Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN PENGETUA

SEMASA MERASMIKAN PROGRAM JOM KE SEKOLAH


PADA 11 JANUARI 2010

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh.

Yang dihormati Cik Hazlina binti Rani, Guru Penolong Kanan SMK Palong Dua (F)
Yang dihormati Puan Latifah binti Mansor, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Yang dihormati YM Tengku Riduan bin Raja Yunus, Guru Penolong Kanan Kokurikulum
Guru-guru Ketua Bidang, Guru Media, Kaunselor, guru-guru, dan seterusnya murid-murid
yang dikasihi.

1. Terlebih dahulu, saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas rahmat dan izin-
Nya jua, kita telah dapat bersama-sama menjayakan Pelancaran Program Jom ke Sekolah
yang bermatlamat untuk membina semangat baharu yang lebih berkobar-kobar dan kuat
untuk kita meneruskan perjuangan kita demi kegemilangan kita dan sekolah kita.
Rasional sekolah ini mengadakan program seumpama ini adalah ekoran daripada sikap
segelintir murid-murid sekolah ini yang mula cenderung ke arah budaya ponteng sekolah.
Sebagai akibat daripada sikap mereka yang melakukan kesalahan ini, pihak pengurusan
SMK Palong Dua (F) sejak tiga tahun belakangan ini, telah mengambil langkah tidak popular
dengan mengenakan tindakan buang sekolah terhadap murid-murid yang kerap ponteng
sekolah dalam jumlah hari yang melayakkkan mereka dikenakan tindakan sedemikian
setelah beberapa amaran diberikan kepada mereka. Bagi pihak sekolah, tindakan
sedemikian rupa hanyalah jalan terakhir setelah beberapa prosedur dilakukan yang meliputi
pendekatan psikologi dan motivasi, perjumpaan pihak sekolah bersama-sama ibu bapa
murid-murid berkenaan, dan mengenakan tindakan rotan. Pada hakikatnya, pihak sekolah
tidak pernah sesekali berasa selesa dengan tindakan yang telah diambil lantaran anda
semua masih muda remaja yang amat memerlukan bimbingan sama ada dari aspek
keilmuan dan pembinaan sahsiah sebagai bekal bagi melayari kehidupan pada masa akan
datang. Kami tidak pernah berputus asa atas segala ketidakberkesanan usaha-usaha yang
telah dijalankan selama ini. Bagi kami, amanah sebagai pendidik akan terus dijunjung bagi
memastikan murid-murid sekolah ini memanfaatkan segala peluang pendidikan yang telah
disediakan oleh pihak kerajaan tidak dipersia-siakan begitu sahaja. Untuk itu, pada awal
tahun 2010 ini, Program Jom Ke Sekolah kami persembah untuk anda semua sebagai
impresi pertama dan komitmen kami selaku warga pendidik sekolah ini.

Murid-murid yang dikasihi,

2. Program ini diwujudkan sebagai satu daripada usaha-usaha kami bagi meningkatkan
kehadiran murid berisiko tinggi ponteng dari 50 peratus kepada 70 peratus kehadiran ke
sekolah. Usaha peningkatan peratus kehadiran ini bukanlah membawa makna peratus
selebihnya sebagai kuota untuk anda menghalalkan kegiatan ponteng sekolah. Peningkatan
peratus yang kami hasratkan ini merupakan usaha awal pihak sekolah ke arah ponteng sifar.
Usaha mendidik manusia ke arah perkara-perkara yang bersifat positif bukanlah umpama
menyediakan mi segera, sebaliknya usaha ini banyak onak durinya yang memerlukan kami
bertindak dengan penuh hemah yang bertunjangkan kesabaran yang tinggi, sedangkan Nabi
Muhammad SAW yang dikurnia oleh Allah SWT dengan mukjizat yang hebat pun
memerlukan 23 tahun untuk melahirkan generasi sahabat yang gilang gemilang. Jadi,
peningkatan peratus kehadiran yang menjadi aspirasi sekolah ini merupakan langkah
pertama kami bagi mencipta kejayaan. Hal ini selari dengan kata-kata hikmat yang sering
diucapkan oleh para pakar motivasi dalam ceramah mereka yang berbunyi, “ Sesungguhnya
kejayaan bermula dari langkah yang pertama”. Oleh itu, kami berkeyakinan penuh bahawa
langkah pertama itu memang penting, lebih-lebih lagi jika perkara itu dilakukan pada awal
tahun. Hal ini sudah tentu boleh menjadi perangsang bagi menjana usaha-usaha seterusnya.

Murid-murid yang dikasihi,

3. Tiada sesiapapun dalam jagat raya ini boleh menafikan bahawa perasaan cinta
merupakan fitrah manusia. Cinta itu indah. Bagi merealisasikan suasana sekolah ini
bertepatan dengan kalimat yang saya ungkapkan sebentar tadi, pihak sekolah sedang
menggemblengkan usaha untuk memanifestasikan unsur-unsur yang membawa murid cinta
akan sekolah ini. Kami akan memastikan suasana fizikal sekolah ini sentiasa menampakkan
aspek estetik atau keindahan, tidak sesekali menggambarkannya laksana tirai besi atau
persis kem x-ray di Teluk Guantanamo yang dibangunkan semata-mata untuk
mengindoktrinasi atau tindakan “torture” untuk melahirkan manusia robot. Sebaliknya, kami
akan bangunkan fizikal sekolah dan masyarakatnya dengan pengisian program yang akan
dapat membangkitkan rasa cinta yang mendalam yang pada akhirnya akan tercetus rasa
yang membuak-buak dalam diri peribadi murid-murid untuk datang ke sekolah, tanpa
didorong rasa keterpaksaan. Insya-Allah, apabila situasi ini berjaya diterjemahkan, akan
terjelmalah ungkapan “Kalau hati sudah suka, semua indah saja” sebagaimana yang
terdapat dalam bait lagu “Tanda Kasih” yang didendangkan oleh Allahyarhamah Seniwati
Rahmah Rahmat dan Allahyarham Seniman Ahmad Mahmud dalam filem “Isi Neraka” yang
diterbitkan pada tahun 1961. Selain itu, ungkapan yang popular dalam kalangan ahli sufi ada
menyatakan, “Sesungguhnya keindahanlah yang membawa kepada kebenaran”. Jelasnya di
sini, aspek keindahan akan menjadi satu daripada ciri kebitaraan sekolah ini yang akan
membawa murid ghairah untuk datang ke sekolah.

Murid-murid yang dikasihi,

4. Usaha murni Program Jom Ke Sekolah tidak akan sempurna jika tidak melibatkan para ibu
bapa dan masyarakat setempat kerana sekolah juga merupakan satu daripada institusi
masyarakat. Para ibu bapa dan masyarakat setempat akan turut bersama-sama kami
memantau tingkah laku murid-murid bagi membendung gejala ponteng sekolah yang
berleluasa sejak mutakhir ini. Faktor mengharapkan pihak sekolah semata-mata bagi
membendung fenomena ini merupakan pandangan yang kurang tepat. Justeru, pihak
sekolah ini akan terus memperkasa hubungan baik dan mesra dengan para ibu bapa dan
masyarakat setempat bagi mencari jalan terbaik untuk menangani masalah ini sebelum
gejala ini menjadi barah yang akan menggerhanakan masa depan para remaja yang bakal
mewarisi kepemimpinan negara yang bertuah ini. Ingatlah pesanan bijaksana “Pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Oleh hal yang demikian, gejala ponteng tidak lagi
terpundak di bahu warga pendidik sahaja, malah perlu juga dipikul bersama-sama oleh para
ibu bapa dan masyarakat setempat sebagai kerja berpasukan bagi membanteras kegiatan
salah laku ini.

Murid-murid yang dikasihi,

5. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya memetik kata-kata yang dinukilkan oleh
penyair Arab yang bernama Shauki untuk kita bersama-sama merenunginya, antaranya
beliau pernah menyebutkan, “ Bahawa jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu,
maka lihatlah pada keadaan generasi mudanya hari ini. Jika generasi mudanya hari ini
merupakan generasi yang mempunyai jati diri yang unggul dan hebat, adalah menjadi satu
jaminan bahawa masa depan negara akan terjamin dan maju. Begitu juga sebaliknya.
Sekiranya generasi muda hari ini tidak berpegang pada nilai dan jati diri yang benar, maka
lihatlah keruntuhan sesebuah negara yang mana kita tidak berkehendakkannya berlaku”.
Akhir kata, dengan lafaz Bismillah hirahmanirahim, saya merasmikan Program Jom Ke
Sekolah dengan rasminya. Wassalamualaikum warahmatullahiwabaraktuh. Sekian, terima
kasih.

Anda mungkin juga menyukai