Anda di halaman 1dari 12

Ada apa dalam koir?

kajian tindakan untuk memperkasakan pelajar KRK Koh Chee Kiat SMK Luak, Miri Abstrak Kertas ini mengisahkan kajian tindakan saya untuk memperkasakan pelajar-pelajar KRK dengan melibatkan mereka dalam kumpulan koir. Projek ini melibatkan pelajar-pelajar dari 1KRK, 2KRK dan 5 orang guru pelatih. Hasil usaha para guru pelatih sekumpulan koir dibentuk. Mereka berjaya membuat beberapa persembahan termasuk menyertai Pertandingan Koir Bahagian Miri. Penilaian keberkesanan dilakukan dengan soal selidik bertulis, soalan bertulis terbuka dan temubual dengan guru pelatih. Respons pelajar dianalisis secara kuantitatif dan kualitatif. Keputusan menunjukkan pelajar sangat positif terhadap kegiatan ini. Pelajar yang terlibat menunjukkan aspek emosi dan sosial yang lebih mantap. Secara peribadi, saya memperkukuhkan teori pendidikan hidup tentang Perubahan dan kesanggupan mengambil risiko dan Resipi kepuasan kerja. Prolog Salah satu falsafah asas kajian tindakan adalah perkongsian dapatan dan ilmu kepada orang ramai untuk melebarkan asas pengetahuan profesion (Altricher, Posch dan Somekh, 1993). Namun tidak ramai guru yang ingin sebarkan teori pendidikan hidup [living education theory] (Whitehead, 1999), yang mereka membentuk kerana takut dengan ketidak signifikan dapatan. Dari pengalaman saya sejak saya aktif menjalankan kajian tindakan, tidak ada dapatan yang kononnya tidak signifikan. Masalah yang saya hadapi juga dihadapi oleh guru-guru yang lain. Maka semestinya ada guru lain di luar sana yang boleh mendapat menfaat daripada perkongsian kita. Inilah cerita saya yang mungkin nampak remeh bagi setengah orang tetapi ia adalah signifikan untuk saya kerana ia adalah teori yang dibentuk dari amalan saya (Clark, 1996). Pengenalan Pada tahun 2006, sekolah saya diluluskan untuk memulakan Kelas Rancangan Khas (KRK). Pada dasarnya, KRK adalah setanding dengan sekolah rancangan khas seperti Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri. Ia bertujuan menampung pelajar cemerlang yang gagal memasuki sekolah asrama penuh atau maktab rendah sains Mara. Kemasukan ke KRK adalah melalui pemohonan ke Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak sahaja. Justeru hanya calon UPSR yang memenuhi syarat sahaja dipilih untuk ditempatkan ke KRK. Sepatutnya para ibubapa berebut-rebut untuk memohon ke KRK. Tetapi, tidak. Untuk pengambilan pertama, kami menerima kurang daripada 10 orang pelajar yang memenuhi syarat minimum 3A, 2B dalam keputusan UPSR. Oleh sebab itu, syarat kemasukan terpaksa diturunkan kepada 2 A, 3B. Kini kelas tersebut mempunyai 24 orang pelajar. Nasib yang serupa menimpa KRK tahun 2007. Berdasarkan syarat minimum 3A, 2B, kami hanya mempunyai 18 orang pelajar. Kuota penuh adalah 25 orang sebuah kelas. Jadi, apa masalahnya?

Masalah saya Masalah saya adalah mengapa ramai pelajar yang layak tetapi tidak memohon ke KRK kami? Sekolah saya adalah sekolah reka kemudian bina. Dari semua aspek fizikal dan infrastruktur, kami adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah bandar yang lebih tua. Saya membuat kesimpulan bahawa ia adalah masalah imej yang menyebabkan sekolah saya kurang daya tarikan. Saya perlu menonjolkan KRK sebagai kelas yang ada keistimewaan, walau pun setakat ini sekolah saya belum terima apa-apa peruntukan istimewa. Ada sekolah yang sediakan bilik darjah berhawa dingin. Ada yang menyediakan pakaian seragam yang berbeza. Di sekolah saya, kami sediakan dua buah komputer untuk kegunaan pelajar KRK. Namun saya percaya benda-benda yang luaran sahaja tidak akan menarik kepercayaan para ibubapa. Sekolah perlu memperkasakan pelajar-pelajar KRK. Mereka perlu menjadi lebih yakin, lebih mahir dan lebih cemerlang daripada pelajar lain. Persoalannya, bagaimana dan apa yang perlu dilakukan? Perancangan Saya percaya para ibubapa inginkan anak-anak mereka dididik secara menyeluruh. Dalam kelas biasa populasi pelajar adalah terlalu ramai. Justeru, suka tak suka, ada sahaja pelajar yang ketinggalan dalam apa jua program yang diadakan. Pihak sekolah tidak mampu memberi perhatian kepada setiap orang pelajar. Di sinilah keistimewaan KRK. Bilangan pelajar dalam KRK dihadkan kepada 25 orang sahaja. Syarat ini adalah untuk memberi peluang setiap pelajar mendapat perhatian secara peribadi. Dan peluang inilah yang harus digunakan oleh pihak sekolah untuk memaksimumkan bakat dan potensi mereka. Maka usaha memperkasakan pelajar harus menjurus ke arah perkembangan menyeluruh yang termasuk aspek emosi dan sosial. Para ibubapa ingin lihat perubahan dalam anak-anak mereka yang menunjukkan perkembangan diri. Bilik darjah yang berhawa dingin dan segala peralatan ICT dan Internet tidak membawa erti jika anak-anak mereka tidak ada keyakinan untuk berucap di khalayak ramai. Pakaian seragam berbeza juga tidak ada makna jika anak-anak mereka tidak mampu bersosial dengan pelajar lain. Justeru dalam otak saya, saya mahu mulakan program yang dapat membina ciri-ciri keperibadian pelajar. Di antara perkara yang saya harap dapat dilaksanakan adalah latihan dalam pengucapan umum, bahas dan drama. Saya percaya latihan sedemikian membina keyakinan diri, satu aspek yang jarang ditekankan dalam sistem pendidikan kita yang cenderung mengejar kecemerlangan dalam peperiksaan. Aktiviti sedemikian mungkin sudah menjadi rutin di sekolah terkenal. Tapi untuk sekolah saya, saya mengakui ia belum menjadi budaya kami. Saya harap pelajar KRK akan merintis budaya baru sekolah ini. Namun, manusia hanya mampu merancang, tetapi Tuhan yang menentukan segala-galanya. Awal tahun ini, sekolah kami diberikan lima orang guru pelatih dari sebuah IPTA tempatan. Mereka akan menjalani praktikum selama tiga bulan di sekolah saya. Apabila mereka bertanya tentang apa jenis sumbangan yang diperlukan sekolah, saya terus kemukakan ide-ide tentang latihan untuk pelajar KRK. Saya tidak mahu mereka melakukan projek keceriaan seperti mana biasa dilakukan oleh ramai guru pelatih. Sebaliknya saya mencabar mereka untuk melatih pelajar KRK dalam pengucapan umum, bahas atau drama. Guru pelatih I, II dan III berkata mereka ada pengalaman

dalam aktiviti tersebut. Guru pelatih IV berkata beliau adalah ahli koir dan boleh main alat muzik keyboard. Saya terus menjemput beliau membentuk kumpulan koir daripada kedua-dua KRK (Tingkatan 1 dan 2). Setakat itu, segala perancangan kelihatan licin dan ada kemungkinan akan berjaya. Para ibubapa pasti teruja apabila mereka dapat melihat anak-anak mereka di atas pentas melakukan persembahan. Bagi saya, itu barulah proses memperkasaan. Pelaksanaan Selepas dua minggu, saya diberitahu oleh guru pelatih I, II dan III bahawa mereka telah mulakan latihan untuk pengucapan umum. Guru pelatih IV juga telah mulakan latihan koir. Namun mereka semua mengadu bahawa ramai pelajar KRK yang tidak hadir. Pelajar selalu terlibat dengan pelbagai aktiviti kokurikulum lain. Justeru latihan selalu terganggu. Memandangkan tempoh latihan mereka hanya tiga bulan dan mereka juga mesti membuat persediaan pengajaran setiap hari, maka saya membuat keputusan untuk mengugurkan latihan pengucapan umum, bahas dan drama. Saya minta mereka menumpukan perhatian kepada latihan koir sahaja. Nasib baik guru pelatih I, II, dan III juga ingin tolong dalam koir. Malahan guru pelatih V yang baru lapor diri juga menyertai mereka. Jika projek ini berjaya, ini mungkin satu-satunya kumpulan koir yang dimulakan oleh sepasukan guru pelatih. Majlis Sambutan hari Guru Peringkat Sekolah Tugasan pertama mereka adalah untuk membuat persembahan sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. Latihan berfokus dimulakan dengan rancak. Namun selepas beberapa kali, kehadiran pelajar mula menurun. Ia memaksa saya mengguna kuasa kuku besi. Saya arah pelajar KRK yang setuju menyertai koir untuk tinggalkan aktiviti lain termasuk kegiatan kokurikulum. Saya mengancam akan menarik balik keistimewaan ini jika penyertaan mereka tidak memuaskan. Saya berkata mereka patut merebut peluang ini untuk belajar membina keyakinan diri. Persembahan pertama mereka dilakukan dengan cukup baik. Saya cukup berpuas hati. Bagi saya persembahan itu hanyalah raptai untuk majlis lain yang lebih besar. Hari Permuafakatan Guru-Ibubapa Awal semester dua, kami menganjurkan Hari Permuafakatan Guru-Ibubapa. Majlis ini diadakan untuk memberi peluang para ibubapa berbincang dengan guru-guru tentang pencapaian akademik anak-anak mereka. Jadi saya fikir majlis ini satu peluang yang baik untuk kami show case kebolehan kumpulan koir pertama sekolah ini. Ibubapa-ibubapa pelajar KRK pasti teruja jika anak-anak mereka membuat persembahan. Para ibubapa pasti suka jika anak-anak mereka mendapat latihan tambah nilai yang percuma. Bagi pelajar KRK saya berjanji akan menghantar mereka menyertai Pertandingan Koir Bahagian Miri jika persembahan mereka adalah memuaskan (tak cemerlang pun tak apa). Para pelajar terus bersemangat. Namun para guru pelatih yang nampak was-was. Saya terpaksa memujuk mereka dengan pelbagai alasan. Mujurlah ia berhasil. Persembahan koir hari itu adalah yang terbaik sekolah ini pernah saksikan. Para ibubapa yang hadir begitu gembira dengan penglibatan anak-anak mereka.

Pertandingan Koir Antara Sekolah-sekolah Menengah Bahagian Miri Pertandingan tersebut dijadualkan pada bulan Julai. Latihan diadakan hampir setiap petang selepas sekolah. Hujung minggu pun tidak dikecualikan. Saya kagum dengan komitmen para guru pelatih terhadap tugas mereka. Saya mula risau dengan kekerapan latihan yang dijalankan. Saya risau ada ibubapa yang akan mengadu. (Nasib baik sampai hari ini masih tidak ada aduan) Namun tanda-tanda keletihan pelajar dan guru pelatih mula ketara. Ada yang datang lewat. Ada yang ponteng sekali-sekala. Para guru pelatih mula menunjukkan tanda-tanda tertekan. Saya diberitahu anak saya (dia juga pelajar KRK) bahawa ada satu sesi latihan, mereka dimarahi guru-guru pelatih. Mereka bukan sekadar marah. Mereka menangis kerana kecewa. Akhirnya, semua orang (guru pelatih dan pelajar) menangis. Selepas itu baru mereka melatih! Saya suka penglibatan yang begitu mendalam. Bagi saya, keputusan pertandingan adalah tidak penting. Apa yang penting adalah pelajar KRK sudah terlibat dengan kegiatan yang menggerakkan hati dan emosi mereka. Sekolah ini tidak pernah menyertai dalam mana-mana pertandingan koir. Kami ada ambil bahagian dalam pertandingan dikir barat dan nasyid. Mungkin konsep koir nampak terlalu barat untuk sekolah di mana populasi pelajar Melayu melebihi 70 peratus. Namun saya terharu dengan penglibatan pelajar Melayu dalam kegiatan ini. Kumpulan koir yang akhirnya menyertai pertandingan dianggotai oleh enam pelajar Cina, empat pelajar Dayak/Orang Ulu dan 25 pelajar Melayu. Untuk makluman para pembaca, guru-guru pelatih saya terdiri daripada dua orang Cina dan 3 orang Dayak. Namun mereka berjaya melatih semua pelajar tanpa sebarang syak wasangka. Justeru koir sebenarnya adalah aktiviti yang sungguh baik untuk memupuk semangat perpaduan dan sikap toleransi. Daripada tujuh pasukan yang bertanding, kumpulan kami mendapat kedudukan kelima. Nasib tidak menyebelahi mereka kerana sewaktu persembahan solo, mikrofon yang dipegang pelajar tiba-tiba tidak berfungsi. Konsentrasi mereka pun terganggu. Namun demikian, mereka cukup berpuashati dengan keputusan itu memandangkan itu adalah julung kali mereka menyertai pertandingan. Mereka juga akur bahawa persembahan kumpulan lain adalah jauh lebih mantap daripada mereka. Yang penting bagi mereka ialah mereka bukan kumpulan yang tercorot. Yang mustahak bagi saya adalah mereka berjaya menyempurnakan harapan sekolah untuk menyertai pertandingan ini. Pengalaman ini semestinya telah banyak mengajar mereka tentang nilai-nilai kehidupan seperti bekerjasama, tabah hati, berdisiplin dan semangat berpasukan. Penilaian Saya memulakan projek ini kerana ingin memperkasakan pelajar KRK secara lebih menyeluruh. Untuk menilai kesan dan faedah (jika ada), saya telah mengguna tiga kaedah penilaian iaitu soal selidik bertulis, soalan bertulis terbuka dan temubual dengan guru-guru pelatih. Respons pelajar untuk soal selidik bertulis dianalisis secara kuantitatif. Respons pelajar untuk soalan bertulis terbuka dan temubual guru-guru pelatih dianalisis secara kualitatif. Analisis dilakukan dengan cara mudah seperti mencari min dan mengenalpasti kategori. Tidak ada perisian khusus yang digunakan. Saya percaya

triangulation ini adalah memadai untuk memberi gambaran tentang keberkesanan projek ini. Instrumen Penilaian a) Soal selidik bertulis tentang penglibatan dalam koir Soal selidik ini menggandungi 12 kenyataan yang diikuti 4 pilihan berskala dalam bentuk skala Likert. Soal selidik ini memerlukan jawapan responden berdasarkan persepsi masing-masing. Respons yang paling positif diberi skor 4. Respons yang paling negatif diberi skor 1. Kenyataan 3, 7 dan 11 adalah kenyataan negatif. Maka penskorannya disongsangkan. Untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang sikap pelajar terhadap penglibatan mereka dalam koir, satu min skor didapati daripada semua item. Min skor 2.5 dianggap sebagai skor neutral. Nilai min skor adalah satu petunjuk sejauh mana ahli-ahli koir adalah positif atau negatif terhadap penglibatan mereka dalam koir. b) Soalan bertulis terbuka Instrumen ini mengandungi 5 soalan terbuka. Pelajar perlu menghuraikan perasaan masing-masing tentang penglibatan dengan koir. Respons pelajar dikategorikan mengikut corak-corak utama. Saya ingin mengkaji aspek afektif pelajar. Daripada huraian tentang perasaan saya boleh membuat inferens tentang sikap mereka. c) Temubual dengan guru-guru pelatih Temubual ini adalah bebas. Namun saya cuba fokus kepada perasaan mereka tentang kegiatan koir dan juga refleksi kendiri. Saya ingin mengenalpasti sama ada pengalaman ini memberi impak kepada latihan mereka. Keputusan dan dapatan a) Soal selidik bertulis Jadual A di Lampiran I menunjukkan keputusan soal selidik bertulis. Julat skor adalah dari 1 hingga 4 di mana skor yang lebih besar menunjukkan sikap yang lebih positif. Min skor keseluruhan adalah 3.73 menunjukkan sikap keseluruhan yang amat positif tentang penglibatan dalam koir. Dapatan ini juga menunjukkan bahawa perempuan adalah lebih positif untuk semua item dan oleh kerana itu, min skor perempuan adalah 0.22 lebih positif daripada min skor lelaki. Nampaknya keputusan ini memang konsisten dengan hakikat kehidupan di mana kaum hawa adalah lebih aktif dalam bidang nyanyian. b) Soalan bertulis terbuka Instrumen ini mengandungi lima lima soalan terbuka seperti berikut:I. II. III. IV. V. Apakah perasaan anda apabila kamu tahu kamu terlibat dengan koir? Apakah perasaan anda semasa mengikuti latihan koir? Apakah perasaan anda sewaktu pertandingan koir? Apakah perasaan anda selepas pertandingan koir? Apakah perasaan anda apabila semua aktiviti koir tamat?

Tujuan soalan-soalan tersebut adalah untuk mengukur aspek afektif terhadap penglibatan dalam koir. Saya juga ingin tahu sama ada terdapat perubahan dalam diri mereka setelah melibatkan diri dalam aktiviti ini. Keputusannya sungguh menarik. Ia juga menunjukkan sikap yang positif terhadap penglibatan dalam koir. Julat respons adalah dari jenis tiada komen hingga ke sangat suka. Tidak ada respons yang negatif. Oleh kerana kekangan ruang, saya hanya menunjukkan beberapa contoh jawapan pelajar. Jawapan pelajar dicetak semula dalam kertas ini seperti mana ditulis oleh pelajar dengan bahasa SMS mereka. I) Apakah perasaan anda apabila kamu tahu kamu terlibat dengan koir? Majoriti melahirkan perasaan ingin belajar, seronok, teruja, gembira dan Wow! Namun ada empat orang yang menunjukkan perasaan tidak berminat. Mereka menulis, no komen, macam biasa dan Koir tu apa? Sesuatu yang bla, bla Tidak ada apa-apa. Sebenarnya tidak semua pelajar KRK yang menyertai koir. Saya tidak wajibkan penglibatan mereka. Bagi saya, peluang itu diwujudkan untuk mereka. Terpulanglah kepada sikap masing-masing untuk menggunakannya. Saya gembira kebanyakan pelajar telah menyertai koir itu secara sukarela. Sekurang-kurangnya mereka ada sikap ingin mencuba dan ingin belajar. Itu adalah satu permulaan yang sungguh baik untuk saya. II) Apakah perasaan anda semasa mengikuti latihan koir? Respons semua pelajar kepada soalan ini hampir serupa. Mereka rasa letih dan penat kerana banyak latihan. Ada yang rasa kecewa kerana sering dimarahi guru pelatih, SometimuezI feels so bot n mad,,cause I feel very tired,,n sometimez kenak marak cikgu. Namun ada juga yang bersikap positif, Saya rasa gembira, best dan mesra walaupun dimarah, tapi saya tidak kecil hati. Apabila ditegur saya dpt mengubah diri saya drpd kesalahan. Ia akan dlm ingatan saya. Malah ada juga yang terpaksa menanggung kemarahan bapa, Bapa marah kerana selalu pulang lewat. Penat. Dan best gilak. Saya gembira kerana projek ini telah menyediakan pengalaman membina kemenjadian pelajar. Sikap dibentuk melalui tindakbalas diri dengan persekitaran. Rintangan akan membina stamina dan ketabahan. Walau pun merungut, tidak ada yang menarik diri. III) Apakah perasaan anda sewaktu pertandingan koir? Pertandingan adalah satu cara untuk menggalakkan penyertaan pelajar. Guru pelatih ada beritahu saya bahawa kehadiran pelajar terus meningkat apabila diumumkan pasukan koir akan menyertai Pertandingan Koir Antara Sekolah Menengah Bahagian Miri. Hairan, tetapi itulah hakikat. Mereka suka bertanding walau pun pertandingan menimbulkan perasaan cemas. Ramai yang tulis mereka rasa gementar, bertambah semangat, risau akan kekalahan, dan rasa seronok, Of course nervous n happy,.. dan seronok dan cemas. Nampak pelajar kita perlukan pertandingan dan cabaran begini untuk menggerakkan mereka.

IV) Apakah perasaan anda selepas pertandingan koir? Rata-rata melahirkan perasaan, lega. Perasaan macam segala kesusahan telah tamat. Ramai juga berasa, syukur dan puas hati kerana tidak mendapat tempat terakhir. (Sasaran mereka bukan hendak menjadi johan. Asalkan tidak dapat tempat terakhir.) Ada juga yang kata mereka sedih kerana nanti, tidak ada latih koir lagi. Nampaknya pengalaman itu telah membawa kesan yang lebih berpanjangan. Dulu rasa letih berlatih, sekarang rasa terlalu lapang jika tiada latihan. V) Apakah perasaan anda apabila semua aktiviti koir tamat? Semua berkata mereka berasa sedih. Ramai juga berkata mereka berasa bosan, boring asyik duduk kat rumah, tidak dapat belajar koir lagi. Sebahagian rindukan para guru pelatih, Sedih teringat dgn cikgu-cikgu yang memarahi kami, meneguri kami dan menyayangi kami. Ada yang sedih kerana macam terpisah dengan keluarga sekolah, ..tidak dapat jumpa cikgu-cikgu dan tiada family, ..sedih sebab tak dapat jumpa cikgu lagi dan tak rasa seperti satu family lagi. Mujurlah aktiviti ini mampu membina hubungan mesra di kalangan mereka. Ia berjaya membentuk espirit de corps. c) Temubual dengan guru pelatih Kelima-lima guru pelatih sangat menghargai pengalaman ini. Mereka telah menjadi lebih yakin dengan diri sendiri. Guru pelatih I berkata, lebih yakin bercakap di hadapan orang. Guru pelatih II berkata sekarang beliau sedar bahawa beliau sebenarnya ada keupayaan untuk melakukan perkara yang tidak dilatih pun, know myself has potential. Mengenai kebaikan kegiatan sebegini, mereka semua setuju ia adalah peluang baik untuk melatih disiplin dan kerjasama. Guru pelatih III berkata ia membina espirit de corp. Malah beliau mendapati pelajar menunjukkan minat belajar bahasa Inggeris setelah mereka menyanyi lagu bahasa Inggeris. Ada pelajar yang berkata mereka telah belajar beberapa perkataan baru. Guru pelatih V berkata ia memberi peluang pelajar bergaul lebih rapat dengan pelajar kaum lain. Beliau telah memerhati bagaimana tingkah laku seorang pelajar Cina berubah menjadi lebih mesra dengan rakan kaum lain. Guru pelatih IV, yang merupakan tunggak dalam projek ini juga mengakui beliau telah belajar kesabaran diri. Walau pun beliau memiliki kemahiran, namun penyampaiannya tidak semudah yang dijangkakan. Pelajar bukan kain putih yang tunggu untuk dilukis. Pelajar mempunyai pelbagai sifat dan tingkah laku. Banyak kali beliau hilang kawalan diri dan memarahi pelajar. Namun beliau belajar bagaimana membuat pelbagai inovasi untuk menangani masalah-masalah yang timbul. Semua liku-liku ini telah menjadikan beliau lebih kuat dan yakin diri. Penilaian saya melalui pemerhatian Saya amat kagum dengan kesanggupan kebanyakan pelajar KRK untuk mengorbankan masa dan tenaga demi menjayakan pasukan koir ini. Misalan saya selalu terjumpa pelajar KRK yang tidak pulang lepas sekolah kerana ada latihan koir pada waktu petang. Mereka juga datang pada hari Sabtu dan Ahad. Malah mereka adakan

latihan sewaktu cuti semester pertengahan tahun. Saya jarang menemui komitmen seperti itu. Namun menfaat projek ini jadi ketara kepada semua warga sekolah apabila kami adakan majlis perpisahan untuk para guru pelatih. Kumpulan koir diberikan tanggungjawab untuk menguruskan majlis itu sepenuhnya. Mereka membuat persembahan terakhir kerana mereka sedar bahawa kumpulan koir mungkin tidak diteruskan selepas pemergian para guru pelatih. Ramai ahli koir yang tersesak nafas kerana menangis. Apabila para guru pelatih menyanyikan lagu kegemaran mereka, Kenangan Terindah oleh Samson, pentas huru-hara dengan tangisan tidak terkawal. Guru pelatih mahu pun pelajar KRK. Mereka saling memeluk tidak kira kaum. Saya tertanya diri saya, ada apa aktiviti di sekolah yang mampu membangkit perasaan sedemikian hanya selepas tiga bulan? Belum pernah lagi. Kesan panjang ekoran sentuhan hati ini sukar untuk diukur. Sekurang-kurangnya pengalaman ini meninggalkan kenangan yang terindah untuk semua yang terlibat, termasuk saya. Refleksi diri Saya mulakan projek kerana ingin mencari cara untuk memperkasakan pelajar KRK. Sekolah kami sudah mempunyai dua kumpulan KRK, namun kami belum dapat menonjolkan mereka. Kedatangan para guru pelatih adalah suatu berkat bagi sekolah. Bukan sahaja mereka mempunyai kemahiran tambahan, mereka juga berkobar-kobar dengan semangat untuk membuat sesuatu yang terbaik. Saya tidak mempergunakan mereka. Sebenarnya saya wujudkan situasi menang-menang. Para guru pelatih mendapat praktikum yang sebenar. Pelajar saya mendapat pendidikan tambah-nilai. Apabila merenung kembali, saya juga telah mendapat dan memperkukuhkan beberapa teori pendidikan hidup. Di antaranya adalah:i) Perubahan dan kesanggupan mengambil risiko Saya percaya kesanggupan untuk mengambil risiko adalah salah satu ciri orang yang berjaya. Lebih-lebih lagi apabila kita berhadapan dengan kegiatan manusia. Walau bagaimana rapi sekali pun perancangan kita, kegagalan masih boleh berlaku. Kegagalan yang saya maksudkan bukanlah pembatalan sesuatu projek. Kegagalan mungkin berlaku dari segi penyelewengan daripada perancangan awal. Misalan, di peringkat awal saya ingin melatih pelajar KRK dalam pengucapan umum, perbahasan dan koir. Saya mahu guru-guru pelatih menjalankan ketiga-tiga perkara itu serentak. Akan tetapi hanya kumpulan koir yang terjadi. Saya terasa kecewa sedikit. Adakah itu satu kegagalan? Yang kedua, saya ingin melibatkan pelajar KRK sahaja dalam projek ini. Tapi ia tidak berlaku. Kumpulan koir yang menyertai pertandingan telah disertai beberapa pelajar Tingkatan 4 dan 5. Saya terpaksa membuka keahlian koir kepada pelajar lain kerana kekurangan suara yang sesuai di kalangan pelajar KRK. Selain daripada itu, ada beberapa orang pelajar KRK memang tidak mahu terlibat langsung. Akibatnya, koir yang terbentuk bukan koir KRK yang tulin kerana ada campuran pelajar lain. Penyelewengan ini juga boleh disifatkan sebagai kegagalan bagi saya. Perancangan tidak semestinya menjadi kenyataan. Kita mesti sanggup menanggung risiko itu apabila memulakan apaapa projek. Pengalaman saya sewaktu bertugas sebagai guru mengesahkan kebenaran teori ini (Koh, 2001; Koh, 2002). Kejayaan ini (jika kumpulan koir ini masih boleh dianggap sebagai kejayaan) tercapai kerana sifat saya yang sanggup bertindak segera

walau pun ada risiko kegagalan. Jika saya tunggu sehingga mendapat 100 peratus kepastian, banyak perkara tidak akan terjadi. Saya ada satu impian yang murni. Suka atau tidak, saya mesti berhadapan dengan risiko kegagalan (dan mungkin sindiran daripada sebahagian kakitangan saya). Risiko ini termasuklah kebarangkalian dipaksa menukar hala tuju asal pada pertengahan jalan. Jika saya takut mengambil risiko, mungkin tidak ada apa-apa yang akan dimulakan. Sekurang-kurangnya saya ada sepasukan koir yang berjaya mendapat tempat kelima dalam Pertandingan Koir Bahagian Miri. Nothing venture, nothing gain [Tiada pengembaraan, tiada keuntungan]. ii) Resipi kepuasan kerja Masalah burn-out [terpadam] adalah masalah yang memang wujud di mana-mana profesion termasuk keguruan. Saya tidak tahu statistiknya tetapi saya percaya ramai guru yang menghidap tanda-tanda burn-out. Mereka lebih aktif dalam perniagaan jualan langsung daripada aktiviti sekolah. Mereka lebih berminat memberi kelas tusyen yang berbayar daripada membuat projek dengan pelajar sendiri. Bagi saya salah satu punca masalahnya adalah kerana guru-guru ini tidak ada kepuasan kerja. Guru yang bermata duitan tidak akan ada kepuasan kerja. Kepuasan kerja datang daripada kepuasan hati pelanggan kita. Pelajar kita bagaikan anak-anak kita. Kita sayangkan anak-anak yang membalas kasih sayang kita. Jika kita mencurahkan hati dan tenaga kepada pelajar dan mereka membalas dengan ucapan, Terima kasih Cikgu kita akan rasa puas hati. Guru yang berdiri di tepi gelanggang dan tidak melibatkan diri dengan pelajar tidak akan mendapat penghormatan pelajar. Guru perlu mendidik dengan intelek dan emosi. Emosi yang ditunjukkan pada majlis perpisahan terhasil kerana para guru pelatih telah melibat diri dengan bersungguh-sungguh dalam tugas mereka. Ia tidak akan terjadi jika mereka melaksanakan tugas itu ala kadar. Tabiat kerja yang bersifat lepaskan batuk ditangga tidak mungkin dapat menggerakkan hati pelajar kita. Sebenarnya, guru yang bersikap sedemikian hanya membunuh diri sendiri. Mereka tidak sedar bahawa sifat malas itu menafikan diri mereka untuk mendapat kepuasan kerja. Hati saya tersentuh melihat bagaimana ahli koir menangis kerana akan berpisah dengan cikgu-cikgu mereka. Mereka menangis walau pun sering dimarahi. Mereka hibar terkenang masamasa mereka sama-sama berjuang dengan cikgu-cikgu. Jikalau saya adalah guru pelatih, saya juga akan berasa puas hati. Segala penat lelah adalah berbaloi kerana ia dihargai. Maka resipi untuk kepuasan kerja adalah kita mesti melibat diri dengan pelajar kita dahulu. Jangan mengharapkan penghargaan jika kita belum melaburkan jiwa kita terlebih dahulu. Peristiwa itu membuat saya tertanya-tanya, mungkinkah tangisan pelajar dijadikan kayu pengukur terhadap komitmen guru? Kesimpulan Adakah saya berjaya memperkasakan pelajar KRK? Saya percaya kegiatan koir ini telah membangunkan aspek emosi dan sosial pelajar-pelajar yang terlibat. Dari aspek emosi, saya percaya mereka lebih tabah hati dan mampu menghadapi cabaran. Dari aspek sosial, mereka telah belajar bagaimana bekerjasama dan saling bantu-membantu. Malahan saya percaya kegiatan ini juga telah membantu mereka menguasai kemahiran bahasa seperti membuat sebutan yang betul. Latihan suara juga boleh dianggap sebagai satu latihan jasmani kerana mereka belajar mengawal pernafasan. Pendapat saya adalah

konsisten dengan dapatan Clift dan Hancox (2001) yang telah mengkaji satu kumpulan koir di universiti. Responden bersetuju bahawa penglibatan koir memberi faedah dari aspek sosial (87%), emosi (75%), jasmani (58%) dan rohani (49%). Mengikut Fanthome (2007), penglibatan dengan koir adalah salah cara yang terbaik bagi pemuda-pemudi untuk menunjukkan kreativiti, bergaul dan mempelajari pelbagai kemahiran. Jadi walau pun projek ini hanya satu percubaan, ia telah menyumbang kepada usaha memperkasakan pelajar-pelajar KRK sekolah ini. Epilog Saya amat gembira untuk melaporkan bahawa pasukan koir itu tidak mati dengan pemergian para guru pelatih. Dua orang guru telah bersetuju menjadi guru-guru penasihat kepada Kelab Koir. Oleh kerana syarat kokurikulum mewajibkan seorang pelajar hanya boleh terlibat dengan satu kelab, maka ada sebahagian ahli koir asal telah meninggalkan Kelab Koir. Kini Kelab Koir adalah terbuka kepada semua pelajar sekolah ini. Mereka juga telah membuat persembahan pertama di bawa bimbingan guru-guru penasihat baru sewaktu Majlis Sambutan Ambang Merdeka 2007. Manusia hanya boleh merancang, akhirnya Tuhan yang akan menentukan.

Rujukan Altricher, H., Posch, P. & Somekh, B. (1993). Teachers investigate their work: An introduction to the methods of action research. London: Routledge. Clark, S. (1996). Finding theory in practice. Educational Action research, Vol. 4, No.1, pp. 9-13. Clift, S.M. & Hancox, G. (2001). The perceived benefits of singing. The Journal of Royal Society for the Promotion of Health, Vol. 121, No. 4, 248-256. Fanthome, C. (2007). Singing your way to PSHE goals./Teaching Expertise.htm. Downloaded at http://www.choirs.org.uk/ on 3.10.2007. Koh, C.K. (2001). Solar Cooker Project An aid to develop scientific process skills, attitudes and values among rural pure science students. Kertas yang dibentangkan di International Conference on Primary and Secondary Schools Science and Mathematics Education 2001, 22 24 Oktober 2001, Sunway Pyramid Convention Centre, Selangor. Koh, C.K. (2002). Do a project from the Internet A way to train scientific attitudes and ICT skills among rural science students. Kertas yang dibentangkan di Seminar Penyelidikan Kebangsaan Ke-9, BPPDP, Kementerian Pendidikan Malaysia, 2225 Oktober 2002, Hotel Cititel, Pulau Pinang. Whitehead, J. (1999). How do I improve my practice? Creating a discipline of education through educational enquiry. Unpublished PhD thesis, University of Bath: United Kingdom.

Lampiran I Jadual A: Min Skor Lelaki, Min Skor Perempuan dan Min Skor Keseluruhan untuk soal selidik bertulis tentang penglibatan dalam koir
Bil 1 2 3* 4 5 6 7* 8 9 10 11 * 12 Kenyataan Menyanyi dalam koir amat menyeronokkan Saya bangga menjadi ahli kumpulan koir Saya telah mensia-siakan banyak masa kerana terlibat dengan koir Saya belajar banyak ilmu yang saya tidak akan dapat belajar dalam pengajaran kelas Dalam koir, saya rasa macam dalam sebuah keluarga mesra Kini saya rasa lebih yakin dengan kebolehan sendiri Lain kali saya tidak mahu menjadi ahli koir lagi Melalui latihan koir, saya boleh memperbaiki bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris saya Kini saya lebih berani berdiri di hadapan para penonton Saya belajar bersabar dan bekerjasama dengan rakan lain Belajar menyanyi adalah aktiviti yang membuang masa sahaja Dalam koir, kami senang bergaul tidak kira apa jenis kaum Keseluruhan Min Skor Lelaki 3.87 3.67 3.40 3.53 3.67 3.53 3.67 3.40 3.60 3.40 3.80 3.80 3.61 Min Skor Perempuan 3.89 3.95 3.53 3.84 3.84 3.79 3.95 3.58 3.95 3.79 3.95 3.89 3.83 Min Skor keseluruhan 3.88 3.82 3.47 3.71 3.76 3.68 3.82 3.50 3.79 3.62 3.88 3.85 3.73

* Catatan: Item 3, 7, dan 11 adalah item negatif. Oleh sebab itu skor-skor untuk item ini telah disongsangkan.

Anda mungkin juga menyukai