafikan bahawa tahap kecerdasan pelajar perempuan akan kekal stabil apabila
sampai ke peringkat pengajian tinggi. Mungkin itulah sebabnya mengapa angka kemasukan pelajar
perempuan ke pusat pengajian tinggi adalah lebih ramai daripada lelaki. Walaupun demikian, kajian
tentang perbezaan pada kebolehan antara jantina masih belum lagi dapat dilaksanakan dengan
secukupnya untuk merumuskan satu kesimpulan yang sempurna.
2.5 Latar belakang kehidupan

Keadaan latar belakang kehidupan sesebuah keluarga ada hungkait dengan kemajuan anak-anaknya.
Sebagai contoh kita sering mendengar kebanyakan sekolah di Bandar mencatatkan keputusan
peperiksaan umum yang cemerlang. Apabila ditinjau dan diteliti, murid-murid dari “sekolah-sekolah
cemerlang” ini sebenarnya mempunyai latar belakang keluarga yang sempurna. Keluarga berkenaan
menyediakan berbagai-bagai kemudahan pembelajaran seperti menghantar anak-anak mereka ke
kelas-kelas tambahan, kemudahan komputer berinternet dan buku-buku rujukan yang lengkap.
Sebaliknya, murid-murid yang berasal dari kawasan luar bandar biasanya lebih rendah pencapaian
mereka dalam sesuatu peperiksaan terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan
Matematik. Hal ini kerana mereka kurang didedahkan dengan faktor-faktor persekitaran yang boleh
mendorong mereka untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Sikap keluarga dan pengaruh
sosiobudaya masyarakat di luar bandar secara tidak langsung mempengaruhi suasana pembelajaran
di kalangan murid-murid.

2.6 Kebolehan fizikal

Pada umumnya, kanak-kanak mempunyai kebolehan yang berbeza untuk melaksanakan kegiatan-
kegiatan yang melibatkan psikomotor. Keadaan ini jelas terbukti melalui kecergasan dan kemahiran
kanak-kanak dalam sebarang kegiatan atau permainan tertentu yang bergantung kepada
kematangan oto-otot pada organ-organ yang penting. Penyelarasan psikomotor dan kebolehan
bertambah selari dengan meningkatnya umur. Peningkatan umur akan membawa bersamanya kuasa
untuk mengekalkan perhatian, penyelarasan otot, kepantasan, ketetapan kawalan dan penentangan
kepada kelesuan.

Kanak-kanak di peringkat sekolah rendah harus menguasai asas iaitu kemahiran membaca, menulis
dan mengira. Kemahiran-kemahiran asas seperti menulis sangat bergantung kepada sejauh mana
otot kecil mata, jari dan tangan bekerjasama dengan kekuatan pemikiran individu. Oleh itu, pelajar
yang mempunyai koordinasi yang baik diantara otot-otot mata dengan otoot-otot yang terdapat di
bahagian lengan biasanya dapat menulis dengan cepat dan cantik sekiranya dibandingkan dengan
yang menghadapi masalah dalam penyelarasan otot-otot tersebut.

2.7 Perbezaan sosial

Murid-murid yang bersifat ekstrovert biasanya aktif mengambil bahagian dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran. Mereka juga tidak teragak-agak menyoal guru tentang aspek-aspek pengajaran
dan pembelajaran yang mereka kurang memahami. Oleh itu, mereka akan membentuk konsep-
konsep yang lebih jelas den seterusnya dapat menunjukkan pencapaian persekolahan yang lebih
baik. Sebaliknya, murid-murid yeng bersifat introvert, iaitu yang gemar berseorangan biasanya akan
menarik diri daripada penyertaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, mereka akan
berasa malu dan takut untuk mengemukakan soalan-soalan sekiranya menghadapi pelbagai kesulitan
atau keraguan. Hal ini seterusnya akan menyebabkan murid tersebut ketinggalan dalam kemajuan
persekolahan.
2.8 Perbezaan emosi

Murid-murid yang berasal daripada keluarga yang bahagia serta mendapat asuhan ibu bapa yang
sempurna akan mengalami kestabilan emosi. Murid-murid seperti ini tentu dapat memberi tumpuan
yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru di dalam kelas. Penumpuan seperti ini tetap akan
membantu mereka membentuk konsep-konsep yang jelas dalam pelbagai mata pelajaran. Situasi
seperti ini akan membolehkan pelajar berkenaan memperoleh pencapaian akedamik yang baik di
dalam bilik darjah. Sebaliknya, murid yang berasal daripada keluarga yang retak atau ibu bapa yang
terlalu sibuk sentiasa mengalami masalah emosi kerana kekurangan kasih sayang dan perhatian.
Emosi yang kurang stabil tetap akan menjejaskan penumpuan mereka terhadap mata pelajaran yang
diajar oleh guru di dalam kelas. Keadaan ini tentu akan menjejaskan pencapaian akedemik mereka.

Anda mungkin juga menyukai