Anda di halaman 1dari 4

PERAWAN TUJUH BERADIK

PADA zaman dahulu , kononnya ada sebiji buah yang sangat luar biasa . Pokoknya tumbuh di
tengah-tengah lautan yang sangat luas . Sesiapa sahaja yang memperolehi buah itu dipercayai
amat bertuah.

Tersebutlah kisah seorang pemuda bernama Teruna. Dia berasal dari Kalimantan Barat .
Walaupun Teruna seorang pengembara yang gagah berani, namun dia selalu ditimpa malang.

Pada suatu hari Teruna bertekad hendak mencari buah ajaib itu . Dia membina sebuah kapal
layar dan belayar menyeberangi lautan . Pelayaran itu sangat sukar tetapi Teruna tetap tidak
berputus asa . Walaupun telah beberapa lama belayar, namun pokok yang berbuah ajaib itu
belum juga kelihatan .

Setelah hampir tiga bulan belayar, tiba-tiba kapal Teruna termasuk ke dalam pusaran air yang
sangat deras. Kapalnya berpusing-pusing dengan ligat sekali.

Teruna sedaya upaya cuba menyelamatkan kapalnya daripada bencana itu. Teruna hampir-
hampir lemas . Tiba-tiba dia ternampak sebatang pokok yang sangat tinggi daripada percikan
pusaran air itu. Matanya terpaku ke arah pokok itu. Pokok itu seolah-olah muncul dari pusat
pusaran air itu. Dia pasti itulah pokok ajaib yang dicari-carinya selama ini .

Kapal Teruna hampir ditelan oleh pusaran air itu . Ketika detik yang mencemaskan itu, Teruna
melompat ke dalam air dan berenang sekuat-kuatnya ke arah pokok itu . Setelah selamat
sampai, dia pun memanjat dahan yang selamat daripada pusaran air itu dan berehat seketika di
situ . Apabila bertenaga semula, Teruna memandang sekelilingnya dan dia ternampak seekor
burung yang sangat besar bertenggek pada dahan pokok itu . Cengkaman kuku burung itu sama
besarnya dengan genggaman tangan seorang manusia.

" Jika aku dapat memegang kaki burung itu, tentu aku dapat kembali semula ke daratan , " bisik
hati Teruna .

Dia pun mula memanjat pokok itu dari satu dahan ke satu dahan sehingga dia berada kira-kira
sehasta dari tempat burung itu hinggap. Dengan secepat kilat dia menyambar pergelangan kaki
burung itu dan bergayut di situ sekuat-kuatnya . Burung besar itu sama sekali tidak menyedari
akan apa yang berlaku kepada dirinya. Beberapa lama kemudian, burung itu pun terbang
membawa Teruna yang bergayut pada kakinya. Burung itu terus terbang menyeberangi lautan
dan merentasi daratan, sehingga Teruna menjadi sangat letih dan tidak berdaya lagi .
Akhirnya burung itu ternampak beberapa ekor lembu . Burung itu melayang turun dan secepat
kilat menyambar seekor lembu. Pada ketika itulah Teruna melepaskan pegangannya dan jatuh
ke tanah dengan selamatnya. Teruna memerhatikan kawasan di sekelilingnya . Dia sangat

1
hairan melihat kawasan di situ . Teruna belum pernah melihat tempat yang sebegitu indah.
Pokok-pokok menghijau dan berbuah lebat dengan bunga-bunga kembang berseri. Teruna
terus berjalan dan akhirnya dia tiba di sebatang lorong yang ditumbuhi bermacam jenis bunga
yang berwarna-warni. Dia melalui lorong itu lalu terjumpa sebuah rumah yang sangat cantik .
Teruna terus masuk ke dalam rumah itu dan dilihatnya seorang perawan sedang menyediakan
makanan .

Perawan itu terperanjat melihat Teruna berada di dalam rumahnya. Dia berasa amat takut.
Teruna pun meyakinkan perawan itu supaya tidak takut melihatnya kerana dia tidak akan
mengganggu Perawan itu. Teruna cuma memerlukan makanan dan tempat tidur pada malam
itu. Dia tidak tahu di mana dia berada.

Perawan itu mempersilakan Teruna duduk dan memberikan Teruna sedikit makanan . Ketika
Teruna sedang makan, perawan itu menceritakan bahawa dia ialah adik bongsu kepada tujuh
orang perawan yang tinggal dalam rumah itu. Enam orang kakaknya telah keluar bekerja di
sawah . Teruna pula kemudiannya menceritakan apa yang telah dialaminya. Lewat petang itu
keenam-enam orang kakak perawan itu pun pulang . Mereka sangat senang hati menerima
kedatangan Teruna dan melayaninya dengan baik.

Semenjak hari itu, Teruna tinggal bersama-sama perawan tujuh beradik itu. Setiap hari
sewaktu keenam-enam perawan itu pergi ke sawah, Teruna tinggal di rumah menjaga perawan
bongsu. Setelah beberapa lama, perawan bongsu pun jatuh cinta kepada Teruna.
Pada suatu hari, dia memberitahu akan perasaannya itu kepada kakak-kakaknya. Mereka
semuanya bersetuju untuk mengahwinkan perawan bongsu dengan Teruna. Teruna juga
bersetuju dengan cadangan itu.

Perawan Sulung menjelaskan bahwa Teruna akan menjadi sebahagian daripada keluarga
mereka. Perawan Sulung juga memberitahu bahawa sebenarnya mereka tujuh beradik berasal
dari Bintang Tujuh. Perawan bongsu bernama Bongsu Bintang Banyak. Perawan sulung
meminta Teruna agar menyayangi adik bongsu mereka sepertimana mereka menyayanginya.
Perawan Sulong tidak boleh memberitahu Teruna lebih daripada itu.

Seminggu kemudiannya, majlis perkahwinan Teruna dengan Bongsu Bintang Banyak pun
diadakan. Ramai orang kampung dijemput untuk meraikan majlis itu. Beberapa tahun selepas
itu, Teruna dan Bongsu Bintang Banyak mendapat seorang anak lelaki; diberi nama Teruna
Muda. Teruna menjaga anaknya itu dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak
penuh. Sementara isteri dan kakak-kakaknya bekerja di sawah, Teruna menjaga anak mereka di
rumah. Sememangnya sejak awal lagi, Teruna telah diberi amaran supaya tidak membuka
penutup tajau yang terletak di sudut rumah mereka.

2
Bungsu Bintang Banyak telah berpesan agar Teruna tidak membuka penutup tajau di rumah
mereka. Teruna tidak boleh sesekali membuka tajau itu kerana akibatnya amat buruk.

Pada mulanya, Teruna mematuhi pesanan isterinya. Walau bagaimanapun, oleh kerana selalu
diingatkan berulang kali, Teruna berasa ada sesuatu yang ganjil dalam tajau itu. Perasaan ingin
tahu Teruna datang mendadak.

Pada suatu hari, ketika Teruna menjaga anaknya di rumah, Teruna merenung tajau itu
beberapa kali. Perasaan ingin tahunya memuncak dan Teruna tidak boleh bersabar lagi.
Dengan cermat dia membuka penutup tajau itu. Wah, Alangkah dahsyatnya! Melalui mulut
tajau itu dia dapat melihat beribu-ribu orang manusia sedang sibuk menanam padi. Apa yang
anehnya mereka kelihatan jauh sekali di bawah. Barulah Teruna menyedari bahawa dia berada
di suatu tempat yang tinggi, seolah-olah di sebuah negeri di awang-awangan. Teruna runsing
sekali dengan apa yang dilihatnya itu. Dia tahu siapa mereka itu. Merekalah manusia di bumi
dan semuanya sedang bekerja dengan tekun.

Pada petangnya, apabila isteri dan keenam-enam orang kakaknya pulang dari sawah, Teruna
tidak memberitahu mereka apa yang telah dilakukannya. Semasa waktu makan, Teruna
kelihatan sedih dan bimbang. Dia makan sedikit sahaja. Bungsu Bintang Banyak mengesyaki
sesuatu yang tidak diingini telah berlaku. Dia segera bertanya kepada Teruna samada suaminya
telah membuka tajau itu. Namun Teruna hanya mendiamkan diri. Setelah disoal beberapa kali,
akhirnya Teruna mengaku bahawa dia telah membuka tajau itu dan menceritakan apa yang
telah dilihatnya.

Teruna menjelaskan bahawa fikirannya selalu terganggu memikirkan apa yang telah dilihatnya.
Bongsu Bintang Banyak mengatakan bahawa suaminya telah berjanji tidak akan membuka
penutup tajau itu. Namun suami Bongsu Bintang Banyak telah mungkir janji dan tidak amanah
dalam menunaikan janjinya. Bongsu Bintang Banyak tidak dapat memaafkan kesalahan
suaminya Teruna.

Maka Teruna tidak dibenarkan tinggal di dalam rumah mereka lagi. Bongsu Bintang Banyak
menangis teresak-esak sambil menimang anaknya. Anak mereka pun terbabit sama tidak boleh
tinggal bersama-sama mereka.

"Anakku, oh anakku, tidak pernah ibu terfikir kita akan berpisah. Sekarang sudah tiba masanya.
Oh! Betapa beratnya penderitaanku," rintih Bungsu Bintang Banyak.

Pada keesokan harinya, isteri Teruna dan keenam-enam orang kakaknya menyediakan
persiapan untuk menurunkan Teruna dan anaknya ke bumi melalui mulut tajau itu. Mereka
bertangis-tangisan. Sebelum berpisah, Perawan Sulung menjelaskan bahawa mereka berasal
dari Bintang Tujuh. Merekalah yang memberi petunjuk kepada peladang di bumi.

3
Carilah mereka dalam kegelapan sebelum terbit fajar. Apabila ternampak mereka di langit,
manusia mesti menanam padi dengan segera.

Jika Perawan Tujuh tidak lagi kelihatan di langit semasa manusia mula menanam, maka hasilnya
tidak akan banyak, malahan apa jua yang manusia tanam tidak akan mendatangkan hasil.
Semasa berada di rumah Perawan Tujuh itu, Teruna telah melihat Perawan Tujuh tidak pernah
tinggal di rumah hanya Bungsu Bintang Banyak sahaja yang berada di rumah.

Bongsu Bintang Banyak mengingatkan suaminya supaya menurut nasihat kakaknya itu dan
menceritakan pula kepada anaknya supaya kedudukan Bintang Tujuh akan sentiasa menjadi
petunjuk kepada petani di bumi.

Setibanya di bumi, Teruna menceritakan semua pengalaman yang dialaminya kepada orang-
orang kampung. Dia menceritakannya dari masa dia meninggalkan kampung untuk mencari
buah ajaib sehinggalah masa dia berkahwin dengan adik bungsu Bintang Tujuh. Semenjak hari
itu, kononnya, padi akan mula ditanam apabila kelihatan Bintang Tujuh mengerdip di langit.

Ya....kawan-kawan, cerita yang telah saya sampaikan tadi, hanyalah rekaan semata-mata.
Namun banyak pengajaran yang mesti kita ingat dan patuh;

1. Kita mestilah menepati janji.

2. Kita wajib amanah dalam melakukan setiap perbuatan.

3. Setiap peraturan yang telah ditetapkan, perlukan kita patuhi.

4. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang kita hajati.

Anda mungkin juga menyukai