Anda di halaman 1dari 6

FAKULTI PENDIDIKAN

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA


SEM 2 2021/2022

GGGE6893
PEDAGOGI DAN KEMAHIRAN BERFIKIR DAN PENGAJARAN SEJARAH

TUGASAN
ULASAN ARTIKEL

PENSYARAH
PROF DR. MOHD. MAHZAN AWANG

NAMA NO MATRIK

MOHD NAZRIN BIN DAUD P112209


Ulasan Artikel :
Pembaharuan Teknik Pengajaran & Pembelajaran (P&P) Subjek Sejarah dan
Tamadun Melalui Aplikasi Teknologi Kreatif Keperluan Masa Hadapan
1.0 Pengenalan
Artikel ini dihasilkan oleh Nor Azilah Ahmad, Norunnajah Ahmat, Mohamad Zahir
Zainuddin dan Siti Nor Wardatulaina Mohd Yusof dari Universiti Teknikal Malaysia
Melaka. Artikel ini telah dipetik dari Jurnal Dunia Pendidikan Vol. 3, No. 2, 236-242,
yang telah diterbitkan pada tahun 2017 dengan alamat doi-nya adalah
https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd/article/view/13516.

2.0 Ulasan Artikel


2.1 Ulasan Kandungan Artikel
Artikel ini mengkaji kepentingan perubahan dan pembaharuan yang perlu digarap selaras
dengan teknologi termaju serta keadaan persekitaran generasi Y era kini. Melalui artikel ini,
Pengkaji menggunakan kaedah kualitatif melalui pencarian sumber maklumat daripada jurnal
artikel, buku dan data dalam talian sebagai rujukan utama dan juga soal selidik. kajian ini
turut memberi signifikasi tentang pentingnya keperluan menghasilkan Alat Bantuan
Mengajar (ABM) yang berteraskan rekaan teknologi termaju acuan muslim demi P&P yang
berkesan dan menambah minat semua pihak untuk memahami dan mengkaji sejarah dan juga
tamadun. Kajian kuantitatif dengan reka bentuk kajian tinjauan digunakan sebagai
metodologi kajian borang kaji selidik digunakan sebagai instrumen kajian. Reka bentuk
kajian ini digunakan untuk mengenal pasti sejauh manakah pengetahuan, pemahaman,
kemahiran dan sikap mempengaruhi keupayaan murid dalam menggunakan aplikasi
teknologi dalam mata pelajaran sejarah. Pengkaji telah menggunakan kaedah pensampelan
rawak mudah iaitu responden dalam kalangan mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia
Melaka.Semua data yang diperolehi dari kajian akan dimasukkan ke dalam sistem
penganalisisan data (SPSS 2.0). Analisis statistik deskriptif telah menggunakan min, t-test
dan peratusan untuk menilai keupayaan mahasiswa secara menyeluruh. Hasil dapatan
kemudiannya akan diinterpretasikan dengan konstruk yang berasingan mengikut bahagian
soal selidik dan konstruk kajian mengikut kefahaman kajian. Dapatan kajian menunjukkan
tahap keupayaan mahasiswa dari aspek pemahaman, kemahiran dan sikap dalam
menggunakan teknologi sejarah dalam aspek pembangunan tamadun sebagai alat
pembelajaran sejarah dalam pembelajaran sejarah berada pada tahap tinggi melalui
pembembelajaranTITAS. .

2.2 Ulasan Kritis Artikel

Di dalam artikel ini, penulis telah menekankan kepada isu penggunaan ABM (Alat
Bantu Mengajar) di kalangan mahasiswa semasa proses pengajaran dan pembelajaran ini
berlaku. Ini kerana ada segenlintir mereka mengalami kesukaran dalam memahami sejarah
malahan akan mengalami kegagalan dalam peperiksaan terutamanya dalam mata pelajaran
Sejarah Tamadun Islam. Mereka juga mempunyai tanggapan yang negatif kepada mata
pelajaran Sejarah, sekaligus menyebabkan pencapaian akademik mereka akan merosot bagi
mata pelajaran ini. Sebagai satu mata pelajaran teras di universiti, wajarlah bagi seorang
pensyarah untuk mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk
meningkatkan minat mahasiswa dan membantu mereka berfokus di dalam PdP.

Isu yang dibangkitkan oleh penulis sangat relevan kepada proses pembelajaran yang
berteraskan kepada penggunaan bahan berteknologi yang berpusatkan kepada mahasiswa.
Penting bagi pensyarah pada masa kini menggunakan kreativiti dan inovasi dalam PdP bagi
membantu perkembangan paradigma mahasiswa ke arah revolusi Industri 4.0. Penggunaan
sumber digital ini adalah satu alternatif kepada kaedah PdP yang berpusatkan kepada
mahasiswa untuk mengasah lebih dalam lagi kemahiran pemikiran sejarah (KPS). Mereka
akan bertindak sebagai penyelidik dalam bidang sejarah kerana mereka berpeluang untuk
mengkaji sumber-sumber sejarah secara lebih dekat seperti peta, monumen, dan teks. Akses
kepada sumber-sumber digital ini menggalakkan murid untuk berinteraksi dengan sumber-
sumber sejarah secara maujud sekaligus membantu murid belajar secara kendiri serta
mendapatkan maklumat yang lebih lanjut melalui penemuan-penemuan mereka. Sumber
digital sejarah ini adalah satu strategi yang terkini dalam memberikan PdP yang terbaik
secara alam maya kepada murid lebih-lebih lagi pada musim pandemik Covid-19 ini kerana
ianya memberi peluang kepada murid untuk meneroka dan membuat penemuan sejarah yang
beerti untuk meningkatkan lagi pemahaman mereka terhadap mata pelajaran sejarah.

Dari segi hasil kajian, saya bersetuju dengan dapatan ini kerana ianya objektif kajian
itu bersifat spesifik dan khusus. Objektif yang dinyatakan adalah mengikut laras taksanomi
Bloom bermula dengan tahu, faham, mengaplikasi dan membuat penilaian. Oleh itu, murid
ternyata boleh mengendalikan pembelajaran kendiri dengan menggunakan sumber digital
sejarah menurut kajian ini. Objektif yang khusus dan spesifik akan menghasilkan hasil kajian
yang khusus dan juga spesifik.

Kelemahan yang dapat dikesan di dalam penulisan ini adalah di bahagian objektif
kajian iaitu penyelidik telah menggabungkan objektif kajian dengan soalan kajian. Elemen ini
sepatutnya boleh dipisahkan kepada dua bahagian yang berbeza iaitu objektif kajian dan
persoalan kajian. Walaubagaimanapun, ianya bukanlah kesalahan yang besar. Cuma,
persoalan kajian ini dijawab dengan mencapai objektif kajian yang telah ditetapkan. Ketiga-
tiga objektif telah dicapai dengan hasil analisis data yang diperolehi dengan menggunakan
instrumen borang kaji selidik.

Kaedah statistik SPSS seperti Analisis Varian Sehala atau One Way ANOVA untuk
pembolehubah demografi iaitu etnik dan bangsa, Ujian-t (T-test) untuk jantina merupakan
merupakan suatu analisis yang tepat dalam kaedah statistik. Namun, saya kurang bersetuju
dengan beberapa metod lain dalam kajian ini kerana tidak dinyatakan dengan jelas dan
menimbulkan kekeliruan seperti penyelidik tidak menyatakan bagaimana kaedah ukuran
borang kaji selidik sama ada menggunakan Skala Likert dalam item pembinaan soalan.
Sebaliknya, penyelidik hanya menyatakan Interpretasi Skor Keupayaan Min yang dipetik dari
Tekin, (2000). Penyelidik seharusnya menyatakan akan menggunakan skala tertentu untuk
penyelidik dapat melihat sejauh mana orang setuju atau tidak setuju dengan soalan kajian
yang diberikan oleh penyelidik kepada responden. Saiz sampel yang digunakan juga
sepatutnya mengikut jadual pensampelan yang dicadangkan oleh Cohen, Manion dan
Morisson (2001) sebagai rujukan dalam mengutip sampel secara rawak. Ini adalah untuk
membolehkan penyelidik membuat inferensi dan generalisasi dilakukan ke atas populasi
berdasarkan kepada keputusan yang diperolehi. Ini menyebabkan hasil kajian tidak boleh
digeneralisasikan kepada seluruh populasi kerana jumlah sampel yang sedikit. Disebabkan
oleh jumlah sampel yang sedikit, ini boleh menyebabkan berlakunya ralat pensampelan. Ralat
pensampelan boleh dikurangkan dengan memperbanyakkan lagi sampel dari populasi yang
hendak dikaji.

Disebabkan pengkaji tidak dapat merapatkan jurang ralat pensampelan, maka dapatan
kajian ini masih boleh diterima cuma dapatan kajian ini masih boleh dipertikaikan sama ada
menepati taburan normal dalam populasi atau tidak. Untuk menambah baik lagi dapatan
kajian ini, perlulah ditambah bilangan sampel sesuai dengan kajian tinjauan iaitu dengan
menggunakan saiz sampel yang dicadangkan oleh Krejcie dan Morgan (1970). Oleh kerana
bilangan sampel yang sedikit juga menyebabkan kesahan luaran tidak dapat digeneralisasikan
kepada keseluruhan populasi. Penyelidik juga tidak menyatakan sama ada mendapatkan
kesahan kandungan dengan mendapatkan persetujuan dari pakar berkaitan dengan item-item
ataupun soalan yang mewakili bidang atau skop kajian yang diselidik. Kebolehpercayaan dan
kesahan artikel ini masih di aras yang sederhana, masih ada ruang untuk penambahbaikan,
dan memerlukan penyelidik untuk menjalani protokol yang sewajarnya untuk
mempertingkatkan lagi kekuatan hasil kajian tersebut. Bagi memastikan reliabiliti dalam
kaedah kuantitatif , kajian berskala kecil atau kajian rintis perlu dilaksanakan untuk
mendapatkan ketelusan data dan untuk menilai ketekalan item dari pelbagai jenis aspek.
Penyelidik juga tidak menyatakan jenis borang kaji selidik yang digunakan semasa kajian ini
sama ada melalui “Pilot Test” atau tidak atau menggunakan borang kaji selidik hasil dari
kajian terdahulu untuk kesahan dan kebolehpercayaan sebelum borang kaji selidik itu
diedarkan kepada kumpulan responden. Kebolehpercayaan dalam kajian kuantitatif ini adalah
untuk memastikan ketekalan item yang diuji yang akan memberikan skor keputusan yang
sama atau sama. Dalam hal ini, penyelidik tidak berhati-hati dalam mengambil langkah yang
relevan bagi memastikan etika penyelidikan dipatuhi.

Secara umumnya, artikel ini dapat membantu saya tentang beberapa perkara yang
perlu diteliti berkaitan dengan kaedah pemikiran sejarah yang dapat diterapkan di dalam PdP
mata pelajaran sejarah. Secara umumnya, sejarah adalah mata pelajaran yang paling tidak
digemari murid kerana doktrin guru-guru yang mengajarnya menjurus kepada kaedah
penghafalan berbanding dengan menghayati dan menjiwai konteks sejarah secara mendalam.
Hal-hal sebegini, hanya melahirkan warganegara yang berkelas rendah dengan pemikiran
yang rendah sesuai dengan mata pelajaran TITAS. Oleh itu, penting bagi seorang pensyarah
mempelbagaikan kaedah PdP untuk menvariasikan strategi PdP yang akan menarik minat
mahasiswa yang telah dan membantu mereka mempelajari kaedah pemikiran sejarah seperti
yang telah ditetapkan di dalam mata pelajaran TITAS. Penggunaan sumber digital ini adalah
selari dengan kaedah PdP yang terkini dan mudah diakses secara kendiri oleh mereka di mana
sahaja asalkan mempunyai akses internet. Penggunaan sumber digital juga membantu
mengurangkan peranan para pensyarah dan mengubah pendekatan berpusatkan kepada
pendidik kepada berpusatkan mahasiswa. Mereka lebih terdedah dalam mendapatkan
maklumat dan para pensyarah berperanan sebagai fasilitator. Selain itu, ianya juga akan
meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan menyebabkan mereka berfikir
secara kreatif dan kritis.
Secara keseluruhannya, kajian kuantitatif yang dilakukan oleh penyelidik di dalam
artikel ini dapat membantu saya untuk menekankan kepada metodologi kajian seperti menitik
berat kesahan dan kebolehpercayaan item-item yang terkandung di dalam borang kaji selidik
yang dihantar kepada responden. Ini adalah untuk memastikan, dapatan kajian yang diperoleh
dapat di generalisasikan kepada seluruh populasi. Untuk memastikan kajian yang
dilaksanakan bermanfaat kepada masyarakat umum, penerangan perlu dilaksanakan
berdasarkan kepada pembolehubah-pembolehubah yang ingin dikaji. Pengkaji juga perlu
lebih telus dalam menyediakan metodologi yang bertepatan dengan hasil kajian yang ingin
dicapai supaya objektif kajian dan soalan kajian dapat dijawab dengan baik. Oleh itu, kajian
ini membantu saya supaya lebih berhati-hati dalam membentuk sebuah kajian yang boleh
memberi manfaat kepada seluruh pengkaji-pengkaji yang lain berkaitan dengan isu-isu yang
ingin dikaji pada masa akan datang.

3.0 Kesimpulan
Secara keseluruhannya bolehlah disimpulkan bahawa artikel ini membantu saya mengenali
beberapa kaedah dan metodologi yang bersesuaian dengan reka bentuk kajian kuantitatif.
Ianya juga membantu saya untuk mengorganisasikan artikel dengan baik dan melancarkan
lagi pendapat serta hasil kajian saya untuk bacaan ilmiah dalam kalangan sarjana-sarjan dan
individu yang memerlukan rujukan bersesuaian dengan trend terkini. Setiap kajian
merupakan masalah yang timbul pada masa kini yang memerlukan kajian secara terperinci
dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut dengan kajian yang dilaksanakan. Kajian perlu
dilakukan dengan tersusun seperti isi kandungan di dalam kajian hendaklah dirujuk dengan
rujukan yang tepat, tinjauan literatur yang tepat dan padat, menambahkan lagi dengan
kerangka konseptual atau kerangka teoritikal untuk menjadikan pembaca lebih faham
berkenaan dengan kajian yang dilaksanakan, menggunakan metodologi yang sesuai sama ada
menggunakan kaedah kualitatif atau kuantitatif, dan seterusnya menggunakan kaedah analisis
data yang bertepatan dengan reka bentuk kajian supaya dapat memudahkan pembaca
membaca kajian berdasarkan kepada hasil dapatan tersebut.

Anda mungkin juga menyukai