Anda di halaman 1dari 12

AKADEMI SENI DAN TEKNOLOGI KREATIF (ASTiF)

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

CA20702

APRESIASI NASKAH

SEMESTER 1, SESI 2022/2023

TAJUK : ESEI MENGENAI TOPIK “MITOS”

NAMA PELAJAR : NORAZIAH BINTI ELIKSON

NO. MATRIK : BC21160248

NAMA PENSYARAH : DR. ESTERLINA MOO CHIN LEN


PENGENALAN

Mitos dan lagenda adalah dua bentuk prosa yang termasuk dalam
golongan kesusasteraan rakyat. Kedua-kedua aspek ini sering terkandung
dalam hasil-hasil karya tentang kesusasteraan Melayu tradisional seperti
sastera sejarah, sastera epik, cerita asal-usul dan sebagainya. Menurut
pemahaman melalui etimologi, mitos berasal dari perkataan dalam Bahasa
Yunani iaitu mythos yang bermaksud sesuatu yang diungkapkan dan juga
dari Bahasa Belanda iaitu mythe. Mitos juga terklasifikasi dengan 4 bentuk
iaitu mitos politik, mitos budaya, mitos sosial dan juga mitos asal-usul.
Setiap mitos tersebut memiliki fungsi yang sama dalam menerangkan
sesuatu kejadian atau fenomena, mengangkat martabat keturunan raja
serta mengkritik secara simbolik perlakuan golongan pemerintah yang
zalim.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2006), Mitos bermaksud


cerita zaman dahulu yang benar khususnya yang mengandungi unsur-
unsur konsep atau kepercayaan mengenai sejarah awal kewujudan sesuatu
bangsa atau kejadian-kejadian alam. Manakala menurut takrifan Bascom
Mitos atau mite (myth) ialah cerita prosa rakyat yang ditokohi oleh para
dewa, adat istiadat dan juga dongeng suci. Hal ini demikian, cerita-cerita
mitos ini dianggap sakral atau suci oleh para pendukungnya.

Menurut pandangan Ismail Hamid, cerita-cerita mitos ini berkaitan


dengan dewa-dewa, asal-usul sesuatu, binatang, nama, kejadian alam,
adat, pantang-larang dan juga kematian. Mitos juga terbahagi kepada
beberapa ciri seperti mitos yang menceritakan tentang cara asal
kemenjadian sesuatu benda, haiwan atau tempat yang mendapat gelaran
dan juga mitos yang bercirikan mengenai agama, kewujudan sistem
kepercayaan, pantang larang dan juga mitos tabii.

Selain itu, menurut pandangan Mohd Taib Osman pula, mitos sudah
tidak wujud lagi dalam masyarakat Melayu kini. Kemasukan agama islam
yang adalah asbab orang Melayu menolak kepercayaan mitos terutamanya
dari kepercayaan yang berbentuk animisma. Semua mitos yang masih ada
menjadi bualan dan juga penceritaan sekarang hanyalah peninggalan
mitos-mitos dari zaman dahulu.

Menurut E.B Taylor yang mengatakan bahawa mitos merupakan


kepercayaan kepada makhluk halus dan roh adalah asas kepercayaan
agama yang mulai wujud di pemikiran manusia primitif. Kepercayaan
animisme yang membawa maksud satu bentuk cultural universal yang
wujud dalam kalangan suku-suku primitif.

CIRI-CIRI MITOS

Anggapan bagi mitos adalah kejadian atau peristiwa yang benar-


benar berlaku di masa dahulu. Hal ini demikian sesetengahnya telah
membentuk sistem nilai mereka dan seterusnya diwarisi dari setiap
generasi. Pernyataan bahawa mitos itu suci kerana terdapat unsur-unsur
kedewaan yang juga sangat dipercayai oleh masyarakat Melayu pada
zaman dahulu yang memegang kepercayaan animisme dan juga ajaran
Hindu.
Mitos juga kaya dengan unsur-unsur alam ghaib dimana keyakinan
masyarakat Melayu pada ketika itu terhadap kewujudan alam ghaib sangat
tebal. Menurut kepercayaan mereka bahawa sesuatu yang ghaib sebagai
contoh kewujudan kekuasaan makhluk-makhluk halus seperti jin, syaitan,
penunggu dan puaka. Begitu juga dengan alam kayangan atau alam
bunian dewa dewi juga telah mempengaruhi kehidupan mereka. Dalam
konteks alam kayangan masyarakat Melayu pada zaman dahulu juga yakin
bahawa mereka mampu berhubungan atau berseteru dengan makhluk
tersebut.

Di samping itu, mitos juga kaya dengan peristiwa atau peristiwa yang
luar biasa, ganjil dan aneh. Hal ini dikatakan kerana masyarakat Melayu
zaman dahulu mempercayai bahawa setiap peristiwa tersebut membawa
maksud atau tujuan yang tertentu. Perkara itu berlaku sebagai hasil
daripada keakraban hubungan manusia dengan alam sekitar.

UNSUR KEPERCAYAAN

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu mempercayai upacara


pemujaan yang biasanya bertujuan untuk roh nenek moyang atau alam
sekeliling. Perkara ini menunjukkan bahawa pemujaan bukan hanya tertuju
kepada semangat padi, pemujaan hantu dan makhluk halus namun ianya
juga berlaku dalam masyarakat tertentu yang memuja pantai. Menurut
Zakaria Ariffin (1990) yang terkandung dalam bukunya yang bertajuk
‘Mengenai Budaya Bangsa’ menyatakan bahawa pada zaman dahulu,
masyarakat nelayan dan petani di negeri-negeri pantai timur seperti
Kelantan dan Terengganu, dipercayai bahawa wujud kuasa ghaib yang
dapat membantu mereka untuk mendapat rezeki hasil daripada ladang
atau laut.

Menurut kepercayaan masyarakat terdahulu juga, pada masa


tertentu dalam setiap tahun mereka akan melakukan upacara sebagai
tanda terima kasih kepada semangat dan rezeki yang mereke perolehi
yang biasanya bertujuan agar mereka terus menerus mendapat rezeki dan
juga dilindungi dari terkena bala atau musibah. Di upacara tersebut,
mereka akan mengadakan satu persembahan dan upacara yang akan
dilangsungkan di tepi pantai yang dikenali sebagai puja pantai. Dalam
upacara itu juga, pelbagai permainan rakyat yang dilakukan seperti
wayang kulit, makyong, main peteri, menora dan sebagainya.

Selain itu, menurut kepercayaan rakyat di Nusantara juga terdapat


anggapan bahawa roh yang telah meninggal dunia boleh masuk ke dalam
tubuh binatang, sebagai contoh suku Nias yang terdapat di sebuah pulau
yang terletak di bahagian barat Sumatera. Mereka mempercayai binatang
itu akan mengganggu orang yang merupakan musuh si mati pada ketika
dia masih hidup. Melalui perkara itu, mereka juga mempercayai bahawa si
mati itu akan menjelma kembali ke tubuh makhluk lain.

Terdapat juga pernyataan bahawa jika roh itu baik, ianya akan
menjelma sebagai haiwan yang jinak namun jika sebaliknya iaitu roh jahat,
ianya akan menjadi haiwan yang liar. Hal ini juga dipercayai sebagai
penjelmaan dewa baik atau jahat. Ianya juga dikatakan sebgai
kepercayaan kepada keramat. Keramat yang bermaksud amalan
kepercayaan asal penduduk asal penduduk tempatan kepada roh dan
semangat. Namun begitu, agama Islam telah mengubah pemikiran
masyarakat Melayu daripada mempercayai dewa-dewa seperti yang
mereka percayai dan juga kumenganuti kepercayaan zaman Hindu kepada
kepercayaan terhadap Tuhan yang Maha Esa.

UNSUR GHAIB

Selain kepercayaan kepada agama, kehidupan di muka ini juga tidak


dapat mengelakkan tentang kepercayaan terhadap kuasa-kuasa ghaib,
kuasa luar biasa serta amalan animisme tersebut. Amalan animisme
termasuklah upacara pemujaan roh nenek moyang, hantu, roh dan
semangat. Pemujaan terhadap makhluk halus dan pantai merupakan salah
satu lagi bentuk pemujaan. Terdapat adat yang dikenali sebagai kaul
merupakan adat yang paling lama dan juga masih dilakukan oleh
masyarakat Melanau. Adat ini merupakan adat penyembahan terhadap
makhluk halus iaitu Ipok Kala. Adat ini merupakan satu kuasa ghaib yang
menguasai muara sungai yang bertujuaan untuk memperoleh kedamaian
serta meningkatkan hasil tangkapan dan tuaian.

Menurut Yasir Rahman (1987) yang merupakan seorang pengkaji


telah mendiskusikan mengenai pemujaan makhluk halus. Di dalam buku
beliau yang bertajuk Melanau Mukah; Satu Kajian Budaya yang terkandung
kajian tentang komuniti Melanau Mukah dan juga perayaan Kaul.
Kepelbagaian bangsa juga terisi dengan bentuk-bentuk ritual yangb
tertentu. Artikel yang bertajuk ‘Ritual Tradisional di kalangan Orang Sungai
Kampung Kelumpang dan Pitas’ yang merupakan hasil kajian Sahbodin
Salbun(1996) memperjelaskan bahawa komuniti Orang Sungai yang kaya
dengan adat resam mereka tersendiri. Dalam kajian tersebut, beliau
tertumpu kepada ritual yang masih lagi dilakukan oleh komuniti tersebut.
Antara ritual-ritual itu ialah Pensiuwan (menilik), Lobou-lobou (orang-
orangan), Memohou Goronai sambil Memokon (memanggil orang halus
untuk diberi makan) dan lain-lain lagi.

MITOS ASAL-USUL

Dalam mitos asal-usul, terdapat pelbagai penjelasan mengenai asal-


usul kewujudan dunia, alam semesta dan juga alam sekitar. Cerita-cerita
dalam mitos asal-usul ini menggambarkan dengan lebih menarik khususnya
cerita yang juga melibatkan binatang seperti “bagaiman burung puyuh
tidak berekor”, “bagaimana harimau mendapat belangnya”, “mengapa
gagak berwarna hitam”, dan sebagainya. Selain dari cerita berkaitan
dengan binatang, keadaan fizikal atau kemenjadian aneh di sesuatu tempat
juga merupakan suatu mitos.

Hal ini dikatakan kerana, jika terdapat suatu batu yang memiliki
seperti wajah manusia di tempat tersebut, maka ia merupakan sumpahan
oleh Sang Kelembai. Begitu juga dengan keadaan tasik yang seperti
menyerupai tapak kaki manusia dan itu dianggap bahawa ianya berasal
daripada tapak kaki gergasi. Perkara ini juga dikatakan setiap nama
tempat, bandar, negeri dan sebagainya juga terkait dengan cerita mitos.
Contoh yang dapat dilihat seperti nama Melaka yang dikatakan tercipta
dengan kisah mitos yang menceritakan tentang pelanduk putih yang gagah
dan dapat menendang anjing. Melalui kejadian itu, Raja Iskandar
membuka negeri itu dan dinamakan Melaka sempena nama pokok tempat
baginda bersandar pada ketika itu.

Kisah tentang mitos Gunung Kinabalu dimana ianya mengikut


kedatangan Cina. Mitos ini menceritakan ketika dua orang Putera Cina
yang mencari geliga di kaki sebuah gunung. Semasa dalam perjalanan
mencari geliga itu, mereka menjumpai seekor naga yang sangat ganas dan
bengis. Geliga yang mereka cari itu tersimpan dalam mulut naga tersebut.
Kedua-dua Putera Cina itu saling berfikir tentang cara yang selamat untuk
mengambil geliga itu dari mulut naga yang ganas itu. Mereka pun memilih
untuk melemparkan bola api panas ke mulut naga tersebut sehingga ia
mati dan mereka pun berjaya mengambil geliga yang mereka yang cari.
Selepas kejadian itu, wujudlah sebuah petempatan kerana udara yang
sejuk serta pemandangan yang juga menyerupai dengan negara asal
kedua Putera Cina tersebut. Penduduk tempatan pada ketika itu telah
memberi gelaran kina balu’ kepada mereka yang juga bermaksud ‘cina
baru’ dalam bahasa tempatan. Pada masa kini, dapat dilihat penduduk di
sekitar kaki Gunung Kinabalu dan kawasan Ranau mempunyai kulit yang
cerah, bermata sepet namun berbahasa KadazanDusun.

Terdapat kisah atau penceritaan yang lain yang menyatakan mitos


Gunung Kinabalu ini bermula apabila Aki merupakan seorang ketua
kampung yang sangat disegani dan dihormati oleh semua penduduk ketika
itu telah jatuh sakit. Pada suatu ketika itu, seekor kerbau milik salah satu
penduduk di kampung itu telah hilang dan akhirnya semua penduduk
kampung turut membantu untuk mencari kerbau tersebut. Sesampai di
kaki gunung, penduduk kampung terlihat Aki yang juga sedang berjalan.
Dia juga menyapa Aki namun tidak menjawab sapaan tersebut tanpa
menoleh sama sekali malah terus berjalan kemudian hilang dalam kabus
dingin gunung tersebut. Penduduk kampung berasa hairan dengan tingkah
laku Aki pada ketika itu kerana dia dikenali sebagai ketua kampung yang
peramah malah dia juga sangat akrab dengan Aki. Sesampai sahaja di
kampung, penduduk kampung dikejutkan dengan berita bahawa Aki telah
meninggal dunia lalu dia pun memberitahu kepada penduduk kampung
yang lain bahawa dia terjumpa dengan Aki di kaki gunung. Penduduk
kampung berasa keliru namun ada juga yang mengakui mereka melihat Aki
menaiki gunung tersebut. Melalui kejadian itu, mereka menganggap
bahawa roh Aki naik dan telah tersemadi di puncak gunung itu. Sebagai
mengenang kehilangan ketua kampung mereka, tempat suci itu diberi
nama sebagai ‘Aki Nabahu’ atau ‘Akinabalu’ yang membawa maksud
Gunung Aki dan akhirnya pada ketika ini dikenali sebagai Kinabalu.

MITOS SIMBOLIK

Mitos simbolik ini memiliki makna bagi setiap kejadian-kejadian cerita


mitos. Kebiasaannya juga mitos ini bertujuan untuk dijadikan sebagai
sindiran, kritikan atau juga alat propaganda untuk mengagungkan sesuatu
bangsa terutama sekali bagi golongan pemerintah. Hal ini berbeza dengan
keadaan zaman dahulu dimana seseorang yang menunjukkan rasa tidak
kepuasan hati secara terabg-terangan akan dianggap sebagai menderhaka.
Menurut sejarah Melayu, mitos simbolik ini digunakan sebagai mengkritik
Sultan Mahmud Syah yang bersifat kejam dan zalim dalam cerita pinangan
Puteri Gunung Ledang. Begitupun kisah tentang peristiwa serangan ikan
todak ke atas Singapura yang merupakan sebagai simbolik kepada Raja
Singapura yang berlaku zalim terhadap seluruh rakyatnya. Tidak hanya
kisah-kisah keburukan, mitos simbolik juga untuk mengagungkan
kebesaran raja-raja Melaka seperti kisah Raja China yang telah menghidap
penyakit kulit yang menjadi teruk selepas dia meminta sembah daripada
Raja Melaka. Menurut kepercayaan rakyat ketika itu, penyakit itu akan
sembuh setelah baginda bersetuju untuk minum air basuhan kaki Raja
Melaka.

MITOS JURAI KETURUNAN RAJA

Dalam bentuk keturunan manusia iaitu keturunan raja-raja juga


menggambarkan mitos. Hal ini demikian cerita mitos berkaitan dengan
keturunan manusia sering ditemui dalam hikayat-hikayat lama. Biasanya,
cerita tentang keturunan raja ini berkaitan dengan dewa-dewi, kayangan,
kejadian aneh dan luarbiasa. Dikatakn juga bahawa kebesaran ketinggian
darjat raja melebihi rakyat biasa. Anggapan ini yang menyebabkan rakyat
diwajibkan untuk sentiasa taat dan tidak menderhaka kepada raja. sebagai
contoh, dalam hikayat Raja Pasai menceritakan tentang keturunan raja-raja
Pasai dimana keturunan tersebut berasal daripada seorang budak
perempuan yang ditemui di dalam buluh betung serta dikahwinkan dengan
seorang budak yang ditemui di atas kepala gajah.

Selain itu, terdapat juga mitos tabii dimana ianya menceritakan


tentang perkara yang berkaitan dengan alam sekeliling seperti kejadian
guruh, ribut, kesuburan tanah dan sebagainya. Kewujudkan mitos ini
berpunca daripada perasaan takjub manusia terhadap kejadian-kejadian
alam dan secara langsung mewujudkan pantang larang tertentu yang
bertujuan mengelakkan berlakunya musibah atau bala.

Menurut James Danandjaya yang juga menyatakan salah satu contoh


mitos yang merupakan kepercayaan masyarakat Melayu Jawa. Hal ini
dikatakan bahawa kesuburan tanah dikaitkan dengan kisah seorang puteri
bernama Seri Dewi telah disumpah oleh ibu tirinya sehingga menjadi dewi
padi yang telah bertanggungjawab tentang kesuburan tanah. Penduduk
kampung harus mengingati Seri Dewi jika ingin mengekalkan kesuburan
tanah. Di samping itu juga, ada juga mitos yang menyatakan bahawa
kemasukan agama serta kewujudan sesuatu sistem itu sebagai pegangan
sesuatu masyarakat. Dalam Sejarah Melayu yang mengisahkan tentang
kemasukan Islam ke Melaka kerana mimpi Raja Kecil Besar bertemu
dengan baginda Nabi Muhamaad S.A.W.

MITOS DERHAKA
Pegangan orang Melayu yang menyatakan konsep tidak menderhaka
kepada raja itu dikaitkan dengan perjanjian antara Sang Sapurba dengan
Demang Lebar Daun. Tujuan kewujudan mitos ini dipercayai juga bagi
menerapkan perasaan setia dalam diri masyarakat terhadap sistem
kepercayaan yang menjadi warisan daripada nenek moyang sendiri.

KESIMPULAN

Salah satu peninggalan yang perlu sentiasa terwarisi daripada


sastera-sastera terdahulu serta masih lagi dalam setiap penceritaan rakyat
pada ketika ini adalah mitos dan lagenda. Hal ini dikatakan kerana ianya
tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas walaupun peredaran zaman dan
waktu ia tetap wujud dalam kehidupan masyarakat. Walaupun ada juga
segelintir masyarakat moden pada ketika ini tidak lagi mempercayai
kebanyakkan cerita-cerita mitos, namun kisah-kisah lagenda tetap kekal
serta merupakan kebanggaan setiap lapisan masyarakat sehingga hari ini.
Generasi pada masa kini khususnya generasi muda perlulah mendapat
pendedahan yang lebih luas mengenai warisan sastera ini agar ianya itu
tetap dijadikan sebagai suatu khazanah sastera yang unggul.

Anda mungkin juga menyukai