Anda di halaman 1dari 9

CABARAN PENERAPAN PEMBELAJARAN ABAD KE-21 DALAM MATA

PELAJARAN SAINS
Nur Syahfika Abdul Shukor & Zolkepli Harun
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak
Pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) bertujuan untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan melalui
keberhasilan pelajar yang menguasai pengetahuan, kemahiran dan nilai serta mampu berdaya
saing di peringkat antarabangsa. Pembelajaran abad ke-21 merupakan satu kaedah pengajaran
dan pembelajaran yang lebih dinamik dan kreatif dengan kandungan pengajaran yang relevan
mengikut perkembangan semasa. Sesuai dengan keperluan dalam industri yang memerlukan
modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran, North Central Regional Educational
Laboratory (NCREL) dan Metiri Group telah memperkenalkan model pendidikan abad ke-21
iaitu dikenali sebagai enGauge 21st Century Skills. Model pendidikan menjadi teras kepada
PAK-21 ini merangkumi empat kemahiran yang diperlukan dalam diri guru dan pelajar iaitu
literasi ICT, pemikiran inventif, kemahiran berkomunikasi dan keberhasilan produktiviti.
Pembelajaran abad ke-21 adalah rupa dan bentuk pendidikan yang sesuai dengan generasi
abad ke-21. Inisiatif pembelajaran abad ke-21 dilaksanakan secara rintis pada tahun 2014
sebelum pelaksanaan lebih luas pada tahun 2015. Bersesuaian dengan konteks tempatan,
KPM menyatakan tiga kemahiran yang perlu dikuasai dalam PdP abad ke-21 iaitu kemahiran
pembelajaran dan inovasi, kemahiran maklumat, media dan teknologi dan kemahiran hidup
dan kerjaya. Antara ciri-ciri pembelajaran abad ke-21 adalah komunikasi, pemikiran kritis,
kolaborasi dan kreativiti. Kertas kerja ini membincangkan dua cabaran pendidikan abad ke-21
iaitu bagaimana guru mengaplikasi pelbagai sumber sokongan teknologi dan maklumat untuk
menyediakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan serta sesuai dengan
perkembangan semasa dan cabaran menyediakan pembelajaran yang menjurus ke arah
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) Selain itu, kertas kerja ini turut membincangkan
cadangan penekanan kemahiran pedagogi abad ke-21.
Kata kunci: Pembelajaran abad ke-21, sains

PENGENALAN
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermatlamat menyediakan pelajar dengan
pengetahuan dan kemahiran abad ke-21 dan berfokus kepada pembangunan modal insan serta
menyediakan pendidikan bertaraf antarabangsa (KPM, 2014a). Globalisasi menuntut sistem
pendidikan yang selari dengan kemajuan teknologi. Menurut National Association of Colleges
and Employers (NACE) (2014), menyatakan lima kemahiran utama yang diperlukan untuk
penjawat baru adalah kepimpinan, kemahiran bekerja berkumpulan, kemahiran komunikasi,
kemahiran menyelesaikan masalah dan etika bekerja yang tinggi. Lima kemahiran tersebut
perlu dibangunkan dalam diri pelajar untuk menyediakan pelajar mampu bersaing di dunia
yang sebenar. Oleh yang demikian, perubahan dalam sistem pendidikan berlaku dalam usaha
menyediakan pelajar dengan tuntutan dalam dunia sebenar.
Tersentak dengan penurunan kedudukan pencapaian dalam pentaksiran antarabangsa iaitu
Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International
Students Assessment (PISA) pada tahun 2011 serta menyedari sistem pendidikan negara perlu
dirombak semula sesuai dengan perkembangan dunia teknologi serba canggih, KPM telah
memperkenalkan dasar baru menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025. Menurut KPM (2014a), untuk meningkatkan kualiti dalam pendidikan adalah
dengan memperkenalkan pembelajaran abad ke-21. Seiring dengan perkembangan teknologi
410
maklumat dan komunikasi (ICT) dan akses kepada internet yang maju, kaedah pembelajaran
perlu disusun rapi perlu mengikut arus tersebut. Pembelajaran abad ke-21 merupakan satu
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih dinamik dan kreatif dengan kandungan
pengajaran yang relevan mengikut perkembangan semasa. Ini kerana pelajar masa kini
terdedah dengan teknologi serta mempunyai akses terhadap maklumat yang tinggi, memberi
cabaran kepada guru bagi memastikan kaedah pembelajaran yang disediakan dapat menarik
minat pelajar. Oleh yang demikian, guru perlu menyediakan satu kaedah pembelajaran lebih
menarik dan fleksibel yang sesuai dengan minat pelajar terhadap perkembangan dunia
teknologi.
North Central Regional Educational Laboratory (NCREL) dan Metiri Group (2003) telah
memperkenalkan model pendidikan abad ke-21 iaitu dikenali sebagai enGauge 21st Century
Skills yang merangkumi empat kemahiran yang diperlukan dalam diri guru dan pelajar iaitu
literasi ICT, pemikiran inventif, kemahiran berkomunikasi dan keberhasilan produktiviti.
Inisiatif pembelajaran abad ke-21 dilaksanakan secara rintis pada tahun 2014 sebelum
pelaksanaan lebih luas pada tahun 2015. Bersesuaian dengan konteks tempatan, KPM
menyatakan tiga kemahiran yang perlu dikuasai dalam PdP abad ke-21 iaitu kemahiran
pembelajaran dan inovasi, kemahiran maklumat, media dan teknologi dan kemahiran hidup
dan kerjaya. Antara ciri-ciri pembelajaran abad ke-21 adalah komunikasi, pemikiran kritis,
kolaborasi dan kreativiti. Selain itu, pembelajaran abad ke-21 bertujuan menggantikan kaedah
pengajaran konvensional contohnya kaedah chalk-and-talk, tiada komunikasi dua hala dan
lebih menumpukan penguasaan pengetahuan mata pelajaran pelajar semata.
Bukan itu sahaja, cabaran pendidikan abad ke-21 adalah bagaimana guru mengaplikasi
pelbagai sumber sokongan teknologi serta maklumat untuk menyediakan pengajaran dan
pembelajaran (PdP) yang berkesan serta sesuai dengan perkembangan semasa dan
menyediakan pembelajaran yang menjurus ke arah kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)
(KPM, 2014a). Justeru itu, kertas konsep ini memberi fokus terhadap dua cabaran tersebut
yang dihadapi guru dalam menyediakan pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) khususnya bagi
mata pelajaran sains. Selain itu, kertas konsep ini turut membincangkan cadangan penekanan
kemahiran pedagogi abad ke-21.

JUSTIFIKASI ISU
Dalam PPPM 2013-2015 ada menggariskan 6 aspirasi murid yang perlu dikuasai oleh pelajar
iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran, memimpin, kemahiran komunikasi,
kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional. PAK-21 merangkumi
kesemua aspek tersebut dan menyediakan satu PdP yang menggalakkan dan memberi ruang
pelajar untuk menguasai 6 aspirasi tersebut (KPM, 2014a). Dalam menghadapi cabaran abad
ke-21, KPM melaksanakan PAK-21 turut menekankan penerapan KBAT dalam PdP yang
bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan melahirkan pelajar yang berkualiti
serta berpengetahuan dan berkemahiran.
Guru merupakan barisan hadapan dalam pelaksanaan setiap dasar yang digariskan oleh KPM.
Dalam menyediakan satu PdP sebelum proses pembelajaran berlaku guru memerlukan
pengetahuan yang luas mengenai kaedah pengajaran yang ingin digunakan. Ini kerana guru
menjadi faktor penyumbang terhadap minat pelajar untuk mempelajarai mata pelajaran sains
(Zarah Ahmad et al., 2014). Menurut Kamisah Osman dan Simranjeet (2014), kaedah
pengajaran yang sesuai boleh meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran sains.
Oleh itu, guru perlu menggunakan pendekatan pembelajaran yang sesuai untuk memastikan
pembelajaran dilaksanakan berkesan dan meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata
pelajaran sains. Bukan itu sahaja, kemahiran berfikir aras tinggi dalam sains dapat
menggalakkan pembelajaran sains dari segi kognitif dan melatih pelajar membuat aplikasi,

411
analisis, sintesis serta kemampuan menilai maklumat seterusnya membentuk pelajar menjiwai
ilmu sains secara meta kognitif (Suhanna Zainudin & Zanaton Ikhsan, 2015).
Dari sisi pencapaian pelajar Malaysia dalam pentaksiran di peringkat antarabangsa iaitu
TIMSS 2015, skor mata pelajaran sains Malaysia menunjukkan peningkatan tertinggi
berbanding peningkatan skor negara lain yang terlibat (KPM, 2016). Meskipun kedudukan
Malaysia meningkat ke peringkat pertengahan namun masih belum mencapai kedudukan yang
membanggakan. Ini kerana apabila merujuk kepada hasil kohort pertama yang menggunakan
dasar kurikulum baharu iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang
mengaplikasikan item pentaksiran KBAT sebanyak 40%, hasilnya pencapaian pelajar tidak
memberansangkan. Hanya seramai 4, 869 calon yang mendapat keputusan cemerlang semua
A iaitu 1.11 peratus daripada 452,721 calon yang menduduki Ujian penilaian sekolah rendah
(UPSR). Keputusan UPSR memberi petunjuk masih banyak kelemahan yang perlu ada
penambahbaikkan daripada segi pelaksanaan KBAT itu sendiri. Justeru itu, kertas konsep ini
bertujuan untuk membincangkan cabaran yang dihadapi guru dalam menerapkan PAK-21
yang merangkumi penyediaan PdP yang efektif dan releven dengan perkembangan semasa
dan penyediaan pembelajaran yang menjurus kepada penerapan KBAT dalam PdP.

CABARAN PEMBELAJARAN ABAD KE-21 (PAK-21)


Cabaran penggunaan sumber teknologi bagi menyediakan Pengajaran dan
Pembelajaran (PdP)
Pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) perlu menjurus kepada penggunaan sumber teknologi
bagi menyediakan PdP yang efektif dan fleksibel. Guru sains masih menggunakan kaedah
konvensional dan bahan pengajaran terhad kepada penggunaan buku teks serta proses
pembelajaran masih menggunakan teknik hafalan dan tertumpu kepada pengetahuan sains
sahaja. PAK-21 memerlukan seorang guru yang kreatif dan inovasi dalam menyediakan PdP
yang hendak dijalankan. Integrasi ICT dalam PdP terutamanya mata pelajaran sains adalah
relevan kerana pelajar lebih mudah faham sesuatu pengajaran apabila guru menggunakan
kaedah tersebut. Guru mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap penggunaan ICT
dalam PdP tetapi kurang mengaplikasikan dalam bilik darjah (Johari, Nor Hasniza & Suraya,
2014). Kesediaan guru dari segi pengetahuan dan kemahiran untuk menggunakan ICT
merupakan antara cabaran yang dihadapi untuk menerapkan PAK-21. Selain itu, PAK-21 ini
turut menggalakkan penggunaan perbincangan atas talian contohnya melalui e-mail atau
aplikasi seperti whatsapp dan telegram. Penggunaan laman sosial dalam pengajaran dan
pembelajaran menunjukkan keberkesanan dalam meningkatkan motivasi dan kefahaman
pelajar (Nur Syazwani Abdul Talib et al., 2015). Kekurangan pengalaman dan kemahiran
dalam menghasilkan perisian pendidikan sains seperti membina dan membangunkan laman
web dan menghasilkan bahan pengajaran atas talian (Johari, Nor Hasniza & Suraya, 2014)
telah membataskan dalam menyediakan PdP yang menarik. Pemupukan kemahiran proses
sains bergantung kepada kaedah pengajaran dan bahan pengajaran yang digunakan.
Pengintegrasian ICT dengan menggunakan media dalam PdP dapat meningkatkan penguasaan
kemahiran proses sains pelajar secara umum dan spesifik (Rian Vebrianto & Kamisah Osman,
2012). Ini kerana kebanyakan guru berpengalaman kurang terdedah dengan teknologi kerana
berada dalam era yang berbeza. Faktor guru yang kurang arif kaedah pengajaran yang terkini
dan bersesuaian dalam mencapai objektif pembelajaran yang ingin dicapai antara punca
kenapa guru tidak dapat menyediakan PdP yang menggunakan teknologi. Teknologi tidak
tertumpu kepada penggunaan media seperti tayangan video atau gambar malah penggunaan
perisian terkini seperti perisian Frog-VLE dan Virtual Lab boleh digunakan dengan meluas.
Penggunaan teknologi ICT dapat meningkatkan keyakinan dan minat pelajar untuk belajar
(Siti Zuraida et al., 2013).

412
Selain itu, kemudahan seperti komputer dan LCD serta penyelenggaraannya yang kurang baik
menjadi cabaran kepada guru untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Semua
sekolah disediakan kemudahan namun aspek penyelenggaraan dan pengurusan
penggunaannya yang kurang berkesan mengakibatkan banyak komputer dan kemudahan lain
rosak dan tidak berfungsi dengan baik. Ini seterusnya mengehadkan penggunaan ICT dalam
bilik darjah. Bukan itu sahaja, kekangan dari aspek akses kepada internet menjadi cabaran
kepada guru. Masalah ini banyak dihadapai terutamanya guru di luar bandar dan pendalaman,
meskipun disediakan tetapi masih terhad. Bukan itu sahaja, kurangnya guru yang mempunyai
pengetahuan yang mendalam terutamanya penggunaan ICT antara cabaran lain dalam PAK-
21. Kekurangan guru yang mempunyai literasi ICT menjadi cabaran untuk mengintegrasikan
ICT dalam PdP (Johari, Nor Hasniza & Suraya, 2014).
Antara cabaran lain adalah kekurangan latihan dan pendedahan yang memberi fokus kepada
pengintegrasian ICT dalam PdP mata pelajaran sains. Teknik, kaedah dan penggunaan ICT
yang sesuai dan berkesan untuk pengajaran mengikut tahap kesukaran dan objektif sesuatu
topik pembelajaran sains. Guru Sains hanya digalakkan untuk mengintegrasi ICT dan
dicadangkan beberapa perisian oleh pihak kementerian namun bukan semua guru diberi
latihan dan kemahiran yang menyeluruh untuk mengaplikasikan di bilik darjah. Latihan yang
disediakan tidak mencukupi serta tiada pemantauan yang rapi dan berkala terhadap semua
sekolah di Malaysia bagi memastikan latihan yang disediakan bermanfaat dan menjadi nilai
tambah kepada semua guru. Guru perlu mengambil inisiatif sendiri untuk menguasai perisian
yang disediakan oleh KPM. Oleh yang demikian, amalan guru dalam mengintegrasikan ICT
dalam PdP masih di tahap sederhana (Johari, Nor Hasniza & Suraya, 2014).

Cabaran dalam menyediakan pembelajaran yang menjurus ke arah kemahiran berfikir


aras tinggi (KBAT)
Menurut Ismail (2016), kepentingan menerapkan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar
telah mendorong KPM untuk memantapkan lagi usaha ke arah untuk menghasilkan modal
insan yang kreatif dan inovatif. Ini bertujuan untuk menyediakan pelajar untuk bersaing dan
menghadapi cabaran abad ke-21. Menyedari kepentingan kemahiran berfikir, pendidik di
seluruh dunia telah mengkaji mengenai kaedah pengajaran kemahiran berfikir (Nor Razah,
2011). Sistem pendidikan negara sebelum ini telah menerapkan kemahiran berfikir melalui
kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) dalam kurikulum bersepadu sekolah
rendah (KBSR) dan kurikulum bersepadu sekolah menengah (KBSM) namun sesuai dengan
menghadapi cabaran abad ke-21 KPM telah memperkenalkan KBAT iaitu satu kemahiran
yang mengupayakan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam
membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan,
berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu (KPM, 2013).
Dalam kajian dijalankan oleh Nurazidawati, Tuan Mastura & Kamisah Osman (2011)
menunjukkan terdapat pelajar yang tidak tahu untuk menzahirkan idea walaupun mempunyai
idea yang baik. Pencapaian akademik pelajar dalam subjek sains dan matematik dipengaruhi
oleh keupayaan pelajar untuk menggunakan kemahiran berfikir pada aras tinggi (Rosli et al.,
2015). Justeru itu, tahap penguasaan terhadap kemahiran berfikir aras rendah (KBAR)
mempengaruhi tahap penguasaan KBAT pelajar. Guru menghadapi cabaran untuk
menerapkan KBAT kepada pelajar kerana pelajar masih belum bersedia menguasai KBAR.
KBAR adalah kemahiran pada aras penguasaan pengetahuan, memahaminya serta
kemampuan menggunakan pengetahuan tersebut dalam situasi baru. Oleh yang demikian,
pelajar perlu menguasai KBAR dahulu sebelum mampu menguasai KBAT. Persediaan guru
dalam menyediakan PdP yang menerapkan KBAT terbatas apabila tahap pelajar yang tidak
membantu dan belum mencapai untuk pelajar mampu menerima PdP tersebut. Pelajar lebih
terdorong terhadap KBAR kerana lebih mudah di fahami kerana pembelajaran hanya di paras
pengetahuan paras paling rendah mengikut taksonomi Blooms.
413
Selain itu, guru mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi terhadap elemen KBAT
namun atas faktor kekangan masa dan bebanan kerja mengehadkan penerapan KBAT dalam
PdP (Wan Ismail, Hamzah & Lubis, 2016). Kekangan masa berpunca dari pelajar mengambil
masa yang lama dalam memberi tindak balas kepada soalan beraras tinggi daripada guru. Ini
seterusnya merencatkan proses perkembangan PdP di dalam bilik darjah. Selain itu, bebanan
kerja guru yang menjadi rungutan banyak guru memberi kekangan untuk mengaplikasikan
KBAT dalam PdP. Ini kerana dalam menyediakan PdP yang menerapkan KBAT memerlukan
persediaan yang rapi dari segi bahan pengajaran, alat pemikiran serta teknik dan kaedah yang
bersesuaian dengan faktor fizikal bilik darjah dan tahap pelajar. Guru turut menghadapi
kekangan dari segi untuk menghabiskan silibus pembelajaran. Ini kerana untuk menerapkan
KBAT dalam PdP mengambil masa yang banyak. Atas faktor ini guru menghadapi cabaran
untuk menerapkan KBAT dalam PdP yang dirancang. Akhirnya pembelajaran untuk
menggalakkan pelajar untuk menguasai KBAT tidak dapat dilaksanakan dan terbatas.
Bukan itu sahaja, kurang persediaan daripada guru menyebabkan penerapan KBAT tidak
berlaku dalam proses PdP di bilik darjah. Kebanyakkan guru masih kurang faham maksud,
kegunaan model-model dari program KBAT, pendekatan yang digunakan kerana kurang
diberi pendedahan menyebabkan guru masih menggunakan pendekatan yang lama (Norakma,
Abdul Razak & Noria, 2015). Menurut kajian Wan Ismail et al. (2016) guru kurang menyoal
pelajar menggunakan soalan pada aras tinggi kerana faktor guru kurang menyediakan soalan
yang menggalakkan pelajar berfikir pada aras tinggi dan lebih terdorong menyoal secara terus
(direct questions). Teknik soal jawab yang menggunakan soalan beraras tinggi dalam PdP
dapat menggalakkan penglibatan pelajar yang pasif secara langsung dalam menerapkan
KBAT secara menyeluruh. Penglibatan pelajar melalui respon terhadap penyoalan diberikan
oleh guru pada tahap kerang memberansangkan (Nur Amanah & Zanaton Ikhsan, 2015). Guru
perlu kreatif dalam menggunakan teknik penyoalan dalam memberi peluang kepada pelajar
untuk berfikir di aras yang lebih tinggi yang memerlukan pelajar menganalisis dan
menyelesaikan masalah.

CADANGAN
Kemahiran Pedagogi abad ke-21
Vadsala & Kamisah Osman (2015) mencadangkan untuk memberi lebih pendedahan dan
latihan kemahiran kepada guru untuk meningkatkan kualiti penyediaan PdP sains. Seramai
268,589 orang guru telah dilatih untuk menguasai kemahiran pedagogi abad ke-21 yang
memberi fokus kepada penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan
murid (KPM, 2015). Ini merupakan satu usaha intensif yang diambil oleh KPM dalam
meningkatkan kualiti guru. Menurut KPM (2016), sebagai langkah intensif untuk
meningkatkan kualiti pendidik penekanan terhadap penggunaan kemahiran pedagogi abad ke-
21 telah dicadangkan. Terdapat empat elemen yang ditekankan dalam kemahiran pedagogi
abad ke-21 adalah komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan pemikiran kritis berasaskan
kemahiran abad ke-21.
Elemen pertama yang perlu dikuasai oleh guru adalah kemahiran komunikasi ketika
menjalankan PdP. Kemahiran komunikasi penting kerana dalam melaksanakan pembelajaran
komunikasi perlu berlaku secara dua hala dengan pelajar dan penyampaian maklumat perlu
berlaku. Kemahiran komunikasi turut penting dalam memastikan pelajar faham isi pengajaran
disampaikan oleh guru. Maklumat dan infromasi disampaikan dengan jelas dan teratur akan
menggalakkan minat pelajar untuk terlibat dalam proses PdP yang dijalankan oleh guru.
Pembelajaran lebih menarik dengan penjelasan yang menggunakan ayat yang mudah difahami
berserta contoh yang hampir dan berkaitan dengan persekitaran pelajar turut membantu proses
PdP. Selain itu, guru perlu memastikan semua pelajar terlibat dalam proses PdP dan
menggalakkan penyertaan dan penglibatan pelajar dalam pembelajaran. Kegagalan
414
berinteraksi atau mendapat maklum balas daripada guru menyebabkan pelajar kurang
bermotivasi untuk mempelajari sains (Norhaiza, 2016).
Elemen kedua adalah kolaborasi iaitu merujuk kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran
yang menggunakan kaedah kolaborasi. Penyediaan PdP yang menggalakkan aktiviti
kolaboratif boleh memastikan penglibat pelajar yang pasif dalam bilik darjah. Melalui kaedah
ini guru boleh meningkatkan keberkesanan PdP yang dijalankan kerana kaedah ini turut
berpusatkan pelajar. Pelajar terlibat secara aktif dan proses pembelajaran berlaku hasil
daripada interaksi pelajar-pelajar dan pelajar-guru. Selain itu, penerapan KBAT dapat
dilaksanakan dengan maksimum mengunakan kaedah kolaboratif. Antara contoh aktiviti yang
boleh di jalankan adalah seperti:
Think-Pair-Share
Guru memberikan topik dan murid berfikir sendiri dalam jangka masa tertentu.
Masa tamat dan murid berkongsi idea bersama pasangan.
Murid seterusnya berkongsi idea dengan keseluruhan kelas.

Three Stray, One Stay

Kaedah alternatif pembentangan kumpulan.

Hasil kerja ditampal.

Seorang ahli kumpulan akan tinggal di situ untuk memberi penerangan.

Ahli lain boleh bergerak ke kumpulan lain untuk melihat dan menyoal hasil kumpulan lain.

Elemen ketiga adalah kreativiti guru dalam menyediakan satu kaedah PdP yang menarik,
berkesan dan releven dengan perkembangan semasa. Kreativiti guru yang tiada had
membuatkan sesuatu proses PdP dapat dijalankan dengan sangat menarik. PdP boleh berlaku
di dalam mahupun di luar bilik darjah. Kaedah dan strategi digunakan bersesuaian dengan
tahap dan gaya pembelajaran pelajar. Pembelajaran menggunakan ICT antara yang menarik
minat pelajar masa kini yang gemar dengan ICT. Guru yang kreatif mampu menjana
pemikiran pelajar untuk berfikir di luar kemampuan pelajar. Ini kerana guru telah dapat
mengenal pasti kelebihan yang dimiliki pelajar dan berupaya mengeluarkan potensi tersebut
dari diri pelajar. Kreativiti guru tidak terhad kepada kaedah atau strategi yang digunakan
tetapi merangkumi alat dan bahan bantu mengajar yang mampu meransang KBAT dalam
proses PdP.
Elemen yang terakhir adalah berfikiran kritis. Sebelum guru ingin menerapkan pemikiran
beraras tinggi, guru terlebih dahulu berfikir secara kritis. Ini kerana guru perlu memahami dan
menguasai kesemua elemen, model, strategi dan kaedah berkaitan KBAT sebelum dapat
megaplikasikan dalam PdP yang dirancang bergantung kepada kesesuaian dan keperluan.
Teknik penyoalan memerlukan kemahiran berfikir kritis berbantukan modul yang telah
disediakan oleh pihak KPM. Penggunaan alat berfikir perlu digunakan mengikut kesesuaian
dan objektif pembelajaran ingin dicapai. Selain itu, guru perlu sentiasa membuat refleksi
terhadap diri dan kaedah serta strategi PdP yang digunakan bagi memastikan guru sentiasa
mengikut arus perkembangan semasa. Rajah 1 di bawah adalah langkah penyediaan PdP
Pembelajaran Abad ke-21;

415
Rajah 1 Langkah penyediakan

Pembelajaran Abad ke-21 (Sumber KPM, 2014b)

Berikut merupakan antara strategi pembelajaran KBAT yang boleh dirujuk oleh guru dalam
menerapkan KBAT dalam PdP. Antara cadangan yang disediakan oleh KPM (2014b),
mengaplikasikan strategi pengajaran dan pembelajaran konstruktivisme, kontekstual,
pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan inkuiri dan kajian masa hadapan.
Strategi-strategi ini perlu digunakan dengan sebaiknya dalam menyediakan PdP yang efektif
dan releven dengan perkembangan semasa dan menjurus kepada penerapan KBAT. Akhir
sekali, program latihan perlu di perbanyak dan diperkukuhkan serta memastikan keberhasilan
maksimum daripada setiap pelaburan yang dilakukan. Pemantauan dari satu badan khas yang
menyeluruh boleh memberi impak yang positif dari aspek pelaksanaan. Guru perlu sedar
dengan tanggungjawab dan sentiasa proaktif dalam meningkatkan kualiti sedia ada.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, pembelajaran dan pengajaran perlu disediakan mengikut arus
perkembangan semasa yang diwarnai dengan kemajuan dari segi teknologi maklumat dan
komunikasi. Oleh itu, proses penyediaan sesebuah PdP perlu dipandang serius dan diberi
penekanan bagi memastikan pembelajaran berjaya disampaikan seterusnya meningkatkan
kualiti pendidikan negara dan keberhasilan pelajar khususnya. Cabaran dan isu yang timbul
melibatkan faktor guru dan pihak sekolah harus diselesaikan dengan segera ini bagi
memastikan matlamat utama PPPM 2013-2015 berjaya dicapai. Pelaksanaan dan penguasaan
416
kemahiran pedagogi abad ke-21 guru perlu disusun rapi dan di perhalusi secara terperinci
dengan menilai dari pelbagai sudut. PAK-21 penting bagi memastikan kualiti sistem
pendidikan negara setanding dengan negara maju yang menghasilkan kualiti pelajar yang
terbaik dari segi, pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam mata pelajaran sains khususnya.

Rujukan
Johari Surif, Nor Hasniza Ibrahim & Rohaya Abu Hassan. (2014). Tahap Amalan dan
Pengintegrasian ICT dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Sains. Sains
Humanika, Vol 2(4): 13-18.
Kamisah Osman & Simranjeet, J. K. (2014). Evaluating Biology Achievement Scores in an
ICT integrated PBL Environment. Eurasia Journal of Mathematics, Science &
Technology Education, 10(3): 185-194.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2014a). Laporan Tahunan 2014 Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia. Putrajaya: KPM.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2014b). Elemen KBAT dalam pedagogi. Putrajaya: KPM.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2015). Laporan Tahunan 2014 Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia. Putrajaya: KPM
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2016). Laporan TIMSS 2015. Bahagian Perancangan &
Penyelidikan Dasar Pendidikan: KPM.
National Association of Colleges and Employers (NACE). (2014). Job Outlook 2015.
Bethlehem, PA: NACE.
Norakma Mohd Daud, Abdul Razak Ahmad & Noria Munirah Yakub. (2015). Pembelajaran
Berteraskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Di Dalam Pengajaran dan
Pembelajaran Mata Pelajaran Sejarah. Proceeding: 7th International Seminar on
Reginal Education, Vol 1: 352-360.
Norhaiza Tahir. (2015). Hubungan Personaliti Guru terhadap penguasaan kemahiran proses
sains pelajar. Tesis Sarjana Pendidikan Teknikal. Fakulti Pendidikan Teknikal dan
Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn.
Abdullah, A. H., Abidin, N. L. Z., & Ali, M. (2015). Analysis of Students' Errors in Solving
Higher Order Thinking Skills (HOTS) Problems for the Topic of Fraction. Asian
Social Science, 11(21), 133.
Nur Amanah Ishak & Zanaton Hj Ikhsan. (2015). Amalan Penyoalan Melalui Kaedah Inquiry
Based Science Education (IBSE) Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains.
Konferensi Internasional Pendidikan Global III. Padang Indonesia: Universitas
Ekasakti.
Rian Vebrianto & Kamisah Osman. (2012). Keberkesanan Penggunaan Pelbagai Media
Pengajaran Dalam Meningkatkan Kemahiran Proses Sains Dalam Kalangan
Pelajar. Jurnal Pendidikan Malaysia, Vol 37(1): 1-11.
Siti Zuraida Abdul Manaf, Rosseni Din, Analisa Hamdan, Ahmad Syukri Zaid, Norsyazwani
Salleh, Aidah Abdul Karim & Hafizi Shafiin. (2013). Literasi ICT Abad ke-21 Dalam
417
Kalangan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Malaysia. ReCSTec 2013, Fakulti
Pendidikan: UKM.
Suhanna Zainudin & Zanaton Hj Ikhsan. (2015). Penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
Dalam Sains. Prosiding Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Kali ke-5. Fakulti
Pendidikan: UKM
Tuan Mastura Tuan Soh, Nurazidawati Mohamad Arsad & Kamisah Osman. (2010).
Penguasaan Kemahiran Abad Ke-21 Dalam Kalangan Pelajar yang Mengambil Mata
Pelajaran Fizik. Journal of Applied Research in Education. Vol. 14 (2): 228-247.
Vadsala, V. & Kamisah Osman. (2015). Persepsi dan Masalah yang Dihadapi oleh Guru Sains
Dalam Melaksanakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Proceeding: 7th
International Seminar on Regional Education, Vol 2: 1077-1082.
Wan Ismail, W. A., Hamzah, M. I. & Lubis, M. A. (2016). Kesediaan Guru Pendidikan Islam
Sekolah Rendah di Selangor terhadap Penerapan KBAT dalam Pengajaran dan
Pembelajaran. Journal of Advance Researchin Social and Behavioural Sciences,
(2015), Vol 3(1): 79-95.
Zamri Mahamod, Masyuniza Yunos & Yahya Othman. (2014). Sikap Dan Persepsi Murid
Terhadap Mata Pelajaran Bahasa Melayu Dengan Kemahiran Abad Ke-21. Seminar
Kebangsaan Majlis Dekan-Dekan Pendidikan IPTA. 22: (MDP-42). Bangi: Fakulti
Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zarah Ahmad, Zanaton Ikhsan, Nor Syaidah Bahri, Zolkepeli Haron & Tengku Azraq Tengku
Ismail. (2014). Masalah Pembelajaran Sains Dalam Kalangan Pelajar Melayu
Tingkatan 1: Satu Tinjauan Di sebuah Sekolah Menengah Di Daerah Sepang. Jurnal
Pendidikan dan Latihan, Vol 6(1): 1-16.

418

Anda mungkin juga menyukai