Anda di halaman 1dari 42

HANTAR AKU BALIK

Bab 1
By : Farizal Radzali 🔛🔛🔛🔛🔛

Aku Aiman. Aku sekarang sedang belajar di tingkatan 5 aliran sains kat sebuah
sekolah berasrama penuh di Ipoh, Perak. Tahun ni aku nak menduduki SPM.

Selama lima tahun aku belajar kat sekolah ni, aku banyak terdengar cerita pasal
hantu kat dalam sekolah ni. Tapi aku ni jenis tak ambil peduli pasal benda-benda
ni. Aku susah nak percaya perkara yang aku tak nampak dengan mata aku sendiri. Nak
pulak aku ambil aliran sains, segalanya perlu ada penjelasan. Pada aku, semuanya
hanyalah bagaimana seseorang itu berfikir. Kalau dia asyik fikirkan dunia khayalan,
maka khayalan yang akan terjadi. Tapi kalau dia berfikirkan tentang fakta, faktalah
yang akan dia nampak.

Dulu masa aku baru nak masuk ke asrama, banyak cerita yang aku dengar. Hantu
itulah, hantu inilah. Sampai ada yang tak berani nak masuk ke sekolah berasrama
hanya kerana takutkan hantu. Sedangkan kalau tak masuk asrama sekalipun, aku dengar
banyak cerita pasal hantu berada di mana-mana. Kilang, sekolah biasa, pejabat,
merata aku dengar orang kata ada hantu. Kononnya masa bangunan dibina, akan ada
korban manusia dimana akan ada orang mati dalam bangunan itu semasa pembinaan.

Pada aku, itu dah ajal dia. Mungkin faktor keselamatan yang tidak dihiraukan. Atau
mungkin kesilapan teknik semasa dia bekerja. Takkanlah pasal dia jadi korban untuk
binaan bangunan baru. Masa aku masih kecil, lagi best cerita yang aku dengar.
Setiap jambatan yang dibina, pasti ada kepala manusia yang diletakkan di jambatan
itu untuk memberi makan kepada penunggu jambatan itu. Mana datang la cerita ni
semua. Mengarut semua tu.

Ok, kita kembali kepada kisah sekolah asrama aku. Tahun ni masuk tahun kelima aku
belajar kat sekolah ni. Banyak cerita yang aku dengar. Ada murid pernah gantung
diri kerana dibuli, penunggu yang memerhati dari arah blok asrama kat atas bukit,
ada jelmaan wanita cantik yang tak jejak ke bumi. Tapi aku tak pernah jumpa semua
tu.

Kawan-kawan aku rata-rata menegur aku supaya jangan cakap besar. Nanti dah kena
baru tahu. Aku tetap dengan pemikiran aku. Selagi aku tak tengok dengan mata aku
sendiri, aku takkan percaya.

Sampailah satu malam tu, bulan pertama aku di tingkatan 5 di sekolah tersebut.

Macam biasa, lepas solat isya’ kami akan ada kelas malam atau lebih dikenali dengan
nama ‘prep’ di kalangan budak-budak asrama. Masa prep ni la kami selesaikan kerja
sekolah, siapkan tugasan berkumpulan, dan paling tidak pun, kami mengulangkaji
pelajaran. Biasanya prep ni sampai pukul 10 malam. Lepas pukul 10 malam, kami akan
ke dewan makan untuk makan lewat malam, alaa kira macam supper la.

Malam tu kami habis prep lambat sikit, hampir ke pukul 11 malam sebab banyak
tugasan yang perlu diselesaikan. Masa tu, perut aku dah masuk angin, tak lalu nak
makan dah. Takde rasa nak ambil supper pun. Masa kawan aku semua dah pergi ke dewan
makan, aku masih menyusun buku aku kat laci aku dalam kelas. Dah simpan semua, aku
berjalan keluar. Sebelum aku tutup lampu, aku nampak dari tingkap kaca yang
terbuka, ada seorang perempuan duduk di pondok kat sebelah kelas.

Aku tengok dari dalam kelas, perempuan tu pakai baju kurung tapi tak pakai tudung.
Kat sekolah ni, semua murid perempuan muslim pakai tudung. Kalau tak pakai tudung,
ada la yang kena hambat tengah malam buta ni. Kalau ada yang tak pakai tudung, itu
adalah murid perempuan orang asli.
Aku cuba lihat wajahnya tapi tak jelas sebab dia duduk sambil membelakangkan aku.
Yang aku dapat lihat, rambutnya panjang di ikat seakan ekor kuda. Aku tutup lampu
dan melangkah keluar dari kelas. Masa tu memang aku seorang diri, jam pun dah pukul
10.30 malam. Kawan-kawan aku yang lain dah pergi dewan makan.

Perlahan-lahan aku melangkah ke pondok kecil sebelah kelas aku. Perempuan tu masih
di sana. Ketika aku hampir nak sampai kat pondok tu, tinggal nak bagi salam je,
seseorang tepuk belakang aku. Terlompat katak aku sekejap. Terkejut.

Aku nampak Ustaz Khairi. “Tak pergi makan ke?” tanyanya.

“Perut saya kenyang la ustaz. Petang tadi makan banyak. Tak lalu nak makan lagi,”
sahutku.

“Kalau dah kenyang, terus balik ke dorm, jangan merayau lagi,” kata Ustaz Khairi.

“Memang saya nak balik ke dorm tapi saya nampak ada seorang murid perempuan ni kat
sini. Tapi tak pakai pakaian sekolah.” Kata aku menunjukkan ke arah perempuan yang
aku nampak tadi. Tapi ternyata perempuan itu tiada di sana.

“Murid perempuan mana?” tanya Ustaz Khairi.

“Tadi dia ada kat sini ustaz,” jawabku masih melihat-lihat ke sekeliling, mencari
murid perempuan tadi.

“Saya ikut kamu dari kamu keluar dari kelas tu. Saya tak nampak pun orang lain kat
sini selain kamu,” kata Ustaz Khairi lagi.

“Betul ustaz, tadi dia ada kat sini,” kataku masih dengan jawapanku. Aku yakin apa
yang aku lihat. Aku tak berkhayal.

“Sudahlah. Kamu penat tu. Pergi balik dorm. Rehat, tidur. Esok nak bangun awal,”
kata Ustaz Khairi menarik tangan aku perlahan dan kami melangkah bersama ke tangga
dorm. Dorm aku kat tingkat 3.

Sesekali aku menoleh ke arah pondok tadi, nak pastikan perempuan tu masih ada di
sana atau dah tiada. Dan setiap kali aku menoleh itulah, Ustaz Khairi menolak pipi
aku suruh tengok ke depan.

“Nampak perempuan, terus laju nak pergi tegur ye,” kata Ustaz Khairi mengusik aku.
Aku pun tersengih dalam terpaksa. Sebab aku tahu apa yang aku nampak.

Sampai kat dorm, Azizi dan Faris sedang menukar pakaian. Aku tak nampak Izzat dan
Luqman, mungkin mereka ke tandas. Wan dan Adli dah lena diulit mimpi kat katil
masing-masing.

“Kau pergi mana Aiman? Tak nampak pun kau kat dewan makan tadi,” tanya Azizi.

“Sedap tau, kami makan mi hailam tadi. Rugi kau tak join,” sambut Faris pula sambil
menyangkut baju prep tadi kat dalam lokernya.

“Aku kenyang, tak lalu nak makan,” sahutku sambil duduk kat katil aku.

“Habis tu kau pergi mana? Kat dorm pun kau lambat sampai,” tanya Azizi sambil
menepuk-nepuk tilam dan bantalnya lalu terus berbaring.

“Aku susun buku kat laci kelas. Masa aku keluar, aku nampak ada murid perempuan kat
pondok tepi kelas kita. Aku baru je nak pergi tegur dia, Ustaz Khairi dah tepuk
bahu aku. Aku toleh balik kat perempuan tu, dia dah takde kat situ. Cepat betul
dia lari. Tak sempat nak tengok siapa dia. Dah la tak pakai baju sekolah, duduk
seorang diri kat situ,” kataku bercerita. Aku masih lagi duduk di atas katil, tak
salin baju pun. Aku masih fikirkan siapa murid perempuan yang aku nampak tadi.

“Fuiyo. Kau nampak murid perempuan? Siapa? Setahu aku, kita tak dibenarkan duduk
kat pondok tu dalam waktu prep. Kalau nampak dek Ustazah Aini, teruklah dia kena
denda,” sahut Faris, yang dah sedia berbaring kat katilnya.

“Tapi dia tak pakai baju sekolah. Dan dia tak pakai tudung. Setahu aku, murid
perempuan yang tak pakai tudung kat sekolah ni adalah murid orang asli. Tapi takde
pula murid perempuan orang asli yang berambut panjang sampai ke pinggang kat
sekolah kita ni kan?” tanyaku semula.

“Entah, aku tak perasan. Selalu diorang ikat rambut, mana nak tahu rambut mereka
panjang sampai mana,” sahut Faris.

“Tapi sekolah tak benarkan lepaskan rambut kan. Kena ikat kemas,” aku masih
berfikir.

“Rambut panjang? Siapa?” tiba-tiba Izzat muncul, sambil mengelap rambutnya yang
basah.

“Kau mandi malam-malam buta ni Izzat? Azizi tanya.

“Haah, panas la. Melekit-lekit badan aku,” sahut Izzat.

“Korang cerita pasal siapa tadi? Rambut panjang? Siapa? Ada murid baru ke?” tanya
Izzat dengan muka menyibuk dia.

“Aiman ni ha, katanya nampak seorang murid perempuan duduk kat pondok sebelah kelas
kita. Duduk situ seorang diri tengah malam ni, tak pakai tudung, tak pakai baju
sekolah. Tu yang dia tertanya-tanya siapa dia. Sebab perempuan tu hilang bila Ustaz
Khairi tegur dia,” kata Azizi.

“Entah-entah itulah dia penunggu sekolah ni yang selalu diorang cakap tu,” kata
Izzat menyakat.

“Kau jangan merepeklah Izzat. Mana ada penunggu ke apa ke. Semua tu mengarut je.
Aku yakin dia adalah salah seorang murid kat sekolah ni. Mungkin junior kita ke,
dia ada masalah kot. Sebab tu dia duduk situ,” kataku lagi. Aku betul-betul nak
tahu siapa perempuan tu tadi.

“Woi! jangan bisinglah. Tutup lampu tu. Aku nak tidur,” tiba-tiba Adli bersuara
dari bawah selimutnya.

Aku terus bangun dari katil dan tukar baju. Sementara yang lain pun turut berbaring
di atas katilnya. Dan masa aku nak berbaring, Luqman masuk dalam dorm kami. Masa tu
dah pukul 12 malam.

“Kau ke mana Luqman? Lamanya kat ke tandas.” Tegurku separuh berbisik, risau
mengganggu kawan lain yang dah tidur.

“Aku nampak ada murid perempuan kat blok kita ni. Tak pernah lagi murid perempuan
naik ke blok lelaki waktu malam macam ni. Kalau siang memang KU kita la yang lalu
lalang kat sini. Tu yang aku ikut dia sampai kat tangga tingkat bawah, dia toleh
pandang aku. Aku rasa aku tak pernah nampak dia. Mata dia hitam je, takde mata
putih. Meremang pula bulu roma aku tengok rupa dia. Dia gamit aku, dia suruh aku
ikut dia. Aku macam terpukau weh. Aku ikut dia. Tapi mujurlah Pakcik Musa sergah
aku, tanya aku kenapa tak balik dorm lagi. Masa tu aku macam baru tersedar. Aku
terus lari naik ke dorm ni. Seram weh. Tak pernah aku rasa seseram ni,” kata Luqman
sambil menggosok lengannya sendiri sebagai isyarat dia sedang ketakutan. Pakcik
Musa ialah pengawal keselamatan yang bertugas mengawal asrama kami.

“Dia ikat rambut macam ekor kuda kan? Rambutnya sampai paras pinggang? Pakai baju
kurung warna merah campur putih?” tanyaku.

Luqman pandang aku semacam. Lepas tu dia anggukkan kepala laju-laju. “Mana kau
tahu?” tanyanya semula.

“Aku pun nampak tadi,” sahutku.

“Kenapa lampu dorm 3A tak tutup lagi tu?!” tiba-tiba terdengar suara Pakcik Musa
menjerit dari bawah. Aku cepat-cepat bangun dan terus tutup lampu. Dan terus
berbaring kat katil aku.

Tapi aku tak boleh lena. Aku asyik terfikirkan murid perempuan yang aku nampak
tadi. Dan yang membuatkan aku lebih ingin tahu ialah bila Luqman kata dia pun
nampak perempuan yang sama. Siapa dia?

– Bersambung –👻👻👻👻👻

HANTAR AKU BALIK

Bab 2
By~Farizal Radzali

Aku tersedar pada jam 3 pagi bila aku terdengar bunyi benda jatuh kat luar dorm
kami. Aku angkat kepala memandang ke arah cermin tingkap dorm yang terbuka sedikit.
Aku nampak ada pergerakan kat luar dorm kami. Dorm kami kat hujung sekali. Jadi,
aku nampak macam seseorang sedang bergerak kat luar dorm. Dia seperti bergerak
mundar mandir kat kaki lima dorm di blok kami. Dari hujung sini ke hujung sana,
dari hujung sana ke hujung sini, berulang alik.

Aku menoleh ke sekeliling dorm, nak lihat siapa yang tiada di katil tapi aku lihat
semuanya sedang tidur di katil masing-masing. Aku bangun, cuba mengecam siapa yang
berada di luar dorm kami. Tak nampak macam Pakcik Musa juga. Nampak macam kecil je
orangnya. Kat blok kami ni, murid yang agak kecil saiznya ialah Azizi dan Zikri
tapi aku lihat Azizi ada je kat katil dia, tidur ternganga lagi. Mungkin Zikri
sebab Zikri dari dorm lain, tak sama dengan aku.

Aku bangun. Melangkah merapati tingkap. Ketika susuk tubuh diluar tingkap bergerak
ke hujung blok, aku buka sedikit cermin tingkap. Aku nampak seseorang dari arah
belakang, sedang berjalan ke arah tandas. Tapi yang pasti itu bukan Zikri sebab dia
adalah seorang perempuan! Aku tak nampak jelas tapi pakaiannya sama macam perempuan
yang aku tengok kat pondok sebelah kelas aku tadi.

Bila perempuan tu berpatah balik ke arah dorm aku, aku cepat-cepat tutup cermin
tingkap. Aku melangkah semula ke katil aku. Masa ni aku ada sedikit rasa seram
sejuk. Tak tahulah kenapa. Nak kata aku takut, aku takutkan apa? Aku tak rasa aku
nampak hantu. Tapi aku yakin perempuan tu dah sesat.

Aku duduk kat katil aku. Katil dalam dorm tu adalah katil dua tingkat, katil aku
kat tingkat bawah.

Aku perhatikan ke arah cermin tingkap. Aku nampak susuk tubuh perempuan tu lalu kat
cermin tingkap. Dan dia berhenti di situ. Dia memusingkan badannya mengadap ke
dalam dorm aku. Masa ni aku rasa jantung aku berdegup laju. Lama dia dalam
kedudukan itu. Aku pun diam membatukan diri, masih duduk di birai katil aku.

Tak lama kemudian, perempuan itu bergerak ke arah blok hujung sana. Tapi tak sampai
beberapa ketika dia meninggalkan cermin tingkap tu, aku nampak tombol pintu dorm
aku dipulas dari luar. Masa ni aku menggeletar. Dah la pintu tu tak pernah
berkunci. Memang tutup macam tu je, dorm lelaki kan, siapa nak kacau pun.

Aku lihat je tombol pintu tu dipulas dari luar. Aku rasa tak sempat dah kot kalau
aku nak pergi kunci pintu tu sekarang. Aku terus baring dan selimutkan diri aku.
Aku rasa sejuk sampai ke tulang tapi dalam masa yang sama aku berpeluh-peluh. Fuh!
Tak pernah aku rasa macam ni. Aku pun tak tahu apa perasaan ni. Aku bukan takut.

Tak lama kemudian pintu dorm kami terbuka. Aku terus tutup muka aku dengan selimut.
Aku dengar bunyi derap kaki berjalan-jalan di dalam dorm kami. Aku membatukan diri
di bawah selimut.

Aku dengar derap kaki tu berjalan di tepi katil aku. Aku diam dan terus pasang
telinga. Aku dengar bunyi nafas seseorang. Macam kat sebelah telinga aku je. Dalam
tak sedar aku berdoa dalam hati agar orang tu cepat pergi.

Doa aku dimakbulkan. Aku dengar derap kaki orang tu berjalan meninggalkan katil
aku. Aku rasa lega. Tapi lega tu tak lama. Sebab lepas tu aku dengar suara Pakcik
Musa menjerit menyuruh kami semua bangun dan berkumpul di padang sekolah. Aku selak
selimut, orang yang berjalan tepi aku tadi Pakcik Musa rupanya.

Dan lepas tu terdengar bunyi pengumuman dari arah pejabat warden, meminta kami
semua bangun segera dan berkumpul di padang sekolah. Aku sempat tengok jam, pukul
4.30 pagi. Aduh, dah kenapa pula pukul 4.30 pagi suruh berkumpul kat padang?

Kami semua bangun tergesa-gesa. Semua pun dengan wajah mengantuk, rambut berserabut
dan mata pun tak boleh buka besar.

Bila semua dah berkumpul di padang, aku nampak Warden Asrama, Ustaz Ismail berdiri
kat depan pegang alat pembesar suara tu. Lampu spotlight dipasang dan dihalakan ke
arah kami.

“Saya nak orang yang berkenaan tu mengaku, siapa yang fly malam tadi?” tiba-tiba
Ustaz Ismail bersuara. Kami semua berpandangan sesama sendiri. Fly tu bahasa asrama
kami ialah murid yang keluar dari sekolah tanpa izin warden mahupun pengawal.
Mereka keluar mengikut jalan lain, ada yang lompat pagar untuk keluar dari kawasan
sekolah. Ada antara mereka yang keluar untuk lepak kat kedai mamak yang tak jauh
dari sekolah kami, ada yang merokok, ada yang keluar nak jumpa kawan, dan macam-
macam. Maklumlah kami tinggal di asrama, segalanya belajar dan riadah. Tak semua
yang masuk asrama sebab mereka nak tapi kebanyakannya kerana mengikut kehendak ibu
dan ayah.

“Cepat! Baik mengaku. Kalau takde yang mengaku, kita duduk kat sini sampai subuh,”
kata Ustaz Ismail lagi.

“Atau kalau ada sesiapa yang tahu ada kawan mereka yang fly, boleh beritahu saya
juga. Jangan subahat. Kalau kamu subahat, denda yang sama akan dikenakan terhadap
kamu,” kata Ustaz Ismail lagi. Garang suaranya malam ni. Entahlah malam ke subuh
sekarang ni.

Aku pandang sekeliling aku. Seingat aku takde murid dalam dorm aku yang fly malam
ni. Sebab mereka semua ada kat dalam dorm masa aku masuk dorm tadi.

“Sebenarnya saya dah tahu siapa orangnya tu. Jadi, kalau kamu rasa kamu boleh
terselamat kerana tak mengaku, kamu salah. Dan jika kamu mengaku sekarang, denda
kamu mungkin boleh dikurangkan. Tapi kalau kamu tak mengaku, kamu boleh dibuang
sekolah,” kata Ustaz Ismail membuatkan terdengar suara keluhan di kalangan kami.

“Baik, kamu taknak mengaku. Takpe. Esok saya akan panggil ibubapa kamu datang ke
sekolah.” Kata Ustaz Ismail mengugut membuatkan beberapa orang dari kalangan kami
bangun berdiri. Dari silauan lampu spotlight, aku nampak Hafiz, Fawas, Shakirin,
Zul dan Akim. Mereka memang di antara murid yang bermasalah di sekolah tu. Tapi
mereka juga merupakan di antara murid-murid terpandai dalam sekolah tu. Peperiksaan
mereka tak pernah dapat huruf lain selain A.

“Murid lain boleh balik ke dorm masing-masing,” kata Ustaz Ismail.

Aku pun balik ke dorm dengan murid lain. Sampai kat dorm, aku dengar kawan-kawan
aku membebel-bebel sebab diganggu tidur mereka. Tapi aku tak peduli dah semua tu,
aku mengantuk. Aku nak tidur. Nanti pukul 6 dah nak bangun. Dan yang paling aku
lega ialah aku dah tahu bahawa orang yang aku nampak mundar-mandir kat kaki lima
blok aku itu adalah Pakcik Musa, bukan hantu atau makhluk lain. Kan aku dah kata,
tiada hantu dalam dunia ni. Mungkin keadaan aku yang mengantuk tu yang buatkan aku
nampak seperti susuk tubuh seorang perempuan. Atau mungkin aku asyik teringat kat
perempuan yang aku nampak kat pondok tepi kelas aku tadi.

Keesokan pagi, aku masuk kelas lambat. Aku terlewat bangun sampai terlepas solat
Jemaah di surau. Habislah berbirat punggung aku hari ini kena rotan. Memang undang-
undang kat sekolah aku, waktu subuh dan maghrib adalah waktu wajib solat Jemaah.
Kalau tak Jemaah, kena rotan la jawabnya. Aku dah selalu kena. Paling selalu kena
hari ahad la. Sebab aku tidur sampai subuh gajah, maklumlah takde kelas. Bila aku
cerita kat ibu aku bahawa aku kena rotan, ibu aku kata ‘bagus!’ Apalah ibu aku tu,
anak kena rotan katanya bagus. Kecil hati aku tau. Tapi sebenarnya jauh di sudut
hati aku, aku faham kenapa ibu aku kata begitu. Cuma sekurang-kurangnya aku nak la
ibu aku rasa kesian kat aku sebab kena rotan. Huhuhu…

Kat dalam kelas fizik hari ini, aku tertidur. Aduh, malunya aku. Cikgu Ramlah yang
mengajar masa tu, dia pun biarkan aku. Dia tahu kot aku tak tidur semalam. Tapi
bila aku terjaga, panaslah telinga kena perli. Tabah je la.

Malam tu, macam biasa, kami prep sampai pukul 10 malam. Lepas prep aku pergi dewan
makan sebab dengar cerita malam ni dapat makan sandwich dengan telur hancur. Aku
suka sangat tu. Masa lalu kat pondok tepi kelas aku, aku sempat juga menjeling kat
pondok tu tapi tiada siapa di situ. Lepas makan, masa kawan-kawan aku semua balik
ke dorm, aku meninjau ke pondok tu semula dan aku nampak perempuan tu lagi.

Aku toleh kiri kanan, nak cari kawan-kawan aku, nak suruh mereka lihat, nampak tak
perempuan tu atau betul itu cuma khayalan aku. Tapi semua kawan-kawan aku dah naik
ke dorm. Tinggal aku seorang masih berdiri di luar dewan makan.

Aku memberanikan diri melangkah ke arah perempuan yang duduk di pondok tu.

“Assalamualaikum,” sapaku bila aku hampir kepada perempuan tu. Tiada sahutan.

“Kamu ni murid sekolah ni ke? Kenapa duduk di sini? Kalau kamu junior, mungkin kamu
belum tahu undang-undang sekolah ni. Kita tak dibenarkan duduk di sini selepas
waktu prep. Semua kena balik ke dorm. Dan kamu murid perempuan sedangkan kat sini
adalah kawasan blok murid lelaki.” Kataku panjang lebar.

Perempuan itu bangun dan berpusing ke arah aku. Aku lihat wajahnya. Dia kecil
sahaja, nampak macam dalam tingkat 3. Rupanya macam cina, jadi aku tak pasti dia
murid islam atau orang asli. Tapi, aku rasa macam tak pernah nampak dia kat sekolah
ni sebelum ni. Tapi mungkin juga waktu lain aku lihat dia bertudung, jadi bila
lihat dia tak bertudung, wajahnya kelihatan lain. Lagipun aku bukannya memerhati
dengan teliti setiap murid perempuan kat sekolah ni. Tengok gitu gitu je. Nak maut
ke tengok anak dara orang beriya-iya? Kang tak pasal-pasal kena panggil ke bilik
disiplin, jumpa Ustaz Salleh.

“Kamu tingkatan berapa? Kelas apa? Dorm berapa? Islam ke?” tanyaku bertalu-talu.
Dan dia tak menjawab, hanya memandang tepat ke arah aku. Wajahnya seperti sedang
sedih.

“Kalau kamu murid baru, undang-undang sekolah ni, yang islam wajib pakai tudung.
Tak boleh buka tudung bila keluar dari dorm.” Aku beritahu lagi. Kononnya sebagai
abang senior la.

“Saya sesat. Saya tak tahu nak balik ke tempat saya,” sahut perempuan itu dengan
suaranya yang halus.

“Sesat? Kamu murid sekolah ni ke?” tanya aku lagi. Perempuan itu mengangguk.

“Kamu murid baru?” tanya aku lagi. Dan dia mengangguk juga.

“Kamu pergi ke pejabat warden. Mereka akan hantar kamu ke dorm kamu,” kata aku
sambil menunjukkan ke arah pejabat warden.

“Baiklah, terima kasih.” Katanya sambil bangun berdiri. Dan aku pula melangkah nak
balik ke dorm aku.

“Saya nak minta tolong boleh?” tiba-tiba perempuan tu bertanya. Aku menoleh ke
arahnya.

“Tolong apa?” tanya aku.

“Sebenarnya saya sedang mencari sesuatu kat kawasan pondok ni. Sebab tu awak selalu
nampak saya di sini,” katanya.

“Cari apa?” tanyaku lagi.

“Ada sebentuk cincin perak pemberian ayah saya. Saya membawanya di dalam kotak
pensil. Tapi haritu tak tahu macammana, masa saya duduk studi di sini, cincin tu
jatuh dan saya cari tak jumpa. Sampai hari ini,” katanya.

“Kamu yakin cincin tu jatuh di kawasan sini?” tanyaku.

“Saya yakin,” jawabnya.

“Macam ni lah, hari pun dah malam. Kalau warden atau Pakcik Musa nampak kita di
sini, teruk nanti. Esok saya tolong carikan,” kata aku sambil memandang keliling.
Risau dilihat orang kami berduaan di situ.

“Baiklah. Esok saya tunggu di sini, waktu macam ni juga.” Kata perempuan itu.

“Kita jumpa lepas kelas siang la. Tak elok jumpa malam,” kata aku.

“Waktu siang mungkin masa kita tak sama.” Sahutnya. Iya tak iya juga.

“Baiklah, siang esok kalau ada masa saya tolong cari. Kalau jumpa, lepas prep esok
kita jumpa di sini,” kataku.

“Ok.” Sahut perempuan itu tersenyum riang.


Aku pun melangkah ke arah dorm aku. Baru beberapa langkah aku menapak, baru aku
teringat nak tanya siapa nama dia dan dia dari kelas mana. Aku menoleh nak tanya
tapi dia dah tiada di situ. Aku memandang sekeliling, tiada siapa. Hanya kegelapan.
Takkan cepat sangat perempuan tu pergi. Dia terbang ke apa? Masa ni aku terasa ada
angin sejuk meniup aku. Aku cepat-cepat naik tangga dan balik ke dorm aku. Semua
dah tidur. Aku tengok jam, dah pukul 11 malam.

– Bersambung -👻👻👻👻👻

HANTAR AKU BALIK

Bab 3
By~ Farizal Radzali 🔛🔛🔛🔛🔛

“Kau pergi mana Aiman?” tanya Izzat sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dorm.

“Aku jumpa pelajar perempuan yang aku beritahu kau semalam. Kat pondok tu juga.
Katanya dia cari barang yang jatuh kat situ. Sebab tu dia selalu ke pondok tu,”
kataku sambil menukar baju. Izzat memang dah terbaring di atas katil. Kawan lain
semuanya dah tidur.

“Siapa dia? Kelas mana?” tanya Izzat.

“Itulah masalahnya, aku dah jalan separuh baru aku teringat nak tanya nama dia.
Tapi bila aku toleh semula, dia dah takde. Laju sungguh dia lari,” sahutku.

“Kau yakin ke dia pelajar sekolah ni?” tanya Izzat lagi.

“Entahlah. Aku rasa macam aku tak pernah nampak dia. Tapi dia kata dia pelajar
sekolah ni.” Sahutku.

“Apa barang yang dia cari tu?” tanya Izzat lagi.

“Cincin perak pemberian ayahnya. Dia terjatuhkan kat situ. Cuma aku pelik, kenapa
dia kena cari cincin tu waktu malam? Memanglah susah nak cari,” kataku sambil
menutup pintu loker aku dan baring di atas katil aku yang bersebelahan dengan katil
Izzat.

“Habis tu, kau kata apa kat dia?” tanya Izzat lagi.

“Aku kata esok siang aku tolong dia carikan. Kalau jumpa nanti aku beri kat dia,”
sahutku.

“Kau nak beri kat dia macammana?” tanya Izzat.

“Katanya malam esok kat pondok tu juga, dia akan tunggu aku,” sahutku.

“Kenapa kena jumpa sebelah malam? Kenapa mesti kat pondok tu. Jumpa je kat dewan
makan tak boleh?” tanya Izzat.

“Entahlah Izzat. Aku pun taknak banyak tanya. Nanti kalau Ustaz Khairi atau Ustaz
Ismail lalu kat situ, nampak aku dengan pelajar perempuan kat situ pada waktu macam
ni, masaklah aku nanti.” Sahutku. Mataku makin tertutup. Aku mengantuk.

“Nanti ajaklah kawan lain. Jangan jumpa berduaan je, takut salah faham,” antara
dengar dengan tak dengar je suara Izzat. Aku dah hilang ke mana dah. Penat sangat
aku hari ni.
Keesokan harinya, lepas kelas dan solat zohor, aku teringatkan janji aku untuk cari
cincin perak pelajar perempuan tu. Aku ajak Wan teman aku. Siang buta pun nak
berteman, rungut Wan. Aku bukan ajak teman sebenarnya, aku minta tolong carikan
cincin perak tu sama-sama. Mana tahu boleh jumpa. Bolehlah aku bagi kat pelajar
perempuan tu, takdelah dia berkeliaran lagi kat pondok tu setiap malam.

Sedang kami mencari-cari tu, Ustaz Salleh menegur kami. “Kamu cari apa tu?”
tanyanya.

“Nak cari cincin perak cikgu. Ada kawan kami yang tercicirkannya kat sini.”
Sahutku.

“Kenapa bawa cincin ke sekolah?” tanya Ustaz Salleh pula, sambil matanya sama-sama
melilau melihat sekeliling.

“Kawan kami kata, cincin tu pemberian ayahnya. Memang dia bawa ke mana-mana,”
sahutku.

“Yang ini ke?” tiba-tiba terdengar suara Wan. Aku dan Cikgu Salleh menoleh ke
arahnya. Ditangannya ada sebentuk cincin berwarna perak.

“Iyelah agaknya. Kau jumpa kat mana,” Sahutku sambil mengambil cincin perak tu dari
tangan Wan.

“Kat bawah bata tu, macam tertanam sikit kat akar pokok bunga tu,” sahut Wan

“Cincin lama tu. Macam dah berkarat je. Mungkin betullah itu kenangan ayahnya kot,”
kata Cikgu Salleh.

“Entahlah cikgu. Kami tolong cari je. Apa sejarah cincin ni kami tak tahu,”
sahutku.

“Kawan kamu yang mana?” tanya Cikgu Salleh.

“Entahlah cikgu. Aiman ni yang jumpa dia dua tiga malam dah kat pondok ni. Katanya
dia tak perasan pelajar tu kat sekolah ni.” Kata Wan.

“Hai, kawan sekolah kamu pun kamu tak kenal?” tanya Ustaz Salleh.

“Tak berapa cam cikgu. Takpelah, nanti saya bagi balik cincin perak ni kat dia.”
Kata aku sambil meminta diri untuk kembali ke dorm bersama Wan.

Malam tu lepas prep, aku terus pergi ke pondok sebelah kelas aku. Tapi pelajar
perempuan tu takde kat situ. Aku tunggu sekejap, tetap tiada. Aku melangkah ke
dewan makan yang tak jauh dari pondok tu. Lepas makan, aku kembali ke pondok
tersebut. Pelajar perempuan masih tiada di situ. Aku tengok jam, dah pukul 11.30
malam.

“Aiman, jom balik dorm. Nanti Pakcik Musa nampak kau kat situ, dia report kat Ustaz
Ismail. Esok je lah kau pulangkan barang tu. Mungkin dia tak datang malam ni, kerja
sekolah banyak. Tak cukup rehat,” kata Luqman dari tingkat 1 blok.

Aku mendongak melihatnya. Betul juga katanya. Aku terus melangkah ke tangga dan
naik ke dorm aku di tingkat 3 bersama dengan Luqman.

“Luqman, haritu kau kata, kau nampak perempuan kat blok kita ni kan?” tanyaku
semasa kami memanjat anak tangga ke dorm.

“Haah. Sekali tu je la, lepas tu aku tak jumpa dah,” sahut Luqman.
“Entah kenapa aku syak, dia adalah pelajar perempuan yang sama yang aku jumpa kat
pondok tu,” kataku.

“Hish, takkanlah. Sebab perempuan yang aku nampak tu lain macam sikit. Macam
hantu,” kata Luqman separuh berbisik sambil memandang sekeliling.

“Mana ada hantu la,” sahutku masih dengan pendirianku.

“Mata dia besar, lepas tu warna hitam je. Takde mata putih. Kau rasa ada ke orang
macam tu?” tanya Luqman semula.

“Masa kau tengok dia tu, hari malam kan? Mungkin silau cahaya atau mata kau dah
tinggal separuh sebab mengantuk.” Kataku lagi.

“Aku tahulah apa yang aku nampak. Memang aku mengantuk. Tapi aku tahu dia seorang
perempuan. Dan macammana seorang perempuan boleh naik ke blok kita pada waktu
malam? Tak pakai tudung, lepas tu dia gamit aku suruh aku ikut dia. Kau rasa siapa
pelajar perempuan kat sekolah ni yang berani buat macam tu?” kata Luqman dengan
suara yang agak tinggi, mungkin bengang sebab aku tak percaya akan kata-katanya.

Aku diam. Taknak berbalas kata lagi. Kami sama-sama masuk ke dorm kami dan menukar
baju untuk tidur.

Sedang aku tidur, tiba-tiba aku rasa ada seseorang tepuk bahu aku. Aku buka mata.
Aku nampak Faris kat tepi aku. Mukanya agak pucat.

“Kenapa Faris?” tanyaku.

“Ada perempuan berdiri kat luar dorm ni. Dia menyanyi-nyanyi perlahan. Seram weh,”
kata Faris berbisik.

Aku bangun. “Kat mana?” tanyaku. Faris menuding jari ke arah tingkap dorm kami. Aku
nampak bayangan seseorang kat luar. Sama macam apa yang aku nampak malam kelmarin.
Dan aku dapat menangkap bunyi suara perempuan menyanyi perlahan-lahan sambil
ketawa. Aku pandang Faris. Faris berpeluh-peluh.

Aku pegang cermin tingkap, nak buka luas sikit. Tapi Faris menahan. “Kau nak buat
apa?” tanya Faris. “Aku nak buka sikit, nak tengok jelas. Macam ni, kita tak nampak
siapa dia,” kataku.

“Janganlah. Aku yakin itu bukan pelajar sekolah ni. Entah-entah langsuir ke
Pontianak ke,” kata Faris.

“Merepeklah kamu ni Faris,” kataku sambil meneruskan tindakan aku membuka sikit
cermin tingkap tersebut. Lepas tu aku dan Faris sama-sama melihat keluar.

Kami nampak kelibat seorang perempuan. Aku terkejut, walaupun perempuan itu
membelakangkan kami, aku yakin itulah pelajar perempuan yang aku jumpa dia pondok
dua tiga malam lepas. Aku melangkah ke pintu, tapi ditahan oleh Faris.

“Kau nak ke mana pula ni Aiman?” tanyanya.

“Aku rasa aku kenal perempuan tu. Dia cari aku nak ambil cincin perak pemberian
ayahnya kot. Sebab dia janji nak jumpa aku kat pondok malam tadi, tapi dia tak
datang.” Kataku.

“Aiman, kang aku kata kau bodoh, kau marah aku. Cubalah fikir logik akal sikit. Kau
tengok tak jam pukul berapa? Pelajar perempuan mana yang berani merayau-rayau kat
blok pelajar lelaki pada waktu-waktu macam ni?” tanya Faris dengan nada agak marah
tapi suaranya masih dikawal perlahan supaya tidak mengganggu kawan lain yang sedang
tidur, dan risau didengari oleh perempuan yang berdiri kat luar dorm kami.

Aku tengok jam, pukul 3 pagi. Betul juga kata Faris. Takkanlah pelajar perempuan tu
berani merayau di blok pelajar lelaki dalam waktu ni. Dan takkanlah Pakcik Musa
atau warden asrama tak nampak dia. Aku kembali ke tingkap dan memerhati gelagat
perempuan itu.

Dia berlegar-legar mundar mandir di depan dorm kami sambil menundukkan wajahnya.
Sesekali dia mengangkat wajahnya memandang ke arah kami tapi kami cepat-cepat
tunduk ke bawah supaya dia tak nampak kami.

Lama juga kami dalam keadaan itu. Tak tahu nak buat apa.

Setelah hampir setengah jam, kami lihat perempuan itu berdiri di atas pagar batu.
Cuak gak aku dengan Faris. Dia nak terjun ke? Dia nak bunuh diri ke? Apa dia nak
buat tu? Kami dah mula rasa kalut.

“Aiman, dia nak terjun ke tu?” tanya Faris.

“Manalah aku tahu. Nak pergi tolong ke?” tanyaku.

“Hish, aku tak berani,” sahut Faris.

Dalam kami terfikir-fikir apa yang perlu dilakukan, kami lihat perempuan itu terjun
dari tingkat 3. Aku dan Faris tergamam. Sebaik sahaja peremuan tu terjun, aku dan
Faris terus berlari keluar dari dorm dan menjenguk ke bawah blok. Tak nampak apa-
apa. Aku dan Faris terus meneliti kat bawah blok sana, tapi ternyata tiada apa-apa.

Dan tiba-tiba kami terdengar bunyi nyanyian perempuan tu tadi di sebelah kami je.
Faris pegang tangan aku. Kami tak berani nak tengok keliling. Dengan pintu dorm
kami yang terbuka luas, kawan-kawan kami sedang tidur di dalam.

Suara nyanyian tu seperti makin rapat ke telinga aku. Aku beranikan diri mengangkat
muka aku dan memandang ke arah suara nanyian tu. Aku nampak pelajar perempuan yang
sama yang aku jumpa kat pondok sebelah kelas aku. Tapi kali ni rupanya agak
menyeramkan. Matanya hitam seperti yang Luqman beritahu aku. Dia memakai baju
kurung, jari tangannya hitam seakan rentung terbakar, aku tak nampak kakinya.

“Beri aku cincin itu,” katanya dengan suara garau. Aku tak menyahut. Aku tundukkan
muka aku, tak berani memandangnya. Faris masih berdiri kat belakang aku, tangannya
masih memegang tangan aku, sambil menggeletar.

“Aku mahu barang aku,” kata perempuan itu sambil memandang tepat wajah aku. Bila
aku tunduk, dia menurunkan badannya agar wajahku bertentangan dengan wajahnya. Masa
ni aku pendirian aku tentang hantu mula goyah.

Aku mengundur setapak. Faris masih kat belakang aku, aku rasa dia dah menangis
ketakutan.

Perempuan itu berdiri tegak di depan aku. Dia seakan terangkat ke udara. Aku dapat
lihat dengan jelas, dia tiada kaki. Dan dia terawang di udara, kepalanya mencecah
siling. Aku mendongakkan muka memandang ke arahnya dan masa ni tiba-tiba aku dengar
Pakcik Musa sergah kami dari tingkat bawah.

“Woi! Korang buat apa kat luar dorm? Masuk!” aku pandang Pakcik Musa. Aku nak
pastikan Pakcik Musa pun nampak perempuan tu. Tapi belum sempat aku berkata-kata,
perempuan itu dah tiada di situ.
“Faris, dia dah takde,” kataku.

“Aiman, Faris, masuk semula ke dorm kamu sebelum saya naik ke atas sana,” jerit
Pakcik Musa lagi dari tingkat bawah.

Aku dan Faris tak menyahut, terus melangkah masuk ke dalam dorm, dan kunci pintu
dorm. Kami terus ke katil masing-masing.

“Apa benda tadi tu Aiman?” tanya Faris dari katilnya.

“Aku tak tahu,” sahutku pendek.

“Kita nampak dia terjun kan? Tapi macammana dia ada kat atas ni semula dengan
cepat?” tanya Faris lagi.

“Jangan tanya aku lagi, aku tak tahu,” kataku.

“Dia minta cincin tu dari kau kan?” tanya Faris lagi.

“Tidurlah Faris. Esok kita jumpa Ustaz Salleh atau Ustaz Ismail untuk tanyakan
pasal hal ni,” kataku lagi, aku taknak dia tanya lagi sebab aku pun buntu.

Faris diam. Aku tak tahu samada dia dah lena ataupun masih memikirkan apa yang kami
lihat tadi. Yang pasti, mataku segar bugar tak boleh lena. Beberapa kali mata aku
melihat ke luar tingkat dorm kami. Mana tahu kalau perempuan tu datang lagi.
Sesekali aku terasa seperti perempuan tu dah masuk ke dalam dorm kami sebab masa
perempuan tu berdiri kat tepi kami tadi, pintu dorm terbuka luas. Bila-bila masa
saja dia boleh masuk dan menyorok kat dorm kami.

– Bersambung –👻👻👻👻👻

HANTAR AKU BALIK

Bab 4
By~Farizal Radzali 🔛🔛🔛🔛🔛

Aku memandang keliling. Aku jenguk bawah katil. “Faris, kau dah tidur ke?” aku
panggil perlahan tapi tiada sahutan.

Aku baring semula. Cuba untuk tidur, pejamkan mata rapat. Cuba kosongkan fikiran
aku. Tapi bayangan perempuan tu tak dapat aku lupakan, berlegar-legar dalam kotak
fikiran aku.

Tiba-tiba aku dengar bunyi katil Izzat berkeriut. Katil Izzat adalah di tingkat
atas katil aku. Katil dua tingkat kan. Aku lihat dari bawah, katil Izzat bergegar
membuatkan aku turut sama bergegar. Sedangkan selama hari ini tak pernah pun aku
dengar katil Izzat berkeriut kuat kalau dia beralih. Lagipun Izzat tu bukannya
gemuk sangat.

Dalam cahaya suram, aku nampak sesuatu yang bergerak ke tepi katil Izzat dari atas
katilnya. Seperti ada wajah yang menjenguk aku dari atas katil Izzat. Aku terasa
seperti ada yang memerhati aku dari atas sana.

“Izzat?” aku panggil perlahan. Tiada sahutan. Tapi aku dengar bunyi nafas turun
naik dan aku terasa ada angin menghembus ke telinga kiri aku. Aku buka mata luas
sikit. Kali ini aku nampak sesuatu seperti rambut yang panjang, menjenguk dari atas
katil Izzat.
“Bagi barang aku,” aku dengar suara perempuan tadi. Aku cuak dah. Lembaga yang
menjenguk aku dari atas katil Izzat masih tergantung kat sana. Aku cuba angkat
kaki, tapi kaki aku berat. Tangan aku tiada rasa. Aku nak jerit tapi tekak aku
seperti dicekik, tak boleh bersuara. Aku cuba meronta, tapi seluruh tubuh aku
terasa kebas, tak boleh bergerak. Yang aku mampu cuma membuka dan menutup mata aku.
Melihat lembaga perempuan dengan rambut panjang kat atas katil Izzat sedang
memandang aku dengan mata hitamnya. Aku tak mampu menggerakkan kepala aku pun.

Sedang aku berusaha melepaskan diri dari kubu imaginasi aku tu, tiba-tiba pintu
dorm terbuka. Aku nampak Izzat masuk. Masa ni aku mampu menggerakkan badan aku. Aku
terus bangun dan berdiri di tepi katil lalu menjenguk ke katil Izzat.

“Kau cari apa kat katil aku tu?” tanya Izzat.

“Kau ke mana?” aku tanya Izzat tanpa menjawab soalannya.

“Aku ke tandas,” sahut Izzat.

“Bila kau keluar?” tanyaku lagi.

“Tadi. Eh, yang kau tanya banyak ni dah kenapa? Kau beriya memanjat jenguk katil
aku tu pulak kenapa?” tanya Izzat, tak suka bila aku banyak tanya.

“Aku tak perasan bila kau keluar. Sebab aku baru je datang dari luar dan belum
tidur. Tak nampak pula kau turun dari katil dan keluar dorm,” sahutku tapi mata aku
masih melilau melihat katil Izzat dan bawah katil juga.

“Kau cari apa kat katil aku?” tanya Izzat lagi.

“Tadi ada benda lain kat katil kau ni,” kataku.

“Benda lain apa pula kau ni Aiman? Dahlah, ke tepi. Aku nak tidur. Dah pukul 4.30
pagi kot.” Kata Izzat sambil memanjat katilnya di tingkat atas membiarkan aku yang
masih termangu-mangu berdiri kat tengah dorm tu.

“Tidurlah Aiman. Kau berdiri kat tengah dorm ni, ada yang terkejut beruk kang.”
Kata Izzat lagi.

Aku pun terus kembali ke katil aku dan baring. Mujur aku boleh lena, penat sangat
kot.

Tapi tak lama aku dapat lena. Lebih kurang pukul 5.30 pagi terdengar bunyi siren
dari pejabat warden dibunyikan. Pejabat warden tu pula kat tingkat bawah blok kami.
Kami semua bangun sambil menggosok mata. “Kenapa pulak ni?” aku dengar suara Adli
merungut.

Aku bangun dan membuka pintu dorm. Beberapa kawan aku dari dorm sebelah menyebelah
pun dah keluar dari dorm dengan muka baru bangun tidur.

“Kenapa?” aku tanya Zarul yang keluar dari dorm 3B. Zarul hanya angkat bahu. Aku
jenguk ke tingkat bawah. Aku nampak beberapa guru perempuan dan lelaki sedang
berlari-lari menuju ke arah Blok Teratai iaitu blok asrama murid perempuan.

“Kenapa Aiman?” tanya Zam dan Adli yang keluar serentak dari dalam dorm. Aku angkat
bahu. Kami sama-sama menjenguk ke bawah dengan suasana subuh yang diterangi dengan
lampu spotlight di tepi blok bangunan.

Aku nampak Ahmad sedang berjalan di tingkat bawah. Aku jerit dari atas. “Ahmad,
kenapa?”
“Ada budak perempuan menjerit-jerit kena rasuk kot,” jerit Ahmad dari tingkat
bawah.

Aku diam. Aku berjalan semula masuk ke dorm. Semua orang yang berada di dalam dorm
tu dah bangun. Lampu dorm pun tak terpasang.

“Kenapa Aiman?” tanya Azizi.

“Entah, Ahmad kata ada budak perempuan kena rasuk,” sahut aku sambil berbaring
semula di katil aku. Kepala aku pening, mungkin sebab tak lena tidur semalam.

“Habis tu, kita nak buat apa ni?” tanya Izzat.

“Mana aku tahu. Selagi warden atau cikgu tak panggil, kita buat macam biasa je la
kot. Mandi, solat Jemaah kat surau, ambil sarapan dan masuk kelas,” sahutku masih
pejamkan mata. Berpusing-pusing rasanya dalam kepala aku ni.

Tak lama kemudian, Zikri menjerit dari tingkat bawah, memanggil kami semua keluar
dari dorm masing-masing dan cikgu minta bantuan segera kat Blok Teratai. Kelam
kabut je bunyinya. Aduhai, aku baru je nak rehat sekejap.

Faris tarik tangan aku. “Jom Aiman. Lambat kang kena denda lari satu padang pula.
Aku dah la pening tak cukup tidur ni,” katanya. Nak taknak, aku terpaksa bangun.
Aku dan Faris yang terakhir keluar dari dorm kami. Murid lain semua dah berlari
turun dari tingkat atas.

Aku dan Faris melangkah ke Blok Teratai sebab Zikri kata Ustaz Ismail dan Ustaz
Khairi tunggu kami semua kat sana. Ahmad cakap, ada budak perempuan kena rasuk kat
Blok Teratai. Panggil kami ni nak buat apa. Kami ni bukannya pandai mengubat orang
kena rasuk pun. Hati aku merungut-rungut.

Sampai kat tangga tingkat bawah Blok Teratai, kelihatan Ustaz Ismail dan Pakcik
Musa sedang berbincang. Wajah masing-masing serius. “Naik ke tingkat atas, tolong
Ustaz Salleh, dan beberapa cikgu lain pegang murid perempuan yang hysteria. Tenaga
mereka kuat. Tolong jaga aib kawan-kawan perempuan kamu” kata Ustaz Ismail.

“Aiman dan Faris, tunggu sini. Ustaz nak tanya sikit,” kata Ustaz Ismail sambil
memandang kami macam kami dah buat salah. Masa ni pening aku hilang bila
teringatkan Pakcik Musa terlihat aku dan Faris berdiri kat kaki lima dorm tengah
malam semalam. Aduh, takkanlah masa gawat macam ni pun Ustaz Ismail masih nak denda
kami sebab berada di luar dorm pada waktu yang tak dibenarkan.

“Pakcik Musa kata semalam kamu berdua berdiri kat kaki lima dorm kat tingkat 3
pukul 3 pagi, betul ke?” tanya Ustaz Ismail. Faris dan aku berpandangan sesama
sendiri. Nak tipu pun tak boleh sebab Pakcik Musa ada kat tepi Ustaz Ismail.

“Ustaz tanya ni, jawablah,” tanya Ustaz Ismail lagi.

“Iye Ustaz,” aku jawab.

“Kamu buat apa kat luar sana waktu tu?” tanya Ustaz Ismail lagi. Sekali lagi aku
dan Faris berpandangan sesama sendiri.

“Ustaz tanya ni. Jangan selindung apa-apa. Beritahu saja,” kata Ustaz Ismail dan
kali ni suaranya lebih tegas.

“Kami nampak hantu, Ustaz,” laju je Faris jawab.


“Hantu apa?” tanya Ustaz Ismail.

“Perempuan, mula-mula dia berjalan mundar mandir kat kaki lima dorm kami. Lepas tu
dia panjat pagar batu tu dan terjun ke bawah. Bila kami keluar dan lihat ke bawah,
takde siapa dan tiba-tiba je perempuan tu berdiri kat tepi kami. Kakinya tiada, dia
terapung sampai ke siling,” cerita Faris terus terang. Dia memang takut dengan
Ustaz Ismail sebab dah selalu kena rotan sebab ponteng solat Jemaah dan tidur dalam
surau masa orang baca yasin.

“Macammana rupanya?” tanya Ustaz Ismail lagi.

“Dia pakai baju kurung, rambut panjang sampai pinggang. Matanya hitam, takde mata
putih. Jarinya hitam macam terbakar,” kata Faris. Wah, dalam terketar-ketar dia
semalam, sempat dia meneliti perempuan pelik tu.

“Dia ada cakap apa-apa?” tanya Ustaz Ismail lagi.

“Dia minta barang dia. Dia cakap cincin kalau tak silap saya,” sahut Faris lagi
membuatkan wajah Ustaz Ismail berubah.

Seketika kemudian, terdengar suara Ustazah Aini dari tangga memanggil Ustaz Ismail.

“Ustaz, makin ramai pula ni. Macam kena pisahkan dengan yang lain,” kata Ustazah
Aini.

“Kamu pergi panggil beberapa orang kawan kamu lagi datang sini cepat,” kata Ustaz
Ismail sebelum dia berlari menaiki tangga ke tingkat atas Blok Teratai.

Aku dan Faris pun cepat-cepat berlari ke blok kami semula dan memanggil beberapa
orang murid lelaki yang masih berada di dalam dorm mereka. Selepas itu kami turut
sama ke Blok Teratai. Jelas kedengaran suara beberapa murid perempuan yang
menjerit. Dari tepi bangunan, kami dapat lihat beberapa murid yang memanjat pagar
batu dan seolah nak melompat dari sana. Aku pula yang gayat dan seriau melihat
mereka. Cepat-cepat kami berlari menaiki tangga ke tingkat 3. Nampaknya murid di
tingkat 2 masih belum terkena tapi tanda-tanda tu macam dah ada kerana dah ada yang
mula bercakap dan ketawa seorang diri, yang menangis pun ada, Cuma mereka masih
duduk diam di posisi masing-masing dan tidak bertindak ganas.

Aku dan Faris terus naik ke tingkat 3. Aku nampak beberapa kawan perempuan aku
menjerit-jerit dan menarik rambut mereka sendiri. “Faris, Aiman, tarik mereka semua
masuk ke dorm. Kita kunci mereka di dalam dorm. Cepat!” kata Ustaz Salleh.

Aku dan Faris pun terus menarik tangan beberapa murid perempuan yang berada di luar
dorm. Betul kata Ustaz Ismail, tenaga mereka amat kuat. Aku dan Faris berdua pun
mampu ditolak oleh Aliah masa kami menarik dia untuk masuk ke dalam dorm.
Terpelanting aku dan Faris. Sakitnya pinggang aku terhentak kat dinding.

Kemudian datang beberapa orang kawan kami lagi untuk membantu. Empat orang lelaki
pun belum mampu menarik seorang murid perempuan yang terkena hysteria. Sepanjang
hidup aku, aku tak pernah lihat orang yang terkena hysteria. Selalunya aku dengar
je orang bercerita. Mereka kata histeria ni gangguan jin tapi aku tak percaya. Pada
aku, histeria ni kesan gangguan emosi yang tak stabil akibat dari masalah peribadi
yang berat.

Tapi itu kalau seorang. Sekarang ni dah ramai yang terkena histeria, takkan semua
pun ada gangguan emosi yang sama? Lebih kurang 18 orang kot. Atau mungkinkah kerana
mereka amat tertekan dengan pelajaran dan peperiksaan SPM yang bakal kami hadapi
hujung tahun nanti? Aku pun dah gagal mencari teori bila melihat keadaan kat Blok
Teratai sekarang ni.
Dengan bersusah payah, akhirnya kami dapat mengumpulkan kesemua murid perempuan
yang histeria di dalam dorm dan mengunci mereka. Masa tu dah pukul 6.30 pagi, semua
pun belum sempat solat subuh. Murid-murid yang histeri masih menjerit dan menangis
di dalam dorm, mencuba sedaya upaya untuk lari keluar dorm. Mata mereka melilau
ketakutan seolah melihat sesuatu yang berterbangan di dalam dorm tersebut. Aku pula
naik cuak dan sama-sama melihat ke siling dorm, nak juga tahu apa yang mereka
lihat. Tapi Ustaz Khairi tolak kepala aku dari arah belakang. “Jangan tengok sana
sini. Tengok ke depan je, berdiri diam kat situ.” katanya separuh berbisik. Dalam
kekalutan itu, aku dengar Ustaz Ismail melaungkan azan.

Setelah habis azan, kesemua murid yang histeria tadi seperti sedang bangun tidur,
masing-masing menggosok mata dan wajah mereka seolah mereka tak tahu apa yang dah
terjadi. Mereka terkejut bila melihat beberapa guru dan murid lelaki dalam dorm
mereka dengan keadaan mereka tak berpakaian sempurna. Cepat-cepat aku mengajak
kawan-kawan lelaki lain untuk keluar dari dorm tersebut.

“Kita solat subuh bergilir-gilir, sementara itu, bawa kesemua murid perempuan dari
dorm ni ke padang kecil belakang blok ni. Mereka perlu dimandikan.” Terdengar suara
Ustaz Salleh bersuara. Aku pun mengajak kawan-kawan aku balik ke dorm kami, solat
subuh dan bersiap untuk ke kelas macam biasa.

Masa aku kat surau, aku nampak Ustaz Khairi dan Ustaz Ismail kat tempat ambil
wudhu. Sengaja aku lalu di tepi mereka. Serius mereka berbincang. Mereka tak
hiraukan murid yang lalu lalang.

“Dah tujuh tahun kan? Rasanya ada orang dah lepaskan dia,” aku terdengar Ustaz
Ismail bercakap seakan berbisik kepada Ustaz Khairi.

“Kita dah ikat dia, takkan terlepas? Mungkin benda lain,” kata Ustaz Khairi.

“Kita selesaikan murid yang histeria tu dulu. Moga tak berlarutan. Lepas tu kena
buat sesuatu. Kena cari dalangnya. Samada benda lama atau benda baru.” Kata Ustaz
Ismail sambil melangkah masuk ke surau.

‘Lepaskan dia? Dah ikat? Dalang? Benda lama? Benda baru?’ kepala aku laju memproses
kata-kata Ustaz Ismail dan Ustaz Khairi sebentar tadi. Tapi aku tak dapat
jawapannya. Nak tanya, nanti kena sound pulak sebab curi dengar mereka berbincang.

– Bersambung –👻👻👻👻👻

HANTAR AKU BALIK

Bab 5
By~Farizal Radzali 🔛🔛🔛🔛🔛

Lepas aku solat subuh, aku terus masuk ke kelas. Tak sempat dah aku nak ambil
sarapan. Ada enam orang je kat dalam kelas. Murid perempuan ada dua orang je, Mirza
dan Nisa. Murid lelaki ada empat orang je, yang lain kemana aku pun tak tahu. Kelas
aku cuma ada 16 orang je. Kalau ada tujuh orang kat sini, maknanya 9 orang lagi kat
mana? Dalam kelas aku tu, murid perempuan ada sembilan orang, kalau ada dua kat
sini, maknanya tujuh lagi belum masuk. Atau yang tujuh orang lagi tu termasuk dalam
murid yang terkena histeria tu.

“Mana yang lain? Tanyaku kepada Izam yang sedang duduk kat tempat dia, menongkat
dagu dengan mata kuyu nak tidur. Izam angkat bahu, tak tahulah dia tak tahu atau
dia malas nak layan aku.

Aku pandang ke arah Mirza. “Za, mana yang lain?” tanyaku dari tempat duduk aku.
“Semua dah kena histeria.” Sahutnya.

“Kenapa kau tak kena?” tanyaku selamba.

“Aku terjaga masa Ulin mula-mula terkena. Seram weh. Aku terus bangun, keluar dari
dorm aku, terus pergi ke dorm 2B. Aku tumpang kat sana sekejap. Kat tingkat dua
takde yang kena. Sebab tu aku tak kena kot,” sahut Mirza.

“Pandai kau lari ye,” kataku lagi.

“Seram weh. Katil Ulin kan kat sebelah aku. Aku terjaga sebab terdengar bunyi orang
bercakap sambil ketawa. Bila aku buka mata, aku nampak Ulin sedang duduk mengadap
aku. Terkejutlah aku. Aku tanya dia buat apa. Katanya tengah tengok aku tidur. Nak
tengok aku bernafas atau tak. Katanya dia nak kira berapa kali aku tarik nafas
dalam masa seminit. Tak pelik ke?” kata Mirza.

“Ulin kan ambil aliran akaun? Apa hal pulak dia macam nak test subjek biologi tu?”
tanyaku sambil tergelak kecil.

“Tu la pasal. Aku tanya dia balik, kau dah kenapa Ulin? Dia gelak. Lepas tu dia
kata kat aku, kau rasa kalau seorang manusia berhenti bernafas dalam tempoh
seminit, apa yang akan terjadi kat paru-paru orang tu? Aku tak jawab dia, rasa lain
macam pulak. Aku pusing ke arah lain. Bila aku pusing ke sebelah kanan, aku nampak
Husna pula. Rupanya sama macam Ulin. Fuh! Meremang bulu roma aku masa tu. Terus aku
bangun dan lari keluar dari dorm. Lepas tu aku tak tahu apa jadi kat dorm tu. Tau-
tau aku dengar suara menjerit mengilai je dari tingkat 3 blok tu,” kata Mirza
menghabiskan ceritanya.

“Kau rasa mereka tu kenapa?” tanyaku lagi.

“Bukan kau tak percaya ke benda-benda macam ni Aiman? Kenapa banyak tanya pulak?”
tanya Nisa yang dari tadi diam je mendengar perbualan aku dengan Mirza.

“Aku tanya je. Bukan sebab aku percaya pun.” Aku menyahut, masih berlagak
mengatakan aku tak percaya semua itu.

“Kau pula kenapa tak kena Nisa?” tanya aku, cari pasal dengan Nisa pula.

“Semalam aku asma, aku tidur kat rumah ayah aku,” sahut Nisa. Nisa adalah anak
kepada Cikgu Oden, salah seorang guru yang mengajar di sekolah aku. Cikgu Oden
tinggal kat kuarters guru kat sebelah sekolah. Nisa memang selalu diserang asma.
Bila dia diserang asma, dia akan pergi ke kuarters guru ayahnya.

Tak lama kemudian, Izzat masuk ke kelas. “Cikgu kata hari ni kelas dibatalkan.”
Kata Izzat sambil berlalu meninggalkan kelas dan aku nampak dia berjalan ke dorm.
Balik dorm nak tidur kot.

Aku pun bangun dan mengemas buku kat atas meja aku. Aku pun nak balik tidur.
Semalam aku tak tidur, kalau tidur pun tak sampai setengah jam. Aku mengantuk.

Masa aku tengah susun barang, aku terdengar suara seseorang memanggil nama aku.
“Aiman!” aku toleh kiri kanan, melihat kawan-kawan aku yang berada di dalam kelas.
Tapi tak nampak pun macam mereka sedang memangggil aku. Mirza dan Nisa sedang
menulis. Izam dah terlentok kat meja. Lena kot. Haris, Adli dan Wan dah hilang
entah ke mana.

Aku tunduk semula menyusun barang, aku dengar lagi nama aku dipanggil. Kali ni
lebih kuat dan panjang.
“Aimaaannnn! Aimaaaannnnn!” berdiri bulu roma aku. Aku yakin itu suara perempuan.
Cepat-cepat aku susun barang aku dan terus melangkah keluar kelas.

Baru je aku melangkah keluar, aku nampak susuk tubuh seseorang membelakangkanh aku.
Aku memerhatikannya dari jauh. Aku rasa dia adalah perempuan yang sama minta aku
carikan cincin perak ayahnya dulu. Dia ke yang panggil aku tadi? Aku melangkah
perlahan-lahan menuju ke arah perempuan tu. Ketika aku hampir nak sampai dekat
perempuan tu, tiba-tiba dia berpusing ke arah aku. Aku lihat kepalanya berlumuran
darah, tangan kanannya terkulai seperti dah patah. Dan dia berjalan terjengkut-
jengkut ke arah aku.

“Kenapa ni? Awak ok?” tanyaku menjauhkan diri sedikit daripadanya bila dia semakin
dekat dengan aku.

“Mana barang aku?” tanyanya.

“Cincin tu?” tanyaku lagi.

“Bagi barang aku,” katanya lagi sambil terus melangkah ke arah aku dengan wajah
yang agak marah. Mengikut teori biologi sains yang aku belajar, kalau orang dah
cedera macam tu, mana boleh dia berjalan lagi. Tapi macammana dia ni boleh berjalan
dalam keadaan begitu?

“Barang apa? Cincin tu la kan?” tanya aku lagi agak kabur perempuan tu sedang cakap
pasal apa.

“Aku nak barang aku. Selagi kau simpan, aku akan kacau sekolah ni. Dan kau akan
lihat perkara yang kau tak patut lihat,” kata perempuan itu lagi.

“Kalau kau nak cincin tu, ada kat dorm aku,” kataku sambil berundur dua tiga tapak
setiap kali dia melangkah ke arah aku. Lain macam je aku tengok perempuan tu. Dan
naik seram pula aku dengar ugutan dia.

“Kau tunggu kat sini, aku panggilkan cikgu,” kataku lagi.

“Aku nak barang aku!” katanya separuh menjerit dan dia tiba-tiba melompat ke arah
aku membuatkan aku tergamam dan terjatuh.

“Aiman, kenapa ni?” tiba-tiba Ustazah Rotipah menegur aku bila melihat aku terjatuh
kat situ. Aku pandang Ustazah Rotipah.

“Ustazah, murid ni cedera,” kataku sambil menuding jari ke arah perempuan tadi.
Ustazah Rotipah memandang ke arah tempat yang aku tunjuk.

“Murid mana Aiman? Mana ada sesiapa kat situ. Kamu tu yang cedera. Tengok tangan
kamu dah luka terkena batu masa jatuh tadi,” kata Ustazah Rotipah. Aku pandang
tangan aku. Betullah, tangan aku luka. Aku pandang semula perempuan pelik tadi, dia
berdiri kat belakang Ustazah Rotipah. Aku lihat dia macam lebih tinggi dari Ustazah
Rotipah sedangkan perempuan tu taklah tinggi sangat aku rasa.

“Cikgu tak nampak dia? Dia ada kat belakang Ustazah,” kataku membuatkan Ustazah
Rotipah menoleh memandang ke belakangnya.

“Mana ada sesiapa Aiman,” kata Ustazah Rotipah sambil memandang aku dengan wajah
pelik.

Aku diam.
“Dah, Aiman, kamu ikut Ustazah. Jangan balik ke dorm,” kata Ustazah Rotipah masih
memandang aku dengan wajah pelik.

Aku menurut. Tapi aku tak tahu samada aku yang ada masalah atau macammana. Sebab
tiba-tiba je aku macam nampak banyak benda pelik kat dalam kawasan sekolah tu. Aku
nampak perempuan berambut panjang kat pokok nangka atas bukit kat blok junior. Aku
nampak orang tanpa kepala berdiri kat tepi bas sekolah kami. Aku gosok mata aku
berkali-kali, tapi aku masih nampak mereka.

‘Itukah hantu? Siang-siang pun hantu boleh keluar ke?’ desis hati kecilku.

“Aiman. Kamu ok ke tak ni?” tanya Ustazah Rotipah yang masih ragu-ragu melihat aku.

“Ustazah, kenapa tiba-tiba saya nampak macam-macam benda pelik hari ni?” tanyaku
dengan mata yang masih melilau melihat keliling.

“Kenapa? Kamu nampak apa?” tanya Ustazah Rotipah sambil memperlahankan langkahnya
dan bersaing melangkah bersama aku. Aku rasa Ustazah Rotipah dalam perjalanan
menuju ke padang kecil kat belakang blok Teratai. Kat sana rasanya beberapa orang
murid yang terkena histeria tu sedang dimandikan.

“Kat atas pokok nangka sana saya nampak perempuan berkain putih dan rambut panjang,
kat tepi bas tu saya nampak lelaki takde kepala. Kat tepi blok tu pun ada macam-
macam. Semua macam pandang kita. Ustazah tak nampak?” tanyaku berjalan rapat dengan
Ustazah Rotipah. Hilang dah malu aku.

“Hish kami ni Aiman. Kalau ye pun kamu nampak hantu, mana ada hantu siang-siang
buta ni. Dah, jangan merepek. Jalan cepat. Jom kita jumpa Ustaz Ismail.

“Betul Ustazah. Kat bahu Ustazah tu pun macam ada sesuatu,” kataku lagi bila nampak
macam ada anak kecil yang sedang bertenggek kat bahu Ustazah Rotipah.

Ustazah Rotipah berhenti melangkah. Dia terus menepis bahunya.

“Sudah Aiman! Jangan cakap apa-apa lagi. Cepat kita pergi jumpa Ustaz Ismail,” kata
Ustazah Rotipah sambil memandang aku dengan marah. Aku terus diam. Aku cuma
beritahu apa yang aku nampak. Aku bukannya sengaja.

Sampai kat kawasan padang kecil kat belakang Blok Teratai, Ustazah Rotipah
melangkah laju ke arah Ustaz Salleh yang sedang membantu Ustazah Aini menjirus
Dayah. Dayang orang terakhir yang dimandikan. Murid lain dah dibawa ke bilik
mereka. Dengar cerita, mak ayah mereka dan dipanggil untuk membawa pulang anak
mereka. ‘Seronoknya mereka boleh balik.’ Bisik hati kecilku.

Ustazah Rotipah bercakap sesuatu kepada Ustaz Salleh dan sesekali mereka berdua
memandang aku dengan wajah serius. Tu mesti Ustazah Rotipah sedang mengadu kat
Ustaz Salleh kata aku menyakat dia. Aku tersengih-sengih kat situ. Dah besar pun
nak mengadu lagi.

Ustaz Salleh melangkah ke arah aku. “Aiman, kamu ok ke?” Ustaz Salleh tanya aku.

“Saya ok Ustaz. Cuma mengantuk, semalam tak cukup tidur. Boleh saya balik ke dorm?”
tanyaku.

“Ustazah Rotipah kata kamu nampak macam-macam benda pelik, betul ke?” tanya Ustaz
Salleh.

“Haah,” sahutku perlahan sambil matanya sedang melihat seorang perempuan


berkelubung dengan kain hitam, sedang berdiri di tepi pagar sekolah, memerhatikan
gelagat Ustazah Aini dan Ustazah Rotipah yang sedang membantu Dayah yang baru lepas
mandi.

“Kamu berkhayal ke Aiman?” tanya Ustaz Salleh lagi.

“Tak la Ustaz. Saya memang nampak. Selama ni saya tak nampak benda ni semua. Pagi
ni baru saya nampak,” kataku bersungguh. Risau juga aku bila Ustaz Salleh menuduh
aku berkhayal.

“Mari ikut saya berjumpa dengan Ustaz Ismail,” kata Ustaz Salleh.

“Nak buat apa?” tanyaku. Aku memang tak berapa suka jumpa Ustaz Ismail sebab dia
sangat serius. Nanti dia tanya apa-apa, aku takut nak jawab.

“Kalau tak salah, kenapa nak takut?” Tanya Ustaz Salleh lagi sambil memegang bahu
aku. Aku diam, tiada pilihan lalu megikut langkah Ustaz Salleh ke bilik kaunseling.

Kat sana, aku nampak Ustaz Ismail, Ustaz Khairi dan Cikgu Rahman dan guru besar
sedang berbincang. Mereka menggamit Ustaz Salleh bila nampak kami kat pintu bilik.
Ustaz Salleh melangkah ke arah kumpulan mesyuarat tu tapi aku tak ikut. Sebab aku
nampak satu lembaga hitam besar dan berbulu sedang berdiri kat belakang kerusi guru
besar. Menggeletar lutut aku melihatnya.

“Kenapa bawa Aiman ke sini?” tanya Ustaz Ismail. Ustaz Salleh membisikkan sesuatu
di telinga Ustaz Ismail, membuatkan Ustaz Ismail memandang aku. Dia kemudiannya
melangkah ke arah aku.

“Kat sini, kamu ada nampak orang lain selain dari kami berempat?” tanya Ustaz
Ismail tiba-tiba.

“Ada,” sahutku perlahan. Takut nak bertentang mata dengan Ustaz Ismail, yang selalu
rotan aku sebab tak solat Jemaah subuh pada pagi minggu.

“Kat mana?” tanyanya lagi.

Aku menunjukkan ke arah lembaga hitam yang berdiri di belakang kerusi guru besar.
Membuatkan guru besar cepat-cepat bangun dari kerusinya dan menoleh ke belakang.

– Bersambung –👻👻👻👻👻

HANTAR AKU BALIK

Bab 6
By ~ Farizal Radzali🔛🔛🔛🔛🔛

“Kamu jangan macam-macam Aiman.” Kata Cikgu Rohiman seakan memberi amaran. Aku
diam.

“Dah, kamu duduk kat sofa tu, jangan ke mana-mana,” kata Ustaz Ismail. Aku akur.
Selesa gak duduk kat sofa empuk kat bilik kaunseling ni. Rasa macam boleh lena ni.
Dah la kuasa mata aku tinggal 20% je dalam paras sedar ni.

Aku bersandar. Aku tutup mata tapi aku pasang telinga.

“Maksud ustaz, benda tu memang berada kat dalam sekolah ni sejak tujuh tahun
lepas?” kata Pengetua, Hajjah Noraini. Pengetua tu mula berkhidmat di sekolah aku
masa aku di tingkatan 2.

“Saya dan Ustaz Khairi dah ‘ikat’ dan ‘kurung’ dia. Sepatutnya ‘benda’ tu bangun
semula lepas lima tahun tapi kami dah ‘kurung’ dia elok-elok. Lepas lima tahun,
bila ‘benda’ tu tak muncul, kami ingat dia takkan muncul terus. Di atas kecuaian
ini, kami dah lupakan dia.” Kata Ustaz Khairi.

“Tapi biasanya benda macam ni takkan muncul kalau dah di’kurung’,” sahut Ustaz
Salleh. Ustaz Salleh juga mula berpindah ke sekolah aku pada masa aku di tingkatan
dua. Maknanya dalam kumpulan lima orang tu, hanya Ustaz Ismail dan Ustaz Khairi
saja orang lama di sekolah tu.

“Saya syak ada orang dah lepaskan dia,” kata Ustaz Khairi.

“Siapa? Macammana?” tanya pengetua.

“Itu yang kita perlu siasat ni.” Kata Ustaz Khairi.

“Ok, kita mulakan dari akar. Apa punca sebenar benda tu wujud kat dalam sekolah
ni?” kata Cikgu Rohiman yang diam sejak dari tadi memandangkan dia adalah guru
paling muda dan paling baru di sekolah tu, baru setahun berpindah ke sekolah tu,
mengajar subjek Bahasa Melayu. Hensem cikgu ni, baik pula tu. Mungkin sebab dia
masih muda, jadi dia boleh bergaul dengan kami macam abang adik.

“Asalnya dari pelajar kita jugalah. Adalah yang nakal sikit tu. Naluri anak remaja,
semua nak dicuba. Tak fikir akibat. Mereka bermain permainan ‘Spirit of the Coin’
tu. Tahu tak permainan tu?” kata Ustaz Ismail.

“Permainan yang letak syiling kat atas kertas, lepas tu letak jari telunjuk dan
seru semangat syiling tu?” tanya Cokgu Rohiman.

“Iyelah, masa tu permainan ni sangat terkenal kat merata-rata terutama sekolah,”


kata Ustaz Ismail.

“Tapi betul-betul ada semangat ‘benda’ tu ke permainan tu? Saya rasa macam takde
apa je, macam mainan minda je,” kata Cikgu Rohiman. Dia pun lebih kurang aku, tak
percaya benda-benda karut ni selagi tak nampak depan mata. Kami bukan menolak alam
ghaib, cuma kami yakin setiap sesuatu yang ganjil berlaku, pasti ada penyebabnya.

“Saya pun tak pasti. Kita nampak macam takde apa. Tapi itulah yang terjadi,” kata
Ustaz Ismail.

“Lepas tu, apa yang terjadi?” tanya pengetua.

“Mereka bermain dalam kelas. Ada lima orang pelajar perempuan dalam kelas 2 Miu.
Seru punya seru, syiling tu bergerak. Mereka tanya dia siapa. Katanya murid sekolah
ni juga. Meninggal kenapa? Katanya bunuh diri sebab result PMR tak sampai target
dia. Macammana bunuh diri? Terjun dari blok Kemboja.” Kata Ustaz Khairi mengimbau
kembali kisah tujuh tahun lepas.

“Blok Kemboja? Mana ada Blok Kemboja kat sekolah ni,” kata pengetua.

“Blok Wira tu dulu adalah blok asrama murid perempuan. Disebabkan kes inilah,
pengetua masa tu tukarkan Blok Kemboja tu jadi Blok Wira, blok murid lelaki. Tapi
kisah ni memang tak dihebahkan sebab takut nanti murid atau ibubapa tak berani
masuk ke sekolah ni.” Kata Ustaz Ismail.

“Apa jadi kat murid yang bermain semangat syiling tu?” tanya Cikgu Rohiman.

“Mereka tu asalnya main untuk suka-suka. Tapi bila dah bermain lebih kurang lima
belas minit, cikgu yang mengajar pun dah nak masuk kelas. Mereka mintalah semangat
tu balik. Tapi semangat syiling tu taknak balik. Katanya dia taknak balik. Dah
paniklah budak-budak tu. Kena pula cikgu yang akan masuk tu adalah cikgu paling
garang kat sini dulu. Cikgu Ehsan. Dia pun mohon tukar sekolah sebab kejadian ni.”
Kata Ustaz Khairi.

“Bila ketua kelas jerit, Cikgu sampai, murid yang sedang bermain ni panik. Mereka
terus angkat jari masing-masing dan lipat kertas permainan tu, simpan kat bawah
meja.” Sambung Ustaz Ismail.

“Habis tu?” tanya pengetua.

“Mula-mula takde apa, lepas lima belas minit, salah seorang dari mereka mula
berkelakuan pelik. Dia bangun dan berdiri kat atas meja. Cikgu Ehsan pun terkejut.
Dia ketawa dan menangis. Lepas tu lari keluar dari kelas. Kalut jugaklah sekolah
masa tu. Cikgu Ehsan cepat-cepat suruh budak lelaki pergi kejar dan tangkap murid
perempuan tu. Emelda namanya. Bila dapat ditangkap, lima orang memegang tapi
terpelanting semuanya. Kuat betul tenaganya. Akhirnya mereka terpaksa ikat dia di
tiang lampu sebab itu je yang paling dekat yang mereka mampu tarik dia. Masa ni
tiada siapa sangka ianya adalah berpunca dari permainan tu.” Kata Ustaz Khairi.

“Sampailah Cikgu Ehsan menelefon saya untuk datang ke tempat mereka ikat Emelda.
Kebetulan masa tu saya baru je balik dari mesyuarat dengan PPD, memang lalu kat
tempat mereka ikat dia. Masa tu tiada siapa berani buka mulut beritahu bahawa
mereka ada bermain permainan semangat syiling tu, sampailah saya sergah semua murid
yang berkerumun kat situ. Ada seorang murid beritahu mereka ada bermain permainan
tu sebelum Cikgu Ehsan masuk.” Kata Ustaz Ismail.

“Saya memang marah sangat masa tu. Mujur Ustaz Khairi sampai. Dialah yang
menenangkan suasana.” Kata Ustaz Ismail.

“Roh yang merasuk tu kata, dia mahukan korban. Setiap lima tahun seorang murid.
Syaitan, memang mahu kita berada di bawah telunjuknya. Dia memang mahu kita
turutkan kehendaknya. Jadi, kita bagi apa yang dia nak dengan syarat dia perlu
tunggu sehingga ada sebentuk cincin perak keluar dari dalam tanah di kawasan dia
sedang diikat. Dan dia setuju. Syaitan ni berpegang pada janji, bukan macam kita
manusia. Dan dia berusaha juga untuk dapatkan apa yang dia nak, walaupun seribu
tahun, dia tak pernah putus asa.” Kata Ustaz Khairi.

“Memang ada tanam cincin perak ke masa tu?” Cikgu Rohiman bertanya.

“Takde, kami cuma tipu dia dengan menanam sebiji batu kecil kat situ,” sahut Ustaz
Khairi.

“Tapi dengan cara itulah, roh tu meninggalkan tubuh Emelda,” kata Ustaz Ismail.

“Dan selepas kejadian tu, kami bina pondok riadah kat atas tempat roh tu keluar
dari badan Emelda. Dengan harapan dia takkan dapat cari cincin perak kat situ,”
sambung Ustaz Ismail lagi.

“Lepas lima tahun, tiada apa yang terjadi. Jadi, kami ingat dia dah tiada atau
memang dia akan terikat terus kat situ menanti cincin perak tu. Mana tahu hari ini
dia keluar.” Kata Ustaz Khairi.

“Tapi ustaz yakin memang ‘benda’ itulah yang mengganggu sekarang ni? Bukan benda
lain?” tanya pengetua inginkan kepastian.

“Saya yakin sebab masa murid perempuan kat blok Teratai meracau, mereka asyik
menyebut bahawa dia mahu kita tunaikan janji kita kerana dia dah tunaikan janji
dia. Dia mahu seorang murid sebagai korbannya,” kata Ustaz Ismail.
“Macammana dia nak korbankan murid?” tanya pengetua.

“Mungkin ada murid lain yang bunuh diri lagi, kita tak tahu,” kata Ustaz Ismail.

“Jadi, apa kita patut buat sekarang?” tanya pengetua lagi.

“Perkara pertama, kita kena cari macammana dia boleh keluar dari ikatan
perjanjiannya?” kata Ustaz Khairi.

“Mungkin dia dah jumpa cincin perak tu?” kata Cikgu Rohiman.

“Itulah yang saya maksudkan bahawa ada orang dah lepaskan dia,” kata Ustaz Khairi.

“Tapi tadi ustaz kata takde pun tanam cincin perak kat situ. Macammana pula boleh
ada cincin perak kat situ?” tanya pengetua lagi.

“Cincin perak tu hanya kiasan. Takde pun. Tapi dia pegang pada janji, dia cari
cincin perak. Dan kebetulan, mungkin entah dari mana, ada cincin perak sesiapa
tercicir kat situ, tu yang dia usaha cari tu. Untuk dapatkan apa yang dia nak dari
kita,” kata Ustaz Khairi.

“Ini peringatan untuk kita bersama, jangan sesekali buat perjanjian dengan syaitan,
tak kiralah apapun tujuannya,” kata Ustaz Ismail dengan wajah kesal kerana terlalu
ambil remeh lalu terlepas pandang akan hal ini.

“Cincin perak?” tiba-tiba je Ustaz Salleh bersuara setelah lama berdiam diri.

“Iye, cincin perak. Ustaz ada terdengar apa-apa cerita ke pasal cincin perak dua
tiga hari ni?” tanya Ustaz Ismail.

Ustaz Salleh memandang ke arah aku yang sedang buat-buat tidur kat sofa. Sebenarnya
memang aku nak penat dan boleh lena bila-bila je tapi cerita cikgu-cikgu tu menarik
minat aku sampai aku tak boleh lena. Dan berani ke aku nak lena betul-betul dengan
berdengkur dan air liur meleleh kat situ, di masa ramai ramai guru garang ada kat
situ? Sekali pengetua pun ada kat situ.

“Aiman, saya tahu kamu tak lena. Kamu dengar semuanya kan?” kata Ustaz Salleh. Nak
taknak aku buka mata.

“Kamu kan yang sibuk sangat cari cincin perak tu semalam. Ustaz dengan Fariz siap
tolong carikan.” Kata Ustaz Salleh membuatkan semua mata tertumpu ke arah aku.
Sekarang aku rasa aku terlepas dari mulut buaya tapi dah masuk ke mulut naga.

“Kamu cari cincin perak untuk apa Aiman?” tanya Ustaz Ismail. Terkebil-kebil mata
aku melihat lima pasang mata kat depan aku. Seramnya lebih dari aku tengok lembaga
hitam besar kat belakang tempat duduk pengetua tadi. Sekarang aku faham maksud
seram yang sebenarnya.

“Kenapa aku terkebil-kebil kat situ Aiman? Jawablah Ustaz tanya tu,” kaa Cikgu
Rohiman.

“Katanya ada seorang murid perempuan yang minta dia tolong carikan cincin perak kat
situ. Dia kata cincin perak itu adalah pemberian ayahnya. Terjatuh kat situ masa
dia sedang study.” Kata Ustaz Salleh tolong menjawab bagi pihak aku yang masih
terkebil-kebil kat sofa tu.

“Murid perempuan mana Aiman? Kamu senior kat sini, takkan kamu tak kenal junior
kamu,” kata pengetua pula.
“Saya tak cam. Memang rasanya macam tak pernah tengok tapi dia tak pakai tudung
masa tu. Saya ingat mungkin mukanya nampak lain bila tak pakai tudung. Lagipun saya
bukannya perhati sangat semua murid perempuan kat sekolah ni, cikgu,” kataku
menjawab perlahan.

“Macammana rupanya?” tanya Ustaz Khairi.

“Dia pakai baju kurung. Rambutnya panjang sampai pinggang ikat ekor kuda tu.
Kulitnya putih, nampak macam tingkatan 3, kecil je orangnya,” kataku lagi
membuatkan Ustaz Khairi dan Ustaz Ismail berpandangan sesama sendiri.

“Kamu tahu peraturan sekolah kan? Lepas prep tak boleh berkeliaran kat luar dorm.
Dan murid perempuan wajib bertudung, melainkan murid orang asli. Kalau murid orang
asli sekalipun, mereka tak boleh melepaskan rambut sesuka hati macam yang kamu
cakap tu. Kena kemas,” kata pengetua. Aku diam.

“Dua malam lepas, Ustaz tegur kamu kat pondok sebelah kelas, kamu kata ada murid
perempuan kat situ tapi ustaz tak nampak pun murid perempuan tu. Yang itu ke?”
tanya Ustaz Khairi lagi.

“Iye. Murid perempuan tu la,” jawabku.

“Saya rasa memang dia. Dia kena cari jalan untuk hantar dia balik ke tempat dia.
Tak boleh dah main janji, kurung atau ikat dia. Kena hantar dia balik. Kalau tak,
dia akan menyusahkan sekolah kat sekolah ni,” kata Ustaz Ismail.

“Hantar dia balik ke mana?” tanya pengetua, seperti masih kurang jelas dengan
suasana itu, atau mungkin dia dah panik bila tahu cerita sebenar.

“Kita hantar dia balik ke alam dia. Dia terkurung di alam kita sejak murid-murid tu
seru semangatnya melalui permainan tu.” Kata Ustaz Salleh yang semakin tahu punca
kejadian di sekolah pada hari ini.

“Sementara itu, arahkan semua murid perempuan balik ke rumah masing-masing dulu,
hingga semua masalah ni selesai,” kata pengetua.

“Murid perempuan je? Murid lelaki?” entah dari mana keberanian aku datang untuk
bertanya begitu kepada pengetua.

“Murid perempuan semangatnya tak kuat. Murid lelaki mungkin boleh membantu apa yang
patut,” kata Cikgu Rohiman sambil menepuk belakang aku.

– Bersambung –👻👻👻👻👻

HANTAR AKU BALIK

Bab 7
By~Farizal Radzali🔛🔛🔛🔛🔛

“Habis tu, yang si Aiman ni tiba-tiba boleh nampak semua benda-benda pelik tadi dah
kenapa pulak?” tiba-tiba je Cikgu Rohiman bertanya. Aku bulatkan mata aku, haah,
aku pun nak tahu juga kenapa aku nampak makhluk pelik semua hari ini.

“Perempuan tu ada jumpa kami kan? Dia minta cincin perak tu dari kamu. Selagi kamu
tak bagi dia cincin tu, dia akan dera mental kamu. Kamu akan nampak semua makhluk
dari alam satu lagi yang berada di sekolah ni,” kata Ustaz Ismail.

“Maknanya, dia bawa geng dia ke sekolah ni untuk ganggu kita semua selagi dia tak
dapat korban yang dia nak dan cincin perak yang menajdi tanda perjanjian tu?” tanya
Cikgu Rohiman.

“Dia tak perlu bawa geng, makhluk lain tu memang ada kat sekolah ni, cuma kita yang
tak nampak. Alam ghaib wujud di mana-mana. Jin dan syaitan ada di mana-mana. Samada
kita nak sedar atau tak je. Tapi untuk Aiman ni, mungkin ini cara dia nak beri
amaran supaya beri balik barang dia, maka dia bukakan laluan untuk Aiman boleh
nampak benda ni semua. Nanti bila Aiman dah tak tahan, Aiman akan beri cincin tu
kepadanya.” Kata Ustaz Khairi. Cikgu Rohiman dan pengetua terus memandang keliling,
terutama kat belakang kerusi pengetua yang tadinya aku kata ada lembaga hitam. Tapi
sekarang lembaga hitam tu dah takde, cuma aku nampak mata seseorang di celah papan
putih memandang ke arah kami.

“Kamu tengok apa tu Aiman?” tanya Cikgu Rohiman.

“Kat papan putih tu ada mata orang tengok kita,” sahutku jelas.

“Dah, jangan peduli semua tu. Fokus,” kata Ustaz Ismail sambil menepuk belakang
kepala aku.

“Puan pengetua tak perlu takut atau lari darinya. Biarkan dia. Dia tak boleh buat
apa-apa, jangan risau. Puan duduklah. Kita habiskan mesyuarat ni,” kata Ustaz
Khari.

Pengetua akur walaupun di wajahnya ada tanda cuak.

“Sekarang ni dia nak korban je kan? Bukan cincin tu,” kata pengetua lagi masih
kabur.

“Dia nak cincin tu sebagai bukti dia dah penuhi perjanjian tu. Selagi cincin tu
tiada di tangannya, perjanjian itu belum dipenuhi,” kata Ustaz Ismail.

“Mana cincin tu Aiman?” tanya Cikgu Rohiman membuatkan aku terkebil-kebil cuba
mengingatkan kat mana aku letak cincin tu semalam. Aku cuba mengingatkan kembali.
Lepas Faris jumpa cincin tu, dia bagi kat aku. Aku bawa naik ke dorm dan aku simpan
kat dalam loker rasanya.

“Nanti saya cari balik kat loker saya. Kalau jumpa nanti, saya nak bagi kat siapa?”
aku bertanya.

“Kamu bagi saya tapi dia tetap akan cari kamu sebab dia dah kenal kamu. Dia takkan
cari orang lain dah. Apapun jadi, jangan sampai cincin tu jatuh ke tangannya,
faham?” kata Ustaz Ismail tegas. Aku anggukkan kepala. Harap-harap aku jumpalah
cincin tu nanti. Kalau tak jumpa, habislah aku. Hantu cari aku, Ustaz Ismail cari
aku, satu sekolah ni salahkan aku.

“Dah, jom kita pergi ambil cincin tu,” kata Ustaz Ismail. Aku bangun dan melangkah
keluar dari bilik bersama Ustaz Ismail. Sebaik je aku dan Ustaz Ismail keluar, yang
lain pun ikut keluar, takut kot duduk dalam bilik tu.

Aku berjalan ke blok aku, naik ke tingkat 3 dan masuk ke dorm aku. Beberapa murid
sedang tidur kat katil mereka. Mentang-mentanglah takde kelas hari ini. Keadaan
sekolah pun agak sunyi sebab kebanyakan murid perempuan dah balik ke rumah masing-
masing setelah dimaklumkan kepada ibubapa mereka tentang hal yang menimpa anak
mereka di sekolah tersebut.

Sebaik je aku melangkah masuk ke dalam dorm, aku nampak ada benda hitam terjurai
dari atas siling. Aku dongakkan kepala, aku nampak perempuan tu sedang berdiri
terbalik, kakinya di atas siling dan kepalanya ke bawah. Melompat aku kejap.
Terkejut weh, siang buta dia boleh berdiri terbalik kat dorm aku.

“Kenapa?” Ustaz Ismail tanya aku bila nampak aku melompat dan berpatah ke belakang.

“Tu,” aku tunjukkan perempuan yang terbalik tu kat Ustaz Ismail.

“Siapa?” Ustaz Ismail tanya aku. Aku lupa pula dia tak nampak.

“Perempuan tu la, yang nak cincin tu dari saya,” kata aku memberitahu. Aku dah
terbayang-bayang, kalau aku ambil cincin tu sekarang, mesti dia rampas dari tangan
aku kan.

Ustaz Ismail diam. Dia masuk ke dalam dorm dan melihat ke arah siling dorm. Dia
terkumat-kamit membaca sesuatu dan meniup ke arah siling. Aku nampak perempuan tu
membetulkan kedudukannya, berdiri tak terbalik lagi tapi dia masih terapung-apung
di udara. Dia turun perlahan-lahan dan berdiri di belakang Ustaz Ismail. Dia
mengangkat tangannya yang hitam dengan kuku yang panjang lalu meletakkannya ke
leher Ustaz Ismail.

“Ustaz, dia nak cekik ustaz,” jeritku.

Belum sempat Ustaz Ismail berpaling ke arah aku, perempuan tu dah cekik Ustaz
Ismail. Ustaz Ismail jatuh terduduk tapi masih membaca surah Al Quran dengan nada
yang kuat. Beberapa kawan aku yang berbaring di atas katil, terus bangun dan
terkejut melihat aku dan Ustaz Ismail.

“Ustaz! Cikgu! Tolong!” aku menjerit dari tingkat 3 Blok Kemboja. Kebetulan Ustaz
Salleh berada di pejabat warden yang terletak di tingkat bawah Blok Kemboja.

“Kenapa Aiman?” tanyanya dari tingkat bawah.

“Cepat Ustaz. Ada hantu cekik Ustaz Ismail,” jeritku lagi membuatkan Ustaz Ismail
terus memanjat tangga dan naik ke dorm aku.

Masa Ustaz Ismail sampai, Ustaz Ismail terbaring kat lantai dorm tapi hantu
perempuan tu dah takde. Izzat, Faris, Wan, Adli dan Izam masih duduk bersama di
tepi tingkap, semua dengan muka cuak. Tak pernah aku tengok muka mereka macam tu.
Nak lagi si Izzat, dia paling berani di antara kami. Aku ni bukan berani, Cuma aku
tak percaya. Tapi sekarang, akibat tak percaya tu, akibat terlalu nak bukti,
terlalu percaya pada teori sains, aku dapat lihat lebih dari yang aku patut lihat.
Aku dapat tengok hantu weh.

Ustaz Salleh terus mendapatkan Ustaz Ismail yang seperti baru tersedar dari
pengsan. Ada kesan cakaran di leher Ustaz Ismail. Tiga garisan panjang.

“Ustaz ok ke?” Ustaz Salleh bertanya. Ustaz Ismail menganggukkan kepala.

“Dia makin berani. Dan saya rasa dia masih mengenali saya,” kata Ustaz Ismail.

“Bahaya untuk budak-budak ni. Tiga garis di leher Ustaz ni, tanda amaran. Tiga
garis bermaksud dia sedang marah,” kata Ustaz Salleh. Dan Ustaz Ismail
menganggukkan kepala tanda setuju.

“Kamu semua pindah ke dorm sebelah menyebelah dulu. Berhimpitlah buat sementara
waktu. Biar dorm ini kosong dulu,” kata Ustaz Salleh.

“Kami tak boleh balik ke Ustaz?” Izam bertanya.

“Belum lagi. Kita masih perlukan bantuan kamu dalam sekolah ni,” kata Ustaz Salleh.
Izam dan kawan lain bangun menuju ke loker masing-masing, mengambil barang
keperluan dan melangkah ke dorm sebelah. Wan je yang masih kat lokernya. Katanya
lokernya tak boleh buka. Loker Wan kat sebelah loker aku. Kat loker aku la ada
cincin tu. Tapi Wan tak tahu.

Aku nampak ada satu makhluk seakan pocong yang selalu aku lihat dalam filem,
bersandar kat pintu loker Wan. Mungkin sebab tu loker dia tak boleh buka.

“Ustaz, ada pocong bersandar kat pintu loker Wan tu, sebab tu dia tak boleh buka,”
kataku berbisik kepada Ustaz Ismail. Ustaz Ismail melangkah ke arah Wan lalu
menepuk pintu loker dan terus pintu loker tu boleh dibuka. Makhluk seakan pocong
tadi melompat-lompat ke arah dinding dan terus hilang. Ni kalau aku beritahu Wan
ada pocong kat loker dia, mahu dia minta tukar sekolah ni. Wan adalah salah seorang
yang paling penakut dan paling percaya pasal hantu. Dia mesti ajak kawan teman
setiap kali dia ke tandas. Katanya kat tandas banyak jin dan syaitan.

“Mana cincin tu?” tanya Ustaz Ismail.

“Ada kat dalam loker,” kataku.

“Pergi ambil,” kata Ustaz Ismail.

Baru je aku nak melangkah, Ustaz Salleh tahan aku.

“Saya rasa, jangan ambil dulu. Biar kat sana. Dia akan terus mencari cincin tu. Itu
saja cara untuk kita lalaikan dia. Biar dia cari sementara kita dapat jalan untuk
hantar dia balik ke alam dia.” Kata Ustaz Salleh kepada Ustaz Ismail.

Ustaz Ismail diam.

“Jangan ambil cincin tu, ambil barangan kamu je dulu. Bawa ke dorm sebelah. Biarkan
dorm ini kosong,” kata Ustaz Salleh. Aku akur. Aku buka loker aku dan ambil
barangan aku. Sebenarnya aku pun lupa kat mana aku letak cincin tu. Tapi sekarang
aku taknak cari sebab aku takut.

Hari tu sekolah lengang dan sunyi. Semua murid di tingkatan satu hingga tiga
dibenarkan pulang.Tinggallah murid tingkatan empat dan lima sahaja. Kuarter guru
juga banyak yang dah dikosongkan terutama rumah yang ada anak kecil.

Lepas waktu riadah petang, kami semua kembali ke dorm untuk bersiap untuk ke surau
solat jemaat maghrib. Selesai solat maghrib, kami masuk kelas untuk prep malam.
Selesai prep malam, kami ke dewan makan dan sesudah itu kami kembali ke dorm untuk
tidur.

Selalunya satu dorm ada sepuluh orang, tapi sebab kami dari dorm 3A menumpang di
dorm lain, dah jadi sempit dorm tu. Kami terpaksa bentang tilam yang diberikan oleh
Cikgu Rohiman siang tadi di lantai simen untuk tidur.

Baru nak baring, Izzat kata dia tertinggal MP3 kat dorm 3A. Izzat ni ada satu hobi,
nak tidur kena pasang MP3. Kalau tak dia tak boleh tidur.

“Aiman, jomlah teman aku pergi ambil MP3 aku sekejap. Aku dah ajak yang lain,
mereka taknak ikut. Mereka semua takut. Kau je Aiman yang berani sikit. Jom la,”
Izzat ajak aku.

“Hish, taknaklah aku. Dah pukul berapa ni, kau nak pergi ke dorm tu? Entah apa
hantu lagi ada kat dalam tu.” Kataku menolak, kali ini tak malu aku kata aku takut.
“Kau kan percaya pada sains. Mana ada hantu di dunia siber ni. Kalau ada hantu pun,
dia tak boleh buat apa. Aku tak pernah dengar lagi ada orang mati dibunuh hantu,”
kata Izzat mengapikan aku.

“Kalau kau dah berani sangat, kau pergilah sendiri. Buat apa ajak orang lain. Dah
la, pukul 12 tengah malam dah kot. Tidur je. Esok je kita ambil MP3 kau tu.” Kataku
sambil berpaling ke arah lain.

“Sampai hati kau taknak teman aku. Takpe, lain kali kalau aku makan McD, aku taknak
bagi kat kau lagi,” ugut Izzat. Izzat ni kategori anak orang kaya kat sekolah tu.
Ayahnya kontraktor. Duit belanjanya berkali ganda dari duit belanja aku. Handphone
pun boleh mampu beli. Makanan memang dia tak kedekut. Kalau beli McD ke, KFC ke,
kami semua memang boleh menumpang.

“Aku bukan taknak teman kau, aku takut Izzat. Kau tak tahu apa rasanya bila nampak
benda-benda pelik yang kau tahu datang dari dunia lain. Memang dia tak boleh buat
apa-apa, tapi rupa mereka tak sama dengan kita kat sini. Lain sangat. Itu yang buat
mental kau lemah,” kataku cuba memujuk Izzat. Izzat tak jawab. Marah kot.

“Kalau dia tak boleh buat apa-apa, kenapa dia boleh cekik Ustaz Ismail. Ustaz kot,
memang ahli agama pun kena cekik siap tinggal bekas lagi. Inikan kita yang solat
pun sebab kena paksa.” Kataku lagi menguatkan fakta untuk memujuk Izzat.

Izzat taknak dengar cakap aku lagi. Dia terus bangun dan melangkah keluar dorm. Aku
panggil dia beberapa kali tapi dia tak peduli. Aduh! Nak taknak aku pun bangun.
Memang aku takut, tapi aku tak sampai hati biarkan Izzat pergi sendiri. Bukan sebab
McD tau!

Masa aku keluar dari dorm, aku dah tak nampak Izzat dah. Lajunya dia jalan. Aku
terus pergi ke dorm 3A. Pintu dorm bertutup rapat. Hish, Izzat ni, masuk kejap pun
nak tutup beriya. Nak ambil MP3 je kan. Pulak tu, loker dia paling dekat dengan
pintu. Tak payah la beriya tutup pintu.

Aku tarik daun pintu dorm. Gelap.

“Izzat,” aku panggil Izzat. Tiada sahutan.

Tiba-tiba aku dengar bunyi pintu loker di tutup kuat. Izzat kot.

“Izzat, kenapa tak pasang lampu?” tanyaku. Tiada sahutan tapi memang aku dengar
bunyi loker diselongkar.

Aku memberanikan diri melangkah masuk ke dalam dorm. Pergi ke arah suis lampu.
Sebaik sahaja lampu terpasang, aku nampak Izzat tapi dia bukan kat loker dia, dia
sedang geledah loker aku.

“Izzat, kenapa kau cari kat loker aku? Aku tak ambil MP3 kau pun,” kataku pelik.

Izzat tak mempedulikan aku. Dia terus menggeledah loker aku. Beberapa barangan aku
yang berada di dalam loker tu pun dicampaknya keluar. Panas pulak hati aku. Kot iye
pun marah sebab aku taknak temankan, tak payahlah selongkar loker aku.

– Bersambung –👻👻👻👻👻

HANTAR AKU BALIK

Bab 8
By~Farizal Radzali 🔛🔛🔛🔛🔛
Aku melangkah merapati Izzat. Izzat masih leka menggeledah loker aku. Sampai kat
Izzat, aku tarik bahu dia. Dia menoleh dan pandang aku. Tapi rupanya agak lain.
Kulitnya agak kehitaman dan matanya putih.

“Mana kau letak barang aku?” tanyanya dengan suara perempuan yang agak garau.

“Kan aku dah cakap, aku tak ambil barang kau,” jawabku berundur setapak ke belakang
bila Izzat mara setapak ke arah aku.

“Kau janji nak cari barang aku. Dan kau dah jumpa, sebab itu aku boleh lepas. Tapi
aku nak barang itu sebagai bukti perjanjian aku telah tamat,” kata Izzat lagi,
sambil mengangkat kedua-dua tangannya dan menghalakan ke leher aku seolah mahu
mencekik aku.

Aku pun apa lagi, mengorak langkah seribu ke arah pintu. Tapi pintu tu tiba-tiba
tertutup sendiri. Aku jadi gugup. Aku tolak pintu tu, tapi tak boleh. Seperti ada
sesuatu yang berat menahannya dari arah luar.

Aku menoleh ke arah Izzat. Dia seakan terapung. Dan bergerak menghala ke arah aku.

“Bagi barang aku, baru aku lepaskan kau.” Katanya.

Aku tak menjawab. Aku nampak ada beberapa objek yang bergerak dalam bilik tu. Dari
atas loker, aku nampak makhluk seakan toyol, badannya berwarna hijau, kepala botak,
perut buncit dengan gigi taring melepasi dagu.

Dari bawah katil, aku nampak makhluk seakan pocong. Di katil Faris, aku nampak
pontianak seperti sedang duduk di situ. Aku pandang keliling, banyak makhluk pelik
dengan rupa yang menyeramkan di dalam bilik tu.

“Kau takkan boleh keluar selagi kau tak bagi barang aku.” Kata Izzat sambil
meletakkan tangannya dileher aku. Aku tak berdaya lagi. Aku hanya mampu diam dan
menyerah diri. Aku pun bukannya pandai sangat nak baca doa bagai. Doa tidur pun aku
tak baca, doa makan pun aku tak baca selalu. Aku tak boleh berfikir dah barang apa
yang Izzat mahu, sebab dia adalah Izzat. Sejak tadi, Izzat hanya inginkan MP3 dia,
tapi memang aku tak ambil MP3 dia.

Tangan Izzat mula menyentuh leher aku. Sejuk sekali tangan dia. Dan ketika ini
wajahnya hampir dengan wajahku, aku dapat lihat wajah Izzat pucat kebiruan seperti
berada di dalam ais dalam kadar masa yang agak lama.

Aku dapat rasa cengkaman tangan Izzat mencekik leher aku semakin kuat. Hingga aku
tak boleh bernafas. Aku rasa seperti nafasku tersekat di leher.

Di masa aku rasa dunia aku makin gelap, seseorang menarik pintu dorm hingga aku
jatuh terlentang. Masa ni aku rasa macam aku dapat nafas aku semula. Aku tarik
nafas panjang-panjang. Aku terasa seseorang memegang tangan aku dan menggosok
belakang aku perlahan-lahan.

“Aiman, Aiman, kamu ok tak? Tarik nafas perlahan-lahan. Buka mata dan lihat
keliling. Istighfar,” aku dengan suara Ustaz Salleh.

Bila aku dah ok sikit, barulah aku nampak betul-betul siapa kat depan aku. Ada
Ustaz Salleh, Ustaz Khairi, Ustaz Ismail, Faris dan Adli. Mereka memandang tepat ke
arah aku. Ustaz Ismail pula dah macam singa nak terkam mangsa.

“Apa kamu buat kat dalam bilik ni? Kan kami dah pesan jangan masuk bilik ni,”
jerkah Ustaz Ismail dengan wajah merah menyala. Ustaz Ismail ni memang berkulit
cerah, putih sangat. Jadi bila dia marah atau kepanasan, memang merah menyalalah
kulit mukanya.

“Saya temankan Izzat, dia kata nak ambil MP3 dia, tadi dia lupa nak ambil masa
keluar dari dorm ni.” Sahutku.

“Teman Izzat apanya, Izzat ada je tidur kat dorm sebelah,” kata Ustaz Ismail, masih
dengan nada marah. Ustaz Khairi menepuk bahu Ustaz Ismail, sebagai isyarat sabar.
Ustaz Ismail terus bangun. Ustaz Khairi menarik aku bangun dan keadaan terduduk
tadi.

Dia bawa aku ke dorm sebelah. Dia tunjukkan aku kepada seseorang. Aku nampak Izzat
sedang tidur lena di atas toto.

“Tapi tadi dia ada kat sebelah,” kataku lagi.

“Dia buat apa kat sebelah tu?” tanya Ustaz Khairi lagi.

“Dia cari barang dia la,” sahutku.

“Barang dia?” tanya Ustaz Khairi semula dengan pandangan lain macam.

Dan pandangan itu membuatkan aku berfikir sejenak. Aku diam seketika.

“Tapi dia cari barang dia kat loker saya, ustaz. Saya dah beritahu dia bahawa saya
tak ambil barang dia. Tapi dia tetap selongkar loker saya. Bila saya marah dia, dia
marah saya balik. Dan dia cekik saya,” kataku cuba menerangkan setiap satu situasi
yang terjadi walaupun aku sendiri ada rasa pelik dengan cerita aku.

“Ok, Izzat kat bilik sebelah. Habis tu yang kat sini siapa?” tanya Ustaz Khairi.
Aku diam.

“Dan kenapa dia cari barang dia kat loker kamu?” tanya Ustaz Khairi lagi.

“Mungkin dia ingat saya ambil barang dia.” Kataku masih lagi nak mempertahankan
cerita aku. Aku nak mereka tahu bahawa aku tak menipu.

Ustaz Khairi merapati Izzat, ditepuknya pipi Izzat berulang kali sambil memanggil
nama Izzat perlahan, taknak mengganggu murid lain yang sedang tidur.

Izzat bangun sambil menggosok-gosok matanya.

“Izzat, tadi kamu ada ajak Aiman teman kamu ambil barang kat dorm 3A ke?” tanya
Ustaz Khairi perlahan.

“Dorm 3A, dorm yang ada hantu tu? Memang tak la,” sahut Izzat dengan mata separuh
terbuka.

“Izzat, tadi kau yang ajak aku pergi ambil MP3 kau kat dorm sebelah. Kau siap marah
aku sebab aku taknak temankan,” kataku dengan nada tak puas hati, Izzat macam
sengaja nak kenakan aku.

“Aiman, MP3 aku ada je kat dalam beg aku ni. Buat apa nak pergi ambil lagi?” tanya
Izzat dengan nada bengang sambil menunjukkan MP3 yang berada di dalam begnya.
Iyelah, siapa tak marah kalau dikejutkan ketika tidur semata untuk mengaku perkara
yang dia tak buat? Aku terdiam dan garu kepala yang tak gatal.

“Aiman, apabila orang dewasa yang menjaga kamu kata JANGAN, adalah sebabnya.
Maknanya ada mereka taknak kamu terjebak dalam kesusahan. Kamu sepatutnya tahu itu.
Kamu dah besar kot, budak pandai lagi,” kata Ustaz Salleh. Aku diam.

“Yang kamu lihat kat dorm sebelah tu, bukan Izzat. Tapi perempuan yang sedang
mencari cincin perak yang berada dalam simpanan kamu. Syaitan boleh perdayakan kita
dengan pelbagai cara. Dia boleh muncul sebagai ibu kamu juga, asalkan dia dapat apa
yang dia nak. Lain kali, bila terjadi begini, jumpa Ustaz. Kamu masih tak tahu
betapa besarnya masalah kat sekolah ni sekarang kan?” tanya Ustaz Salleh, dengan
nada lembut.

“Inipun nasib baik Faris dan Adli datang cari Ustaz Ismail sebab mereka cari kamu
tak jumpa dan mereka dengar bunyi macam orang bergaduh kat dorm 3A. Kalau tak, tak
tahulah apa nasib kamu malam ni. Silap gaya, kamu yang jadi mangsa korban,” kata
Ustaz Salleh. Aku diam, tapi masih dalam keadaan blur.

“Sudah, kamu tidur. Jangan ke mana-mana lagi. Tutup pintu dorm ni.” Kata Ustaz
Salleh sambil bangun meninggalkan kami. Aku baring semula. Faris dan Adli pun sama.

“Faris, aku nampak ada Pontianak duduk kat katil kau. Dan Adli, ada toyol
bertenggek kat atas loker kau,” kataku perlahan.

“Dah la Aiman, tidurlah. Tak payah merepek malam-malam buta ni,” kata Adli dengan
nada tak selesa.

“Betul, aku tak merepek. Aku nampak,” sahutku gigih nak mereka percayakan aku.

“Aiman, dulu bila kami cakap pasal hantu, kau ejek kami. Kau kata kami percaya
tahyul la, karut la, khurafat bagai. Sekarang kau yang lebih,” kata Faris, juga tak
selesa dengan kata-kata aku.

Aku diam. Rupanya beginilah rasanya masa aku memperlekehkan mereka dulu.

Aku berpusing ke arah Izzat. Aku pejamkan mata, cuba untuk lena. Tiba-tiba aku rasa
ada sesuatu yang sejuk menyentuh tangan aku. Aku buka mata. Aku tak boleh bangun,
seperti ada sesuatu yang berat sedang menghimpit aku.

Aku pandang Izzat yang tadinya sedang lena. Aku nampak Izzat tersenyum dan matanya
putih memandang aku.

“Aku mahu barang aku.” Katanya Izzat. Aduh! Kenapa Izzat masih macam ni? Aku betul-
betul menggigil masa ni. Aku cuba gerakkan anggota badan aku tapi tak berdaya.
Semuanya terasa kebas.

Aku pejamkan mata aku. Aku cuba anggap aku sedang bermimpi. Tapi tak boleh. Aku
rasa dadaku sesak, macam tak boleh bernafas. Macam jantung aku sedang ditekan. Aku
buka mata, kali ni aku tak nampak Izzat, tapi aku nampak perempuan yang mencari
cincinnya tu.

Aku gigihkan diri untuk dapatkan kekuatan. Dan aku berjaya. Aku bangun dan terus
melaungkan azan. Sampailah seseorang memasang lampu di dorm tersebut.

“Aiman, kau dah kenapa laung azan pukul 3 pagi ni? Kau mengigau ke?” aku dengar
suara Azizi merungut.

“Hantu perempuan tu ada dalam dorm ni. Tadi aku nampak dia. Dia tekan jantung aku
sampai aku tak boleh bernafas,” aku memberitahu.

“Teruk sangat dah kau ni Aiman,” sahut Wan pula.

Dalam keadaan tu, tiba-tiba terdengar seseorang mengetuk pintu dorm dari luar
sebanyak tiga kali. Kami semua diam kat dalam bilik tu.

“Siapa tu? tanya Izam perlahan. Masing-masing angkat bahu.

“Ustaz ke tu?” tanya Adli dari tepi pintu.

Tiada sahutan. Wan bangun lalu merapati tingkap. Dia menarik besi tingkap untuk
membuka tingkap cermin berkenaan. Tapi dihalang oleh Azizi. “Kau nak buat apa tu?”
tanya Azizi.

“Aku nak tengok siapa kat luar tu, mengetuk pintu bilik kita pukul 3 pagi ni,” kata
Wan.

“Jangan. Biarkan saja dia. Mungkin kita semua salah dengar,” kata Adli.

“Kita ada 15 orang kot, takkan semua pun salah dengar?” tanya Luqman pula yang diam
sejak tadi.

“Dahlah. Pintu dorm dah kunci kan? Takde siapa boleh masuk. Tutup lampu tu, kita
tidur,” kata Izzat menyumbatkan semula earphone MP3 ke telinganya dan terus baring.

Luqman bangun dan menutup lampu. Kami semua berbaring kat tempat masing-masing. Tak
sampai 10 minit, pintu dorm kami diketuk lagi. Kali ni lebih kuat. Masing-masing
bangun dan duduk di tempat tidur sendiri.

“Siapa tu?” jerit Adli. Tiada sahutan. Suasana sunyi seketika.

“Siapa tu weh? Aku dah seram sejuk ni. Tak pernah lagi la orang ketuk dorm ni waktu
macam ni. Kalau warden nak panggil pun, dia terus tekan siren je. Takdenya ketuk-
ketuk pintu macam ni,” kata Faris yang mula menggeletar. Dia paling cepat takut.

Aku diam je. Nanti kalau aku kata mungkin itu hantu perempuan tu, mereka kata aku
merepek. Jadi, aku pilih untuk diam walaupun aku dah rasa lain macam. Bulu roma aku
dah meremang.

Lima minit suasana sunyi. Tapi masing-masing masih berdiam diri di tempat tidur
masing-masing.

Sepuluh minit lagi, tiada bunyi ketukan lagi. Kami semua baring semula dan cuba
untuk tidur. Tiba-tiba Adli tepuk tangan aku. “Aiman, perut aku memulas. Jom teman
aku ke tandas.” Kata Adli sambil membongkok dan menekan perut.

“Kau tahan la sampai pagi esok. Siapa yang berani keluar dalam keadaan ni?” kataku.
Memang aku takkan keluar dari bilik ni sampai aku dengar ayam berkokok.

“Tolonglah Aiman. Aku tak tahan sangat dah ni. Bila-bila boleh terbarai ni,” rayu
Adli lagi, buatkan aku tak sampai hati. Susah weh nak tahan perut memulas ni.

Belum sempat aku dan Adli buka pintu, tiba-tiba sekali lagi pintu diketuk kuat dari
luar. Kali ni sampai bergoyang la pintu tu, macam nak roboh.

Izzat yang hilang sabar, terus bangun. “Woi! Siapa punya kerja ketuk-ketuk pintu
ni. Jangan main-main!” jeritnya membutkan semua kawan lain pun bangun. Adli pula
masih berdiri menekan perut, tak tahan nak membuang tapi dalam masa yang sama takut
nak buka pintu.

Tak lama lepas Izzat menjerit, pintu dorm terbuka sendiri. Kami semua yang berada
kat dalam tu terpinga-pinga, macammana pintu dorm tu boleh terbuka dari luar
sedangkan dah terkunci dari dalam?
– Bersambung –👻👻👻👻👻

HANTAR AKU BALIK

Bab 9
By~Farizal Radzali🔛🔛🔛🔛🔛

Kami semua yang berada di dalam dorm terdiam. Izzat yang baran tu pun terdiam sama.
Aku tarik Adli mengundur dua tiga tapak dari pintu dorm yang terbuka luas. Adli
masih menekan perut dengan muka mengerekot menahan sakit perut yang memulas.

Tiada siapa di muka pintu yang terbuka. Kami masih menunggu. Masing-masing tak
berani bergerak. Menahan nafas. Masa ni rasanya kalau ada jarum jatuh ke lantai pun
boleh dengar, silap gaya bunyi jarum pun macam bunyi kerusi terbalik sampai semua
orang boleh terkejut.

Setelah suasana sunyi seketika, Izam bangun lalu melangkah ke pintu. “Zam, kau nak
kemana?” tanya Azizi.

“Aku nak tengok la, siapa yang tolak pintu ni. Dia tunggu kat luar, kita tunggu kat
dalam, sudahnya sampai subuh tak tidur nanti. Aku mengantuk ni.” sahut Izam seperti
dah hilang sabar menunggu.

“Tak usahlah Zam. Dah terang-terang kita kunci pintu tadi, macammana pula boleh
terbuka sendiri. Nak kata angin, takkanlah sebab dulu angin lagi kuat dari ni pun,
tak pernah terbuka pintu ni kalau kita kunci,” kata Wan pula.

Izam tak peduli, dia melangkah terus ke pintu. Sampai kat pintu, dia menjenguk
keluar. Masa dia menjenguk keluar tu la, aku nampak perempuan tadi merangkak secara
terbalik kat atas siling. Rambutnya mengurai tergantung. Meremang bulu roma aku.
Perempuan itu merangkak dan berhenti betul-betul di atas kepala Izam yang masih
terjenguk-jenguk ke luar.

“Zam, lari Zam. Dia kat atas kepala kau,” aku jerit. Semua mata memandang ke atas
kepala Izam tapi takde siapa yang nampak perempuan tu.

“Benda apa kat atas kepala aku? Takde apa pun,” kata Izam sambil mendongak
kepalanya ke atas. Masa ni aku nampak perempuan di merapatkan mukanya ke muka Izam.
Aku hilang sabar, aku berlari dan tarik Izam jauh sikit dari perempuan tu.
Perempuan tu pandang aku.

“Bagi barang aku, aku lepaskan semuanya,” katanya dengan suara garau sambil
memandang tepat ke arah aku.

“Tadi kau dah selongkar loker aku, kau tak jumpa kan? Maknanya barang kat tiada kat
aku. Jangan kacau kami lagi,” dalam tak sedar aku menjerit memarahi perempuan yang
masih dalam keadaan terbalik di siling. Semua kawan-kawan aku yang berada di dalam
dorm memandang aku tanpa berkelip. Mereka pelik kot sebab aku bercakap seorang diri
sambil memandang ke siling.

“Bagi barang aku. Kau tahu dimana barang aku. Kalau tidak, salah seorang kawan kamu
akan menjadi korban pada malam ni,” katanya lagi sambil merangkak perlahan-lahan ke
arah kawan-kawan aku yang masih ternganga melihat aku.

Aku hanya memandang ke arahnya. Dia merangkak dan berhenti di atas kawan-kawan aku
yang sedang berkumpul. Aku tak mampu nak beritahu mereka tentang apa yang aku
nampak sebab hanya aku yang nampak, mereka yang lain tak nampak.
Tiba-tiba je Faris melompat sambil menggosok kepalanya. “Kenapa Faris?” Zikri
bertanya.

“Ada air menitis kat kepala aku,” katanya sambil memandang ke siling tempat dia
duduk tadi. Dimatanya memang takde apa. Tapi di mataku memanglah ada perempuan tu
sedang bertenggek di siling dengan air liurnya meleleh.

Tak lama lepas tu, loker di tepi Wan jatuh terbalik ke lantai. Yang lain sempat
lari tapi Wan tak sempat, loker besi tu jatuh tertimpa kakinya. Menjerit dia bila
kakinya terhimpit dengan loker tu. Beberapa orang kawan aku cuba mengangkat loker
tu tapi tak boleh. Loker tu bukannya berat sangat tapi perempuan tu sedang berdiri
di atasnya, menjadikannya berat.

“Bagi barang aku!” katanya memandang tepat ke arah aku. Aku terkaku seketika.
Sesungguhnya aku betul-betul lupa kat mana aku letak cincin tu. Aku rasa memang kat
dalam loker, tapi bahagian mana aku pun tak ingat. Sebab dia dah selongkar loker
aku tadi, tapi tak jumpa. Sama je kalau aku yang selongkar loker aku sendiri.

Di satu sudut, aku nampak satu lembaga seakan pocong berdiri. Allahu. Dia berdiri
betul-betul kat tepi Azizi. Sama je posisinya.

“Zizi, kat tepi kau,” aku kata. Dan tanpa banyak soal, Azizi terus melangkah ke
tempat lain. Semua yang berada di situ memang dah tiada suara. Dalam keadaan kalut
tu, tiba-tiba aku perasan sesuatu. Izzat sedang berdiri di atas pagar batu,
bersedia untuk melompat ke bawah!

“Weh, korang, tahan Izzat. Cepat!” aku jerit membuatkan Faris, Izam, Zikri dan
Azizi berlari pantas ke arah Izzat dan terus memegang tangan Izzat yang dah separuh
senget nak terjun ke bawah. Perempuan tadi dalam keadaan terapung, merangkak ke
arah Izzat yang sedang dipegang oleh kawan-kawan. Kawan lain yang masih berada di
dalam dorm mengangkat loker yang menghempap kaki Wan. Berdarah juga kakinya kerana
tercucuk dengan bahagian tajam bucu loker tu yang terkopek besinya.

Aku nampak perempuan tu menarik tangan Izzat ke bawah membuatkan Izzat kembali
seakan nak terjun walaupun dipegang oleh beberapa orang kawan termasuk aku. Masa
menarik tangan Izzat, perempuan tu lalu ditepi kami semua sambil meleretkan kukunya
yang panjang ke leher dan tubuh kami. Mereka yang lain tak nampak tapi aku perasan
mereka asyik menggosok leher mereka seperti mereka terasa ada sesuatu yang bergerak
di leher mereka. Macam aku lagi la, aku yang nampak dan lutut aku menggeletar.

“Astaghfirullah!” aku terdengar suara orang menjerit dari bahagian bawah. Aku
jenguk dan nampak Ustaz Ismail bersama beberapa orang murid dari dorm tingkat 2.
Mungkin mereka yang memanggil Ustaz Ismail di surau.

“Ustaz, tolong. Kami tak dapat tahan lagi ni,” kata Faris. Masa ini, murid dari
dorm sebelah pun dah datang membantu.

Seketika kemudian, Ustaz Salleh dan Ustaz Khairi muncul di tingkat 3. Masa ni aku
nampak perempuan tu terbang agak jauh sedikit. Dia berdiri terapung di siling.
Ustaz Salleh menarik tangan Izzat dan Izzat terus terduduk di tepi dinding dorm
dengan wajah pucat dan dia menggeletar.

Ustaz Khairi memegang kepala Izzat dan membacakan beberapa surah lalu meniupnya ke
wajah Izzat. Masa ni barulah Izzat nampak tenang sikit.

“Kau nampak dia Aiman?” tanya Ustaz Salleh. Aku menganggukkan kepala.

“Dia tak seorang, ada banyak lagi.” Kataku. Memang benar, berdiri kat depan kami
sekarang ada pelbagai bentuk, pelbagai rupa.
“Dia ganggu minda kau, jangan pandang tepat ke mata mereka. Sebab itu adalah cara
mereka untuk kamu ikut mereka,” kata Ustaz Salleh. Aku terus tundukkan muka.

Aku dengar Ustaz Salleh membaca Al Fatihah dan ayat-ayat Ruqyah. Aku dan kawan lain
turut sama membaca pada bahagian-bahagian ayat yang kamu tahu dan hafal.

Aku nampak beberapa makhluk dengan rupa menyeramkan di depan kami hilang satu
persatu. Hingga akhirnya tinggal perempuan tu sahaja.

“Aku mahu kamu tunaikan janji kamu,” katanya.

“Aku tak pernah berjanji dengan kamu,” kata Ustaz Salleh.

“Kamu berjanji andai aku dapat keluarkan cincin perak dari tempat tu, kamu bagi aku
satu korban,” katanya lagi. Tapi aku nampak dia seakan lemah.

“Mana cincin perak tu?” Ustaz Salleh bertanya.

“Ada pada dia,” katanya sambil menunjukkan kepada aku. Dan serta merta dada aku
berdebar.

“Maknanya ia masih tiada pada kamu. Jadi kamu belum berjaya untuk menuntut
janjimu,” kata Ustaz Salleh.

“Tapi aku telah terlepas dari ikatanmu,” katanya lagi.

“Kamu cuma terlepas, tapi kamu tak dapat cari barangnya,” kata Ustaz Salleh masih
berlawan cakap dengan perempuan tu.

“Kamu baliklah ke tempat kamu. Di sini bukan tempat kamu. Kamu takkan perolehi apa-
apa di sini. Pergilah dengan cara baik, kalau tak, aku bakar kau dengan surah
Quran,” ugut Ustaz Salleh.

Aku lihat perempuan tu terbang ke luar dari kawasan bangunan.

“Ustaz, dia dah pergi,” kataku.

“Saya nampak,” kata Ustaz Salleh.

“Ustaz nampak?” tanya aku lagi.

Ustaz Salleh menganggukkan kepala.

“Dia dah pergi maknanya dah takde apalah kan Ustaz?” tanyaku.

“Kau percaya dia dah pergi?” tanya Ustaz Salleh lagi. Dan aku menganggukkan kepala.

“Tak semudah itu. Dia akan datang balik sampai dia dapat apa yang dia nak.” Kata
Ustaz Salleh.

“Jadi, macammana sekarang?” tanyaku lagi. Baru je rasa nak lega, ingatkan hantu
perempuan tu dah pergi, rupanya dia menyorok je sebab kepanasan dengan surah-surah
yang dibaca.

Tiba-tiba ada bau busuk. Kami semua menoleh sekeliling. Aku dah meremang bulu roma
balik. Ingatkan perempuan tu dah pergi, mana tahu dia datang balik dan kali ni
dengan bau yang amat busuk.
“Dia datang balik ke?” tanya Ustaz Khairi.

“Takde pun,” sahutku dan Ustaz Salleh serentak.

Kami sama-sama mencari arah bau busuk itu. Hinggalah kami terjumpa Adli yang
terduduk di dalam dorm di sebelah pintu. “Ustaz, saya terbuang kat sini. Saya dah
tak tahan,” kata Adli dengan wajah merah padam. Kami semua menutup hidung.

“Pengotor kamu ni, pergi ke tandas cepat. Nanti cuci balik kalau ada yang tercicir
kat sini. Hish!” Kata Ustaz Ismail.

Aku pun baru teringat kat Adli, dari tadi dia dah tak tahan nak ke tandas sebab
perutnya memulas. Kesian dia. Aku dan kawan-kawan lain tergelak kecil sambil geleng
kepala. Jadi bahan la Adli lepas ni.

“Ambil cincin tu. Bagi saya.” Kata Ustaz Khairi tiba-tiba mematahkan tawa kami.

“Saya lupa kat mana saya letak,” sahutku dengan wajah bersalah.

Ustaz Salleh, Ustaz Khairi dan Ustaz Ismail memandang aku dengan wajah macam singa
lapar.

“Pergi selongkar loker kau sekarang!” kata Ustaz Ismail sambil menjegilkan matanya
kepada aku.

Dan dengan kelam kabut, aku cepat-cepat masuk ke dorm 3A yang berselerak dan
mencari cincin perak tu. Aku cari dalam loker entah berapa kali tapi tak jumpa.
Faris, Izzat, Izam, Wan, Azizi, Zikri dan yang lain pun turut membantu tapi tak
jumpa.

“Takpelah, esok cari. Sekarang ni kamu semua turun pergi ke surau. Berehatlah di
sana sementara masuk waktu solat subuh,” kata Ustaz Salleh yang memang terkenal
dengan wataknya yang lembut hati terhadap murid-muridnya.

“Kami boleh tidur kat surau ke Ustaz? Mengantuk ni,” kata Azizi.,

“Tidurlah sekejap. Ingat, itu surau, bukan dorm,” kata Ustaz Salleh.

Kami pun apa lagi, cepat-cepat turun dari tingkat 3, berjalan laju terus ke surau.
Masa tu jam pukul 4.30 pagi. Kami ada sejam je untuk tidur.

Tak lama lepas kami ke surau, Adli pun muncul. “Korang tak tunggu aku pun?
Terketar-ketar aku masuk ke bilik tu ambil pakaian aku tau.” Rungutnya sambil
menarik muka.

“Maaf Adli, kami terlupakan kamu,” kataku sambil ketawa kecil. Masih teringat
keadaan dia yang terpaksa menahan memulasnya perut.

“Kau jangan gelakkan aku. Nanti aku tak bagi barang kau,” kata Adli mengugut.

“Kau dah kenapa pula nak main ugut barang pulak ni. Cukup-cukuplah perempuan tu dok
kacau aku minta barang dia.” Katanya pula.

Adli keluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya. Cincin perak tu!

“Mana kau jumpa?” tanyaku dengan perasaan lega.

“Kat lantai tandas. Bawah sinki. Terjatuh agaknya,” kata Adli.


“Mungkinlah. Sebab aku letak dalam poket baju. Pagi tu aku nak mandi, terjatuh kot
masa aku nak tanggal baju kat tandas,” kataku sambil membelek cincin perak tu.
Lepas tu aku pandang keliling. Terasa-rasa macam perempuan tu berdiri kat siling
memerhati aku dan bersedia nak rampas cincin tu dari aku.

“Kau pandang aku Aiman?” tanya Adli.

“Aku takut perempuan tu ada kat sini, dan nampak cincin ni,” kataku.

“Ini surau, dia takkan berani masuk sini,” kata Adli lagi.

Eh, iye tak iye jugak. Aku terlupa. Aku pun merebahkan diri berbaring di sebelah
Adli. Tak sampai seminit kot, aku dah tak sedar dah.

– Bersambung –👻👻👻👻👻

HANTAR AKU BALIK

Bab 10 (AKHIR)
By~Farizal Radzali✅✅✅✅✅

Aku tersedar bila terdengar bunyi azan subuh berkumandang di dalam surau. Aku celik
mata. Aku nampak Azizi sedang melaungkan azan. Aku lihat keliling, ramai lagi yang
tergolek tak sedar diri kat situ. Aku tepuk Zikri, Adli, Wan, Izam, Faris dan
beberapa kawan lagi.

“Bangun weh. Kang Ustaz Ismail nampak kita bergelimpangan kat surau macam ni,
mengamuk dia nanti,” kataku.

“Ustaz Salleh yang suruh kita tidur kat sini, bukannya kita yang nak tidur kat
sini,” akta Izzat yang masih berbaring.

“Memanglah Ustaz Salleh yang suruh tidur kat surau. Tapi mereka pun nak bagi tunjuk
ajar macammana adab untuk tidur kat dalam surau. Rumah Allah kot,” kataku lagi.
Tiada yang menjawab dah. Masing-masing bangun menggeliat dengan mata merah akibat
tak cukup tidur.

Aku bangun dan terus ambil wudhu lalu mengambil tempat di saf untuk solat
berjemaah. Beberapa kawan lain menurut di belakang aku. Seketika kemudian aku
nampak Ustaz Salleh, Ustaz Khairi dan Ustaz Ismail masuk ke dalam surau melalui
pintu utama. Muka masing-masing serius tapi nak dilihat tenang.

Ustaz Ismail mengambil tempat sebagai imam. Beberapa murid dari dorm dan blok lain
juga menyertai kami. Entah kenapa solat subuh hari ini terasa syahdu sangat. Rasa
sebak di dada. Mungkin kerana Ustaz Ismail yang mengimamkan kami. Selalunya murid
yang jadi imam manakala ustaz semua jadi makmum. Punyalah laju kalau imamnya murid
juga. Semput dada mengejarnya. Habis solat, kena panggil dengan Ustaz Ismail. “Kamu
imamkan orang laju-laju ni, kamu nak lari ke mana ha?” Ustaz Ismail mesti akan
tanya macam tu sambil menarik sideburn si imam muda tadi. Terjengket-jengket la tok
imam kami. Kihkihkih…

Tapi hari ini kami solat dengan tenang. Tiada gangguan. Nafas pun takdelah macam
berlari 100m kat padang. Itulah bezanya antara murid dengan ustaz jadi imam.

Selesai solat, kami semua bergerak menuju ke dewan makan untuk bersarapan tapi aku
ditahan oleh tiga orang ustaz tu.

“Kamu dah jumpa cincin tu Aiman?” Ustaz Khairi bertanya.


“Dah.” Jawabku sambil mengeluarkan cincin tu dari poket baju sejuk aku lalu
menyerahkan kepada Ustaz Khairi.

“Entah cincin siapa la yang terjatuh kat situ, yang jadi penyebab je benda tu
muncul balik lepas tujuh tahun. Lain kali beringatlah, jangan sesekali berjanji
dengan syaitan. Kita yang lupa, mereka takkan lupa,” kata Ustaz Khairi lagi. Ustaz
Ismail dan Ustaz Salleh yang berada di situ menganggukkan kepala menyetujui apa
yang Ustaz Khairi katakan itu.

“Kamu pergi sarapan dulu. Lepas tu ajak kawan-kawan naik ke dorm, kemas dorm yang
berselerak tu. Lepas waktu zohor, saya akan naik ke dorm. Kalau tak kemas, petang
ni lari padang 20 pusingan.” Kata Ustaz Ismail. 20 pusingan??? Aku dengar pun dah
pitam.

Aku melangkah laju ke dewan makan. Aku lapar. Rasa macam dah berhari-hari tak
makan. Mungkin sebab asyik terkejut dan main aci kejar dengan hantu perempuan tu,
membuatkan makanan yang masuk ke dalam perut aku tercerna dengan cepat. Membuatkan
aku cepat lapar. Agaknyalah.

Sampai kat dewan makan, aku tengok menu nasi lemak hari ini.

“Kenapa mata kamu bengkak Aiman? Kamu tak tidur ke semalam? Buat apa?” tanya Makcik
Suhana masa aku ambil pinggan.

“Saya kejar hantu, makcik,” sahutku selamba sambil mengambil telur mata dan
letakkan di atas nasi lemak aku.

“Iyelah tu. Kamu kejar hantu ke hantu yang kejar kamu?” Makcik Suhana balas aku
balik.

“Mana-mana pun sama, makcik,” jawabku sambil melangkah meninggalkan Makcik Suhana
yang masih memandang aku sambil ketawa perlahan. Aku lapar, aku mengantuk, aku
penat, aku malas nak layan Makcik Suhana tu lagi. Kalau dilayan nanti, aku tak
sempat makan. Tapi Makcik Suhana tu baik. Kalau ada lebihan makanan, dia selalu
masukkan dalam bekas dan suruh kami bawa ke dorm. Katanya nanti lapar boleh makan.
Dan disebabkan Makcik Suhana tu jugalah kami jadi gemuk kat sekolah ni.

Makcik Suhana tu memang selalu mengusik murid-murid di situ. Dia selalu kata bahawa
dia akan teringatkan anaknya yang belajar di luar negara setiap kali memandang
kami. Dia rindukan anaknya.

“Cepat makan weh. Lepas ni naik dorm. Kemas Dorm 3A dan 3B. Lepas Zohor Ustaz
Ismail nak datang check. Kalau dia tak puas hati, lepas asar kita kena lari kat
padang 20 pusingan. Jangan kata aku tak bagitahu pulak nanti,” kataku sambil
mengambil tempat di sebelah Wan.

“20 pusingan? Gila ke? Luas kot padang tu,” kata Izzat.

“Kalau taknak gila, kemaslah dorm tu nanti,” kata aku lagi.

“Dah la dua dorm tu dah selerak habis semalam sebab hantu perempuan tu.” kata Faris
pula. Aku tak menyahut.

Aku duduk. Aku pandang Wan. “Kaki kau ok dah ke Wan?” tanyaku sambil menyuapkan
nasi lemak ke mulut.

“Sakit. Dah bengkak pun. Cikgu Rohiman kata lepas sarapan ni dia bawa aku ke
klinik,” kata Wan. Memang nampak dia sakit. Nasi lemak dalam pinggannya pun tak
berusik sangat. Dia banyak minum je.

“Oklah tu, nanti dapat ubat, oklah kot. Kau minta MC, boleh balik,” kataku sambil
tunduk ke bawah meja melihat kaki Wan yang berbalut dengan kain putih. Memang
nampak ibujari kakinya membengkak. Sian dia. Siapa kata hantu tak boleh cederakan
orang? Tapi bukan hantu yang cederakan kaki Wan, loker jatuh yang cederakan kaki
dia. Tapi sebab hantu tu juga kan. Ahh, apa-apalah. Aku menikmati nasi lemak dengan
teh suam buatan Makcik Suhana. Memang sedap.

Lepas sarapan, kami semua naik ke tingkat 3. Dorm 3A dan 3B dah macam baru lepas
perang. Macam baru dilanda rebut taufan. Dengan loker yang dah jatuh ke lantai.
Pakaian berselerakan. Bantal dan tilam dah jatuh dari katil. Sedangkan semalam
takde pun sampai macam ni. Siapa pula yang sepahkan bilik kami ni?

“Kenapa bersepah sangat ni? Semalam setahu aku loker kat dorm 3A je yang jatuh. Ni
apasal semua loker kat dorm 3B pun terbalik ni? Tilam bantal semua bersepah macam
ni. Ni siapa punya kerja ni?” kata Izzat dengan nada agak tinggi.

“Hantu semalam kot,” kata Zikri.

“Merepeklah. Hantu boleh buat sepah macam ni?” tanya Izzat lagi tak puas hati
dengan jawapan Zikri. Dia terasa seperti ada orang dah sabotaj kami.

Aku diam je. Aku pandang di setiap kawasan yang aku nampak makhluk-makhluk pelik
semalam. Tiada siapa di sana. Tapi aku terasa seperti ada yang memandang aku dengan
tajam. Seperti memendam dendam yang membara. Aku pandang semua kawan aku, masing-
masing sibuk mengemas dorm.

Aku mendongak ke atas siling. Tiada apa juga. Perasaan aku je kot.

Tiba-tiba Izam menjerit. Dia menggelupur seperti menahan sakit yang amat sangat.
Faris terus berlari ke luar dorm lalu menjerit memanggil ustaz. Izam cuba nak
berlari keluar dari dorm tapi kami berusaha memegangnya. Tenaganya sangat kuat.

Masa ni aku nampak perempuan tu sedang berdiri di tingkap dorm 3A sambil memandang
aku. Entah kenapa pandangannya di siang hari lebih menakutkan dari pandangannya di
malam hari. Aku taknak bersuara. Aku taknak kawan-kawan aku takut.

Aku nampak perempuan tu bergerak perlahan-lahan masuk ke dorm melalui pintu,


melewati belakang beberapa kawan aku sambil meleretkan kukunya yang panjang di
leher mereka. Dan aku nampak dia pergi kepada Izam dan dia seolah meresap masuk ke
dalam badan Izam yang sedang menggelupur.

Tak lama kemudian, Ustaz Khairi sampai ke dorm. Aku sempat membisikkan ke telinga
Usayz Khairi tentang apa yang aku nampak tadi. “Astaghfirullah al-azim. Kalau dasar
syaitan, memang tak boleh diberi peluang,” ucap Ustaz Khairi.

Ustaz Khairi berdiri tegak sambil berpeluk tubuh dan memejamkan matanya. Mulutnya
terkumat kamit membacakan surah-surah Al Quran. Selepas seketika, Ustaz Khairi
tunduk dan menepuk tangannya ke lantai. Izam menjerit. Matanya jadi putih.

Ustaz mengulangi perbuatannya tadi, membacakan surah dan menepuk kuat tangannya ke
lantai, sebanyak tiga kali. Kali ketiga, Ustaz Khairi membiarkan tangannya di atas
lantai dan menekannya dengan kuat ke lantai membuatkan Izam menjerit dengan lebih
kuat seolah kesakitan yang amat sangat.

Yang membuatkan bulu roma kami meremang ialah, bukan suara Izam yang keluar dari
mulut Izam, tapi suara garau seorang perempuan. Tenaganya sangat kuat. 10 orang kot
yang pegang dia, tapi masih terpelanting. Dan kami terpaksa bertukar orang setiap
dua tiga minit sebab tak dapat menahan kekuatan tenaganya.

“Keluar dari tubuh anak ini dan balik ke tempat kamu dengan cara baik. Aku dah beri
terlalu banyak peluang kepada kamu tapi kamu dah melampau. Tolong balik dengan cara
yang baik sebelum aku hantar kau balik dengan cara yang keras,” kata Ustaz Khairi
sambil menjegilkan matanya kepada Izam.

Izam melawan renungan Ustaz Khairi sambil merengus kasar. Bunyinya seperti lembu
yang baru disembelih. Pandangannya seperti sangat marah.

“Aku tuntut janji kamu. Kamu berikan aku korban,” kata Izam.

“Janji kami ialah kami beri korban jika kamu dapat membawa kepada kami cincin perak
itu. Sekarang di mana cincin perak tu?” tanya Ustaz Khairi. Izam terus berpaling
memandang aku yang sedang memegang tangan kanannya.

“Budak ini yang menyimpannya. Dia yang lepaskan aku dari ikatan kamu.” Kata Izam.

“Cincin itu tiada bersama budak ini.” Kata Ustaz Khairi.

Izam pandang aku dengan rupa yang amat menyeramkan. Aku rasa lepas ni aku tak
berani berpandangan mata dengan Izam lagi.

Ustaz Ismail dan Ustaz Salleh sampai ke dorm, memerhatikan apa yang sedang terjadi.

“Hantar dia balik. Jangan berunding lagi,” kata Ustaz Ismail dengan nada tegas.

Ustaz Salleh melangkah ke arah belakang Izam dan terus meletakkan tangan kanannya
di atas kepala Izam. Dia mengarahkan kami melepaskan pegangan kami dan menyuruh
kami keluar dari dorm. Mula-mula kami ragu-ragu untuk lepaskan Izam sebab kami
takut dia akan terus berlari dan kami tak mampu nak tangkap dia semula. Tapi Ustaz
Salleh meyakinkan kami bahawa Izam takkan dapat lari. Ustaz Salleh kata dia kat
kunci pergerakan Izam.

Dan kami lepaskan Izam perlahan-lahan. Betullah, Izam tak lari. Tapi kami yang
cepat-cepat lari.

Ustaz Salleh dalam kedudukan berdiri sambil memegang kepala Izam manakala Ustaz
Khairi masih dalam kedudukan tahiyyat awal sambil tangannya menekup ke lantai,
manakala Ustaz Ismail berdiri memerhati sambil ditangannya memegang sebuah botol
kaca sebesar telapak tangan.

Kami mengintai dari luar dorm, memerhati segala perlakuan mereka berempat di dalam
dorm. Kami nampak Ustaz Khairi beberapa kali menepuk ke lantai dengan kuat dan tiap
kali itu jugalah Izam menjerit dengan suara garau perempuan. Ustaz Salleh pula
tetap meletakkan tangannya di atas kepala Izam yang duduk tegak. Nampaknya seperti
Izam dah terperangkap.

Lama juga keadaan seperti itu. Lebih kurang setengah jam, aku nampak Izam terkulai
baring dilantai. Ustaz Ismail pula kelihatan seperti cepat-cepat menutup botol kaca
di dalam peganganya. Aku nampak ada asap hitam dalam botol kaca itu. Lepas tu aku
nampak Ustaz Ismail membalut botol itu dengan kain hitam dan membawanya keluar dari
dorm.

Ustaz Salleh membaringkan Izam di atas tilam.

“Kamu semua boleh masuk. Tengokkan Izam ni. Kejap lagi dia sedar, bagi dia minum
air masak. Suruh dia selawat tiga kali,” kata Ustaz Salleh dan kami hanya anggukkan
kepala.
“Dah selesai ke ustaz?” Adli bertanya.

“In Shaa Allah. Ada urusan yang kami kena selesaikan. Tapi buat masa ni, dia dah
tiada di sini. Kemaskan bilik ni dan sebelah,” kata Ustaz Salleh.

“Cincin perak tu kat mana ustaz?” aku tanya.

“Ada di surau. Jangan usik,” kata Ustaz Salleh dan aku diam.

Tiada yang nak bertanya lagi. Kami takut semakin kami tanya, keadaan makin rumit.
Dan buat masa ni, kami cuma takut kalau Izam sedar nanti, dia jadi macam tadi
balik. Dengan mata putih, suara garau macam perempuan dan tenaganya mengalahkan
Incredible Hulk.

“Jangan risau, Izam dah ok.” Kata Ustaz Salleh seperti memahami apa yang terdetik
di dalam hati kami.

Ustaz Salleh, Ustaz Ismail dan Ustaz Khairi berlalu pergi meninggalkan dorm kami
yang berselerak semula selepas kami kemaskan sedikit tadi. Ni semua Izam punya
pasal.

Lepas solat Asar, Ustaz Ismail memandang kami semua.

“Dalam dunia ni, Allah yang paling berkuasa. Jangan sesekali percaya pada kuasa
selain dari Allah. Tiada untung pun kalau kamu bermain benda yang bukan-bukan macam
spirit of the coin tu. Itu semua tipu daya syaitan. Jadikan apa yang dah terjadi ni
sebagai pengajaran. Habis satu sekolah kecoh. Sampai orang diluar pun dah mula
bercakap pasal sekolah kita.” Kata Usatz Ismail perlahan dan lembut.

“Dan yang paling penting dan perlu diingat, jangan sesekali bercakap takabur. Alam
ghaib itu wujud, bahkan kita wajib percaya alam ghaib,” sambung Ustaz Ismail sambil
memandang aku.

“Hantu tu dah takde ke ustaz?” tanya Azizi.

“Kami dah hantar dia balik ke tempat yang sepatutnya. Kita akan adakan bacaan
yassin selama tiga malam berturut-turut. Lepas tu sekolah akan kembali seperti
biasa,” kata Ustaz Salleh yang duduk di sebelah Ustaz Ismail.

Kami semua diam. Terasa macam ada satu beban di dada terlepas sudah.

Tapi tidak buat aku. Sebab aku masih terbayang-bayangkan rupa makhluk lain yang aku
nampak di dorm aku. Yang duduk di katil, yang berada di atas loker. Aku akan ingat
semua tu lepas ni.

“Aiman, kamu ok?” tanya Ustaz Khairi sambil menepuk belakang aku.

“Hantu yang lain tu pun dah dihantar balik juga ke ustaz?” tanyaku.

“Hantu lain?” serentak kawan-kawan aku bertanya sambil pandang aku dengan wajah
sangsi.

“Makhluk lain yang kamu nampak tu, memang ada di mana-mana. Cuma kita tak nampak.”
Kata Ustaz Khairi.

“Maknanya saya masih akan nampak mereka?” tanyaku membuatkan Ustaz Ismail, Ustaz
Salleh dan Ustaz Khairi termasuk kawan-kawan aku yang tak tahu apa-apa tu,
berpandangan sesama sendiri.
Ustaz Ismail memberi isyarat kepada kawan-kawan aku yang lain agar keluar dari
surau dan kembali ke dorm masing-masing. Kesemua mereka keluar dan tinggal aku
bersama tiga ustaz tu.

“Mungkin asbab dari kejadian ini, kamu beroleh satu anugerah. Anugerah melihat alam
ghaib. Mula-mula kamu tak biasa tapi bila dah lama-lama nanti kamu akan ok. Tak
perlu pedulikan mereka, mereka hanya berdiam diri di sana sementara menanti
penghujung dunia,” kata Ustaz Salleh.

“Tapi kamu jangan buat macam yang kamu buat kat pengetua haritu. Kalau nampak apa-
apapun, kamu diam je. Buat tak tahu je,” kata Ustaz Salleh lagi.

“Tapi saya tak berani Ustaz. Rupa mereka tak sama macam kita,” kataku.

“Rupa mereka tak sama dan kamu takut melihat mereka. Kucing tu rupanya sama macam
kita ke? Tak takut pun kamu tengok,” kata Ustaz Salleh.

“Jangan risau Aiman, segalanya akan makin hilang bila kamu tak fikirkannya sangat.
Ingat, kamu belajar sains kan. Segala naluri kita adalah bacaan dari minda kita.
Kalau minda kita positif, positiflah ia. Begitu juga sebaliknya.” Kata Ustaz Khairi
sambil menepuk belakang tengkuk aku sebanyak tiga kali. Dan lepas tu aku rasa
mengantuk.

Aku tersentak bila Adli memanggil aku sambil menepuk-nepuk pipi aku. “Aiman, kenapa
kau tidur kat sini? Dah lepas asar ni, jom main bola,” kata Adli. Aku buka mata,
pandang keliling. Hanya aku dan Adli di situ.

“Mana ustaz semua? Tadi mereka ada kat sini,” tanyaku.

“Semua dah ke balik rumah mereka dah. Jom cepat. Cikgu Rohiman tunggu kat padang,
dia ajak kita lawan bola,” kata Adli sambil menarik tangan aku untuk bangun. Aku
akur walaupun masih terpinga-pinga.

Sejak hari itu, tiada lagi kejadian pelik kat sekolah tu. Aku pun tak nampak lagi
makhluk pelbagai rupa kat dalam kawasan sekolah tu. Tapi tiap kali aku masuk dorm,
aku masih terbayangkan makhluk-makhluk yang bertenggek kat katil dan loker kami.
Aku tahu makhluk tu masih ada di sana cuma aku tak nampak.

Tapi itu adalah lebih baik dari aku nampak mereka. Aku nak ambil SPM tahun ni. Aku
taknak ada cikgu atau murid tambahan kat sekolah atau dorm aku. Cukuplah yang ada
ni.

Namun, walau bagaimana aku minda aku cuba menolak, tapi hati aku tetap kata mereka
ada di tepi aku, tepi katil aku, di atas loker aku, memerhatikan aku. Sebab aku
pernah nampak mereka.

– T A M A T –👻👻👻👻👻

Anda mungkin juga menyukai