Anda di halaman 1dari 4

2.

0 Teori Atribusi-Motivasi Pencapaian Weiner


 
Atribusi boleh dianggap sebagai satu cabang atau pendekatan motivasi berbentuk kognitif. Teori
ini berandaian manusia akan berusaha untuk memahami, menjelas serta meramalkan situasi yang
akan berlaku berdasarkan kepada persepsi kognitif atau pemikiran mereka. Manusia
berkeinginan untuk menjelaskan apa yang berlaku berdasarkan kepada persepsi mereka tentang
sebab ia berlaku. Teori atribusi berkait rapat dengan teori motivasi dan hal ini akan dijelaskan
berdasarkan pembinaan model, atribut penyebab dan isu egosentrik dalam atribusi.
 
2.1 Pengasas model atribusi
 
Fritz Heider (1944, 1958) merupakan pengasas Teori Atribusi. Beliau berandaian manusia
berusaha untuk meramal dan memahami perjalanan hidup seharian bagi memudahkan jangkaan
serta kestabilan hidup. Berdasarkan model tersebut, sebarang keputusan yang terhasil boleh
diatributkan secara dalaman kepada individu (pengaruh individu) atau secara luaran kepada
persekitaran (pengaruh persekitaran). Pengaruh individu yang efektif terdiri daripada faktor
kebolehan dan faktor usaha, sementara pengaruh persekitaran yang efektif pula terdiri daripada
faktor tahap kesukaran tugasan dan faktor nasib.
 
Menurut operasi model ini,interaksi di antara pengaruh individu dan pengaruh persekitaran akan
berlaku dan menghasilkan satu dimensi baru yang dikenali sebagai boleh atau tidak boleh.
 
 
 
 
Sebagai contoh, sekiranya sesuatu tugasan agak sukar untuk dilaksanakan tetapi ia dapat
dilaksanakan dengan baik maka ia mungkin disebabkan faktor kebolehan individu yang tinggi.
Sementara itu, faktor nasib yang merupakan faktor tidak stabil, boleh memasuki situasi atribusi
dengan pelbagai cara. Ia merupakan faktor yang mampu mengubah keputusan secara mendadak
serta sukar untuk diramal dan faktor nasib juga bergantung kepada tafsiran individu. Keempat-
empat faktor ini iaitu usaha, kebolehan, tahap kesukaran tugasan dan nasib bergabung dan
membentuk perlakuan yang boleh diatributkan sebabnya oleh seseorang individu. Justeru, Heider
menjelaskan bahawa pengaruh individu dan pengaruh persekitaran bergabung, seterusnya
menghasilkan perlakuan yang diingini.
 
2.2 Model atribusi-motivasi Weiner
 
 
 
Weiner (1972) memudahkan lagi pemahaman kita tentang Teori Atribusi dengan membuat
sedikit penambahan kepada asas yang telah dibina oleh Heider (1944, 1958). Dengan mengambil
empat faktor atribusi iaitu usaha, kebolehan, tahap kesukaran tugas dan nasib, Weiner mengatur
semula keempat-empat faktor tersebut menjadi dua dimensi penyebab yang utama iaitu
kestabilan dan lokus kawalan.
 
2.2.1 Dimensi sebab dan kesan
 
Weiner telah mengkategorikan atribusi pencapaian kepada tiga dimensi. Setiap dimensi
berbentuk bipolar. Pertama, dimensi lokus sebab yang dianggap berkaitan dengan ciri-ciri dan
tingkah laku pelajar yang juga dikenali sebagai dalaman dengan sebab yang berkaitan dengan
faktor persekitaran atau luaran pelajar. Dimensi ini mempunyai persamaan dengan teori kawalan
lokus.
 
Dimensi kedua ialah kestabilan yang dilihat dari segi setakat mana sesuatu sebab akan berulang
bagi peristiwa pencapaian yang sama. Sekiranya sesuatu sebab dianggap bersifat sementara dan
tidak akan berulang pada masa akan datang maka ia adalah tidak stabil. Sebaliknya jika sebab
tersebut diangggap berkekalan dan tidak akan berubah maka ia dikatakan stabil. Terdapat
penyelidik lain yang melihat kestabilan dari sudut global iaitu merentasi situasi atau merangkumi
banyak bidang pencapaian. Namun begitu sudut ini tidak diberi perhatian di dalam teori atribusi
Weiner.
 
Dimensi ketiga ialah kawalan, iaitu sama ada sesuatu sebab yang diberikan itu boleh dikawal
atau tidak boleh dikawal oleh pelajar atau orang lain. Weiner juga mengemukakan dimensi ini
dari aspek niat pelaku sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Tetapi aspek niat pelaku tidak
begitu diberi tumpuan di dalam kajian atribusi pencapaian.
 
2.2.2 Lokus kawalan
 
Lokus kawalan dalaman dan luaran dikaitkan dengan sebab sesuatu itu terjadi. Ringkasnya,
individu atau pelajar yang lokus kawalannya didorong oleh faktor dalaman akan beranggapan
bahawa setiap keputusan yang dicapai samada berjaya atau gagal adalah kerana daya usaha
sendiri. Jika dirinya rajin, mahir, tepat perhitungan, maka tidak ada sebab dia tidak boleh
berjaya. Sementara pelajar yang lokus kawalannya didorong oleh faktor luaran percaya bahawa
setiap keputusan yang berlaku ditentukan oleh faktor luaran seperti nasib, pertolongan orang lain
dan sebagainya. Jika dirinya gagal, dia akan menyalahkan faktor luaran tadi kerana telah
menggagalkan usahanya.
2.2.3 Lokus kawalan dalaman berdasarkan kestabilan
 
Weiner menyusun semula keempat-empat faktor utama dimensi penyebab kepada empat
klasifikasi yang baru. Usaha diklasifikasikan sebagai faktor dalaman yang tidak stabil kerana ia
boleh berubah mengikut keadaan., manakala kebolehan diklasifikasikan sebagai faktor dalaman
yang stabil. Kedua-dua faktor ini dianggap sebagai faktor dalaman kerana ia bersifat personal.
 
Contohnya, apabila seseorang pelajar bermotivasi untuk mencapai keputusan yang cemerlang,
pelajar ini akan melipatgandakan usaha untuk mencapai apa yang diingininya. Sebaliknya, jika
seseorang pelajar tidak bermotivasi untuk mencapai sesuatu tahap, usaha beliau sudah pasti
menurun. Justeru, faktor usaha dianggap tidak stabil kerana ia boleh berubah-ubah mengikut
tahap motivasi individu tersebut, manakala kebolehan pula dianggap stabil kerana ia tetap dan
tidak akan berubah. Contohnya, Suria boleh menunggang basikal, tetapi hampir dua tahun dia
tidak menunggang basikal, namun masih lagi mampu menunggangnya dengan baik. Ini
menunjukkan kebolehan dianggap sesuatu yang stabil kerana tidak akan berubah.
 
2.2.4 Lokus kawalan luaran berdasarkan kestabilan
 
Berdasarkan lokus kawalan, tahap kesukaran tugas serta nasib dianggap sebagai faktor luaran
dan faktor tahap kesukaran tugas dianggap stabil kerana faktor ini tidak berubah. Contohnya,
seorang pelajar Tingkatan 3, bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)
hendak berpindah ke sekolah lain, pelajar ini tetap akan menduduki peperiksaan yang sama di
mana tahap kesukaran soalan tersebut masih sama walaupun di sekolah lain kerana soalan
peperiksaan telah diselaraskan seluruh Malaysia. Faktor nasib pula dianggap sebagai tidak stabil
kerana ada kalanya nasib tidak menyebelahi kita dan kadang kala nasib juga akan menyebelahi
kita. Justeru, nasib dianggap sebagai elemen lokus kawalan luaran yang tidak stabil.
 
Kesimpulan dari teori Weiner menunjukkan bahawa individu yang tinggi motivasi
pencapaiannya akan kuat berusaha untuk berjaya di samping kebolehan yang sedia ada,
manakala individu yang rendah motivasi pencapaiannya akan meletakkan faktor nasib dan
kesukaran kerja sebagai penentu kejayaan

Anda mungkin juga menyukai