Anda di halaman 1dari 6

SHAH ALAM - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkongsi ilmu berkaitan

kepimpinan pada perhimpunan pemimpin pelajar dari seluruh dunia.

Berucap kepada lebih 1,000 pemimpin pelajar antarabangsa dalam sebuah simposium di sini, beliau
bagaikan seorang guru yang membimbing pelajar langkah demi langkah dalam menimba ilmu.

“Pertama sekali, seseorang pemimpin itu perlu mempunyai integriti dan kejujuran, jika tidak,
pemimpin terbabit akan menjadi korup dan tidak boleh dipercayai.

“Seterusnya, pemimpin juga perlu bersedia untuk bekerja keras, bangga dengan tugas yang
dilakukan. Selain itu, mereka mesti sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan dan peka kepada
sebarang perubahan,” katanya.

Khalayak muda yang menghadiri Simposium Kepimpinan Cendekiawan Universiti 2019 kali ke-10 di
sini yang dirasmikan perdana menteri berusia 94 tahun itu jelas kelihatan terpesona.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan Asia Kim
Solomon turut hadir pada majlis itu.

Dr Mahathir berkata untuk menjadi pemimpin sebenar, “kita perlu memastikan bahawa kita
berpegang kepada nilai murni sambil mengikuti perkembangan terkini berkaitan perubahan yang
membawa kesan terhadap kita.

“Sememangnya, menjadi seorang pemimpin yang baik bukan hanya tentang menjadi bijak,
sebaliknya perlu tahu dan mempunyai kebolehan untuk membezakan antara benar dan salah, baik
dan jahat.”

Perdana menteri berkata setiap orang adalah pemimpin pada suatu peringkat dalam hidup mereka.

“Seseorang itu menjadi ketua jika dia ada adik lelaki dan perempuan; seseorang itu adalah ketua jika
dia menjadi presiden kelab atau kapten pasukan bola sepak. Dan apabila kita mula bekerja, sudah
tentulah, kita akan bermula dari peringkat paling bawah dan perlu melaporkan kepada begitu ramai
senior, namun kita juga akan mendaki dalam kerjaya dan akhirnya menjadi seorang ketua.

“Dalam kata lain, kepimpinan adalah tugas pembelajaran dan pengalaman sepanjang hayat. Isunya
adalah bagaimana kita menjalankan tugas sebagai pemimpin. Apakah kesan daripada tindakan kita
dan setakat mana kepimpinan kita menyentuh kehidupan orang lain. Ini semua adalah perkara dan
kenyataan penting yang perlu diketahui serta ditangani oleh seorang pemimpin.

“Pemimpin yang berkesan mesti memiliki kualiti asas tertentu dan berpegang kepada nilai tertentu.
Beliau mesti memiliki kualiti yang dipandang tinggi oleh orang lain dan mereka kemudian akan
cenderung untuk mencontohinya. Seorang pemimpin perlu memimpin bukan hanya dengan kata-
kata, sebaliknya lebih berkesan melalui teladan,” katanya.

Dr Mahathir berkata sifat seorang pemimpin yang baik adalah banyak dan pelbagai buku tentang
kepimpinan telah ditulis serta boleh diperoleh, dan banyak maklumat serta artikel tentang cara
untuk menjadi pemimpin yang baik boleh dibaca di Internet.

“Pada saya, kepimpinan bukanlah perkara yang sukar untuk difahami. Ia adalah tentang nilai harian,”
katanya.

Mengenai keperluan supaya peka dengan perubahan di sekeliling, Dr Mahathir berkata perkara ini
sangat tepat terutamanya apabila berdepan dengan kemajuan teknologi dan gangguan yang
berpunca daripadanya, kerana seseorang pemimpin yang tidak menyedari perubahan ini tidak akan
dapat meyakinkan negara mengenai keperluan untuk sentiasa mengikut perkembangan, dan
kesannya, negara akan ketinggalan dan akhirnya menjadi mundur.

Pengetahuan tidak pernah statik, tetapi tidak ada batasan, dan apabila semakin banyak dicari,
semakin banyak yang akan kita sedari bahawa begitu banyak untuk dipelajari, kata Dr Mahathir dan
menambah, seseorang itu juga perlu merendah diri serta pemurah dalam mencari serta berkongsi
ilmu pengetahuan.

“Satu lagi nilai yang mungkin tidak dipandang tinggi adalah sikap merendah diri. Tanpanya, sifat ego
yang akan mendorong pemimpin. Sememangnya, terdapat mereka yang berhujah bahawa ego boleh
bersifat positif kerana ia akan menjadikan pemimpin itu mempunyai tekad dan daya saing.
Bagaimanapun, ego seperti yang kita semua maklum, juga boleh menimbul gangguan kerana ia
dapat menjadikan seeorang pemimpin itu gagal menerima kritikan serta pandangan yang berbeza.

“Bersikap merendah diri tidak akan menjadikan seseorang pemimpin itu lemah, Sebaliknya, ia lebih
mendekatkan mereka kepada rakyat, kalangan yang menyokongnya dan memilihnya sebagai
pemimpin mereka. Sekiranya seseorang pemimpin itu menjauhkan diri daripada rakyat dan
penyokongnya, kedudukannya sebagai pemimpin akan berakhir.
“Memadailah untuk mengatakan bahawa semua nilai yang ditegaskan dalam agama, budaya dan
adat resam kita akan menjadikan pemimpin itu sentiasa realistik serta praktikal,” katanya. -Bernama

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/41126/BERITA/Nasional/Dr-Mahathir-


berkongsi-ilmu-tentang-kepimpinan

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

KUALA LUMPUR - Dalam setahun kepimpinannya sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia, Tun Dr
Mahathir Mohamad menerima pengiktirafan global apabila dinamakan sebagai tokoh berpengaruh
dunia.

Pada awal Januari lalu, beliau diiktiraf sebagai Lelaki Muslim Paling Berpengaruh Dunia bagi 2019
oleh penerbitan The Muslim 500, sekali gus mengetuai senarai 500 lelaki Islam paling berpengaruh di
dunia.

Pada April pula, Dr Mahathir disenaraikan antara 100 individu paling berpengaruh di dunia pada
2019 oleh majalah berita antarabangsa, ‘Time’.

Dan, awal bulan ini, beliau dinamakan pula sebagai 50 Tokoh Dunia Paling Berpengaruh 2019 oleh
portal antarabangsa, Fortune.com.

Ketiga-tiga penerbitan itu menggambarkan Dr Mahathir, 93, sebagai insan luar biasa kerana berjaya
menerajui gabungan parti pembangkang, Pakatan Harapan, untuk memenangi pilihan raya umum
ke-14 pada Mei tahun lalu, sekali gus dilantik semula sebagai perdana menteri Malaysia.

Berani, tegas

Selaku perdana menteri tertua di dunia, ramai mengenali Dr Mahathir sebagai pemimpin yang
berani dan lantang bersuara, tegas dalam membuat keputusan, amanah dalam berkhidmat serta
berdisiplin tinggi terutamanya dari segi ketepatan waktu.

Dengan penampilan sederhana dan tenang, Dr Mahathir amat disegani ramai dan dipandang tinggi
sebagai pemimpin berwibawa yang mempunyai daya pemikiran tajam serta sentiasa melontarkan
teguran bernas.
Antaranya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-
73 di New York pada 29 Sept lepas di mana Dr Mahathir dengan lantang mengulangi desakan supaya
pembaharuan dilaksanakan dalam badan dunia itu termasuk mencadangkan supaya kuasa veto
dimiliki oleh sekurang-kurangnya dua negara kuasa besar dengan disokong oleh tiga anggota bukan
tetap Majlis Keselamatan PBB.

Beliau turut menarik perhatian pelbagai organisasi dunia apabila berani menempelak kerajaan
Myanmar berikutan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Rakhine selain mencadangkan
dunia supaya mengiktiraf Palestin dan pada masa sama, menghentikan tindakan Israel daripada
mencabuli undang-undang antarabangsa.

Pada Oktober lalu, Maharaja Akihito berkenan menyampaikan darjah kebesaran ‘The Grand Cordon
of the Order of the Paulownia Flowers’ kepada Dr Mahathir iaitu penganugerahan darjah kebesaran
tertinggi Jepun berikutan sumbangan besar perdana menteri dalam memperkukuhkan hubungan
dua hala Malaysia dan Jepun.

Diiktiraf dunia

Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia
(UPM) Dr Syed Agil Alsagoff berkata Dr Mahathir diiktiraf sebagai pemimpin berwibawa berikutan
idea dan pemikirannya mendapat pujian para pemimpin dunia sejak sekian lama.

Dr Mahathir, yang pernah menjadi pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), antaranya banyak
mengaturkan strategi penyatuan negara-negara Arab daripada terus dibelenggui pengaruh Amerika
Syarikat dan Israel.

Kelantangan beliau menentang pencerobohan Israel di bumi Palestin dan pencerobohan Amerika
Syarikat di bumi Iraq pada waktu itu, telah memberikan dorongan dan semangat kepada negara-
negara Arab untuk menyokong kepemimpinan beliau dan mengiktirafnya sebagai pemimpin dunia
yang disegani.

“Kejayaan Dr Mahathir merubah Malaysia dari sebuah negara dunia ketiga menjadi negara
membangun menarik minat negara-negara Asia Barat untuk mencontohi kepemimpinan politik
beliau. Malah, negara-negara Asia Timur juga menjadikan beliau sebagai insan contoh dalam
memperkasa politik dan ekonomi negara-negara tersebut,” katanya.

Syed Agil berkata Dr Mahathir juga dianggap negawaran Islam yang berjaya merubah persepsi
masyarakat terhadap kepimpinan beliau dan Malaysia berikutan kelantangan Malaysia mengkritik
dasar Myanmar terhadap pelarian Rohingya, pencerobohan Israel di Palestin serta krisis yang
berlaku di Syria.
Dalam pada itu, Dr Mahathir dikenang dan diingati sebagai pemimpin Malaysia yang banyak
menyalurkan bantuan kepada Bosnia dan Herzegovina ketika negara Balkan itu dilanda peperangan
pada 1990-an selain terus memberi sumbangan dalam membangunkan semula negara tersebut.

Kejayaan beliau menyatukan negara-negara membangun dan negara dunia ketiga menerusi majlis
perundingan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) serta mencetus penyatuan kerjasama negara-
negara dunia ketiga dan negara-negara Islam menerusi OIC membuatkan beliau diangkat sebagai
pemimpin dunia yang disegani dan cemerlang dalam arena politik antarabangsa.

Profesor Politik dan Perhubungan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara
Malaysia (UUM) Prof Dr Azizuddin Mohd Sani berkata Dr Mahathir adalah pemimpin yang konsisten
dalam memperjuangkan isu-isu dunia termasuk yang membabitkan penduduk Palestin, Rohingya
dan negara-negara membangun atau mundur yang lain.

Sebagai insan yang bencikan kekejaman, katanya, Dr Mahathir pernah menubuhkan Tribunal
Jenayah Perang Kuala Lumpur bagi ‘membicarakan’ pemimpin negara-negara yang terlibat dengan
jenayah perang di Iraq pada 2003 yang menyebabkan 1.4 juta orang awam terkorban.

“Beliau juga amat anti dengan pembunuhan kaum. Sebab itulah apabila usahanya untuk mengiktiraf
Statut Rom digagalkan, beliau berasa marah kepada pihak yang menjadi punca kepada kegagalan itu.

“Daripada kelantangannya bersuara, kita boleh lihat bahawa Dr Mahathir mahu Malaysia terus
menjadi Harimau Asia yang lantang menyuarakan isu-isu global,” katanya.

Pada masa sama, katanya, para pemimpin negara-negara Asia Barat terus menyanjungi dan
menghormati Dr Mahathir sehingga menganggap beliau sebagai ‘suara’ mereka dalam menentang
penindasan Barat.

Pencetus reformasi, transformasi

Dr Mahathir juga dikenali ramai sebagai perdana menteri yang berdedikasi, berprinsip teguh dan
sentiasa melakukan reformasi dan transformasi dalam pentadbiran negara.

Syed Agil berkata ia ‘membuka mata’ negara lain untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh
berikutan keupayaan melaksanakan transformasi politik di bawah kepimpinan seorang bekas
perdana menteri yang dilantik buat kali kedua menyandang jawatan tertinggi kerajaan itu.

“Dr Mahathir dianggap sebagai pemimpin pencetus reformasi dan transformasi pentadbiran negara
sejak kali pertama menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini.
“Sifat kesederhanaan Dr Mahathir dalam menyantuni budaya politik dengan kepentingan rakyat
sepanjang tempoh itu menyebabkan rakyat tersentuh dengan kesungguhannya mentransformasikan
Malaysia dari sebuah negara dunia ketiga kepada negara membangun yang berjaya,” katanya.

Dr Mahathir juga dianggap sebagai pemimpin berwawasan yang boleh merencanakan Malaysia agar
terus maju dalam bidang ekonomi dan sosial.

Semasa kepemimpinannya sebagai perdana menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003,
Malaysia mengalami transformasi cemerlang khususnya dalam pembangunan dan sosioekonomi
serta memacu kejayaan negara menjadi kuasa ekonomi serantau selain berjaya memimpin negara
mendepani beberapa krisis kewangan dunia.

Syed Agil berpendapat kesungguhan idea dan pemikiran beliau dari segi pembangunan negara dan
ekonomi khususnya semasa membebaskan Malaysia daripada terjelumus dalam krisis ekonomi
sekitar 1997 hingga 1998 dengan memperkenalkan penggantungan ringgit di pasaran antarabangsa,
menarik perhatian banyak negara sehingga mendapatkan nasihat beliau.

Azizuddin pula berpendapat Dr Mahathir dipilih semula menerajui kerajaan kerana rakyat mahu
Malaysia kembali menjadi negara makmur.

“Pengalaman beliau yang masih ditagih. Rakyat Malaysia menghormatinya sebagai negarawan ulung
negara.

“Selain romantisisme, rakyat Malaysia yang pernah melihat kemakmuran ekonomi yang dibawanya
kepada Malaysia pada dekad 1990-an yakin beliau mampu membawa kembali kemakmuran
ekonomi itu kepada negara,” katanya.

Beliau menyifatkan Dr Mahathir sebagai pemimpin unik yang berwawasan dalam mengemudi
Malaysia kembali menjadi kuasa ekonomi serantau.

Anda mungkin juga menyukai