Anda di halaman 1dari 3

CERPEN “KEMBARA KE KOTA CORDOVA”

“Wah, cantiknya!” jerit Darina kerana terpesona dengan keindahan Istana Al-Hambra yang
tersergam indah di Kota Cordova itu. “Oi Darina! Perlahan sikit, malu kita dibuatnya bila kau jerit
macam itu dekat tempat awam ni.” Tempelak Zulfa kepada Darina mengenangkan betapa malunya
dia apabila melihat gelagat Darina yang langsung menarik perhatian orang ramai yang berada di
sekitar perkarangan Istana Al-Hambra itu. “Hehehe maaf”, gelak kecil Darina kerana berasa malu
apabila menyedari akan situasi yang sedang berlaku. Darina dan Zulfa telah lama menyimpan impian
untuk melawat Istana Al-Hambra dek kerana terpengaruh dengan drama Korea yang ditonton
mereka semasa di universiti dahulu iaitu Memories of Al-Hambra. Hasrat yang dipendam semenjak
di universiti lagi itu akhirnya telah tercapai setelah berjaya lulus dengan cemerlang dalam pengajian
masing-masing dan usaha mengumpul wang demi merealisasikan impian mereka dilakukan selama
satu tahun lamanya dan kini mereka berjaya menjejakkan kaki ke Kota Cordova, Sepanyol, kota yang
dikatakan menyimpan sejarahnya yang tersendiri.

Suasana istana tersebut yang sungguh indah menarik mereka berdua mengenang kembali
zaman kegemilangan Islam yang berpusat di Granada, Sepanyol di bawah payung Khalifah Bani
Abbasiyah yang cukup terkenal dengan Zaman Keemasan Islam. Jika dikenang pada waktu itu,
pastinya kita akan ingin kembali ke zaman tersebut kerana pesatnya perkembangan ilmu yang
berlaku pada zaman tersebut. “Darina, kalau kau diberi peluang untuk mengembara ke masa lalu,
kau rasa ke mana kau nak pergi?”, tanya Zulfa yang secara spontan setelah kagum melihat senibina
Istana Al-Hambra yang tersergam indah itu. “Hmmm, kalau aku, mestilah nak ke zaman Keemasan
Islam era Khilafah Bani Abbasiyah.” Kata Darina sambil mengambil swafoto di hadapan air pancut
yang terletak di tengah-tengah istana tersebut. “Eh Fa aku ingat nak ke masuk dalam istana sekejap
nak ambik gambar OOTD dalam tu”, kata Darina yang bercadang untuk mengambil gambar di dalam
istana. Sebenarnya tujuan dia berkata begitu adalah untuk mengajak Zulfa sekali kerana dia tahu
bahawa Zulfa sangat suka untuk mengambil gambar OOTD tidak kira di mana sahaja tempat yang
mereka kunjungi.

“Hmmm, jomlah sekali, mujur kau sebut tentang tu sebab aku dah terlupa sebenarnya untuk
berOOTD hehehe.” Kata Zulfa dengan nada gembira. Lalu mereka berdua pergi ke kawasan dalam
istana untuk berOOTD. Dalam perjalanan tersebut Darina terlihat sesuatu entiti hitam yang pelik di
suatu sudut di kaki lima menuju ke kawasan dalam istana. Darina mencuit lengan Zulfa sambil
berkata, “Fa, tengok tu. Apa benda tu?”. “Ha? Apa dia Ina?”. Tanya Zulfa keliru dengan apa yang
ditanya oleh Darina. “Tu ha, kat sebelah tiang tu warna hitam. Jom kita pergi dekat.”. Kata Darina
memberanikan diri. “Eh jangan Ina! Bahaya. Kita tidak tahu apa benda tu.” Halang Zulfa kerana
bimbang perkara buruk akan terjadi. Tanpa mengendahkan kata-kata daripada Zulfa, Darina meluru
ke entiti tersebut. “Ina tunggu!”. Kata Zulfa sambil berlari mendapatkan Darina. Sesampai sahaja
mereka berdekatan dengan entiti tersebut angin dikawasan istana tersebut tiba-tiba bertiup
kencang, awan mula mendung dan satu lohong hitam mula keluar daripada entiti tersebut. Tanpa
sempat melarikan diri, mereka disedut masuk ke dalam lohong hitam tersebut. “Zulfa tolong aku!”.
Jerit Darina meminta tolong ketika masih sempat berpaut pada tiang. Namun, Zulfa juga tidak
mampu berbuat apa-apa kerana dia juga disedut masuk ke dalam lohong hitam tersebut.

“Aduh sakitnya kepala aku.” Kata Zulfa kesakitan kerana kemungkinan kepalanya terhantuk
semasa disedut masuk ke dalam lohong hitam tersebut. “Fa, kita kat mana ni?” Kata Darina dalam
keadaan yang masih bingung setelah bangun daripada pengsan. “Jangan bergerak, siapa kamu
semua ni! Kelihatan beberapa orang lelaki yang berpakaian perisai tentera zaman Abbasiyah
mengacukan tombak kepada Zulfa dan Darina. “Zulfa, aku takut!” Kata Darina dalam keadaan
ketakutan. Mereka kemudian dibawa ke menghadap seorang lelaki yang digelar oleh tentera-tentera
tersebut sebagai Amirul Mukminin. “Siapakah gerangan kamu berdua? Bagaimana kamu boleh
memasuki kawasan istana yang dikawal ketat oleh para pengawal istana?” Tanya lelaki yang digelar
Amirul Mukminin oleh para pengawal yang membawa mereka. “Kami tidak tahu tuan, sedar sahaja
daripada pengsan kami sudah berada di sini, tolonglah kami wahai tuan yang budiman, lepaskanlah
kami, kami tidak tahu bagaimana kami boleh berada di sini.” Rayu Zulfa kepada lelaki itu. “Jangan
kamu berdusta dihadapan Amirul Mukminin wahai perempuan yang tidak tahu di untung!”
Tempelak salah seorang pengawal yang berada di sebelah lelaki itu. “Tidak mengapa wahai tuan
hamba, mereka kelihatan begitu lemah sekarang, bawakan tabib istana untuk memeriksa keadaan
mereka.” Kata lelaki itu menenangkan pengawal tersebut. “Tapi Tuanku mereka ini menceroboh
istana. Adakah kita masih mahu melayan mereka seperti tetamu istimewa lagi?” Bantah pengawal
tersebut mempertahankan tindakannya. “Kita masih belum mempunyai bukti yang cukup untuk
mendakwa mereka adakah kamu mahu menuduh mereka secara melulu tanpa usul periksa?” Soal
lelaki tersebut kepada pengawalnya.

Zulfa dan Darina kemudian dibawa ke sebuah bilik untuk dirawat oleh tabib istana. Zulfa
mengambil kesempatan yang ada pada ketika itu untuk bertanya kepada tabib istana siapakah lelaki
yang dipanggil Tuanku oleh para pengawal tadi. Mereka sangat terkejut kerana orang yang berdiri di
hadapan mereka tadi adalah Khalifah Harun Ar-Rasyid yang merupakan antara khalifah yang
masyhur bagi kerajaan Bani Abbasiyah yang merupakan pemula kepada zaman keemasan Islam.
Sayyidah Zubaidah yang merupakan isteri kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid mengetahui akan apa
yang sedang berlaku di istana sebentar tadi dan bergegas ke bilik rawatan untuk bertemu dengan
Zulfa dan Darina. “Siapakah gerangan kamu berdua?” Tanya Sayyidah Zubaidah kepada mereka
berdua. “Hamba Zulfa dan ini teman hamba, Darina, kami berdua telah tersesat ke sini setelah
memasuki suatu lohong hitam yang tiba-tiba muncul”. Jelas Zulfa kepada Sayyidah Zubaidah.
“Pakaian kamu agak aneh, sepertinya bukan dari sini. Boleh beta tahu kamu ini datang dari mana?”
Tanya Sayyidah Zubaidah lagi dalam keadaan hairan melihat pakaian yang dipakai oleh Zulfa dan
Darina. “Kami berdua dari Malaysia, negara yang jauh di Asia Tenggara”. Kata Darina menjelaskan
dari mana mereka berasal. “Eh Ina, Malaysia belum wujud lagi lah zaman ni.” Bisik Zulfa pada Darina
menyedarkan dia bahawa mereka sekarang bukan berada pada zaman yang sepatutnya mereka
berada. “Eh ye tak ye la Fa, maaf aku lupa.” Kata Darina yang baru perasan situasi yang mereka
hadapi. “Malaysia? Di manakah itu? Belum pernah beta mendengar sebuah negeri bernama
Malaysia.” Soal Sayyidah Zubaidah yang kehairanan apabila mendengar nama Malaysia yang
disebutkan oleh Darina. “Sebenarnya kami berdua berasal dari Srivijaya, Malaysia itu adalah nama
kampung kami.” Kata Zulfa yang menyebut sebuah negeri yang wujud di Kepulauan Melayu pada
ketika itu. “Oh Srivijaya, iya yang itu beta pernah dengar negerinya amat kaya dan makmur,
pelabuhannya juga amat maju.” Kata Sayyidah Zubaidah yang kagum akan kemajuan yang dimiliki
oleh Srivijaya. “Tapi kenapa nama kamu berdua seperti nama orang Arab? Adakah orang-orang di
Srivijaya sudah memeluk Islam?” Soal Sayyidah Zubaidah. “Tuanku, bolehkah hamba bertanya?” Soal
Zulfa yang cuba mengubah mauduk perbualan mereka. “Ya silakan, apakah yang kamu mahu tahu
dari beta?” Kata Sayyidah Zubaidah. “Kami dengar di sini terdapatnya sebuah perpustakaan yang
besar dan agung dipanggil Baitul Hikmah. Benarkah Tuanku?” Soal Zulfa yang kelihatan sangat ingin
mengetahui kewujudan perpustakaan agung tersebut.

“Ya benar anak muda, Baitul Hikmah itu memang wujud dan ada di sini. Mahukah kamu
berdua mengunjunginya?” Pelawa Sayyidah Zubaidah kepada mereka berdua. Zulfa dan Darina
mengangguk sambil tersenyum kegembiraan apabila mendapat peluang untuk mengunjungi Baitul
Hikmah yang dikatakan menyimpan banyak khazanah ilmu yang kebanyakkannya sudahpun hilang
pada zaman sekarang disebabkan perpustakaan tersebut telah musnah dihancurkan oleh tentera
Monggol yang menjarah empayar Islam di zaman kejatuhan Bani Abbasiyah suatu ketika dahulu.
Keesokan harinya mereka dibawa oleh Sayyidah Zubaidah, diiringi oleh pengawal Sayyidah Zubaidah
ke perpustakaan Baitul Hikmah. Ketika mengunjungi perpustakaan tersebut, mereka telah berjumpa
dengan para ilmuan Islam yang sangat dikenali dan disebut di dalam sejarah. Antara ilmuan Islam
yang mereka telah berjumpa ialah Al Kindi dan Al Khawarizmi. Melihat kepada kegigihan mereka
menelaah buku-buku dan membuat kajian di perpustakaan tersebut telah memberikan anjakan
paradigman kepada Zulfa dan Darina untuk berbakti kepada agama menerusi jihad ilmu dengan
menuntut ilmu bagi memajukan diri dan agama agar Islam kembali dipandang tinggi di mata dunia.

Ketika sedang bersiar-siar di dalam Baitul Hikmah, Zulfa menyedari akan kelibat entiti hitam
yang pernah mereka lihat semasa sebelum disedut masuk ke zaman Dinasti Abbasiyah. “Darina,
tengok tu!” Zulfa mengalihkan pandangan Darina yang sedang leka meneliti setiap manuskrip yang
ada di perpustakaan Baitul Hikmah itu terus ke entiti hitam yang dilihat oleh Zulfa. “Eh itu kan benda
yang bawa kita ke sini. Fa jom kita pergi dekat dengan benda tu.” Kata Darina. “Jom, aku rasa kalau
kita cuba pergi ke benda tersebut kita boleh kembali ke zaman kita balik.” Kata Zulfa yang bersetuju
untuk mengikuti apa yang dicadangkan oleh Darina. Seperti yang mereka jangkakan, apabila mereka
mendekati entiti hitam tersebut suatu lohong hitam mula muncul dan angin mula bertiup kencang di
kawasan sekitar perpustakaan Baitul Hikmah itu. Mereka kemudian disedut masuk secara serentak
ke dalam lohong hitam tersebut dan kembali ke tempat dimana mereka disedut semasa sebelum
sampai ke zaman Kerajaan Abbasiyah.

“Akhirnya, 2020!” Teriak Darina kegermbiraan melihat suasana Istana Al-Hambra yang
mereka lihat sebelum disedut masuk ke zaman Kerajaan Abbasiyah. “Ina, aku ingat aku nak sambung
belajar lah. Aku nak berbakti kepada agama kita ini dan mengangkat kembali martabat agama kita di
mata dunia dengan ilmu dan kajian-kajian yang akan aku buat nanti.” Kata Zulfa kepada Darina
dengan nada penuh bersemangat. “Hmmm kalau kau nak sambung belajar aku pun nak ikut jejak
kau sekali lah Fa.” Kata Darina yang mula berfikiran sama dengan Zulfa. Mereka berdua pulang ke
Malaysia pada keesokan harinya dan pada bulan berikutnya memulakan langkah menyambung
pelajaran mereka secara pengajian jarak jauh dalam bidang pilihan masing-masing.

- Tamat

Anda mungkin juga menyukai