Anda di halaman 1dari 3

UCAPAN PERASMIAN SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KEMPEN JOM DATANG AWAL

KE SEKOLAH, KEMPEN SAYANGI DIRI DAN PROGRAM AMALAN BAIK TOP SSDM

Assalamua’laikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang dihormati

Pn. Ong Ling Ling

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,

Pn. Fardiah Bt. Mat Salleh,

Penolong Kanan Kokurikulum,

barisan guru kanan mata pelajaran,

kaunselor sekolah,

guru-guru

dan para murid yang dikasihi sekalian.

Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana


dengan limpah izin dan kurniaNya, kita dapat bersama-sama berhimpun dalam Majlis
Pelancaran Kempen Jom Datang Awal ke Sekolah, Kempen Sayangi Diri dan program
Amalan Baik Top SSDM bagi tahun 2023.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Rasional sekolah ini mengadakan program seumpama ini adalah ekoran


daripada sikap segelintir murid-murid sekolah ini yang mula cenderung ke arah budaya
lewat dan ponteng sekolah. Disamping itu, peningkatan kes-kes yang berkaitan dengan
perlakuan yang kurang sihat seperti pergaulan bebas, menghisap rokok dan vape,
mengambil bahan terlarang dan kecenderungan murid mencederakan diri sendiri amat
membimbangkan pihak sekolah.

Usaha mendidik manusia ke arah perkara-perkara yang bersifat positif bukanlah


umpama menyediakan mi segera, sebaliknya usaha ini banyak onak durinya yang
memerlukan pihak sekolah bertindak dengan penuh hemah yang bertunjangkan
kesabaran yang tinggi. Usaha murni Program Jom Datang Awal Ke Sekolah ini tidak
akan sempurna jika tidak melibatkan para ibu bapa dan masyarakat setempat kerana
sekolah juga merupakan satu daripada institusi masyarakat. Para ibu bapa dan
masyarakat setempat akan turut bersama-sama kami memantau tingkah laku murid-
murid. Faktor mengharapkan pihak sekolah semata-mata bagi membendung fenomena
ini merupakan pandangan yang kurang tepat. Justeru, pihak sekolah ini akan terus
memperkasa hubungan baik dan mesra dengan para ibu bapa dan masyarakat
setempat bagi mencari jalan terbaik untuk menangani masalah ini sebelum gejala ini
menjadi barah yang akan menggerhanakan masa depan para remaja yang bakal
mewarisi kepemimpinan negara yang bertuah ini. Ingatlah pesanan bijaksana “Pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara”.

Hadirin sekalian,
Saya ingin memetik kata-kata yang dinukilkan oleh penyair Arab yang bernama Shauki
untuk kita sama-sama renungkan, antaranya beliau pernah menyebutkan, “Bahawa jika
ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, maka lihatlah pada keadaan generasi
mudanya hari ini. Jika generasi mudanya hari ini merupakan generasi yang mempunyai
jati diri yang unggul dan hebat, adalah menjadi satu jaminan bahawa masa depan
negara akan terjamin dan maju. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya generasi muda hari
ini tidak berpegang pada nilai dan jati diri yang benar, maka lihatlah keruntuhan
sesebuah negara yang mana sudah tentu kita tidak ingin ianya berlaku.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pelaksanaan program Amalan Baik Top SSDM juga bertujuan untuk memberi
penghargaan kepada murid. Program ini merupakan satu iniasiatif yang dijalankan
khusus untuk memberi galakan kepada murid agar sentiasa melakukan amalan baik
secara berterusan. Murid-murid yang melakukan amalan baik akan disenaraikan dalam
SSDM iaitu Sistem Sahsiah Diri Murid. Bagi murid yang melakukan amalan baik yang
paling banyak akan dipilih sebagai pemenang dan diberikan hadiah pada setiap bulan.

Amatlah diharapkan program ini akan dapat meningkatkan pembangunan


sahsiah diri murid dan secara tidak langsung akan dapat mengeratkan hubungan guru
dan murid, di samping dapat mewujudkan perasaan kasih sayang, selesa, selamat dan
sejahtera dalam kalangan murid dan guru.

Oleh itu, murid-murid akan sentiasa bersemangat dalam menjalani pembelajaran


semasa berada di sekolah dan juga akan menjadikan sekolah tempat menimba ilmu
yang paling bermakna.

Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan


“Kempen Jom Datang Awal ke Sekolah, Kempen Sayangi Diri dan Program Amalan
Baik Top SSDM Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Damai 1 bagi
tahun 2023.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi wa Barakatuh.

Sekian. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai