Anda di halaman 1dari 8

Tajuk : Yesus, Gembala yang Baik

Tarikh Berkhutbah :
Tempat :
Berkhutbah

Ayat Alkitab : Yohanes 10

Sebelum khutbah bermula, marilah kita berdoa. Allah Bapa, terima kasih kerana
telah menghimpunkan kami di sini untuk mempelajari firman-Mu. Mohon Engkau memberi
kami hikmat untuk memahami ajaran-Mu supaya mendatangkan faedah kepada kehidupan
kami. Dan melalui Roh Kudus, sila satukan hati kami untuk saling mengasihi. Demi nama
Yesus kita berdoa, amin.

Isi Kandungan

Tajuk yang ingin saya berucap pada hari ini adalah “Yesus, Gembala yang Baik”.
Siapakah yang bekerja sebagai gembala di sini? Ataupun saudara-saudari kenal sesiapa yang
bekerja sebagai gembala? Sila angkat tangan. Apakah yang sebenarnya gembala buat? Ya,
gembala adalah penjaga ternakan, khususnya biri-biri atau domba. Rumput ialah sumber
makanan yang utama bagi binatang ternakan tersebut. Oleh itu, penggembalaan biasanya
dijalankan di kawasan luas yang berumput.

Pada zaman Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru, penternakan merupakan satu
kegiatan yang penting di Israel. Domba diternak bukan sekadar untuk dagingnya dimakan,
susunya dimimum, atau kulit dan bulunya digunakan untuk membuat pakaian. Tetapi yang
penting sekali adalah untuk dipersembahkan sebagai korban di atas mazbah kepada Tuhan,
supaya menyenangkan hati-Nya, ataupun memohon berkat-Nya. Bagi memelihara binatang
ternakan ini, gembala selalu melepaskan dan memimpin domba-dombanya dari kandang ke
tempat yang berumput dan berair.

Gembala mempunyai kelengkapan semasa menjalankan tugasnya. Dia akan


membawa sebuah beg yang diperbuat daripada kulit kambing, di mana makanan dan barang
keperluan lainnya disimpan. Dan sebuah humban tali, yang digunakan untuk
mempertahankan keselamatan ternakannya daripada serangan haiwan-haiwan buas. Dan
sebatang tongkat kayu sepanjang lebih kurang 30 inci, dengan adanya pemegang bulat pada
satu hujung, untuk membimbing kawanan dombanya. Dan sebatang kayu panjang dengan
cangkuk bulat pada satu hujung, untuk menangkap domba jika ia didapati meninggal
kelompoknya. Selain itu, juga sebuah serunai yang boleh gembala memainkan untuk hiburan
sendiri dan untuk menenangkan domba-domba. Akhir sekali, sehelai jubah untuk digunakan
di tempat tidurnya pada waktu malam.
Demikianlah gambaran seseorang gembala yang hidup pada zaman itu. Daripada
catatan Berita Baik di Alkitab, kita dapati sebelum Yesus memulakan pelayanan-Nya, Dia
menetap di Nasaret, di mana bapa angkat-Nya Yusuf bekerja sebagai tukang kayu. Sebagai
anak sulung di keluarga, dia kemungkinan besar mewarisi kerja-kerja tukang Yusuf. Jika
demikian, mengapakah Yesus digelar sebagai Gembala yang Baik? Ataupun lebih tepat lagi,
mengapakah Dia menggelar dirinya sebagai Gembala yang Baik? Kita sudah tahu setiap
gembala mempunyai kawanan dombanya. Jika Yesus adalah Gembala yang Baik, maka
kawanan domba-Nya mestilah kita, iaitu orang yang mengikuti-Nya. Untuk memahami
perumpamaan ini, marilah kita lihat Berita Baik Yang Disampaikan Oleh Yohanes, rangkap 1
sehingga rangkap 6.

*Yesus berkata, “Apa yang Aku katakana ini benar: Seorang yang masuk ke kandang
domba dengan memanjat tembok dan tidak melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak.
Seorang yang masuk melalui pintu, dialah gembala kawanan domba. Penjaga kandang
membuka pintu baginya, dan kawanan domba mendengar suara gembala yang memanggil
nama setiap ekor domba. Lalu gembala itu memimpin kawanan domba ke luar. Setelah dia
membawa kawanan domba itu ke luar, dia berjalan di hadapan dan domba-domba itu
mengikuti dia kerana mengenal suaranya. Kawanan domba itu tidak akan mengikuti orang
lain, bahkan akan lari daripadanya kerana tidak mengenal suara orang itu.” Yesus
menceritakan perumpamaan ini, tetapi mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan-Nya.*
Baiklah, kita berhenti di sini dulu.

Jika kamu ada membaca keempat-empat Berita Baik dalam Injil, kamu akan dapati
Yesus suka menggunakan ibarat-ibarat dalam pengajarannya. Misalnya, Dia pernah
mengumpamakan perkhabaran Kerajaan Syurga sebagai benih yang ditabur. Benih yang
jatuh di tempat yang tidak sesuai bagaikan orang mendengar perkhabaran itu tetapi tidak
dapat berbuah. Manakala benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar
perkhabaran itu lalu memahaminya, dan berbuah banyak. Dia juga pernah mengumpamakan
Kerajaan Syurga sebagai biji sawi, yang pada asalnya benih yang terkecil, tetapi apabila
tumbuh, menjadi lebih besar daripada segala tanaman. Jadi, adakah Yesus bercakap sahaja
tentang penggembalaan domba ketika menceritakan perumpamaan ini? Sememangnya tidak.

Kita semua tahu, selepas digembalakan, kawanan domba akan dibawa dari ladang
rumput pulang ke kandang, iaitu rumah bagi binatang ternakan. Setiap kandang ini ada pintu,
sebab gembala dan kawanan domba keluar masuk melaluinya. Untuk mengelakkan kecurian
berlaku, gembala ini akan menutup pintu kandang setelah domba-dombanya dipulangkan.
Oleh itu, sesiapa yang mahu memasuki kandang tanpa melalui pintu, tentulah bukan penjaga
yang sah. Dia sekali-kali tidak berani mendekati pintu kandang pun, sebab takut dikesan dan
ditangkap oleh orang. Apabila orang tidak perhatikan, dia akan memanjat tembok untuk
masuk. Jelas sekali, orang itu berniat jahat terhadap domba-domba di dalam kandang.
Yesus menggambarkan orang ini sebagai “pencuri dan perompak”, kerana itu
memang tujuannya. Gembala itu bekerja keras setiap hari, untuk memastikan binatang
jagaannya tidak kehausan dan kelaparan, sentiasa dalam keadaan sihat dan membiak dengan
cepat. Tetapi orang jahat iri hati akan apa yang dimiliki gembala, dan mengingini
kepunyaannya. Bagaimanakah dia boleh memiliki semua ini dalam masa yang singkat, tanpa
mencucurkan titik peluh? Tiada cara lain, kecuali melalui mencuri dan merompak sahaja.
Melalui perumpamaan ini, Yesus menyatakan bahawa bagai gembala yang baik ini, Dia telah
datang untuk memberi hidup yang bahagia kepada umat-Nya. Tetapi terdapat orang yang
bagai “pencuri dan perompak”, cuba merampas kebahagiaan ini daripada umat-Nya.

Siapakah “pencuri dan perompak” yang tersebut tadi? Yesus tidak menyatakan
jawapannya pada waktu itu. Tetapi daripada catatan lain di dalam Alkitab, kita boleh
menyimpulkan bahawa mereka adalah golongan agama dalam bangsa Yahudi. Di Kitab
Matius bab 23, Yesus pernah mengutuk guru Taurat dan orang Farisi begitu tegas sekali.
Misalnya pada rangkap 13, Dia berkata: “Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang
Farisi! Kamu munafik! Kamu menghalang orang menikmati Pemerintahan Allah. Bukan
sahaja kamu tidak mahu menikmati Pemerintahan Allah, bahkan kamu menghalang orang
yang berusaha menikmatinya.” Manakala pada rangkap 14 pula, Dia berkata: “Alangkah
malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memperdaya balu
dan merampas rumah mereka, kemudian pura-pura berdoa dengan berpanjangan. Oleh itu,
kamu akan menerima hukuman yang berat.”

Pada zaman Yesus, golongan agama Yahudi sangat berpengaruh dan dihormati di
masyarakat. Mereka mengajar orang Israel tentang hukum-hukum agama dan adat tradisi
yang wajib dipatuhi. Mereka suka memakai jubah panjang dan kelihatan alim, tetapi
sebenarnya mereka munafik. Orang munafik adalah orang yang cakap tak serupa bikin.
Apabila Yesus datang untuk mengajar kebenaran Allah, golongan agama Yahudi ini tidak
menerima ajaran-Nya. Sebaliknya mereka menentang Yesus dan mengejek orang yang
mengikut-Nya. Kerana halangan mereka, sesetengah orang takut datang kepada Yesus, dan
maka terlepas peluang untuk menikmati Pemerintahan Allah. Lebih teruk lagi, golongan ini
telah menyalahgunakan keistimewaan ini untuk memuaskan keinginan sendiri. Arif dalam
hukum-hukum agama, mereka pura-pura membantu balu tetapi sebenarnya mengambil
kesempatan untuk merampas rumah mereka. Perbuatan begitu tiada beza daripada perbuatan
pencuri dan perompak.

Dalam perumpamaan ini, Yesus mengatakan bahawa apabila gembala kawanan


domba datang, dia mesti masuk melalui pintu. Ini adalah kerana gembala mempunyai hak
terhadap kawanan dombanya. Ketika dia sampai, bahkan penjaga kandang akan membuka
pintu baginya. Apa yang menarik sekali, ialah gembala telah memberi nama kepada setiap
ekor domba. Mungkin dia menamakan domba mengikut ciri-ciri badannya. Contohnya, jika
mata domba itu lebih besar, ia dinamakan Si Mata Besar; jika domba itu lebih gemuk, ia
dinamakan Si Gemuk. Mungkin dia menamakan domba mengikut ciri-ciri wataknya.
Contohnya, jika domba itu suka bermesra dengan orang, ia dinamakan Si Manja; jika domba
itu selalu ketinggalan kelompok, ia dinamakan Si Bingung. Tak kira bagaimana gembala itu
melakukannya, yang pasti adalah dia tahu bilangan kawanannya dan mengenal setiap ekor
dombanya.

Sama juga dengan Tuhan Yesus. Dia mengenal kita begitu menyeluruh sehingga
rambut di kepala kita pun dihitung semua oleh-Nya. Sebelum dunia ini dicipta, Dia sudah
tahu segala sesuatu tentang kita. Bagaikan domba setiap ekor adalah istimewa kepada
gembala, kita setiap orang pun istimewa di mata Tuhan. Dia sudah menyediakan rancangan
yang tersendiri bagi setiap orang yang dikasihi-Nya. Rancangan ini adalah untuk
kemakmuran kita dan untuk memberikan masa depan yang penuh harapan.

Setiap hari, gembala keluar dan membawa kawanan dombanya ke tempat yang
berumput dan berair. Dia akan berjalan di hadapan dan domba-domba itu mengikuti dia
kerana mengenal suaranya. Hubungan kawanan domba dan gembala begitu karib sehingga
kawanan domba hanya mendengar suara gembala dan menerima bimbingannya sahaja.
Setiap ekor domba itu mengecam gembala sebagai tuannya. Jika tidak mengenal suara orang
itu, mereka tidak akan mengikuti dia dan bahkan akan lari daripadanya. Patutlah begini
hubungan kita dengan Yesus. Setiap hari, kita mesti mengikuti Yesus dengan rapat dan
menurut perintah-Nya sahaja. Untuk memahami kehendak Tuhan, kita harus selalu membaca
Alkitab supaya tidak mudah terpedaya oleh orang lain. Demikianlah bagai gembala yang
membawa kawanan dombanya, Yesus juga membimbing kita ke hidup yang bahagia dan
sejahtera.

Apabila Yesus tiba-tiba mengajar tentang penggembalaan, tak hairanlah pengikut-


pengikut-Nya tidak faham. Sebab kerja gembala macam tidak kena-mengena pun dengan
peranan Tuhan dalam hidup mereka. Sementara mereka masih tertanya-tanya, Yesus lalu
menjelaskan maksud-Nya melalui rangkap 11 hingga rangkap 16.

*Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawa untuk
kawanan dombanya. Seorang upahan yang bukan gembala dan bukan pemilik domba, akan
lari meninggalkan kawanan domba manakala dia melihat serigala datang. Oleh itu kawanan
domba akan diterkam dan dicerai-beraikan oleh serigala. Orang upahan itu lari kerana dia
bekerja untuk mendapat upah. Dia tidak mempedulikan domba-domba itu. Akulah gembala
yang baik. Sebagaimana Bapa mengenal Aku dan Aku mengenal Bapa, begitu juga Aku
mengenal domba-domba-Ku dan mereka pun mengenal Aku. Aku mengorbankan nyawa
untuk mereka. Masih ada domba-domba lain yang juga milik-Ku, tetapi tidak termasuk
dalam kawanan ini. Aku juga harus memimpin mereka dan mereka akan mendengarkan
suara-Ku. Mereka semua akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.*

Dalam penerangan Yesus ini, kita dapati beberapa watak lain muncul. Kita sudah
sedia maklum bahawa Yesus sendiri adalah gembala yang baik itu. Manakala kawanan
domba itu adalah pengikut-pengikut-Nya. Yesus telah mengorbankan nyawa-Nya di atas
salib untuk menyelamatkan kita. Melalui darah Yesus, kita dibeli oleh Allah Bapa, dengan
harga penebusan dosa dibayar lunas. Oleh itu, diri kita bukanlah milik kita, tetapi milik
Allah. Sebagaimana Yesus bersatu dengan Bapa-Nya, begitu juga Dia bersatu dengan
pengikut-pengikut-Nya. Dan apabila Yesus menyebut “domba-domba lain yang juga milik-
Ku, tetapi tidak termasuk dalam kawanan ini”, Dia memaksudkan pengikut-pengikut-Nya
yang bukan bangsa Yahudi. Semua Kristian, samaada orang Yahudi atau orang bukan
Yahudi, akan bersatu di bawah satu gembala iaitu Yesus, dan menjadi anggota keluarga
Allah.

Tetapi siapakah yang diibaratkan sebagai orang upahan dalam perumpamaan ini?
Pada pendapat saya, orang upahan itu adalah “pencuri dan perompak” yang tersebut tadi, iaitu
golongan agama Yahudi. Mereka menjadi guru agama hanya untuk mencari rezeki. Untuk
menyelamatkan kawanan dombanya daripada bahaya, gembala yang baik sanggup menggadai
nyawa. Tetapi bukan orang upahan, sebab dia bukan gembala dan bukan pemilik domba.
Begitu juga dengan golongan agama Yahudi ini, mereka bekerja kerana wang dan bukan
kerana kasih yang benar. Apabila dugaan atau kemalangan berlaku, mereka boleh
melepaskan tanggungjawab terhadap murid-murid mereka. Mereka akan lari untuk menjaga
kepentingan dan keselamatan sendiri.

Siapakah pula yang diibaratkan sebagai serigala? Sila beritahu saya sekiranya
saudara-saudari tahu jawapannya. Ya, serigala yang lapar dan garang itu adalah Iblis. Dia
datang menerkam dan mencerai-beraikan kawanan domba, serta membunuh dan memakan
mangsanya. Kerana kita kepunyaan Kristus, Iblis bermusuhan dengan kita. Dia selalu
mencari peluang untuk menjejaskan kehidupan kita. Dia akan cuba merosakkan hubungan
kita dengan orang lain, khususnya di antara jemaah Kristian. Apabila kita bersatu, kuasa
Tuhan menyertai kita dan dia terpaksa lari dalam ketakutan. Tetapi apabila kita tidak bersatu
dan selalu bertengkar, kita menjadi terlalu lemah untuk menentang Iblis. Lalu dia akan bebas
melakukan kerja-kerja jahatnya sebab tiada sesiapa lagi yang dapat menghalangnya.

Jika kita tidak hati-hati, pengaruh Iblis boleh meresap ke kalangan Kristian. Dia
boleh menimbulkan perasaan dengki, marah, benci, dendam dan sebagainya di dalam hati
seseorang atau sekumpulan orang, seterusnya menyebabkan pelbagai masalah seperti fitnah,
hasutan, bohong, pergaduhan dan lain-lain berlaku di gereja. Lama-kelamaan, umat Tuhan
tidak lagi kasih-mengasihi dan akhirnya bercerai-berai. Menyedari bahawa inilah cara-cara
biasa yang digunakan oleh Iblis untuk menumbangkan gereja, jangan kita jatuh ke dalam
perangkapnya. Jadi, bagaimanakah kita dapat menggagalkan muslihat Iblis ini? Rasul Paulus
telah memberi kita jawapan dalam suratnya kepada Jemaah di Efesus. Pada rangkap 2-3 di
bab 4, dia berkata: “Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar.
Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu. Berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup
damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara.”
Selain itu, Iblis akan cuba sedaya-upaya untuk menjauhkan kita daripada Tuhan.
Ibarat gembala yang begitu mementingkan kawanan dombanya sehingga sanggup
mengorbankan nyawa sendiri, Yesus juga begitu mengasihi umat-Nya sehingga Dia rela mati
disalib untuk menebus dosa kita. Iblis tahu Tuhan tetap setia dan tidak mungkin
meninggalkan kita. Pada waktu yang sama, dia juga tahu kita manusia mempunyai
kelemahan dan mudah berdosa. Setiap kali berdosa, kita akan berasa malu dan tidak berani
menghampiri Tuhan yang suci. Lama-kelamaan, kita semakin kurang berdoa and membaca
Alkitab, akhirnya tidak berhubung lagi dengan Tuhan. Tanpa Yesus, hidup kita di bawah
pengaruh Iblis dan dikuasai oleh dosa.

Cubalah bayangkan kamu ini seekor domba dalam satu kawanan. Apabila serigala
datang, kamu tetap mendekati Si Gembala dan enggan meninggalkan kawanan kamu. Macam
mana garang serigala itu pun tidak dapat mengapa-apakan kamu, sebab Si Gembala akan
memukul serigala itu dengan tongkat kayu dan mengusirnya. Oleh itu, kamu dan kawan-
kawan kamu terselamat. Tetapi andai kata kamu seekor domba yang kuat dan boleh berlari
cepat. Kamu ingat kamu tahu jaga diri dan tidak memerlukan Si Gembala. Kerana tidak
takut kepada serigala, kamu pun curi-curi keluar bermain berseorangan. Semakin kamu
berjalan, semakin kamu jauh dari kandang, dan semakin dekat kamu ke hutan. Tiba-tiba
kamu dapati sendiri dikelilingi oleh beberapa ekor serigala, memandang kamu dengan air liur
meleleh. Kamu mengemek untuk mendapat pertolongan, tetapi adalah terlalu lewat.
Akibatnya, kamu menjadi makanan kepada serigala.

Apakah pengajaran daripada contoh ini? Janganlah kita sombong dan sekali-kali
meninggalkan Tuhan. Apabila rapat dengan Tuhan, kita hidup di bawah perlindungan-Nya.
Tetapi apabila menjauhi Tuhan, kita dedahkan diri kepada kuasa-kuasa jahat. Seperti yang
dikatakan dalam Surat 1 Petrus, bab 5 rangkap 8: “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana
Iblis, musuh kamu merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa.” Di
Alkitab, Iblis telah diumpamakan sebagai serigala dan singa, iaitu binatang buas kedua-
duanya, yang selalu mencari-cari mangsa di bumi ini. Iblis tahu dia tidak dapat
memusnahkan jiwa orang Kristian, kerana hidup kekal yang dikurniakan oleh Yesus tidak
mungkin dirampas daripada kita. Maka dia menggunakan cara lain, iaitu cuba menyesatkan
dan memperdayakan kita.

Helah yang dia pandai sekali adalah merangsangkan nafsu manusia, biasanya
terhadap kekayaan, kekuasaan atau seks. Jika kita lemah iman dan tidak berjaga-jaga, kita
boleh tergoda dan melakukan dosa. Oleh itu, bagaimanakah kita buat supaya tidak menjadi
mangsa kepada Iblis? Dalam Surat Yakobus, bab 4 rangkap 7-8 telah memberi kita nasihat:
“Oleh itu, taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu.
Hampirilah Allah, dan Allah pun akan menghampiri kamu.” Apabila berhubungan rapat
dengan Tuhan, kita hidup dalam cahaya. Iblis terpaksa meninggalkan kita, sebab dia hidup
dalam kegelapan dan maka takut kepada cahaya. Selain itu, setiap Kristian perlu melawan
Iblis seperti seorang askar menentang musuhnya. Tetapi ambillah perhatian, kita bukan
tanding kepada Iblis melainkan kita dibantu oleh Tuhan.
Itulah sebab dalam Surat kepada Efesus, bab 6 rangkap 10-11 berkata: “Binalah
kekuatan kamu dengan menerima kekuatan daripada kuasa Tuhan, kerana kamu hidup bersatu
dengan Dia. Pakailah seluruh perlengkapan senjata daripada Allah, supaya kamu dapat
mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat.” Oh rupa-rupanya kita mesti
dilengkapi dengan senjata-senjata yang datang daripada Tuhan, untuk memenangi perjuangan
ini. Apakah senjata-senjata ini? Kita lihat rangkap 14-18 yang seterusnya: “Gunakanlah
ajaran benar tentang Allah sebagai tali pinggang dan ketulusan sebagai perisai dada.
Hendaklah kesediaan untuk mengisytiharkan Berita Baik yang membawa kesejahteraan
menjadi seperti kasutmu. Hendaklah kamu sentiasa gunakan kepercayaan kamu kepada Allah
sebagai perisai di tangan. Dengannya kamu dapat memadamkan semua anak panah berapi
daripada Si Jahat. Terimalah penyelamatan daripada Allah sebagai topi besi, dan firman
Allah sebagai pedang daripada Roh Allah. Lakukanlah semuanya sambil berdoa untuk
meminta pertolongan daripada Allah.”

Melalui ayat-ayat tersebut, Paulus memberi kita satu gambaran tentang seorang askar
Roma. Pada zaman itu, Empayar Roma mempunyai tentera yang terlatih dan berdisiplin.
Setiap askar Roma mesti berpakaian seragam yang dilengkapi dengan tali pinggang, perisai
dada, kasut, perisai di tangan, topi besi dan pedang. Perisai dada, kasut, perisai di tangan dan
topi besi adalah untuk perlindungan badan seseorang askar Roma. Manakala pedang yang
digantung pada tali pinggang pula, digunakan untuk menikam dan menyerang musuh.
Perlengkapan ini sangat penting untuk askar Roma dan telah memperkuat tentera mereka di
medan pertempuran.

Untuk peperangan rohani, kita juga memerlukan perlengkapan. Seperti yang


dinasihati oleh Paulus, kita hendaklah dilengkapi dengan ajaran benar, ketulusan, kesediaan
untuk mengisytiharkan Berita Baik, kepercayaan kepada Allah, serta penyelamatan dan
firman daripada Allah. Selain itu, jangan kita lupa berdoa dan selalu bersandar kepada
Tuhan. Demikian, kita akan terselamat walaupun Si Jahat menyerang kita dengan anak-anak
panah yang berapi. Di sini, anak-anak panah yang berapi bermaksud godaan atau rancangan
jahat yang dilakukan oleh Iblis terhadap kita. Ia bukanlah sesuatu yang kita dapat lihat
dengan mata kasar. Dengan bantuan Tuhan, kita pasti dapat menentang dan mengalahkan
Iblis, malah mengusirnya daripada hidup kita.

Akhir sekali, izinkan saya lafazkan sebuah mazmur kepada saudara-saudari, iaitu
Mazmur 23 yang ditulis oleh Raja Daud. Demikianlah mazmur yang terkenal ini:

*Tuhan ialah gembalaku; aku tidak kekurangan apa-apa. Dia membaringkan aku di
padang rumput yang hijau dan membimbing aku ke air yang tenang. Dia memberi aku
kekuatan baru. Dia membimbing aku di jalan yang benar, sebagaimana yang dijanjikan-Nya.
Walaupun aku melalui tempat yang gelap gelita, aku tidak akan takut, ya Tuhan, kerana
Engkau menyertai aku. Engkau melindungi aku dengan tongkat dan gada-Mu. Engkau
menyediakan jamuan untukku, di hadapan semua musuhku; Engkau menyambut aku sebagai
tetamu yang dihormati dan mengisi cawanku hingga penuh. Aku tahu Engkau baik kepadaku
dan mengasihi aku seumur hidupku; rumah-Mu akan menjadi rumahku sepanjang hidupku.*

Dalam mazmur ini, Raja Daud mengakui bahawa Tuhan ialah gembalanya. Dia
sendiri hanya seekor domba yang lemah, memerlukan bimbingan dan bantuan daripada
Tuhan. Dengan Tuhan menyertainya, dia tidak akan takut kepada sebarang cabaran. Kerana
kebaikan dan kasih sayang Tuhan, dia bertekad akan mengikuti Tuhan sepanjang hidupnya.
Raja Daud merupakan pemerintah tertinggi bagi orang Israel, tetapi alangkah dia rendah diri
di depan Tuhan! Dia betul-betul faham bahawa tanpa Tuhan, dia tidak dapat berbuat apa-apa.
Saudara-saudari dan kawan-kawan yang saya kasihi, adakah Tuhan Yesus gembala hidup
kamu? Adakah kamu betul-betul menghormati-Nya sebagai Penyelamat dan Tuhanmu? Jika
belum, datanglah kepada Tuhan Yesus. Dia pasti akan mengurniakan hidup yang kelimpahan
dan kekal kepada kamu. Semoga Tuhan memberkati kamu semua. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai