Anda di halaman 1dari 9

1.

0 PENGENALAN KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL (KPP)


Konsep Komuniti Pembelajaran Profesional (KPP) dipilih sebagai salah satu inisiatif
dalam meningkatkan kualiti guru berdasarkan trend dan perkembangan Pendidikan di
negara- negara maju seperti Negara Jepun dan sebagainya. Inisiatif ini dipilih bagi tujuan
pemantapan pembelajaran professional dalam kalangan pendidik. Amin Senin (2018),
menerangkan antara kekuatan KPP termasuklah perkongsian pengalaman dan kepakaran
profesional di tempat masing-masing. Selain daripada itu juga, melalui pembudayaan
amalan ini dapat mengenal pasti permasalahan sebenar bilik darjah dan menyediakan
kaedah penyelesaian mengikut keperluan sebenar dan pendekatan ini boleh dilakukan
secara berterusan mengikut keperluan dan kesesuaian masa sekolah. Sekolah boleh
membawa masuk pihak berkepentingan dari luar sekolah ke dalam bilik darjah untuk
menterjemahkan kurikulum dan penyampaian kurikulum. Menurut Zuraidah Abdullah (2016),
Professional Learning Community (PLC) atau KPP merujuk kepada para pendidik yang
komited dan bekerja secara kolaboratif serta berterusan dalam membuat inkuiri dan kajian
tindakan untuk mencapat prestasi murid yang lebih baik. PLC adalah satu pembudayaan
sekolah yang menggalakkan pembelajaran guru secara kolaboratif untuk melaksanakan
penambahbaikan.

2.0 PENGENALAN PERKONGSIAN AMALAN DAN REKA CIPTA AKTIVITI (DE-


PRIVATISATION OF PRACTICE)

Antara elemen kritikal yang terdapat dalam Professional Learning Community (PLC)
adalah Perkongsian Amalan atau De-Privatisation of Practice. Dalam elemen ini, terdapat
beberapa strategi yang digunakan bagi menjalankan amalan Komuniti Pembelajaran
Profesional, (KPP) antaranya ialah Jelajah Pembelajaran (Learning Walks), Bimbingan
Rakan Sebaya Guru Atau Pembimbing Instruksi (Peer Coaching or Instructional Coaches),
Belajar Menggunakan Rancangan Pengajaran Harian (Lesson Study) dan akhir sekali Sesi
Perkongsian Guru (Teacher Sharing Sessions). Jelajah pembelajaran dijalankan dengan
cara guru akan berjalan di sekeliling sekolah dan memerhatikan pengajaran guru lain dan
aktiviti bilik darjah dengan menggunakan protokol atau fokus yang spesifik. Selain itu,
bimbingan rakan sebaya guru atau pembimbing instruksi pula dijalankan dengan
memerhatikan pengajaran guru lain secara sistematik dengan menggunakan kitaran
pra-konferens, pemerhatian dan pasca konferens (pre-conference, observation,
post-conference cycle). Seterusnya, belajar dengan menggunakan rancangan pengajaran
harian pula di mana sekumpulan guru secara usaha sama membina satu rancangan
pengajaran, diikuti dengan pengajaran atau memerhatikan pengajaran dan membuat
penambahbaikan semasa sesi pengajaran. Akhir sekali, sesi perkongsian guru pula
dijalankan di mana sekumpulan guru bertemu secara kerap untuk berkongsi amalan
pengajaran yang terbaik. Sebagai seorang guru yang komited, bagaimanakah kita ingin
menerapkan strategi PLC tersebut dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah? Sehubungan itu, guru perlu mereka cipta
aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dengan berbantukan pelbagai Bahan
Bantu Mengajar (BBM) berdasarkan strategi Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) iaitu
Perkongsian Amalan ini (De-Privatisation of Practice).

3.0 MELAKSANAKAN AKTIVITI JELAJAH GALERI (GALLERY WALK) DI DALAM BILIK


DARJAH

Jika para pendidik menjalankan Learning Walks, murid-murid boleh melaksanakan


aktiviti Gallery Walk yang merupakan antara satu strategi pengajaran yang sangat sesuai
untuk dipraktikkan bagi pembelajaran abad ke 21. Menurut Zubaidah Salamat (2011),
perbincangan secara berkumpulan, dan juga student- centred ini membolehkan murid untuk
berhubung secara aktif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pertama sekali,
murid akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan tajuk pengajaran hari tersebut
akan ditetapkan oleh guru. Sebagai contoh, guru menggunakan tajuk “Puasa di Bulan
Ramadhan” dan murid dibahagikan kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulan akan diberikan
tugas dan tajuk yang berbeza terdiri daripada Rukun Puasa, Syarat Sah Puasa dan Syarat
Wajib Puasa. Selepas itu, lebih kurang 20 minit masa diperuntukkan kepada murid untuk
menyediakan bahan pembentangan mereka sama ada ingin menghasilkan peta pemikiran
i-Think atau sebagainya mengikut kreativiti masing-masing. Guru mengarahkan murid
supaya membahagikan tugasan dengan baik supaya masa dapat dijimatkan. Murid juga
dibekalkan dengan marker, kertas mahjong, pensil warna, krayon dan beberapa lagi bahan
bantu. Selesai menyediakan bahan pembentangan, murid diberi masa untuk menampal
kertas mahjong mereka di sudut yang ditetapkan di dalam kelas. Setiap kumpulan
melakukan persediaan akhir dengan memilih seorang daripada kalangan mereka untuk
menjadi pembentang di sudut tersebut. Kumpulan tadi akan bergerak ke sudut lain mengikut
arah pusingan jam. Di samping itu, jika ada soalan daripada tetamu, pembentang akan cuba
sebaik mungkin untuk memberikan jawapan yang tepat. Setiap kumpulan hanya
diperuntukkan 5-7 minit bagi setiap sudut. Guru juga memberi kebebasan kepada murid
untuk membawa buku teks, buku nota dan bahan-bahan lain. Jika mereka berjaya
mengesan sebarang kesilapan atau tambahan yang boleh dilakukan pada persembahan
kawan mereka, mereka dibenarkan untuk menulis menggunakan marker.
4.0 MELAKSANAKAN AKTIVITI PEMBENTANGAN HASIL SENDIRI DI DALAM BILIK DARJAH

Mengikut Kamus Dewan, pembentangan bermaksud,” perbuatan memaparkan,


menghuraikan dan menerangkan sesuatu maklumat”. Menurut Zahizan Hasrin (2011), dalam
konteks pengajaran dan pembelajaran pembentangan pelajar bermaksud pelajar
memaparkan, menghuraikan dan menerangkan maklumat atau idea mengenai topik yang
dipelajari dalam bilik darjah. Aktiviti pembentangan hasil sendiri dijalankan dengan murid
membuat pembentangan untuk mempersembahkan hasil dapatan kepada keseluruhan
kelas. Sebagai contoh, secara berkumpulan murid dikehendaki untuk berbincang dengan
rakan- rakan dalam kumpulan mengenai tajuk yang diberikan oleh guru. Murid dikehendaki
menghasilkan bahan pembentangan sama ada menggunakan ICT atau bahan bukan ICT
seperti melukis peta pemikiran i-Think di atas kertas mah-jong. Seterusnya, murid-murid
yang lain akan menilai hasil kerja dan pembentangan rakan-rakan mereka dan guru akan
meminta wakil dari setiap kumpulan untuk memberi maklum balas setelah selesai
pembentangan dijalankan. Hal ini membolehkan murid membuat penambahbaikan dalam
hasil kerja dan pembentangan mereka. Selain itu, bentuk pembentangan ini melatih murid
untuk menyampaikan bahan mereka secara bersemuka dengan audiens. Menurut
Masyuniza Yunos (2015), murid bukan sahaja berusaha untuk menyampaikan mesej, murid
juga meningkatkan tahap keyakinan diri untuk berucap. Di samping itu, dengan kaedah
pembentangan murid dapat belajar secara koperatif di mana elemen koperatif dapat
membantu murid mencambah idea dengan lebih tersusun secara berdisiplin. Percambahan
idea murid lebih tersusun apabila perbincangan secara koperatif digunakan seperti Round
Table, Rally Robin dan Think Pair Share (Mohamad Najib Abdul Ghafar, 2010). Aktiviti
pembentangan ini juga akan memudahkan guru untuk membuat penilaian dengan lebih jelas
sama ada dari segi penggunaan bahasa, pengetahuan isi kandungan, kemahiran mahupun
kreativiti murid. Selain itu, dapat memudahkan sumbangsaran bahan kerana pada tahap ini
murid sedang melalui pembelajaran berasaskan inkuiri di mana murid mencari maklumat
tentang topik yang dipelajari dan dikongsikan dengan rakan-rakan yang lain. Akhir sekali
dapat melatih murid menggunakan bahasa yang betul. Murid perlu berkomunikasi dengan
penggunaan bahasa yang betul dan mesej yang tepat agar maklumat yang ingin
disampaikan dapat difahami oleh audiens.
5.0 MELAKSANAKAN AKTIVITI MENTOR MENTEE DALAM KALANGAN MURID DI
DALAM BILIK DARJAH

Aktiviti mentor mentee boleh dijalankan dalam kalangan murid di mana murid yang
cemerlang menjadi mentor kepada murid yang lemah di dalam bilik darjah. Guru boleh
memilih para murid yang memperoleh keputusan yang cemerlang dalam subjek yang
tertentu untuk memberi tunjuk ajar kepada murid yang mempunyai prestasi yang kurang
cemerlang. Menurut Abdul Rahim Hamdan (2007), matlamat utama diadakan Program
Mentor Mentee ialah untuk mewujudkan saluran perhubungan untuk membolehkan murid
mengadu sebarang masalah khususnya dalam hal-hal akademik. Murid bertanggungjawab
untuk memahami dan memenuhi keperluan kurikulum pengajiannya dan hendaklah
mendapatkan nasihat sewajarnya. Usaha seperti itu perlu dilaksanakan bagi membantu
pelajar mengatasi kelemahan yang dihadapi dalam aspek akademik secara berterusan.
Dalam aspek murid pula, guru boleh menjalankan program mentor mentee dalam kalangan
murid di mana murid yang cemerlang berpeluang untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan
dengan murid yang lemah. Akan tetapi, program ini sebaiknya dijalankan kepada
murid-murid tahap 2 kerana mereka lebih mudah untuk memahami arahan daripada guru.
Dengan cara ini, guru boleh menggalakkan komunikasi dalam kalangan murid dan aktiviti
berkumpulan yang sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan kecemerlangan murid.
Menerusi program ini, mentee akan sentiasa berurusan dengan mentor dalam pelbagai
perkara. Selain itu juga, sistem ini akan mengeratkan hubungan antara mentee dengan
mentor. Di samping itu juga, menurut Aliza Ali dan Zamri Mahamod (2015), mentee dan
mentor hendaklah berjumpa dan membuat pertemuan apabila perlu untuk berbincang
mengenai program pengajian dan hal- hal lain yang berkenaan. Akhir sekali, tugas guru
hanyalah sebagai fasilitator dan pemudah cara bagi murid-murid. Murid-murid yang akan
menjalankan aktiviti supaya mereka dapat merasai sendiri pengalaman dalam proses
pengajaran dan pembelajaran (PdP).
6.0 RUMUSAN

Secara kesimpulannya, aktiviti dalam perkongsian amalan dapat diterapkan dalam


aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah terhadap murid-murid.
Sebagai seorang guru, kita mestilah kreatif dalam merancang dan mereka cipta aktiviti PdP
bagi memastikan keberkesanan proses PdP terhadap murid-murid. Komuniti Pembelajaran
Profesional (PLC) dapat membantu guru dan murid dalam melakukan gerak kerja secara
kolaboratif serta berterusan dalam membuat inkuiri atau kajian tindakan untuk mencapai
prestasi murid yang lebih baik.
7.0 SUMBER RUJUKAN

Abdul Rahim Hamdan . (2007). Pengajian Kurikulum. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

Aliza Ali & Zamri Mahamod. (2015). Pendekatan berasaskan bermain bagi pengajaran dan
pembelajaran. Kuala Lumpur: PTS Publication Sdn.Bhd.

Amin Senin. (2018). Melangkah ke hadapan : Fokus dan gerak kerja profesional. Putrajaya:
Kementerian Pendidikan Malaysia.

Masyuniza Yunos. (2015). Hubungan sikap dan persepsi murid terhadap pembelajaran abad
ke 21. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

Mohamad Najib Abdul Ghafar. (2010). Pembangunan Organisasi Pendidikan. Skudai:


Universiti Teknologi Malaysia.

Zubaidah Salamat . (2011). Kepimpinan Pengajaran dan Amalan Komuniti Pembelajaran


Profesional di Sekolah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Zuraidah Abdullah. (2016). Komuniti Pembelajaran Profesional di Malaysia : Amalan penambaikan


di sekolah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Anda mungkin juga menyukai